Popular Posts

Sunday 27 April 2014

"Keranamu DIAH" : Bab 19

BAB 19          :           Hidayah - KAHWIN PAKSA
            Ekoran daripada rancangan Hidayah yang gagal  untuk mendapat keizinan daripada kedua orang tuanya untuk berkahwin dengan Saiful , mak Su Sofea dan suaminya telah datang merayu kepada Puan Sarah dan Tuan Zaman agar meneruskan rancangan mereka untuk menyatukan kedua anak mereka.
“Kak , tolonglah. Saya dah tak boleh nak melewat-lewatkan pernikahan Dayah tu. Tak ada orang lain yang kami percaya selain daripada Zuraimie. Sejak kita berjanji dulu , kami memang telah menganggap Zuraimie itu sebagai anak menantu kami. Segala buruk dan baiknya kami terima”. Rayu Mak Su Sofea.
“Tulah dik , bukan kami tak mahu menunaikan janji tapi anak kita masing-masing dah ada pilihan hati. Maaflah akak berterus-terang , mereka itu masing-masing sampai dah terlanjur. Tu si Zuraimie , dah dua bulan tak balik ke mari. Patutnya  kami yang merajuk hati sebab perangai buruk dia. Ini dah terbalik. Dia pula yang marahkan kami”. Keluh Puan Sarah.
“Sama sajalah dengan si Dayah tu kak. Hari-hari memerap dalam biliknya , langsung dah tak mahu bertegur sapa dengan kami. Kami ni mak bapak dia. Takkanlah kami nak serahkan satu-satunya anak kami kepada lelaki yang sah-sah tak tahu hukum haram halal”. Balas mak Su Sofea.
“Dik , budak tu tak ada bezanya dengan Zuraimie , dia juga dah membuntingkan anak dara orang”.  Puan Sarah benar-benar kesal dengan apa yang telah terjadi.
“Tapi sekurang-kurangnya kami kenal dia , kita ni sekeluarga. Tak mungkin Zuraimie akan mempersia-siakan Dayah. Kita anggaplah pernikahan ini sebagai pengajaran atas kesalahan yang telah mereka perbuat”. Rayu mak Su Sofea.
            Apa jua yang dikatakan Puan Sarah tidak dapat mematahkan niat Mak Su Sofea untuk menyatukan anak gadisnya Hidayah dengan Zuraimie.
 “Kerbau dipegang pada talinya , manusia dipegang pada janjinya”.
“Kak , sejak dulu ,,, sejak mereka kecil lagi kita sama-sama dah berjanji  akan berbesan”. Ungkit Mak Su Sofea hinggakan Puan Sarah tidak mampu berkata apa lagi.
 Maka akhirnya kata persetujuan telah dicapai.  Hari pernikahan telah dipilih. Apa kata Zuraimie atau Hidayah sudah tidak penting lagi. Mereka adalah pesalah yang telah melanggar tatasusila manusia budiman maka mereka tiada hak untuk membangkang!.

Menjelang Hari Pernikahan
Esok hari  , bersamaan dengan 5 September  adalah tarikh  Zuraimie bakal bernikah dengan adik sepupunya sendiri , Hidayah. Semuanya berjalan seperti yang telah diimpikan oleh kedua orang tua mereka sejak lama dulu. Tiada apa yang mampu mengubah pendirian kedua orang tua mereka walaupun menangis air mata darah sekalipun.
            Zuraimie masih ingat tawaran yang dibuat oleh kedua orang tuanya , “Kami akan akur dengan pilihan kau mahu memperisterikan gadis itu dengan syarat kau patuh pada permintaan kami dahulu. Semalam mak Su dan Pak Su kau datang ke mari. Kami telah berbincang dan menimbang segala buruk dan baiknya dan kami telah mencapai kata sepakat , kau dah Hidayah harus dinikahkan segera. Hanya setelah kau bernikah dengan Hidayah sebagai isteri pertama  barulah kau boleh bernikah lain. Bernikahlah dengan mana-mana gadispun yang kau suka tetapi hanya setelah kau nikahi Hidayah. Keputusan kami muktamat!”. Kata Tuan Zaman. Kata-kata yang lebih kepada arahan yang tidak boleh disanggah.
            Zuraimie mengambil masa seminggu lamanya untuk memikirkan tawaran kedua ibubapanya itu. Setelah berbincang dengan kakaknya , Dr Anisah dan setelah menimbang buruk dan baiknya maka keputusan telah dibuat.
“Bagaimana dik?”. Tanya Dr Anisah.
“Mie tiada pilihan selain menurut sahaja kehendak mereka. Semuanya demi Diah. Mie mahu mereka menerima Diah sebagai isteri Mie. Mie tak mahu kami terus disisih. Tentu sukar bagi Diah jika mak dan ayah membencinya nanti”. Kata Zuraimie , menjawab pertanyaan kakaknya itu.
“Betul Mie , akak pun setuju dengan keputusan Mie itu. Tapi bolehkan Hidayah dan Diah menerima semua ini?”. Dr. Anisah khuatir kerana tiada isteri yang rela dimadu.
“Perkahwinan Mie dan Hidayah bukan atas kerelaan kami masing-masing. Hidayah sendiri sudah tahu tentang kehadiran Diah dalam hidup Mie. Mie yakin dia akan faham. Pasal Diah pula , buat masa ni segalanya adalah rahsia baginya sehinggalah tiba masa yang sesuai”. Balas Zuraimie. Dr. Anisah hanya mengangguk faham. Dia sedar adiknya itu tiada pilihan.

