BAB 29 : KONFLIK – JANJI DAN TANGGUNG-JAWAB
Diam itu lebih
menenangkan ...
“Dayus? . Apa maksud
Diah?”. Zuraimie tidak dapat menerima
tuduhan Diah terhadap dirinya.
“Diah , setelah Diah diam seribu bahasa selama
berminggu-minggu . Ini kata-kata ‘keramat’ yang Diah lontarkan pada abang?.
Tergamak Diah mengucapkannya pada abang. Diah tahu tak yang abang sendiri
terseksa dengan semua ini. Dibuang mati emak , diluah mati bapak. Abang
benar-benar tersepit!. Diah sendiri
maklum , demi Diah abang sanggup menentang keluarga sendiri. Abang sanggup
bertegang leher , menghancurkan hati ibu abang sendiri. Abang tetap memilih Diah”. Zuraimie kesal
dengan kecaman yang dilontarkan Diah kepadanya.
“Diah , letakkanlah
sedikit timbang rasamu pada abang. Kasihanilah abang ... kasihkanlah abang ini.
Telah lebih enam bulan kita bergelar suami isteri tapi abang rasa sungguh sepi. Setiap kali
abang pandang Diah , hati abang terasa sungguh ... sungguh sepi!. Abang terbiar!.
Punya isteri tapi masih hidup terasing!”. Kata-kata Zuraimie itu menyentap
jantung hati Diah. Terpukul dengan luahan Zuraimie. Inilah kali pertama
Zuraimie mencurahkan kesengsaraan yang ditanggungnya. Tidak pernah terfikir
oleh Diah akan penderitaan suaminya dek sikap dinginnya selama ini. Namun
begitu , kemarahan di hatinya belum lagi reda. Mana mungkin hatinya akan
kembali tenang selagi anaknya tidak didakapan.
Sejak peristiwa hari itu , Diah
langsung tidak berpeluang melihat apatah lagi mendakap Raziq. Muslihat kak Biah
sudah terbongkar. Pengasuh itu sudahpun diberhentikan kerja. Hancur sudah
harapan Diah. Hanya kemurungan dan kedukaan yang menemaninya sepanjang masa.
Kehadiran Zuraimie bagai tidak membawa sebarang makna. Makan , minum sudah
tidak dihirau. Berat badannya susut mendadak , jiwanya merana terus-terusan.
Merana dan terus merana ...
Semua yang terjadi itu sungguh menggusarkan hati Zuraimie ,
suami yang terpinggir.
“Apa sudahnya semua ini?”. Fikirnya sendirian.
“Masakan aku harus terus tersepit di antara ibu yang
melahirkan dengan isteri tercinta?”.
Setelah berfikir panjang , Zuraimie
membuat keputusan nekad. Diah harus dikeluarkan dari situasi yang
membelenggunya selama ini. Diah harus ditenangkan jauh dari punca masalah iaitu
ibunya sendiri , Puan Sarah dan anaknya , Raziq. Setelah menguruskan pelbagai
perkara , akhirnya Diah dibawa keluar dari rumah itu. Walaupun dihalang oleh
Puan Sarah , Zuraimie tetap nekad.
“Izinkanlah kami mencari bahagia mak”. Pintanya dan kali ini
Puan Sarah terpaksa mengalah.
“Asalkan kau tidak membawa Raziq pergi”. Itulah syarat yang
diberikan ibunya. Zuraimie terpaksa akur ...
Pindah rumah
Rupanya Zuraimie telah menyediakan sebuah
banglo sederhana besar yang dibelinya sebaik sahaja dia menikahi Diah dahulu.
Banglo itu telah siap dilengkapi dengan perabot kayu jati yang kelihatan mewah
dan diindahkan lagi dengan taman mini dan kolam ikan yang cukup menenangkan.
“Hmm ... abang harap Diah suka rumah kita ini. Abang beli
khas buat Diah. Abang juga berharap sangat yang kita boleh bahagia di sini.
Membina keluarga kita sendiri mengikut cita rasa kita sendiri. Abang hendak
Diah sendiri yang menentukan susun atur perabot atau apa saja urusan di rumah
ini. Dalam rumah ini , you’re the boss!”. Zuraimie meluahkan harapannya sambil
mengucup dahi isteri tercinta. Diah hanya tersenyum tawar.
“Err ... untuk memudahkan Diah ke mana-mana , abang dah
sediakan seorang driver , Pakcik Bahari. Dia akan hantar ke mana saja tempat
yang Diah mahu pergi. Tapi , kenalah beritahu abang dulu ye. Kalau tidak tentu
abang akan risau. Risaukan keselamatan Diah. Bukan senang abang nak dapatkan
isteri secantik dan sebaik Diah”. Zuraimie cuba mengambil hati isterinya.
“Err ... kerja-kerja rumah pula Diah tak usah buat , abang
juga telah mengupah kak Timah sebagai pembantu rumah. Dia akan uruskan semua
kerja-kerja dalam rumah. Diah hanya perlu arahkan saja. Abang cuma nak Diah
rehat dan punya masa untuk diri sendiri. Boleh?”. Tanyanya lembut. Diah tetap
diam , hanya senyuman tawar yang mampu diberikannya sebagai balasan atas segala kebaikan yang telah diberikan Zuraimie
, suaminya.
Zuraimie memberanikan
dirinya ...
Malam itu , untuk kali pertamanya
mereka tidur sekatil. Setelah menukar pakaian tidur yang lebih selesa ,
Zuraimie memberanikan dirinya dan cuba berlagak biasa baring di sebelah Diah.
