BAB 13 : DIAH HILANG INGATAN!
Hari yang dinanti...
Pagi itu mereka berdua sungguh
gembira. Mengenakan baju baru yang ditempah khas untuk hari yang istimewa ini. Hari
yang dinanti oleh semua mahasiswa , hari
graduasi... Hari Konvokesyen mereka!. Setelah berpenat lelah menamatkan kursus
masing-masing , hari ini segala usaha dan jerih perit mereka akan diiktiraf .
Bagi Ziah dan Ba’ie ,
sungguhpun program diploma yang mereka ikuti itu hanyalah untuk tempoh setahun
sahaja namun bebanan dan pengisiannya cukup padat dan memenatkan!. Sebab itulah
mereka cukup bersedia untuk kedatangan hari ini. Ziah menempah khas kebaya labuh bewarna
kuning air , bersulam di hujung tangan manakala Ba’ie pula berbaju kurung
Pahang bewarna biru laut. Pesak gantung yang kembang di bawah. Anggun bergaya. Kedua
mereka kelihatan sungguh ayu dan tambah berseri apabila mengenakan jubah
graduasi yang bewarna ‘jingga menyala’.
“Sampai juga hari ini. Hari ini jadi
lebih bermakna kerana kita telah bertemu semula setelah hampir setengah tahu
berpisah”. Ziah berkata dengan gembira
sambil memeluk bahu Ba’ie.
“Ya , akupun rasa sangat gembira. Aku
rasa kita adalah gadis yang paling manis dan ayu di sini. Macam perempuan
melayu terakhir!”. Jawab Ba’ie.
“Heee ... perasan betul kau ni!”.
Balas Ziah.
“Eh! Betul kot!”. Kata Ba’ie sambil
mengebil-ngebilkan matanya.
“Eeee ... memang betullah. Perempuan
Melayu terakhir. Cuma ada yang kurang”. Balas Ziah
“Hanya kita berdua di sini. Tak da
keluarga dan tak da sesiapa yang istimewa”. Sambung Ziah.
“Alah ... ini konvo kita kali yang
kedua. Relakslah ... takyahlah nak susahkan mak bapak kita datang jauh-jauh
dari kampung. Pasal teman istimewa tu ... janganlah sensitif sangat. Kalau
setakat teman lelaki ... hmm ... takda maknanya. Belum tentukan bersatu.
Lainlah kalau tunang ke , suami ke ... barulah berbaloi. Hah! Aku ada cadangan
, lepas ni kita sambung master. Nanti masa konvo bolehlah ajak ‘teman istimewa’
kita. Amacam ... setuju?”. Seloroh Ba’ie.
“Hmm ... banyaklah kau punya master!”.
Jawab Ziah.
Tiba-tiba telefon bimbit Ba’ie
berbunyi ...
“Eh kejap ye , siapa pulak telefon
aku ni?”. Ba’ie berkata kepada dirinya
sendiri.
“Hamzah tak?. Nak ucap tahniah pada
kau agaknya”. Usik Ziah. Ba’ie tersenyum meleret.
“Alangkah baiknya jika dia yang ‘call’ “. Balas Ba’ie namun segera
memuncungkan bibirnya apabila melihat nombor yang tidak dikenali tertera pada
skrin telepon bimbitnya.
“Bukan Hamzahlah”. Katanya kepada
Ziah sebelum menjawab panggilan itu. Ziah hanya tersenyum sambil mengangkat
bahu melihat gelagat Ba’ie.
“Hello! Siapa?. Oh awak. Apa?... Bila? ... baik-baik ... aku
dan Ziah datang sekarang”. Jawab Ba’ie. Ziah segera memandang Ba’ie , “Seperti ada
yang tidak kena ni”. Fikirnya.
Ba’ie memuncungkan bibirnya sebelum memandang
Ziah. Diam. Melihatkan gaya Ba’ie itu , Ziah dapat mengagak. Sesuatu telah
berlaku kepada Diah!.
“ Diah?”. Ziah bertanya dengan tidak sabar. Ba’ie
mengangguk.
“Kenapa?”. Tanya Ziah.
“Keadaannya tidak stabil . Zuraimie
minta kita ke sana sekarang”. Jawab Ba’ie perlahan.
“Jadi ... mengapa tunggu lagi?”. Ziah menarik tangan Ba’ie.
“Tapi ... konvo
kita?”. Ba’ie merentap tangannya , tidak dapat membuat keputusan. Ziah
memandang Ba’ie dengan tajam.
“Pada aku persahabatan lebih penting.
Tapi terpulanglah pada kau. Aku pergi dulu”. Ziah berkata tegas , membuka jubah
yang sedia tersarung lalu terus berlari
ke perhentian bas . Ba’ie masih termangu-mangu memandang Ziah yang semakin menjauh
...
Nasib Ziah baik kerana
belumpun sempat sampai ke perhentian bas
sebuah teksi membunyikan ‘hon’ kepadanya. Ziah mengangkat tangan menahan
teksi tersebut dan teksi itu pun berhenti.
“Ke mana kak”. Tanya pemandu teksi
itu , seorang lelaki melayu pertengahan umur.
