Popular Posts

Saturday, 28 June 2014

Ramadhan

Ramadhan...

Ramadhan yang mulia,
Semoga kemuliaanmu itu akan turut menjadikan aku insan yang mulia di mata tuhanku.

Terima kasih atas kehadiranmu,
Setahun sudah sejak kali akhir bertemumu dulu. Terasa rindu pada keberkatan yang kau bawa tiap kali hadirmu.

Ramadhan,
Pada kesempatan ini , ingin sekali aku merebut peluang meladenimu dengan mesra dan penuh rasa syukur. Izinkan aku mengucupi dan menikmati kehebatan dan segala kelebihanmu. Merasai damai jiwa yang dijanjikan bersama hadirmu.

Ramadhan,
Hari ini aku berpuasa ...
Moga puasaku kali ini adalah puasa terbaik yang pernah kulakukan sepanjang umurku.
Akan Ku cuba menikmati hangat malammu , menzahirkan rasa cinta pada Nya dengan harapan menggunung tinggi agar cintaku berbalas.
Moga siangku jua tidakku cuaikan dengan sia-sia.

Ramadhan,
Terlalu banyak yang terbuku di kalbu hingga aku tidak mampu melahirkannya dengan lidahku. Namun yakinlah , hajatku tulus menerima kehadiranmu kali ini dengan sesungguhnya kerana aku khuatir jika ini adalah pertemuan kita yang terakhir.

Janji tuhanku adalah benar , bila tiba ajal menjemput tidak akan dilambatkan atau dicepatkan walau sesaat.
Pun begitu ... Itu tidak langsung mendukakan aku kerana aku yakin tuhanku maha mengetahui lagi mengasihi dan sentiasa memberikan yang terbaik buatku.

Ramadhan,
Kalau boleh ku berhajat , temukanlah aku dengan lailatul qadarmu. Malam yang dijanjikan dengan beribu keberkatan. Aku ingin sekali menikmati anugerah itu. Anugerah dari tuhan buat para hambaNya.

Akhir kalam ...
Semoga pertemuan kita kali ini akan memberikan kesan paling mendalam di jiwaku hinggakan pertemuan ini kelak akan mampu menjadikan aku pencinta tuhan yang terhebat di sepanjang baki umurku...

Ya Rob ... Terimalah puasaku ... Terimalah ibadahku ... Terimalah aku...

Yang benar,

-aku-

Thursday, 26 June 2014

Puisi buat aku ...

Antara desiran angin semalam
Wajah suram menahan sepi nan menusuk
Apa yang mengundang resah menekan rasa menggumam
Kiranya malam kini kian terasa gerawan

Sesaat hati terdetak memutik sanggahan
Untuk apa membetah pilu melulu begini berpanjangan
Kian hari kian menyengat bisa nan menular
Alasnya pula ampuh bersendelkan bahu meretak
Resah yang menambun jangankan kepalang
Nah! sukma membentak jaur berculang-caling
Yang gundah kian melantur beribu batu
Apakan upaya kudrat hanya sejengkal

Mataku pejam lantaran jiwa renyah kuselami
Entah mencari daya membangun tugu akur
Lontarkanlah jauh-jauh kesebalan itu
Antara kaca dan permata pasti ada bedanya
Lelopak becak dan mata air yang mengalir
Usah diaduk keduanya hingga melumpur sekelian kekudusan
Ijtihadlah wahai jiwa dalam mencari jalan pulang

Salam buat malam yang kian melarut
Esok mentari pagi kan menyinar semula
Memancar terik membakar rasa pilu itu
Usah peritnya dijadikan jalan menutur alasan 
Andai jiwamu kembali goyah 

Ini di sini kuatkan semangat
Nestapa ini dugaan tersirat beribu hikmah
Ingatan sayang dari yang Maha Mencipta

Aku-peace

Saturday, 21 June 2014

Ketika ...

Ketika ...
Hati leka meladeni rasa rindu
Tuhanmu menyapa lembut
"Rindu itu milik AKU"

Ketika ...
Hati leka mentasbihkan zikir rindu
Tuhanmu menyapa lembut
"Zikir itu milik AKU"

Ketika ...
Hati tertanya , 'Siapakah yang mencantas  bahagia?'
Maka Tuhanmu menyapa lembut 
Bahagia itu kurniaanKu
Maka ianya haqKu untuk mencantas atau merenggut
dari relung hatimu kerana ...
Hatimu itu juga milikKu.

Maka itu ...
Sabarlah wahai sekeping hati
Redha dengan ketentuan Ilahi
Kerna tiada satupun milik kita yang bukan milikNya
Moga bila tiba ketika ...
Kau dan aku kembali kepadaNya
dengan wajah yang tersenyum bahagia ...

"Sesiapa yang percaya akan pertemuannya
dengan Allah (untuk menerima balasan), 
maka sesungguhnya masa yang telah
ditetapkan oleh Allah itu akan tiba 
(dengan tidak syak lagi) dan Allah jualah 
Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

(Al-Ankabuut : ayat 5)
   
Tuesday, 17 June 2014

"Keranamu DIAH" : Bab 26

BAB 26 : DIAH CEMBURU?

Suasana janggal
            Keesokan harinya sewaktu di pejabat , Siti Aina cuba sedaya upaya untuk berlagak biasa. Zuraimie pula asyik tersenyum-senyum setiap kali terpandangkan Siti Aina.
“Kelakar betul minah ni. Tak pernah aku rasa lucu begini”. Fikir Zuraimie. Lebih melucukan hatinya apabila pembantu peribadinya itu jelas ‘hilang gaya’ setiap kali berhadapan dengannya.
“Hmm  aku harus memulihkan keadaan. Kasihan dia kalau terus bekerja dalam keadaan tidak selesa begini. Dia itu pembantu peribadi aku , jadi tidak sesuai jika dia sudah berasa tidak selesa bekerja bersamaku”. Fikir Zuraimie lantas bila tiba waktu  makan tengahari , Zuraimie keluar mengajak Siti Aina dan Lela makan tengahari bersamanya. Pada asalnya kedua pekerjanya itu menolak tetapi terpaksa menhgikut setelah melihatkan kesungguhan bos mereka itu.
“Ini bukan ajak-ajak ayam ni”. Fikir Lela.
“Hmm tak apa kot. Mungkin dia  buat baik pasal hal semalam. Lagipun ada kak Lela. Jadi tak salah ikut “. Fikir Siti Aina pula. Maka mereka bertiga  akhirnya bersetuju untuk mengisi perut di salah satu Restoran di KLCC – ‘Spice of India’.  Masakan hangat berempah , bagai nak memulas perut Siti Aina menahan rasa hangat , pedas kari kepala ikan yang dipesan Zuraimie.
“Banyak-banyak restoran , tempat ini juga yang dipilihnya. Dahlah jauh , mahal dan errgghhh pedas!. Sakit perut aku dibuatnya”. Rungut Siti Aina di dalam hati.
Sebaliknya Lela dan Zuraimie menikmati makan tengahari itu dengan cukup berselera.
“Kalau hari-hari bos belanja makan begini bestkan Aina”. Kata Lela tiba-tiba , tersedak Siti Aina dibuatnya dan Zuraimie hanya tersenyum ...

