Popular Posts

Monday, 12 May 2014

Masih bertapa ... dari Novel "Keranamu DIAH" : Bab 23

Lukisan : 'ojai mahu terbang' - 13 Mei 2014
Andai manusia juga punya sayap ... terbang tinggi menikmati Alam
lalu tinggallah semua persoalan yang tidak terjawab.
Kalau aku ada sayap? ... Wow! Aku teroka seluruh alam ( Best gilerrr!!)


Masih bertapa kukuh rasa itu
Aruhan kenangan cebisan demi cebisan
Antara ruang maya dan realiti nan silih berganti
Fananya insani namun kisah itu masih tetap disitu
Kekadang menghanyut bersama ruang waktu
Apabila lelangit merah mulai hilang ditelan kelam malam
Namamu bagai bertatih menebar jejak-jejak semalam

Aduhai sampai bila jiwa harus merana
Khilaf lalu kisah dulu seharusnya bersemadi  dibawa angin lalu
Usah lagi dikenang apatah lagi dirindu

Kelam malam mengundang rindu
Entah mana mulanya entah bila akhirnya
R esah gelisah bersilih di hati nan sendu
Arah mana harus dilontar rasa ini
Nak ditampung kini tidak terdaya
Atau dilepas bagaikan tak terlepas

Marilah damai selimuti gelora
Eratkan pelukan biar tenang semula
Nyanyikan lagu pasrah pada hati nan resah
Yang merintih itu biar kembali ceria
Andai itukan menjadi nyata
Kelak mampu diorak langkah menuju bahagia
Ikut gembira seisi dunia
Takpun cukup hanya buatku dan dia
Insan-insan kerdil yang mencari cahaya
Menyinari malam kelam hingga mentari menjelma
Untuk sehari lagi mengharungi segala

Maafkan aku kerana menyakitimu ...






"Keranamu DIAH" : Bab 23

BAB 23 : KONFLIK BERTERUSAN

Hilang arah
            Zuraimie terus menekan pedal minyak semahunya. Kalau boleh segala masalah ingin ditekan dan ditenyeh pada muka pedal minyaknya. Biar dihenyak-henyak dengan sepatu yang dipakainya , biar hilang dan punah semuanya. Perbuatan Diah menolaknya tadi sudah keterlaluan. Hukum apa yang dipakainya?. Masakan suami sendiri tidak boleh menyentuh isteri?. Lebih parah lagi , Zuraimie benar-benar rasa terhina dengan layanan yang diterimanya. ‘Hidung tak mancung , pipi tersorong-sorong’!. Terhegeh-hegeh menagih kasih sedangkan orang sebelah matapun tidak memandang.
“Aarrrrgghhhhhh!!!!!”. Zuraimie menjerit sekuat-kuat hatinya. Geram dan marah dengan nasib malang yang bagaikan sentiasa mengekori. Lebih kuat pedal minyak ditekannya maka meluncurlah kenari dengan lajunya membelah malam yang semakin memekat.
            Tanpa sedar , kenari akhirnya berhenti di hadapan rumah  teres dua tingkat. Enjin dimatikan. Lama Zuraimie merenung rumah di hadapannya.
“Huh!”. Keluhan berat dilepaskan. Rumah ini adalah lambang  pembohongan. Rumah ini adalah lambang kekecewaan. Rumah ini adalah lambang kesedihan. Rumah ini adalah lambang hati yang memberontak mencari damai. Rumah ini adalah lambang kehampaan dan kelemahan. Rumah ini adalah lambang kekuasaan kedua orang tuanya!.
            Pintu Kenari dibuka. Zuraimie melangkah keluar. Loceng rumah dibunyikan beberapa kali. Tiada jawapan lalu kunci pendua dikeluarkan. Pintu pagar sudah terbuka. Kini pintu rumah pula dibuka. Zuraimie melangkah masuk ... sunyi , sepi ... tiada siapa menantinya di dalam rumah. Lampu di  tingkat atas tidak terpasang , gelap. Segelap hati dan perasaannya. “Mana perginya Hidayah malam-malam begini?”. Fikirnya.
“Mungkinkah dia juga keluar mencari ketenangan?. Huh! Apa yang ku harapkan darinya. Sudahlah hatinya kulukai. Haknya sebagai isteri ku nafikan. Apa lagi yang ku harapkan dengan pulang ke mari?. Harap dia datang memujukku , memberi kata-kata semangat seperti selalu?. Setelah segala luka yang kuberikan padanya?. Huh! Hidayah , maafkanlah abang. Abang berdosa padamu dik”. Keluh Zuraimie. Dia sedar bahawa dia telah berlaku tidak adil kepada Hidayah , adik sepupu yang amat disayanginya.
“Mana mungkin abang sengaja melukaimu dik. Abang sangat sayangkan kamu. Kamu adikku dunia dan akhirat”. Keluhnya ...