Hari pernikahan
            5 September menjelang juga. Zuraimie bangun dengan malas sekali , menuju ke bilik air rumah tumpangan itu untuk membersihkan dirinya. Janggut dan misainya yang dibiarkan panjang dicukur bersih. Usai di bilik air , Zuraimie menyarung sepasang baju Melayu cekak musang bewarna biru. Sampin songket hitam bertekad benang bewarna emas itu dipakai kemas.
Selesai bersiap Zuraimie duduk sebentar di penjuru  katil  , sengaja dia memilih satu kamar untuk dirinya  sendiri. Jika boleh , dia ingin melarikan diri dari suasana persediaan pernikahannya itu. Dia tidak mahu memandang segala jenis dulang hantaran yang telah disediakan oleh ibunya. Dia juga tidak mahu tahu berapa harga dan cincin jenis apa  yang telah dibeli oleh ibunya untguk disarungkan di jari manis Hidayah sewaktu upacara membatalkan air sembahyang nanti. Perlahan-lahan gambar Diah yang tersemat dalam dompetnya ditatap lama , “Diah , mengertilah sayang. Segalanya ini ku lakukan demi kabahagiaanmu sayang”. Katanya perlahan.
“Mie , dah sampai masa bertolak. Cepatlah keluar”. Kata Dr. Anisah dari luar bilik.
“Ya. Kejap lagi Mie keluar”. Jawabnya lalu meyimpan dompetnya di dalam poket seluar baju Melayunya , “Biar kau menjadi saksi segalanya”. Katanya di dalam hati ,  merujuk kepada gambar Diah yang semat tersimpan di dalam dompetnya itu.



