Aku melangkah ...
Mencari arah yang digariskan buatku
Walau hati memberat meronta merintangi
Kugagahi ... kerna ku harus akur
Akan kisah yang tercorek dalam kitab hidupku...
... tiada suatu apapun di
langit atau di bumi yang boleh memberi mudarat...
Seminggu
berada di hospital , abang Anip bukan sahaja menjalani rawatan fisioterapi dan
memakan ubat-ubatan malah abang Anip juga mendapatkan rawatan secara
tradisional. Ustaz Mukhriz telah tiga petang berturut-turut datang merawat abang
Anip. Membacakan ayat – ayat suci dan doa buat abang Anip. Air penawar diberi
minum.
Pada hari ke lapan , abang
Anip dibenarkan pulang. Abang Anip sudah boleh bangun dan berjalan sendiri.
Percakapannya juga semakin jelas. Air
liurnya juga sudah tidak meleleh lagi. Cuma tangan kirinya dan senget mulutnya
sahaja yang masih belum pulih.
“Alhamdulillah ...”. Kata
Ustaz Mukhriz.
“Sudah tiga petang
berturut-turut ustaz mengubati kamu Anip. Ustaz yakin keadaan kamu akan
beransur pulih. Tapi diri kamu sendiri kenalah yakin dan berusaha. Jangan
melemahkan diri dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Ingat ... banyakkan
mengingati Allah. Ini semua adalah ujian dariNya kerana tiada apapun perkara di
dunia ini yang boleh terjadi melainkan dengan izinNya. Ingat , jangan
sekali-kali kita menyalahkan takdir yang telah ditentukan buat kita”. Ustaz
Mukhriz memberi nasihat. Abang Anip hanya mengangguk.
“Amalkan ayatul-Kursi pada
setiap pagi sesudah subuh dan malam sesudah solat Maghrib. Solat dan berdoalah
sentiasa kepada Allah. Yakinlah bahawa , tiada suatu apapun di langit atau di
bumi yang boleh memberi mudarat kepada kita melainkan dengan izin daripada Nya”.
Ustaz Mukhriz masih terus memberikan nasihat. Pada pandangan mata hatinya ,
‘ujian’ buat abang Anip ini belum berakhir.
Abang Anip harus tabah dan yakin kepada Allah yang Maha Mengetahui.
“Baiklah Anip ... ustaz
minta diri dulu. Ingat , setiap yang berlaku telah ditentu Tuhan. Sabar dan
tabahlah menghadapinya. Assalamualaikum!”. Katanya sebelum mengundurkan diri.
“Wa alaikumussalam ... terima
kasih ustaz” . Ziah menjawab bagi pihak abang Anip. Abang Anip hanya
mengangguk-nganggukkan kepalanya , perasaannya kurang senang mendengar segala
nasihat ustaz Mukhriz itu tadi ... “Benar
, tiada apapun yang boleh terjadi melainkan dengan izinNya. Tetapi
kenapa aku?. Kenapa aku?!. Kenapa?!!”. Bentak hatinya , masih tidak mahu
menerima takdirnya.
Sebaik sahaja ustaz Mukhriz melangkah pergi … “Abang , hari ni kita dah boleh balik. Biar Ziah
kemaskan barang-barang dulu ya ...”. Ziah bingkas bangun dan mula mengemas. Abang
Anip diam , tidak menghiraukan Ziah. Abang Anip masih melayan dirinya meratapi
nasib yang menimpa. Tidak sampai 10
minit semuanya habis dikemas.
“Abang sayang , Ziah nak uruskan
proses keluar kita. Ziah keluar kejap ya. Ziah tinggalkan abang kejap ...
selesai nanti Ziah datang balik”. Kata Ziah sebelum keluar meninggalkan
abang Anip sendiri. Sepeninggalan Ziah , abang Anip
bangun dan cuba untuk ke bilik air sendiri.
“Ahh! Aku boleh!. Masakan
mahu ke bilik air pun dipimpin orang!!”. Abang Anip menguatkan semangatnya lalu
menggagahkan dirinya untuk bangun dan mula melangkah perlahan-lahan
menggunakan tongkat , payah sekali namun
tekadnya memang kuat. Sampai di bilik
air , abang Anip menatap wajahnya di cermin sinki lama-lama. Membetulkan rambut
hitam lurusnya ... mengusap mulutnya yang masih senget.
“Huh!! ...” mengeluh tiba-tiba
, tidak suka dengan apa yang dilihatnya.
“Abang ... itu semua tidak
penting. Yang Ziah pandang ialah hati budi abang” . Sapa Ziah tiba-tiba. Dia
sudah selesai menguruskan dokumen kebenaran keluar abang Anip hari itu. Abang Anip terkejut , pautan tangannya
terlepas , badannya mula goyang … hilang imbangan. Tongkat entah ke mana dan abang Anip akan
jatuh terjelepuk bila-bila masa sahaja!.