Hatinya cuak apabila memikirkan reaksi
Diah nanti. Kadang-kadang timbul rasa serik ditendang Diah hingga jatuh ke
lantai. Namun rasa cuak dan serik itu
segera hilang apabila melihat Diah hanya mendiamkan diri , terus berbaring
tanpa sebarang tindakbalas. “Mungkin ini petanda baik”. Fikirnya.
Bagi Diah pula , dia cuba memaksa dirinya untuk menerima
Zuraimie seadanya. Diah sedar berdosa bagi dirinya kerana telah tidak
menjalankan tanggung-jawabnya sebagai seorang isteri. Takut juga dia jika mati nanti tidak mencium
bau syurga.
‘Syurga isteri bergantung kepada redha suaminya’. Kata-kata
keramat itu kekal terpahat di sanubarinya sejak dahulu lagi , dari zaman
kecilnya itulah ungkapan yang sering disebut oleh ibunya. Maka malam ini , Diah
juga nekad mahu merelakan dirinya menjadi milik Zuraimie sepenuhnya. Mampukah
dia?
“Mungkin sudah sampai masanya aku menyerah. Raziq , maafkan
Diah. Sungguhpun raga ini menjadi miliknya namun hatiku dan cintaku tetap
milikmu selamanya”. Bisik hati Diah sambil memejamkan matanya rapat-rapat ,
membayangkan wajah Raziq , lelaki yang sudah hancur jasadnya namun cintanya
masih bertahta di hati.
Sepuluh minit telah berlalu ,
masing-masing masih membatukan diri , pura-pura tidur. Baik Diah mahupun
Zuraimie tidak berani memulakan langkah.
“Malam ini atau tidak selamanya!”. Akhirnya Zuraimie sudah
tidak mampu bersabar lagi.
Setelah berperang dengan perasaannya sendiri , Zuraimie akhirnya memberanikan diri mengambil
langkah pertama. Dia mendekatkan tubuhnya sehingga bersentuhan dengan tubuh isterinya. Diah diam , masih berpura-pura tidur. Walhal
sebenarnya hatinya berdebar kencang. Debaran hatinya menjadi semakin kencang apabila
tangan Zuraimie mula membelai rambutnya yang panjang mengurai , rambut itu diusap lembut , dicium dan
dibelai mesra ... Diah semakin tidak keruan jadinya. Debaran hatinya sudah tidak
terkawal lagi , “Dup! Dap! Dup! Dap! Dup! Dap!” ... cemas ... situasi ini cukup
mencemaskan!.
Tubuhnya menggigil kuat hingga dapat dikesan dan dirasai oleh
Zuraimie. Tergamam Zuraimie seketika. Keadaan
Diah yang bagaikan trauma itu benar-benar
menyentuh hati dan perasaannya sehinggakan timbul rasa berbelah bagi di hati.
“Hmm ... patutkah aku
teruskan?”. Zuraimie dalam dilemma.
Sekonyong-konyong dan entah dari mana Zuraimie bagaikan terdengar
satu suara berbisik di telinganya , “Jika tidak sekarang bila lagi?! ... Ya! ,
jika tidak sekarang , bila lagi?!. Teruskan! Teruskan!!”. Hakikatnya itu adalah
suara hatinya sendiri yang telah terlalu lama terpendam.
Keputusannya telah bulat , misi ini harus
diteruskan hingga berjaya. Diah bertahan ... dan terus bertahan. Dia cuba
merelakan segalanya namun ... entah mengapa tiba-tiba perasaan benci mula
menyelubungi hati dan perasaannya. Benci diperlakukan begitu!. Mahu saja tangan yang mula meliar itu ditepisnya ,
tidak cukup dengan itu , ingin sekali rasanya muka lelaki ini ditempeleng
sekuat-kuat hati!.
“Biar dia sedar! Biar dia tahu siapa dirinya!”. Fikir Diah.
Namun kewarasan fikirannya
menghalang Diah daripada berbuat demikian. Diah sedar , Zuraimie adalah
suaminya. Suaminya yang sah. Suami yang sangat mencintainya , seorang suami
yang telah lama dinafikan haknya.
Diah tidak pernah menyangka begitu
besar cinta Zuraimie kepadanya hingga sanggup bersabar dengan kerenah dan kebiadapannya
selama ini namun Diah juga tidak mampu menahan perasaan yang bergejolak di
sanubarinya kini. Diah rasa benci!. Benci dengan hakikat yang harus diterimanya
kini. Benci kerana terpaksa menyerah!. Benci ... benci dan terus benci!. Perasaan
benci kini meluap-luap dan tidak dapat dibendung lagi!. Belum sempat Zuraimie berbuat lebih jauh , tanpa sedar Diah
tiba-tiba bangun dan tanpa sebarang kata terus pergi meninggalkan Zuraimie
termangu sendirian.
Tindakan nekad Diah itu bagai
halilintar menyambar dan merentap jantung hati Zuraimie. Begitu terhina rasanya
diperlakukan begitu oleh isteri sendiri ...
“Aaaaaarrrrrrggghhhhhh!!!!”. Jerit Zuraimie. Perasaannya
benar-benar terguris dengan tindakan Diah.
