Popular Posts

Saturday, 13 August 2016

Novel 2 : Selepas Hujan Bab 5

BAB 5:     Kisah sedih abang Anip

Pagi yang indah .....
         Keesokan harinya awal-awal lagi kedua sahabat ini sudah bersiap untuk  ke sekolah. Mereka sedang menanti cikgu Karim menguruskan mak Midah. Setelah mengangkat mak Midah ke  ruang tamu dan meletakkan ‘remote TV’ bersebelahan dengan mak Midah , cikgu Karim turun menghidupkan enjin kereta.
“Pergi dulu mak!” . Miah mencium pipi ibunya sebelum melangkah turun.
“Pergi dulu makcik!” . Ziah menghulur tangan untuk bersalaman dengan mak Midah. Mak Midah tidak menyambut salam itu sebaliknya menarik  Ziah ke arahnya. Kedua pipi Ziah dicium.
“Kamu tu sebaya saja dengan Miah. Tinggalnya pun di sini jadi makcik dah anggap kamu tu macam anak makcik sendiri”. Terang mak Midah. Ziah mengangguk dan tersenyum sahaja apabila mak Midah menciumnya.
“Terima kasih makcik. Kami pergi dulu”. Mereka berpamitan.
Di dalam kereta Ziah berfikir, “Baru kenal sehari sudah dianggap seperti anak sendiri. Hmmm ... baiknya hati mereka”. Kereta yang dinaiki mereka mulai bergerak meninggalkan perkarangan rumah. Mata Ziah masih leka memerhatikan pintu rumah yang dibiar terbuka.
“Selamatkah mak Midah tinggal sendirian. Tak ada kah pencuri atau orang berniat jahat datang menceroboh?. Hmm ... mungkin tidak. Mungkin orang-orang di kampung ini semuanya baik-baik belaka. Macam ibu dan ayah Miah juga”. Fikir Ziah lagi. Sedang leka memikirkan soal keselamatan mak Midah , tiba-tiba matanya tertangkap susuk tubuh abang Anip berdiri tegak di salah satu tiang di bawah rumah , memerhati ke arahnya.
“Astarghfirullah al-adzhimmm ...”. Ziah mengurut dada. Terkejut dia dibuatnya.
“Huh?. Kenapa Ziah?”. Tanya Miah sambil memandang ke arah pandangan Ziah.
“Ooohhhh!. Patutlah. He he he ... biar sajalah dia tu”. Kata Miah.
Ziah hanya mengangguk-nganggukkan kepalanya. “Biar betul!”. Fikirnya.
         Kereta terus dipandu cikgu Karim dengan cermat dan berhati-hati. Tidak sampai dua puluh minit perjalanan ,  akhirnya kedua guru muda ini sudah  melangkah turun dari kereta untuk ke sekolah dengan perasaan yang cukup gembira. Jam di tangan menunjukkan pukul 7: 25 pagi.
“Eh , cepatlah. Dah 7:25 . Kang tak pasal-pasal nama kita merah!”. Miah berkata sambil mempercepatkan langkahnya. Ziah berlari anak mengekorinya. Lupa sudah akan renungan abang Anip yang menakutkan tadi.
Sesampai sahaja di pejabat sudah ramai guru yang sedang menunggu giliran untuk merakam masa kehadiran mereka menggunakan ’punch card’.
“Hah 7:27! Heee ... selamat!”. Ucap Miah sambil tertawa. Begitulah setiap hari. Semakin menghampiri 7:30 pagi semakin panjang barisan guru yang tergesa-gesa merakamkan masa kehadiran mereka. Semuanya menjadi penting kerana setiap akhir tahun prestasi setiap guru pasti akan dinilai. Kad kehadiran ini merupakan salah satu elemen yang akan digunapakai  untuk penilaian prestasi kecemerlangan kerja oleh pihak pentadbiran sekolah. Inilah sebagai petunjuk sama ada seorang guru itu berdisiplin dan menepati masa atau sebaliknya.