Melihatkan
keadaan itu , Ziah bergerak pantas. Dia melangkah laju mendapatkan abang Anip
lalu cuba menahannya dari jatuh. Segera dipeluknya suaminya itu , dengan
menggunakan berat badannya Ziah cuba menolak tubuh abang Anip agar dapat
bersandar pada dinding bilik air. Malangnya , kudrat Ziah tidak mampu menampung
berat tubuh abang Anip yang melebihi 70 kg itu. Maka kedua mereka jatuh
terjelepok ke lantai.
“Abang!”. “Ziahh!”. Jerit
mereka serentak. Saling berpandangan ... abang Anip diam terkejut , Ziah pula
terhenjut-henjut menahan tawa dan akhirnya tawanya berderai. Abang Anip yang
asalnya membungkam turut tertawa sama.
“Kata urat dawai tulang
besi!. Tapi nak tahan abang pun tak larat!”. Kata abang Anip dalam tawanya.
“Itulah ! Urat dawai
tulang besi , dah karatlah!”. Balas Ziah. Mereka sama-sama tertawa lagi.
“Eh, tadi kata nak uruskan
...”
“Dah ... kejap je.
Semuanya telah disiapkan. Ubat abangpun dah siap. Tinggal tunggu abang je!. Jom
... kita balik”. Ajak Ziah.
“Iya ...” . Jawab abang
Anip. Ziah terus menghulur tangan mahu membantu abang Anip
bangun. “Tak pa ... abang nak cuba bangun sendiri ...” . Kata abang Anip.
“Hmmm ... takkanlah tak
sudi pegang tangan isteri ... kata sayang?”. Ziah cuba menceriakan suasana. Anip
tersenyum lagi ... lalu menyambut tangan isterinya.
“Miah! Dah siapkan bilik abang kau tu?”
“Miah! Dah
siapkan bilik abang kau tu?”. Tanya mak Midah. Perasaannya sangat gembira dan
lega apabila abang Anip sudah dibenarkan pulang. Tidak sabar rasanya untuk
menatap wajah anak lelaki tunggalnya itu. Lebih-lebih lagi dengan keadaan
anaknya itu kini. Sudah tidak terkira banyaknya doa yang dipanjatkan kepada
yang Maha Esa , memohon agar anaknya itu segera pulih seperti dulu dan kembali
ke pangkuannya.
“Sayangnya ibu kepada
anaknya manakan sama dengan sayangnya isteri kepada suaminya. Aku ibunya. Aku
yang mengandungkannya sembilan bulan dan bersabung nyawa melahirkannya. Sampai
kiamatpun sayangku kepadanya tidak akan pernah kurang. Walau apapun keadaannya
doaku akan sentiasa mengiringinya dan aku yakin Allah pasti mendengar doaku
itu”. Mak Midah berkata sendiri.
“Ya. Aku tidak akan pernah
jemu mendoakan kebahagiaannya. Selamanya … lagipun , doa seorang ibu pasti
tidak akan ditolak olehNya cuma lambat atau cepat saja untuk diperkenankan”.
Kata Mak Midah lagi kepada dirinya sendiri.
“Laa … cakap sorang-sorang
mak?. Dah tak sabar-sabarlah tu nak tunggu abang Anip balik. Hmm … bilik abang
dah lama Miah siapkan mak ... rasanya ini dah kali kelima mak tanya soalan yang
sama tau”. Balas Miah sambil tersengih memandang ibunya.
“Laa ... ye ke?.”
“Yalah mak …” Jawab Miah
lembut sambil mengusik bahu ibunya itu.
“ He he he … memang betul
, mak ni sebenarnya memang dah tak sabar nak jumpa abang kau tu. Kau tahu jelah
, dah lebih seminggu dia di hospital, haram sekalipun mak tak menjenguknya.”
Kata mak Midah.
“Ye lah mak ... kan susah
mak nak ke sana. Lagipun keadaan abang Anip tu taklah teruk sangat. Tambah pula
, kan dah ada kak Ziah menjaga dia. Orang dah beristeri mak. Apalah yang mak
nak risau sangat ... mak ... mak”. Miah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Hmmm ... yelah. Kau tak
tahu sebenarnya Miah , tak ada satu mak pun dalam dunia ni yang tak risaukan
anaknya. Walaupun anaknya tu dah besar panjang”. Balas mak Midah sambil
mencebikkan bibirnya , tidak selesa benar hatinya apabila peranannya sebagai
ibu mula dibandingkan dengan menantunya.
“Bukan saja dah besar
panjang tapi dahpun kahwin mak!!. Eh ... tapikan mak kalau yang mak cakap tu
betul , kenapa sekarang ni banyak betul kes orang buang anak. Baby comel pulak
tu ...”. Tanya Miah , sengaja mahu mengubah tajuk perbualan. Miah dapat
mengesan ketidakselesaan perasaan ibunya itu.