“Mengapa?!! Mengapa?!! Mengapa?!!”. Zuraimie bingkas bangun ,
berjalan laju mengejar Diah dari belakang. Melihat Diah berlari anak menuruni
tangga menuju ke ruang tamu , Zuraimie segera berlari mendapatkannya. Setelah
hampir , tangan Diah disambar dari
belakang. Diah terhenti. Badannya dipusing kasar oleh Zuraimie. Mereka
berhadapan , belumpun sempat Diah mampu
berbuat apa-apa , Zuraimie telah menggenggam kuat kedua lengan Diah. Matanya
tajam memandang , api kemarahan terpancar jelas dari kedua mata itu. Diah gugup
, takut , kecut perut melihat riak wajah Zuraimie yang kelihatan sangat bengis.
Marahnya menggila ... Ya! Zuraimie benar-benar sedang marah sekarang ini!!.
“Mengapa?!!!. Mengapa?!!!”. Tanya Zuraimie sambil menggoncang
tubuh Diah. Diah tergamam , tidak mampu menjawab. Juga tidak berani menentang
wajah bengis itu. Diam Diah membawa
padah. Diam Diah itu bagai dedaun kering yang memarakkan lagi api kemarahan
yang semakin membesar di benak hati Zuraimie. Lelaki ini sudah benar-benar
marah , kewarasannya kian punah.
“Heiii perempuan , bukankah aku ini suamimu yang sah?
Mengapa tidak kau menyerah padaku? Apa?. Hina sangatkah aku
ini???
Jawab!!! Mengapa diam?! Jawab!!!”. Jerit Zuraimie sekuat
hati. Genggaman tangannya juga semakin kuat. Diah kesakitan dan cuba meronta
melepaskan dirinya.
“Lepas! lepaskanlah! Sakitlah!!”. Jerit Diah.
“Apa? Lepaskan?!!”. Sepantas kilat tubuh Diah diangkat lalu
digendong dengan paksa!.
Terlajak perahu boleh
diundur ...
Zuraimie tergamam ... “Arghhh!!. Apa yang telah aku buat ?!”.
Fikirnya setelah kembali sedar. Tangannya menggigil mengesat air mata yang
mengalir di pipi putih mulus Diah. Rasa bersalah menikam kalbu ...
“Diah , maafkan abang. Maafkan abang!”. Tubuh Diah dirangkul kuat
dan mereka sama-sama menangis!.
Semenjak kejadian malam itu ,
Zuraimie cukup berhati-hati atas setiap tindakannya. Dia mencuba sedaya upaya untuk
menceriakan Diah. Mungkin mahu menebus onar yang dilakukan terhadap Diah. Diah
pula menjadi semakin pendiam. Bingung memikirkan arah hidupnya. Memikirkan
hubungannya dengan Zuraimie , memikir dan melayan rindunya terhadap Raziq.
“Kan baik kalau aku dapat turuti jejak langkah Raziq , tinggalkan saja dunia
yang fana ini buat selamanya. Huhhh! Tapi berbaloikah?. Aku masih belum sempat
memberitahu Raziq akan ayahnya yang sebenar. Kalau aku mengalah sekarang ,
siapa yang akan memberitahunya nanti?. Huh! Sampai matipun dia tidak akan
tahu!!”. Diah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“ Ah! Raziq , ibu rindukan kamu.Apa khabar agaknya anak ibu?
Sudah pandai apa agaknya anak ibu sekarang. Sudah pandai panggil ayah ibu?. Iskh!
Iskh! Iskhhh!!”. Diah menangis tersedu-sedu apabila
mengenangkan yang anaknya itu mungkin sudah tidak mengenalinya lagi.
Zuraimie yang sedari tadi memerhati
tiap gerak laku Diah datang menghampirinya lalu memeluknya. Sungguhpun Diah
tidak pernah berkongsi kesedihan dengannya namun dia dapat mengagak kerinduan
yang ditanggung oleh isterinya ini.
“Maafkan abang sayang kerana tidak dapat memenuhi keinginanmu
sekarang sayang. Abang tak sanggup menjadi anak derhaka. Bukan buat masa ini
tapi abang janji apabila marah emak semakin reda , abang akan cuba berbincang
semula dengannya”. Keluhnya sendiri , kesal kerana terpaksa mengecewakan isteri
tercinta.
“Nangislah ... nangislah sayang , biar abang menjadi tempat
sayang mencurahkan kesedihan ini”. Pujuknya.
“Diah , selain daripada membawa anak kita ke mari , apa yang
boleh abang lakukan untuk buat Diah kembali gembira?. Cakaplah , abang akan cuba
tunaikan sedaya mungkin”. Janji Zuraimie.
Mendengar kata-kata suaminya itu , Diah segera mengangkat
kepala. Wajah suaminya itu dipandang penuh sangsi. Zuraimie mengangguk.
“Ya , katakanlah sayang. Abang akan cuba tunaikan”. Zuraimie
menggalakkan.
Setelah berdiam seketika....
“Abang , dalam hidup Diah kini hanya ada satu hajat sahaja dan itupun sudah abang ketahui.
Dialah kekuatan Diah untuk teruskan kehidupan ini. Satu-satunya sebab untuk
Diah terus bertahan. Jika itupun tidak dapat abang tunaikan , tak payahlah
abang bersusah payah untuk perkara yang lain. Diah hanya mahukan anak Diah.
Tiada hajat lain”. Diah berkata tegas.
“Diahhh ... maafkan
abang. Abang tidak mampu menunaikannya sekarang. Sabarlah sayang , abang akan usahakan juga. Maafkan abang kerana sikap ibu abang , Diah terpaksa
mengharungi semua ini”. Zuraimie menguatkan pelukannya , dia benar-benar kesal
kerana tidak mampu menunaikan impian isterinya yang satu itu. Diah diam
membatukan diri ... begitulah hari-hari
yang seterusnya , Diah terus diam , murung dan suka mematikan diri setiap kali
diajak berbicara.