Hubungan pekerja dan majikan
            Masa berlalu , bermula dengan ketidakselesaan dan pelbagai insiden yang kurang menyenangkan , akhirnya Siti Aina dapat menyesuaikan diri dengan suasana kerja dan kerenah bosnya , Tuan Zuraimie.
Hubungan mereka berdua cukup professional. ‘Urusan pejabat tidak boleh dicampur adukkan dengan urusan peribadi’ sehinggalah suatu hari.
“Mie , masuk ke pejabat ayah sekejap”. Panggil Tuan Zaman.
“Ya ayah”. Seketika kemudian Zuraimie sudah duduk di hadapan  Tuan Zaman.
“Ya , ada apa ayah panggil Mie?”. Tanya Zuraimie.
“Hmm begini. Minggu depan ada  ‘Team building’  aktiviti di Cameron Highland. Hampir semua kakitangan Syarikat akan ada di sana. Ayah sepatutnya ‘joint’ sama tapi kesihatan ayah akhir-akhir ini tidak membenarkan ayah untuk pergi ke tempat-tempat sejuk begitu. Jadi ayah mahu kau gantikan tempat ayah. Cuma untuk hari pertama saja. Kita akan bincangkan sedikit tentang ‘performance’ Syarikat. Alah secara sambil lalu saja sebab aktiviti ini sebenarnya adalah aktiviti tahunan yang sengaja kita atur pada setiap tahun. Tujuannya adalah  agar semua kakitangan dapat berkenalan lebih rapat antara satu sama lain , melepak bersama sambil berehat setelah bertungkus lumus bekerja sepanjang tahun. Bukan lama , tiga  malam empat hari  sahaja. Khamis petang bertolak , balik ke mari hari Ahad”. Jelas Tuan Zaman.
“Hmm tapi rasanya pagi Jumaat tu Mie ada mesyuarat di ...”
“Ah tak apa. Semua mesyuarat kau tu ayah yang akan ganti. Nanti kau suruh pembantu peribadi kau  berurusan dengan Lela. Lela akan update ayah. Kalau agak-agak  boleh ditangguhkan , kita akan tangguhkan”. Tuan Zaman memotong kata-kata Zuraimie.
“Hmm  kalau begitu , baiklah ayah”. Jawab Zuraimie.
“Well , Bos is still a bos!”. Fikirnya sambil berjalan keluar meninggalkan pejabat ayahnya

