Popular Posts

Thursday 22 December 2016

Novel 2 : Selepas Hujan Bab 14

BAB 14  :      BAHAGIAMU DERITA BAGIKU
Lukis jea ... hari ini juga adalah cebisan2 episod daripada sebuah naskah kehidupan.


Kamal tidak peduli ...
         Petang itu Kamal kembali berakit menyusuri sungai memudik ke muara. Sengaja rakitnya dibiarkan hanyut dibawa arus yang mengalir laju. Bertinggung sambil matanya tajam memandang riak-riak air dan telipuk yang berbuai-buai dipukul arus.
Sesekali air deras sungai memercik membasah ke tengah rakit. Kamal tidak peduli ...
Basah sudah kaki seluar yang dipakai , juga Kamal tidak peduli ...
Panggilan ibunya tadi sebelum dia merajuk pergi juga tidak dihirau ... dia betul-betul sudah tidak peduli.
“Ahh!! Persetan mereka semua!!!”. Bentaknya.
“Persetan kamu semua!!!!”. Jeritnya kuat. Habis terperanjat monyet- monyet yang bertenggek di dahan-dahan pokok sepanjang sungai itu. Marahnya Kamal tidak terbendung lagi. Mana tidaknya , bunga dipuja disunting orang!.
“Kamal...”. Sayu ibunya memanggil.
“Sudahlah tu nak. Bukan jodoh kamu. Lupakanlah dia. Lagipun siapalah kita ni nak berkeluarga dengan mereka”. Pujuk ibu tua itu. Sayu hatinya memandang satu-satunya pengarang jantungnya kini terluka.
“Tidak mak!. Kamal tidak boleh terima takdir ini begitu saja!!”. Bentak Kamal.
“Habis?. Apa lagi yang dapat kau buat. Mereka sudahpun selamat bertunang”. Kata ibu tua , sedaya upaya cuba membuatkan puteranya itu faham.
“Mak , alangkan sudah berkahwinpun lagikan bercerai , inikan pula baru bertunang!. Mak tolonglah Kamal , pinangkan Ziah untuk Kamal”. Desak Kamal keras sambil menggenggam dan menggoncang-goncangkan tangan ibunya itu.
“Kamal!. Jangan kau berbuat bodoh nak. Haram meminang tunangan orang. Lagipun takkan mahu mereka itu memandang kita ini. Sudahlahtu Kamal ... kita cari saja gadis yang lain. Bukan tidak ada gadis di kampung ni yang setaraf dengan kita . Lupakanlah dia. Nanti mak pinangkan gadis lain , ya nak?”. Pujuk ibu Kamal. Hati tuanya terhiris dalam melihatkan kekecewaan anaknya itu.
“Ahh!!. Bukan mereka yang Kamal mahu mak. Kamal mahukan Ziah!. Kamal cintakan Ziah!!. Kamal mahu Ziah!!!”. Kamal tidak mahu mendengar cadangan ibunya itu.
“Tapi Ziah itu tidak mahukan kamu. Dia sudah ada pilihannya sendiri!”. Balas ibu tua.
“Tidak mak!. Ziah itu keliru. Kamal tahu , dia sebenarnya juga mencintai Kamal. Cuma ...”.
“Cuma apa nak?. Sedarlah Kamal , janganlah kamu bermimpi di siang hari. Kelak dirimu yang binasa nak”. Rayu dan nasihat ibu tua.
“Mak , mengapa mak tidak percayakan Kamal?. Mak tahu tak , Kamal lebih dahulu mengenali Ziah daripada Anip. Dulu ... sewaktu dia baru berpindah ke mari , Kamallah kawan dia. Kamallah yang jadi tempat dia mengadu segala kesusahan dan kesedihannya di perantauan. Kamal benar-benar yakin , Ziah sebenarnya sedang keliru. Mungkin juga dia terhutang budi kerana mereka telah memberi tumpang kepadanya”. Kamal berkata perlahan. Terdiam ibu tua mendengar kata-kata anaknya itu.
“Mengapalah kita ni hidup miskin melarat seperti ini. Kalau kita ni berada , tentu berbeda nasib kita. Ziah pastinya akan dapat menumpang di sini. Pasti yang bertunang itu adalah kami berdua”. Kamal meratapi nasibnya. Menitik air mata ibu tua mendengarnya ...
Sebaik saja berkata begitu Kamal terus berlari ke sungai , mencampakkan rakitnya lalu mula berakit. Ibu tua yang sedang kesedihan berlari mendapatkan anaknya itu.
“Kamal! Kamal!. Sudahlah tu nak. Jangan diturutkan hati yang kecewa!”. Pujuk ibunya dari pinggir sungai. Namun terlambat , Kamal sudah tidak peduli. Dia berakit terus ...
          Rakit beralun , berbuai mengikut ritma arus  , bergerak laju bersama air sungai yang mengalir deras. Akhirnya melewati kawasan kebun milik cikgu Karim. Kamal memanjangkan leher , mencari-cari bayangan Ziah. Hampa ... mana tidaknya , sekarang ini Ziah sedang seronok di kampung halamannya , menghabiskan saki baki cuti pertengahan penggal sekolah bersama status dirinya yang sudah berubah. Dulu seorang gadis biasa , Ziah kini tunangan orang.
“Huhh!! Ke mana perginya kamu?!. Tidakkah kau tahu betapa rindunya hati ini?”. Kamal kecewa. Rindu ... terluka. Luka hatinya bagaikan tidak mungkin akan sembuh