Rawatan Doktor
“Rawatan doktor?. Abang , kenapa nak dapatkan rawatan
doktor?. Diah tak sakit! Diah tak sakit bang! Diah sihat!!” Diah menolak
kata-kata Zuraimie dengan keras. Zuraimie yang risaukan keadaan Diah yang
kelihatan amat tertekan dan murung bercadang untuk membawa Diah mendapatkan
rawatan yang sesuai.
“Syuuttt ... syyuutttt ... tak apa Diah. Kalau Diah tak mahu
jumpa doktor tak apa cuma Diah kena dengar cakap abang. Dengar cakap abang ya. Kita mulakan hidup baru. Nanti bila keadaan
dah selesa dan Diah sudah betul-betul sihat , kita ambil balik Raziq ya. Kita
ambil anak kita kembali dan sama-sama besarkan dia di sini ya!”. Raziq cuba menenangkan Diah.
“Bohong!. Abang tak usahlah nak bermanis mulut. Bukan Diah
tidak tahu yang abang itu takutkan ibu abang. Mampukah abang menentang
kehendaknya. Mungkin sampai matipun Diah takkan dapat kembali anak Diah itu!”.
Balas Diah , memandang Zuraimie dengan pandangan yang amat sinis.
Antara Realiti dan
Fantasi
Setelah puas bercerita dan meluahkan segala isihatinya kepada
Ziah barulah Diah merasa tenang ... “Terima kasih Ziah kerana sudi menziarahiku
, menemani aku ... bercerita , bertegang leher , ketawa bersama , makan dan
makan . Heee...”. Kata Doah sambil tersenyum manis.
“Hmm ... itulah gunanya kawankan”. Balas Ziah sambil bermanis
muka di hadapan Diah namun tanpa Diah sedari Ziah sudah mengesan sesuatu yang
tidak kena tentang cerita Diah ... “Aku harus pastikan!”. Tekadnya.
Malam itu mereka
makan malam bersama , Diah , Ziah dan Zuraimie. Tak banyak yang mereka bualkan
, sekadar berbasa basi sahaja. Selesai makan malam , Diah segera meminta diri
daripada Ziah , “Ziah , aku masuk tidur dulu ye. Penat sangatlah melepak petang
tadi”. Katanya sambil tersengih memandang Ziah.
“Oh okey ... aku ingat nak rehat-rehat dulu baru tidur. Kau
tidur dulu ye. Jangan lupa baca doa tidur”. Balas Ziah.
“Hei! Ingat aku budak-budak lagi ke?. Siap nak ingatkan
bagai!!”. Jawab Diah sambil mencubit lengan Ziah.
“Adoii! Sakitlah!!!”. Jerit Ziah dan mereka sama-sama ketawa.
Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya oleh Ziah , Ziah
mengajak Zuraimie berbincang.
“Apa yang mahu kau bincangkan?’ Tanya Zuraimie.
“Tentang Diah”. Jawab Ziah
ringkas sambil memandang Zuraimie dengan serius.
“Diah ... aku dah agak”. Balas Zuraimie.
“Tanyalah , aku sedia menjawabnya”. Balas Zuraimie.
Maka Ziah meluahkan segala yang terbuku di hatinya ,
persoalan dan kemusyikilan yang mengganggu fikirannya.
“Aku tak boleh terima
layanan yang kalian berikan kepada Diah. Mengapa keluarga kau begitu kejam
kepadanya?. Mengapa kau orang tergamak pisahkan kasih ibu-anak?. Kenapa mesti
kau biarkan hidupnya terseksa begini?”. Tanya Ziah , memandang wajah Zuraimie
dengan pandangan yang tajam. Ziah sudah nekad mahu membantu dan melepaskan Diah
dari terus dibelenggu kesedihan yang berpanjangan.
“Tidak Ziah , aku tidak membiarkan Diah hidup dalam
kesedihan. Setiap saat dan detik nadiku berdenyut aku sentiasa memikirkan
kebahagiaannya”. Zuraimie menafikan.
“Memikirkan kebahagiaannya?. Kebahagiaan yang bagaimana yang
ingin kau berikan padanya?. Bahagiakah namanya jika haknya sebagai ibu
dinafikan?. Bahagiakah itu namanya?”. Ziah terus mempersoalkan.
“Tidak Ziah , kau tidak faham duduk perkara yang sebenarnya”.
Keluh Zuraimie.
“Baiklah. Aku memang tidak faham. Sekarang kau terangkan
kepadaku sehingga aku faham”. Ziah berkata sambil berpeluk tubuh. Dia sudah
tidak tahan dengan sikap ‘defensive’ Zuraimie.
“Ziah , Diah itu sebenarnya sakit!”. Zuraimie berkata perlahan
, tidak mahu Diah terdengar kata-katanya itu.
“Maksud kau?”. Ziah tidak faham.
“Masalah jiwa. Jiwanya kacau , tertekan. Dia itu sedang
murung sekarang. Apa-apa saja perkara di luar jangkaan kita boleh dilakukannya.
Sebab itulah aku terpaksa mengasingkan dia di sini”. Terang Zuraimie.
“Maksud kau ... Diah tuuu ... errr ... ada masalah jiwa?
