BAB 16 KEPUTUSAN YANG
MEMERANJATKAN
Melihatkan respon Zuraimie yang masih tetap diam ...
Zuraimie tetap membatukan diri.
Kata-kata Ziah hanya seperti mencurahkan air di daun keladi. “Mie , awak dengar
tak kata saya ni?. Kalaupun awak tak kesahkan tentang diri awak ,
sekurang-kurangnya fikirlah pasal Diah. Dia juga diperlakukan dengan teruk
tadi. Dia patut diperiksa. Takut apa-apa terjadi pada kandungannya”. Ziah agak
kesal dengan sikap acuh tak acuh Zuraimie itu.
“Huhh!!!. Yalah Ziah , kita ke klinik
sekarang!”. Kata Zuraimie , jengkel. Ziah menarik nafas lega. “Sebut nama Diah
baru nak respon!”. Ziah mengutuk di dalam hati. Marah juga dia dengan sikap
Zuraimie yang sengaja tidak mengendahkan kata-katanya tadi.
Mereka akhirnya berhenti
di sebuah klinik yang terletak tidak jauh dari rumah agam
Diah. Di klinik inilah dulunya tempat Diah mendapatkan imunisasinya sedari bayi lagi. Doktor Kadir ,
pemilik klinik ini memang cukup mengenali setiap ahli keluarga Diah. Malah Ziah juga pernah ke sini
mendapatkan rawatan tatkala tiba-tiba demam semasa bertandang ke rumah
Diah dahulu.
“Eh
Diah?. Lama sungguh tak ke mari”. Sapa doktor Kadir namun tidak dijawab
Diah. Dia hanya terus melangkah masuk ke dalam bilik rawatan. “Errrr?!”. Diah
bingung.
“Doktor ni kenal aku. Aduh! Nanti
kalau dia tahu pasal kandungan aku ni , malulah mak bapak aku. Alamat bertambah
bencilah abah kepadaku nanti. Diah mulai resah. Mujur Ziah cepat bertindak ...
“Eh doktor salah orang kot ... err
boleh doktor tolong periksa kandungan kawan saya ni”. Ziah cuba mengalih
perhatian , menukar tajuk perbualan.
“Tadi ada kemalangan kecil. Kawan
saya ni mengandung jadi kami takut kalau-kalau kemalangan itu menjejaskan bayi dalam kandungannya itu”. Sampuk Ziah.
Doktor Kadir mengangguk namun dahinya
masih berkerut. Fikirannya masih berkisar mengenai identiti sebenar gadis di
hadapannya ini. Lantas fail pesakit di hadapannya dibelek. Kosong!.
“Hmm ... sekejap ya. Nurse!”. Panggil doktor itu sambil
menekan loceng. Seorang jururawat berlari anak masuk ke dalam bilik doktor.
“Err ... mana rekod perubatan pesakit
sebelum ini?”. Tanya doktor Kadir.
“Err ... ini pesakit baru doc. Dia
tak pernah dapat rawatan di sini sebelum ini”. Jawab Jururawat itu , hairan
dengan sikap doktor yang tiba-tiba sangat berminat dengan sejarah rekod rawatan
pesakit.
“Hmm ... kali pertama mendapatkan
rawatan di sini?”. Tanya doktor Kadir. Ziah dan Diah mengangguk serentak.
“Mungkin pelanduk dua serupa. Wajah awak
saling tak tumpah dengan wajah anak kenalan saya”. Doktor Kadir
berterus-terang. Ziah dan Diah hanya tersenyum mendengarnya.
“Ehemm , boleh doktor periksa
sekarang?”. Ziah sengaja mengingatkan doktor Kadir akan tugasnya.
“Oh marilah saya periksa. Awak baring
di sini”. Doktor Kadir akhirnya membuat pemeriksaan ke atas Diah. Ujian ‘ultra sound’ dijalankan untuk melihat keadaan bayi dalam
kandungan , imej bayi tertayang pada skrin komputer . Ziah melihatnya , Diah juga. Terusik hati
Diah tatkala menatap imej bayinya buat pertama kali. Menitis air matanya
tatkala imej bayinya itu bergerak-gerak. Mungkin sengaja beraksi buat tatapan
ibunya yang sedang berduka. “Sayang ... ibu akan kuatkan diri ini demi kamu”.
Bisik Diah. Tiba-tiba aura semangat mengalir ke dalam tubuhnya.
Setelah segalanya selesai
.... “Alhamdulillah , awak dan dia tak apa-apa”. Zuraimie berkata lembut sambil
memandang ke arah perut Diah. Diah hanya tersenyum.