Syak Wasangka.
            Hari ini hari Khamis. Zuraimie pulang agak awal petang itu. Hajatnya adalah untuk mengemas barangan yang perlu dibawanya untuk program di Cameron Highland nanti. Malangnya setibanya sahaja dia di muka pintu rumahnya , Puan Sarah , ibunya sedang tergesa-gesa keluar rumah sambil mendukung Raziq.
“Cepat Abu , cepat. Panas betul badan budak ni”. Kata Puan Sarah cemas. Langsung tidak dihiraukan anak lelakinya yang tercegat memandangnya.
“Mak! Mak! Apahalnya tergesa-gesa ni?”. Tanya Zuraimie , bergegas mendapatkan Puan Sarah yang sudahpun berada di dalam kereta.
“Eh! Mie dah balik. Mak tak perasanpun. Err ... ni mak tengah risau ni. Raziq demam panas. Dah puas mak tuam kepalanya dengan air asam jawa tapi panasnya tak juga turun. Sudahlah , mak nak bawa dia ke klinik sekarang”. Kata Puan Sarah lalu terus menutup pintu kereta. Seketika kemudian kereta yang dipandu Pak Abu sudah jauh meninggalkan Zuraimie.
“Hishh mak ni. Panik tak tentu pasal. Kenapa tak panggil saja kakak balik tengokkan Raziq?”. Zuraimie  berkata sendiri , hairan dengan sikap ibunya yang kelam kabut.
“Kalau pasal cucu , semuanya sanggup!”. Rungutnya pula. Tiba-tiba Zuraimie teringatkan isterinya Diah , “Anak demam, emaknya buat apa?”. Fikirnya lalu bergegas naik ke tingkat atas.
            Sebaik sahaja Zuraimie membuka pintu bilik , dilihatnya Diah sedang berdiri di muka jendela bilik. Kelihatannya sedang leka memerhatikan sesuatu.
“Hmm ...” . Zuraimie berdehem , sengaja mahu menarik perhatian Diah. Diah menggerakkan kepalanya sedikit ke arah suara Zuraimie tanpa memusingkan tubuhnya yang tegak berdiri.
“Raziq  demam , awak tahu tak?”. Tanya Zuraimie. Diah menganggukkan kepalanya .
“Habis , kenapa tak ikut mak bawa Raziq ke klinik?”. Tanya Zuraimie , hairan.
Diah tidak menjawab , hanya kepalanya sahaja digelengkan perlahan. Zuraimie mulai geram dengan sikap Diah yang langsung tidak mahu menjawab pertanyaannya.
“Awak ni kenapa?. Sejak bila pulak jadi bisu?”. Herdik Zuraimie.  Dia tidak memahami sikap Diah yang seperti tunggul , langsung tidak menunjukkan kebimbangan tentang kesihatan anaknya sendiri. Sudahlah begitu , asyik mendiamkan diri setiap kali ditanya.
            Walaupun sudah diherdik , Diah masih tetap mendiamkan diri. Diah tetap tidak berpaling memandang Zuraimie. Zuraimie jadi hilang sabar lantas berjalan laju ke arah Diah.
“Awak ni!”. Separuh  menjerit sambil tangannya kasar merentap lengan Diah agar berpusing mengadap ke arahnya.
Sebaik sahaja Diah  mengadapnya , Zuraimie tergamam kerana dilihatnya mata Diah sudah membengkak merah tanda dia telah menangis sepanjang hari. Wajah Diah yang memucat pula membuatkan Zuraimie cemas lalu dahi Diah dirasanya dengan belakang tangan.
“Ya Allah Diah , apa dah jadi ni. Badan awak panas sangat ni. Sudah , mari saya hantarkan awak ke klinik”. Katanya spontan sambil terus menarik tangan Diah.
“Tak nak. Tak payah. Saya tak mahu ke mana-mana”. Jawab Diah tiba-tiba. Jawapan yang tidak diduga oleh Zuraimie.
“Diah , sekarang ni bukan masa yang sesuai untuk membantah!”. Serentak dengan itu Zuraimie mengendung Diah secara paksa. Diah diam , dia tidak mampu berbuat apa-apa. Badannya terasa sungguh lemah dan tanpa sedar dia akhirnya terkulai digendungan suaminya.
            Sedar-sedar Diah mendapati dirinya terbaring di  atas katil biliknya. Zuraimie pula sedang sibuk mengelap dahinya dengan kain basah. Sesekali kain basah itu dicelupkan ke dalam mangkuk berisi ais dan diperah sebelum diletakkan semula ke atas kepala dan dahi Diah.
“Lega sikit sayang?”. Tanya Zuraimie sebaik sahaja melihat Diah telah sedar dan sedang memerhatikannya.
“Terima kasih”. Jawab Diah sepatah. Zuraimie tersenyum mendengar penghargaan yang diberikan oleh isterinya itu. Bukan senang hendak mendengar Diah mengucapkan terima kasih kepadanya.
“Abang sayangkan Diah. Maafkan abang kerana telah mengabaikan Diah”. Katanya penuh sesal. Zuraimie bagaikan baru tersedar yang selama ini dia telah mengabaikan isterinya. Melihatkan keadaan Diah sekarang , timbul semula rasa kasih dan cintanya yang kian tenggelam dek pelbagai masalah yang melanda dan menguji hubungan mereka.
Diah hanya tersenyum mendengar kata –kata Zuraimie. Perlahan-lahan matanya dipejamkan semula.
“Hei! Jangan tidur semula. Seharian ini awak tak makan. Ni , kak Biah dah masakkan bubur nasi untuk Diah. Makan ya , abang suapkan”. Zuraimie memaksa Diah untuk bangun semula.
“Perut  yang kosong harus diisi , barulah cepat sembuh”. Katanya lagi lalu mula menyudukan bubur nasi ke dalam mulut Diah. Mahu tidak mahu Diah hanya menurut. Lagi pula perutnya memang betul-betul lapar. Dah lama dia tak menjamah nasi. Tiada siapa tahu yang sudah hampir sebulan dia hanya mengisi perutnya dengan biskut kering yang diambilnya dalam diam dari dapur.
“Oh! Nikmatnya dapat menjamah nasi, walaupun hanya bubur nasi”. Kata Diah dalam hatinya sambil terus mengangakan mulutnya setiap kali Zuraimie menghulurkan sudu ke padanya.
“Hmm laparnya isteri abang. Baguslah , kalau ada selera begini tentu cepat sembuh nanti”. Kata Zuraimie lagi sambil mengucup dahi Diah.
“Abang , Raziq?”. Diah teringatkan anaknya Raziq.
“Hmm baru teringatkan anak?. Hehehe. Dia tak apa-apa. Deman panas sebab campak. Tadi doktor dah sahkan yang Raziq kena demam campak. Agak biasa untuk bayi yang berumur 6 bulan. Jangan risaulah sayang. Pandailah mak menguruskannya”. Jawab Zuraimie. Diah mengangguk-nganggukkan kepalanya.
            Tiba-tiba telepon bimbit Zuraimie berbunyi , “Ya Hello!”
“Oo awak Aina. Ada apa telepon saya malam-malam begini?”.
“Oh! Okey. Terima kasih atas keperihatinan awak. Saya akan bawak sekali nanti. Okey , Jumpa awak di sana malam esok”. Zuraimie mematikan telepon bimbitnya.
Siti Aina , pembantu peribadinya mengingatkannya agar membawa kasut sukan untuk aktiviti ‘team building’ di Cameron Highland nanti.
             Diah yang pura-pura tidak mendengar terganggu dengan perbualan antara Zuraimie dengan perempuan yang di panggil Aina itu.
“Jumpa awak di sana malam esok?. Aina?. Siapa dia?. Kenapa malam esok?. Ada apa pada waktu malam esok?”.  Fikiran Diah dipenuhi persoalan-persoalan yang merosakkan ketenangan perasaan yang baru dirasainya.
“Baru saja nak berbaik sudah begini pula jadinya. Tapi kenapa aku resah?. Kenapa mesti rasa kecewa?. Adakah aku cemburu?. Cemburu?. Kenapa?. Ah! Tak mungkin. Aku tak mungkin cemburu malah aku memang tak perlu rasa cemburu. Aku tak boleh! Tak boleh!. Aku tak boleh rasa cemburu. Kalau Zuraimie mahu mencari yang lain , mahu mencari seribu Aina sekalipun , biarkan. Biarlah!. Aku harus rela kerana aku tidak mencintainya. Aku tidak akan pernah mencintainya.  Ya! Aku tak akan pernah dan tidak boleh  mencintainya. Aku tidak boleh mencintainya kerana aku tidak akan pernah menduakan kau Raziq. Tidak akan Raziq!. Sampai bilapun aku akan tetap setia padamu. Jika di dunia ini kita terpisah , pasti di sana nanti kita akan bersama. Aku akan menjadi bidadarimu di syurga. Hanya kamu!. Hanya kamu Raziq!!”. Diah berperang dengan perasaannya sendiri.
“Huh! Tapi mengapa hatiku masih resah?. Ah! Mungkin kerana aku sedang sakit sekarang ni. Ya , aku sakit dan perlukan seseorang untuk aku berpaut. Seseorang yang dapat memberikanku kata-kata semangat untuk terus hidup dan mengharungi semua ini. Hidup yang bagaikan sudah tiada makna lagi bagiku. Aku  kecewa dengan hidupku ini  ... ahhhhh!”. Keluh Diah dalam diam. Lantas perlahan-lahan matanya dipejamkan rapat-rapat. Diah cuba menafikan rasa sayang yang mulai tumbuh di dalam hatinya. Bukankah cemburu itu tandanya sayang?.
“Sayang dah nak tidur semula?. Kalau begitu abang panggil kak Biah kemaskan pinggan mangkuk ni. Rehat ya sayang”. Kata Zuraimie sambil mengucup dahi Diah sekali lagi.