Sakit mental?” Tanya Ziah teragak-agak. Khuatir kata-katanya itu akan mengguris
hati.
“Tidak! Bukan sakit mental tapi tertekan , murung. Kau pernah
dengar tentang ‘depression’ yang sering dialami oleh perempuan yang baru
bersalin?”. Tanya Zuraimie.
“Ya , pernah. Eh , tapi
teruk sangatkah keadaan dia?. Tapi aku
tengok dia macam okey , Cuma nampak seperti terlalu kecewa ...”. Ziah sukar
untuk mempercayai yang sahabat baiknya itu mengalami masalah jiwa.
“Mungkinkah Zuraimie hanya mereka cerita untuk
menjustifikasikan tindakannya dan keluarganya menyiksa Diah?”. Fikirnya
sendiri.
“Hmm ... sehari kau jumpa dia memanglah nampak macam okey
tapi cuba kau terus tinggal bersama-samanya , kau akan faham apa yang aku
maksudkan. Tapi kau janganlah risau , semua itu tidak pernah mengurangkan
cintaku padanya. Aku tetap mencintai dia seperti dulu. Aku yakin dengan kasih
sayang aku kepadanya dan tentunya dengan izin Allah yang Maha berkuasa , Diah
akan pulih. Lagipun dua minggu sekali aku akan bawa dia berjumpa dengan doktor
psikiatri. Aku harap cara aku ini cukup untuk memulihkan emosinya. Diah tu
bukannya gila cuma emosinya terganggu teruk dengan bermacam peristiwa yang
berlaku kepadanya”. Terang Zuraimie dengan panjang lebar.
“Oooo ... tapi kenapa kau orang pisahkan dia daripada anaknya
Raziq? Aku rasa tindakan kau orang tu tak betullah sebab perpisahan itulah yang
menyebabkan Diah lebih tertekan. Kenapa
kau tak bawa je Raziq tu tinggal di sini?. Tentu Diah akan gembira dan pastinya
dapat menghilangkan kemurungannya itu” Tanya Ziah , cukup memahami keinginan
Diah.
“Huhh ... bukan aku tak nak bawa Raziq tu tinggal di sini.
Terus terang aku katakan yang aku sendiri dah sayang sangat dengan budak tu.
Dah macam darah daging aku sendiri”. Keluh Zuraimie.
“Habis tu?. Apa yang menjadi penghalangnya?. Mak kau?!”. Ziah
serkap jarang. Marah betul dia dengan sikap tak berhati perut perempuan tua itu.
“Mak aku?. Ini mesti kau dah terpengaruh dengan prasangka
Diah terhadap mak aku. Ziah , kalau bukan kerana mak aku tu , tak tahulah apa
yang telah terjadi kepada Raziq. Mak aku lah yang mengasuhnya dengan penuh
kasih sayang sepanjang keadaan emosi Diah menjadi tidak stabil. Dan kalau kau
nak tahu , mak aku tu tak tahupun yang Raziq tu bukan darah daging aku. Dia
memang sangka yang Raziq tu cucu dia yang sebenar!”. Zuraimie agak tersinggung
apabila kebaikan dan jasa ibunya dipertikaikan.
“Itu aku tahu , memang mak kau sangka Raziq tu cucu dia yang
sebenarnya sebab itulah dia nakkan budak itu. Aku minta maaflah kalau kau tersinggung tapi ... kenapa dia nak halang Diah daripada berjumpa
dengan anaknya sendiri? . Kalau kau nak tahu , disebabkan tak dapat berjumpa
dengan anaknya itulah Diah ada terfikir
nak bagitahu hal yang sebenarnya pada mak kau. Diah nak bagitahu mak kau yang
Raziq itu bukan anak dia dengan kau tapi dengan Raziq , kekasihnya dulu. Diah
fikir hanya dengan cara itu dia akan dapat semula anaknya itu” beritahu Ziah.
“Betul?. Huhhh! Kalau lah itu sampai terjadi , tentu keadaan
menjadi lebih rumit”. Zuraimie mula risau. Risau jika ibunya mendapat tahu yang
Raziq itu bukan cucu sebenarnya. Tentu patah hati ibu tua itu kerana sayangnya
pada Raziq sudah tidak berbelah bagi. Raziq dijaganya bagai menatang minyak yang
penuh.
“Hmmm ... kau tak jawab pertanyaan aku lagi. Kenapa Diah
dipisahkan daripada anaknya?” . Ziah mengulangi pertanyaannya.
“Ziah , semua itu demi kebaikan Raziq!”. Jawab Zuraimie
tegas.
“Demi kebaikan Raziq? Mana mungkin berpisah dengan ibu
kandung , tidak dapat menikmati susu dan belaian ibu kandung itu dianggap ‘demi
kebaikan’? Aku tak faham , betul-betul tak faham!”. Bantah Ziah.
“Kalaulah kau tahu apa yang telah kami semua harungi setelah
aku menikahi Diah ...” . Keluh Zuraimie.
“Ya, buatlah aku faham. Ceritakan pada ku apa yang berlaku.
Kau pun tahu yang Diah tu sudah ku angkat sebagai adik sendiri. Gembira dia ,
gembiralah aku. Duka dia , dukalah aku”. Ziah mendesak untuk mengetahui perkara yang sebenarnya. Tidak disangkanya
terlalu banyak penderitaan yang harus ditanggung oleh Diah mahupun Zuraimie
sendiri.
“Baiklah ... biar aku ceritakan” Zuraimie mengalah.