Suasana pernikahan
            Rombongan pengantin lelaki sampai tepat pada masanya di rumah pengantin perempuan. Rumah banglo dua tingkat itu sudah penuh dengan para tetamu , jiran tetangga dan saudara mara yang datang untuk meraikan dan memeriahkan majlis pernikahan itu. Zuraimie melangkah masuk disertai oleh ibubapanya , Dr Anisah dan saudara maranya yang tinggal di sekitar KL.
            Selesai bersalaman , dia di arahkan duduk di atas bantal baldu bewarna biru ungu yang diletakkan berhadapan dengan juru nikah. Berdebar hatinya melihatkan Tok Kadi yang sudah siap sedia untuk menikahkannya. Sebelum pernikahan bermula , segala borang yang berkaitan dilengkapkan terlebih dahulu. Ayahnya dan pak Ngah bersetuju untuk menjadi saksi pernikahan itu.
“Zuraimie bin Zaman , aku nikahkan dikau dengan Hidayah Bt Razman dengan mas kahwinnya lima belas ribu ringgit , tunai”. Kata Tok Kadi sambil menjabat tangan Zuraimie.
Setelah tangannya disentak , Zuraimie segera menjawab , “Aku terima nikahnya Hidayah Bt Razman ....”. Zuhaimie terdiam , lidahnya kelu.  Dia tidak mampu meneruskan ayat yang seterusnya. “Mengapa harus aku teruskan semua ini?”. Fikirnya , lama terdiam.
Semua yang hadir berpandangan sesama sendiri.
“Sekali lagi”. Kata tok Kadi menyedarkan Zuraimie akan tanggung-jawabnya.
“Boleh kita teruskan?”. Tanya Tok Kadi.
“Ya!. Teruskanlah demi sebuah cinta terlarang!”. Jawab Zuraimie di dalam hati sambil mengangguk. Wajah Diah kini terbayang di ruangan matanya ...
“Zuraimie bin Zaman , aku nikahkan dikau dengan Hidayah Bt Razman dengan mas kahwinnya lima belas ribu ringgit , tunai”. Kata Tok Kadi sekali lagi.
Zuraimie segera menjawab , “Aku terima nikahnya Hidayah Bt Razman ....” . Sekali lagi Zuraimie gagal menghabiskan lafaz nikah itu. Puan Sarah dan Tuan Zaman mulai bimbang , “Sudah kenapa budak ini?”. Bisik Tuan Zaman kepada isterinya.
“Entahlah bang , berdoa sajalah agar segalanya segera selesai”. Balas Puan Sarah , memandang anaknya dengan wajah yang risau dan cemas.
“Bagi pengantin lelaki minum air”. Kata tok Kadi. Setelah sedia , akad nikah diulangi lagi ...
“Zuraimie bin Zaman , aku nikahkan dikau dengan Hidayah Bt Razman dengan mas kahwinnya lima belas ribu ringgit , tunai”. Kata Tok Kadi , menyentak tangan Zuraimie. Zuraimie segera menyambutnya , “Aku terima nikahnya Hidayah Bt Razman dengan mas kahwinnya lima belas ribu ringgit tunai”. Akhirnya Zuraimie berjaya melafazkan kata keramat itu , berjanji dengan yang Maha Pencipta bahawa dia akan mengambil Hidayah sebagai suri hidupnya dan bertanggung-jawab sepenuhnya ke atas gadis ini di dunia dan di akhirat kelak.
            Menitis air mata Hidayah mendengar dirinya kini sudah sah menjadi isteri kepada abang sepupunya sendiri. Sungguhpun hatinya tidak rela dengan pernikahan ini namun sebaik sahaja lafaz nikah sah diucapkan , hatinya menjadi damai dan tenang menerima takdir yang telah ditentukan tuhan , ‘Manusia hanya merancang , tuhan juga yang menentukan segalanya’.
            Sewaktu upacara membatalkan air sembahyang , sebaik sahaja jari manisnya sudah bersarung cincin  , Hidayah mengucup tangan Zuraimie . Lama tangan lelaki itu digenggamnya. Zuraimie membiarkannya sahaja , sangkanya Hidayah sengaja mahu memberi peluang kepara para juru gambar merakamkan detik itu. Kemudian dahi Hidayah dikucup Zuraimie , memang begitulah adatnya setiap kali acara membatalkan air sembahyang dilakukan. Tanpa sedar menitis air mata Hidayah apabila bibir Zuraimie menyentuh dahinya , kali pertama dalam hidupnya dahinya dikucup begitu.
“Cukup , jangan menangis. Nanti cair mekap tu kang”. Bisik juru solek yang ada berhampiran. Lantas sehelai tisu dihulurkan kepada Hidayah. Namun , belumpun sempat Hidayah mahu menyambutnya , Zuraimie terlebih dahulu telah mengambil dan mengesat air mata yang masih menitis , “Sudahlah , nanti tak lawa gambar awak tu kang”. Katanya , cuba menceriakan adik saudaranya yang kini telah sah menjadi isterinya. Hidayah diam , perlakuan Zuraimie itu menyentuh hatinya.