Zuraimie pergi
            Malam berarak pergi , siang mula menjelma ... berlalu sudah satu hari yang menuntut ketabahan. Diah membuka matanya dengan payah sekali. Kepalanya masih terasa berat. Seluruh sendi badannya pula terasa lemah dan lesu.
“Ah! Kenapa dengan aku ini?”. Fikir Diah.
Dalam kepayahan kedua tangannya ditadahkan ke langit , berdoa bersyukur kerana masih bernafas sehingga ke hari ini. Diah juga berdoa agar kebahagiaan dan kegembiraan sudi menyapanya.
“Eh! Dah bangun isteri abang?”. Sebuah kucupan singgah di dahi Ziah. Itu sahajalah yang boleh dilakukannya , mengucup dahi isteri tercinta. Jika meminta lebih , pasti buruk padahnya!.
Diah membalas sapaan suaminya dengan senyuman , terasa bahagia disayangi. Serta merta hilang rasa berat di kepalanya. Diah rasa lebih bersemangat untuk mengharungi hari ini.
            Diah melangkah ke bilik air , membersihkan badan lalu berwuduk.
“Aku harus bersolat hari ini. Sudahlah semalam aku tertidur tanpa solat isya’. Mujur masih bernyawa.  Jika tidak , mati dalam dosalah aku. Ya Allah ampunilah hambamu  yang lalai     ini ”. Doa Diah setelah siap berpakaian.  Suaminya , Zuraimie sudah tiada di bilik , mungkin sudah turun bersarapan pagi di bawah.
“Awalnya turun”. Fikir Diah.
Tiba-tiba matanya terpaku pada sebuah beg pakaian yang sudah siap di kemas. Sepasang kasut sukan diletakkan di atas beg tersebut.
“Ke mana dia nak pergi?. Mungkinkah ... Ahh!”. Diah memejamkan matanya , meletakkan tangannya di dada sambil memujuk hatinya yang tiba-tiba diserang gelisah.
“Sabarlah diri. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya”. Setelah tenang semula  , Diah menunaikan solat subuh dengan khusyuk. Di akhir solatnya , dalam sujud yang terakhir , Diah berdoa ... memanjatkan harapannya dan memohon ketenangan dan kebahagiaan daripada Allah , tuhan yang Maha Berkuasa. Tuhan yang memegang hati manusia ...
“Ya Allah , ampunilah segala dosa-dosa yang pernah kulakukan dalam hidupku ini. Tunjukkanlah kepadaku jalan yang benar. Tenangkanlah hatiku yang sentiasa dilanda resah dan gelisah”.
“Ya Tuhanku yang Maha Besar , sesungguhnya Kau mengetahui masalah dan bebanan yang kutanggung , berilah kekuatan kepadaku untuk mengharunginya. Jadikanlah aku ini hambamu yang redha dengan segala ketentuan takdir yang telah Kau tulis buat diriku ini”.
“Ya Rab , aku ini tidak mampu melepaskan kenangan silamku namun aku juga tidak sanggup melepaskan apa yang telah menjadi milikku kini maka ya Tuhanku  , kau tetapkanlah hatiku ini agar mampu memilih antara keduanya”.
Usai solat , Diah masih bertelenggu di atas sejadah , memandang beg pakaian suaminya yang sudah siap berkemas. Benaknya berkata-kata sendiri , “Jauh perjalanannya hari ini , rasanya bukan untuk sehari dua. Ke mana agaknya?. Dengan siapa dan mengapa?”. Ingin saja Diah ajukan semua persoalan itu terus kepada Zuraimie tetapi entah mengapa Diah terasa malu yang terlampau sangat , egonya menghalangnya daripada berbuat begitu.
“Ah! Hidung tak mancung , pipi tersorong-sorong. Apa pula katanya nanti. Sibuk mahu menjaga tepi kain orang!”. Diah akhirnya membulatkan hatinya untuk tidak ambil tahu segala aktiviti Zuraimie.
“Buat apa nak sibuk , dia itu bukannya pilihan hatiku. Lagipun , mak dan ayah mertuaku pasti akan gembira kalau anaknya itu keluar bersama perempuan lain. Aku ini bukan sesiapa pada mereka. Hanya melukut di tepi gantang. Hmm ... kalau melukut tu tak apalah juga. Ini lebih dari itu , aku ini umpama duri dalam daging. Hadirnya aku hanya menyemakkan dan menyusahkan hidup mereka. Okey , tak apa. Aku takkan ambil tahu tentang kau. Pergilah ke mana saja yang kau mahu. Berkawanlah dengan sesiapa saja yang kau suka. Jika satu hari nanti kau menemui seseorang yang mampu membuatkan kau bahagia maka pada ketika itu aku pasti akan pergi. Aku akan pergi mencari kebahagiaanku sendiri bersama anakku Raziq”. Kata hati Diah , lama Diah termenung melayan perasaan yang sedang berkecamuk.
            Menungan Diah terganggu apabila pintu biliknya dibuka dari luar. Zuraimie yang sudah siap mengenakan pakaian ke pejabat melemparkan sebuah senyuman kepadanya lalu duduk bertenggung di sisi isterinya. Telekung yang masih tersarung ditanggalkannya , rambut Diah yang bersanggul diurai ... “Hmm cantiknya isteri abangni. Biar abang tatap lama sikit wajah yang abang sayang ni sebab kejap lagi abang akan ke pejabat. Lewat petang nanti abang akan bertolak bersama rombongan pejabat ke Cameron Highland. Ada program di sana. Kalau boleh , abang nak bawa Diah dan anak kita bersama tapi Diah tak sihatkan?. Jadi baik Diah berehat saja di rumah. Jangan lupa makan ubat tau. Nanti abang telepon dari sana”. Zuraimie memberitahu Diah akan pemergiannya. Sekali lagi Dahi isterinya itu dikucup sayang.
“Eh! Masih panas lagi badan sayang ni. Mari , baring berehat di katil”. Zuraimie memimpin Diah ke katil , membantunya untuk baring semula lalu menyelimutkan isterinya itu.
“Bolehke abang tinggalkan Diah dalam keadaan begini?”. Tanya Zuraimie.
“Tak apalah , abang pergilah. Diah okey”. Jawab Diah , terharu dengan keperihatinan yang ditunjukkan Zuraimie.
“Abang risaulah , takut nanti ...”
“Alah! Apa yang nak dirisaukan Mie , bukannya dia tinggal sorang-sorang kat rumah ni!”. Puan Sarah yang kebetulan lalu dan terdengar perbualan anak dan menantunya itu tiba-tiba menyampuk dari luar. Diah dan Zuraimie terkejut dengan sikap Puan Sarah , tiba-tiba saja mencelah perbualan mereka. Timbul rasa menyesal di hati Zuraimie kerana terlupa menutup pintu biliknya tadi.
            Puan Sarah melangkah masuk tanpa diundang , menyentuh dahi Diah dan berpura-pura menunjukkan rasa simpati terhadap menantunya itu.
“Hmm mesti tengah peningkan?. Dah makan ubat?”. Tanya Puan Sarah , berlakon sebagai ibu mertua yang baik di hadapan anak lelakinya. Puan Sarah mahu memastikan Zuraimie tetap pergi ke Cameron Highland , sebab itulah dia mahu menyakinkan anaknya yang isterinya itu akan dijaga dengan baik sedangkan sebenarnya dia menyimpan niat yang serong di dalam hatinya.
“Aku akan pastikan yang kau tidak akan kekal sebagai menantu rumah ini. Daripada bermenantukan kau baiklah aku bermenantukan budak pejabat. Hmm Siti Aina tu pun boleh tahan juga budaknya. Ada rupa ada gaya. Asalkan bukan kau Diah!”. Katanya dalam hati , bagai ular yang menyimpan dendam.
“Hmm Mie , usahlah kau risau. Diah n i demam sikit saja. Leopas ambil ubat tu karang tentu reda panasnya. Lagipun mak dan kak Biah kan ada. Takkanlah kami nak biarkan dia macam tu saja”. Puan Sarah mengusap lembut bahu anaknya.
“Yalah mak. Mie tahu , mak memang ibu yang penyayang. Diah abang pergi ya”. Kata Zuraimie sambil melepaskan tangannya yang sedari tadi menggenggam tangan Diah. Diah hanya mengangguk sambil mengukirkan sebuah senyuman buat Zuraimie.
            Belumpun sempat Zuraimie melangkah keluar , tiba-tiba telepon bimbitnya berbunyi ,“Hello. Ya , saya bercakap”
“Oh! Aina , kenapa?”
“Apa?. Teman serumah awak sakit?”.
“Jadi awak tak ke pejabat pagi ni?. Okey , boleh. Taka pa , awak ambil cuti saja hari ini”.
“Err ... macam mana dengan Cameron Highland?”.
“Jadi awak akan pergi sendiri. Eh! Bahaya memandu waktu malam ke sana sebab jalan tu berpusing mengelilingi bukit”.
“Ooo begitu”.
“Err kalau begitu , kita pergi sama sajalah. Biar saya ambil awak di rumah. Kita pergi lepas kawan awak balik dari kerja. Mungkin pukul lapan , lepas solat maghrib. Okey?. Baiklah jumpa nanti pukul lapan”. Zuraimie menamatkan perbualan teleponnya.
Puan Sarah yang sedari tadi menumpang dengar perbualan anaknya itu mulai tertanya-tanya , ada senyuman tersungging di tepi bibirnya!.
“Ada apa Mie. Aina ada masalah ke?”. Tanyanya , dia memang kenal dan berkenan dengan Siti Aina kerana gadis itu telah melayannya dengan baik sewaktu datang ke pejabat anaknya dulu.
“Ya. Ada sikit masalah kecil. Kawan serumah Aina tiba-tiba demam teruk. Aina terpaksa ambil cuti temankan dia di rumah. Takut terjadi apa-apa jika dibiarkan tinggal sendirian di rumah”. Jawab Zuraimie.
“Habis tu , dia tak ke Cameron ke?”. Tanya Puan Sarah lagi.
“Tulah yang Mie bualkan tadi. Asalnya dia nak memandu sendiri  ke sana malam nanti , bila kawan serumahnya yang sorang lagi tu dah balik dari kerja. Tapi Mie cadangkan kami pergi bersama saja. Pasal dia tu bukannya biasa memandu , kereta tupun bukannya kereta dia tapi kereta kawan dia yang demam tu. Nanti , lepas pejabat dalam pukul lapan , Mie ambillah dia di rumahnya”. Terang Zuraimie dengan panjang lebar.
“Amboi serba tahu ...” Bisik hati Diah , terbit rasa cemburu di hatinya.
“Baguslah begitu. Tak elok ‘anak dara’  memandu sendiri malam-malam hari. Jauh pulak tu”. Balas Puan Sarah sambil menjeling ke arah menantunya. Sengaja perkataan ‘anak dara’ itu ditekankannya.
“Lagipun Aina tu gadis yang baik , datang dari keluarga yang baik-baik. Memang patut sangat kita menolongnya”. Puan Sarah sengaja mahu mengapi-apikan perasaan Diah. Puas hatinya melihatkan perubahan wajah Diah. Wajah Diah yang pucat tadi sedikit memerah. Mungkin kerana berat menahan rasa.
“Hmm Mie pergi dulu mak. Zuraimie mencium tangan ibunya.
“Tolong tengok-tengokkan Diah ya mak. Kalau ada apa-apa nanti , teleponlah Mie”. Pesan Ziuraimie.
“Ya , janganlah kau risau, enjoy  okey”. Balas Puan Sarah.
“Sayang , abang pergi dulu. Jaga diri. Kalau ada apa-apa telepon saja abang. Bila-bila masa saja”. Kata Zuraimie kepada Diah sambil mengucup dahinya sekali lagi. Diah hanya mengangguk perlahan sambil tersenyum kepada suaminya. Puan Sarah memandang perlakuan suami isteri itu dengan rasa meluat dan benci yang membuak-buak.
“Mengada-ngada!. Nantilah kau , tunggu lepas Zuraimie pergi. Taulah aku kenakan kau!”. Katanya di dalam hati.

