BAB 24 MASIH ‘BIPOLAR DISORDER’
"Jadilah sinar penyuluh jalan kembali" -ada ketikanya kebenaran itu tersembunyi disebalik kepercayaan yang semakin menipis- |
Peristiwa
yang mengejutkan
Ziah letih! Letih sekali
memikirkan pelbagai perkara yang terjadi. Letih juga fizikalnya menguruskan itu
ini. Pagi hari ke sekolah , petang pula bagaikan lipas kudung menguruskan rumah
, menyediakan makan malam dan sisa waktu yang ada dimanafaatkan sepenuhnya buat
sang suami yang menderita … mental dan fizikal!
“Ini bahagian aku. Aku harus kuat!
Aku harus tabah!!”. Ziah memotivasikan diri … memberi semangat pada jiwanya
yang semakin lemah.
“Lagi pula , tiada yang kebetulan
dalam hidup ini. Segalanya adalah dalam perancangan Allah dan takdir yang telah
ditentukan untukku. Benar ya tuhan … dunia ini tempat hambaMu diuji. Maka
kuatkanlah aku … jangan Kau biarkan hambaMu ini terus berkeluh kesah”. Doa Ziah
… mengembalikan segalanya kepada Allah , tuhan yang satu.
Sesuatu yang
tidak diduga
Sedang Ziah masih leka
melayan fikirannya … mencari makna , cuba
memahami perkara yang berlaku dan menyerahkan kembali segalanya kepada Rob yang mencipta , tiba-tiba
Ziah terdengar bunyi seperti seseorang berlari laju ke arahnya. Ziah yang duduk
mengadap sungai segera berpusing ke belakang untuk melihat siapakah yang sedang
berlari itu , malangnya belumpun sempat dia berbuat apa-apa sesusuk tubuh
bertopeng , terlebih dahulu bergerak pantas lalu terus melompat dan menerkamnya
tanpa belas.
“Heeeiii!!!!” Jerit Ziah sebelum mereka
sama-sama terjatuh terus ke dalam sungai!
“Celepuss!!!”. Kuat bunyi kocakan air
menyambut keduanya.
Ziah meronta-ronta cemas ,
kakinya cuba dikayuh laju. Rerumpai yang tumbuh di pinggir sungai segera cuba
dicapainya. Dalam kepayahan itu , Ziah sempat mencari bayangan orang yang
menolaknya tadi. Seorang lelaki , dia sudahpun berjaya memanjat ke tebing
sungai … topeng yang dipakainya sudah tercabut. Munghkin hanyut dibawa arus.
“Aaabaannngggg … “ Ziah bagaikan
tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Abang! Tolong! Tolong Ziah …”. Ziah
cuba memanggil abang Anip namun panggilannya langsung tidak dihiraukan. Abang
Anip terus berlari pergi meninggalkan Ziah terkapai-kapai sendiri. “Abang!
Tolong Ziah …”.
Ziah mulai cemas. Rerumpai
yang cuba dicapainya semakin menjauh. Tenggelam timbul tubuhnya dilanda arus
sungai yang memang selalu deras. Tercungap-cungap mencari nafas , dia mulai meronta. Semakin keras rontaannya
, semakin tenggelam dan hanyut dia dibawa arus. Sudah banyak air yang
ditelannya , tenggelam timbul ... tenggelam timbul … akhirnya tidak
timbul-timbul lagi!
Biar saya
perbetulkan kesilapan yang telah saya ...
“Ziah! Ziah!”. Panggilan itu
menyedarkan Ziah. Matanya dibuka ...
“Ahh! Di mana saya?”. Tanya Ziah ,
memandang sekelilingnya. Dia kini sedang berbaring di atas tilam nipis yang
sudahpun hapak baunya. Matanya memandang sekeliling , dinding-dinding buluh
yang disusun rapat itu bagai pernah dilihatnya.
“Kau di rumah aku”. Jawab Kamal ,
memandang Ziah tanpa kelip.
“Kau! Kau!. Jangan apa-apakan aku!”.
Jerit Ziah tiba-tiba. Cemas benar dia apabila terpandangkan wajah pemuda itu.