“Setelah habis pantang iaitu cukup 60 hari Diah melahirkan
Raziq , kami bernikah. Aku telah mengenepikan tentangan keluargaku sendiri. Masa
tu aku terlalu banyak mengguris hati ibuku tapi demi cinta ku pada Diah , demi
cinta ini aku tetap memilih Diah. Suka atau tidak , keluargaku terpaksa menerima keputusan yang
telah ku buat. Mereka tiada pilihan. Kami bernikah dalam satu majlis yang amat
sederhana kerana semua persiapan dibuat agak tergesa-gesa. Lagipun memang tiada
siapa yang boleh kujemput. Kedua orang tuaku menghalang aku dari menyebarkan
berita pernikahan kami. Mereka malu bermenantukan Diah. Tapi itu semua tak menjadi kudis pun
buat aku. Namun aku tidak pernah menyalahkan kedua orang tuaku kerana ternyata rasa
malu mereka itu berasas. Entah macam
mana , berita pernikahan kami sampai juga ke pengetahuan jiran tetangga. Bermacam
kata tohmahan yang diterima oleh keluarga aku hinggakan mak aku tidak lagi sanggup berjemaah di surau atau menghadiri mesyuarat penduduk setempat. Dia
sampaikan meletakkan jawatannya sebagai pengerusi wanita penduduk. Jiran
tetangga memandang hina kami sekeluarga kerana sudi mengambil perempuan yang
telah rosak akhlaknya sebagai menantu keluarga”. Terang Zuraimie. Masih jelas
dalam ingatan Zuraimie bagaimana malu dan merahnya wajah ibunya apabila ada
yang bertanyakan tentang Dah dan Raziq.
“Eh kak Cha , dengar kata menantu kak Cha tu dah beranak satu. Betul ke?”. Tanya Puan
Salina kepada Puan Sarah yang lebih mesra dengan panggilan kak Cha. Puan Salina
itu memang terkenal dengan mulutnya yang
celupar. “Huh?!. Tak ada salahnya kita
bermenantukan perempuan yang dah beranak satu. Sekurang-kurangnya kita dapat
memberikan perlindungan pada golongan ini. Mereka dah tentu perlukan dahan untuk
berpaut”. Jawab Puan Sarah , cuba menutup pekong di dada.
“Hmm ... kalau itu tujuannya baguslah. Tapi manantu akak tu ,
janda beranak satu ke atau ... errrr”. Puan Salina sengaja memuncungkan
mulutnya sambil menjeling tajam ke arah Puan Sarah.
Puan Sarah menjadi serba salah apabila ditanya begitu. Lebih-lebih
lagi di hadapan ahli kariah masjid yang lain. Tidak pasti apa yang patut
dijawabnya. Akhirnya tanpa memberikan sebarang jawapan , Puan Sarah terus meminta diri.
“Ha tengok. Betullah tu yang menantu dia tu perempuan tak
baik!”. Kata Puan Salina dengan lantang.
“Hisshh kau ni Sali , tak baik menghukum orang begitu. Bumi
mana yang tidak ditimpa hujan. Takkan kau lupa yang Allah itu Maha Pengampun?”.
Tegur ahli kariah yang lain. Puan Salina hanya mencebikkan bibirnya yang
sememangnya tebal.
Zuraimie yang kebetulan berada tidak jauh dari
situ tersentuh hatinya melihat ibu tersayang menanggung malu gara-gara tindakannya menikahi Diah. Dia segera berlari
mendapatkan ibunya.
“Mak ...”. Panggilnya dari belakang.
“Sudah. Mari kita balik!”. Jawab ibunya. Bengang. Wajah Puan
Sarah masam mencuka.
Di dalam kereta , ibunya menceritakan peristiwa yang terjadi.
“Kau tengoklah mie , inilah balasan yang kau berikan pada
mak. Malu mak mie ! Malu!! Tak tahu kat mana nak disorokkan muka ni!”. Puan
Zainab agak beremosi ketika itu. Perasaan malunya sungguh menebal. Mungkin
lebih tebal dari tembok China!.
“Mak , maafkanlah mie. Mie tak ada pilihan lain. Takkanlah
mie nak biarkan Diah tanggung semua ini sendiri. Mie betul-betul minta maaf
dari hujung rambut sampai hujung kaki. Maafkanlah mie mak!”. Zuraimie
benar-benar kesal apabila ibu yang sangat disayanginya itu terpaksa mengharungi
semua ini.
Sesampai sahaja mereka di rumah , Puan Zainab terus masuk ke
dalam biliknya. Diah yang menyambut mereka di muka pintu langsung tidak disapa.
Mujur Zuraimie segera bertindak , mengalihkan perhatian Diah kepada perkara
lain.
“Eh sayang , mana anak kita?”. Tanya Zuraimie.
“Hmm ... dia tidur. Lena dia tidur. Tak bangun-bangun. Tak
berbunyi langsung”. Jawab Diah sambil tersenyum.
“Ya?. Sampai macam tu sekali?”. Zuraimie berkata sambil
merangkul pinggang Diah.
“Hmmhhrrr ...”. Diah bersuara perlahan sambil menolak tangan
Zuraimie. Zuraimie akur.
Mereka beriringan masuk ke bilik untuk melihat baby Raziq
yang sedang lena. Sesampai sahaja di muka pintu , Zuraimie sangat terkejut dan
menjerit.
“Ya Allah Diah ... apa yang dah Diah buat ni?!!!” . Jeritnya.
Jeritannya cukup kuat untuk menarik perhatian Puan Zainab.