“Mie , awak ok ke?” .Tanya Ziah ,
risau. Mana tidaknya , teruk dia dibelasah oleh encik Amir tadi. “Yup!. Cuma
luka ringan jea”. Jawab Zuraimie sambil menunjukkan ke arah luka-lukanya yang
sudah dibalut.
“Tak ada kecederaan dalaman?”. Tanya
Ziah , khuatir. Zuraimie hanya menggelengkan kepalanya.
“Hmm ... Alhamdulillah. Awak dan Diah
tak apa-apa”. Ziah melafazkan syukur.
“Mie , apa kita nak buat sekarang ... kat
mana kita nak hantar Diah ni?” . Tanya Ziah pula , tiba-tiba menjadi risau.
Kalau ibubapanya sendiri tidak mahu menerimanya , ke mana lagi Diah akan pergi?
“Aduhai awak ni Ziah , kot ya pun
boleh tak bagi saya masa untuk relaks kejap. Kepala ni pun masih berdenyut lagi!”. Keluh Zuraimie ,
sedikit jengkel. Sebenarnya dia sendiri belum ada jawapan bagi soalan Ziah itu.
“ Heiii ... entahlah ... sayapun
sebenarnya tengah bingung memikirkan perkara ini”. Sambung Zuraimie lagi sambil
memandang Diah.
“Diah , kau fikir macam mana? Aku
kejap lagi dah nak kena balik ke Pagan Sena. Esok aku sekolah. Kalau ikut hati
aku , nak aje aku ajak
kau sekali tapi ... aku pun tinggal menumpang di bilik warden”. Ziah
berterus-terang.
Diah diam. Fikirannya
buntu memikirkan segala yang baru terjadi. Kata-kata Ziah itu bagaikan angin
lalu yang hanya menyentuh cuping telinganya sahaja. Diah masih tidak percaya dengan
apa yang telah terjadi. Dia telah dihalau oleh ayahnya sendiri. Ayah yang
selama ini sangat memanjakannya!. Dan kini tiada arah tuju ... namun dia tidak
putus harap. Semangatnya bangkit gagah setelah melihat imej bayi yang
dikandungnya itu.
“Demi anak ini ...”. Katanya sambil
mengusap-ngusap perutnya yang membuncit.
“Diah ... saya tahu awak bingung ... saya sebenarnya ada cadangan , itupun kalau
awak sudi”. Kata Zuraimie ragu-ragu , cuak dengan reaksi Diah jika mendengar
hasratnya. Diah memandang dengan wajah yang polos , pasrah.
“Takkan kot!!” . Bisik hati Ziah.
Bagaikan dapat membaca fikiran Zuraimie.
“Kita kahwin sajelah!”. Zuraimie
berkata. Matanya tepat memandang Diah , mengharapkan jawapan yang positif.
“Huhh!!”. Keluh Ziah. “Memang tepat sangkaanku. Kau ini
memang gilalah Mie!”. Fikir Ziah.
Diah pula diam membisu. Tergamam ...
setelah segala yang mereka hadapi hari ini , Zuraimie masih sanggup memberikan
cadangan itu!. Bibirnya diketap kuat.
“Huhhh!!!!”. Keluhnya berat. Lama dia berfikir , Zuraimie
menanti jawapannya dengan sabar.
Akhirnya Diah bersuara , “Awak gila
ke apa?. Mana kita boleh kahwin ... kalau saya mahu sekalipun , kita masih kena
tunggu sehingga anak ini lahir. Kenalah
tunggu hingga habis edah! Tidak semudah itulah!!” . Jawab Diah. Tiba-tiba bengang dengan
keadaan dirinya kini.
“Tidak Diah. Awak silap. Awak dah
salah faham. Apa yang awak cakapkan itu adalah benar jika awak ini adalah bekas isteri orang lain.
Maka kita terpaksa tunggu sehingga awak habis edah dahulu. Tetapi dalam kes
kita ini , awak bukan isteri sesiapa maka
bila-bila masapun kita boleh kahwin”. Zuraimie membetulkan Diah.
“Begitukah. Hinanya aku ini .
Langsung tiada syarat?”. Tanya Diah tidak pasti.
“Apa maksud awak Diah?. Hukum Allah
itu penuh dengan hikmah. Sekurang-kurangnya kita dapat pastikan anak ini lahir
berbapa. Ada pelindung dan dihindari dari fitnah dunia”. Jelas Zuraimie.
“Ya . Betul Diah ... setiap yang
ditentukan Allah pasti ada hikmahnya.
Kau bukan pernah berkahwin dengan sesiapapun sebelum ini. Jadi anak
dalam kandungan kau itu tidak menjadi penghalang untuk kalian
segera berkahwin. Cuma yang perlu kalian fikirkan sekarang ini adalah soal
wali. Bagaimana kita nak dapatkan izin
walinya?”. Tanya Ziah kepada Zuraimie.