“Amboi ... lihatlah dua sahabat ni. Dah macam adik beradik lah pulak!. Tau le awak tu tinggal serumah tapi jangan le asyik ke mana-mana berdua. Kesian lak kami ni hah...”. Usik kak Zu tatkala melihat Ziah dan Miah berjalan beriringan menuju ke kantin.
“Eh kak Zu. Jom breakfast sama”. Ajak Miah.
“Mmm ... tak dapatlah , akak ada kelas laa. Enam  masa ‘direct’. Lepas tu baru boleh makan. Pergi lah korang dulu. Makan jangan lupa baca bismillah!”. Kak Zu berpesan sebelum bergegas ke kelas , Miah dan Ziah hanya tersengih mendengar pesanan kak Zu itu.
“Jangan lupa baca bismillah!”. Ulang Miah sambil menudingkan jari telunjuknya kepada Ziah. “Okey! Okey!”. Jawab Ziah dan mereka sama-sama tertawa.
“Miah , kalau aku  tanya skit boleh tak?”. Tanya Ziah sebaik sahaja selesai memilih sarapan paginya, nasi lemak sambal udang.
“Boleh, tanyalah” . Balas Miah selamba , mengambil tempat di hadapan Ziah..
“Bila kau nak ceritakan  pada aku pasal abang kau tu?. Dah lama kau janji nak ceritakan kisah dia” .Tanya Ziah. Sikap abang Anip yang ‘pelik’ dan terlalu menjengkelkan itu menguja rasa ingin tahu dalam hati Ziah. “Masakan manusia normal dan waras sanggup bersikap sepertinya … sombong , kasar , menyakitkan hati , sentiasa cari pasal dan langsung tidak menghormati orang lain”.
 “Ooo kau fikir pasal abang aku. Ingatkan nak tanya apalah tadi”. Usik Miah. Tersengih.
“Hmmm  ...  kenapa kau beria-ia sangat nak tahu  pasal dia tu? . Hahhhh ... kau suka dia?”. Usik Miah lagi.
“Eh kau ni Miah , ke situ pulak perginya. Aku ni cuma hairan tengok sikap abang kau. Sering murung je ... air mukanya bagai menyimpan seribu rahsia”. Ziah memancing ... umpannya mengena!
“Mmm ... betullah apa yang kau kata tu. Memang abang aku tu asyik murung saja. Tapi dulu dia tak begitu. Dulu dia periang , penuh semangat dan bercita-cita tinggi. Tapi itu semua dah tak de lagi sekarang. Yang tinggal  ... seorang abang yang pendiam , pemarah dan suka menyendiri”. Cerita Miah.
“Tapi kenapa?”. Tanya Ziah ingin tahu.
“Panjang ceritanya. Sebenarnya aku dah malas nak ingat-ingat lagi cerita ni tapi tak pelah , untuk kau aku ceritakan , ceritanya macam ni. Dulu ...  empat  tahun lepas , abang aku pernah bertunang dengan anak ketua kampung dekat rumah aku tu. Aku panggil dia kak Cah. Nama penuh dia Siti Aisyah. Cantik orangnya , baik , lemah lembut , sopan ... pendek kata ‘perfect ten’lah. Ramai yang tergila-gilakan dia termasuklah abang aku tu.  Dalam ramai-ramai orang yang cuba nak ‘tacle’ kak Cah , abang akulah yang terpilih. Dia memang  bernasib baik sebab dia tidak bertepuk sebelah tangan. Akupun hairan , apalah yang ada pada abang aku tu sampaikan  kak Cah sanggup menerima pinangannya. Dengar kata , itu adalah pinangan yang ke lapan. Hebatkan kak Cah ni?”. Miah bercerita.
“Betul , hebat. Aku bayangkan dia tu macam puteri gunung ledang je ...” .Ziah memberikan pendapatnya.
“Isshhh apalah kau ni ... puteri gunung ledang lah pulak. Itu cuma dongeng je. Nih cerita yang real punya. Nak tahu  tak?”. Tanya Miah.
“Eh , naklah ...”. Jawab Ziah.
