Popular Posts

Saturday, 18 March 2017

Novel 2 : Selepas Hujan ... Bab 16

Bab 16           Ku Sangka Panas Sampai Ke Petang
( Dari aku ... maaf bagi yang telahpun membaca ' Selepas hujan' sehingga bab 15 ... sambungannya baru aku uploadkan. Kebelakangan ini ada-ada saja as-sebab yang menghalangiku dari menyelesaikan proses upload 'selepas hujan' ini.  Mungkin kena tunggu hujan benar-benar kering kot!! >__<)

Lukis jea ... tadabbur alam ...    Tika hati merasa bahagia … alunkan puisi dalam jiwa …
                   
Hari Yang Bahagia

Hari yang bahagia
            Akan menjadi kenangan mesra
            Riang tawa gurau senda
            Indah menyeri semua yang ada
                                                Ya… aku tentunya akan bahagia
                                                Andai dirimu disisi bersama
                                                Nyanyikan lagu rindu kita
                                                Getaran jiwa harmoni terasa
            Biarkan sejarah tercoret semahunya
            Akan kita harungi semuanya bersama
            Hanya kita berdua menyimpul rahasia
            Antara kau dan aku yang tahu segala
            Gelak tangis  bagai irama kisah kita
            Indah … pastinya indah selagi setia
            Abadikan kata janji tersimpul selama

Ziah terasa malu ....
Selesai menunaikan solat maghrib berjemaah , Ziah dan abang Anip keluar beriringan daripada kamar pengantin untuk  menyertai  keluarga dan saudara mara yang masih ada.
“Hmm sayang , sedia untuk pekakkan telinga”.  Abang Anip berkata sambil menggenggam tangan Ziah. Senyuman tidak lekang dari bibirnya , indahnya … indahnya hari ini.
“Hah?”. Ziah tidak faham namun terus berjalan bersama suaminya. Matanya sempat menjeling ke arah timbunan hadiah pengantin yang diletakkan di atas meja di tepi ruang tamu rumah itu.
“Banyaknya hadiah”. Katanya perlahan.
“Hmm? … Hadiah?. Nanti lepas makan malam kita buka sama-sama ya. Itu yang banyak tu tentunya daripada kawan dan peminat-peminat sayang. Abang ni mana ada orang nak bagi hadiah. Kera sumbang! He he he”. Abang Anip berkata sambil tertawa kecil.
“Hishh ada-ada sajalah abang ni”. Jawab Ziah sambil tersenyum bahagia.
Sebaik sahaja mereka melangkah memasuki ruang makan rumah itu , Ziah terasa malu benar apabila makcik dan pakcik abang Anip yang sememangnya sedang sibuk menghidang makanan buat makan malam , semuanya sedang memandang ke arah mereka berdua dengan senyuman yang penuh makna!
“Hah! Pengantin dah keluar bilik. Marilah join kami makan malam!”. Pelawa Pak Lang , adik kepada cikgu Karim.
Pak Lang seorang yang sangat memahami , selama ini dialah orang yang telah banyak membantu cikgu Karim dan keluarganya mengharungi berbagai dugaan hidup. Bermula dengan makcik Midah yang tiba-tiba sakit diserang strok , diikuti dengan peristiwa hitam yang menghantui hidup abang Anip. Pak Lang jugalah orangnya yang dengan sabar membawa abang Anip berubat  , berjumpa orang bijak pandai bagi mengembalikan semangatnya yang hilang selepas Aisyah , tunangannya mati dibunuh.
“Ya Pak Lang ... terima kasih”. Jawab Ziah sambil datang ke meja makan dan mula menyendukkan nasi ke pinggan. Nasi dihulurkan kepada abang Anip. Ziah menyenduk lagi nasi buat dirinya pula.
 “Amboi ... senduk nasi untuk cik abang dia je ... ni mak Lang dah lama tunggu. Teringin juga nak dilayan!” . Usik mak Lang dengan senyuman menguntum di bibir.
“Er ... ya ... jemput mak Lang!”. Ziah menghulurkan nasi buat mak Lang pula.
“Hishh! Awak ni. Sudah sudahlah mengusik dia orang berdua ni. Kang tak jadi pulak Ziah nak makan!”. Balas pak Lang.
“Alahh ... usik-usik bawa bahagia. Apa salahnya. Tak gitu Ziah?”. Mak Lang menyenggol lengan Ziah.
“Err … ya ... betul!”. Jawab Ziah .  Abang Anip tersenyum sahaja melihatkan keadaan Ziah yang sedang malu diusik begitu.
“Haii Anip , takkanlah dipandang saja nasi tu”. Mak Lang mengusik abang Anip pula.
“Hisshhh awak ni … orang dah ada bini. Tunggu bini sendukkan lauklah pulak. Ha ha ha”.Balas Pak Lang.
“Ha ha ha”. Disambut dengan tawa ria dari yang lain.
Cikgu Karim dan mak Midah yang turut ada di situ hanya tersenyum-senyum melihatkan  anak dan menantu mereka diusik begitu. Mereka sangat bersyukur dan berasa sungguh bahagia kerana akhirnya hajat mereka untuk melihat Anip mendirikan rumah tangga telah tercapai. Ziah pula memang menantu pilihan mereka. Sejak hari pertama Ziah menumpang tinggal di rumah mereka , mak Midah memang telah memasang angan untuk bermenantukannya. Kini semuanya menjadi kenyataan. Mak Midah berasa sungguh bahagia. “Alhamdulillah …”. Ucapnya perlahan.

