Popular Posts

Saturday, 3 September 2016

Novel 2 : Selepas Hujan Bab 8

Bab 8 :       Rindukah itu?.  


Rindukah itu ...
Tanpa sedar ku sebut namamu
Dalam pejam kulihat wajahmu

         Ziah duduk di atas kerusi bersebelahan dengan katil Diah. Semalam , selesai sudah majlis konvokesyen diploma pendidikannya. Ziah , Ba'ie dan Zuraimie ... mereka bertemu semula setelah sekian lama terpisah , masing-masing membawa diri mengharungi episod demi episod kehidupan yang tersurat.
         Termenung memandang Diah ... “Kenapalah berubah terus takdir hidupmu? . Ya Allah , hikmah apakah yang tersembunyi disebalik semua ini?”. Ziah memandang sayu , Diah gadis periang yang pernah menjadi teman rapatnya dahulu kini terlantar tidak bermaya.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya”. Ziah teringat maksud sebahagian daripada ayat 286 dalam surah Al Baqarah yang pernah dibacanya dulu.
“Ya . Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang di luar kemampuan kita. Diah , aku yakin kau akan tabah dan dapat melalui semua ini”.  Bisik suara hati Ziah. Wajah Diah ditatapnya penuh simpati. "Benarlah kita ini hanya hambaNya dan tidak Allah jadikan mati dan hidup itu melainkan sebagai ujian buat kita". Ucap Ziah tanpa sedar.
         "Huhhh!. Lain orang lain pula ujiannya". Entah mengapa tidak semena-mena , Ziah teringatkan pula kisah abang Anip. Kisah yang cukup tragis. Semuanya kisah cinta yang tidak kesampaian. Sama seperti kisah cinta Diah , juga kisah cintanya sendiri. 
"Abang Anip kehilangan Aisyah , Diah kehilangan Raziq dan aku kehilangan Zuraimie ...  sungguhpun kau selalu ada di depan mata namun , hatimu  tidak pernah mampu  kucapai!. Huhh! Hati-hati yang terluka ... semuanya kisah cinta duka”. Keluh Ziah , mulai melayan perasaannya sendiri. 
         Teringat lagi perbualannya bersama Diah suatu ketika dahulu. Mereka sama-sama pernah bersetuju untuk segera mengakhiri zaman solo mereka sebelum  mencecah ke umur 26 tahun.
“Sunnah Nabi tu. Kau tak hendak ikut ke?. Kan ke nabi kita , Nabi Muhammad (s.a.w) kahwin umur 25 tahun!”.  Kata-kata Diah yang nakal dan mesra suatu ketika dulu masih terngiang-ngiang di telinganya.
“Diah , kita dah di penghujung 25 tahun. Lihatlah diri kita. Kau terlantar dan aku masih sendiri. Semuanya masih lagi  suatu misteri!”.  Bisik lagi suara hati Ziah. 
Perkataan 'misteri' itu mengingatkannya kepada abang Anip , lelaki yang sering membebalkan hati. Entah mengapa , sejak meninggalkan Pagan Sena , ada-ada saja perkara yang mengingatkannya kepada lelaki itu.
“Hmm ... abang Anip!. Lelaki pelik dan penuh misteri. Mengapa kau asyik datang dalam ingatanku?. Sudah ketulahan ke apa aku ni?”. Keluh Ziah , terbayang olehnya wajah abang Anip yang berserabut ... dan manis.  Entah mengapa bagai ada rindu menyapa ...
“Hishh! . Biar betul!. Tiba-tiba rasa rindu pulak! . Eh, tak mungkin . Tak mungkin aku rindukannya. Tidak! Tidak! Tidak!. Aku tak mungkin merindukannya  . Moga disimpangkan Allah semua itu. Rasa ini ... ingatan ini adalah kerana aku  dah  lama tak bertengkar atau  bergaduh dengannya. Ya! Itu saja!!”. Ziah cuba memahami perasaannya sendiri. 
“Atau mungkin juga kerana tiada orang yang menyakitkan hatiku di sini. Tak mungkin aku merindui lelaki mulut longkang itu!”. Bisik Ziah sambil tersenyum. 
Lepas satu ke satu peristiwa yang berlaku sepanjang  tinggal menumpang di rumah cikgu Karim muncul dalam fikirannya. Ziah tertawa kecil apabila teringatkan betapa malunya dia dek peristiwa yang berlaku pada satu petang. 
Ketika itu Ziah baru habis mandi dan berpakaian. Daun jendela bilik ditolak luas. Ziah melihat ke luar jendela , membiarkan bayu petang mengusap dan membelai wajahnya. Rambutnya yang basah dibiarkan lepas bebas . Ziah menyanyi-nyanyi perlahan sambil menyisir rambutnya. Lagu suci dalam debu nyanyian Saleem!. 
'Engkau bagai air yang jernih
di dalam bekas yang berdebu
Zahirnya kotoran itu terlihat
kesucian terlindung jua 

cinta bukan hanya di mata
cinta hadir di dalam jiwa
biarlah salah di mata mereka
biar perbedaan terlihat antara kita

kuharapkan kau kan terima
walau dipandang hina
namun hakikat cinta kita
kita yang rasa

suatu hari nanti pastikan becahaya
pintu akan terbuka kita langkah bersama
di situ kita lihat bersinarlah hakikat
debu jadi permata , hina jadi mulia

bukan khayalan yang aku berikan
tapi keyakinan yang nyata
kerana cinta lautan berapi
pasti akan kurenang jua'