Malam pengantin
            Kenduri kendara diadakan pada hari yang sama. Mengapa? Jika ada yang bertanya ;
“Memudahkan rombongan pengantin lelaki kerana jarak perjalanan mereka yang jauh. Jadi kami adakan segalanya dalam hari ini juga. Dua dalam satu , nikah dan kenduri pada hari yang sama”. Mak Su Sofea memberikan rasional tindakannya setiap kali ditanya oleh tetamu yang hadir kerana sudah menjadi kebiasaan penduduk di sini mengadakan majlis selama dua hari. Sehari untuk nikah  yang biasanya dihadiri oleh keluarga dan saudara mara terdekat sahaja dan pada hari kedua pula adalah untuk acara bersanding dan menepung tawar. Semua kenalan dan sahabat handai akan dijemput datang untuk sama-sama menepung tawar kedua mempelai.
            Usai majlis dan sesudah hampir semua tetamu yang hadir memohon diri pulang ke rumah masing-masing , Zuraimie melangkah masuk ke dalam bilik pengantin dengan langkah yang longlai.
“Huh! Penatnya. Nama saja raja sehari tapi habis didera sepanjang hari!”. Rungutnya sendiri. Sampai di hadapan bilik pengantin, Zuraimie segera menolak pintu bilik yang tertutup. Sebaik  sahaja pintu bilik terbuka , Zuraimie terkesima memandang pemandangan yang cukup indah dan memukau hatinya , sesuatu yang tidak dirancang!.
“Arrrggghhhhh!. Abang tolong tutup pintu itu!”. Jerit Hidayah yang kebetulan baru keluar dari bilik air dengan berkemban. Hidayah sangat terkejut dengan kehadiran abang sepupu yang kini sudah menjadi suaminya. Malu! ... Dia terlebih malu melihatkan reaksi abang sepupunya yang bagaikan tergamam melihatnya ... atau mungkin terpesona sebenarnya!.
“Oppss maaf!”. Segera pintu bilik ditutup rapat dan dikunci. Zuraimie diam berdiri membelakangkan Hidayah. Dia sebenarnya cuba menahan debaran di dada dan tidak tahu untuk bereaksi menghadapi situasi itu.
“Abang , maafkan Dayah. Dayah terlupa nak kunci pintu”. Kata Hidayah setelah selesai berpakaian. Dia berjalan menghampiri Zuraimie yang masih lagi tercegat berdiri. Tangan suaminya itu dicapai dan ditarik , bersama berjalan menuju ke katil. Mereka kini duduk berhadapan di birai katil. Hidayah diam , Zuraimie juga diam. Masing-masing tidak tahu untuk berkata apa.
            Akhirnya Zuraimie yang bersuara dahulu , “Dayah , maafkan abang kerana tidak mampu menahan perkahwinan ini”. Zuraimie membuka bicara.
“Dayah tak salahkan abang , sebaliknya ini semua adalah salah Dayah sendiri kerana tidak dapat meyakinkan mak dan ayah. Rancangan Dayah gagal menyebabkan kita dipaksa kahwin tergesa-gesa begini. Dayah minta maaf bang”. Kata Hidayah.
“Semuanya sudah berlaku Dayah , tak perlulah kita terus menyalahkan diri”. Hidayah lega mendengar kata-kata Zuraimie itu , sangkanya Zuraimie akan memintanya belajar menerima ketentuan takdir. Dia sendiri sudah pasrah kini. Zuraimie yang dikenalinya selama ini sememangnya seorang lelaki yang baik budi.  Lagi pula apa yang boleh diharapnya dari Saiful , kekasih hati  yang masih  merajuk panjang itu. Cinta Saiful terhadapnya tidak cukup besar untuk menerima segala cemuhan dan kata nista daripada ibubapanya.
“Mungkin benar kata mak dan ayah , abang adalah jodoh yang terbaik buat Hidayah”. Kata hatinya.
            Namun belumpun sempat Hidayah berangan jauh , Zuraimie telah berkata sesuatu yang menikam jantung hati Hidayah selaku seorang isteri yang baru dinikahi.
“Hidayah , kita sama-sama tahu yang perkahwinan ini bukanlah atas kerelaan hati kita. Malah kita sama-sama tahu bahawa hati kita masing-masing telah terikat kepada orang lain. Jadi , abang faham kalau Dayah tidak dapat menjalankan tugas sebagai seorang isteri. Malah bukan saja Dayah ,  abang sendiri tidak mampu untuk menjalankan tugas sebagai seorang suami. Saat ini pun hati abang berada jauh di sana. Bersama orang yang amat abang cintai. Terlalu banyak perkara yang telah kami harungi bersama. Abang tak mungkin mengkhianatinya”. Zuraimie berterus-terang. Baginya , Hidayah itu tak ubah seperti adiknya sendiri.
            Hancur luluh hati Hidayah mendengar kata-kata itu. Apa lagi yang boleh dikatakan  , Zuraimie telah bersikap jujur menyatakan isi hatinya. Hidayah diam , cuba menahan kesedihan dan kehampaan di hati. Jika boleh ingin saja dia menyatakan sebaliknya.
“Hidayah tidak setuju. Hidayah tetap mahu kita mencuba untuk hidup sebagai suami dan isteri , menunaikan hak satu sama lain dan mencintai satu sama lain”. Namun apakan daya , segalanya itu hanya terluah di dalam hatinya sahaja.
Selesai berbicara , Zuraimie mengambil sebiji bantal dari atas katil. Dia kemudiannya membuka almari yang ada di dalam bilik itu lalu mengambil sehelai kain cadar untuk dijadikan selimut. Zuraimie kemudiannya berjalan menuju ke sofa panjang dalam bilik itu.
“Abang tidur di sini. Hidayah tidurlah di atas katil. Itu lebih selesa”. Katanya sebelum membaringkan badannya yang sememangnya teramat penat dek rutin majlis perkahwinan mereka hari itu.
Hidayah hanya mampu memandang  segala perlakuan Zuraimie dengan air mata yang mulai bergenang. Cepat-cepat dia baring di atas katil dengan membelakangkan Zuraimie. Air mata yang jatuh  disapunya perlahan-lahan. Tiada siapa yang tahu , beginilah caranya mereka menghabiskan malam pertama yang sepatutnya indah dan menjadi kenangan terhangat untuk dikenang sepanjang hayat ...