Puan Sarah menunjukkan taringnya
            Kebencian Puan Sarah terhadap menantunya semakin menjadi-jadi. Diah itu tiada nilai langsung di matanya. Hadirnya Diah dalam keluarganya hanya dianggap sebagai ‘pembawa sial’. Sial kerana hajatnya untuk terus bermenantukan Hidayah , anak saudaranya sendiri punah begitu saja setelah Zuraimie menikahi Diah.
Puan Sarah juga khuatir jika suatu hari nanti dia terpaksa berpisah dengan cucu kesayangannya Raziq gara-gara Diah menuntut haknya sebagai isteri dan ibu.
“Alangkah baiknya kalau kau lenyap terus dari dunia ini. Anakku , cucuku akan pasti tetap bersamaku”. Fikiran jahat mula dibisikkan oleh nafsunya sendiri dan diperindahkan pula oleh syaitan yang sudah tentunya bertekad untuk menyesatkan manusia.
“Hmm apa yang boleh ku buat di kesempatan ini?”. Puan Sarah ,melihat ketiadaan Zuraimie untuk lebih tiga hari itu sebagai satu peluang baginya untuk merencanakan sesuatu.
 “Puan! Puan!”. Tiba-tiba suara Kak Biah memanggilnya menyedarkannya dari lena.
“Ya Allah , bermimpi rupanya aku!. Astarghfirullah al-adzhiimm”. Puan Sarah mengusap wajahnya , memohon ampun daripada Allah (swt) atas ingatan jahat yang bermain di fikirannya dalam lenanya tadi. Sungguhpun Diah itu bukan menantu pilihannya , dia pastinya tidak akan tergamak untuk meruntuhkan masjid yang terbina antara perempuan itu dengan anak lelakinya. Lagi pula , Puan Sarah sangat sayangkan Raziq , cucunya itu. Puan Sarah tidak mahu sekiranya sesuatu berlaku terhadap hubungan Diah dan Zuraimie maka dia akan terpaksa berpisah daripada cucu kesayangannya.
“Kenapa Biah?”. Tanya Puan Sarah sambil memandang pembantu rumahnya itu.
“Tadi masa saya bawakan bubur untuk Puan Diah , badan dia panas sangat. Perlukah kita panggil doktor atau bawanya ke klinik?”. Tanya Kak Biah.
“Eh siapa kau pandai-pandai sangat nak buat keputusan?. Sudah biarkan. Bagi saja ubat yang ada!. Mengada-ngada , demam sikit sudah bising!”. Herdik Puan Sarah.
“Bising?”. Kak Biah bingung , kata-kata Puan Sarah itu ditujukan untuk Diah atau dirinya.
            Lewat petang itu Kak Biah sekali lagi naik ke atas membawa makan malam buat Diah.
“Assalamualaikum!. Puan , ni saya bawakan makanan. Makanlah supaya segera sembuh”. Katanya sebaik sahaja masuk ke dalam bilik Diah.
“Laa , kenapa makanan tengahari tadi tak dijamah?. Macam mana nak baik kalau macam ni puan”. Kata kak Biah lagi.
“Tak apalah kak Biah. Letakkanlah saja makanan di situ. Saya belum ada selera lagi”. Balas Diah ,sambil menunjukkan ke arah meja kecil yang ada di tepi katilnya.
“Tak boleh begitu puan. Bila demam kita memang selalunya tidak berselera tapi untuk segera sembuh kita kena paksa diri untuk makan. Makan ya. Biar kak Biah tolong suapkan. Ni kak Biah masakkan bubur nasi ayam. Sedap ni , puan makan sikit ya”. Pujuk Kak Biah sambil mengambil tempat di sebelah Diah. Kak Biah siap sedia untuk menyuapkan Diah. Mahu tidak mahu Diah terpaksa akur. Kasihan pula dia kepada Kak Biah yang risaukan kesihatannya itu.
“Yalah , saya makan sedikit. Terima kasih kak Biah”. Kata Diah , benar-benar menghargai keperihatinan Kak Biah.
Sesudu , dua sudu ... sehinggalah , “Amboi Biah , dah  tak ada kerja lain sampai kau kena suapkan dia?. Apa tangan dia tu kudung ke?”. Meluap-luap kemarahan Puan Sarah melihatkan Kak Biah melayan Diah sebegitu baik.
“Err Puan , saya ...”
“Sudah!. Pergi turun ke bawah. Banyak lagi kerja yang boleh kau buat. Kalau dah ‘free’ sangat , pergi keluar basuh kereta aku. Sia-sia saja aku gajikan kau kalau kau sibuk nek melayan , menyuapkan dia makan. Demam konon. Demam sampai tak boleh nak makan sendiri?!.  Mengada-ngada. Perempuan tak sedar diri. Bagi betis nak peha!!!”. Jerit Puan Sarah sambil menunjal kepala Diah. Tersembur bubur nasi yang masih belum sempat ditelan Diah.
“Ya Allah! Apa tolol sangat kau ni hah?!”. Jerkah Puan Sarah lagi. Geram betul dia apabila terkena semburan bubur dari dalam mulut Diah.
“Ma maaf mak. Diah tak sengaja!”. Kata Diah tergagap-gagap meminta maaf. Takut dia melihatkan rupa Puan Sarah yang kelihatan begitu bengis. Mata Puan Sarah bagaikan hendak tersembul memandang Diah.
“Maaf kepala otak kau!!”. Balas Puan Sarah lalu menampar Diah dengan sekuat-kuat hatinya. Bubur dalam mangkuk yang belum habis ditonyoh-tonyohkan ke mulut Diah. Sakit mulut dan bibir Diah apabila tepi mangkuk kaca yang keras itu ditenyeh dan dihentak-hentakkan ke mulutnya.
“Mak sakit!”. Diah merayu. Namun rayuannya itu langsung tidak dipedulikan.
“Puan , sudahlah. Semuanya salah saya. Saya yang beria-ia mahu menyuapkan Puan Diah tadi”. Kak Biah merayu , belas sungguh hatinya melihatkan Diah diperlakukan sebegitu rupa. Entah syaitan mana yang telah merasuk Puan Sarah. Rayuan menantunya dan Kak Biah langsung tidak dapat meredakan kemarahannya yang sedang membuak. Hari ini Puan Sarah melepaskan semahu-mahunya segala rasa benci yang membuku keras dalam hatinya.