Pakaiannya yang basah melekap ke badan itu ditariknya. Tidak selesa dengan
pandangan mata Kamal dan tidak mahu terus berada di pondok buruk itu
apatah lagi berdua bersama Kamal , lelaki yang pernah cuba menodainya
dulu!.
“Aku harus pergi dari sini! Aku harus
pergi dari sini!”. Jerit Ziah bagai orang kerasukan.
“Ziah! Ziah! Jangan takut. Lihat ,
mak akupun ada sama. Lihat , ini mak aku pun ada sama”. Kamal cuba menenangkan
Ziah.
“Ya Ziah , jangan takut. Makcik ada di sini”.
Kata ibu Kamal sambil menyorongkan dirinya ke hadapan. Duduk di sebelah Ziah
yang masih kuyup. Melihat wajah ibu Kamal , Ziah kembali tenang.
“Maafkan saya makcik tapi saya mahu
balik …”. Belumpun sempat Ziah menghabiskan kata-katanya , Kamal segera
memotong.
“Tadi saya jumpa awak lemas dibawa
arus. Mujur segera saya cepat terjumpa awak. Kalau tidak tak tahulah apa yang
mungkin terjadi”. Kamal menerangkan.
“Apa yang sudah berlaku?”. Tanya
Kamal , hairan memikirkan kejadian Ziah lemas itu.
“Ohh!!” Ziah bangun dari pembaringan
lalu duduk sambil memegang kepalanya
sendiri. Kepalanya terasa sakit , malah seluruh badannya.
“Kamal , saya mahu balik”. Ziah tidak
menjawab pertanyaan Kamal. Ingatannya segera kembali kepada suami dan keluarga
yang mungkin sedang cemas menunggunya.
“Kenapa awak semua benci sangat pada
saya. Apa yang telah saya buat sehingga awak malah Miah juga tiba-tiba saja menjauhkan
diri daripada saya?. Apa , bangsat sangatkah saya ini?”. Tanya Kamal. Kesal
dilayan sebegitu rupa. Tersinggung benar dia melihatkan kebiadapan Ziah.
Jangankan mahu berterima kasih malah pertanyaannya langsung tidak dijawab.
“Kamal , awak tanya saya apa yang
telah awak buat?. Awak masih berani bertanyakan saya tentang apa yang telah
awak buat?”. Ziah hairan. Kata-katanya penuh sindiran.
“Ya ! Apa yang telah saya buat?”.
Tanya Kamal mendesak. Marah disindir tanpa sebab.
“Kamal , janganlah berpura-pura. Saya
mendiamkan perbuatan awak itu pun sudah cukup baik buat awak!”. Marah Ziah.
Tidak mahu menyatakan perbuatan keji Kamal terhadapnya di hadapan ibunya.
“Berpura-pura?. Apa maksud awak?
Cakap! Saya nak tahu , apa maksud awak saya berpura-pura?. Dan apa kesalahan
yang telah saya buat terhadap awak?!”. Kamal mendesak. Dia mengesan sesuatu
yang tidak kena ... pasti ada salah faham di mana-mana.
“Kamal , awak jangan berpura-pura
tidak tahu!”. Jerit Ziah , marah. Hilang sudah sabarnya melihatkan lakonan
tidak bersalah Kamal itu.
“Ya!. Saya tidak berpura-pura. Saya
memang tidak tahu maksud sindiran awak itu. Baik awak berterus terang saja
dengan saya!!”. Jerit Kamal pula.
“Awak mahu saya berterus terang?. Di
hadapan ibu awak ini?!”. Jerit Ziah. Sungguhpun bencinya kepada Kamal
menggunung tinggi namun akal warasnya masih menegahnya daripada melukai hati
seorang ibu tua yang pernah menyayanginya suatu ketika dulu.
“Tiada apa salah yang pernah saya
lakukan kepada awak. Saya tidak takutkan apa-apa. Awak katakan saja maksud
sindiran awak itu di hadapan ibu saya ini. Biar dia menjadi saksi segala yang
terjadi hari ini”. Jawab Kamal ,tegas.
“Tiada apa salah awak kata?”. Jerkah
Ziah. Matanya buntang memandang wajah Kamal. Bagai mahu ditelah saja lelaki
ini.
“Ya!. Memang saya tiada apa salah
kepada awak!!”. Balas Kamal , separuh menjerit. Kepalanya tegak memandang Ziah.
