BAB 4 BENCI
TAHAP MAKSIMUM
Abang Anip sungguh menyakitkan hati ...
Seminggu sudah berlalu sejak peristiwa
Ziah bersampan menyusuri sungai bersama Kamal. Sejak hari itu , Ziah agak
kurang bercakap. Lebih banyak mendiamkan diri atau sengaja menghabiskan masanya
menyiapkan kerja-kerja sekolah di dalam bilik sahaja. Semua peristiwa yang
terjadi menyebabkan hati Ziah tidak
tenang dan sentiasa resah. Dia bagaikan terperangkap dengan nasibnya di sini.
Abang Anip pula tidak
habis-habis menyakitkan hati , ada-ada saja lakunya sengaja mencari pasal.
Petang itu Ziah ke belakang , memberi
ayam makan sebelum menghalaunya masuk ke
reban. Biasanya kerja itu dilakukan oleh cikgu Karim tetapi sejak semalam cikgu
Karim ke rumah adik iparnya Pak Lang di Pekan. Entah apalah urusannya , Ziah
kurang pasti.
Ketika sedang sibuk dalam
kepayahan , cuba menghalau semua ayam
masuk ke reban , tiba-tiba abang Anip
muncul entah dari mana ...
“Huh!! Halau ayam pun
terkial-kial. Nampak sangat tak biasa buat kerja. Lalulah biar aku yang buat
!”. Arah abang Anip.
Mendengar kata-kata yang
menyakitkan hati itu , Ziah berdiri tegak memandang abang Anip tepat di
wajahnya dengan pandangan yang tajam penuh kebencian.
“Apa!?. Tak betul aku
cakap?. Kerja senangpun tak boleh buat?”. Tanya abang Anip , mencabar kesabaran
Ziah.
“Huhh!!”. Ziah mendengus
sebelum melangkah pergi.
“Tiada gunanya melayan
lelaki angkuh yang tak berperasaan
ini!”. Fikirnya lalu mempercepatkan langkahnya.
“Elehh!! Mengada-ngada!.
Tegur sikit nak merajuklah konon . Kau ingat aku peduli ke?!”. Jerit abang
Anip. Ziah membisu dan memekakkan telinga ... namun begitu hatinya terasa amat
sakit . Bertambah sakit hatinya tatkala mendengar abang Anip tertawa kuat.
Sengaja ketawanya itu dikuat-kuatkan!!
“Sial!. Lelaki tak
guna!!!”. Getus hati Ziah ...
Sampai sahaja di dapur
rumah , Miah sudah sedia menanti Ziah.
“Heii! Kenapa ni , muka
cekudut je?”. Tanya Miah.
“Ah! Tak ada apalah”.
Jawab Ziah sambil terus memuncungkan bibirnya. Miah tersenyum lalu memanjangkan
lehernya menjenguk ke belakan rumah
melalui tingkap dapur .
“Hah! Ini mesti bergaduh
dengan abang Anipkan?”. Katanya.
“Takda mananya aku nak
bergaduh dengan abang kau tu!”. Jawab Ziah , jengkel.
“Alah! Sudahlah tu ... tak
baik tau gaduh-gaduh macam ni selalu. Ok , nanti aku tegur abang aku tu ye”.
Balas Miah , memujuk.
“Eh! Tak payah!!. Aku tak
gaduhpun dengan dia. Kau jangan pulak nak
memandai. Nanti salah sangka pulak dia jadinya”. Ziah memberi amaran.
“Sudahlah . Aku masuk
mandi dululah ye. Ingat !. Jangan memandai-mandai!!”. Pesan Ziah lagi. “Baik
bos!!”. Jawab Miah sambil tersenyum manis.
“Hmm ... ada harapan ni.
Mula-mula benci , lama-lama sayang!!”. Kata Miah dalam hatinya.
Sementara itu , Ziah
termenung lama di dalam bilik air.
“Huh! Apalah nasibku ini.
Sampai bila nak tinggal menumpang di sini?. Sampai bila nak berhadapan dengan
‘mamat psycho’ yang tak habis-habis menyakitkan hati itu”.Keluh Ziah.
“Errrggghhhh!!. Apa nak buat
ni?”. Fikirnya. Ziah memejamkan matanya , memerah otak mencari jalan keluar.
“Mungkin aku harus beli
sebuah kereta sendiri dan menyewa di Bandar Pekan. Walaupun perjalanannya
mengambil masa sejam ke mari , tapi ianya jauh lebih baik daripada terus tinggal
di sini dan berhadapan dengan ‘mamat psycho’ itu. Tapi ... mana nak cari duit
muka?. Hu hu hu ... sedihnya. Terpaksalah aku bertahan tinggal di sini!”. Keluh
Ziah.