Bila Cinta diuji
Sedang mereka enak menikmati makan malam itu , tiba-tiba ...
“Arrggghhhh!!!!” . Abang Anip terjatuh daripada kerusi duduknya. Badannya bagai tersentap. Kejang dan keras. Air liurnya keluar berbuih-buih daripada mulutnya. Semua yang ada menjadi cemas. Cemas dan terkejut melihatkan  keadaan abang Anip begitu.
“Abang!!” . Jerit Ziah sebelum bingkas bangun mendapatkan abang Anip. Ziah segera memangku kepala suaminya itu.
“Abang , kenapa ni?. Ayah! Mak! Abang Anip kenapa ni?”.Tanya Ziah.
Semua yang ada segera bangun mendapatkan abang Anip.
“Anip!! Mengucap nak. Ya Allah ... kenapa ni?”. Cikgu Karim bagaikan hilang akal.
“Abang , kenapa dengan anak kita bang?!”. Jerit mak Midah , cemas melihatkan keadaan abang Anip yang masih lagi menggelepar.
“Sudah! Bawa bertenang semua. Karim ... lekas angkat Anip masuk kereta. Kita bawa dia ke hospital!”. Arah Pak Lang. Mujur Pak Lang masih mampu bertenang. Maka abang Anip segera diangkat masuk ke dalam kereta.
Ziah mengekorinya dari belakang. Mengambil tempat di sebelah belakang , duduk di sisi abang Anip , memeluk dan mengusap badan abang Anip yang keras kejang.
“Abang , bersabar bang. Ingat Allah. Beristighfar bang”. Ziah menenangkan abang Anip sambil mengurut-ngurut dada suaminya itu. Kereta masih terus dipandu laju ... Pak Lang yang memandu kereta. Laju tetapi cermat.
 “Klinik ke hospital terus?” . Tanya Pak Lang sambil memandang cikgu Karim.
“Teruk ni ... hospital terus”. Arah cikgu Karim.
“Jauh tuu ...”. Balas Pak Lang.
“Bawak laju sikit. 40 minit boleh sampai!”. Arah cikgu Karim lagi. Cemas benar dia.
“Ya Allah , selamatkanlah anakku!”. Doanya di dalam hati. Pak Lang menganggukkan kepalanya. Kereta dipandu terus. Hospital Kuantan  , itulah destinasi mereka.
Ziah pula tidak tertahan tangis. Benar-benar risau melihatkan keadaan abang Anip.
“Ya Allah selamatkanlah suamiku!”. Doanya juga , tidak putus mengiringi perjalanan  mereka hingga sampai ke hospital.
Sesampai sahaja di hospital Kuantan , Anip terus di masukkan ke wad kecemasan. Ziah , cikgu Karim dan Pak Lang duduk di tempat menunggu. Cikgu Karim segera menelepon mak Midah , isterinya. Cikgu Karim tidak mahu mak midah terlalu risau. Dia faham benar isterinya itu.
“Macam mana dengan keadaan Anip bang?” . Tanya makcik Midah. Cemas ... disulami air mata.
“Berdoalah , dia sedang dirawat. Nanti kalau ada apa-apa abang telepon lagi. Berdoalah ... jangan risau sangat. Allah sedang menguji kita ni”. Balas cikgu Karim.