“Hospital Kajang. Laju sikit ya. Saya
ada ‘emergency’ ni”. Pinta Ziah. Pemandu
teksi itu mengangguk faham lalu terus memecut
ke arah yang dipinta.
Ziah merasakan perjalanan ke hospital
itu sungguh lama , air matanya mengalir deras. Ziah khuatir jika sesuatu yang
buruk terjadi kepada Diah.
“Ya Allah , selamatkanlah Diah”.
Doanya di dalam hati.
“Sabarlah cik , sekejap lagi kita
sampai. Serahkan segalanya kepada Allah”. Pemandu teksi yang perasan akan
keadaan Ziah yang sedang cemas itu cuba menenangkan Ziah.
Akhirnya , setelah dua
puluh minit perjalanan , mereka sampai ke tempat yang dituju. Ziah segera
membayar tambang teksi dan tidak lupa mengucapkan ‘terima kasih’ kepada pemandu
teksi yang perihatin itu.
“Harap semuanya selamat”. Kata
pemandu teksi itu sebelum bergerak pergi. Ziah hanya mengangguk.
Ziah berlari anak menuju
ke pintu masuk hospital. Sampai sahaja di situ , Ziah sudah tidak sabar lagi
lantas terus berlari laju menuju ke arah wad di mana Diah di tempatkan.
Tercungap-cungap bagaikan tidak cukup nafas!. Langsung tidak menghiraukan orang
ramai yang ada di sekeliling.
“Diah , jangan pergi! Jangan pergi!
Jangan pergi Diah!!”. Jerit hatinya. Cemas
betul perasaannya. Kain kebaya labuhnya disingkap tinggi. Kakinya melangkah
panjang. Air matanya makin deras mengalir.
... Diah akan meninggalkan kita.
Namun sebaik sahaja
sampai di tempat yang dituju Ziah kehairanan. Langkahnya terhenti. Sungguh
hairan melihat Zuraimie masih boleh tersenyum gembira apabila terpandangkannya.
“Ziah ... Diah dah sedar! Diah dah
sedar!”. Katanya gembira. Berlari anak mendapatkan Ziah yang masih lagi terpaku
dengan mata yang masih basah.
“Doktor tengah buat pemeriksaan ke
atasnya. Nak pastikan dia betul-betul okey”. Terang Zuraimie tanpa diminta.
“Tapi tadi kau cakap ... ?”. Ziah yang
masih tercungap-cungap terasa bagaikan hendak ‘meletup’ kerana terpaksa meninggalkan
majlis konvokesyennya dan berlari pula bagaikan orang hilang akal!
“Kalau berita gembira kenapa tak
boleh tunggu?!”. Fikirnya geram , memandang Zuraimie dengan mata yang sengaja
dikecilkan.
“Betul ... betul. Maafkan aku. Tadi aku panik sangat sebab denyutan jantung
Diah tak stabil. Malah ada masa tu macam tak ada denyutan langsung. Hinggakan
aku benar-benar sangka yang Diah akan meninggalkan kita. Sebenarnya sejak kau
dan Ba’ie datang semalam keadaan Diah menjadi sangat tidak stabil. Mungkin
kehadiran kau orang berdua telah benar-benar menggerakkan emosinya. Kan kau
kawan baik dia , aku rasa kaulah perangsang yang cukup berkesan buat Diah”. Zuraimie menerangkan apa yang berlaku dan
benar-benar menghargai kehadiran Ziah .
“Huh , Alhamdulillah!”. Syukur Ziah
kepada Allah. Hilang rasa marahnya mendengar kata-kata Zuraimie itu.
“Tapi Ziah , aku minta maaf sebab kau
terlepas majlis konvo kau”. Zuraimie melahirkan sedikit kekesalan kerana
gara-gara dirinya yang panik tidak menentu menyebabkan Ziah tidak dapat
menghadiri majlis konvokesyennya padahal itulah tujuan asal Ziah turun ke mari
meninggalkan Pagan Sena.
“Eh! Kalau aku hantarkan kau balik ke sana. Mungkin sempat lagi”.
Sambung Zuraimie sambil memandang Ziah yang ayu berkebaya labuh.
“Ya. Majlis konvo aku. Sepatutnya majlis
konvokesyen kau dan Diah jugakan. Takpalah ... mungkin bukan rezki aku.
Alang-alang dah sampai ke sini , aku nak jumpa Diah. Itu lebih penting”. Balas
Ziah sambil tersenyum.
“Err ... kalau gitu tak apalah. Mungkin
dah memang bukan rezeki kita”. Jawab Zuraimie.
“Hmm ... tak palah Mie , Diah memang lebih
penting daripada segalanya buat kita berdua”. Balas Ziah. Senyum. Zuraimie juga turut tersenyum mendengar
jawapan Ziah itu.
“Ya , dia amat penting buat kita ,
buat aku ...”. Zuraimie mengiakan kata-kata Ziah.
“Hah , doktor dah pun keluar. Mari ...”.
Zuraimie menarik tangan Ziah , mengajaknya bertemu dengan Doktor Anisah. Ziah akur.
Sentuhan Zuraimie itu tidak lagi menyebabkan dadanya berdebar. Ziah lega ...
“Alhamdulillah , akhirnya aku telah
dapat membebaskan kau dari benak hatiku ini!” . Ziah bersyukur sambil terus tersenyum.