Kamal datang ke sekolah ...
Keesokan harinya , sebaik sahaja habis
sesi persekolahan pada hari itu ...
“Ziah , hari ini kau
sorang saja yang balik tau. Aku kena siapkan ‘back drop’ untuk program esok.
Aku tumpang tidur di asrama warden. Nanti bagitahu mak aku ye”. Pesan Miah.
“Apa?. Jadi ... kau tak
balik sama?. Kalau gitu aku ikut kau sajalah , tumpang tidur kat asrama warden
gak”. Balas Ziah. Terbayang olehnya wajah abang Anip yang menjengkelkan.
“Alahh! Mana boleh. Nanti
siapa yang nak masak untuk makan malam ni. Kesianlah mak aku. Please ...”. Rayu
Miah sambil mengebil-ngebilkan matanya.
“Eeee ... nak buat gaya ‘comel’
lah tu. Tak menjadilah ... hmm ... nak
buat macam mana. Terpaksalah aku balik jugak cuma ....”. Kata-kata Ziah
terhenti.
“Ha ha ha aku tahu. Kau
tak suka nak balik berdua je ngan abang akukan?”. Miah dapat membaca hati Ziah.
Ziah mengangguk-nganggukkan kepalanya.
“Hmm ... kesian kau. Tapi
aku tak ada pilihan. Tolong ye Ziah. Sekali ni saja”. Pinta Miah
sungguh-sungguh.
“Okey ... demi kau dan
demi mak kau!”. Balas Ziah sambil memuncungkan bibirnya.
“Terima kasih. Sayang
kau!”. Miah berkata riang sebelum meninggalkan Ziah duduk sendirian di
perhentian bas depan pagar sekolah.
“Habislah aku!”. Fikir
Ziah.
Setelah menunggu hampir lima belas
minit , abang Anip sampai ... berhenti betul-betul di hadapan Ziah. Ziah segera
bangun , menghampiri kereta yang dipandu abang Anip. Namun belumpun sempat
pintu kereta dibukanya ...
“Cikgu!. Cikgu Ziah!”.
Jerit satu suara.
Ziah berpaling ke arah
suara itu. “Eh Kamal!. Kenapa ni?. Nampak tergesa-gesa”. Tanya Ziah. “Yelah ,
takut tak sempat jumpa cikgu. Alhamdulillah ... ada jodoh nak jumpa cikgu hari
ni”. Jawab Kamal , tersengih.
“Err ... saya dah nak
balik ni. Ada apa nak jumpa saya?”. Tanya Ziah , resah kerana terpandangkan
wajah abang Anip yang masam mencuka. Mungkin marah dibiarkan menunggu lama.
“Tak da apa pun cikgu cuma
ni hah , emak saya beria-ia suruh saya berikan pada cikgu. Kesian cikgu tak
dapat makan pengat pisang tempohari ... itu yang dia buatkan ni”. Beritahu
Kamal sambil menghulurkan bungkusan pengat pisang kepada Ziah.
“Laa susah-susah saja.
Kirimkan ucapan ‘terima kasih’ saya kepada mak awak. Bagi tahu dia saya memang
suka sangat makan pengat pisang. Err ...
terima kasih pada awak juga. Hmm ... saya balik dulu. Nanti ada orang
marah!”. Ziah berbisik di telinga Kamal
sambil tertawa kecil.
“Ha ha ha ... yelah cikgu.
Jumpa lagi!”. Balas Kamal sambil menjeling ke dalam kereta.
Bengang!! ...
Entah mengapa , perasaan abang Anip
bagaikan terbakar ... panas melihatkan kemesraan Ziah dan Kamal. “Ceh! Siap
berbisik-bisik!!. Gedik! Meluat betul aku melihatnya!!”. Bebel abang Anip
sendiri.
Sebaik saja Ziah masuk dan
menutup pintu kereta ...
“Apasal kau duduk depan?”.
Tanya abang Anip dengan bengis.
“Err ... abang , Miah tak
balik hari ini. Dia ada kerja yang perlu diselesai ...”. Belumpun sempat
Ziah menghabiskan ayatnya , abang Anip sudah menekan minyak lalu membawa kereta
selaju-lajunya. Ziah cemas lantas segera mengenakan tali pinggang keledar.
“Abang , tolong bawa
perlahan sedikit. Ziah takut ...”. Pinta Ziah. Malangnya bukan bertambah
perlahan malah sebaliknya. Abang Anip terus kuat menekan minyak , mengaum-ngaum
enjin kereta jadinya.
