Popular Posts

Tuesday, 8 July 2014

Aku masih belajar ...



Ini part aku merapu ...heee...

Dalam mengharungi liku-liku kehidupan, berdepan pelbagai onar dan duri, mengharungi saat-saat sukar dan menempuh rencam gelombang perasaan yang menuntut kesabaran ... Layakkah kita mengeluh?

Bila pujian menghujani tiap langkah, kejayaan menemani perjalanan, kegemilangan demi kegemilangan menyinari hari-hari yang berlalu , tawa senda menjadi canda dan halwa hidup ... layakkah kita mendabik?


"Ingat ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk , duri yang akan mengait".

"Ku sangka panas sampai ke petang , rupanya hujan di tengah hari".

"Hujan panas permainan hari , senang susah permainan hidup".

"Disebalik awan kelam pasti ada sinar".


Indahnya susun bicara mengajar manusia jangan terleka. Apa jua laluan kaki melangkah haruslah beringat , jangan sampai tersadung. Kelak jatuh terluka meninggalkan parut membekas. Sampai kapanpun akan terpandang jua.

Lagi pula benarlah pepatah orang tua-tua , langit tidak selalunya cerah dan awan juga tidak selamanya mendung. Andai kau berada di atas, tunggulah hari jatuhmu. Tika kau di bawah selalulah ingat dalam kesempitan pasti ada kesempatan. Kesempatan untuk belajar bangkit semula kerana hidup ini adalah medan pembelajaran yang tak sudah....

Semalam ... Hari ini ... dan Esok ... aku masih belajar ... Belajar erti hidup.




-peace-

"Kalaulah aku boleh terbang dr puncak gunung paling tinggi ....
Melayangkan jiwa membelah awan ... pasti .........






"Aduh! Anak Bangsaku!"

Jam sudahpun mencecah 4:22 petang. Aku baru saja pulang dari sekolah , tentunya singgah sebentar di kedai barangan basah tadi buat membeli barangan yang bakal dimasak untuk juadah berbuka puasa petang ini. Kiranya ini adalah waktu rehatku sehingga jam 5:00 sebelum aku mula menguruskan rumah dan memasak. Inilah rutinku hampir setiap hari ... tidak kiralah ramadhan atau bulan-bulan lainnya. Rutin yang hampir sama. Sibuk dan selalu saja sibuk.
Adakah aku bosan?
Tentunya tidak ... kerana apabila terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan , kita tidak akan sempat memikirkan soal bosan atau tidak. Sejujurnya aku suka kesibukan ini. Ia membuatkan hidupku lebih bermakna.

Sebenarnya ada perkara yang ingin ku tulis dan ku kongsikan dengan sesiapa sahaja yang sudi. Harap ianya memberi manafaat. Perkara yang ingin kucoretkan di sini adalah soal ....

"Aduh! Anak Bangsaku!"
Khamis lepas , dua orang pengawas bertugas mendapatkan aku yang sedang mengajar di makmal Fizik.
Pengawas :"Cikgu , kami nak buat laporan"
Aku          :"Ya. Tentang apa?".
Pengawas  :"Cikgu , ada tiga orang pelajar merokok di tingkat 3 makmal sana. Sorang India dan dua lagi Melayu"
Aku           :"Dalam bulan Ramadhan ini?.Awak cam mereka?".
Pengawas  : "Ya cikgu".

Maka selesai mengajar akupun turun ke bilik disiplin sambil berpesan kepada seorang murid yang kebetulan lalu di situ agar tolong memanggilkan seorang daripada murid tersebut. Sementara menunggu , ku capai rotan yang memang sedia ada di atas meja tugasku. Marah juga rasa hatiku mengenangkan murid islam berani merokok. Sudahlah melanggar peraturan sekolah malah langsung tidak menghormati bulan yang mulia ini , merokok bersama murid India yang beragama Hindu. sungguh memalukan dan menyinggung maruah Islam!.
"Ini sudah terlebih patut dirotan!". Fikirku.

Setelah menunggu beberapa ketika maka muncullah pelajar yang dimaksudkan.
Aku mempersilakan dia masuk sambil memerhatikannya atas dan bawah , cuba membaca 'pembawaan' dan latar belakang murid ini berdasarkan penampilan dan gaya bahasa badannya. Murid tingkatan 4 , kurus dan air mukanya ... air mukanya langsung tiada menunjukkan wajah 'menentang' atau nakal!.