“Ziah , perkenalkan ... ini doktor
Anisah , kakak aku” . Zuraimie memperkenalkan doktor Anisah kepada Ziah.
Fahamlah Ziah kini ,
mengapa Diah boleh berada di bilik VIP
dan Zuraimie pula boleh bebas keluar masuk wad. “Kakak kau ... patutlah
kau bebas keluar masuk ke sini. Apa khabar doktor?”. Ziah menghulurkan tangan. Doktor Anisah
menyambutnya.
“Kabar baik. Sebenarnya Zuraimie ni
taklah bebas keluar masuk ke sini walaupun dia tu adik saya. Saya cuma doktor
yang berkhidmat di sini bukannya pemilik hospital ini.” Doktor Anisah
membetulkan ‘statement’ Ziah. Ziah
tersipu. Malu dengan kata-kata melulunya tadi.
“Bahaya statement awak tu!”. Doktor Anisah berkata separuh berbisik sambil
tersenyum.
“Ahh ... yaa. Maaf doktor!”. Jawab
Ziah tersipu.
“Tak apa ... awak pun kawan Mardiahkan , pergilah masuk
jumpa dia. Since keluarganya pun tak
ada , dalam situasi begini kehadiran kamu semua amat bermakna baginya. Dia amat
memerlukan sokongan orang-orang yang rapat dengannya sekarang ni tapi hati-hati
, keadaannya masih terlalu lemah. Kalau boleh jangan ada cerita duka yang boleh
mengganggu emosinya”. Jelas doktor Anisah sambil memegang bahu Ziah.
“Ya. Terima kasih doktor”. Kata Ziah
, menganggukkan kepala.
Doktor Anisah meminta diri manakala
Ziah dan Zuraimie pula beriringan masuk ke dalam bilik di mana Diah ditempatkan.
Sebaik saja mereka melangkah masuk , Diah yang sedang berbaring di atas katil
terus membangunkan badannya perlahan-lahan.
Aku Zuraimie. Kekasih awak Diah. Akulah bapa kepada anak itu!
“Siapa?!!”. Suara Diah antara
kedengaran dengan tidak ... perkataan pertama Diah setelah lebih dua bulan
tidak bersuara. Suaranya bagaikan tidak mahu keluar ... serak dan
tertahan-tahan. Hanya tangannya di lambaikan ke arah Ziah.
“Diah...!”. Ziah berlari ke arah Diah
lalu memeluknya. Ziah menangis kegembiraan. Sahabatnya kini sudah kembali
sedar!.
“Siapa? ...”. Diah terus bertanya. Termangu dan kehairanan
dipeluk begitu.
“Kat mana?”. Tanya Diah lagi. Diah
keliru. Dia kelihatan seperti orang yang kehilangan punca.
“Apa dah jadi dengan aku ni ...”. Tanya
Diah lagi , memandang sekeliling. Bingung ... wajahnya benar-benar kelihatan
bingung.
“Hussshhhhh ... tenang Diah , kau di
hospital sekarang ni” . Ziah cuba menenangkan Diah. Pelukannya dilepaskan
perlahan-lahan. Ziah mulai sedar yang Diah sedang keliru.
“Ini petanda tidak baik”. Fikirnya
lalu segera memandang Zuraimie yang tercegat keras bagai tugu Negara. Cuma
matanya memerhatikan Diah tanpa kelip. Dia sendiri bagai tidak percaya yang
Diah sudah sedar dan sudah mula bersuara. Tanpa sedar setitis demi setitis air
mata lelakinya mengalir menyusuri alur wajahnya.
“Ya Allah , aku bersyukur padaMu”.
Ucapnya di dalam hati.
Sementara
itu Diah masih kebingungan memandang ke kiri dan ke kanan , Diah cuba memahami
keadaan ... “Diah?. Aku Diah?” . Tanya Diah. Tangan kanannya diletakkan di
dada. Diah memandang Ziah meminta kepastian.
Ziah hairan mendengar pertanyaan Diah itu.
“Kau tak ingat nama kau sendiri?”.
Tanya Ziah. Diah diam . Kepalanya di pegang.
“Entahlah ... aku Diah?”. Ulang Diah
sekali lagi. Tangannya masih di dada. Beralih ke wajahnya sendiri dan akhirnya
jatuh ke perutnya yang semakin membesar.
“Aku??” . Diah memandang Ziah sambil
memegang perutnya.
“Ya . Kau Mardiah bt Amir. Sahabat
baik aku”. Ziah mengingatkan. Ziah sungguh sedih dan terharu melihat Diah dalam
keadaan seperti ini. Pantas tangan Diah digenggamnya lalu melabuhkan
punggungnya menumpang duduk di tepi katil Diah.
“Kau?”. Tanya Diah sepatah.
“Aku Ziah. Rodziah , sahabat baik
kau. Kita sama-sama belajar diploma pendidikan di UKM. Lebih dari itu kita telah lama bersahabat baik , sejak di
Matrikulasi Kulim lagi. Diah , takkanlah kau dah tak ingat semua itu?”. Tanya
Ziah sebak.
Diah diam dan menggeleng-gelengkan
kepalanya perlahan. Tiba-tiba .....
