Setelah berada lebih lima jam di
dalam bas ekspress yang dinaikinya sejak semalam , Ziah akhirnya sampai ke
destinasinya. Ziah tercari-cari kelibat Diah. Akhirnya …
“Ziah!!”.
“Diah!!”
Kedua sahabat itu saling berpelukan.,
Ziah berasa benar-benar lega lebih-lebih lagi setelah terpandangkan wajah
sahabatnya itu. Wajah sahabatnya itu diamati betul-betul , “Diah , kau tetap
macam dulu , tidak berubah”. Puji Ziah.
“Heee … kau tu pun apa kurangnya”.
Balas Diah sambil memandang Ziah. Memang sababatnya itu masih tetap cantik
seperti dulu. Wajah yang sentiasa ayu dan tenang itu ditatapnya lama.
“Wow! Apa pandang lama-lama ni. Naik
seram aku dibuatnya”. Kata Ziah sambil memetik – metik jarinya di depan muka
Diah.
Diah tertawa , “Rindu!”. Jawabnya.
“Macam mana perjalanan?”. Tanya Diah pula
, gembira benar kerana dapat bertemu semula dengan sahabat baiknya ini setelah
lebih setengah tahun berpisah.
“Naik bas ekspress lebih lima jam .Huh!
... sungguh memenatkan. Naik kematu punggung aku ni. Ni hah ,tengkuk pun dah
sakit asyik terlentuk je!”. Ziah merungut sambil memegang tengkuknya .
“Huh ... buat cita sedihlah
tu!”. Diah memuncungkan bibirnya. Tidak
mahu mengakui bahawa dia telah menyusahkan sahabatnya itu.
“Amboi ... cantiknya muka!” . Ziah
menarik bibir Diah , sama seperti dulu-dulu juga. Dia memang suka menarik bibir
Diah yang sengaja dimuncungkan setiap kali dia tidak berpuas hati.
“Woiii ... sakitlah!!”. Diah menolak
tangan Ziah.
“Ha ha ha … padam muka!”. Kata Ziah
sambil tertawa. Tangan Diah dirangkulnya dan mereka terus berjalan beriringan.
“Heh, nak bawak aku ke mana?”. Tanya
Ziah apabila tangannya ditarik.
“Mana lagi , mahligai aku yang dah
kusam tu lah!!”. Balas Diah sambil tersengih.
“Aii ... lain macam je bunyinya!”.
Tegur Ziah , memandang Diah dengan penuh tanda tanya.
“Hmm ... kita cita kat rumah nanti je
lah. Errr ... macam mana keadaan abang Anip kau tu sekarang?”. Giliran Diah
untuk bertanya.
“Huhhh ... alhamdulillah , dia
semakin pulih. Sekarang ni aku bolehlah
menarik nafas dengan tenang. Sebenarnya masa baru keluar dari hospital
dulu , abang Anip nampak macam semakin pulih. Tapi entah mana silapnya tak
semena-mena , lepas seminggu di rumah keadaannya
tiba-tiba bertukar menjadi semakin teruk. Selain fizikalnya yang semakin tenat
, abang Anip juga selalu didatangi oleh mimpi yang bukan-bukan. Tidurnya tidak
pernah lagi aman. Kesian dia. Aku pun hampir berputus asa , dah tak tahu apa
nak dibuat lagi ... hanya berdoa dan berserah kepada Allah yang Maha Esa. Namun
akhirnya aku terfikir sendiri yang ini
semua adalah dugaan dariNya. Juga sebagai ujian untuk menguji sejauh mana cintaku padanya.
Alhamdulillah , akhirnya aku berjaya mengumpulkan semula kekuatan. Kemudian,
barulah aku dapat memainkan perananku sebagai
seorang isteri dengan lebih baik untuk membantu abang Anip”. Jelas terpancar
kesyukuran di wajah Ziah tatkala teringatkan segala suka duka yang telah
dilaluinya bersama suami tercinta.
Diah diam ... terasa dirinya
benar-benar lemah berbanding Ziah. Rasa bersalah pula menyebabkan Ziah terpaksa
berjauhan dari suami yang dicintainya.
“Kau tentu sangat cintakannya , kan
Ziah?”. Tanya Diah dengan wajah polos memandang Ziah.
“Sepenuh jiwa ragaku”. Jawab Ziah
tanpa ragu.
Diah tersenyum mendengar jawapan Ziah itu.