“Abang!. Kalau abang tak
mahu perlahan , abang turunkan sajalah Ziah di tepi jalan ni!”. Jerit Ziah. Dia
benar-benar takut ... peristiwa kemalangan yang menimpa teman baiknya Diah
telah menjadikannya ‘fobia’ menaiki kenderaan yang dipandu laju.
Sebaik mendengar jeritan
Ziah itu , abang Anip segera menekan brek ...
“Hah! Turunlah!!”. Kata
abang Anip. Ziah yang agak terkejut masih terpaku.
“Tunggu apa lagi?. Kata
nak turun sangat tadi!”. Ejek abang Anip. Setelah dicabar dan terasa dihina
begitu sekali , Ziah segera mencapai begnya lalu cuba membuka tali pinggang
keledar yang dipakainya tadi. Malangnya
... setelah mencuba berkali-kali , tali
pinggang itu masih tetap tidak dapat dirongkai.
“Eee ... kenapa ni?”.
Katanya sambil terus cuba menarik-narik kepala tali pinggang dari pasaknya.
“Hmm ... sudahlah!. Buka
tali pinggangpun tak tahu. Nak turun tepi jalan konon!!”. Ejek abang Anip lagi
sebelum menekan minyak semula. Ziah bengang , betul-betul bengang hingga tidak
mampu berkata sepatahpun lagi!.
Ziah menangis ...
Sampai sahaja di rumah , abang Anip
segera mematikan enjin sebelum keluar meninggalkan Ziah terpinga-pinga.
“Jahat!!”. Kata Ziah sambil memandang abang Anip berlalu pergi.
“Huh!!”. Keluh Ziah sebelum
cuba menanggalkan tali pinggang keledar itu sekali lagi. Sekali ... dua kali
... tiga kali ... berkali-kali ... tali pinggang itu masih juga belum terbuka.
“Eeee ... kenapa susah
sangat ni?”. Rungut Ziah sambil mengesat peluh yang mula menitik di dahinya.
Panas terik tengahari itu menjadikan Ziah bagaikan disalai ... Pintu kereta
dibuka , masih panas juga. Ziah tidak berputus asa , terus mencuba ... entah
mengapa , rasa geram , marah dan sedih datang bercampur baur menyebabkan air
matanya mengalir. Mungkin Ziah marahkan abang Anip atau mungkin juga marahkan dirinya sendiri. Kini , dia terasa amat sedih pula kerana
dibiarkan berpanas dalam keadaan tidak
dapat melepaskan diri.
“Takkan nak jerit. Kalau
jeritpun siapa yang nak tolong ...”. Fikirnya. Air matanya mengalir terus ...
tiba-tiba , abang Anip datang menjengahkan sebahagian daripada tubuhnya melalui
pintu kereta yang terbuka. Terdiam ...
kaget melihat air mata yang mengalir di pipi Ziah. Tanpa sepatah kata tangannya
mencapai kepala tali pinggang keledar lalu memulas dan menekan-nekannya
beberapa kali. Tali pinggang keledar itu dapat dirongkai akhirnya.
Sebaik sahaja abang Anip
keluar berdiri di sisi kereta , Ziah segera mencapai begnya lalu bergegas naik
ke rumah. Benci benar dia melihat abang Anip!
“Tentu puas hati kaukan
tengok aku menangis?!”. Bentaknya di dalam hati.
Abang Anip pula masih
terpaku di sisi kereta. “Kenapa sampai menangis?”. Fikirnya. Ada belas di hati
....
Malam itu sewaktu makan malam ...
Malam
itu sewaktu makan malam , Ziah lebih
banyak mendiamkan diri. Malam ini hanya mereka bertiga sahaja yang makan
bersama , makcik Midah , Ziah dan abang Anip. Ikan keli goreng berlada bersama
lemak pucuk labu ditambah dengan sambal belacan dan ulam raja sepatutnya menjadi
hidangan yang cukup menyelerakan namun semua yang ada bagaikan mati seleranya.
Ziah hanya makan sedikit untuk menemani makcik Midah dan abang Anip. Abang Anip
pula hanya menguis-nguis nasi di pinggan sedang matanya tidak berkelip daripada
memandang Ziah. Peristiwa petang tadi benar-benar menyentuh hatinya. “Mengapa
kau sampai menangis hanya kerana tidak boleh membuka tali pingang itu?”.
Fikirnya.
Makcik Midah pula ...
“Ziah , maafkanlah makcik. Malam ni rasa tak berapa sihat , makcik tak lalu nak
makan. Kepala ni rasa pening pula. Kamu berdua makanlah ye. Anip tolong dukung
mak masuk bilik dulu”. Pinta makcik Midah.