Cintai aku ...

Cubalah belajar mencintai aku ...
Itu saja yang ku mahu
Nescaya sabar aku menunggu
Tiba masanya  detik itu
Aku juga belajar mencintaimu
Ini ketentuan , aku kini milikmu

Apapun kita tak mungkin berseteru
Kerna hatiku ku ajar berbahasa rindu
Untuk kamu , yang kini menjadi suamiku

 
 Pagi itu seisi keluarga menikmati sarapan pagi bersama-sama. Mak Su dan Pak Su selaku tuan rumah sangat ceria  , makan sambil bercerita. Lebih-lebih lagi hajat mereka untuk bermenantukan Zuraimie sudah termakbul. Puan Sarah dan Tuan Zaman yang kini telah bertukar status menjadi biras mereka tidak kurang gembiranya. Inilah yang telah mereka rancang sejak bertahun-tahun dahulu.
“Eh Dayah , kenapa bengkak matatu?. Hmm ...  ini mesti sebab tak cukup tidur”. Mak Su Sofea menegur anaknya yang diam sahaja sedari tadi.
“Err ... tak adalah mak. Mata Dayah kalau bangun tidur memang selalu begini”. Jawab Hidayah , cuba menyembunyikan perkara yang sebenar. Langsung segera ditambahnya nasi lemak ke dalam pinggan , buat-buat sangat berselera untuk makan.
“Hmm ... sedap nasi lemak ni”. Katanya , berpura-pura.
“Mana tak sedapnya , perut tengah lapar. Dah kehabisan tenagalah agaknya tu!”. Usik ayah mertuanya , Tuan Zaman.
“Mie , kenapa biarkan Hidayah tak tidur semalaman. Mata bengkak , kelaparan ...”. Tuan Zaman mula berlebihan , mengusik anaknya pula.
“Err ... tak. Tak adalah ayah. Mie tak buat apa-apa pun pada Dayah. Betulkan Dayah?”. Zuraimie mulai tidak selesa dengan gurauan kasar ayahnya itu.
“Memang tak buat apa-apa langsung!”. Kata hati Dayah sambil menyibukkan dirinya menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya.
“Hmm ... sudah. Jangan asyik diusik saja pengantin baru tu. Kalau Zuraimie nak buat ‘apa’pun pada Hidayah , tak menjadi salah. Itu dah jadi isteri dia. Bukan begitu kak Sarah?”. Sampuk Pak Su Razman.
“Ya , betullah tu. Ni Mie , mak nak cakap sikit. Dah jadi suami ni kena banyak sabar. Suami kenalah banyak mengalah dengan isteri. Jaga Hidayah tu betul-betul. Hmm ... satu lagi , kalau boleh mak nak cepat-cepat menimang cucu. Taklah sunyi sangat rumah tu bila ada cucu berlari sana sini”. Puan Sarah menyatakan keinginannya.
“Mak , kami belum berfikir sejauh itu pun mak”. Kata Zuraimie. Hidayah pula tertunduk malu. Merona merah wajahnya yang putih gebu , “Macam mana nak dapat ‘baby’ kalau sorang tidur di Utara dan sorang lagi di Selatan”. Fikirnya.
“Mak , ayah , cukup-cukuplah mengusik mereka. Biarlah mereka bertenang menikmati alam perkahwinan. Satu lagi , tak perlulah terburu-terburu. Kalau ada rezeki tu nanti dapatlah mak cucu. Mak ni macam dah tak sabar-sabar saja memegang status ‘nenek’. Hmm ... tak takut tua ke?”. Dr. Anisah mengusik ibunya.
“Ha ha ha ha ha”. Semua yang ada ketawa mendengarnya.
            Setelah ketawa semua reda , Zuraimie menyatakan hajatnya untuk segera pulang ke KL. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menghubungi dan berjumpa dengan buah hatinya , Diah.
“Laa , buat apa awak tu nak balik bersama kami?”. Tanya Tuan Zaman , terjegil matanya memandang Zuraimie.
“Ya Mie , duduklah sini temankan Dayah isteri kamu tu. Sekurang-kurangnya seminggu sehingga majlis resepsi di tempat kita diadakan”. Puan Sarah menyokong kata-kata suaminya.
“Ya Mie , ada urusan apa kamu tergesa-gesa mahu balik ke sana?’. Setahu ayah , kamu belum bekerja lagi pun kan?”. Tanya Pak Su Razman , agak tersinggung dengan keputusan Zuraimie untuk segera pulang ke KL.
“Tak pernah dibuat dek orang!”. Kata hatinya , mulai mengesan sesuatu yang tidak kena.
“Hmm ... tak ayah. Mie sebenarnya baru saja bekerja. Tak sampai tiga bulan. Itu yang susah nak minta cuti. Err ... dah ada isteri ni kenalah kerja. Takkan nak biar isteri makan pasir. Errr ... lagi pun, Mie dah bincang perkara ni dengan Dayah. Dayah pun dah setuju. Kan Dayah?”. Zuraimie meminta sokongan daripada Hidayah.
“Errr ... er ya. Dayah memang dah tahu perkara ini sebelum majlis pernikahan kami lagi”. Hidayah terpaksa berbohong.
“Alaa bukannya lamapun , seminggu saja. Kan seminggu lagi dah majlis resepsi.”. Tambah Hidayah  , cuba meyakinkan orang tua mereka. Sengaja mukanya dimaniskan walhal hatinya pedih menahan kesedihan mahu ditinggalkan suami begitu saja.
“Hishh tak fahamlah aku dengan budak-budak sekarang ni. Kalau zaman kita dulu , jadi pengantin baru langsung tak mahu ke mana-mana. Kalau boleh memerap  saja dalam bilik  24 jam!”. Kata Tuan Zaman dan disambut dengan gelak tawa yang lain. Hidayah dan Zuraimie juga pura-pura ketawa sama.
Zuraimie  menghampiri Hidayah lalu berbisik kepadanya , “Terima kasih. Abang sangat menghargainya”. Hidayah hanya tersenyum tawar mendengar kata-kata suaminya itu. Dia sendiri tidak mengerti mengapa hatinya begitu mudah jatuh sayang kepada Zuraimie , lelaki yang selama ini dianggapnya seperti abang kandungnya sendiri.
“Aku terjerat dengan perasaan ku sendiri”. Katanya di dalam hati sebelum meminta izin masuk ke bilik. Sampai di bilik  dan setelah pasti pintu dikunci , Hidayah menekap mulutnya dengan bantal sebelum menjerit sekuat hati dan menangis semahu-mahunya!.

