Popular Posts

Sunday, 30 April 2017

Novel 2 : Selepas Hujan ... Bab 23

BAB 23                      ‘BIPOLAR DISORDER’


Ada ketika kita hilang punca ... dilema dalam konflik keinginan yang bercanggah
Maka ...
Kembalilah ke jalan tuhanmu

Ziah termenung memikirkan peristiwa ...
Hari ini berlalu begitu suram sekali , sesuram hati penghuni rumah kayu itu. Abang Anip sendiri telah menceritakan segala yang berlaku  kepada abah , mak dan adiknya Miah. Bermula daripada mimpinya yang aneh sehinggalah dia akhirnya mencekik leher Ziah tanpa sedar.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan lagi”. Kata mak Midah kepada suaminya.  Dia risaukan keselamatan anak menantunya. Dia juga tidak mahu anaknya kelak sampai menjadi pembunuh!.
“Ya abang tahu. Abang akan berjumpa dengan Alang hari ini juga. Nak pergi rumah mertuanya ustaz Mukhriz”. Cikgu Karim memberitahu isterinya. Mak Midah hanya mengangguk-ngangguk. Dia faham maksud suaminya itu.
“Untuk apa abah?. Bukankah lebih elok abang dibawa berjumpa doktor. Miah rasa jiwanya itu terganggu …”. Belumpun sempat Miah menghabiskan kata-katanya , mak Midah segera memotong.
“Jumpa doktor?. Perkara macam ni bukan boleh dibawa jumpa doktor. Apa yang boleh doktor lakukan?”. Tanya mak Midah sambil mengerutkan dahinya.
“Doktor biasa memanglah tak boleh rawat masalah abang ni … maksud Miah , doktor jiwa. Jiwa abang Anip itu perlu dirawat. Ini bukan kerja kita atau mana-mana ustaz atau bomoh”. Jawab Miah , serba salah mahu menghabiskan ayatnya. Lantas wajah kedua orang tuanya itu ditatap.
“Jangan kau nak merepeklah Miah!”. Marah mak Midah , memandang wajah anak gadisnya dengan kening yang berkerut keras.
“Tapi mak … hari ini kak Ziah , entahkan esok lusa …”. Jawab Miah.
“Sudah!. Tak ada apa yang akan berlaku pada kita semua. Abang kau tu bukannya gila. Jangan kau nak memandai-mandai”. Bentak mak Midah.  Terdiam Miah dibuatnya.
“Sudah! Sudahlah tu. Cukuplah dengan masalah yang kita hadapi ini. Janganlah pulak kita nak bertegang leher. Sekarang aku akan ke Pekan cari Alang. Ada rezeki aku bawa sekali ustaz Mukhriz itu ke mari petang ni”. Kata cikgu Karim.
“Ustaz ada di sini ke?”. Tanya mak Midah , langsung berpaling dari menatap wajah Miah. “Masakan tergamak Miah mengatakan abangnya itu gila!”. Fikir mak Midah , jengkel.
“Tak apa . kalau dia tak ada pun , sepupunya pun boleh mengubat. Dalam keadaan sekarang ni , apabila tak ada rotan , akarpun berguna juga”. Jawab cikgu Karim. Mak Midah mengangguk-nganggukkan kepalanya lagi tanda setuju manakala Miah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Mak , abah ni , perkara berkaitan dengan nyawapun masih mahu diambil ringan”. Keluh hati Miah namun jauh di sudut hatinya amat memahami perasaan kedua orangtuanya itu. Kedua orangtuanya itu tidak boleh menerima kenyataan bahawa jiwa abang Anip sedang ‘kacau’.
Sementara itu Ziah termelenggu memandang wajah polos suaminya yang sedang lena. Mungkin keletihan kerana tidurnya  malam tadi terganggu dengan mimipi ngeri. Sesekali Ziah meraba lehernya , sakit dicekik masih terasa ...
“Ukhh! ...”. Keluhnya. Berat sungguh bebanan perasaannya kini. Peristiwa dia dicekik itu amat menakutkan tetapi dia harus bersikap biasa di hadapan suaminya. Ziah sedar , segala yang berlaku bukanlah kehendak suaminya ...  Ziah sedar , suaminya sendiri sangat tertekan dengan apa yang terjadi.
“Kasihan abang Anip!”. Keluh Ziah sambil membelai lembut rambut lurus kejung suaminya itu.
Bagi abang Anip pula kejadian dia mencekik leher isterinya itu  amat menekan jiwanya. Masakan dia sampai  membahayakan nyawa orang yang disayanginya. Sengaja matanya dipejamkan , berlagak seperti sedang lena. Hakikatnya , abang Anip tidak tahu bagaimana lagi mahu berlagak biasa di hadapan Ziah.
“Oh Ziah! Maafkan abang ... ”. Keluhnya di dalam hati.