Abang Anip akur , membasuh
tangannya lalu mengendung ibunya ke bilik. Setelah selesai , dia kembali ke
meja makan.
“Kenapa kau menangis petang
tadi?”. Soalnya tiba-tiba. Ziah terkejut dengan pertanyaan itu . “Err ... tak
ada apa!”. Jawabnya lalu segera menghabiskan sisa nasi yang masih berbaki di
pinggannya sebelum bangun ke sinki untuk membasuh tangan.
“Aku tanya , kenapa kau
menangis?”. Ulang abang Anip.
“Itu ... abang tak perlu
tahu”. Jawab Ziah lalu terus mengemas meja makan. Abang Anip diam memerhatikan
tiap gerak laku Ziah. Dia tidak puas hati selagi soalannya tidak dijawab.
Setelah
selesai mengemas dan membasuh pinggan , Ziah berjalan laju untuk segera naik
ke atas. Tanpa diduganya , abang Anip tiba-tiba menarik tangannya dari
belakang.
“Eee apa ni?!”. Tanya Ziah
sambil cuba melepaskan tangannya.
“Kenapa kau menangis?”.
Ulang Abang Anip lagi.
“Kau ni kenapa hah?. Suka
hati akulah nak nangis ke tidak. Kau apa peduli?. Kau mana pernah fikirkan hati
dan perasaan orang lain. Yang kau tahu hanyalah diri kau saja!. Kau saja yang betulkan?. Lepaslah!!”. Ziah
akhirnya menjawab dengan berani sekali. Terlepas sudah apa yang terbuku di
hatinya. Terlepas juga tangannya dari genggaman abang Anip.
Abang Anip terpaku di
situ. Sudah lebih 4 tahun tiada siapa yang pernah menyanggahnya. Segalanya
dibuat sehendak hati ... semua orang sentiasa beralah padanya . Tapi hari ini
... lain pula. Bagai satu tamparan hinggap di benak hatinya!
Terharu memerhatinya ...
Sebelum masuk ke biliknya , Ziah
menjengah makcik Midah . Makcik Midah sedang berehat di katil sambil menyisir
rambutnya yang agak kusut. Ziah masuk menghampiri ...
“Makcik ... mari , biar
Ziah sikatkan rambut makcik”. Katanya lembut. Belas melihat ibu tua yang kurang
upaya ini.
“Eh , Ziah. Seharian
makcik tak menyisir rambut ni. Kusut betul jadinya”. Kata makcik Midah sambil
menghulurkan sikat kepada Ziah. Ziah menyambutnya lalu duduk di sisi belakang
makcik Midah. Rambut perempuan tua itu disisirnya perlahan-lahan.
“Ziah gaduh dengan Anip
ke?”. Tanya makcik Midah tiba-tiba.
“Errr ...”. Ziah gugup ,
tidak disangkanya ibu ini tahu tentang pertelingkahannya dengan anak lelakinya
itu.
“Ziah , makcik minta maaf
bagi pihak Anip. Dia tu memang kasar orangnya ...”.
Ziah diam mendengar
kata-kata makcik Midah.
“Mengapa makcik yang perlu
meminta maaf bagi pihaknya?”. Fikir Ziah , tidak bersetuju dengan tindakan
makcik Midah itu.
Sementara
itu abang Anip yang tertampar dengan kata-kata Ziah tadi berjalan perlahan
menuju ke bilik ibunya. Sekurang-kurangnya akan lega perasaannya nanti apabila
dapat menatap wajah kasih ibunya itu ... dan di kala itulah hatinya benar-benar
tersentuh , melihat Ziah , gadis yang
sentiasa disakiti hatinya itu sedang menyisir lembut rambut ibunya.
“Tak mengapa makcik , Ziah
tidak ambil hatipun. Ziah faham ...”. Ziah cuba memberikan jawapan yang dapat
menenangkan hati seorang ibu.
“Makcik tahu Ziah , Anip
tu selalu saja menyakitkan hati kau. Entahlah makcik tak tahu nak buat macam
mana lagi dengan dia tu. Nak ditegur dah besar panjang ...”. Keluh makcik
Midah.
“Makcik , kita serahkanlah
segalanya kepada Allah. Ziah yakin dengan izinNya , abang Anip akan sedar dan
berubah juga. Bagi diri Ziah , makcik janganlah risau. Walau seburuk manapun
sikapnya pada Ziah , Ziah langsung tidak menyimpan dendam sebab Ziah sedar kehadiran Ziah di sinilah sebenarnya yang telah mengganggu ketenangan dan keselesaannya
selama ini. Ziah tak apa-apa malah Ziah
bersyukur kerana makcik sekeluarga sudi menumpangkan Ziah di sini”. Jawab Ziah.