"Hmm ... cikgu tak mahu cakap banyak dan berdolak dalik. Lebih mudah kalau awak jujur sahaja. Apa kesalahan yang awak buat hari ini?" Tanyaku sambil tanganku bermain-main dengan rotan yang kupegang sedari tadi.
"Err ...saya merokok cikgu". Jawabnya tanpa selindung.
"Awak merokok?. Di bulan Ramadhan ini?. Dengan siapa lagi awak merokok?". Tanyaku dengan nada suara yang agak tinggi.
"Dengan .................". Jawabnya. Sama seperti nama yang diberikan pengawas tadi. Maka aku membuat kesimpulan awal bahawa murid ini sememangnya seorang yang jujur. Maka tiba-tiba hatiku menjadi lembut...
"Awak tak puasa?". Tanyaku lagi.
"Puasa cikgu". Jawabnya.
"Habis tu awak hisab rokok?"
"Cikgu , saya tak makan dan minumpun. Saya cuma hisab rokok saja".
"Astarghfirullah ..." mengucap panjang aku jadinya.
"Kalau puasa , bukan saja tak boleh makan dan minum , merokokpun tak boleh juga. batallah puasa kalau awak merokok!". Tambahku lagi. Dia hanya diam , memandang mukaku dengan mata yang terkelip-kelip.
Tergerak hatiku untuk bertanya lebih lanjut , "Pagi tadi awak solat subuh tak?".
"Tak". Jawabnya sepatah.
"Solat-solat lain...awak solat tak?"
"Cikgu , saya dah lama tak solat". Wajahnya serius memandang aku.
"Lama?. .Kenapa?"
"Malas!". Jawapannya ringkas dan padat membuatkan rotan yang kupegang terus ku letakkan balik di atas meja.
"Malas?. Awak dah lama tak solat sebab malas?. Sejak bila awak tak solat ni?. Mak ayah awak tak pernah marahke?". Tanyaku bertalu-talu , bagai tak percaya dengan apa yang ku dengar.
"Entahlah cikgu , dah lama benar. Sejak saya akhil baligh tingkatan dua dulu. Mak ayah saya marah tapi saya memang malas nak solat".
"Astarghfirullah ... maknanya dah dua tahun awak tak solat dan awak langsung takde rasa bersalah. Awak percaya ke neraka tu wujud?"
"Percaya"
"Awak percaya awak nanti akan mati. Masuk dalam tanah.Malaikat mungkar dan nangkir akan menyoal awak?".
"Percaya"
"Awak tak takut Allah murka?"
"Takut".
"Habis tu?".
"Entah cikgu. Saya malas!".
Terdiam aku dengan jawapan itu. Tidak guna aku marahkan dia tentang perbuatannya menghisab rokok di bulan ramadhan ini sekiranya ada perkara yang lebih besar yang perlu ku tangani. Seorang pemuda islam mengaku bahawa dia sudah meninggalkan solat selama dua tahun tanpa sedikitpun rasa bersalah!.

Ya Allah , salah siapakah hingga semua ini terjadi?.

Ibubapa?. Di mana perananmu sebagai penjaga yang diberikan nikmat  membelai dan mengasuhnya  sejak bayi lagi?. Adakah ibubapa kini terlalu sibuk dengan urusan dunia atau mencari makan buat mengisi tembolok seisi keluarga tanpa mengisi kebutuhan imannya?

Ustazah , ustaz  , guru kelas dan guru-guru lain di sekolah?
Mengapa sampai ada anak murid yang sudah dua tahun tidak bersolat langsung tidak dikesan?
Atau terlalu sibukkah kita memastikan peratus pencapaian kurikulum dan kokurikulum sekolah meningkat cemerlang?
Atau terlalu sibukkah kita mengejar pelbagai perkara baru bersesuaian dengan transformasi pendidikan yang kudefinisikan sebagai 'huruhara' ini hingga kita terlepas pandang perkara yang terlebih penting?.(Ops! Huruhara bagiku adalah merujuk kepada implementasi yang ku anggap terburu-buru).

Jawatankuasa masjid? atau AJK Kampung? atau pemimpin-pemimpin pelbagai persatuan dalam masyarakat atau mungkin pemimpin negara?
Kita semua disibukkan dengan apa?. Bagaimana urusan pentarbiahan pembinaan modal insan ini  seharusnya dapat ditingkatkan dan dijadikan agenda penting.
Bayangkan , dalam lima tahun lagi , murid tadi sudah layak membina keluarga. Bernikah dengan gadis pilihannya dan menjadi ketua keluarga. Agak-agaknya ke arah manakah hala tuju keluarganya akan dibawa?.

(Hmm ... aku harus berhenti sekarang. Masa rehatku sudah 20 minit berlalu. Nanti-nanti saja ku sambung).
Aku akhiri setakat ini dengan satu soalan , apakah peranan kita dalam mendidik anak bangsa?.