“Ini?”. Tanya Diah lagi sambil terus memegang
perutnya. Ziah menganggukkan kepalanya. “Anak kau. Kau sudah lupa?!”. Bisik
Ziah ke telinga Diah.
“Anak? ..., anak aku?”. Tanya Diah.
Ziah menganggukkan kepala.
“Suami?. Ayahnya?” . Tanya Diah lagi.
“Kau betul-betul tak ingat?”. Tanya
Ziah pula. Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan!
“Suami?. Ayahnya! ... ayahnya?!”.
Jerit Diah , agak agresif. Ziah panik. Tidak tahu jawapan terbaik yang harus
dikatakan. Pesanan doktor Anisah supaya jangan ada kisah duka diungkit tadi telah menghalangnya
berkata benar. Ziah benar-benar kehilangan kata-kata.
“Mana ayahnya?. Mana? Mana?!”. Tanya
Diah bertubi-tubi memandang sekeliling dan matanya akhirnya memandang tepat ke
wajah Zuraimie yang masih terpaku memandang panorama itu.
“Aa ... aa ... aakulah bapanya!”.
Zuraimie tiba-tiba bersuara , matanya cuba menentang pandangan mata Diah.
“Ya! Akulah bapanya. Itu anak kita.
Anak kita bersama”. Jawab Zuraimie dengan lebih yakin.
Terbeliak mata Ziah memandang
Zuraimie.
“Biadap!. Berani sungguh kau!!”.
Bisik hati kecil Ziah. Ziah tidak boleh menerima pembohongan Zuraimie.
“Dia?”. Diah mencari jawapan daripada
Ziah. Tangannya lemah menggenggam lengan
Ziah. Belumpun sempat Ziah menjawab ...
“Aku Zuraimie. Kekasih awak Diah.
Akulah bapa kepada anak itu”. Zuraimie mengulangi kata-katanya. Sekali lagi Ziah
terkejut mendengar jawapan berani Zuraimie. Matanya memandang tepat wajah
pemuda ini. Zuraimie membalas pandangan itu. Lama. Ziah mengetap bibirnya ,
tidak faham akan makna pandangan Zuraimie itu.
“Arrggghhhh!”. Diah memegang
kepalanya. Rambutnya ditarik-tarik.
“Diah , tenang!. Tenang!. Kami ada di
sini. Kami sayangkan awak. Awak rehat ... rehatlah ...”. Ziah menahan tangan
Diah daripada terus menarik-narik rambutnya lalu merapatkan kepala Diah ke
dadanya.
“Sshhhhh ... sudah ... sudahlah ... .
Jangan dipaksa diri , jangan fikirkan perkara yang bukan-bukan”. Diah dipeluknya hingga tenang. Diah
dibaringkan semula. Diah patuh kerana tubuhnya sendiri memang berasa terlalu
lemah. Fikirannya pula bercelaru dan keliru. Matanya dipejamkan semula dan
akhirnya terlena.
Ziah terus memandang Zuraimie. Tidak
disangkanya Zuraimie sanggup menangguk di air yang keruh!. “Apa maksud kau
memberitahu Diah yang kau ini kekasihnya?”. Tanya Ziah. Marah.
“Shhh!!”. Zuraimie menarik Ziah
keluar dari kamar itu.
Di luar kamar ...
“Kenapa kau ...”. Ziah cuba
mengajukan soalan yang sama sambil
menudingkan jarinya ke muka Zuraimie ... marah sungguh dia. Mana mungkin dia
membiarkan sahabat baiknya diperbodohkan dengan pembohongan itu.
“Sudahlah!. Cukuplah tu. Sekarang jom
kita pergi minum dulu”. Zuraimie memotong kata-kata Ziah. Ziah diam. Bungkam
perasaannya ...
“Kenapa kau mengaku sebagai bapa bayi
Diah?”. Tanya Ziah , masih tidak berpuas hati. “Itu anak Raziq. Bukan anak kau!
Mengapa kau berkata bohong begitu?” Ziah memandang tepat ke muka Zuraimie.
Langsung tidak dihiraukannya pelawaan Zuraimie tadi.
“Hmm ... habis , kenapa kau sendiri tidak memberikan
jawapan yang sebenar kepada soalan Ziah tadi?. Kenapa kau sendiri hilang
kata-kata ketika Diah bertanyakan tentang ayah anaknya itu?. Kenapa? Kenapa
diam?”. Balas Zuraimie , terkilan dengan tuduhan Ziah terhadapnya. Ziah diam.
“Tidakkah kau nampak bahawa aku sebenarnya cuba
menyelamatkan keadaan?”. Sambung Zuraimie lagi. “Aku bukan sengaja menangguk di
air yang keruh. Sama seperti kau, aku juga sayangkan Diah. Aku tidak mahu
perkara buruk menimpanya”. Zuraimie cuba mendapatkan pengertian Ziah.
“Aku ... ahhh!. Aku tak faham maksud
kau”. Jawab Ziah.
“Demi Diah. Dia sekarang sangat
keliru. Kalau boleh dia mahu jawapan kepada semua soalan yang bermain di dalam
kepalanya sekarang ini. So , itulah yang aku buat”. Terang Zuraimie.