Puan Sarah tergamam
            Tiba-tiba Puan Sarah tersentak. Tergamam dia untuk beberapa ketika tatkala mendengar namanya dipanggil dengan kuat.
“Mak!! Apa yang mak buat ni?!!”. Jerit Zuraimie lalu meluru masuk mendapatkan Diah. Tangan Puan Sarah yang masih memegang mangkuk yang sudah tumpah semua buburnya ditepis kuat oleh Zuraimie. Mujur bilik itu berkapet jika tidak pastinya mangkuk itu sudah pecah berkecai. Berkecai seperti hati Zuraimie yang amat kecewa dan terkejut dengan sikap ibunya!.
“Mie?. Kenapa Mie boleh berada di sini. Bukan ke ...”. Puan Sarah kehilangan kata-kata. Bagaimana anaknya yang sepatutnya sedang dalam perjalanan ke Cameron Highland bersama Siti Aina kini boleh berada di depan matanya dan telah menyaksikan perbuatan kejamnya.
“Mak , Mie tak sangka mak sanggup buat begini pada Diah. Mak yang Mie sanjung selama ini rupa-rupanya ... kejam!”. Zuraimie terlalu marah dengan apa yang dilihatnya.
            Zuraimie tidak sangka yang ibunya boleh bertindak sejauh itu. Mujurlah dia tertinggalkan dompetnya di rumah pagi tadi. Dia yang sepatutnya sudah dalam perjalanan ke Cameron Highland terpaksa pulang sebentar untuk mengambilnya.  Mujurlah ... jika tidak , apalah yang akan terjadi kepada Diah. Kak Biah yang masih ada di situ menghembus nafas lega , “Ya Allah , sesungguhnya Kau memang Maha berkuasa!”. Ucapnya.
“Mie , mak tak sengaja. Mak , mak boleh jelaskan. Mak boleh jelaskan segalanya , ianya tak seperti yang kau lihat ...”. Puan Sarah cuba mencari alasan sedangkan hatinya menanggung rasa malu yang tidak terhingga. Tembelangnya kini sudah pecah. Apa lagi yang patut dilakukannya?.
“Jelaskan apa lagi mak?. Selama ini mie sanjung mak. Mie sangka mak sanggup menerima pernikahan kami seadanya sungguhpun Diah ini bukan menantu pilihan mak. Selama ini Mie kagumi mak sebagai ibu yang penyayang dan baik. Ibu yang sentiasa menyokong anaknya. Tapi ... rupa-rupanya semua itu hanyalah lakonan! Mie kecewa mak dan Mie betul-betul tak sangka yang mak tergamak buat semua ini ...”. Zuraimie amat sedih dengan apa yang terjadi. Terpampang kekecewaan yang amat sangat di wajahnya.
“Ya!. Mak mengaku dengan apa yang mak buat. Tapi semua ini bukan salah mak sorang. Semua ini berpunca dari kau juga. Kau sendiri tahu yang mak tidak pernah merestui pernikahan kau dengan perempuan ini. Tapi kau degil. Kau nikahi dia juga. Kau ceraikan Dayah.  Kau bawa dia tinggal sebumbung dengan mak dalam rumah ni. Lepas kau semua pergi kerja , tinggal aku saja dalam rumah ni nak mengadap rupa perempuan yang aku benci ni setiap hari. Hati aku ini bagai dirobek-robek setiap kali terpandangkan dia.  Kau kata mak kau ni kejam?. Tapi kau tak sedar yang kau itu lebih kejam lagi kerana membiarkan mak kau yang mengandungkan dan melahirkan kau ke muka bumi ini berhadapan dengan orang yang dibencinya setiap hari. Setiap hari. Kau faham tak?. Sekarang kau bagitahu aku siapa yang lebih kejam sebenarnya , kau atau aku?!”. Puan Sarah mencari akal meletakkan kesalahan kembali kepada Zuraimie.
“Huh?!”. Zuraimie terduduk mendengar kata-kata ibunya itu. Dia tidak menyangka sampai begitu sekali ibunya membenci Diah.
“Baiklah mak. Kalau itulah sebabnya mak tidak berlaku baik terhadap Diah , Mie minta maaf. Mie minta maaf sangat-sangat kerana tidak perihatin dengan bebanan perasaan yang mak tanggung selama Diah tinggal di rumah ini. Jadi demi kebaikan kita bersama , kami akan keluar dari rumah ini malam ini juga mak!”.  Menitis air mata Zuraimie meluahkan kata-kata itu terhadap ibu yang sangat dihormatinya selama ini.
Puan Sarah terdiam mendengar kata-kata Zuraimie , terharu juga hatinya melihat air mata yang menitis di wajah anak lelakinya itu. Namun ada sesuatu yang lebih penting difikirannya ketika ini , “Aku tak pernah menyuruh kau keluar dari rumah ini. Tapi jika dah perempuan ini juga yang kau pilih , terpulanglah. Tapi ingat , walau apapun terjadi , jangan sekali-kali kau bawa cucuku keluar. Apapun terjadi Raziq akan tetap di sini , bersama aku. Selagi ada rasa hormat kau padaku , ibu yang telah mengandungkan dan melahirkan kau ke muka bumi ini , jangan kau bawa cucuku keluar dari rumah ini!”. Kata Puan Sarah sebelum berjalan keluar meninggalkan anak dan menantunya.