Mulutnya cuba berkata sesuatu ... sukar sekali.
Setelah menanti hampir satu jam , akhirnya seorang doktor menghampiri mereka.
“Alhamdulillah ... nasib baik cepat dibawa ke hospital”. Kata doktor itu.
“Bagaimana keadaannya sekarang doktor?”. Tanya cikgu Karim.
“Keadaannya stabil. Dia kena strok yang minor saja. Kita akan pantau keadaannya di sini”.Jawab doktor itu.
“Boleh kami melihatnya?”. Tanya Ziah. Gelisah dan resah dengan keadaan suaminya.
“Boleh ... tapi tak boleh ramai-ramai”. Jawab doktor.
“Kalau gitu Ziah pergilah tengok dulu , nanti kita bergilir”. Arah cikgu Karim. Ziah mengangguk dan bergegas ke bilik rawatan abang Anip.
“Abang ...”. Panggilnya lembut. Tangannya menggenggam tangan abang Anip lalu mengucupnya. Abang Anip mengangguk perlahan. Matanya dibuka lalu memandang Ziah. Mulutnya cuba berkata sesuatu ... sukar sekali. Mulut abang Anip tersenget sedikit akibat serangan strok tersebut. Air liurnya mengalir keluar , sukar dikawal. Ziah mengambil tuala kecil yang ada dihujung katil lalu mengelapnya.
“Sabarlah bang ... jangan tergesa-gesa. Abang rehatlah. Ziah akan jaga abang di sini” . Ziah memujuk.
“Huh!”. Abang Anip mengeluh sebelum kembali memejamkan matanya. Dia benar-benar terpukul dengan keadaan dirinya kini. Mana mungkin semua ini boleh terjadi pada hari pertama dia bergelar suami!. Memandang wajah Ziah , hatinya memberontak. Sakit!!.
“Abang ... Ziah perlu keluar sebentar. Ayah dan Pak Lang menunggu giliran untuk berjumpa abang. Nanti setelah mereka selesai , Ziah akan masuk balik. Ziah sayangkan abang!”. Ziah mengucup pipi abang Anip sebelum meninggalkannya.
Cikgu Karim dan Pak Lang mengambil giliran bertemu abang Anip. Cikgu Karim memandang sedih . Rambut yang menutupi dahi anak lelakinya itu diusap lembut.
“Sabarlah anakku ... ini semua dugaan Allah”. Cikgu Karim  memahami penderitaan anaknya. Cikgu Karim sedar , abang Anip benar-benar terpukul dengan apa yang terjadi. Masakan hari pertama perkahwinannya dihabiskan di hospital dalam keadaan dirinya hilang upaya. Terlantar keras di atas katil dengan mulut yang senget … dengan air liur yang mengalir … Hati cikgu Karim benar-benar pedih.
“Pak Lang dan ayah kamu akan pastikan kamu pulih semula. Kamu berehatlah dahulu. Banyak-banyak mengingat Allah. Ingat kamu tidak boleh lemah ... kamu ada isteri yang mengharapkan kamu. Jadikan itu kekuatan!” . Nasihat Pak Lang.  