Tanpa Ziah sedari , abang Anip yang berada tidak jauh dari situ sedang leka memerhatikannya. Entah mengapa lelaki itu berdiri tegak di sebelah motor buruknya , tidak  bergerak dan seakan leka memerhatikan geraklakunya atau mungkin juga terpesona mendengar nyanyiannya!. 
Ketika mahu mengulangi bahagian korus dengan penuh perasaan  mata mereka bertentangan , masing-masing terkejut dan segera berpaling. Berlagak seperti tiada apa-apa yang terjadi!. 
“Hu hu hu ...  malu! lucu!. Agaknya apa yang menyebabkan abang Anip boleh leka sampai begitu sekali melihatku. Adakah kerana dia ...terpesona dengan nyanyianku ... atau terkejut melihat aku yang tidak bertudung?” Fikir Ziah lagi.
“Eeeee ...  apsallah perkara memalukan tu boleh terjadi. Cuainya aku. Kalaulah dia betul-betul terpikat denganku ... matilah!. Tak boleh nak kubayangkan tinggal bersama lelaki ego tu. Tapi ... sikapnya ketika menghantarku tempohari cukup baik dan menyenangkan. Mungkin betul , abang Anip telah  jatuh cinta padaku?. Atau dia dah termakan cadangan makcik dan pakcik?".
“Hmm ... apapun aku sendiri bagaimana? Apa perasaan aku sebenarnya padanya , cinta atau benci?”. Fikir Ziah sambil meletakkan tangannya di dada sambil memejamkan mata. Cuba mencari perasaannya sendiri.
“Hmm ... apalah susah-susah fikir , yang pasti dia bukan lelaki idamanku!”. Ziah membuat kesimpulan. 
Kini fikirannya terpaut pula pada kenangannya bersampan menyusuri sungai bersama Kamal.
“Hmmm ... lelaki itu. Baik dan sangat menyenangkan!”. Fikirnya sambil tertawa kecil apabila terkenangkan peristiwa dia dikejar angsa semasa bertandang ke pondok kecil Kamal tempohari. Itulah hari yang paling membahagiakannya sejak mula berkhidmat di Pagan Sena!.
“Hmm ... Kamal memang teman yang baik. Teman tapi mesra ... tak lebih dari itu”. Akhirnya Ziah terlena ...

Bila rindu menyapa .....
         Petang itu , abang Anip seperti tiga petang yang lepas , duduk di atas sebatang kayu pokok yang tumbang di tebing sungai belakang rumahnya. Sepanjang ketiadaan Ziah , semangatnya punah , hatinya resah gelisah. Kesunyian terasa mencengkam. Merenggut tangkai hatinya. Sepi ...  sunyi ... kehilangan!.
“Huh ... apa dah jadi dengan diriku ini?”. Fikirnya.
“Mengapa aku selemah ini? .  Mengapa aku selemah ini?. Di mana kesetiaan yang selama ini aku pertahankan?!”. Marahnya pada diri.
Suatu ketika dulu , abang Anip pernah berjanji kepada dirinya bahawa dia  akan sentiasa setia pada cinta yang satu. Cinta yang telah dirampas dek hasad dengki yang telah mengorbankan kekasihnya.
“Chah , walaupun kita berpisah di dunia ini , percayalah ...  hati kita tetap bersatu.  Tunggu abang  ,  kita akan bersama di sana nanti. Tiada cinta lain buat abang di dunia ini. Percayalah sayang. Itu janji abang!”.  Itulah janji yang pernah dilafazkan oleh abang Anip di atas pusara kekasihnya , bakal tunangannya , Aishah.
Namun kini segalanya mulai berubah. Kehadiran Ziah telah merongkai satu persatu ikatan janji setia yang pernah dimeterai di pusara Aishah. Abang Anip benci dengan dirinya sendiri. Mengapa dia boleh selemah ini , membuka lembaran baru buat insan lain.
“Bukankah sepatutnya hati ini  tertutup rapat buat semua kaum hawa di dunia ini?”.  Fikirnya lagi. “Arrggghhhhh!!!” Jeritnya.