“Dengan mengaku sebagai kekasihnya?. Dengan berbohong?. Ahh! Memang kau menangguk
di air keruh!. Kau mahu memanafaatkan keadaan Diah sekarang demi kepentingan
kaukan?!”. Ziah tetap tidak berpuashati.
“Ziah!. Jangan kau menuduh semahunya
saja. Apa kau lupa pesan doktor Anisah , jangan ada cerita duka. Sanggup kau
katakan kepadanya bahawa kekasihnya Raziq , bapa kepada anaknya itu sudah mati?.
Sanggup kau katakan padanya yang anak yang dikandungkannya itu sudah tidak
berbapa maka dialah yang harus memikul segala bebannya sendiri?. Sanggup?
Sanggupkah kau Ziah?. Bercakap mengikut perasaan memang mudah!”. Balas Zuraimie
, mempertahankan tindakannya. Ziah diam. Ada benarnya kata-kata Zuraimie.
“Sebab itulah aku terpaksa mengaku
yang bayi itu adalah anak kami. Aku tidak mahu emosi dan fikirannya terganggu
dengan cerita kemalangan itu atau ...
tentang Raziq yang sudah tiada!”. Terang Zuraimie , nada suaranya lebih
tenang. Lega rasanya apabila dapat menyatakan yang benar dan dapat
mempertahankan diri dari terus-terusan dituduh yang bukan-bukan.
Ziah tunduk. “Kau betul. Maafkan aku”. Kata
Ziah.
“Ahh ... sudahlah. Jom kita pergi
minum. Aku belanja!”. Pelawa Zuraimie sekali lagi sambil tersenyum lega memandang
Ziah. Ziah mengangguk.
Mereka beriringan ke
kantin hospital. Kopi-O panas bersama pau daging cukup menyelerakan. Setelah
mengambil tempat , mereka mula membincangkan semula perkara yang sama.
“Ziah , Aku langsung tidak berniat buruk
terhadap Diah apatah lagi mahu menangguk di air yang keruh. Semua ini aku
lakukan demi Diah”. Zuraimie memulakan
bicara.
“ Aku faham”. Jawab Ziah perlahan.
“Ziah, pertama aku minta kau jangan
berburuk sangka kepada aku. Aku tahu , aku pernah kecewakan kau dulu. Aku ini
seperti manusia yang tiada perasaan dan tidak perihatin langsung akan
perasaan dan kesengsaraan orang lain”.
Kata Zuraimie , merujuk kepada tindakannya memutuskan hubungan cinta mereka.
“Mie , boleh tak kau jangan ungkit
lagi kisah lalu. Semua itu sudah aku buang jauh dari hidupku. Kita kini duduk
semeja hanya kerana Diah. Tidak lebih dari itu. Aku tak suka kau ungkit kisah lama. Semua itu langsung sudah tidak
bermakna dalam hidup aku”. Ziah marah , tidak selesa apabila Zuraimie masih mengungkit
kisah cintanya yang ditolak mentah-mentah. Kisah hatinya yang hancur
dipatah-patahkan oleh lelaki yang berada di hadapan matanya kini. Benci benar
rasanya mengingatkan hubungan yang pernah terbina antara mereka berdua. “Mencintai
kau adalah perkara paling bodoh yang pernah aku lakukan dalam hidupku!”. Ziah
sedikit beremosi.
Zuraimie terdiam mendengar kata-kata
Ziah. Entah mengapa dia terkilan mendengarnya. “Perkara paling bodoh?”. Dia
cuba memahami maksud di sebalik
kata-kata Ziah itu.
Mulut kata lain , hati kata lain.
Hakikatnya Ziah sedih dan sangat kecewa dengan
kehancuran cinta mereka
berdua. Ziah masih tidak dapat melupakan apatah
lagi membuang kisah lalu.
Semuanya bagaikan tersemat kuat dalam lipatan
sejarah hidupnya kini ...
|
“Uh maafkan aku. Aku tidak bermaksud
mahu mendera perasaan kau. Tujuan aku hanyalah untuk menyatakan bahawa aku
bukanlah manusia yang hanya mementingkan diri sendiri. Aku cuma mahu kau faham
maksud tindakan aku mengaku sebagai kekasih dan ayah kepada bayi yang
dikandungkan oleh Diah. Itu sajai”. Terang Zuraimie lagi , bersungguh-sungguh. Kesal
kerana telah menyinggung perasaan Ziah , gadis yang pernah dikecewakannya.
“Semua yang kulakukan ini adalah demi kebaikan
dia dan bayi dalam kandungannya itu!”. Kata Zuraimie perlahan. Ziah mengerutkan
dahinya. Dia terfikirkan sesuatu ...
“Mie , sejak bila kau tahu yang Diah
itu mengandung dan bagaimana kau tahu yang bayi itu adalah anak Raziq?”. Tanya
Ziah bertubi-tubi.
“Dah lama. Sejak malam kemalangan itu
lagi. Malam itu juga aku tahu yang
itu adalah anak Raziq”. Jawab Zuraimie.
“Bagaimana ?”. Ziah kehairanan ,
terlopong mulutnya seketika. Sangkanya hanya dirinya seorang sahaja yang tahu
Diah mengandungkan anak Raziq.