“Masih adakah cinta sejati dalam dunia ini?”. Fikirnya sendiri. Diah terus
tertawa apabila melihat Ziah menaikkan keningnya beberapa kali sebelum
menjulingkan matanya ke arah Diah.
“Ziah ... maafkanlah aku. Kerana aku
kau terpaksa berjauhan dengan abang Anip”. Diah menundukkan kepalanya. Kesal
kerana telah membebankan sahabatnya itu dengan masalahnya pula.
“Eh , apa pulak. Abang Anip yang
menggalakkan aku ke mari. Dia tahu yang kita ni dah macam adik beradik. Susah
kau susah aku jugak. Tak gitu?”. Balas Ziah , cuba menghilangkan rasa bersalah
Diah. Menitis air mata Diah mendengar kata-kata Ziah , tiba-tiba sahaja dia
jadi begitu sensitif.
“Bertuahnya kau dapat seorang suami
yang sangat memahami”. Balas Diah sambil mengesat air matanya.
“Eh , kenapa kata begitu. Kau tu
sebenarnya yang sangat bertuah dapat lelaki macam Zuraimie , ingat di masa kau
susah dahulu … siapa yang sentiasa ada
di sisi kau?. Aku sahabat baik kau nipun tak sanggup berkorban sebagaimana yang
telah dilakukannya. Diah hargailah dia. Dia itu terlalu sayang dan cintakan
kau. Kau kena sedar itu”. Ziah mengingatkan Diah akan pengorbanan yang telah
dilakukan Zuraimie kepadanya.
Diah menyambung tangisnya , lebih teresak-esak
mendengar kata-kata Ziah itu , memang tidak dapat dinafikan Zuraimie adalah
penyelamatnya , Zuraimie telah banyak bersabar dan berusaha bersungguh-sungguh
untuk mendapatkan cintanya. Zuraimie yang tetap sanggup menerimanya walaupun
dirinya kotor dan penuh dosa. Tetapi mengapa setelah hatinya terbuka untuk
Zuraimie , segalanya berubah. Zuraimie yang dulunya adalah penyelamatnya
kini telah pandai menyakitinya ,
Zuraimie yang sangat mencintainya kini curang kepadanya , Zuraimie kini sudah
tidak seperti dulu , Zuraimie kini sudah pandai berbohong!. Diah terseak-esak
mengingatkan semua itu.
“Alahh ... ni yang aku malas ni. Tak
payahlah nak nangis-nangis. Ingat, nangis takkan menyelesaikan masalah!.Hah!
mana kereta kau? Ke kita nak berjalan kaki saja?”. Tanya Ziah , sengaja menukar
tajuk perbualan. Diah tersenyum juga mendengar ocehan Ziah. Sudah lama benar dia
tidak mendengar leteran Ziah begitu. Rindu dia kepada bebelan dan ocehan Ziah
begitu.
“Tu hah ... jomlah!”. Kata Diah
sambil mengesat airmatanya lalu segera menarik tangan Ziah ke arah sebuah kereta
Toyota Corolla hitam . Sebaik sahaja mereka menghampiri kereta tersebut ,
seorang lelaki berpakaian serba putih ,
siap bertopi turun dari bahagian pemandu lalu dengan segera membukakan pintu
belakang Toyota Corolla hitam kepada dua wanita ini.
“Bahari ... balik terus ke rumah”.
Arah Diah.
“Baik puan!”. Jawabnya tanpa soal
lalu kereta terus dipandu laju ke destinasi yang diarahkan meninggalkan perhentian bas Pekeliling.
“Baik puan!”. Ajuk Ziah perlahan
sambil mengenyitkan matanya kepada Diah. Diah hanya tersenyum.
“Kau tinggal di mana sekarang?”.
Tanya Ziah pula.
“Masih tinggal di Bangi tapi tidak
satu rumah ngan keluarga mertua aku lagi. Tinggal di rumah sendiri”. Jawab
Diah.
“Dulu ... tinggal di rumah
mertua?”.Tanya Ziah lagi. Diah hanya menganggukkan kepala.
“Macam neraka dunia!”. Bisiknya
perlahan ke telinga Ziah.
“Hushhh! Tak baik kata begitu!. Ibu
dan bapa mertua tarafnya sama saja dengan ibu dan bapa kita sendiri. Wajib kita
muliakan dan menyayanginya sama seperti kita muliakan dan sayangkan ibubapa kita sendiri. Malah ,
kalau jodoh kita dengan suami tak panjang sekalipun mereka tetap menjadi
ibubapa mertua kita selamanya. Taraf yang dibawa sampai ke akhirat”. Tegur Ziah
, tidak suka mendengar komen Diah tentang mertuanya.