Mengapa ibu
Engkau membenci jantung hatiku?
Namanya rupanya kau tiada sebulu
Gusarnya hati ini tidak menentu
Apa lagi mampu kulaku
Padamu kasih padanya rindu
Ah ibuku , aku keliru.

Ibuku ...
Buatmu istana di awan biru
Untukmu permata dipeputih salju
Ku sayangkanmu sepenuh kalbu
Umpama mentari menabiri malam sendu

Sayang  kasihmu  kasihnya tiada bertemu
Aku kini bak musafir yang resah melulu
Yang keliru arah tuju
Aku  yang selamanya mengharap doa restu
Namun masihkah ada doamu untukku
Gusar gelisah hatiku sentiasa memburu kasihmu sayangmu ibuku

Mengapa ibuku sayang?

"Keranamu DIAH" : Bab 25

BAB 25 :       TERASING
            Hari ini , Zuraimie meminta seorang setiausaha peribadi daripada ayahnya. Kerja-kerjanya yang melambak menyebabkan dia kerap kali terlepas perjumpaan-perjumpaan penting yang telah dirancang lebih awal.
“Ayah , Mie rasa dah tak menang tanganlah menguruskan semua perkara”. Zuraimie memulakan bicara.
“Habis , gaji kau bukannya sedikit. Macam mana besarnya gaji yang kau terima  , begitulah tanggung-jawab yang harus kau pikul”. Balas Tuan Zaman dengan selamba. Langsung tiada rasa simpati dengan masalah anaknya itu.
“Bukan begitu maksud Mie ayah”. Zuraimie agak tersinggung apabila ayahnya membangkitkan soal gaji.
“Habis , apa cadangan kau?”. Tanya Tuan Zaman acuh tidak acuh.
“Hmm ... begini , kalau boleh saya ingin mempunyai seorang setiausaha atau personal assistant saya sendiri. Jadi bolehlah dia uruskan temujanji dan jadual harian saya nanti”. Terang Zuraimie.
“Okey. Minta setiausaha Syarikat uruskan perkara itu. Ayah tak ada halangan”. Tuan Zaman memberikan persetujuan. Sebenarnya Tuan Zaman amat berpuashati dengan mutu dan  kerja anak lelakinya itu. Semua tanggung jawab yang diberi , pasti dilaksanakan dengan baik. Dia kini sudah boleh bersenang hati melihatkan perubahan sikap Zuraimie yang tekun dan serius bekerja.
“Mungkin perkahwinan telah mematangkannya”. Fikir Tuan Zaman. Dalam diam dia mengagumi Diah , menantunya yang telah mengubah sikap acuh tidak acuh anak lelakinya itu. Kalau dulu , amat susah untuk mengajak anaknya itu bekerja dalam Syarikatnya. Kini , anaknya itu sudah lebih daripada sedia untuk mengambilalih tempatnya.
“Hmm ... akhirnya aku sudah boleh berehat. Tak sangka , lebih awal dari yang kujangka”. Katanya sendiri sambil tersenyum panjang.

Perkenalan
            Tidak lama selepas bercakap dengan ayahnya , Zuraimie sudah dibekalkan dengan seorang pembantu peribadi. Pagi itu Zuraimie agak terkejut  sebaik sahaja masuk ke dalam bilik pejabatnya dan mendapati seorang wanita awal tiga puluhan siap menyambutnya di muka pintu.
“Selamat pagi tuan. Er ... saya Siti Aina , pembantu peribadi tuan yang baru”. Siti Aina memperkenalkan dirinya.
“Oh ya. Saya terlupa. Semalam Lela , setiausaha Syarikat ada maklumkan tentang kehadiran awak hari ini. Hmm ... satu lagi , awak bukan pembantu peribadi saya yang baru. Awak adalah penyandang jawatan ini yang pertama”. Balas Zuiraimie membetulkan kenyataan Siti Aina sebelum berlalu menuju ke meja kerjanya.
“Err ...  Saya rasa lebih baik awak duduk di luar bilik pejabat saya ni. Mungkin itu lebih selesa bagi awak”. Kata Zuraimie sambil mengerling ke arah meja tambahan yang baru dipindah masuk ke dalam bilik pejabatnya.
Siti Aina mengerutkan dahinya. Dia tidak dapat menangkap maksud di sebalik kata-kata bos barunya itu. Melihatkan keadaan Siti Aina yang agak kebingungan , Zuraimie segera menekan butang intercom , berhubung terus dengan setiausaha Syarikat.
“Lela , tolong masuk sekejap”. Arah Zuraimie dan beberapa ketika kemudian , Lela sudah tercegat di sebelah Siti Aina.
“Tolong bawa meja ni keluar. Susunkan agar Siti Aina boleh duduk setempat dengan pekerja lain. Jadi bolehlah awak tunjuk ajar dia mana yang patut”. Arah Zuraimie sambil memandang wajah Lela dan Siti Aina sepintas lalu.
“Huh! Sombongnya dia ni. Macamlah aku ni terhegeh-hegeh sangat nak duduk sebilik dengan dia!”. Kata Siti Aina  di dalam hati. Dia agak tersinggung dengan sikap Zuraimie.
“Baik tuan. Sekarang juga saya uruskan”. Jawab Lela lalu memanggil budak pejabat untuk mengangkut keluar meja dan kerusi Siti Aina. Siti Aina pula segera mengambil semua peralatan dan tas tangannya , beriringan dengan Lela keluar dari ruang pejabat bosnya itu.
“Hmm ... sorrylah Siti , bos kita tu memang begitu. Jangan ambil hati okey”. Kata Lela , memahami ketidak selesaan Siti Aina pada ketika itu.
“Hmm Tak apa. Lagipun dia tu bos. Kita ikut saja apa yang dia nak. Err ... lagi satu. Panggil saja saya Aina , rasa lagi mesra”. Balas Aina.