“Kau ingatkan yang aku seperti telah ditakdirkan untuk berada di tempat kejadian pada malam
kecelakaan itu. Akulah yang mengadap Raziq sehingga nafasnya yang
terakhir. Sebelum ajalnya , Raziq telah meminta aku berjanji”.
Kata Zuraimie.
“Berjanji?”. Tanya Ziah tidak sabar.
“Ya .
Berjanji untuk menjaga Diah dan anaknya itu. Aku telah berjanji kepada
Raziq untuk menjaga Diah dan anak dalam kandungannya itu. Kau faham sekarang?.
Kau faham sekarang mengapa aku sampai sanggup mengorbankan maruah dan kehidupan
aku demi menunaikan janjiku itu?. Bukan sedikit hinaan dan tohmahan yang aku
terima gara-gara mengakui dosa yang tidak pernah aku lakukan. Aku sendiri
sebenarnya menderita dengan semua ini. Tapi demi janjiku pada Raziq dan yang
lebih penting lagi demi Diah. Aku ikhlas dan benar-benar mencintai dia. Aku
mahu membela nasibnya”. Zuraimie menghela nafas lega. Sekurang-kurangnya
sedikit beban yang ditanggungnya sendiri selama lebih dua bulan ini dapat
dikongsi.
“Kini Raziq sudah tiada. Tiada
gunanya lagi buat Diah untuk mengingati kehadirannya dulu. Hanya menambah luka
di dada. Lebih teruk lagi , berita kehilangan Raziq itu mungkin akan
memburukkan lagi keadaan Diah. Biarlah dia sangka yang aku ini adalah
kekasihnya dan anak dalam kandungannya itu adalah anak kami”. Terang Zuraimie.
Memandang Ziah , memohon pengertian.
“Kebenaran walaupun pahit pasti jauh
lebih baik daripada suatu pembohongan!. Takkanlah kau nak mulakan hubungan
kalian dengan satu pembohongan?”. Ziah membantah.
“Habis? Apa pilihan yang aku ada?.
Kau fikir kalau Diah kembali ingat yang dia sedang mengandungkan anak luar
taraf dan bapa kepada anak itu pula sudah tiada , dia akan segera pulih? Atau
sebaliknya dia akan lebih tertekan?”. Tanya Zuraimie. Ziah diam , tidak tahu
sama ada patut bersetuju dengan rancangan Zuraimie atau sebaliknya.
“Ziah , tolonglah. Aku perlukan
pertolongan kau untuk meyakinkan Diah. Jika dia dapat menerima aku ini sebagai
kekasihnya dan sangka yang anak itu adalah anak kami pasti dia akan setuju
untuk berkahwin dengan ku. Nasibnya dan nasib anak itu akan kubela. Kau sendiri
tahu yang aku tidak akan pernah mempersia-siakan mereka. Aku mencintainya
sepenuh hati. Malah aku telah mengaku kepada keluargaku yang aku adalah bapa
kepada anak dalam kandungan Diah itu!” Zuraimie separuh merayu. Ziah bingung. ‘Ditelan
mati emak , dibuang mati bapak’!.
“Begitu besar pengorbanan Zuraimie.
Apa yang harus ku lakukan. Patutkah aku bersengkokol dengannya untuk menipu sahabat baikku sendiri?” . Ziah
bingung.
Kata-kata Zuraimie ada benarnya.
Zuraimie tidak merampas Diah dari sesiapapun. Semua ini demi kebaikan Diah
sendiri dan ... demi kebaikan anak luar
taraf itu juga!. “Kasihan bayi itu!”. Fikir Ziah.
“Tetapi kau merampas masa silamnya!”. Kata Ziah kemudiannya.
“Mengapa kau terlalu berpuitis.
Berpijaklah di bumi nyata”. Tegur Zuraimie.
“Ahhh ... apa yang pentingnya masa
silam itu. Semuanya hanya mendatangkan kedukaan. Biarlah Diah menempuh masa
depan yang lebih meyakinkan. Masa depan yang mampu membuatkan Diah bahagia!”. Balas
Zuraimie.
Ada betulnya kata-kata Zuraimie itu.
Setelah lama berfikir , Ziah akhirnya membuat keputusan untuk menyokong
tindakan Zuraimie itu.
“Mie , aku tak pasti sama ada
tindakan kau ini betul atau sebaliknya tetapi aku juga tak dapat nak fikirkan
cara lain yang lebih baik buat masa depan Diah dan bayinya. Raziq sudah tiada.
Ibubapa kandungnya pula telah membuangnya. Kini dia sedang berbadan dua dan
sangat memerlukan tempat bergantung. Tiada calun lain melainkan awak yang rela
memberikan semua itu kepadanya. Saya tiada pilihan melainkan menyokong tindakan
awak!” Ziah menyatakan pendiriannya walaupun sebenarnya hatinya masih lagi ragu.
“Terima kasih! Terima kasih Ziah!.
Aku sangat menghargai pilihan kau ini. Tolong aku meyakinkan Diah sehinggalah
kami selamat diijabkabulkan. Buatlah dia setuju!. Aku janji yang aku akan
pastikan nasib Diah dan anaknya itu
terbela. Aku akan bahagiakan mereka. Aku janji dengan nyawaku Ziah!”. Pinta dan janji Zuraimie.