... ustaz Mukhriz tanpa ragu terus sedia membantu ...
Petang itu cikgu Karim pulang bersama Pak Lang dan ustaz Mukhriz. Nasibnya cukup baik kerana kebetulan ustaz Mukhriz sedang  berada di Kuantan. Kedatangan cikgu Karim tepat pada waktunya ...  ustaz Mukhriz pada ketika itu baru saja balik dari mengubat orang di Kampung Rangas , Kuantan. Mendengarkan kesusahan yang menimpa keluarga cikgu Karim , ustaz Mukhriz tanpa ragu terus sedia membantu. Padanya permintaan bekas guru itu tidak mungkin ditolak , terlalu banyak jasa yang telah dicurahnya buat anak bangsa!.
“Jemput naik ustaz”. Ajak cikgu Karim , sebaik sahaja kakinya memijak anak tangga pertama rumah kayunya itu.
“Ya!”. Jawab ustaz Mukhriz sepatah. Dia lebih banyak mendiamkan diri. Membaca ayat-ayat Qur’an dan cuba mengesan keadaan rumah dan sekelilingnya. Amalan perubatan yang dipelajarinya membantunya mengesan kehadiran makhluk lain yang biasanya suka mengganggu anak cucu adam. “Itu memang janji dan sumpah mereka … akan sentiasa menyesatkan dan mengganggu hidup anak cucu Adam”.
Setelah berada di tengah rumah  ...
“Alhamdulillah , rumah cikgu ni bersih. Tak ada unsur-unsur jahat di dalamnya”. Kata ustaz Mukhriz , tersenyum memandang cikgu Karim dan pak Lang.
“Maksud ustaz?”. Tanya Pak Lang kurang faham.
“Ya . Begitulah. Tiada unsur-unsur sihir atau gangguan makhluk lain. Apa yang berlaku itu mungkin disebabkan masalah atau pembawaan pesakit sendiri”. Terang ustaz Mukhriz. Pak Lang mengangguk-nganggukkan kepala tanda faham. Ada rasa syukur di hatinya , sekurang-kurangnya anak lelaki tunggalnya itu bukanlah terkena sihir atau diganggu makhluk halus.
“Ermm … bawalah saya terus jumpa Anip. Mana dia?”. Tanya ustaz Mukhriz.
“Aaa ... iya. Dia ada di dalam biliknya. Selepas peristiwa subuh tadi , dia hanya mengurungkan dirinya dalam bilik. Mungkin rasa bersalah sedang menghukumnya”. Jawab Ziah yang turut menyambut kedatangan ustaz Mukhriz petang itu.
“Sebaiknya orang seperti ini tidak ditinggalkan sendirian”. Tegur ustaz Mukhriz.
“Err ... maksud ustaz?”. Tanya cikgu Karim dan Pak Lang serentak.
“Tak apalah. Biar saya jumpa dia dulu”. Kata ustaz Mukhriz lalu berjalan mengikut arah yang ditunjukkan Ziah.
Sampai di muka pintu , ustaz Mukhriz masuk ke dalam bilik , dilihatnya abang Anip sedang berbaring dengan mata terpejam. Dia memberi salam tetapi salamnya tidak dijawab . Abang Anip berpura-pura lena. Ustaz Mukhriz tersenyum memandang perilaku abang Anip. Dia berjalan terus lalu duduk dihujung kaki abang Anip.
“Anip , ini ustaz datang berziarah. Mengapa berdiam diri begini. Bukalah mata tu. Marilah kita berbual-bual seketika”. Ucap ustaz Mukhriz sambil menepuk-nepuk kaki abang Anip. Namun abang Anip masih terus membatukan diri. “Apa lagi yang mahu dibicarakan . Segalanya telah nyata. Memang aku pembawa bencana”. Fikir abang Anip.
“Tak mengapalah , kalau Anip tidak sudi menerima kedatangan ustaz , ustaz minta diri dahulu”. Kata ustaz Mukhriz sambil bangun , berpura-pura mahu keluar meninggalkan bilik itu.
“Nanti!”. Tiba-tiba abang Anip bersuara sambil membuka matanya memandang ustaz Mukhriz …

 Ziah sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan semula suami yang dicintai ...
Setelah lebih sejam bercerita dan  merawat jiwa abang Anip yang kosong , ustaz Mukhriz keluar mendapatkan cikgu Karim , Pak Lang , Ziah dan mak Midah. Mereka telah menanti dengan sabar ...  mengharapkan berita baik daripada ustaz Mukhriz.
“Bagaimana ustaz?”. Tanya mak  Midah tidak sabar. Jiwanya tidak tenteram memikirkan keadaan anak lelaki tunggalnya itu.
“Sabar makcik ... “ . Jawab ustaz Mukhriz sepatah sebelum mengambil tempat di sebelah cikgu Karim.
“Pada hemat saya , tiada gangguan jin atau syaitan yang mengganggu dirinya. Semua masalahnya datang dari dalam dirinya sendiri”. Ustaz Mukhriz memulakan bicara.
“Maksud ustaz?”. Tanya Pak Lang dan Ziah serentak.
“Anip itu mengalami konflik dalam jiwanya. Dia seperti hidup dalam dua dunia yang bertentangan nilai. Mudahnya , dirinya adalah musuhnya sendiri. Saya yakin peristiwa yang berlaku dahulu masih menghantui dan menekan jiwanya. Ziah ,  awak harus lebih bersabar .  Suami awak memang sangat sayangkan awak ... bantulah dia mengharungi saat-saat sukar ini. Saya harap cinta awak padanya cukup besar untuk mengharungi semua ini. Bukan saja kesabaran tetapi mungkin keselamatan awak juga menjadi taruhannya. Bimbinglah dia untuk dekat kepada Allah. Hanya dengan mengingati Allah , hati akan tenang”. Pesan dan nasihat ustaz Mukhriz kepada Ziah. Ziah  menganggukkan kepalanya.
“Ya ustaz ,  Ziah faham dan Ziah sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan semula suami yang dicintai”. Jawab Ziah tegas.
“Alhamdulillah!”. Jawab Ustaz Mukhriz sambil mengangguk-nganggukkan kepalanya.
“Cikgu , Pak Lang ... pada pandangan saya , Anip itu perlu dirawat di hospital atau tepatnya di klinik psikiatrik. Penyakitnya itu perlukan bantuan pakar. Bagi pihak kita , kita bantu dia dengan cara menggalakkan dia mendekatkan dirinya pada Allah”. Terang ustaz Mukhriz. Cikgu Karim , Pak Lang dan makcik Midah hanya diam mendengar.
“Saya rasa kalau dalam istilah perubatan , penyakit seperti ini dikenali sebagai Skizoprenia. Pesakit berhalusinasi tentang banyak perkara. Huh!. Bawalah dia berjumpa doktor yang sesuai”. Jelas ustaz Mukhriz , dia turut berasa risau dengan masalah yang dialami keluarga ini. Bukan tidak pernah didengarnya , orang yang mengidap penyakit ini boleh saja bertindak ganas hatta membunuh ahli keluarganya sendiri.
“Tapi yang saya tidak faham ustaz , adakah keuzurannya sekarang ini ada kena mengenanya dengan masalah jiwanya itu?. Skizoprenia tu kan penyakit orang tidak waras ... masakan dia ...”. Kata-kata cikgu Karim terhenti ...
“Ya . Kalau telahan saya ini benar , Anip ini bukan saja boleh membahayakan orang lain terutamanya Ziah , isterinya tetapi dia juga merbahaya kepada dirinya sendiri. Mendera diri sendiri mungkin menjadi cara dia menghukum diri”. Jelas ustaz Mukhriz.
“Menghukum dirinya?”. Tanya mereka serentak.
“Hmm ... beginilah , saya cadangkan agar Anip itu dibawa kepada doktor pakar jiwa. Jiwanya itu perlu dirawat”. Jelas ustaz Mukhriz lagi , tidak mahu terus membuat andaian.
“Untuk menenangkannya , ni adalah air yassin. Berilah dia minum”.Kata ustaz Mukhriz lagi sambil menghulurkan sebotol air sejuk yang sudahpun dibacakan air yassin. Sengaja air itu dibawanya sama.