“Betul ... awak betul. Aku tidak
berfikir panjang”. Zuraimie kesal kerana terlepas pandang perkara yang penting
ini.
“Ah ! Tidak mengapa. Kami boleh
kahwin di Thailand”. Zuraimie tiba-tiba mendapat idea songsang , teringatkan
amalan yang sering dilakukan oleh pasangan kahwin lari dari Malaysia.
“Ahh sudahlah!!. Fikiran aku ini
tengah buntu. Tak payahlah kalian nak mencadangkan yang bukan-bukan. Bukan
sekarang!!”. Diah marah. Sebenarnya dia marahkan dirinya sendiri ...
Apakan daya , tiada tempat
bergantung. Dibuang oleh kedua orang tuanya. Kini , diajak kahwin lari pula!.
“Huh! Mana perginya sensitiviti kalian?”. Keluhnya sendiri.
“Huh! ... Diah maafkan kami. Saya faham awak sangat
tertekan dengan semua ini tapi kita terpaksa juga membincangkannya
sekarang. Kita perlu mengambil kata putus untuk nasib awak dan bayi kita
selepas ini. Tapi janganlah awak terlalu bersedih. Kami sentiasa ada untuk
awak. Kami takkan biarkan awak sendiri”. Kata Zuraimie , terpaksa mendesak Diah
untuk membuat keputusan.
“Apa pilihan yang saya ada?”. Tanya
Diah , bingung.
“Awak boleh memilih bernikah dengan
saya sekarang atau sebaliknya”. Jawab Zuraimie.
“Awak ... tolonglah. Saya tidak mungkin berkahwin
dengan awak sekarang. Fikiran saya ini terlalu bercelaru. Mana mungkin saya
bernikah dengan awak sedangkan diri sendiripun masih samar dalam ingatan ini”.
Balas Diah.
Mereka bertiga diam. Tidak tahu
untuk mencari kata putus. Juga tidak
tahu ke mana arah yang harus dituju selepas ini. Zuraimie menghidupkan enjin
keretanya lalu memandu perlahan meninggalkan Wangsa Maju menuju entah ke mana.
“Awak , kalau saya setuju bernikah
dengan awak , adakah masalah kita ini akan selesai?”. Diah tiba-tiba bertanya.
Mungkin dia baru sedar bahawa dia sebenarnya memang tiada pilihan lain kecuali segera bernikah dengan
Zuraimie.
“Ya. Saya akan menikahi awak dan kita
terus hidup bersama sebagai suami isteri yang sah. Saya boleh terus menyewa
rumah di sekitar Bandar Baru Bangi. Cuma ...”. Kata-kata Zuraimie terhenti.
“Saya perlu mendengar dulu pengakuan
dari awak Diah”. Zuraimie menyambung kata.
Ziah dan Diah mendengarnya.
“Pengakuan apa?” Tanya Diah.
“Awak betul-betul sudi berkahwin
dengan saya sekarang?”. Tanya Zuraimie.
“Bukan kerana awak tersepit ... atau
... kerana tiada tempat untuk dituju?”.
Tanyanya lagi.
Diah diam berfikir ... “dengan keadaan aku
sekarang , adakah semua itu penting?”. Fikir Diah. Dia menjadi tidak faham
dengan sikap Zuraimie. Ajak kahwin tapi masih bersyarat!
“Zuraimie? Awak masih tidak faham
ya?. Kita perlukan wali Diah!” . Ziah menyampuk. Tidak setuju dengan idea
kahwin lari. Baginya pasangan yang kahwin lari itu terlalu angkuh , langsung
tidak memikirkan hati keluarga.
“Itu tidak menjadi soal. Jika perlu
sekarang juga kita ke sempadan. Kami boleh nikah di Patani!”. Jawab Zuraimie ,
mengulangi cadangannya tadi.
Ziah menggelengkan kepalanya. “Itu kerja
gila!”. Katanya.
“Ziah , itu semua tidak lagi penting.
Sekarang ini saya hanya perlukan jawapan daripada Diah”. Kata Zuraimie lagi
sambil memandang Diah. Langsung tidak menghiraukan komen yang diberi oleh Ziah.
“Ya. Saya sedia menjadi isteri
awak!”. Jawab Diah. Ziah tersandar mendengar jawapan Diah itu. Buat Diah pula ,
dia sedar bahawa dia sudah tidak
mempunyai pilihan lain melainkan menerima saja Zuraimie sebagai suaminya.
“Sebab?” Tanya Zuraimie.
