Popular Posts

Wednesday, 23 November 2016

Novel 2 : Selepas Hujan Bab 11

Lukis jea ... bila hati menjadi rapuh berhadapan dengan cinta ...

Terkenang …
            Petang itu Ziah termenung sendiri. Duduk menjulurkan hujung kakinya menyentuh gigi air sungai yang mengalir tenang. Sesekali gelembung-gelembung buih muncul dari permukaan air … “ Hai patin … malang nasib kitakan. Kau kalau besar sikit dah jadi santapan manusia. Patin gulai tempoyak. Hmm … aku pulak. Dah macam terperangkap kat sini.  Macam menunggu nasib je …”. Kata hati Ziah sambil mengusap-ngusap kepalanya yang masih sakit. “Aduh… sakitnya. Tak pasal-pasal kepala aku ni jadi mangsa. Psycho lelaki tu!”. Rungut Ziah sambil tangannya membaling sebiji batu ke dalam sungai. Riak air yang membulat terbelau , membesar lalu menghilang terasa begitu mengasyikkan. Ziah membaling lagi lepas sebiji … sebiji batu lain dicampak ke sungai.
Keasyikan itu akhirnya membawa Ziah kepada kenangan silam … yang pastinya mengguris luka hatinya berkali-kali … sadisnya!

Kenangan silam yang melukakan … Zuraimie mengorak langkah.
              Pagi itu Ziah dikejutkan oleh bunyi ‘alarm’  telepon bimbitnya.
“Huh! Dah pagi ... dah sampai masa bangun”. Ziah mencapai telepon bimbitnya lalu menghentikan ‘alarm’ yang masih berbunyi. Ketika mahu meletakkannya  semula  di atas rak buku bilik tidurnya , matanya tertangkap lambang ‘pesanan masuk’ yang tertera pada skrin telepon bimbitnya itu.
“Siapa  pula yang pagi-pagi buta sudah menghantar pesanan ni?”. Katanya sendiri lalu membuka peti pesanannya ...
‘Assalamualaikum!. Selamat pagi ... semuga hari anda akan ceria sentiasa’

Ziah  agak terkejut membaca ‘pesanan’ itu lalu menekan pendetailan butiran ;

                                                From : Zuraimie
                                                Date : 25 Mac  6:01am

“Seawal ini dia sudah menghantar ucapan selamat pagi kepadaku. Apa maknanya  semua ini?”. Ziah bertanyakan dirinya sendiri.
“Mungkinkah ini petanda baik? Aku tidak bertepuk sebelah tangan atau ... aku hanya persinggahan buat merawat hatinya yang luka?. Hmm ... apapun , baik aku tunggu dan lihat sahaja”. Ziah membuat keputusan sebelum beredar ke bilik air.
Sebaik sahaja Ziah melangkah keluar dari bilik , Ba’ie yang tidur disebelahnya terus mencapai telepon bimbit Ziah lalu menekan ‘inbox’ , mencuri baca isi  pesanannya!.
“Tak guna!. Kenapalah kau mahu juga bersaing denganku?”. Kata hatinya , bengang membaca pesanan yang dihantar Zuraimie kepada Ziah. Lalu bertindak nekad ...
‘Awak tak ada kerja lain ke pagi-pagi mengganggu orang dengan pesanan yang tak masuk di akal?’

Tiada siapa menduga , Ba’ie sanggup bertindak biadap membalas pesanan dari Zuraimie itu tanpa pengetahuan Ziah. Selepas butang ‘send’ ditekan , telepon bimbit Ziah dengan segera diletakkan di atas rak semula.
“Eh! Awak buat apa tu Ba’ie?. Bukankah itu telepon bimbit Ziah?”. Tanya Diah yang kebetulan melangkah masuk ke dalam bilik setelah selesai menunaikan solat subuh pagi itu.
“Errr ... errr ... Diah. Dah solat?. Saya cuma tumpang tengok jam. Baru sedar , dah pukul 6 lebih. Errr ... takpalah saya nak pergi mandi dulu”. Jawab Ba’ie tergagap-gagap , cuba menutup tembelangnya.
“Kan bilik air ada orang , macam mana awak nak mandi sekarang”. Balas Diah , mulai curiga.
“Oo ye ke?.Takpalah kalau gitu saya gosok baju dululah. Nanti senang lepas mandi terus boleh bersiap”. Balas Ba’ie sebelum melangkah keluar.
“Pelik!. Macam ada yang tak kena je dengan budak Ba’ie ni”. Fikir Diah.

Ba’ie itu mencurigakan
Sebaik sahaja Ziah habis mandi , Diah segera mendapatkannya.
“Ziah , aku rasa baik kau ‘check’ telepon bimbit kau pasal tadi aku nampak Ba’ie macam buat sesuatu pada telepon kau tu. Aku syak dia ada buat yang tak baiklah sebab bila aku tanya dia gelisah semacam je”. Diah memberitahu Ziah hal yang berlaku. Dia tidak mahu ada orang yang mengkhianati atau berbuat jahat kepada sahabat baiknya ini.
“Hishh! Biar betul Diah. Berat tuduhan kau tu”. Balas Ziah.
“Betul!. Bila aku tegur , dia tergagap-gagap menjawab. Konon nak tumpang tengok jam. Bukankah dia sendiri ada telepon bimbit. Nak juga tengok kau punya!”. Kata Diah
“Tak mungkinlah , mungkin bateri dia tengah ‘ kong’  sebab tulah terpaksa tengok telepon bimbit aku. Ahh! Sudahlah!!. Takde bendapun yang rahasianya dalam telepom  aku tu” . Jawab Ziah selamba.
“Dahlah ! Jangan risau yang bukan-bukan!”.  Kata Ziah lagi sebelum menolak  Diah ke arah bilik air. “Pergi mandi!”.

Mahu tidak mahu Ziah terpaksa mengalah ...
Seperti biasa , Ziah dan rakan-rakan serumahnya yang lain bergegas ke perhentian bas untuk ke kuliah … sedang mereka menanti bas , tiba-tiba sebuah kereta kenari  muncul dan berhenti betul-betul di hadapan mereka. Cermin kereta diturunkan , “Assalamualaikum! Ziah marilah saya tumpangkan awak ke kuliah!”. Panggil Zuraimie dengan sopan.
“Waalaikumussalam.  Err ... terima kasih banyak tapi ... saya lebih selesa naik bas. Saya naik bas dengan kawan-kawan saja”. Balas Ziah.
“Tak mengapalah , ajaklah kawan-kawan Ziah naik sama”. Balas Zuraimie , agak mendesak.
“Errr ...”. Ziah teragak-agak.
“Oklah tu Ziah , boleh cepat sikit kita sampai. Tak perlu berdiri di sini lama-lama”. Sampuk Nonie lalu mendahului Ziah membuka pintu kenari sebelum mengambil tempat di kerusi sebelah belakang. Tindakannya diikuti oleh Mazliana maka tinggallah satu lagi tempat kosong di hadapan. Mahu tidak mahu Ziah terpaksa mengalah duduk di situ.
“Kebetulan  saya lalu di sini ketika kamu orang tengah menunggu bas. Memang patutpun saya tumpangkan awak semua”. Kata Zuraimie , cuba membenarkan tindakannya.
“Ya , betul kata awak”. Balas Ziah.
“Hmm ... terkejut saya menerima balasan awak tadi pagi”. Zuraimie berkata perlahan , sekadar untuk didengar oleh Ziah sahaja.
“Err ... balasan?”. Ziah tidak dapat menangkap maksud kata-kata Zuraimie itu.
“Tak mengapa  , saya suka permainan awak”. Kata Zuraimie lagi. Ziah tambah keliru , “Permainan apa yang dimaksudkan Zuraimie?”. Fikirnya sebelum mengambil keputusan untuk mendiamkan diri.
“Hmm ... jual mahal ye?”. Fikir Zuraimie sendiri sambil tersenyum. Mengerling ke tangan dan jari jemari  Ziah yang panjang runcing.

Zuraimie mengorak langkah
Begitulah keadaannya setiap hari ... setiap pagi pasti ada sahaja nota pesanan yang dikirimkan buat Ziah. Namun tiap kalinya pasti akan dijawab oleh Ba’ie tanpa pengetahuan Ziah.  Kemudian Zuraimie pasti akan memberhentikan keretanya  tepat pada waktunya di perhentian bas. Nota-nota pesanan yang dihantar oleh Zuraimie dan pembohongan dan laku khianat Ba’ie  terhadap sahabatnya sendiri ... semuanya menjadikan hidup Zuraimie semakin ceria dan bermakna. “Permainan ini semakin menarik!”. Fikir Zuraimie.
Hari kedua:
‘Assalamualaikum.  Semoga hari anda akan seceria dan seindah wajah anda’
Balasan oleh Ba’ie :
‘Tiada kena mengenanya keindahan hari ini dengan wajah sesiapapun!’
Respon Zuraimie:
“Ha ha ha ... melawan nampaknya. Menarik!”.

Hari ketiga:
‘Assalamualaikum. Semuga hati anda kan tetap ceria di pagi yang mendung ini’
Balasan oleh Ba’ie :
‘ Hanya empunya diri sahaja yang akan tahu rasa hatinya. Orang lain tak perlu  
  peduli!’
Respon Zuraimie:
“Wow! Garangnya!. Tercabar aku jadinya ”.