Harapan seorang ibu tua ...
        Kamal mengeluh panjang , ingatannya berlegar pada kenangan – kenangan manis antaranya dan Ziah. Guru baru kampungnya itu sungguh anggun dan ayu pada pandangan matanya. 
Bukan saja dia malah ibunya turut berpandangan sama.
Sejak Ziah datang bertandang ke rumah mereka tempohari , tidak habis-habis dia dan ibunya memasang angan agar suatu hari nanti guru muda itu akan menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.
“Untuk bakal menantu mak!”. Usik ibunya.
“Heeeee ...”. Kamal merenyih panjang apabila disuruh ibunya menghantarkan pengat pisang yang baru sahaja siap dimasak kepada Ziah.
“Jauh tu mak. Penat Kamal kena menolak rakit”. Kamal sengaja menguji.
“Alah! Tak da jauhnya sekolah tu. Kan kau selalu mencari etok di sana?”. Balas ibunya sambil terus menyuakan pengat pisang yang dibungkus kemas.
“Hmm ... yelah mak. Kamal ikut saja”. Jawab Kamal.
“Hah! Macam tulah calun suami yang baik!”. Kata ibu itu lagi. Senyuman tak lekang dari bibir tuanya yang sudah mengedut itu. Terbayang wajah Ziah yang manis ayu itu. Bangga hatinya kerana semiskin-miskin dirinya masih mampu bermenantukan seorang guru.
“Kamal! Kamal! Kamu memang anak yang bertuah!”. Katanya sendirian.
“Huhh!!”. Kamal mengeluh lagi. Belas benar hatinya membayangkan wajah tua ibunya yang kecewa. Harapan menggunung tinggi untuk bermenantukan seorang guru kini pecah berderai. Kamal sedih ... “Maafkan Kamal mak!!”. Katanya dalam esakan. Mengalir sudah air mata jantannya ... maka beralunlah suara hati ...

Kejamnya hatimu mengguris hatiku
Engkau bahagia aku yang musnah
Jatuh terperangkap dalam duri cintamu
Angkara apa segalanya punah?
Meratap menghiba ke mana  dituju
Nostalgia indahmu  membusung nanah
Yang tiada peri membusuk di kalbu
Apakan daya impianku musnah ...

Kapan kita kan bertemu muka
Akan ku luahkan segala  terpendam
Mungkin kelak kaukan sedar aku terluka
Uraian  kasih  menjadi dendam!

Ziah!  Tidak cukupkah cintaku?
Inikah balasan kasihku padamu
Ahh! Mengapa ku masih  menunggu
Harap senyummu masih buatku?!

Kejamnya Kamu Ziah!!!