“Baiklah , demi Diah dan anak dalam
kandungannya itu!. Aku harap kau akan sentiasa ingat janji kau itu” . Ziah
akhirnya bersetuju.
Setelah tiada apa lagi
yang boleh dilakukan di hospital dan sementara Diah masih lagi tidur , Ziah
meminta diri untuk segera kembali ke dewan konvokesyennya. Zuraimie menawarkan
diri untuk menghantarnya namun Diah menolak.
“Tak apalah. Depan tu ada banyak
teksi. Aku naik teksi saja. Kau tengok-tengokkanlah Diah”. Kata Ziah.
“Baiklah. Terima kasih Ziah!” . Jawab Zuraimie. Dia benar-benar lega dan
bersyukur dengan kesediaan Ziah membantunya meyakinkan Diah.
“Diah , akan ku bela nasibmu”. Bisik
hati kecilnya.
Biasa sangat kita dengar
Orang
cukup berani berkata
Hmm
... tindakan ini memang benar
Oh
perlu , ‘bohong sunat’ namanya
Nanti
dapat mengelak cemar
Gusar
dibiar bencanakan tiba
Sungguh
benarkah begitu?
Umpama
hukum menjadi jenaka
Nanti
sanggupkah kita mengaku
Andai
tiba di pinggir neraka
Tatkala
gigil jasad yang kaku?
Bohong Jenaka ?!
|
Kembali ke dewan Konvokesyen
Ziah kembali ke dewan
konvokesyen. Sesampainya di situ , semua para graduan sedang sibuk berposing
mengambil gambar. Ada yang bergambar bersama teman-teman , ada yang bersama
ibubapa masing-masing dan tidak kurang juga yang bergambar bersama suami , tunang
atau kekasih.
“Huh ...”. Ziah mengeluh. Terlepas
sudah peluangnya untuk menyarung jubah jingga.
“Hmm ... tak mengapalah. Bukan ada
sesiapapun yang mahu meraikan kejayaanku ini. Sekadar nak ambil gambar dengan
Ba’ie saja. Tak adalah rugi sangat!”. Ziah tersenyum hambar mengenangkan
dirinya yang masih sendiri walaupun sudah suku abad umurnya.
“Hei , maafkan aku sebab tak ikut kau
tadi”. Sapa Ba’ie dari belakang sebaik saja terpandangkan Ziah, agak kesal
dengan sikap pentingkan dirinya itu.
“Tak ada apalah ... aku rasa
keputusan kau tu tak boleh dipersalahkan”. Jawab Ziah sambil tersenyum
memandang Ba’ie.
“Macam mana Diah , apa dah terjadi
padanya?. Cemas sangat suara Zuraimie tadi”. Tanya Ba’ie ingin tahu.
“Tadi Diah sedar sekejap. Bercakap
tak sampai seminit , tiba-tiba keadaannya tidak menentu. Doktor mengarahkan
kami membiarkan dia berehat. Pesakit tidak boleh dipaksa untuk mengingati
semuanya dengan segera”. Jelas Ziah.
“Ooo jadi Diah dah sedar ?”. Tanya
Ba’ie. Teruja dengan berita itu.
“Ya. Sedar sekejap”. Jawab Ziah.
“Jadi?”. Ba’ie tidak berpuashati
dengan jawapan pendek Ziah itu.
“Ya lah sedar sekejap lepas tu tak
sedar semula”. Jawab Ziah lagi.
“Jadi?”. Ba’ie mengangkat keningnya sambil memandang Ziah
dengan wajah penuh tanda tanya.
“Heee ... tak sabar ye? Sebetulnya
tadi memang Diah sedar sekejap. Cuma ...”.
Ziah terdiam.
“Yelah , dah dua kali kau bagitahu
aku yang Diah tu tadi sedar sekejap. So , apa lagi yang berlaku?”. Tanya Ba’ie
tidak sabar.
“Huhhh , walaupun dia dah tersedar
sekejap , ingatannya tidak!” . Jawab Ziah.
“Maksud kau , Diah hilang ingatan?”.
Tanya Ba’ie meminta kepastian.
“Hmm ... begini Ba’ie , Diah seperti
hilang semua ingatannya. Diah lupa namanya sendiri. Diah juga tak kenal aku dan
Zuraimie. Diah juga tak tahu apa yang telah terjadi kepada dirinya. Malah aku
yakin yang Diah juga sudah melupakan Raziq!”. Terang Ziah.
“Maksudnya ... Diah betul-betul
hilang ingatan?” . Tanya Ba’ie, bagaikan tidak percaya dengan apa yang
didengarnya.
Ziah mengangguk. “ Begitulah
nampaknya”. Ba’ie terdiam mendengar jawapan Ziah. Tidak disangkanya perkara
sebegini akan menimpa Diah , gadis cantik dan ceria yang sentiasa mencuri
perhatian lelaki. Setelah lama berfikir , akhirnya ...
“Ok. Diah hilang ingatan. So apa yang
peliknya?” . Kata Ba’ie tiba-tiba.
“Helloo! Kawan kita dah hilang
ingatan. Dia dah jadi orang baru. Dia tak ingat langsung tentang kisah lalunya.