Hari ke empat:
‘Assalamualaikum. Saya suka melihat wajah anda yang sentiasa tenang dan ayu’
Dan sebaik sahaja Ba’ie terbacakan nota pesanan Zuraimie itu , marahnya meluap-luap , rasa cemburu bagai tidak terbendung lagi ...
Balasan oleh Ba’ie :
‘ Sengal!!!!! ’
Respon Zuraimie:
“Sengal?”. Zuraimie terkejut dengan balasan yang diterimanya.
“Biar betul minah ni”. Fikirnya lagi. Tersinggung dengan balasan jawapan yang diterimanya.
Maka hari itu  Zuraimie tidak berhenti lagi untuk menumpangkan Ziah dan teman-teman serumahnya. Ziah pula yang merasa hairan ...
“Kenapa agaknya dia tidak berhenti menumpangkan kami hari ini?. Sakitkah dia atau ... ada sesuatu yang tidak kena?”. Ziah tertanya-tanya sendiri.
“Hai Ziah , mana cik abang kita ni?”. Tanya Nonie. Ziah hanya tersenyum tawar.

Pelik ... macam ada yang tidak kena
Sampai sahaja di dewan kuliah hari itu , Ziah segera mencari bayangan Zuraimie.
“Kenapa dia tak menjemput kami hari ini?. Pelik ... macam ada yang tidak kena sahaja”. Fikir Ziah lagi. Setelah puas mencari , memandang kiri dan kanan maka ternampak olehnya  orang yang dicari. Zuraimie mengambil tempat paling depan , betul-betul di hadapan ‘lecturer’. Bagai sengaja mahu menayangkan dirinya kepada Ziah. Mukanya masam mencuka. Sesekali menoleh ke belakang melihat-lihat ke arah Ziah.
“Pelik lelaki ini. Haii ... Zuraimie , apa yang tak kena?”. Kata Ziah perlahan.
Sikap Zuraimie hari itu membuatkan Ziah bingung. Rosak  harinya dek rasa resah gara-gara sikap Zuraimie yang berubah tiba-tiba. Sedari pagi membawa ke tengahari sehingga menjelang petang ,  persoalan  masih tidak terurai. Zuraimie tetap begitu juga. Akhirnya berlalu juga hari itu. Hari yang telah mematikan impian indah Ziah!.


Selembar nasihat  :                                             Mengapa harus meresah sendiri?
Andai curiga memecah damai jiwa
Kian dibiar kian parah
Seharusnya persoalan segera dirongkai
Berkomunikasi ! berkomunikasi ...  itulah caranya
Agar menghilang kabus kelam
Kembali menyinar cahaya kepastian


 Sekali lagi … air mata Ziah tumpah kembali bila mengenangkan pengkhianatan sahabat sendiri. “ Kerana seorang lelaki kau sanggup mengkhianatiku. Di mana nilai persahabatan kita Ba’ie?”. Tanya hati Ziah … dan lebih menyakitkan lagi bila hatinya  turut dipermainkan lelaki yang amat dicintai … lelaki yang datang dan pergi sesuka hati!
“Maafkan saya Ziah … hakikatnya cinta kita tidak pernah wujud. Sejak dulu , kini dan selamanya hati saya ini milik Diah … hanya Diah seorang … bukan awak Ziah!”… Tersedu Ziah mengingatkan kata-kata Zuraimie. Sedikitpun tiada rasa kesal di wajah ketika Zuraimie melafazkannya!.

Kejutan
            “Menangis! Menangislah hati … menangis sepuas-puasnya. Lepaskan dan tak usah lagi dikenang mereka yang tidak tahu menghargaimu!. Benci! Benci!!. Aku benci kau Ba’ie!! Aku benci kau Zuraimie!!!!”. Jerit hati Ziah …
Leka melayan perasaan dan larut dalam tangisan , tiba-tiba Ziah terkejut apabila menyedari ada seseorang duduk di sebelahnya. Sepantas kilat Ziah mengangkat muka lalu mengelap air mata yang masih deras mengalir. Terbeliak matanya dan terlopong besar mulut Ziah apabila melihat wajah abang Anip betul-betul di hadapan mukanya.
“Kau kenapa?”. Tanya abang Anip.
… dan pada Ziah , itulah soalan paling bodoh yang pernah didengarnya dan disampaikan pada waktu yang paling tidak sesuai!
“Benci lelaki ini!!!!!”. Jerit hati Ziah sambil matanya bulat memandang abang Anip dan mulutnya masih tetap terlopong.



No comments:

Post a Comment