Mendidih benar hatinya melihatkan keangkuhan Ziah , terus-terusan menuduhnya.
“Baiklah , jika itu yang awak mahu!”.
Balas Ziah , sedia mahu menamatkan lakonan Kamal.
“Ya! Nyatakan!!”. Jerit Kamal yang
sudah hilang sabar.
“Awak cuba menodai saya dan itu awak
kata tiada salah?!!”. Ziah akhirnya melepaskan apa yang terbuku. Biar Kamal
tahu bahawa tembelangnya sudah lama pecah. Biar ibu Kamal juga tahu perangai
buruk anaknya itu. Biar Kamal tidak boleh terus berpura-pura baik!. Melopong
mulut Kamal dan ibunya mendengar tuduhan Ziah.
“Awak cuba menodai saya dan awak
masih mahu berpura-pura tidak bersalah?. Mujurlah abang Anip datang tepat pada
masanya. Jika tidak sudah pasti saya menjadi mangsa nafsu serakah awak itu”.
Sambung Ziah. Entah mengapa air matanya jatuh bercucuran , sedih tiba-tiba
menusuk kalbunya tatkala mengenangkan persahabatan yang terbina antaranya dan
Kamal punah begitu sahaja dek nafsu serakah lelaki ini.
“Ya Allah , betulkah itu semua
Kamal?”. Tanya ibu Kamal yang sedari tadi diam terkejut mendengar perbalahan
antara Ziah dan anaknya. Ibu tua itu sudah terperosok di hujung sudut ruang
pondok itu.
“Apa?. Saya cuba menodai awak?!”.
Tanya Kamal , dia juga terduduk
mendengar tuduhan berat Ziah itu.
“Astarghfirullah al- adziiimmmm”.
Kamal beristighfar panjang sebelum meraup wajahnya berkali-kali. Dia bagaikan
tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
“Ziah , kalau itulah keinginan saya
berkawan dengan awak ,sudah lama saya boleh melakukannya. Ingat , semasa kita
sama-sama memudik ke hulu?. Sama-sama bersampan dan pertemuan-pertemuan kita
selepas itu , pernahkah saya mengambil peluang ke atas awak?. Tidak sekalipun!.
Malah tidak terdetik pun di hati saya ini mahu berbuat jahat terhadap awak”.
Kata-kata ikhlas Kamal itu menyedarkan Ziah. Dia bagaikan terpukul dengan
kebenaran yang mungkin telah terselindung selama ini.
“Ya Allah , hinanya saya ini di
pandangan mata awak. Hingga begitu mudah awak menuduh saya semahunya. Patutlah
awak dan kini Miah juga turut menjauhkan diri dari saya. Hina benar saya ini di
pandangan mata kalian berdua. Sanggup awak menuduh saya cuba menodai awak?.
Sungguhpun kami ini miskin harta namun kami tidak miskin akhlak. Huh! Maka
inilah jawapan kepada soalan yang sering bermain-main di benak ini. Mengapa
tiba-tiba saya dibenci. Mengapa tiba-tiba orang yang saya sayangi pergi … ”.
Kamal benar-benar kesal mendengar penjelasan Ziah.
“Habis … jika bukan awak , siapa?”.
Kata Ziah perlahan , lebih kepada dirinya sendiri. Ziah mengimbau peristiwa itu
. Semasa serangan itu terjadi , Ziah pengsan akibat teruk dipukul dan dibelasah
lelaki bertopeng. Sedar-sedar sahaja abang Anip sudah menggendungnya ke rumah!
“Abang Anip … ohh tidak!!. Maafkan saya Kamal!”. Ziah
tersedar bahawa dia mungkin telah tertipu ... tertipu sebegini lama.
“Mungkinkah ini adalah rancangan dan
angkara abang Anip?”. Kata hati Ziah. Dia keliru , masakan lelaki yang menjadi
suaminya kini adalah orang yang pernah cuba menodainya dulu. Ziah terduduk lalu
menangis teresak-esak.