Itu kau kata tak pelik?”. Ziah hairan mendengar respon Ba’ie begitu.
“Ya , apa yang nak dipelikkan. Diah
kan terlibat dalam kemalangan ngeri. Dah
tentu kejadian itu menjadi satu trauma yang pastinya mengganggu minda dan
emosinya. Aku yakin lama kelamaan ingatannya itu pasti akan semakin pulih. Kau janganlah sedih
sangat. Berilah Diah masa. Dia pasti akan ingat semula kisah lalunya”. Jelas
Ba’ie , cuba bersikap optimis. “Mendung pasti akan berlalu juga kawan”. Sambung
Ba’ie lagi sambil menepuk bahu Ziah.
“Eeee ... peliklah kau ni. Kau cakap
macamlah Diah tu tak pernah kau kenal!”. Marah Ziah , tidak boleh menerima
reaksi Ba’ie yang bersahaja.
“Eh , apa maksud kau?. Apa ... kau ingat aku langsung tak pedulikan Diah?.
Begitu?”. Tanya Ba’ie bertubi-tubi. Naik anginnya apabila dituduh begitu. Ziah
diam. Malas untuk melayan kerenah dan kata-kata Ba’ie.
“Hmmm
... macam nilah. Aku sangat faham perasaan kau. Betapa
sayangnya kau pada Diah. Tapi janganlah kerana rasa sayang kau itu hingga menutup mata kau daripada melihat
fakta yang sebenarnya. Inilah masalah kau Ziah , sedari dulu lagi kau ini
terlalu sangat dipengaruhi oleh emosi. Buktinya , Zuiraimie. Sampai sekarang
pun kau tak dapat nak melepaskan perasaan kau terhadap dia. Sedangkan telah
terbukti di depan mata , Zuraimie tu hanya cintakan Diah. Kau perlu berubah
Ziah. Berpijaklah di bumi nyata!”. Panjang lebar Ba’ie menerangkan maksudnya.
Ziah diam mendengar
leteran Ba’ie. “Ada benarnya juga kata-kata Ba’ie itu. Aku cukup menderita
kerana cintakan Zuraimie. Mudah sungguh bagi Ba’ie melupakan segalanya sedangkan
aku ... masih menjadi pungguk yang
merindukan bulan!”. Fikir Ziah.
“Huhhh!!”. Keluhnya keras.
“Hmm ... mengapa nak
mengeluh?. Memang betulkan semua kata-kataku itu?”. Balas Ba’ie. Ziah membalasnya dengan senyuman
tawar.
“Kau memang hebat Ba’ie!”. Fikir
Ziah.
“Err ...
apa kata doktor pasal Diah?” . Tanya Ba’ie , sengaja menukar tajuk
perbualan.
“Entahlah. Tadi selepas Diah tertidur
semula , aku terus bergegas ke sini. Manalah tahu kalau-kalau sempat sebelum
giliran aku naik ke pentas”. Ziah tersengih memandang Ba’ie.
“Hmm ... dah tentu-tentu tak sempat.
Kecewa?” . Tanya Ba’ie.
“Huh , tak dalah ... dah tak ada rezeki nak naik pentas.
Relaks je lah!”. Jawab Ziah selamba.
“Heee ... macam tulah kawan aku. Relaks je!”. Renyih
Ba’ie.
“Betul kata kau. Aku kena belajar
untuk ‘relaks’!”. Ziah berkata sambil tersenyum.
“Lagipun ... Diah lebih penting. Sekarang ni dia sedang keliru. Keadaannya
masih lemah. Dia perlukan sokongan kita kawan-kawannya. Kau tahukan , ibubapa
diapun dah tak mahu ambil peduli. Sebenarnya aku ni tengah risau sangat , dalam
dilemma”. Kata-kata Ziah itu menyebabkan Ba’ie kehairanan.
“Dilemma?”. Tanyanya sepatah.
“Ya lah , esok kitakan dah nak balik.
Tapi aku tak sampai hatilah nak tinggalkan dia sendirian. Kalau dulu dia koma ,
tak tahu apa-apa. Tapi kini keadaan dah berubah , Diah dah sedar dan dia sedang keliru dan sangat memerlukan kita
, kawan-kawan rapatnya”. Ziah melahirkan kerisauannya.
“Laa ... aku ingatkan dilemma apalah
tadi. Hmm ... tapi betul gak cakap kau tu , Diah memang sangat memerlukan
sokongan kita sekarang ni ... tapi macam mana ya?”. Ba’ie turut menjadi risau.
“Majlis konvo pun dah habis. Errr ...
apa kata kita ke hospital sekarang?”.
Tiba-tiba Ba’ie memberikan
cadangan , terbawa-bawa dengan kerisauannya.
“Heee
... paku serpah paku serpih , mengata orang awak yang lebih!.
Mana perginya ‘relaks’ kau tu?”. Ziah memulangkan paku buah keras kepada Ba’ie. Ba’ie buat-buat tidak faham. Ziah pula tertawa geli hati.
“Hmm ... ketawa ketawa juga tapi apa
nak buat?”. Pertanyaan Ba'ie yang langsung mematikan tawa Ziah. Ziah menggelengkan kepala manakala Ba’ie pula mengangkat kedua belah bahunya.
No comments:
Post a Comment