Sebaik sahaja Ziah habis berkata ...
“Anip! , kenapa tercegat
saja di situ?. Ke marilah”. Makcik Midah tiba-tiba bersuara.
“Abang Anip?”. Ziah
terkejut lalu menoleh ke belakang , ke arah pintu bilik. Berderau darahnya ,
abang Anip sedang tegak berdiri memandangnya!.
“Pelik ... macam mana
makcik Midah boleh tahu yang abang Anip berada di situ sedangkan posisinya
membelakangi pintu?”. Fikir Ziah.
“Hmm ... tak usahlah hairan Ziah , seorang ibu itu dapat mengenal
anaknya cukup dengan hanya dari bau badannya sahaja”. Kata makcik Midah sambil
tersenyum. Kata-kata makcik Midah itu menyebabkan abang Anip mencium bawah
lengannya sendiri. “Bau badan?!”. Fikirnya.
Ziah pula tersipu-sipu ,
malu jika perbualannya dengan makcik Midah tadi didengari oleh lelaki angkuh
itu .
“Err ... makcik , saya
minta diri dulu. Dah lewat malam ni”. Kata Ziah sambil bangun mencium tangan
makcik Midah.
“Selamat malam makcik”.
Katanya sebelum berlalu pergi , keluar bilik tanpa langsung memandang wajah
abang Anip semasa bergerak melintasinya di pintu bilik. Abang Anip sengaja
tidak mahu berganjak maka terpaksalah Ziah menyendengkan badannya.
“Jahat!!”. Kata hati Ziah
sambil menjeling manakala abang Anip hanya tersenyum sinis. Entah mengapa
seronok benar dia jika dapat mengenakan gadis ini!.
Anip , janganlah kau
dera perasaannya.
Abang Anip mendapatkan ibunya , duduk
diam disisinya.
“Hmm ... Anip , janganlah
kau dera perasaannya. Dia itu gadis yang baik”. Abang Anip diam lalu meletakkan
kepalanya di atas riba ibunya. Makcik Midah mengusap-ngusap lembut rambut lurus
lebat anaknya itu. “Ya Allah!. Nyalakanlah semula sinar cahaya yang telah
lama terpadam di hati anakku ini!”. Doanya.
Malam itu sewaktu mahu melelapkan mata ...
Malam itu sewaktu mahu melelapkan mata
, abang Anip mengenangkan semula semua
kejadian yang dialaminya sejak Ziah , gadis ayu itu tinggal menumpang di
rumahnya.
“Ayu! Tapi lucu bila
marah”. Abang Anip tersenyum mengenangkan wajah Ziah ketika sedang marah.
Lantas terbayanglah peristiwa demi peristiwa pertengkaran antara mereka berdua.
“Wow! . Sungguh menyeronokkan!”. Katanya sambil tersenyum
tetapi ada juga peristiwa yang benar-benar menyakitkan hatinya . Semuanya gara-gara budak kampung yang bernama
Kamal itu. Sakit benar hatinya
sewaktu melihat Ziah begitu mesra
dengan Kamal , “Budak kampung tak sedar diri!”. Rungut abang Anip apabila
teringatkan senyuman Kamal tatkala Ziah jatuh tersembam ke dadanya sewaktu mahu
menaiki sampan tempohari. Lebih menyakitkan hatinya ketika Ziah
membisikkan sesuatu ke telinga Kamal dan akhirnya keduanya tertawa mesra.”Ceh!
Saja
“Mengada!. Langsung tak
dihiraukan aku yang ada di situ!”. Rungutnya lagi.
“Huhhh!. Tapi kenapa aku
nak marah?”. Abang Anip bertanya kepada
dirinya sendiri ... Bersama pertanyaan itu abang Anip melelapkan mata.
Puisi : Keliru Mei 1994
Cuba kau katakan maknanya
Engkau fikir apa maksudnya
Meluat marah melihat manjanya
Berbulu sakit mata melihat guraunya
Uwekk! Bagai nak muntah melihat
gediknya
Resah gelisah melihat mesranya
Uh! Sakitnya hati kerananya
|
Puisi:
Kasih
Bonda
Kasih bonda ...
Akan kekal selamanya
Sungguh gelora datang melanda
Indah tak ternilai dengan harta benda
Hanya tulus murni untuk anakanda
Ini bondamu memanjat doa
Buatmu anakanda pengarang jiwa
Utuh bahagia hidupmu kekal selama
|
No comments:
Post a Comment