“Ahh ... tak da mananya Miah
... orang yang buang anak tu semuanya orang
gila. Tak sihat ... alah sakit jiwalah tuu ... kalau manusia normal
sihat macam kita ni, tak mahunya dia buang anak. Berebut anak adalah!”. Jawab
mak Midah.
“Ye ke mak? Tapi
kebanyakkan kes yang Miah baca ... bila di kesan polis, mak baby tu bukannya
gila. Sihat je”. Miah buat-buat bodoh.
“Itu kata kau ... mereka
tu fizikalnya saja nampak sihat tapi sebenarnya ... jiwanya tu yang sakit!
Kekadang tu ada banyak sebab ... jiwa mereka tu sakit mungkin kerana anak tu
tak berbapa , kena rogol atau sumbang mahram. Takpun ... hidup susah sangat ...
takut anak tu jadi beban!”. Jawab mak Midah penuh semangat , lupa sudah akan
perasaannya yang terusik sebentar tadi.
“Hmmm ... betul tu mak. Miah
setuju . Jiwa mereka yang sebenarnya sakit. Patut dirawat tu ...”. Balas Miah
sambil tersenyum penuh makna memandang ibunya itu.
“Mak … mak …” Kata Miah di
dalam hati.
“Rawat dengan mendekatkan
diri kepada Allah. Itulah sebaik-baik rawatan untuk orang-orang yang sakit jiwanya”. Tambah mak Midah lagi.
“Ewah! Mak ni sesekali
bercakap , kalah orang bijak pandai!” Puji Miah.
“Apa? Kau ingat mak kau ni
tak pandai ke?”. Mak Midah geram , terjegil matanya memandang Miah.
“Ha ha ha … pandaiiii ... sebab
tulah Miahpun pandai. Kan mak kan?!”. Miah tertawa gelihati melihatkan aksi
wajah mak Midah lalu segera memeluk
ibunya itu.
Tidak lama
selepas kedua beranak itu bersenda gurau , kereta putih milik cikgu Karim
membelok memasuki perkarangan rumah. Mak Midah sangat teruja , dia
mengesot-ngesot arah ke muka pintu lalu memanjangkan lehernya , mencari wajah
anak kesayangannya . Cikgu Karim , Pak Lang , Ziah dan diikuti oleh abang Anip keluar
daripada perut kereta. Mak Midah
memerhatikan anak sulungnya itu dari
atas rumah. Pedih hatinya melihatkan keadaan diri abang Anip , mulutnya yang
terherot masih belum pulih dan jalannya pula perlu dipimpin.
“Assalamualaikum”. Cikgu
Karim memberi salam kepada anak gadis dan isterimya.
“Waalaikummussalam ...”.
Jawab mereka serentak.
Keempat-empat mereka menaiki tangga rumah. Ziah dan Pak
Lang membantu abang Anip. Agak sukar kakinya untuk melangkah menaiki anak-anak
tangga tersebut.
“Mak!!”. Abang Anip merebahkan dirinya ke ribaan mak
Midah , menyalam lalu memeluknya. Lama
mereka berpelukan.
“Anip …”. Mak Midah
tergamam dan terharu melihat perubahan pada wajah dan fizikal abang Anip. Bergenang
air matanya. Wajah abang Anip diusap
perlahan.
“Sabarlah nak ... semua
ini ujian Allah”. Pujuk mak Midah.
“Ye mak ... Anip dah boleh
terima keadaan Anip sekarang. Mak janganlah risau ...”. Balas abang Anip.
Sengaja tidak mahu membuatkan ibunya itu susah hati dan bertambah sedih.
“Alhamdulillah ... kau
dapat menerimanya dengan tabah dan sabar”. Mak Midah bersyukur. Pada fikirannya
, selagi abang Anip boleh menerima keadaannya sekarang , semuanya akan baik.
“Mak yakin , selagi kau sabar kau pasti akan pulih seperti dulu. Mak akan
sentiasa menyokong dan mendoakan kau nak.” Kata mak Midah.
“ Eh, sudahlah tuu ... marilah
kita duduk hah. Penat kami ni , lebih sejam dalam kereta. Mana airnya?!” . Cikgu
Karim mencelah. Sengaja menukar tajuk perbualan. Dia tidak mahu semua orang
terus-terusan bercerita tentang kekurangan abang Anip sekarang.
“Ya tak ya jugak ... moh
lah kita duduk. Miah , mana airnya?”. Kata mak Midah sambil memandang Miah.
“Err … ya. Kejab mak ,
nanti Miah ambilkan”. Jawab Miah lantas segera turun ke dapur.
No comments:
Post a Comment