Setelah meninggalkan abang Anip dan Ziah , Pak Lang berbicara serius dengan cikgu Karim. “Abang … aku ni nak bertanyakan sesuatu”. Kata pak Lang , cikgu Karim hanya memandangnya sambil menganggukkan kepala.
“Anip ni dah betul-betul pulih ke?”. Tanya Pak Lang.
“Apa maksud kau?”. Balas cikgu Karim. Pertanyaan dibalas dengan pertanyaan.
“Maafkan aku bang … biarlah kita berterus terang saja. Kita sama-sama tahu , sejak tunangnya arwah Aisyah meninggal dulu , Anip ni mengalami kemurungan yang teruk. Bertahun dia hidup dalam alamnya sendiri. Bercakap dengan orang pun tidak. Alih-alih tau-tau dia nak kahwin. Mulanya aku terkejut juga tapi dalam masa yang sama aku amat bersyukur”. Terang Pak Lang dengan panjang lebar.
“Habis … apa maksud yang nak kau sampaikan Lang. Tak payah berbasa basi , katakan maksud sebenar soalan kau tu”. Balas cikgu Karim.
“Maksud aku tu begini … pelik benar rasaku bila Anip boleh tiba-tiba kena strok ... badan sihat , darah tinggi tak ada, alih-alih boleh kena!. Aku dok terfikir si Anip ni sebenarnya tertekan ke dengan perkahwinan dia ni … hmm … macam ada konflik dalam jiwa. Sebelah hati nak … sebelah lagi masih dok ingatkan arwah. Itu yang urat saraf dia tertekan”. Pak Lang menyatakan pendapatnya.
“Kalau betulpun pendapat kau tu … semuanya dah berlaku. Anip dah nikahpun dengan Ziah. Pada abang , usahlah dipersoalkan lagi soal itu. Perkara lebih penting yang patut kita fikirkan ialah … apa kita nak buat untuk bantu depa?”. Balas cikgu Karim. Hasratnya agar anaknya itu segera sembuh , apa sahaja sanggup dilakukannya.
“Tunggulah ... biarkan dia di hospital dulu. Nanti bila keadaannya dah stabil dan boleh dibawa balik , kita akan usahakan cara kampung. Mmm ... ingat lagi ustaz hari tu ... yang pulihkan semangat dia masa tunangnya mati dulu?”. Tanya Pak Lang.
“Hmm ... ustaz Mukhriz?. Masakan aku lupa. Banyak benar jasanya pada kami sekeluarga”. Balas cikgu Karim.
“Ya. Kebetulan sekarang ni dia ada di Kuantan. Balik kampung isteri dia. Dengarnya dia sekarang  ni tengah bercuti panjang”. Jelas Pak Lang.
“Eloklah tu ... memang rezki Anip agaknya. Kita tengok dulu perkembangan keadaan Anip. Nanti bila sesuai kita minta bantuan ustaz Mukhriz”. Balas cikgu Karim. Lega sedikit perasaan cikgu Karim mendengar kata-kata Pak Lang. Sekurang-kurangnya adalah tempat yang hendak ditujunya selepas ini.