“Majlis pertunangan mereka dijalankan secara besar-besaran. Yelah ... kan kak Cah tu anak penghulu kampung. Habis seisi kampung dijemputnya. Kirakan tok penghulu sampai sembelih kambing lah!” . Sambung Miah.
“Sembelih kambing?”. Tanya Ziah.
“Yelah , di kampung sembelih kambing untuk majlis pertunangan tu dah kira besarlah tu!”.  Miah merenyih.
“Wah besarnya majlis tunang. Selalunya orang buat majlis pertunangan secara kecil-kecilan je. Majlis kahwin nanti barulah besar-besaran”. Balas Ziah.
“Itulah pasal. Gembira punya hal ... mereka berbelanja besar. Tapi ... kau ni rajin sangat lahme klah. Potong stim aku nak bercerita je!. Okey kau diam ye, biar aku sambung”. Tegur Miah.
“Okey aku diam. Kau ceritalah”. Balas Ziah.
“Pada asalnya majlis tu meriah sangat. Bila rombongan kami sampai ,  kami disambut dengan paluan kompang. Bukan itu saja , ada juga kugiran kampung untuk menyerikan majlis. Dah kira macam kenduri kahwin lah meriahnya”. Miah berhenti seketika untuk menarik nafas.
“Tapi tiada siapa yang sangka panas yang diharapkan sampai ke petang , rupanya hujan di tengahari!. Sedang semua orang suka gembira tiba-tiba je suka menjadi duka. ,  hadirin menjerit-jerit dan bertempiaran lari. Nak tahu kenapa?”. Tanya Miah
“Nak”. Jawab Ziah ringkas. Perasaan ingin tahunya mengasak jiwa.
“Abang Lan mengamuk! Terjerit-jerit memaki hamun sambil menghayun-hayunkan sabit pemotong rumput. Rupa-rupanya dia adalah pemuda ketujuh yang masuk meminang , sebelum abang aku . Bila dia tahu yang pinangan abang aku diterima dan majlis pulak di adakan besar-besaran , naik anginlah dia. Dalam kekecohan tu kak Cah turun dan cuba menenangkan abang Lan. Aku rasa kak Cah sangka marah abang Lan akan reda bila terpandang dia. Tapi sebaliknya yang berlaku  ... tak siapa sangka sebaik saja terpandangkan kak Cah , abang Lan terus menjerit ... ‘kalau aku tak dapat kau , orang lainpun takkan dapat!’. Serentak dengan laungan itu mata sabit terbenam di perut kak Cah. Abang aku nampak semua yang berlaku. Tapi dia tergamam . Bukan dia saja . Kami semua turut tergamam sebab segalanya berlaku dalam  sekelip mata sahaja. Tau-tau kak Cah dah jatuh terbaring. Tangannya berlumuran darah memegang hulu sabit. Abang aku cuba mendapatkannya tapi belumpun  sempat dia memangku kak Cah , kak Cah dah terlebih dahulu menghembuskan nafas terakhirnya. Kat situ juga!”. Miah berhenti. Menarik nafas panjang. Semuanya bagaikan kembali jelas terbayang di ruang  matanya. Ziah tergamam mendengar cerita itu.
“Macam cerita TV pulak!. Biar betul Miah ni”. Fikir Ziah di dalam hati.
 “Kesian abang aku ... dia menyalahkan dirinya kerana tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan kak Cah. Malah nak meriba kak Cah sebelum akhir hayatnyapun tak sempat. Huhh!! ...  dan  sejak itulah abang aku jadi seperti sekarang. Sentiasa dalam kemurungan dan tak habis-habis menyalahkan diri sendiri”. Miah menamatkan ceritanya.
“Begitu ke kisahnya. Tragis betul. Macam cerita drama TV ...” . Ziah memberi respon yang agak keterlaluan.
“Errr ... sorry Miah!”.  
“Alahh tak da apalah. Kisah abang aku tu memang betulpun  macam cerita drama TV. Aku agakkan abang Lan tu pun mesti terpengaruh dengan drama-drama TV yang ditontonnya”. Miah cuba berlawak. Dia tidak suka terbawa-bawa dengan perasaannya setiap kali terkenangkan  peristiwa itu. Mana tidaknya , semua itu berlaku di depan matanya sendiri!.