  
“Huhh!!”. Keluh Kamal lagi. Sudah terlalu banyak dia mengeluh hari ini. Sejak berita pertunangan Ziah itu sampai ke telinganya. Tiba-tiba angannya terputus apabila rakitnya bergoyang kuat setelah  terlanggar sebatang batang pokok yang tumbang ke sungai.
“Sial kau kayu!”. Katanya sambil menolak jauh batang pokok itu menggunakan kemudi buluhnya. Batang kayu itu menjauh. Rakit terus bergerak laju. Matanya tertumpu pada batang kayu yang kian menjauh ... “Penghalang harus dimusnahkan!”. Fikirnya!
“Ah! Alang-alang mandi biar basah!”. Katanya tiba-tiba membulatkan tekad. Kamal mula menyusun strategi ...
“Aku akan berjumpa dengannya , berlakon bagaikan tiada apa yang pernah berlaku ....
Ah! Tidak! Tidak!. Bagaimana kalau dia sudah tahu bahawa akulah lelaki itu?. Lelaki yang pernah cuba menodainya dulu?. Tentunya dia akan menolakku mentah-mentah.
“Ah! Mana mungkin. Dia sudah pengsan waktu itu”. Fikirnya pula.
“Uh! Bagaimana jika Anip sudah membuka mulut?” Bisik hatinya.
“Tentu tidak. Jika benar tentu aku sudah ditangkap polis!”. Kamal berperang dengan dirinya sendiri.
“Atau ... jika perlu aku berterus terang sahaja padanya. Aku tidak berniat jahat. Semuanya itu terjadi kerana cintaku yang mendalam kepadanya. Pastinya aku akan bertanggung-jawab. Kami akan berkahwin dan hidup sebagai suami isteri yang bahagia”. Fikirnya lagi.
“Ahh!! . Masakan Ziah sanggup menerimaku”. Bisik hatinya , ragu.
“Mengapa tidak?. Ziah mesti memaafkanku. Aku hanyalah seorang lelaki yang sangat terdesak. Cintaku bakal disambar orang!”. Cuba menyakinkan dirinya sendiri.
“Ya! . Aku adalah lelaki yang terdesak. Dan Anip adalah si pendesak itu. Sial kau Anip!!!”. Jerit Kamal tiba-tiba. Kemudi buluh dihentakkan ke muka sungai. Habis memercik air sampai ke tengah rakit.
“Ziah!. Mengapa mudah benar kau melupakan aku?. Sudah lupakah kau segala kenangan yang kita lalui bersama?. Tatkala itu teringat olehnya peristiwa yang berlaku antara mereka pada suatu petang ...  
Xxxxx
“Cikgu Ziah!”. Panggil Kamal
“Eh!. Kamal. Tak payahlah panggil cikgu. Kita kan kawan. Panggil Ziah saja sudahlah”. Balas Ziah sambil tersenyum manis.
“Dari mana?. Tiba-tiba muncul di sekolah?”. Tanya Ziah pula.
“Dari rumah. Datang sini nak jumpa dengan Ziah. Boleh?”. Jawab Kamal.
“Hmm ... macam ada hajat je. Kebetulah hari ni Ziah stay lama sikit dekat sekolah sebab Miah ada ko-kurikulum petang ni. Pakcik Karim akan datang ambil kami sekali nanti petang karang. So , sekarang ni Ziah tengah free. Kira Kamal ni langkah kananlah”. Ziah berkata sambil tersenyum.
“Hmm ... apa hajatnya  ya?”. Tanya Ziah sambil melirik ke arah Kamal. Sengaja bahunya disendengkan ke arah pemuda ini. Berdebar hati kamal melihatkan gaya Ziah yang manja ...
“Err ... boleh kita duduk di mana-mana?. Mungkin di kantin?”. Tanya Kamal sambil menunjukkan kea rah kantin sekolah. Ziah mengangguk dan mereka berjalan beriringan ke  kantin. Setelah mengambil tempat Kamal mula menyatakan hajatnya.
“Err ... begini Ziah. Saya sebenarnya nak tunjukkan sesuatu kepada Ziah. Tapi ... rasa seganlah pulak”. Kamal tersipu.
“Laa ... apasal pulak nak segannya. Kitakan kawan. Apa dia tu ... tunjuklah”. Ziah menggalakkan.
“Errr ... ya”. Kata Kamal sambil membuka fail kertas yang dibawanya. Ziah teruja untuk melihat isi di dalamnya. “Apalah agaknya yang nak ditunjukkan Kamal ni?”. Fikir Ziah di dalam hati.“Ini , Ziah”. Kata Kamal sambil menghulurkan helaian-helaian kertas yang sudah bertulis di atasnya.
“Eh! Apa ni ... sajak?. Hasil karya Kamal sendiri?”. Tanya Ziah . Kamal tersenyum mengangguk. “Cinta ini ...”. Membaca tajuk karya yang ditulis Kamal.

Cinta ini ...

Cinta ini ...
Memerah bak mentari senja
Indahnya tak tergambar di kain kanvasku
Cinta ini ...
Sesejuk salju kutub
Memutih memenuhi ruang benakku
Halus ... mulus ... mendamai jiwa
Cinta ini ...
Sepanas mentari menyinar
Hangat membara di sanubariku
Dan demi cinta ini ...
Aku ke mari
Kembali mengatur langkah kakiku
Meninggalkan jauh jejak silamku
Kernaku tahu ...
Kau hadir di sini!


“Hmm ... ‘gadis itu’ ”. Tajuk karya Kamal yang kedua.
Gadis itu ...
Berjalan tunduk malu memandang tanah
Tiada berani mengangkat wajah walau sesaat
Langsung tak diendah orang yang memandang

Gadis itu ...
Telah punah semangat jiwanya
Dek nafsu serakah insan celaka
Yang seharusnya memberi sinar
Tapi rupanya membuat onar

Gadis itu ...
Bagaimanakah kini untung nasibnya
Masihkah ada pemuda gagah yang sanggup memungut
Kembali memulih harga dirinya
Yang sudah lama dirobek dihenyak
Menjadi bahan caci  hina

Gadis itu ...
Siapakah yang sanggup
Tampil menjernih wajah
Menangkis segala tohmah
Menghulur tangan memimpin jalan
Bersama mencipta mengukir bahagia ...