Sungguhpun hatinya masih jengkel dengan apa yang terjadi , sifat keibuannya
mengatasi segalanya. Puan Zainab meluru dari biliknya mendapatkan Zuraimie dan
Diah. Diah masih tercegat di muka pintu bilik.
“Mie , apa yang dah terjadi ni?. Kenapa kau menjerit macam
orang nampak hantu?”. Tanyanya cemas.
“Mak ... entahlah. Cari Raziq mak. Cari Raziq!”. Jawab
Zuraimie cemas. Mendengar kata-kata Zuraimie , Puan Zainab segera melihat ke
dalam bilik tidur anaknya itu.
“Ya Allah!”. Berderau darahnya melihat kain baju , selimut
dan bantal bersepah dan bertindan-tindan di sana sini. Cadar katil sudah jatuh
ke lantai. Puan Zainab menjadi lebih cemas apabila melihat katil baby Raziq
dipenuhi kain baju!.
“Mie! Cepat mie. Alihkan kain baju ni!!”. Tangannya segera
mengalihkan kain baju yang berada di situ. Hatinya berdebar kencang.
“Ya Allah ... selamatkanlah cucuku ini. Aku berjanji ya Allah
akan menerima dan mengasihinya dengan sepenuh hati. Ya Allah selamatkanlah
cucuku!”. Doanya di dalam hati.
Air matanya bercucuran ,“Ya Allah ... selamatkanlah cucuku!”.
Jeritnya lagi bagai orang yang diserang
histeria. Namun sebaik sahaja semua kain baju sudah dialihkan dari katil bayi
itu , Puan Sarah mengurut dada. “Ya Allah Diah , kenapa buat macam ni?. Raziq
mana?”. Puan Sarah bertanya sambil mengurut-ngurut dadanya. Syukur Raziq tiada
di katil bayi itu.
“Mie ... Raziq tiada di sini”. Katanya kepada Zuraimie.
“Habis tu mana Raziq mak?”. Tanya Zuraimie , cemas.
“Aa ... mana cucu aku?. Diah , mana cucu mak nak?. Diah ,
Raziq mana? Mana Raziq Diah?”. Puan Sarah menggoncang-goncang tangan Diah. Diah
hanya menggeleng-gelengkan kepalanya seperti orang yang sedang kebingungan.
“Diah , mana anak kita sayang?. Diah letak Raziq di mana
tadi?”. Tanya Zuraimie dengan lembut. Sengaja rambut Diah yang panjang mengurai
itu dielus-elus.
“Aa.. abang , Diah tak tahu. Sumpah Diah tak tahu”. Kata Diah perlahan . Dia sendiri bingung melihatkan keadaan biliknya yang bersepah. Dia sendiri cemas memikirkan di mana Raziq.
“Aa.. abang , Diah tak tahu. Sumpah Diah tak tahu”. Kata Diah perlahan . Dia sendiri bingung melihatkan keadaan biliknya yang bersepah. Dia sendiri cemas memikirkan di mana Raziq.
Zuraimie sudah tidak tentu arah , sekejap berlari ke sana ,
sekejap berlari ke sini. Sudah berkali-kali dia membuka almari pakaian ,
memeriksa bilik air sehinggalah akhirnya tergerak hatinya untuk membuka ‘Sliding door’ menuju ke veranda bilik
tidurnya.
Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati Raziq diletakkan
di bawah sinaran matahari yang sedang terik memancar.
“Ya Allah , anak aku!”. Sepantas kilat dia mendapatkan Raziq
lalu digendungnya bayi kecil yang sudah tidak bermaya itu. Puan Sarah menjadi
sangat cemas melihatkan wajah comel itu sudah kemerah-merahan. Kulitnya juga
terasa panas akibat dijemur terlalu lama. Raziq langsung tidak menangis semasa
diangkat , matanya juga terpejam rapat. Zuraimie dan Puan Sarah menjadi sangat
cemas. Mujur pada ketika itu doktor Anisah ada di rumah untuk memberikan
bantuan awal. Zuraimie pula segera menelepon ambulan. Ditakdirkan Allah
belumpun sempat ambulan sampai , baby Raziq tiba-tiba tersedak dan mula
menangis.
Tangisan itu membawa rasa syukur dan kegembiraan yang amat
sangat di hati semua.
“Alhamdulillah!”. Puan Zainab mengucap syukur lalu terus
menggendung Raziq. Diah yang ada di situ terpinga-pinga dan cuba menghampiri
bayinya.
“Mie , mak rasa untuk sementara ini biar mak saja yang jaga
Raziq. Kau tengok-tengokkan isteri kau tu. Syukur kita cepat balik , kalau
tidak ... Ya Allah , inilah hikmah kata nista yang ku terima di majlis tadi.
Kerana kata nista itulah cucuku ini dapatku selamatkan. Syukur aku padaMu Ya
Allah!!” Puan Sarah menyatakan syukurnya dengan linangan air mata.
Kata-kata ibunya membuatkan Zuraimie tersentak. Zuraimie
hampir terlupa akan kehadiran Diah. Matanya segera mencari Diah.
“Ahhh ... Diah. Diah apa yang telah kau buat?”. Fikirnya di
dalam hati. Matanya menangkap sesusuk tubuh yang terperosok di penjuru bilik.
Menutup muka dengan bahu yang terhenjut-henjut menahan tangis.
“Diahhh ...”. Zuraimie
segera mendapatkan Diah. Dipeluk perempuan itu dengan penuh kasih sayang.