“Ziah … sudahlah. Jangan menangis
lagi. Salah saya juga kerana tidak pernah bertanya khabar awak selama ini. Jika
tidak , tentu salah faham ini tidak akan berlanjutan sampai jadi begini. Saya
tidak pernah mengkhianati awak , percayalah. Perasaan saya kepada awak tetap
seperti dulu. Sama seperti sebelum awak menolak permintaan saya untuk
memperisterikan awak. Saya terima penolakan awak itu dengan baik walaupun pada
awalnya hati saya ini membantah. Tetapi akhirnya saya sedar , saya hanyalah pipit
yang hanya mampu berangan terbang tinggi bersama enggang”. Kata Kamal.
Kata-kata yang cukup mengharukan hati Ziah.
“Maafkan saya Kamal kerana telah
berburuk sangka kepada awak. Maafkan saya atas apa yang terjadi. Makcik , maafkan saya. Anak makcik ini seorang
yang baik. Dia tidak pernah berbuat jahat cuma saya sahaja yang buta mata dan
hati ”. Ziah benar-benar kesal kerana tuduhan yang tidak berasasnya itu.
“Ziah , apa yang sebenarnya
terjadi?”. Tanya Kamal , ingin mengetahui kisah yang sebenarnya.
Ziah hanya menggelengkan kepalanya.
“Tak mengapalah Kamal , perkara telah
lepas tidak akan mengubah apa-apa pun jika dikenang kembali. Hantarkanlah saya
balik. Nanti saya akan terangkan kepada Miah perkara yang sebenarnya. Kami
telah tersalah sangka kepada awak. Saya tanpa sedar telah memfitnah awak .
Maafkanlah saya. Biar saya perbetulkan kesilapan yang telah saya lakukan. Saya
berjanji akan menyatukan awak dan Miah semula”. Janji Ziah.
Kamal menggeleng.
“Kejadian orang cuba menodai awak itu … dan
peristiwa awak lemas hari ini. Keduanya tidak boleh dipandang ringan. Kita
harus melaporkannya ke balai polis. Perkara ini harus disiasat”. Kata Kamal ,
memandang Ziah dengan wajah yang serius. Siapa pula yang mahu membuat aniaya
kepada gadis sebaik Ziah. Perkara ini tidak boleh dibiarkan.
“Tidak Kamal!. Demi persahabatan kita
, biar saya yang uruskan perkara ini. Tidak usahlah awak memperbesarkannya.
Seperti yang saya janjikan tadi , saya akan pastikan awak dan Miah berbaik
semula”. Pinta Ziah , Kamal terpaksa akur dengan hati yang berat.
“Demi persahabatan kita?”. Katanya di
dalam hati.
“Ya , Miah.
Dia tak bersalah!”
“Assalamualaikum!”. Ziah memberi
salam. Pintu rumah kayu yang tertutup rapat itu dipandangnya.
“Waalaikum mussalam!”. Jawab cikgu
Karim , segera membuka pintu.
“Ziah! , apa yang telah berlaku?. Ke
mana Ziah dah pergi?. Kami semua bimbang”. Tanya cikgu Karim bertubi-tubi.
“Abah , panjang ceritanya ...”. Ziah
menceritakan kisahnya terjatuh dan lemas
dihanyutkan arus sungai. Kisah bagaimana
Kamal menyelamatkannya dan juga tentang tuduhan mereka sekeluarga terhadap
Kamal selama ini. “Entahlah abah , ada kemusyikilan tapi yang pasti bukan Kamal
yang melakukannya”. Terang Ziah.
“Kalau bukan Kamal , siapa?”. Tanya
cikgu Karim spontan.
Perkara sebesar ini mana mungkin
boleh didiamkan. Lagi bahaya jika berawas dengan musuh yang tidak nyata.
“Abah , itu semua sudah tidak penting
lagi. Perkara dah jadi sejarah. Kita serahkan sajalah segalanya kepada yang Esa
untuk memberikan balasan setimpal kepada si pesalah sebenar”. Jawab Ziah ,
mengharap benar agar mertuanya itu tidak terus mendesak.
“Hmm … jika itu kata Ziah , yelah.
Abah mengikut saja tapi macam manalah Ziah sampai boleh terjatuh dan lemas dalam sungai tu?”. Tanya cikgu Karim , hairan.
Pertanyaan cikgu Karim itu tidak
dijawabnya , tidak tergamak hatinya mahu
menceritakan perkara yang sebenarnya.