Bagi Ziah cerita Miah agak sukar untuk diterimanya. Masakan pada zaman ini masih ada berlaku perkara seperti itu. Untuk beberapa ketika Ziah hanya mendiamkan diri , termenung dan cuba membayangkan peristiwa itu. Akhirnya Ziah memberikan pendapatnya.
“Kalau begitulah kisahnya , kesiankan abang kau tu. Aku boleh bayangkan kesunyian dan kekesalan di hatinya. Tapi abang kau dengan kak Cah tu bercinta dulu ke sebelum bertunang?”.
“Eh , tentulah. Semua orang tak tahu melainkan aku. Mereka selalu berjumpa secara sembunyi-sembunyi. Tapi mesti ditemani aku. Kak Cah tak nak jumpa kalau abang aku datang sendiri. Nanti bila mereka tengah berborak-borak , aku buat-buat tak dengarlah ... tapi itu berlaku sebelum aku pergi KPLI.  Masa aku di KPLI aku kurang pastilah macam mana mereka berjanji temu”. Cerita Miah lagi.
Krriiinnnggg ... bunyi loceng sekolah menandakan tamat masa pertama pembelajaran.
“Alamak Miah , aku ada kelas masa kedua nilah. Aku gi dulu ya ... kita sambung cerita lagi nanti”. Ziah bergegas pergi.
“Heee ... dah habislah cerita aku. Kita cita kisah kau pulak!”. Jawab Miah sambil merenyih melihatkan kekalutan Ziah.  “Penyapu baru!”. Fikirnya lagi , masih merenyih.
“Gi dulu Miah!”. Kata Ziah sebelum bergegas pergi. Miah hanya menganggukkan kepalanya.
Sepanjang perjalanan ke kelas , kepala Ziah ligat memikirkan cerita Miah tadi.
“Fuhh!! Real macam cerita drama TV. Abang Anip ... abang Anip. Kesian kau kan!”. Ziah berjalan laju sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak percaya masih ada lagi kisah cinta uda dan dara di zaman ini!.
‘Uda dan Dara ... Bersanding tak di pelamin ...’.
“Masih wujudkah cinta seperti itu di zaman ini?”. Fikir Ziah .

... seorang pemuda memakai jubah konvokesyen
         Malam itu selepas selesai makan malam , makcik Midah berehat di ruang tamu depan rumahnya. Tangannya mencapai album-album lama yang disusun rapi dalam rak buku bersebelahan peti televisyen rumah itu. Album dibuka semuka demi semuka. Wajah-wajah comel dua anaknya , abang Anip dan Miah ditatap. Terasa kerinduan yang mendalam di dalam jiwa apabila mengenangkan kembali keletah lucu dua anak comel itu.
Makcik Midah tertawa sendiri apabila terpandangkan  sekeping gambar abang Anip bersama Miah. Kedua anak comel itu tidak berpakaian dan  sedang bermain di dalam periuk besar! Itulah periuk yang sering digunakan oleh keluarganya untuk memasak nasi semasa kenduri kendara.
“Wah , gembiranya makcik. Terkenangkan kisah lama?” . Tegur Ziah dengan senyuman.
“Eh Ziah , marilah ... makcik tengah tengok gambar Anip dan Miah masa kecil dulu. Comel betul mereka! Rasa lucu pulak bila  teringatkan kisah-kisah lama dulu. Boleh  tertawa sendiri dibuatnya!”. Jawab makcik Midah sambil melambaikan tangannya mengajak Ziah menyertainya. Ziah angguk lalu duduk di sebelah makcik Midah. Turut tertawa sama melihat aksi-aksi lucu abang Anip dan Miah semasa kecil. Habis album pertama dilihat makcik Midah mengambil pula album kedua.
“Mari tengok yang ini”. Kata makcik Midah. Ziah menurut sahaja.