Hatinya menjadi sayu dan resah. Dia memang sedar isterinya itu mengalami kemurungan
selepas bersalin namun dia tidak menyangka seteruk ini. “Diah, apa dah jadi
pada kau sayang?”. Bisik hatinya. Diah bingung ...
Sejak hari itu , Raziq dijaga oleh
Puan Sarah sepenuhnya. Diah hanya dibenarkan menjenguk Raziq sekali sekala.
Tambahan pula keadaan kesihatan Diah yang semakin teruk. Batuk , demam yang
tidak kebah-kebah. Ditambah dengan emosinya yang tidak stabil. Tiada siapa
sangka emosinya telah terganggu teruk akibat pelbagai peristiwa pahit yang
telah dilaluinya. Diah hidup di alamnya sendiri. Kekadang Diah masih
membayangkan yang Raziq kekasihnya dulu masih hidup. Diah juga mencipta dunia dukanya
, dipaksa kahwin dan dianiaya oleh mertuanya sendiri. Ada kalanya Diah
menyangka yang dia masih seperti dulu-dulu ... gadis universiti yang periang
dan diminati ramai. Fikirannya tidak menentu. Dia tidak dapat memetakan peristiwa demi peristiwa yang telah berlaku. Malah kekadang
Diah lupa akan kehadiran baby Raziq atau suaminya sendiri , Zuraimie.
... tak sangguplah nak
hantar dia ke hospital ...
“Mie , akak rasa kau patut dapatkan rawatan untuk isteri kau
tu. Takut penyakitnya tu akan menjadi semakin parah” Doktor Anisah menyatakan
cadangannya.
“Ya kak , mie pun ada terfikir semua itu. Tapi rasa tak
sangguplah nak hantar dia ke hospital sakit jiwa. Nanti apa pula orang
kata”. Jawab Zuraimie jujur.
“Orang kata?. Eh mie , kau tak sedarkah dah merata-rata orang
mengata?”. Marah doKtor Anisah mendengar alasan Zuraimie.
“Apa kau dah lupa masa isteri kau tu berjalan tak tentu arah
sambil mendukung anak patung? Atau kau dah lupa masa dia berlari telanjang
bulat keliling rumah?!”. Tanya doktor Anisah bertubi-tubi. Zuraimie diam ,
pahit benar baginya untuk menelan semua itu.
“Tak perlulah kau nak malu lagi Mie , semua orang sudah tahu
yang isteri kau tu sakit. Kau bawa sajalah dia untuk menerima rawatan. Akak
takut sakitnya kelak akan bertambah teruk. Orang sakit seperti ini tindakannya
sukar diramal. Bila datang gilanya , membunuh pun boleh!”. Nasihat doktor
Anisah.
“Akak!!”. Tidak sanggup lagi Zuraimie mendengar kata-kata
kakaknya itu.
“Maafkan akak Mie tapi itulah hakikatnya. Kau harus belajar
menerimanya. Berpijak di bumi nyata!”. Balas doktor Anisah.
“Mie tahu kak tapi mie berat hati sangat nak hantar Diah ke
sana. Mie kesian sangat tengok dia. Mie tak mampu nak berpisah dengannya. Tidak
dalam keadaannya sekarang ni”. Zuraimie menyatakan rasa hatinya yang sebenar.
“Habis , kau nak kurung dia dalam bilik je? Kau kena ingat ,
perbuatan kau itu tak langsung membantu Diah untuk sembuh. Kau nak kasi dia
tambah gila bolehlah!”. Tempelak doktor Anisah.
“Huhhhh...apa cadangan akak?”. Zuraimie mengalah.
“Hmmm....”. Setelah lama berfikir.
“Macam ni lah, sekurang-kurangnya kau hantar saje isteri kau
tu untuk dapatkan sesi kaunseling daripada pakar psikiatri. Akak ada kawan .
Nanti akak inform dia”. Cadang doktor Anisah.
“Errr...ya lah kak. Saya menurut saja”. Zuraimie terpaksa
menerima hakikat bahawa isteri kesayangannya itu kini sedang sakit dan perlu
dirawat dan demi membantu proses penyembuhannya , Zuraimie membawa Diah keluar dari
rumah kedua ibubapanya. Mungkin sikap dingin yang awalnya ditunjukkan oleh kedua
ibubapanya adalah pencetus kepada Diah maka dia harus memisahkan Diah dari situasi
itu.
“Itulah sebabnya mengapa aku tak bawa Raziq tinggal bersama
kami”. Zuraimie menutup ceritanya.
“Ya Allah , kasihannya Diah ...” . Sedih benar Ziah mendengar
keadaan Diah yang sebenarnya. Sukar untuknya mempercayai cerita Zuraimie itu. Diah
, seorang gadis yang sangat periang dan popular , kini dikatakan sakit jiwa!.
“Tapi ada lagi perkara lain yang ingin aku tanyakan”. Kata Ziah
... bersambung...
Orang Gila?
Oh! Ramai
sungguh yang mengata
Ramai
yang hanya pandai berkata
Apa
mereka begitu mudah lupa?
Nasib dan
takdir diri ditentu siapa?
Gila?.
Patutkah dipandang hina?
Gila?
Itu dari
persepsi siapa?
Lalu
kenapa kalau ada yang gila?
Apa
kaukah yang menanggung derita?
Orang gila
jangan dihina
Mungkin mereka
lebih mulia
Tiap lakunya
tiada dosa
|
No comments:
Post a Comment