Malam pertama bergelar isteri …
Malam itu Ziah tidur di hospital menemani suaminya. Abang Anip sudah di keluarkan dari unit kecemasan. Dia kini ditempatkan di wad satu. Sebilik seorang ... ‘guarantee letter’ Ziah digunakan untuk melayakkannya ke wad satu. Itulah antara kelebihan pekerja kerajaan , dirinya dan keluarganya mendapat perkhidmatan kesihatan yang selesa.
Ziah termenung memandang wajah suaminya. Hatinya terasa pedih melihat keadaan abang Anip begitu. Lelaki gagah yang berjaya menawan hatinya kini terlantar tidak berdaya. Wajah yang dulunya tampan kini sudah mengherot. Ada air mengalir dari sudut bibirnya , langsung tidak disedari si empunya badan.
“Hmm … abang!”. Keluh hati Ziah. Tangan abang Anip dipicit dan diurut lembut.  Abang Anip membukakan matanya.
“Ziahhh...”. Panggil abang Anip dengan payah sekali. Air liurnya semakih banyak mengalir  setiap kali dia cuba bersuara. Ziah  memandang penuh kasih. Air liur itu disapu dengan tangannya tanpa rasa geli.
“Ya abang. Abang haus?. Abang nak air ke?”. Tanya Ziah lembut.
Abang Anip menggelangkan kepala. “Maafkan abang ... kita terpaksa bermalam di sini malam ini”. Percakapan abang Anip kurang jelas. Ziah mendengarnya bersungguh-sungguh. Tidak mahu menyinggung perasaan suaminya itu.
“Lihatlah abang , lemah tidak berdaya”. Kata abang Anip perlahan sambil menundukkan kepalanya. Terasa kecil benar dirinya kini di hadapan Ziah , gadis yang selalu disakiti hatinya dulu. Gadis yang berjaya membuka pintu hatinya untuk bercinta lagi. Sayang setelah hatinya berjaya ditakluk , lain pula jadinya.
“Abang, ini semua takdir Allah. Bukan salah abang. Tidak perlu minta maaf. Abang nak tahu ... Ziah rasa gembira sangat kerana kita telah selamat diijabkabulkan menjadi suami isteri. Di mana kita kini ... tidak menjadi hal. Yang penting , kita bersama”. Kata-kata Ziah sungguh menenangkan. Abang Anip mengangguk dan cuba tersenyum. Namun hambar , dengan mulut yang herot itu mana mungkin dia mampu tersenyum. Abang Anip memejamkan matanya lalu menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak mudah baginya untuk mempercayai kata-kata Ziah.
“Ya bang , sungguh!. Ziah benar-benar sayangkan abang. Tak kiralah di mana kita  berada atau bagaimana keadaan diri abang. Cinta tak mengenal itu semua bang. Itulah indahnya cinta”. Ziah cuba menyakinkan dan memujuk suaminya itu. Dia faham tidak mudah bagi abang Anip melalui semua itu.
“Aku akan bersabar. Aku akan sabar menghadapi kerenahnya. Akan kubina semula harapan dan semangatnya yang punah. Percayalah sayang , kasihku ini tiada sempadan”. Kata Ziah di dalam hati.
Abang Anip diam , terharu mendengar kata-kata isterinya namun , kata jujur dari sanubari Ziah itu tidak dapat memadamkan sekam keresahan dan api kemarahan yang mulai membahang dan membakar hatinya. “Hari ini kau berkata begitu , hari ini kau sanggup menunggu tapi … bagaimana dengan hari esok?. Lusa?. Minggu depan?. Bulan depan?. Lelaki yang kau hadap ini bukan lagi lelaki gagah yang pernah kau kenal dulu. Lelaki ini sudah lemah!. Sudah jatuh maruahnya!. Sudah tidak mampu memberikan kebahagiaan buatmu!. Lelaki ini kini menjadi biawak hidup yang terpaksa kau pikul ke mana-mana. Huh!! Sampai bila kau mampu menghadapinya?”. Abang Anip diam , mengetap gigi dan membungkamkan dirinya. Itu saja yang mampu dilakukannya kini!!