“Entahlah abah , tergelincir
agaknya”. Jawab Ziah perlahan. Cikgu
Karim menggelang-gelengkan kepalanya , bagaikan tidak percaya dengan apa yang
didengar.
“Lain kali jangan duduk terlalu dekat
dengan tebing. Awak tu bukan pandai berenang. Mujur tak jadi apa-apa yang lebih
mudarat hari ini”. Cikgu Karim mengingatkan. Ziah hanya mengangguk-ngangguk.
“Ziah , emak betul-betul risau
dibuatnya. Janganlah sampai terjadi lagi ya nak?”. Kata mak Midah sambil
mengelus-ngelus tangan anak menantunya itu.
Miah yang sedari tadi hanya
mendiamkan diri , kini bersuara … “Ziah , maksudnya ... Kamal?”. Tanya Miah
ragu-ragu.
“Ya , Miah. Dia tidak bersalah!. Akak
dan abang Anip yang tersalah tuduh. Maafkan kami kerana telah mengganggu
hubungan kalian berdua”. Ziah memegang tangan Miah.
Menitis air mata Miah mendengar semua
itu. Kesal sungguh hatinya kerana telah turut tidak mempercayai Kamal. Termakan
juga dia dengan cerita buruk itu.
“Huh!”. Keluhnya perlahan.
“Bagaimana harus aku memperbaiki
keadaan. Mahukah dia menerimaku semula sedangkan sudah sah yang kepercayaanku
terhadapnya terlalu rapuh. Bagaimana hubungan yang tidak disemai dengan rasa
saling mempercayai itu boleh diselamatkan?. Mahukah lagi dia kepadaku ini?”.
Bergenang air mata dikelopak mata Miah tatkala memikirkan perihal hubungannya
dengan Kamal. Lekas-lekas dia memalingkan mukanya ke belakang lalu segera
disapunya air mata itu.
Ziah yang perasan akan perilaku Miah
itu segera memeluknya lalu berbisik , “Akak dah janji dengan Kamal untuk
perbaiki hubungan kalian. Dia tidak menolaknya , ternyata dia sangat mencintai
Miah”. Miah tersenyum mendengarnya , berbunga kembali harapan. Tiba-tiba rasa
rindu menyapa hati. “Ah! Kamal!!”. Bisiknya perlahan.
Pelukan
Ziah terlerai apabila mendengar pertanyaan mertuanya , “Jadi , mana Kamal ...
bukankah dia yang menghantar kamu tadi?”.
“Dia hanya hantar Ziah sampai ke
sungai belakang tu saja. Kami tidak mahu mengeruhkan suasana”. Jawab Ziah.
“Abah , abang Anip ada di mana?”.
Tanya Ziah , kebenaran yang diketahuinya itu tidak mungkin akan memadamkan
kasihnya pada abang Anip. Ziah tahu , pasti ada penjelasan yang munasabah
terhadap semua yang terjadi. Lebih-lebih lagi dengan keadaan sakit yang
dihidapi abang Anip kini.
“Dia sendiri tidak tahu dengan apa
yang telah dilakukannya”. Fikir Ziah.
“Apapun , dia kini adalah suamiku
yang sah. Suami yang telah ditentukan tuhan buatku. Aku redha dan aku sudah
terlanjur mencintainya , tak kiralah apa yang telah dilakukannya atau apa yang
bakal dilakukannya selepas ini. Selagi nyawa dikandung badan”. Ziah meyakinkan
dirinya bahawa cintanya tulus terhadap abang Anip.
“Ziah , kau tak marahkan abang Anip?.
Bukankah dia dulu yang menuduh Kamal , beraksi seperti wira penyelamat kau?
Hingga akhirnya terbuka hati kau untuk menerimanya sebagai suami?”. Tanya Miah.
Pertanyaan yang menyentap jantung hati Ziah. Miah sememangnya hairan dengan
sikap kakak iparnya itu. Miah masih ingat , bukan mudah bagi Ziah mahu menerima
abangnya itu dulu.
“Miah , abang Anip itu sakit. Kalau
sekarang ni aku nak melatah , maknanya aku ni tak ada bezanya dengan dia. Lagi
pula dia adalah suami aku sekarang. Aku pasti akan menolongnya”. Jawab Ziah.