Mendera diri sendiri ...
Lewat petang itu Ziah masih di tebing sungai. Termenung memandang riak di muka air. Kata-kata ustaz Mukhriz tadi kembali bermain di fikiran. “Apa sebenarnya yang menekan jiwa abang Anip hinggakan dia sampai jadi begitu?”. Fikir Ziah , buntu.
“Kalau telahan saya ini benar , Anip ini bukan saja boleh membahayakan orang lain terutamanya Ziah , isterinya  tetapi dia juga membahayakan dirinya sendiri. Mendera diri sendiri mungkin menjadi cara dan pilihannya untuk menghukum diri”. Itulah kata-kata ustaz Mukhriz yang mengganggu fikirannya kini.
“Mendera diri sendiri?” Fikir Ziah , cuba mencari makna dari kata-kata itu.
“Ukkhhh!. Mengapalah ustaz Mukhriz tidak berterus terang saja denganku. Tidaklah perlu aku berteka teki begini!”. Keluhnya berat. Ziah terus memerah otaknya , mencari punca masalah sebenar. Ziah mengenang semula rentetan peristiwa yang telah berlaku sejak mereka berumah tangga sehinggalah ke hari ini.
“Sejak sah dia menjadi suamiku tiada apa yang berlaku sehinggakan habis majlis menyambut menantu di rumah ini. Petang itu , kali pertama kami bersatu … semuanya indah. Kami benar-benar bahagia. Malah sangat bahagia.  Tapi tidak lama selepas itu , abang Anip tiba-tiba saja diserang strok sewaktu mahu makan malam. Belumpun habis senyum tawa dan usik mengusik saudara mara , abang Anip tiba-tiba diserang strok . Aku yang menemaninya di hospital. Lebih seminggu kami di hospital. Akulah yang menjadi teman setianya. Memulihkan semangatnya yang kian punah. Menaikkan semula harga dirinya yang ranap di mataku. Ya , abang Anip malu dengan keadaan dirinya , lebih-lebih lagi tatkala aku perlu membantunya membersihkan diri. Kasihan abang Anip namun tiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Seminggu bersama mengharungi kepayahan itu mendalamkan kasih sayang antara  kami berdua dan … semakin hari semakin sayang. Keadaan kesihatan abang Anip juga semakin pulih. Malangnya , sebaik sahaja dibenarkan pulang dan kembali ke rumah ini , keadaan abang Anip semakin teruk . Sakitnya semakin menjadi-jadi  ...”. Ziah terus berfikir.
“Banyak perkara aneh yang terjadi. Mula-mula bayangan lelaki mengejarku semasa di kebun tapi tiba-tiba  abang Anip pula yang muncul di muka pintu. Diikuti  kejadian aku terjatuh gara-gara minyak di tangga. Sampai hari ini , tidak pasti angkara siapa tapi yang nyata , tangan abang Anip memang berlumuran minyak. Tidak cukup dengan itu , mimpi buruk terus-terusan mengganggu tidurnya sehinggalah peristiwa aku dicekik. Separuh mati aku dibuatnya. Gara-gara abang Anip bermimpi pelik , aku yang menjadi mangsa. Huh!. Takkanlah semua itu suatu kebetulan atau mungkinkah …“.
“Ulps! Semuanya ada kaitannya dengan abang Anip dan … aku!”. Ziah memerah otaknya , cuba menghubungkaitkan semua peristiwa yang terjadi. Semua yang terjadi hanya menimpa dirinya , tidak Miah atau kedua orang ibubapa mertuanya. Sudah pasti ianya bukanlah suatu kebetulan.
“Ohh! Mungkinkah kasih sayang kami yang memusuhi kami ?”. Ziah terfikirkan sesuatu. Terbeliak matanya apabila mula memahami perkara yang terjadi.
“Tapi mengapa?”. Ziah masih tidak faham.

“Ya Allah , dugaan apakah yang Kau berikan kepadaku ini. Tabahkanlah aku!”. Doa Ziah.

No comments:

Post a Comment