“Hah , cuba Ziah tengok gambar ini”. Pinta makcik Midah sambil membuka ke lembaran yang tertera gambar seorang pemuda memakai jubah konvokesyen. Ziah merenung lama gambar itu.
“Abang Anip?” . Ziah memandang makcik Midah meminta kepastian.
“Ya ...”.  Jawab makcik Midah perlahan. Ada kekesalan di wajahnya.
“Dulu dia belajar di UPM. Ambil kursus berkaitan dengan pertanian dan perladangan. Apa namanya kursus tu ... alah ... makcik dah tak ingat. Tapi dulu dia kata nak jadi petani berjaya .  Habis belajar dapat kerja kat MARDI. Sempat la kerja dalam  dua tahun lebih. Tapi lepas saja tunang dia mati dibunuh , dia hilang arah , dah macam orang hilang akal , kerja entah ke mana. Last-last balik kampung ternak ikan. Tu la abang Anip kau tu sekarang. Dah serupa dengan budak kampung sini yang tak berpelajaran tinggi!”. Cerita makcik Midah. Sedih dan ralat benar hatinya dengan perubahan anak sulungnya itu.
“Bukan begitu makcik. Abang Anip tu bekerja sendiri dan dia kan gigih bekerja. Kelong sangkar ikannya tu penuh ikan. Kebun pisang dan kelapa yang diusahanya pun membawa hasil. Itu sudah lebih bermakna daripada kerja makan gaji. Habis bulan habis gaji”. Ziah cuba menyenangkan hati makcik Midah walaupun dia sendiri tidak yakin dengan apa yang dikatakannya itu.
“Alaa ... setakat ikan empat lima sangkar , kebun pisang dan kelapa tu , budak habis SPM pun boleh buat!”. Makcik Midah tidak bersetuju dengan Ziah. Ziah bungkam. Ada benarnya kata-kata makcik Midah itu. Setakat kerja-kerja seperti itu , budak habis SPM pun boleh buat!. Tinggal lagi mahu atau tidak sahaja. Tiba-tiba  Ziah terdengar bunyi tapak kaki melangkah mendekati mereka dari belakang.
“Aduh ... janganlah abang Anip!”. Doa Ziah di dalam hati. Ziah memusingkan badannya
 dan ... bagai nak luruh jantungnya.
“Errr ... abang !” . Ziah serba salah. Entah mengapa dia rasa malu pula jika kata-katanya yang membela abang Anip itu telah didengari oleh empunya diri. Langsung saja memerah pipinya , makcik Midah tersenyum-senyum melihatnya.
“Alangkah bertuahnya aku jika mereka bersatu!”. Kata hatinya.

Menggigil tangannya…
         Abang Anip memandang Ziah dan ibunya. Pandangan matanya jatuh pula pada gambar-gambar cerianya semasa majlis konvokesyen dulu. Gambar lama . Sejarah lama ... hampir empat tahun yang lalu!.
“Apalah agaknya reaksi abang Anip ni. Eee ... entah-entah dia dah dengar keluhan dan cemuhan makcik Midah tadi! Alamak habislah!!”. Fikir Ziah .
         Cemas Ziah tidak berasas , reaksi abang Anip di luar jangkaan. Melihatkan gambar-gambar lama keluarganya dibuka , abang Anip terpanggil untuk menyertai Ziah dan ibunya ,  duduk di sebelah ibunya dan turut sama menyelak-nyelak dan melihat setiap muka album. Lama sungguh dia tidak mengulang melihat gambar-gambar lamanya itu malah banyak yang telah luput dari ingatannya.
“Huh!”. Keluh abang Anip … terharu dan bercelaru dengan perasaan hatinya.
“Mengapa aku melupakan diriku sendiri?”. Ucapnya perlahan … menggigil tangannya melihat photonya menerima ijazah di atas pentas.
Tergamam Ziah menyaksikan reaksi abang Anip itu. Timbul rasa belas di hatinya , spontan album gambar di tangan abang Anip diambilnya.
“Abang …”. Hanya itu yang mampu diucap.              

No comments:

Post a Comment