Jelas dan tegas pendiriannya.
“Terima kasih Ziah. Abah sangat
menghargai pendirian kamu. Anip ada di bilik kamu. Badannya sejuk menggigil. Entah
mengapa , kamu yang jatuh sungai dia
pula yang sejuk menggigil”. Kata cikgu Karim tanpa syak. Dia turut mendengar
perbualan Miah dan Ziah.
“Tak apalah abah , biar Ziah tengok
dia dulu”. Ziah meminta izin , berlalu menuju ke biliknya.
“Sayang ,
kenapa tinggalkan abang sendiri?”
Sepanjang perjalanan
kembali ke rumah itu tadi , Ziah banyak berfikir tentang segala yang terjadi
... puas dia memerah otaknya mencari akar punca kepada permasalahan sekarang .
Segalanya dimuhasabah semula bermula daripada
hari pertama dia mengenali abang Anip hinggalah akhirnya mereka bernikah
... segala-galanya sehinggalah peristiwa yang berlaku pada hari ini.
“Aku rasa aku tahu siapakah musuh aku
yang sebenarnya. Musuh inilah yang harus ku lenyapkan dari sanubari abang
Anip!”. Kata hati Ziah penuh yakin. Dia sudah pasti kini , bahawa musuhnya
bukan Kamal , bukan juga abang Anip tetapi ‘dia’!.
‘Dia’ itu harus dilenyapkan terus
kewujudannya!!. ‘Dia’ itu harus dilenyapkan terus dari fikiran dan hati abang
Anip. Keputusan sudah dibuat , Ziah nekad … dia akan berjuang berhabis-habisan
untuk mendapatkan suaminya kembali. Mendapatkan suaminya dari wanita yang jasadnya
sudah lama ditelan bumi!.
“Demi rumah tangga yang telah kita
bina”. Katanya di dalam hati , penuh semangat.
Sebaik
sahaja pintu bilik dikuak , “Sayang ,
kenapa tinggalkan abang sendiri?”. Tanya abang Anip sebaik saja terpandangkan
Ziah. Ziah tidak menjawab sebaliknya terus saja memeluk suaminya itu.
“Malam ni , abang rasa sejuk sangat!.
Ziah , jangan tinggalkan abang. Berbaringlah di sisi abang. Ini …”. Abang Anip
mengeluarkan sesuatu dari bawah katil. Terbeliak mata Ziah melihatnya , “ Nak
buat apa tali tu bang?”. Tanya Ziah sebaik sahaja terpandangkan tali rapia di
tangan suaminya.
“Buat ikat abang. Ziah ikat tangan
dan kaki abang supaya abang tidak boleh berbuat apa-apa kepada Ziah. Abang
sayangkan Ziah , abang tidak mahu apa-apa terjadi kepada Ziah”. Jawab abang Anip.
“Abang , apa ni?. Apa pulak yang nak
berlaku kepada Ziah?. Kita tak perlukan tali ini. Cukuplah kasih sayang yang
mengikat hati kita berdua”. Balas Ziah lalu mencampakkan tali rapia itu jauh ke
lantai.
“Ziah , abang tahu segala peristiwa
yang terjadi adalah angkara abang. Semuanya berlaku di waktu abang sedang
tidur. Abang tidak boleh mengawalnya. Abang tidak boleh jamin yang ianya tidak
akan berulang lagi. Jadi …” Belumpun sempat abang Anip mahu meneruskan
kata-katanya , Ziah terus memeluk erat
suaminya itu. Tergamam abang Anip seketika hingga tidak mampu meneruskan
kata-kata ….
“Abang , maafkan Ziah. Tadi Ziah
keluar sekejap. Ada perkara yang terpaksa Ziah uruskan. Abang sejuk?. Mari Ziah
tolong”. Ziah mengusap dan membelai lembut rambut abang Anip yang berselirat.
Kaki abang Anip yang terdedah diselimutkan … segalanya dilakukannya dengan
kasih sayang … tulus dari hati.
“Apa saja dari hati pastikan sampai
ke hati jua”. Bisik Ziah perlahan
Abang Anip selesa mendengarnya , malah teramat selesa …
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete