Popular Posts

Monday 17 March 2014

Tiada orang yang sengaja memilih untuk dibenci ...

Catatan dalam hati bukan seperti catatan pada kertas yang bila-bila masa boleh dipadam. Catatan dalam hati akan kekal abadi selagi ada ingatan. Ingatan yang menjadi stor penyimpanan  pelbagai koleksi kisah dalam hidup yang boleh dicapai apabila perlu. Malah sering kali kisah yang ingin kita lupakan akan bermain-main di kotak ingatan tanpa diminta. Kenapa ye?

Itulah keajaiban akal
Fizikalnya berpusatkan otak
Pelbagai lekuk berlingkar
Antara dua hemisphere
Kiri dan Kanan

Mengapa ada kisah yang ingin kita lupakan?. Bukankah kejam namanya  atau lebih sesuai jika kita katakan bahawa , adalah menjadi suatu pembaziran jika kisah lalu itu dipadamkan begitu saja?. Seharusnya kita sedar bahawa setiap yang telah kita lalui itu adalah suatu anugerah. Tidak kiralah pahit atau manis rasanya , hitam atau putih warnanya , semuanya tetap  merupakan anugerah yang hanya diberikan kepada insan-insan terpilih.
Tambahan pula kisah lalu itu terjadi bermodalkan perasaan , akal dan umur lampau kita. Maka ianya amat perlu dihargai , disimpan dengan baik dalam peti ingatan dan ada kalanya perlu dikenang semula. Bak kata pepatah , yang baik dijadikan tauladan , yang buruk dijadikan sempadan. Kegetiran menjadikan kita lebih tabah , kekecewaan mengajar kita erti sabar dan dalam kesempitan selalu ada kesempatan.

Dugaan ...
Pastinya menjadi sempadan
Antara yang tabah dan lemah
Bahagia atau kecewa

Berani dan kuat menghadapi kenyataan. Berani dan kuat menghadapi kenyataan? Ya , itu yang seharusnya!.
 "Walaupun betapa perit dan pahit sekalipun , hakikatnya suatu kebenaran itu adalah jauh lebih baik daripada suatu pembohongan". Pengajarannya , jangan membohongi diri sendiri. Hadapi segalanya dengan tabah. Ada perkara yang kita boleh ubah , kita ubah tetapi ada perkara yang tidak mungkin diubah  maka belajarlah untuk hidup dengannya. (Nasihat ini kutujukan khas buat diriku sendiri - Rozai Asnizah Bt Mohd Shariff . Semuga aku akan lebih tabah menghadapi apa jua ranjau dalam meniti kehidupan ini dan aku selalu ingat bahawa dunia ini bukan syurga sebaliknya merupakan medan untuk menguji manusia)


Ini kisah seorang itu 
Yang dulunya adalah muridku
Kisah pilu yang menusuk kalbu
Inginku kongsikan denganmu


Ingin sekaliku ceritakan kisah seorang bekas anak muridku yang kini sudahpun menamatkan zaman persekolahannya. Dia begitu istimewa di hatiku. Seorang anak muda yang penuh dengan masalah - berserabut dan sering saja menyusahkan aku dengan pelbagai perlanggaran disiplin yang dilakukannya. Ponteng sekolah , merokok , bertumbuk , biadap terhadap guru dan pelbagai masalah disiplin yang lain. Namun segala masalah yang ditimbulkannya bukan membuatkan aku merasa benci dan marah terhadapnya sebaliknya membuatkan aku mahu mengenalinya dengan lebih baik lagi.

Aku amat yakin bahawa tiada manusia biasa yang sengaja mahu menjadi jahat atau suka-sukanya menyusahkan orang lain. Maka pelbagai cara aku lakukan untuk mendekati dia. Memanggil dia ke bilik disiplin untuk siasatan dan pengakuan salahlaku yang dilakukannya , mengadakan temujanji berkala untuk sesi motivasi (Semangat untuk belajar , mengurangkan salahlaku dan memantau penurunan kekerapan dan bilangan rokok yang diambilnya setiap hari) , melibatkan dia dalam pelbagai program disiplin dalam dan luar sekolah. Semuanya aku lakukan dengan satu niat ... membantu dia untuk 'berfikir'. Berfikir ke arah kebaikan. Itulah asas ... jika kita sentiasa berfikir ke arah kebaikan pastinya hari ini akan sentiasa lebih baik daripada hari semalam dan esok pastinya lebih baik daripada hari ini. Bukankah ini yang diajarkan oleh agama kita?

 Hasil pertemuan yang kerap kurancang , akhirnya dia mulai 'selesa' setiap kali bertemu denganku. Sedikit demi sedikit kisahnya mula diceritakan.  Makin lama makin besar simpatiku kepadanya kerana dia bagaikan seorang anak yang tersesat , hilang arah dan tiada hala tuju.
Namun begitu manusia tidak mungkin boleh berubah dalam sehari ... dalam kebaikan yang kuberikan kepadanya , aku juga tahu di belakangku , dia masih lagi tegar melakukan salahlaku disiplin ( merokok di kawasan sekolah , ponteng kelas dan tetap juga bersikap biadap dengan guru-guru lain).
Mungkin ada yang bertanya ... apa yang aku buat?.
                                               Mengapa dibiarkan?.
                                               Mengapa tidak diambil tindakan tegas kepadanya?.
Jika masih mahu berdegil , gantung saja persekolahannya. Biar jadi pengajaran kepadanya juga kepada yang lain. Biar dia tahu yang hidup ni ada peraturannya!!
(Wah! Hebat ... inilah antara dilema yang terpaksa aku hadapi dalam menjalankan tugasku. Padaku , adalah lebih penting aku cuba membetulkan apa yang ada 'dalam' dirinya daripada sekadar menukar luarannya yang mungkin hanya memuaskan hati kita buat sementara waktu. Akhirnya dia akan meninggalkan alam persekolahan , menjadi lelaki dewasa di luar sana sedang dalam dirinya penuh dengan api dendam yang tidak berkesudahan).

Sehinggalah satu hari , seorang rakan seperjuangan memaklumkan kepadaku bahawa dia dengan 'senang hatinya' sedang ponteng kelas dan enggan hadir ke kelas yang sepatutnya walaupun sudah dipanggil. Tentu sahaja temanku ini 'bengang' dengan sikap 'biadap' muridnya ini.
Kebetulan pada masa itu , aku sedang berada di bilik disiplin , melengkapkan pelbagai data yang harus kukemaskinikan.
Maka terpaksalah aku meninggalkan kerja-kerjaku itu , memanjat tangga untuk ke kelas  anak murid 'bertuah'ku ini. Sesampai sahaja di hadapan pintu masuk bilik kelasnya , ku lihat dia sedang menelangkupkan kepalanya di atas meja (seperti sedang tidur lagaknya). Jelas kelihatan rambutnya yang masih panjang diwarnakan perang. (Nak jadi 'Mat Salleh' agaknya).  Lalu dia ku hampiri , mejanya ku ketuk berkali-kali sambil memanggil namanya. Perlahan-lahan dia mengangkat muka memandang tepat ke wajahku. Bergaris-garis pipinya , mungkin terbentuk dek posisi tangan yang tidak betul atau permukaan meja yang keras.

"Awak kenapa?" Tanyaku.
"Ah! Serabutlah cikgu , saya pening kepala". Jawabnya acuh tidak acuh.
"Dahlah ... bangun. Awak tidak boleh buat begini. Ponteng kelas sesuka hati. Bangun , ikut cikgu ke bilik disiplin!". Arahku dengan nada suara tegas. Dia akur , lambat-lambat dia bangun lalu mengikutku dari belakang. (Sebenarnya bukan dia takut sangat dengan aku , lagipun apalah sangat yang bolehku buat?. Cumanya mungkin hubungan baik yang kubina membuatkan dia masih ada sedikit 'rasa hormat' seorang murid terhadap gurunya).

Sampai di bilik disiplin aku mengajaknya berbual kosong (Cuba mewujudkan 'mood' yang sesuai) , bertanyakan kesihatannya , persediaannya untuk menghadapi SPM yang semakin hampir , aktivitinya selepas pulang sekolah ... pada mulanya dia sekadar menjawab seadanya tapi akhirnya banyak pula soal-soal peribadinya yang tidak pernah mahu dikongsikan dengan sesiapa terkeluar sama ... aku terkejut!
Aku terkejut apabila dia akhirnya sampai menangis tersedu-sedu di hadapanku!. Seorang anak muda yang 'otai' dalam melakukan salahlaku disiplin sekarang sedang menangis tersedu-sedu di hadapanku. Tidak pasti apa yang harus kulakukan maka aku membiarkan sahaja dia terus menangis sambil meluahkan segala masalah yang dipendam dalam hatinya selama ini ...


"Cikgu , saya tak tahu nak pergi mana lepas balik sekolah. Sebab tulah saya selalu lepak sampai malam kat luar. Bila semua orang dah tidur baru saya balik".
"Kenapa tak balik rumah?"
"Dah banyak kali saya kena halau. Baju saya pun dah banyak kali kena campak ke luar. Tapi saya tetap juga duduk di rumah itu. Saya tak tahu nak pergi mana lagi. Tiap kali ayah nampak muka saya , dia mesti marah. Ada-ada saja sebab dia nak marah".
"Mak awak?".
"Pun sama . Dia tak pernah nak cakap dengan saya. Kalau saya minta duit dia tak pernah kasi tapi adik saya minta boleh aja dia kasi. Saya makan pun ambik sendiri , semua sendiri. Adik-adikpun kurang ajar dengan saya. Dia orang bukan nak dengar cakap saya. Tak ada siapapun yang pedulikan saya. Cikgu , saya rasa saya ni anak angkat!. Saya rasa memang saya ni anak angkat! Sebab itulah dia orang tak suka saya!!". Luahnya sambil terus menangis tersedu-sedu (Habis keluar air mata dan air hidung sekali).

"Ya Allah! Kasihannya anak muridku ini ...".

Setelah tangisannya reda dan segala yang terbuku di hatinya habis diluahkan , aku akhirnya hanya memberikan sedikit nasihat kepadanya ,

"Percayalah , Allah tidak akan menguji awak sampai begini sekali  jika awak tidak mampu menghadapinya. Soal sikap mak dan ayah awak tu serahkanlah segalanya kepada Allah. Awak pula ,  berdoalah agar mereka dapat menerima awak dan bersikap baik terhadap awak.Ingat , bukan kita yang memegang hati mereka tapi Allah maka pohonlah kepadaNya. Yang penting sekarang ini , segala kepayahan yang awak harungi ini jadikanlah ianya sebagai semangat dan pendorong kepada awak untuk berjaya dalam SPM nanti. Sepatutnya semua kepayahan yang awak hadapi ini menjadi pendorong yang cukup kuat kepada awak untuk berjaya dalam SPM ini nanti".
"Ingat ada perkara yang boleh kita ubah , kita usahakan mengubahnya ke arah kebaikan tapi jika sebaliknya belajarlah  menerimanya".

Dipendekkan cerita , akhirnya aku mencari maklumat tentang keluarganya dan tentunya tentang dirinya dan ''kisah sedihnya' itu. Rupa-rupanya dia adalah 'cucu nenek' yang kembali tinggal dengan kedua ibubapanya. Pengaruh neneknya terhadapnya amat kuat hinggakan 'pemergian' neneknya buat selamanya menjadi satu tamparan hebat dalam hidupnya. Lebih memburukkan keadaan hubungan 'neneknya' dengan kedua ibubapa murid ini tidaklah baik ... jadi siapa yang menjadi mangsa?. Tentunya anak muridku yang dah 'otai' melakukan salahlaku disiplin ini ... Kesnya akhirnya ku rujukkan kepada keunselor sekolah untuk diberikan sesi kaunseling. Mereka lebih bertauliah sedangkan aku hanya seorang guru biasa.

Pengajaran yang ku dapat daripada kisah ini - tiada orang yang sengaja memilih untuk dibenci  atau jadi jahat. Semuanya pasti ada kisah disebaliknya.




   

2 comments:

  1. Awak sepatutnya menjadi kaunselor yang selalunya tidak seperti awak. Empati awak tinggi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mendidik dan bekerja dengan manusia , dalam hati harus punya pelbagai rasa ...

      Delete