Zuraimie pergi
            Maka pergilah Zuraimie meninggalkan isteri yang baru dinikahinya sendirian menanggung kesedihan yang teramat sangat. Sudahlah tidak dicintai , ditinggal pergi begitu saja semata-mata untuk menagih cinta gadis lain. Hidayah sungguh pilu mengenangkan nasib dirinya.
“Sudah jatuh ditimpa tangga ...”. Katanya sendiri sambil merenung  pakaian pengantin yang masih tersangkut di depan pintu almari pakaiannya.
“Mengapalah aku harus bersedih begini?. Memang telah aku ketahui yang abang tidak pernah dan tak akan mampu mencintaiku kerana hatinya sudah terikat pada gadis lain. Tiada ruang lagi buatku di hatinya. Tapi haruskah aku mengalah begitu saja?. Dia suamiku. Suamiku yang sah. Sedangkan perempuan itu masih belum ada apa-apa ikatan dengannya. Bukankah aku yang lebih berhak terhadap abang?. Ya , aku lebih berhak terhadap dirinya. Aku berhak untuk mendapatkan cintanya. Aku! Aku yang lebih berhak kerana aku adalah isterinya yang sah. Tiada mahkamah di dunia ini mahupun di akhirat sana yang boleh menafikan hakku sebagai isteri!!”. Hidayah membulatkan tekadnya untuk mempertahankan haknya sebagai seorang isteri.
            Sedangkan pada masa yang sama , Zuraimie sedang dalam perjalanan menuju ke Cherating. Dia ingin segera sampai ke sana , rindu benar hatinya kerana hampir seminggu tidak menatap wajah Diah , kesayangannya.
“Diah , tunggu abang datang”. Katanya sendiri sambil terus menekan pedal minyak keretanya , ingin segera sampai. Sejambak bunga mawar merah diletak dengan baik pada kerusi belakang. Sesekali dia melihat jambangan bunga itu melalui cermin pandang belakangnya. “Bunga mawar yang cantik buat gadis yang cantik menawan”. Katanya lagi sambil terus tersenyum-senyum.
            Lewat petang itu sampailah Zuraimie ke destinasinya. Hatinya berdegup kencang apabila dilihatnya beberapa orang jiran tetangga sedang berborak-borak perlahan di veranda rumah itu. Matanya segera menangkap motor Kak Som yang turut diletakkan di tepi tangga rumah itu.
“Sudah tibakah masanya?”. Fikirnya sendiri. Jika ikut pengiraannya masih ada tiga minggu sebelum Diah melahirkan bayinya.
“Hah! Dah sampaipun kamu”. Sapa  mak Mah dari atas tangga.
“Mak , Diah dah nak melahirkan ke?”. Tanya Zuraimie tidak sabar sambil mencium tangan ibu tua itu.
“Ya. Tadi Diah tergelincir jatuh , langsung terus sakit nak bersalin”. Mak Mah memberitahu.
“Apa ?. Tergelincir jatuh?. Macam mana boleh jadi begitu?”. Tanya Zuraimie , cemas.
“Tulah yang mak hairankan tu. Dia jatuh depan pintu bilik tengah tu. Nak kata lantai tu licin , tak pulak. Nak kata tersadung , tak ada apa-apa pun di lantai tu. Tapi tak apalah , tak ada apa-apa pun yang perlu dirisaukan. Kata Kak Som , dah memang masanya pun dia melahirkan. Cuma tercepat sedikit. Biasalah tu. Kita doakan sajalah agar semuanya selamat”. Kata-kata mak Mah itu menenangkan hati Zuraimie.
            Sebaik sahaja mak Mah habis berkata-kata , tiba-tiba kedengaran suara bayi menangis , “Tu , dah selamat bersalin. Tak apalah Mie , mak Mah masuk ke dalam sekejap”. Kata mak Mah riang , riang menyambut kelahiran cucunya sendiri. Tak sabar-sabar dia mahu melihat wajah cucunya itu , “Ziq , anak mak. Itu , anak kamu telah selamat dilahirkan. Cucu mak dah lahir Ziq. Adakah dia mewarisi wajahmu nak?”. Katanya di dalam hati , air mata yang terbit di hujung matanya segera diseka.
            Zuraimie yang berada di luar bilik , mundar mandir tidak sabar menunggu giliran diajak masuk menatap wajah bayi yang sudah diakunya sebagai anaknya sendiri dan tentunya wajah Diah , kekasih dan buah hatinya itu. Jambangan bunga mawar  dibawanya  ke hulu ke hilir.
“Hadiah buatmu kerana telah selamat melahirkan anak kita!”. Katanya di dalam hati.