Ziah memandang belas bahasa badan yang ditunjukkan suaminya itu. Dia faham gejolak yang melanda jiwa suaminya itu. Dia juga sedar , bukan mudah buatnya memujuk dan melayani hati lelaki yang kecewa dan putus asa.
“Tidak mengapa. Itulah cabarannya , walau sebesar gunung sekalipun akan aku usahakan. Akan ku buktikan bahawa segala kata-kata ku itu akan ku kota. Kita kan tetap mampu mengecap bahagia”. Tekad hati Ziah.
Begitulah sabarnya Ziah menemani suaminya mengharungi saat-saat sukar dalam hidupnya. Membantu menguruskan segala keperluan abang Anip. Menemani , membantu menggerak-gerakkan tangannya sentiasa , menyuapkan makanan malah memandi dan membersihkan abang Anip setiap hari. Namun begitu ... walaupun mencuba sedaya mungkin untuk redha dengan takdir yang ditentukan buatnya , jauh di sudut hati Ziah masih tertanya-tanya , “Mengapa ini semua harus terjadi?”.
Bagi abang Anip pula api kemarahan yang dulunya kecil kini semakin marak. Membakar habis harga dirinya. Maka tergumpallah perasaan  benci dan malu. Marah , benci dengan nasib dirinya. Malu dengan keadaan dirinya ... semua anggotanya tidak berdaya! ... lebih parah lagi, abang Anip benar-benar terasa terhina apabila Ziah , gadis manis idamannya itu terpaksa memandikannya malah membersihkan najisnya setiap hari!!
“Ahhh!!!!”.  Bentak suara hatinya setiap kali Ziah membersihkan najis dan mencuci dirinya.
“Kenapa kau mesti mengenali setiap inci tubuhku dalam keadaan semuanya tidak bermaya. Kenapa?!!!”. Hati abang Anip memberontak.
Namun begitu bagi diri Ziah , tiada apa yang perlu dimalukan oleh abang Anip. Mereka kini adalah suami isteri. Saling melengkapi dan saling berpaut antara satu sama lain. Segalanya bukan rahsia lagi ... begitulah mulianya hati gadis ini.
“Abang ... sayang ...”. Ziah mengejutkan abang Anip daripada lamunannya. Wajah keruh abang Anip ditatap. Dahi abang Anip yang berkerut keras diusap lembut. Keningnya dikucup.
“Wahai suami ku sayang ... kenapa bermuram durja?. Tidakkah cukup Ziah disisi sebagai pembalut luka?”.  Ziah bergurau ... tersenyum memandang suami yang dicintainya.
Marah yang membara dalam jiwa sedikit  menghilang. Keresahan semakin mereda. Tenang seketika perasaan abang Anip yang kacau  mendengar senda gurauan Ziah. Abang Anip cuba untuk tersenyum ... tetapi bukan senyuman yang terpancar sebaliknya air liurnya meleleh dari penjuru bibir yang senget. Ziah segera menyapunya dengan tuala kecil yang memang disediakan di penjuru katil.
“Ziiaaahhhh ... nyesal kahhwiiin ngan abaannngg?”. Tanya abang Anip dengan payahnya.
“Tidak sebab Ziah sayangkan abang. Ziah cintakan abang , tiada belah bahaginya lagi ... tapi ... Ziah tentu akan menyesal sekiranya abang masih tidak mahu menerima bantuan Ziah dengan hati yang terbuka. Abang , Ziah isteri abang ... Ziah lakukan segalanya dengan ikhlas dan atas rasa sayang dan cinta Ziah kepada abang. Ziah tahu abang malu ... tapi abang haruslah sedar yang Ziah mahu abang menerima segala bantuan Ziah ini , juga dengan rasa ikhlas dan atas dasar abang juga menyayangi dan mencintai Ziah”. Ziah meluahkan rasa hatinya.

Abang Anip diam mendengar luahan perasaan Ziah. Tangannya mencapai tangan Ziah. Mereka saling menggenggam. Abang Anip mengangguk-nganggukkan kepalanya. Air matanya mengalir ... sedu sedannya menjadi-jadi. Segala yang terbuku di hati diluahkan melalui tangisan ... Ziah memeluknya ... menahan dirinya dari turut sama menangis ...

No comments:

Post a Comment