Sesuatu yang tidak disangka
            Tiba-tiba perhatian Zuraimie tertarik kepada bunyi  orang berjalan di tingkat atas. Bukan itu saja , Zuraimie turut terdengar bunyi lelaki berdehem kecil.
“Siapa?. Suara siapakah itu?. Apa yang dibuatnya di sini  malam-malam begini. Di atas , di bilik tidur?”. Zuraimie tertanya-tanya , berdebar hatinya dan berderau darahnya memikirkan segala macam kemungkinan.
“Mungkinkah ... perompak telah masuk ke rumah ini. Memukul hidayah hingga pengsan , mengikat kaki dan tangannya , mulutnya disumbat dengan kain  atau mungkin juga ... telah mengapa-apakan Hidayah!. Ya Allah!! Janganlah itu sampai terjadi!!!”. Jerit hati Zuraimie.
             Perasaan ingin tahunya memuncak. Kakinya melangkah laju menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas.Samar-samar cahaya lampu keluar dari bawah pintu bilik tempat Hidayah beradu. Mungkin cahaya dari lampu bilik air yang sedang digunakan. Hati Zuraimie berdebar , dia memberhentikan langkah. Diam berdiri , cuba menganalisa keadaan. Dalam keadaan begini , dia tidak boleh terburu-buru.
“Bagaimana jika perompak itu tidak datang bersendirian , pastinya mereka itu bersenjata. Parang , pisau ... ?. Ah! Mungkin aku perlu menghubungi pihak polis ...”.  Sedang Zuraimie berfikir-fikir , tiba-tiba  terdengar olehnya suara lelaki bersiul , riang saja iramanya.
“Ya Allah! Apa sebenarnya yang telah terjadi?. Mungkinkah ...?”.  Ego lelaki Zuraimie mulai tercabar. Fikirannya mulai memikirkan perkara lain!
“Lelaki mana yang boleh berada dalam bilik tidur isteriku. Isteriku??!”. Persoalan itu singgah sejenak dibenak hatinya.
“Ah! Persetankan soal isteri itu. Tetapi siapa lelaki yang berani masuk ke  dalam rumahku ini!!”. Jerit hatinya lantas kakinya menerjah pintu bilik itu.
 Serentak dengan itu , “Aaaaaaa ....”. Satu jeritan nyaring kedengaran. Hidayah sedang menjerit kuat. Dia benar-benar terkejut dengan kehadiran sesusuk tubuh lembaga yang menerjah masuk ke dalam biliknya.
“Siapa?!”. Jeritnya dan  dengan pantas suis lampu tidur dihidupkan. Maka teranglah ruangan bilik  dan terserlah wajah bengis Zuraimie memandangnyan dengan mata yang tidak berkelip.
“Aa  abang?”. Kata Hidayah tergagap-gagap.
“Siapa lelaki yang bersamamu?”. Tanya Zuraimie , suaranya cukup keras menyebabkan Hidayah kecut perut mendengarnya.
Melihatkan Hidayah yang terus diam terpaku , Zuraimie menerpa dan menendang pintu bilik air. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati seorang anak muda siap bertuala hanya berdiri tegak di dalam bilik air , memandangnya dengan pasrah bagai si pesalah yang sedang menanti hukuman dijatuhkan.
“Kurang ajar!!”. Zuraimie mengangkat tangannya untuk membelasah lelaki yang serakah berani datang bertamu di rumahnya dan mungkin juga telah menjamu isterinya!
“Abang!. Jangan!!. Jangan dipengapa-ngapakan dia bang. Tolonglah bang. Jangan dipengapa-ngapakan dia”. Rayu Hidayah , menangis sambil melutut berpaut dikaki Zuraimie. Zuraimie membatalkan niatnya , tangannya dijatuhkan semula.
“Astarghfirullah al-adhziimmm”. Dia beristighfar , memohon keampunan dari Allah (swt) atas kedayusannya sebagai suami.

Zuraimie terpana
            Zuraimie terpana dengan pengakuan Hidayah dan Saiful , lelaki yang berjaya mengisi kekosongan hati Hidayah setelah diabaikan olehnya.
“Abang , maafkanlah Dayah. Dayah tidak pernah merancang untuk curang terhadap abang. Semuanya salah Dayah sendiri. Dayah tidak kuat mengharungi semua ini. Hati Dayah sakit apabila tidak dihiraukan oleh suami sendiri. Hidayah amat kecewa apabila abang bernikah lain.  Hidup Dayah sepi , sunyi. Hidayah sangka , keputusan Dayah berpindah ke sini akan dapat mengeratkan hubungan kita. Dayah fikir , jika hari-hari kita berjumpa tentu akhirnya abang akan dapat menerima dan mencintai Dayah. Tapi sebaliknya , abang tetap seperti dulu. Abang tetap menganggap Dayah seperti anak kecil yang pernah abang kenali dulu. Dayah sudah dewasa bang. Dayah perlukan seorang suami bukannya seorang ‘abang’ yang menyayangi adiknya”. Hidayah meluahkan perasaannya. Sesekali rambutnya yang jatuh menutupi dahi diselaknya ke tepi.
“Setelah abang bernikah lain , abang lansung tidak menghiraukan Dayah. Sampaikan menjenguk Dayahpun tidak. Kalau bukan ayah Zaman yang menyuruh abang datang ke mari tempuh hari , pasti sehingga hari ini abang tidak akan jejak kaki ke mari. Abang sibuk dengan isteri baru abang , kekasih hati abang sedari dulu. Jadi Hidayah ni siapa bang?. Apa nilai Dayah di hati abang?. Dayah benar-benar kecewa dan sedih. Bagai hilang arah hidup. Setiap saat berendam air mata. Tatkala itulah Saiful muncul kembali. Dia adalah penyelamat Dayah. Saiful sudi mengisi ruang hati Dayah yang kosong ini. Dia sudi menemani Dayah yang keseorangan , menyapu air mata yang mengalir , mencurah sayang pada isteri yang terbiar ini”. Hidayah menghamburkan semua yang terbuku di hatinya. Padanya , semua dosa yang dilakukannya hari ini adalah angkara Zuraimie , suami yang tidak bertanggung jawab! . Maka Zuraimie tiada hak untuk merasa marah dengan tindakannya.
Zuraimie?. Zuraimie hanya terduduk , diam dan tertunduk mendengar pengakuan dan luahan hati Hidayah. Benar , ini semua adalah salahnya. Jika bukan dia yang mempersia-siakan Hidayah dan membiarkannya tanpa bimbingan , semua ini pasti tidak akan terjadi.
“Ah!! Aku memang lelaki dayus!. Suami tak berguna!”. Keluhnya , menyesal dengan apa yang telah terjadi namun ... ‘sesal dahulu , pendapatan. Sesal kemudian tiada gunanya’

Mencari jalan penyelesaian
“Habis , apa rancangan kalian sekarang?”. Tanya Zuraimie , memandang Hidayah dan Saiful bergilir-gilir. Hidayah diam , giginya diketap kuat. Dia tidak pernah berfikir sejauh itu. Dia sendiri belum pernah sempat bercerita dengan Saiful akan hala tuju hubungan mereka.
“Hmm begini bang. Err ... sebenarnya kami berjumpa kembalipun secara tidak sengaja. Kebetulan , kami sama-sama sedang kecewa dan kesepian. Saya sangat kecewa dengan pernikahan Hidayah. Saya membawa diri ke KL dan ditakdirkan jodoh kami memang kuat , tanpa dirancang kami bertemu semula”. Lelaki yang dipanggil Saiful itu cuba menjelaskan.
“Jadi , kaulah kekasih hati Dayah dulu?. Kaulah lelaki yang merajuk panjang dan tidak mampu mempertahankan cinta hatinya?. Huh! Kalau sungguh kau sayang dan cintakan Dayah , masakan baru sekali dihina kau sudah mengalah?”. Zuraimie mencemuh Saiful semahunya. Baginya , tiada guna berkata sayang jika tidak sanggup berkorban.
“Ya abang. Saya mengaku telah melakukan kesilapan paling besar dalam hidup ini apabila membiarkan Hidayah bernikah dengan abang”. Jawab Saiful , mengakui kesilapan diri.
“ Adakah pengakuan kau  itu memberi hak kepada kau untuk meniduri isteri orang?”. Bidas Zuraimie , memandang Saiful dengan mata yang sengaja dijegilkan.
“Err ... tidak bang. Saya bukanlah lelaki yang tidak bertanggung-jawab dan saya juga yakin Hidayah juga bukannya gadis yang tidak baik. Saya benar-benar ikhlas terhadapnya. Lebih-lebih lagi setelah apa yang telah kami lakukan malam ini.  Saya bersedia untuk memikul tanggung-jawab mengambil Hidayah sebagai isteri saya yang sah. Maafkan saya berkata begini , tapi itulah tujuan hidup saya sekarang”. Jawab Saiful , tegas dan penuh yakin. Hidayah tertunduk mendengar pengakuan Saiful , dia terharu dengan kesediaan Saiful mengambilnya sebagai isteri.
“Huh!. Baiklah”. Zuraimie menarik nafas panjang , menenangkan dirinya. Situasi mereka bertiga sekarang adalah sangat janggal. Seorang lelaki meminta izin daripada seorang suami untuk  memperisterikan isterinya!. Lebih janggal lagi kerana mereka bertiga mampu berbincang dengan baik , meluahkan perasaan masing-masing demi mencari jalan keluar yang terbaik buat semua.
“Baiklah Hidayah , Aku , Zuraimie bin Zaman dengan rela hati dan akal yang waras menceraikan dikau , Hidayah bt Razman dengan talak satu”. Bergegar perasaannya menjatuhkan talak buat isteri yang tidak pernah disentuhnya. Menitis air mata Hidayah mendengarnya. Kini sahlah mereka bukan lagi pasangan suami isteri. Maka beredarlah Zuraimie dari rumah teres dua tingkat itu. Namun sebelum meninggalkan Hidayah , adik sepupunya itu , Zuraimie sempat menasihati Hidayah dan Saiful agar tidak lagi berbuat dosa.
“Saiful , setelah cukup edahnya datanglah kau kepada keluarga Hidayah. Lamarlah dia secara terhormat. Bela maruahnya yang telah kau cemar. Sesungguhnya sehingga hari ini dia tetap adik sepupuku yang sangat aku sayangi”.

“Apa?!!!!”
            Keesokan harinya , Zuraimie yang telah menghabiskan malamnya di dalam kereta di hadapan halaman rumah kedua orang tuanya melangkah masuk menuju ke meja makan. Sedia ada di sana ialah kedua orang tuanya , Puan Sarah dan Tuan Zaman bersama anak menantu yang dinafikan haknya , Diah.
“Hah Mie , ke mana saja kau semalaman?”. Tanya Tuan Zaman , memandang Zuraimie atas dan bawah.
“Ya Mie, ke mana kau semalaman?”. Tanya Puan Sarah pula. Sesekali menukar duduk cucunya Raziq yang tidak pernah lekang dari gendungannya. Diah hanya mencuri pandang anak yang amat dirinduinya itu.
“Hmm  tak ke mana. Ada di depan rumah. Mie tidur dalam kereta semalam”. Jawab Zuraimie selamba sambil menjeling Diah yang sengaja terus menundukkan wajah.
“Tidur dalam kereta?. Kenapa?. Apa tak cukup besarkah rumah ayah ni sampai kau nak tidur dalam kereta?”. Tanya Tuan Zaman.
“Huh! Dah isteri tak pandai jada suami , itu yang sampai kena tidur dalam kereta!”. Sampuk Puan Sarah sambil menjeling tajam kepada anak menantunya.
“Mak!”. Zuraimie cuba menegur ibunya.
“Dah memang betulpun. Kalau isteri pandai melayan suami , tak adalah suami sampai tak masuk bilik. Nah! Cuba kau tengok. Sejak kau terpacak di situ ada dia pelawa kau duduk?. Nak layan kau bersarapan pagi jangan haraplah. Air yang dah siap dalam teko ni pun tak dituangkan untuk kau”. Puan Sarah tidak mempedulikan teguran anaknya itu.
“Mak! Sudahlah!”. Kata Zuraimie , cuba mendiamkan ibunya.
“Memang betul pun apa yang aku cakap ni!”. Puan Sarah masih tidak berpuas hati. Diah yang sedari tadi diam sudah mula teresak-esak. Memang benar semua yang dikatakan oleh ibu mertuanya. Memang dia telah tidak melayan suaminya dengan baik. Memang dia bukan isteri yang baik!
“Mak tolonglah. Jangan ditambah lagi masalah kami”. Pinta Zuraimie , duduk di sebelah Diah dan memeluk bahu isterinya itu. Walau sebesar manapun hatinya disakiti oleh Diah , Zuraimie tetap tidak sanggup mendengar ibunya mencemuh Diah.
“Masalah yang kamu cari sendiri Mie , tak ada kena mengenanya dengan mak!”. Jawab Puan Sarah.
“Ya mak , semua masalah yang kami hadapi hari  ini disebabkan oleh kelemahan Zuraimie sendiri”. Zuraimie berkata tegas sambil menegakkan duduknya , memandang kedua orang tuanya dengan wajah yang nekad.
“Sebab itulah Zuraimie harus menyelesaikannya sendiri. Zuraimie telah membuat keputusan”. Zuraimie menyambung kata-katanya. Kedua orang tuanya mengangkat muka serentak dan memandang Zuraimie dengan penuh tanda tanya.
“Mak! Ayah!. Mie sudahpun mentalakkan Hidayah dengan talak satu!!”
“Apa?!!!!!”. Jerit Tuan Zaman dan Puan Sarah serentak. Bukan saja mereka , Diah juga turut tersentak.
“Ada lagi mak , ayah. Nanti setelah cukup tiga bulan , selepas habis edah Hidayah akan berkahwin dengan jejaka pilihannya. Jika MakSu Sofea dan PakSu Razman tak mahu menguruskannya , kami sendiri yang akan menguruskannya sehingga mereka selamat diijabkabulkan!”. Zuraimie berkata dengan penuh keyakinan sambil menggenggam kuat tangan Diah.
Sekali lagi Puan Sarah dan Tuan Zaman termengadah!


Akhirnya

Akhirnya
Kebebasan bersuara
Harapan untuk bahagia
Impian yang dulu  hampa
Rasa seperti kian menerpa
Natijah aku terjaga
Yakin dengan apa yang ku ada
Akhirnya , aku bangun semula

Akhirnya
Aku menjadi lelaki sejati
Punya harga diri
Punya cinta dan rasa
Punya maruah untuk kubela

Akhirnya
Kan ku anyam bahagia
Agar terhampar bahagia
Buat aku dan sidia

 

Puan Sarah dan Tuan Zaman betul-betul terpukul , langsung kelu lidah untuk berbicara. Siapa sangka akhirnya Zuraimie akan engkar , langsung tidak mendengar kata!.
Diah?. Diah juga kelu ... peristiwa dia melukakan hati lelaki yang kini menggenggam kuat tangannya masih basah di ingatan.
“Huh! Sampai bila kau akan mampu bersabar?. Sampai bila harus aku hadapi rasa bersalah ini?”. Keluh hati Diah.

Masih bertapa kukuh rasa itu
Aruhan kenangan cebisan demi cebisan
Antara ruang maya dan realiti nan silih berganti
Fananya insani namun kisah itu masih tetap disitu
Kekadang menghanyut bersama ruang waktu
Apabila lelangit merah mulai hilang ditelan kelam malam
Namamu bagai bertatih menebar jejak-jejak semalam

Aduhai sampai bila jiwa harus merana
Khilaf lalu kisah dulu seharusnya bersemadi  dibawa angin lalu
Usah lagi dikenang apatah lagi dirindu

Kelam malam mengundang rindu
Entah mana mulanya entah bila akhirnya
R esah gelisah bersilih di hati nan sendu
Arah mana harus dilontar rasa ini
Nak ditampung kini tidak terdaya
Atau dilepas bagaikan tak terlepas

Marilah damai selimuti gelora
Eratkan pelukan biar tenang semula
Nyanyikan lagu pasrah pada hati nan resah
Yang merintih itu biar kembali ceria
Andai itukan menjadi nyata
Kelak mampu diorak langkah menuju bahagia
Ikut gembira seisi dunia
Takpun cukup hanya buatku dan dia
Insan-insan kerdil yang mencari cahaya
Menyinari malam kelam hingga mentari menjelma
Untuk sehari lagi mengharungi segala

Maafkan aku kerana menyakitimu ...



Diah berlagu sendu