“He he he “. Diah tertawa mendengar
kata-kata Ziah itu. Ziah terkejut dan tidak faham dengan reaksi Diah. Wajah
Diah ditatapnya.
“Yelah , kau suruh aku muliakan dan
sayang mereka macam mak bapak aku sendiri padahal mak bapak aku kan dah lama buang
aku. Aku ni anak terbuang. Merempat dan sudah tak punya siapa-siapa. Maka
semestinya aku ini sudah tidak layak untuk memuliakan dan menyayangi mereka ,
baik ibubapaku sendiri atau kedua mertuaku. Lagipun aku dah lupa cara nak
memuliakan dan menyayangi mereka!”. Terang Diah.
“Laaa … ke situ pulak. Sepatutnya ,
kalau ibubapa kandung kau dah tak terima kau , lagilah kau patut muliakan dan
sayangkan ibubapa mertua kau”. Jawab Ziah selamba.
“Huh?”. Keluh Diah. Tidak disangkanya
Ziah akan berkata begitu.
“Huh?”. Ajuk Ziah , memandang Diah
dengan wajah yang serius , sengaja kening kanannya dijongketkan ke atas.
“Betul Ziah , aku bukan nak buat
cerita. Memang betul itu yang aku rasa. Tinggal dengan ibubapa mertua , macam betul-betul
tinggal di neraka. Neraka dunia!!”. Diah mengulangi kata-katanya dengan keras.
Bahari seperti terganggu mendengarnya. Ziah segera menyinggung lengan Diah
sambil memuncungkan mulutnya ke arah Bahari. Diah segera menutup mulutnya.
“Uppss!!”.
Ziah hanya menggelengkan kepalanya ,
“Teruk kawan aku ini”. Fikirnya.
Ziah akhirnya mengambil
keputusan untuk mendiamkan diri di sepanjang perjalanan itu. “Diah , aku
ngantuklah ... nak tidur ... nanti dah sampai kau kejut ye”. Sengaja memberi alasan
begitu. Diah mengangguk. Perjalanan yang
mengambil masa satu setengah jam itu cukup merehatkan bagi Ziah. Setelah
semalaman terhengguk-hengguk di dalam bas , Ziah kini boleh melelapkan matanya
dengan tenang dan aman. Toyota Corolla Altis yang dipandu Bahari berjalan
lancar dan mampu menyerap hentakan
dengan cukup baik.
“Memang berkualiti kereta keluaran
Jepun ini. Tentunya kereta Malaysia juga akan jadi sehebat ini satu hari
nanti”. Fikir Ziah sebelum benar-benar terlena ...
Di luar tembok
dibarisi oleh Ixora javanica
...
“Ziah! Ziah! Dah nak sampai ni.
Bangunlah!”. Kejut Diah , sambil menggoncang perlahan bahu Ziah. Ziah
terkebil-kebil membuka matanya.
“Errghh ... ngantuknya!. Dah sampai
ke?” . Tanya Ziah sambil menahan nguap mulutnya.
“Ye ... dah sampai rumah aku!. Tak
payahlah kau asyik nak jadi ‘sleeping beauty’”. Diah berseloroh , Ziah pula hanya tersengih mendengar
kata-kata Diah itu.
“Sleeping beauty?. Beauty?”. Kata
Ziah di dalam hatinya , tanpa sedar Ziah mengusap – ngusap pipinya sendiri.
Diah bangga
menunjukkan rumah banglo dua tingkat
yang dicat hijau. Dinding temboknya pula dihiasi batu bata merah asli yang
disimen cantik. Di halaman rumah pula hidup subur dua rumpun pinang merah.
Palma hiasan yang mempunyai nilai astetika yang tinggi. Di luar tembok indah dibarisi
oleh Ixora
javanica yang biasanya
dipanggil dengan panggilan pokok jejarum. Bunga kuning jingganya amat menarik hati. Tidak cukup dengan itu ,
di penjuru kiri halaman rumah itu dilengkapi sebuah kolam ikan yang sederhana
besarnya. Batu-batuan sungai disusun sebegitu rupa mewujudkan suasana air
terjun yang begitu indah sekali. Bunyi deraian air jatuh , liuk lengguk ikan
talapia Jepun berenang sungguh mengasyikkan ...
“Wah ... cantiknya rumah kau Diah!” .
Puji Ziah , ikhlas. Terpaku dia melihatkan keindahan bahagian luar rumah Diah
itu.
“Ye ke? ... Terima kasih!. Eh ,
marilah kita masuk. Kau tentu dah penat. Bolehlah mandi dan berehat dulu. Nanti
dah hilang penat bolehlah kita bercerita”. Ajak Diah.
“Hmm ... yelah. Aku memang perlukan
bilik air sekarang ni!”. Ziah merenyih sambil tersenyum. Tangannya memegang
perut.
“Eeee … ada-ada sajalah kau ni”.
Balas Diah.
Pucuk dicita ulam
mendatang ... Ziah membersihkan dirinya lalu berehat seketika di atas sofa panjang
yang tersedia. Bilik tetamu yang didiaminya ini sungguh menyegarkan , cukup dengan
kelengkapan penghawa dingin , katil , almari solek dan tidak ketinggalan
jambangan bunga ros hidup menambahkan lagi seri bilik itu.
“Mewahnya hidup kau Diah”. Kata hati
Ziah lalu membandingkan segala yang dimiliki oleh Diah dengan milikannya. “Hmm
… dah lama aku tak merasa duduk di tempat ber’aircond’ macam ni. Duduk di
kampung , mengajar di pedalaman. Manalah nak ada kelengkapan serupa ini. Tapi
aku tetap bahagia. Ya , aku bahagia dan bersyukur dengan segala yang kumiliki.
Rumah kayu yang sudah berzaman , sungai yang sentiasa deras airnya , daun-daun
telipuk yang melambai-lambai bersama arus , ikan-ikan yang sentiasa lapar ,
kebun sayur yang menghijau , anak-anak ayam nakal berlari – lari di reban dan
yang lebih utama , punya keluarga mertua dan seorang suami yang sangat
mencintaiku dan sangat aku cintai. Sungguhpun terlalu sedikit yang diberinya ,
itu sudah cukup membuatkan hidupku ini bahagia ”. Kata Ziah kepada dirinya
sambil membayangkan wajah abang Anip yang dirindui. Tidak sampai sehari berpisah sudah menggunung rasa rindu di
kalbu. Terbayang-bayang olehnya senyuman manis nan menggoda abang Anip apabila
minta dimanjai , terhidu-hidu bau minyak wangi atar yang sering dipakai abang
Anip tiap kali mahu solat dan terngiang-ngiang suara abang Anip
memanggil-manggil dari atas rumah. “Huh! Baru sehari berpisah dah anagu
sebegini!!”. Keluh Ziah sambil meraup wajahnya beberapa kali.
Aku Rindu Kamu
Aku rindu kamu
Kulekapkan tanganku di dada
Utuh rasanya hadirnya
cintamu
Raungan jiwa mengharap wujudmu nyata
Ingin memeluk sayang mesra jasadmu
Nak ku dengar tiap helaan nafas nyawa
Didakapan rindu bagai nyata
bersatu
Usaikan dendam lelah kasih mendamba
Kekasih awal dan akhir utuh selamanya
Aur dan tebing kian akrab menjadi satu
Manusia dan permainan angan diminda
Umpamakan sayangku buatmu selalu
Lakaran Hati Ziah yang merindu
|
Ziah melakarkan dan mengalunkan puisi
cinta di kajang kalbunya , khas untuk suami tercinta. Sambil mindanya
berdendang mesra , terbayang olehnya wajah abang Anip yang tampan menawan
tatkala kali pertama tangan mereka bersatu dalam perarakan gilang gemilang
menyambut menantu di Pagan Sena dahulu.
“Aku sayang kamu!”
“Aku sayang kamu!”
Kata-kata keramat yang bagaikan sudah
sebati dengan jiwanya , sentiasa bermain di bibir mindanya. Akhirnya bagaikan
orang mengantuk disorongkan bantal , bersama cinta abang Anip yang sentiasa
segar diingatan , Ziah melelapkan matanya sekali lagi. Namun tanpa Ziah ketahui
, ada yang langsung tidak dapat melelapkan matanya sejak semalam. Dia
benar-benar bagaikan pungguk merindukan bulan , mengharap waktu berlalu pantas agar sang isteri akan segera kembali berada di
pangkuan … abang Anip sedang amat merindu!
No comments:
Post a Comment