Gadis itu ...


“Hmm ... dalam maknanya ni. Pandai juga awak berpuisi , ya Kamal”. Puji Ziah , ikhlas.
“Heee ... sikit-sikit bolehlah . Saya sebenarnya nak Ziah beri pendapat sikit tentang puisi-puisi yang saya buat tu. Kalau elok kata Ziah , saya ingat nak hantar pada mana-mana Syarikat penerbitan majalah. Tidakpun saya hantar saja ke surat khabar tempatan. Manalah tahu ... dapatlah juga menambah pendapatan”. Terang Kamal.
“Bagus tu. Karya-karya awak ni tak kurang hebatnya. Saya yakin kalau awak betul-betul serius pasti satu hari nanti awak akan dikenali”.Balas Ziah.
“Eh!. Jauh lagi tu Ziah. Saya memang nak serius dalam berkarya ni. Saya nak berkarya ni bukan kerana minat semata-mata tetapi yang penting ialah saya mahu jadikannya sebagai sumber pendapatan. Sebagai kerjaya utama saya. Ziah pun tahukan , kerja kampung macam saya ni berapa sangatlah yang dapatnya. Kais pagi makan pagi , kais petang makan petang. Kalau berterusan begini , sampai bila-bila pun nasib saya tidak akan berubah”. Jelas Kamal.
“Betul tu Kamal. Saya sokong keputusan awak tu. Mula-mula awak hantarlah karya pada mana-mana saja syarikat penerbitan , tempah nama dulu. Biar orang kenal. Lepas tu bila orang dah kenal bolehlah karya-karya itu dibukukan. Kemudian-kemudian nanti , bila buku dah banyak terjual bolehlah buka syarikat penerbitan sendiri!”. Ziah berkata girang , membayangkan kejayaan yang bakal diraih oleh Kamal.
“Bak kata pepatah , di mana ada usaha , di situ ada jalan”. Ziah mengakhiri celotehnya. Kamal tersenyum mendengar kata-kata Ziah yang penuh semangat itu.
“Hmmm ... agak-agaknya karya mana yang Kamal paling suka. Lahir dari lubuk hati yang paling dalam?”. Tanya Ziah.
“Heee ... semua tu karya saya. Kesemuanya saya suka tapi ... yang paling suka adalah
‘cinta ini’. Rasa seperti ada kena mengena dengan diri sendiri ”. Jawab Kamal sambil merenung Ziah. Wajahnya serius ... Ziah tidak faham maksud renungan itu lantas puisi ‘cinta ini’ diambil dan dihayatinya ... lalu membalas renungan Kamal.
Xxxxx

“Hu! Hu hu hu ... Kamal menangis tersedu-sedu. Ziah , ‘cinta ini’ telah punah. Hancur dirobek. ‘Cinta ini’  sudah tidak memberi sebarang makna buatmu. Kenapa Ziah? Kenapa?!. Kenapa sanggup kau meninggalkan aku?. Tidakkah kau mahu berjalan seiringan dengan ku kelak tatkala namaku dijulang sebagai karyawan yang diterima dan dikenali ramai?. Bukankah itu pernah menjadi impian mu dulu?. Bukankah kau juga yang memberiku impian itu?. Kenapa Ziah? Kenapa kau robek-robek cinta ini?!”. Kamal meratapi cintanya yang kian layu ...
“Tuhan! Kenapa seburuk ini nasibku?. Apa tak layakkah aku mengecap bahagia?. Mana keadilanMu. Mana kasihMu?!. Mengapa cintaku dirampas pergi?”. Kamal menjerit-jerit bagaikan orang hilang warasnya. Engkar dengan takdir diri!. (Mohonlah ampun dari tuhanmu atas sangkaan burukmu akan takdir yang dipilihNya untukmu) ....
         Bersama jeritan itu langit menjadi mendung , guruh berdentam dentum lalu turunlah hujan dengan lebatnya ... Kamal tidak kesah. Kamal tidak kesahkan hujan yang lebat turun mencurah-curah. Kamal tidak kesahkan guruh yang berdentam dentum. Tubuhnya dihempas keras di atas rakit. Telentang dengan tangan yang didepang luas!.



-peace-
>__<
Ingatan daripadaku buat yang membaca kisah ini , juga ingatan buat diriku sendiri  ; 
"Jangan pernah bersangka buruk dengan takdir yang ditentu Allah buatmu. Yakinlah Allah itu Maha Penyayang dan Pastinya Allah memberi yang terbaik buat kita hambaNya".

Buatmu teman , 
Moga hari2mu kan mampu mengukirkan senyuman di bibirmu




No comments:

Post a Comment