            Tidak lama kemudian , Kak Som menjengukkan kepalanya ke luar pintu mencari-cari kelibat Zuraimie. Lelaki yang disangkanya ‘ayah’ kepada bayi yang baru disambutnya tadi.
“Mie , masuklah. Tolong azankan anak tu. Anak lelaki. Sebiji muka kau!”. Katanya.
“Alhamdulillah!”. Zuraimie melonjak kegembiraan dan tanpa berlengah dia segera melangkah masuk ke dalam bilik.
“Assalamualaikum sayang. Terima kasih kerana telah melahirkan anak kita”. Ucapnya sambil menghulurkan jambangan bunga mawar kepada Diah. Diah memandang wajah Zuraimie. Ada air mata yang mengalir dari kelopak matanya. Lambat-lambat jambangan bunga itu disambutnya.
“Abang tengok anak kita dulu ya?. Nanti abang datang balik”. Katanya sebelum pergi mendapatkan kak Som.
Kak Som menghulurkan bayi yang sudah siap dimandikan itu kepada Zuraimie , Zuraimie menyambutnya dengan perasaan yang cukup gembira.
“Anak ayah”. Katanya lalu mengucup pipi bayi itu. Zuraimie berdiri ke arah kiblat lalu bayi itu diazankannya dengan penuh rasa bangga dan syukur.
            Diah menyaksikan segalanya. Segala perlakuan Zuraimie diperhatikan dengan linangan air mata.
“Mie , kenapa?. Kenapa kau harus berbohong kepadaku?. Kenapa kau hancurkan hatiku setelah cinta ini mulai berputik?”. Katanya di dalam hati.
Masih terbayang-bayang di ruang matanya , semua gambar-gambar yang ditampal penuh di dinding bilik tidur arwah Raziq. ‘Cinta hatiku’. Itulah tulisan dan perkataan yang dituliskan pada setiap photonya yang di’kandid’ oleh Raziq. Tidak cukup dengan itu , Diah juga habis membaca diari , catatan kisah percintaannya dengan Raziq. Walaupun hanya catatan-catatan ringkas namun sudah  cukup untuk mengembalikan ingatannya akan hubungan cinta mereka berdua.
            Air mata Diah tambah laju mengalir apabila teringatkan  coretan-coretan terakhir Raziq ,’Maafkan aku sayang , semuanya tidak dirancang. Namun percayalah , malam itu adalah malam terindah yang pernah berlaku dalam hidup ini. Aku akan bertanggung-jawab terhadapmu. Kita akan sama-sama melangkah ke gerbang perkahwinan. Maruahmu akanku bela. Kita kan pasti bahagia bersama. Selagi hayat dikandung badan , kau adalah siangku. Kau adalah malamku ... Semuga cinta kita kan kekal abadi ... aku cinta kamu tanpa ragu dan demi cintaku padamu , aku sanggup menghadapi segalanya! ’ . Sekeping gambar photo mereka berdua dilekatkan pada muka surat sebelahnya. Mereka kelihatan amat bahagia bersama , terpancar dari senyuman yang menghiasi wajah mereka berdua.
            Diah teresak-esak , “Hei! Kenapa menangis?. Kan abang ada di sini?”. Tanya Zuraimie sambil mengelus lembut rambut Diah.
“Semuanya sudah selamatkan , tak perlu bersusah hati. Diah , jaga diri dan anak kita di sini. Semua keperluan Diah sepanjang tempoh berpantang ini akan abang sediakan. Hari ini abang rasa sungguh bahagia , punyai gadis yang abang cintai dan seorang anak yang sangat comel. Terima kasih sayang”. Kata Zuraimie sambil menggenggam tangan Diah. Diah diam , tidak tahu bagaimana mahu bereaksi. Perasaannya berkecamuk , fikirannya buntu. Mulutnya terkunci dari membalas kata-kata Zuraimie. Diah hanya membiarkan saja Zuraimie terus menggenggam tangannya.  Itu saja yang mampu dilakukannya ketika ini ...




Mengapa?
Mengapa kau mereka cerita?
Mengapa kau bohongi cinta?
Mengapa  kau mulai dengan kata dusta?
Mengapa?
Mengapa jalan ini yang kau cipta?
Mengapa tega kau berpura?
Mengapa tiada kejujuran antara kita?
Mengapa?

Bukankah
Kebenaran itu  asas kejujuran?
Kepalsuan itu punca kebinasaan?
Bukankah
Keyakinan itu pintu kejayaan?
Keraguan itu mendorong kegagalan?
Bukankah
Seharusnya kita bergandingan
Sederap melangkah mencipta kebahagiaan
Sehaluan memegang janji setia berpanjangan?

Mengapa?
Mengapa begini jadinya ...

 

















No comments:

Post a Comment