Peristiwa tika bersama ...
“Ziah ...  kenapalah wajahmu sering terbayang. Siksanya jiwa aku ini!.  Aku benci kau Ziah! Aku benci kau! Benci!!!!” . Abang Anip mengeluh ... marah pada diri sendiri!. Entah mengapa , gadis yang bernama Ziah ini bagai mengetuk-ngetuk kuat pintu hatinya. Tidak mampu untuk menahan!. Abang Anip terus melayan perasaan. Dia mula mengingati segala peristiwa yang pernah dilaluinya bersama Ziah , segala pertengkaran yang merapatkan mereka. Kedegilan Ziah ... kegigihan gadis itu ... ada sesuatu dalam diri gadis itu yang menarik hatinya!.
“Huhh!”. Abang Anip mengeluh sambil memegang dadanya sendiri. Terasa seperti sesuatu menyusuk-nyusuk. “Pedihnyan perasaan ini!” . Keluh abang Anip. Abang Anip termenung lagi ... teringat olehnya suatu peristiwa yang membuatkannya tersenyum sendiri.
Suatu pagi , reaksi bodoh Ziah ketika terpijak ‘ular sampah’ semasa sedang memberi makan ayam  di belakang rumah mana mungkin dapat dilupa. 
Peristiwa pagi itu benar-benar telah menggeletek  tawanya.  Ular sampah yang saiznya cuma besar sedikit sahaja daripada cacing tanah itu mampu membuatkan Ziah menjerit  ketakutan. Ular kecil bewarna hitam berkilat dan bergerak seperti seekor ular biasa itu  meliuk-liukkan badannya apabila dipijak. Gerakannya itu menyebabkan Ziah terjerit-jerit sambil terlompat-lompat. Abang Anip yang kebetulan baru turun dari rumah segera berlari ke arah Ziah. Sangkanya ada ular berbisa yang mungkin telah mematuk kaki gadis itu. Dia segera mengeluarkan parang panjang yang tersisip dipinggangnya. Sesampai di situ ....
“Laaa ...  ular sampah pun nak terjerit-jerit!. Mengada-ngada!!” . Marah abang Anip.
Ziah yang pada ketika itu sedang terlompat-lompat kegelian terhenti dan berasa sangat marah mendengar kutukan abang Anip.
“Woiii! Orang gelilah. Bukan mengada-ngada. Lagipun orang tak panggilpun awak!. Siapa suruh datang?. Suka-suka saja nak kutuk orang!!”.  Ziah berlari meninggalkan abang Anip setelah membalas kata-kata kasarnya  tadi.
“Woii! Memanglah kau tak panggil tapi aku ni lelaki budiman!!! Ha! Ha! Ha! Bodoh ular sampah pun takut!”. Abang Anip terus mengejek , sengaja menyakitkan hati Ziah. Sebenarnya dia rasa tercabar dengan kata-kata Ziah tadi. Tidak disangkanya  Ziah berani berkata begitu.
“Hmm  ...  patutlah dia bencikan aku. Teruk aku layan dia. Tak ada langsung kata-kata lembut dan manis yang pernah kuucapkan padanya”. Fikir abang Anip lagi. 
Menyesal sungguh dia ... sudah terlalu biasa menyendiri , langsung lupa untuk memikirkan perasaan orang lain.  

Bayangan Ziah terus-terusan menghantuinya
         Tapi kini ... segalanya berubah. Abang Anip  menyesal  dengan semua sikap buruknya. Lebih-lebih lagi bila rindu sudah pandai bertandang di perdu hatinya..
“Huhhh!!!! . Maafkan abang Ziah” . Keluhnya. Berat benar bunyi keluhan itu.
Bayangan Ziah terus-terusan menghantuinya. Hati lelakinya  amat tersentuh apabila terkenangkan pula bagaimana baiknya Ziah  merawat seekor anak ayam   yang terjatuh dari sangkar ibunya semalaman. Anak ayam yang kesejukan dan kuyup dek hujan yang turun malam itu diambil Ziah tanpa rasa jijik. Dari kejauhan abang Anip melihat Ziah membalutnya dengan kain buruk di dapur. Anak ayam itu dilap kering. Bukan itu saja Ziah juga menyuapnya dengan butiran nasi yang telah dikecil-kecilkan. Sedikit demi sedikit masuk ke tembolok anak ayam itu. Setelah anak ayam itu kembali kuat Ziah meletakkannya perlahan-lahan ke dalam sangkar ibu ayam.
“Mulia sungguh hatimu. Sangat penyayang. Memang patut kau menjadi seorang guru. Sesuai dengan sifatmu”. Fikir abang Anip lagi. Tersenyum sendiri apabila mengenangkan bagaimana bersungguh dan cerianya Ziah bercakap-cakap dengan anak ayam itu! Mengusap-ngusapnya semasa memberi ia makan.
Lebih menyentuh jiwanya  tatkala melihat Ziah , gadis yang sentiasa disakiti hatinya itu sedang menyisir lembut rambut ibunya.
 “Makcik , kita serahkanlah segalanya kepada Allah. Ziah yakin dengan izinNya , abang Anip akan sedar dan berubah juga. Bagi diri Ziah , makcik janganlah risau. Walau seburuk manapun sikapnya pada Ziah , Ziah langsung tidak menyimpan dendam sebab Ziah sedar  kehadiran Ziah di sinilah sebenarnya yang  telah mengganggu ketenangan dan keselesaannya selama ini.  Ziah tak apa-apa malah Ziah bersyukur kerana makcik sekeluarga sudi menumpangkan Ziah di sini”. Kata-kata  Ziah masih terngiang-ngiang di telinganya.
“Baiknya hatimu ... setelah segala yang kulakukan padamu , kau masih boleh berkata begitu”.
Semua itu mengusik hati lelakinya. Tidak pernah dia menduga , Ziah yang datangnya tanpa diundang telah dapat mengubah dirinya. Mengubah segalanya. Perasaan yang dulu mati  kini kembali berbunga!
“Ziah , kehadiranmu mengembalikan semula semangat hidupku yang telah lama mati” . Bisiknya separuh mengeluh. Sukar untuk mengakui bahawa cintanya sudah mula berputik!.

... abangnya itu jadi resah tidak menentu.
“Wah!! Berangan jauh abang aku ni!” Sergah Miah. Tiba-tiba muncul , memutuskan angan abang Anip. Miah memang sedar akan perubahan yang berlaku kepada abang kesayangannya itu. Kalau dulu abangnya seorang yang kaku keras tidak berperasaan. Tetapi sejak kehadiran Ziah dalam keluarga mereka sedikit demi sedikit kekakuan dan kekerasan itu dapat dilembutkan. Abangnya itu sudah mahu diajak makan bersama. Sudah mula bercerita walaupun hanya sepatah dua.  Sudah tidak  marah-marah lagi. Lebih memeranjatkan , abangnya itu sendiri yang meminta izin daripada cikgu Karim untuk menghantar Ziah ke Bandar Kuantan tempohari!. Hinggakan permintaannya itu telah menyebabkan cikgu Karim terpaksa membuat helah keluar bersama Miah ke Pekan. Semata-mata untuk memenuhi permintaan abang Anip!.  Bukan itu saja , Miah juga amat sedar ... sejak Ziah turun ke Kuala Lumpur  , abangnya itu jadi resah tidak menentu. Ke kebun pun tidak , menjalapun tidak , asyik ke tebing sungai melayan angan!.
“Mencari bayang Ziah di air sungai ye!” . Usiknya.
“Hoi!!! Apa mengarut ni?!”.  Abang Anip marah diusik begitu.Terasa egonya sedang dipermainkan.
“Abang , janganlah marah. Miah bergurau saja. Sebenarnyakan , Miah sendiripun  rasa sunyi bila Ziah dah tak ada. Dia tu baiklah bang. Dahlah baik , rajin , pandai masak dan yang paling penting ... pandai ambil hati mak dan abah. Alangkah baiknya kalau dia terus menjadi sebahagian daripada keluarga kita kan bang ...”.  Miah mengerling abang Anip , sengaja mahu melihat reaksinya.
“Hoi! Apa yang kau merepek ni?! ...”. Abang Anip bangun meninggalkan Miah sendiri. Miah tersenyum. Pancingnya sudah mengena!
“Abang! Tunggulah ... emak ajak minum petanglah bang”. Jerit Miah.  Berlari anak mengejar abang Anip yang berjalan semakin laju di hadapan.
“Anip! Mari naik nak ...  kita minum petang sama. Ni hah Miah ada buat cucuk  pisang ni”. Ajak cikgu Karim tatkala terlihatkan kelibat anak lelakinya itu. Abang Anip akur.
“Anip ke mana tadi?”. Tanya makcik Midah.
“ Tak ada ke mana mak. Ke belakang je ... tengok-tengok kolam ikan” . Jawab abang Anip cuba berdalih.  Malu ditanya begitu. Mana tidaknya sejak Ziah pergi , sehari pun abang Anip tidak berkebun. Membuang masa dan melayan perasaan di tebing sungai sahaja. Makcik Midah memandang cikgu Karim , kedua mereka tersenyum.
“Hmm ... langsung tak ke kebun?”. Tanya cikgu Karim. Sengaja buat-buat bodoh.
“Tak. Badan tak berapa sihat. Esok lusa Anip pergilah”. Jawab abang Anip.
“Jangan dibiar lama kebun tu tak berjenguk. Nanti diaruk monyet-monyet liar , habis rosak semua!”. Tegur cikgu Karim. Abang Anip diam. Memang ada benarnya kata-kata bapanya itu. 
“Mmm ... bila Ziah balik ?” tanya cikgu Karim. Tersedak abang Anip mendengar  nama itu disebut. “Laa ... apa teruk sangat Nip ? Makantu pelan-pelanlah”. Tegur makcik Midah , buat-buat tidak faham. Abang Anip hanya mengangguk-nganggukkan kepalanya.
“Err ... kalau ikut kata Ziah , esok baliklah dia. Naik bas pukul satu. Dalam pukul enam petang sampailah kot”. Jawab abang Anip.
“Kau boleh tolong ambik tak. Esok petang abah ada mesyuarat AJK surau kampung kita ni. Dia orang nak buat program mengimarahkan surau terutamanya kepada anak-anak muda. Tak delah setiap kali tiba waktu sembahyang , hanya orang-orang tua je yang berjemaah. Yang muda entah di mana? Di tembok-tembok jalan main gitar. Takpun di padang bola. Maghrib lebur macam tu je!”. Keluh cikgu Karim mengingatkan perihal anak-anak muda kampungnya.
“ Bolehlah bah , esok petang Anip pegi ambik dia”.  Abang Anip memberi persetujuan.
‘Pucuk dicita , ulam mendatang!’.  Sebenarnya abang Anip sendiri sudah tidak sabar untuk menatap wajah ayu bujur sireh milik Ziah. Entah mengapa , rindunya membuak-buak.
“Huh! Apa dah jadi dengan aku ni?. Baru beberapa minggu dia di sini , haru biru hidup aku dibuatnya. Ziah! Ziah! Ziah!. Apa yang dah kau buat padaku?!”. Bisik  hati abang Anip.

Bukan abang Anip sahaja yang rindu ...
         Tanpa bicara , Kamal duduk termenung di tepi rakit yang dilabuhkan ke tebing. Fikirannya merawang-rawang ...
“Ziah ...”. Lahir nama itu dari bibirnya.
Hatinya terganggu sejak akhir-akhir ini. Entah mengapa dia merasakan yang Ziah semakin jauh darinya. Peristiwa abang Anip marah-marah semasa dia bersama Ziah tempohari mengganggu ketenangannya.
“Bagaimana aku dapat menandinginya sedangkan aku ini orang merempat , apapun tak punya. Tidak seperti dia , anak orang berada kampung ini. Keluarganya pula dihormati. Ayah dan adiknya cikgu.  Orang kampung memandang tinggi pada mereka. Sedangkan aku ... rumahpun tak ubah seperti reban sahaja!”. Keluhnya.
“Ziah itu tinggalnya sebumbung dengan  dia pula. Sedang aku seminggu sekalipun belum tentu bertemu. Arrgghhhh!!! Kenapalah aku dilahirkan miskin begini!!”. Jeritnya tiba-tiba.

 Sangkanya Miah yang berada di talian.
         Sedang di rumah cikgu Karim , abang Anip masih duduk  bersama kedua orang tuanya , menikmati juadah minum  petang hari itu , tiba-tiba ...
“Rriiinnnngggggg  ... riinnngggggg ... rriinnggggg ....” . Telepon rumah berdering.
“Anip , tolong angkatkan”. Pinta makcik Midah. Abang Anip akur dan segera mengangkat gagang telepon.
“Assalamualaikum”. Kedengaran satu suara dari sana. Lembut dan membuatkan darah abang Anip berderau. Kelu lidahnya untuk menjawab salam itu. Berdebar-debar hatinya.
“Err ... hello. Assalamualaikum!”.  Ulangnya lagi.
“Heiii ... jawab salam wajiblah. Dosa tau kalau tak jawab!!”. Usik Ziah. Sangkanya Miah yang berada di talian.
“Ya . Waalaikumussalam”. Jawab abang Anip sepatah. Gugup!
“Uhh! ... abang Anip ke tu?”. Ziah bagai tidak percaya. Perasaannya berdebar-debar.
“.....”. Diam. Langsung tidak berjawab.
“Errr ... Ini Ziah , maaf bang , Ziah ingatkan Miah tadi”. Kecut hati Ziah namun perasaannya rasa lega dan senang mendengar suara abang Anip. Aneh!.
Bukan itu saja bahkan Ziah juga berasa pelik dan aneh sekali  kerana abang Anip yang mengangkat telepon. Seingatnya , selama tinggal di rumah itu , abang Anip tidak pernah ambil pusing pasal semua perkara terutamanya untuk mengangkat apatah lagi menjawab panggilan telepon. Jauh panggang dari api. Walau telepon itu berdering di sebelah telinganya pun pasti akan dibiarkan saja!
“Betul-betul berubah lelaki ini”. Fikirnya.
 “Err ... ya ... Ziah nak cakap dengan Miah ke?”. Abang Anip cuba menghilangkan gugupnya.
“Tak apa. Dengan abangpun boleh”. Jawab Ziah. Berderau darah abang Anip mendengarnya!. Tergamam mulutnya mendengar jawapan Diah itu.
 “Errr ... Ziah cuma nak bagi tahu yang Ziah tak jadi  balik esok. Ziah ada hal yang terpaksa diuruskan di sini. Lusa baru Ziah balik. Jadi tak perlulah ambil Ziah esok”.  Ziah memberitahu. Dia terpaksa menangguh kepulangannya demi membantu Diah dan Zuraimie. Diah yang baru sedar dari koma masih terlalu keliru dan Zuraimie pula tidak mungkin mampu menangani kerenah Diah sendirian.
 Sebaik saja  mendengar kata-kata Ziah itu , abang Anip terasa seperti kepalanya dihempap oleh sebiji kelapa yang sangat besar. Anehnya bukan kepalanya yang sakit tapi hatinya!!
“Ahh tak jadi balik?!”.  Bisik abang Anip. Jengkel.
“Tapi macam mana dengan sekolah ... sudah diuruskan?”. Tanya abang Anip , cuba menyembunyikan perasaan kecewanya tika itu.
Ziah hairan , tiba-tiba abang Anip menjadi begitu prihatin. Bukan Ziah saja malah makcik Midah dan cikgu Karim yang berada di situ juga turut hairan.
“Sejak bila pula anak aku ni ambil peduli benda-benda macam tu?”. Fikir  makcik Midah , hairan dan geli hati. “Ha ha ha ... cinta sudah mula berputik!”. Kata hati makcik Midah.
“Sudah ...  Ziah dah telepon sekolah. Ziah ambil cuti rehat dua hari , maknanya Ziah akan balik Khamis petang nanti”. Ziah memberitahu.
“Kalau gitu , yelah ... nanti abang ambil Ziah di Kuantan. Hari Khamis sekitar pukul enam petang?”. Abang Anip meminta kepastian.
“Eh , tak apalah  ...  tak payahlah susah-susah. Ziah boleh balik sendiri. Nanti Ziah naik teksi saja”. Tolak Ziah lembut. Ziah  keberatan dijemput abang Anip , naik kereta berdua dengan lelaki penuh misteri. Ziah takut ... wataknya sentiasa berubah-ubah. Macam ombak!.
“Dah nak malam. Susah  nak dapat teksi. Tak apalah ...  kalau Ziah tak nak abang jemput , abang boleh minta pakcik yang jemput”. Kata abang Anip geram. Abang Anip tersinggung dengan penolakan Ziah itu. Terasa seperti hidung tak mancung , pipi pula tersorong-sorong!
“Err ... bukan macam  tu  maksud Ziah”.  Ziah serba salah. Tidak terniat langsung di hatinya untuk menyinggung perasaan abang Anip. Ziah selalu ingat pesan neneknya , sarang tebuan jangan dijolok!!
“Tak mengapa. Ada apa-apa lagi?”.  Abang Anip memotong kata-kata Ziah. Segera ingin memutuskan perbualan. Abang Anip tidak mampu menyembunyikan rasa hatinya yang jengkel tika ini.
“Errr ... tak ada. Kirim salam Ziah untuk Miah , makcik dan pakcik. Assalamualaikum”.  Ziah mematikan telefonnya.“Eeeeee!... benci!!!”. Jerit Ziah geram.

... memang macam anjing dengan kucing ...
         Abang Anip sangat kecewa dengan berita yang diterimanya. Bertambahlah lagi hari sukarnya tanpa kehadiran Ziah. Perlahan-lahan gagang telepon diletakkan. Diam berdiri untuk beberapa ketika. Melayan perasaan yang bercampur baur , sukar dimengertikan ... sedih , geram , benci  tapi ... rindu!
“Huh!” . Dengusnya.
“Siapa Nip ... Ziah tak jadi balik?”. Tanya makcik Midah. Dapat mengagak isi perbualan antara anaknya dengan sipemanggil. Naluri keibuannya juga dapat mengesan kekecewaan yang terpampang di dada wajah anaknya itu.
“Ya mak. Dia ada urusan lagi di sana. Dia kirim salam”. Jawab abang Anip ringkas lantas bergegas turun ke tanah. Meninggalkan makcik Midah dan cikgu Karim terpinga-pinga. Ketika sedang menuruni anak tangga , abang Anip berselisih bahu dengan adiknya , Miah. Mujur Miah sempat berpaut pada kepala tangga.
“Heiiii!!!!”. Jerit Miah namun jeritan itu langsung tak berbekas , abang Anip terus saja turun laju tanpa mempedulikan adiknya itu.
“Mak ! abah! Kenapa abang Anip tu ... muncung mencuka je?” . Tanya Miah.
“Langgar orang langsung tak minta maaf. Nasib baik tak jatuh!”. Bebel Miah.
“Pasal tahu kau tak jatuhlah dia buat tak tahu!”. Jawab cikgu Karim. Miah mencebik.
“Ziah tak jadi balik esok”. Jawab makcik Midah dengan suara yang diperlahankan. Mereka bertiga tersenyum. “Pancing sudah mengena!”. Fikir Miah di dalam hati.
“Baguslah ... sekurang-kurangnya abang dah kembali normal!”. Kata Miah. Tersenyum mengharapkan respon positif dari kedua orang tuanya.
“Hishh! Jangan berharap sangat. Kita tidak tahu bagaimana penerimaan  Ziah. Takut jika berlaku sebaliknya , keadaan akan menjadi lebih teruk!”. Cikgu Karim mengingatkan. Kata-katanya itu membunuh selera makan makcik Midah dan Miah .Cucuk pisang bersama kopi O panas tidak jadi dijamah.
“Miah , Ziah tu dah ada kawan lelaki ke?”.  Tanya makcik Midah. Mengintai peluang buat anaknya.
“Entahlah mak. Tak pernah pulak kami bercerita pasal tu”. Jawab Miah jujur.
“Hishhh awak jangan campur sangat soal budak-budak tu. Biar mereka yang urus sendiri!”. Tegur cikgu Karim. “Jangan lebih sudu dari kuah!!”. Cikgu Karim memberi amaran sebelum mengangkat punggung meninggalkan Miah dan ibunya. Miah terkedu dan makcik Midah  pula mencebikkan bibirnya.

... dengan pandangan mata yang memancarkan ketulusan hati.
         Kecewa dengan penantian yang tidak bermakna , abang Anip berjalan laju  ... mengikut saja rentak kakinya.  Dia sungguh kecewa kerana Ziah tidak jadi balik esok. Mana tidaknya sejak semalam lagi dia telah memasang angan untuk menjemput Ziah di bandar Kuantan. Rasa tidak sabar untuk menatap semula wajah gadis ini.  Wajah lembut keibuan dengan pandangan mata yang memancarkan ketulusan hati. Namun hari ini harapannya hampa. Lebih parah lagi apabila   Ziah sendiri  telah  menolak mentah-mentah pelawaannya untuk  menjemputnya di stesen bas Kuantan pada hari Khamis nanti.
“Huhhh!!!!”. Hatinya direntap kecewa. Bersama hati yang kecewa itulah ,  abang Anip berjalan laju ke arah sungai. Waktu sedih begini , ikan-ikan di sungailah yang menjadi teman setianya. Makhluk berinsang ini sepertinya mampu memulih semangat dan mengolahbaik semula emosi yang terganggu. Sedang leka membetulkan kelong ikannya yang  berganjak dek arus yang deras , mata abang Anip tertangkap kelibat anak muda yang berakit perlahan ke arahnya.
“Kamal!”. Katanya kepada dirinya sendiri.
Kamal melambaikan tangan sebaik sahaja terpandangkan abang Anip. Abang Anip membalasnya , acuh tak acuh. Ada benci dibenaknya!.
“Apa naknya budak Kamal ni?”. Fikir abang Anip sambil memanjat tebing sungai.
Sebaik sahaja rakitnya diikat , Kamal naik ke darat , bersalaman dengan abang Anip.
“Apa khabar bang?”.  Kamal memulakan bicara dengan sopan. Senyuman terukir dibibir.
“Khabar baik. Mimpi apa kau ke mari?”. Tanya abang Anip ingin tahu. Entah mengapa kehadiran Kamal itu tidak disenanginya. Kehadirannya hanya menambah ganggu emosi dan perasaannya.
“Tak ada apalah bang. Ingat nak jumpa dengan cikgu Ziah kejap. Hari tu kami ramai-ramai turun cari etok tapi tak banyak mana dapatnya. Kebetulan tadi saya cari etok lagi. Mak kat rumah tu teringin   nak makan etok. Banyak pulak dapatnya. Tak terhabis kami dua beranak nak makan. Itulah ingat nak kasi cikgu Ziah sikit”. Terang Kamal.
“Lagipun mak yang beria-ia benar suruh saya hantarkan etok ini untuk cikgu Ziah. Err ..... cikgu Ziah ada?”. Sambung Kamal lagi. Mendengar penerangan Kamal , api cemburu abang Anip tiba-tiba marak meluap-luap  membuahkan bahang panas yang membakar jiwanya. Tidak tertahan lagi membendungnya , bahang kepanasan itu terhambur keluar .....
“Ah tak de mana Ziah tu suka makan etok. Kau bawak balik ajelah etok  kau tu. Esok kalau dia teringin sangat nak makan , akupun boleh carikan. Tak payahlah kau susah-susah!”. Sergah abang Anip. Tiba-tiba menjadi kasar dan cukup biadab. Sangkanya akan lega setelah lahar di dada habis diluah malangnya Kamal bukan si bangsat yang datang minta simpati.
Maka bertemulah buku dengan ruas!

“Jaga dari siapa?”.
“Aku datang ke  sini nak berjumpa dengan cikgu Ziah. Bukan nak dengar pandangan atau pendapat kau. Etok ni pun aku hantar untuk dia. Yang kau ni tiba-tiba nak naik angin , apa hal pulak? Setahu aku cikgu Ziah tu tiada siapa yang punya. Diapun hanya menumpang di rumah mak bapak kau saje ... bukannya kekasih , tunang atau isteri kau!!”. Sanggah Kamal. Padanya tiada dosa yang dibuatnya hingga abang Anip layak mengherdiknya begitu. Masakan dia berdiam ... tercalar maruah diri!.
Kata-kata Kamal itu bagaikan satu tamparan yang maha hebat buat abang Anip. Dia termalu dengan cemburu butanya. Dia juga sedar bahawa bukan dia sorang sahaja yang inginkan Ziah. Bukan dia sorang sahaja yang sayangkan Ziah!
“Pasal dia menumpang rumah akulah maka aku kena jaga dia!” . Abang Anip cuba menegakkan benang basah.
“Jaga dari siapa?”. Tanya Kamal sambil menjegilkan matanya kepada abang Anip. Terasa kelelakiannya tercabar dan terhina dengan kata-kata abang Anip itu. Melihatkan kemarahan Kamal sebegitu sekali , abang Anip mulai mengendur , akal warasnya kembali menguasai diri. .
“Arghh!!”. Abang  Anip mengeluh keras. Kesal dengan sikapnya. Abang  Anip meraub wajah.“Astarghfirullah! ...  maafkan abang Kamal. Abang tak sepatutnya berkata seperti tadi terhadap kau. Benar abang ini bukan siapa-siapa dengan Ziah. Maafkanlah abang. Sebenarnya cikgu Ziah tak ada di rumah. Dia ke Kuala Lumpur. Menghadiri majlis konvokesyennya. Kalau kau nak juga berjumpa dengan dia , nanti hari Jumaat kau datanglah lagi” . Abang Anip bersuara lemah. Benar-benar malu dengan sikapnya.
“Kalau begitu , takpalah bang. Nanti Jumaat  ni aku datang lagi” . Kamal turun semula ke tebing sungai dan membuka tali yang mengikat rakitnya.
“Eerrr terlupa pulak aku. Ini bang , kalau abang tak suka ... abang bagilah pada makcik Midah. Aku tahu makcik Midah pun suka makan etok”.  Kamal berpusing semula ke arah abang Anip sambil menghulurkan bungkusan etok. Abang Anip menyambutnya. Diam.  Pandangan matanya terus mengiringi Kamal  , berakit meninggalkannya ... sedang dia terus diam berdiri.

“Untuk mak lah bodoh!!”.
“Eh , mana dapat etok ni bang?”. Tanya Miah semasa abang Anip menghulurkan bungkusan etok itu kepadanya.
“Kamal hujung sungai tu bagi!”. Jawab abang Anip ringkas.
“Kamal?”. Tanya Miah kehairanan. Seingatnya sepanjang mereka berjiran tidak pernah Kamal memberi sebarang makanan kepada mereka sekeluarga.
“Ya , Kamal! Kenapa tak percaya?”. Marah abang Anip melihat reaksi tidak percaya adiknya itu. “Untuk Ziah sebenarnya?”. Miah meneka. Dia mengesan aura cemburu di wajah dan nada suara abangnya itu. Abang Anip diam. Miah mencebikkan bibirnya.
“Mmm ... kalau takut disambar orang , janganlah dibiar lepas lama. Kenalah diikat”. Sindir dan usik Miah sambil mengerling abangnya itu. Abang Anip buat bodoh , malas untuk melayan sindiran adiknya itu. Dia terus bangun meninggalkan Miah yang masih lagi tersengih-sengih memandangnya.  Tiba-tiba ...
“Aauuuu!! ... heiii , apa ni?!”. Miah menjerit dan melompat ke tepi apabila abang Anip tiba-tiba  membaling sabut kelapa kepadanya.
“Untuk mak lah bodoh!!”. Jerit abang Anip sebelum berlalu pergi.
“Weiii ... siapa bodoh?!”. Miah jengkel.









Mari menebang si pohon tualang
Biar jatuh rebah ke bumi
Bila rindu  sudah bersarang
Itulah  tanda cinta bersemi

Leka  mendekut tempua di sarang
Sarangnya tinggi di pohon keranji
Andai takut disambar orang
Hantar rombongan ikatlah janji

Ikan sepat dimasak senggang
Gulainya pula sipucuk meranti
Andai janji sama di pegang
Barulah tenang rasa di hati

Seloka kasih
                                     















No comments:

Post a Comment