Tugas pertama
            Banyak perkara yang Siti Aina buat untuk bosnya hari ini , dari menyusun jadual , menetapkan tarikh dan masa temujanji sehinggalah membancuhkan teh tarik buat bosnya.
Menjelang petang barulah dia dapat berehat , itupun setelah Zuraimie  bermesyuarat  di luar.
“Hmm ... macam mana hari pertama bekerja?”. Tanya Lela , memandang Aina dengan senyuman penuh makna.
“Errgg!”. Aina membuat isyarat dengan jari , memenggal lehernya sendiri.
“Macam nak pengsan!. Lega , dia dah keluar!. Hehehe”. Aina tertawa kecil.
“Dah namanya kerja. Kita nikan ‘kuli’ bos. Terpaksalah ikut rentak bos”. Balas Lela sambil meneruskan kerjanya.
“Yalah kak. Err kak , boleh tanya sikit?”.
“Yup! Ada apa?”. Lela menghentikan kerja lalu memusingkan kerusi mengadap Aina.
“Err ... tapi akak jangan salah sangka tau. Saja nak tahu. Hmm ... Tuan Zuraimie tu dah kahwin ke belum?”. Tanya Aina.
“Hmm  pasal status. Rasanya dia tu pernah kahwin dulu. Cuma sekarang ni tak tahulah”. Jawab Lela lalu berpusing kembali mengadap kerja-kerjanya yang masih melambak. Dia sebenarnya tidak suka mahu membicarakan hal peribadi orang lain pada waktu kerja.
“Huh! Mengganggu saja!”. Katanya di dalam hati.
Aina yang masih mahu bertanya itu terpaksa memendamkan niatnya setelah melihat reaksi Lela yang tidak berminat untuk melanjutkan perbualan tentang Tuan Zuraimie.
“Tak nak bagi tahu tak apa. Aku boleh cari sendiri. Akukan pembantu peribadinya!”. Fikirnya  lagi sambil mengerling ke arah Lela yang sudah kusyuk menaip atau mungkin juga pura-pura kusyuk menaip!. “Urusan peribadi dan urusan pejabat tidak boleh  dicampuradukkan!”.Rungut Lela perlahan.
            Tepat jam 6:30  petang , Aina mengemaskan mejanya untuk pulang. Lela telah lebih dahulu angkat kaki tepat jam 5:45 tadi. Sengaja Aina menunggu sebentar di pejabat  , berharap hujan lebat di luar akan segera teduh.
“Huh! Hari pertama kerja dah kena berhujan”. Rungutnya setelah meninggalkan bangunan pejabat. Aina  yang berpayung ,  berjalan laju menuju ke perhentian teksi.
“Nama saja berbumbung “. Rungut Aina merujuk kepada pakaiannya yang mulai basah terkena tempiasan hujan yang mencurah lebat. Aina berdiri sambil  memandang ke arah jalan raya. Matanya tercari-cari teksi kosong yang boleh membawanya pulang.
            Tiba-tiba , sebuah kereta Honda Hitam berhenti di hadapannya. Seketika kemudian , cermin tingkap diturunkan.
“Siti Aina , naiklah”. Terdengar satu suara dari dalam kereta mempelawanya  masuk. Aina menundukkan kepala memandang siempunya suara.
“Eh , Tuan. Tak apa , saya tunggu teksi sahaja”. Jawab Aina , tidak selesa mahu menumpang kereta bosnya. “Naik kereta dengan bos yang berlagak?!. Eeeuwww ... tolonglah!”. Kata Siti Aina di dalam hati.
“Hujan ni. Lagipun awak tinggal satu jalan saja dengan saya. Marilah naik , lebat hujan ni”. Bersungguh-sungguh Zuraimie mengajak Siti Aina.
“Naiklah , mahu sampai besok hujan ni tak reda. Cepatlah naik , lagi lama awak berdiri di situ mahu lencun awak dibuatnya”. Kata Zuraimie lagi.
“Err ... baiklah. Terima kasih”. Melihatkan kesungguhan Zuraimie mempelawanya , Aina tidak mungkin boleh menolak. Terlalu tidak sopan kalau dia tetap mahu menunggu teksi pada waktu-waktu terdesak begini.
“Terima kasih sebab sudi tumpangkan saya”. Aina berbahasa.
“Hmm ... tak apa. Kebetulan saya lalu sini. Kenapa lewat sangat balik?. Bukankah tadi saya dah beritahu yang awak boleh balik pukul 5:45 petang , sama macam pekerja lain”. Tanya Zuraimie.
“Err betul. Saya ingat nak tunggu hujan reda sikit. Mana nak tahu rupanya hujan sampai ke sudah”. Jawab Aina.
“Hmm ... macam mana tuan tahu yang saya tinggal satu  jalan dengan tuan?”. Tanya Aina , agak ragu-ragu.
“Oh tadi saya sempat baca biodata awak. Itu yang saya tahu alamat tempat tinggal awak”. Jawab Zuraimie selamba.
“Ooo... minat gak nak tahu pasal aku. Ingatkan kayu , takde perasan!”. Fikir Siti Aina sambil tersenyum.
“Awak tinggal dengan orang tua atau rumah sewa?”. Tanya Zuraimie lagi. Dia masih ingat akan status Aina yang dibacanya pagi tadi , ‘Belum Berkahwin’.
“Saya tinggal di rumah sewa bersama tiga orang lagi rakan serumah”. Jawab Aina , mulai rasa tidak selesa apabila Zuraimie terlebih ramah dengannya. ‘Urusan pejabat jangan dicampurkan dengan urusan peribadi’. Itu juga adalah prinsipnya.
“Hmm kalau boleh saya tahu , kenapa masih sendiri?. Bukankah pada usia begini awak sudah layak bergelar isteri?”.Wah! Zuraimie sudah terlebih ramah!
Soalan Zuraimie itu bagaikan petir kilat yang memanah jantung Aina. Aina sudah muak malah terlalu muak mendengar soalan itu apatah lagi mahu menjawabnya.
“Huh! Nasiblah kau ni bos. Kalau tak mahu saja aku bahasakan kau!. Banyak-banyak soalan , tak de soalan lain ke yang kau nak tanya?. Lagi-lagi benda yang sama!”.
“Bila kau nak kahwin Aina?”
“Bila lagi Aina?”
“Bina nak makan nasi minyak?”
“Kau ni terlalu memilih ke?”.
“Takkan tak ada yang berkenan?”
“Jangan sampai jadi andartu!”
“Jangan bujang sampai ke tua!”
“Jangan mati dengan status ‘solo’!”
Semua pertanyaan dan sindiran seumpama itu sudah menjadi sekam di hati Aina. Aina sudah bosan menghadapinya. Kalau boleh mahu saja dia menjerit , memberitahu mereka yang tidak pernah faham  , “Soal jodoh itu semua kerja Tuhan!!!!!”. Jerit Aina tiba-tiba.
Tersentak Zuraimie mendengar jawapan itu lalu secara tidak sengaja dia telah menekan brek dengan sekuat-kuatnya. Kereta terhenti serta merta. Aina dan Zuraimie terhumban ke hadapan. Sakit dada mereka tersentap tali pinggang keselamatan. Mujurlah tiada kereta di belakang. Jika tidak sudah pasti Honda hitamnya disodok kereta di belakang.
“Eh! Maafkan saya Tuan. Saya betul-betul tak sengaja!”. Aina mulai rasa bersalah , malupun ada.
“Er ...  tak apalah. Saya turun di sini saja”. Katanya lagi lalu segera menanggalkan tali pinggang keledar sebelum  cuba membuka pintu kereta.
Spontan dengan itu , Zuraimie menarik tangan Aina  menghalangnya  daripada melangkah keluar. “Tak apa. Tak payahlah keluar. Hujan masih lebat. Biar saya terus hantarkan awak. Lagipun bukan salah awak. Saya yang bertanya di luar batasan”. Kata Zuraimie. Aina akur. Dia sebenarnya sudah terlalu malu dengan insidennya menjerit tidak tentu pasal. Merah pipinya menahan rasa. “Bodoh! Bodoh! Bodoh!”. Kata hatinya berulangkali.
 Mereka akhirnya diam seribu bahasa hingga ke destinasi masing-masing.

 Mereka akhirnya diam seribu bahasa hingga ke destinasi masing-masing...