“Sebab saya tiada pilihan lain. Saya
sendirian sekarang. Tiada arah tuju. Tidak lama lagi saya akan melahirkan bayi ini. Saya tidak akan mampu
mengharunginya sendirian. Saya perlukan awak. Dan yang lebih penting
saya tahu bahawa awak memang sangat sayangkan saya dan saya boleh bergantung
harap kepada awak”. Diah berterus terang.
“Huhh!!”. Keluh Zuraimie. Kesal
mendengar jawapan Diah.
“Maafkanlah saya Mie kerana saya
masih belum dapat menemukan cinta kita dalam hati ini. Mungkin belum lagi ... “.
Diah kesal kerana terpaksa berkata begitu. Namun , “Lebih baik berterus
terangkan ...”. Fikirnya.
Zuraimie diam seribu bahasa.
Fikirannya terganggu mendengar kata-kata Diah itu.
“Dalam keadaan kau tersepit sekarang
inipun kau masih tak boleh menerimaku sepenuh hatimu. Apa , tidak cukup baikkah
aku?. Tidak cukupkah segala pengorbanan dan penderitaan yang ku tanggung selama
ini?”. Zuraimie meratap di dalam hati , jengkelpun ada!.
“Mie , boleh saya tanya sesuatu?”. Tanya Diah
pula , menyambung perbualan yang terhenti. Zuraimie hanya menganggukkan
kepalanya , lemah selemah semangatnya kini.
“Anak ini anak kita?. Buah cinta
kita?”. Tanya Diah sambil memandang wajah Zuraimie.
Pertanyaan Diah itu memukul jantung
hati Zuraimie. Sengaja pandangan Diah itu tidak dibalasnya.
“Untuk apa pertanyaan itu
diulang-ulang Diah?”. Fikir Zuraimie.
Ziah yang sedari tadi mendengar
perbualan mereka berdua itu hanya mendiamkan diri. Entah mengapa hatinya tidak
senang melihatkan Zuraimie bermati-matian mempertahankan pembohongannya manakala
Diah kini benar-benar tersepit ,
terpaksa menerima pembohongan itu dan lebih malang lagi adalah dirinya
sendiri , masih juga terluka tatkala melihat Zuraimie
sengsara. Mengapa mesti terluka?. Bukankah segalanya sudah berakhir?. Tidak!
Tidak lagi berakhir. Masih ada cinta di dalam hati!!!.
“Oh Tuhan!”. Ziah meraut wajahnya
sendiri. , mengingatkan dirinya agar tidak hanyut dengan perasaan.
“Kenapa masih ragu Diah?” . Tanya
Zuraimie setelah membiarkan seketika soalan Diah tanpa jawapan.
“Tidak ! Bukan ragu tapi saya mahukan
kepastian. Awak tolong jawab pertanyaan
saya itu dulu!”. Tegas Diah.
“Mengapa masih ragu?”. Balas
Zuraimie. Mengulangi pertanyaannya.
“Mie , saya tidak mahu awak menjadi
pak sanggup atas dosa yang saya lakukan!!” . Diah berkata separuh menjerit. Air
matanya mula bercucuran. Dia bagaikan dapat merasakan yang Zuraimie itu bukanlah
orangnya , jika benar Zuraimie adalah bapa kepada bayi yang dikandungkannya
mengapa tiada langsung rasa cinta di hatinya.
Terkejut Zuraimie dan Ziah mendengar
kata-kata Diah itu.
“Mengapa awak kata begitu?” . Tanya
Zuraimie , bergetar suaranya menahan rasa. Juga hampir menitiskan air mata.
Wajahnya kemerahan , tangannya menggenggam kuat stereng Kenari.
“Pertama , kerana awak terlalu baik.
Jika sebesar inilah cinta awak kepada saya , masakan kita sampai boleh
terlanjur!. Kedua , kerana saya gagal mencari cinta kita dalam hati ini dan
ketiga kerana ... saya terasa sungguh sepi , terasa kehilangan yang amat
sangat. Seperti separuh dari jiwa saya ni sudah tiada. Sedangkan awak sentiasa
ada di depan mata!”. Jawab Diah teresak-esak. Jawapan yang benar-benar memukul
jantung hati Zuraimie.
“Walaupun awak sentiasa di sisi ,
hati saya masih sepi ... ada rindu yang tak kesampaian. Saya sendiri tidak
faham. Zuraimie , jujurlah kepada saya. Benarkah saya ini kekasih awak dan anak
ini adalah anak kita?”. Tanya Diah dalam
linangan air mata.
“Jujurlah pada saya. Kita tak mungkin
mampu mendirikan rumahtangga yang bahagia tanpa kejujuran!”. Pinta Diah lagi. Gerak hatinya kuat mengatakan bahawa Zuraimie bukanlah cintanya , dia juga
bukan bapa kepada anak dalam kandungannya.
“Diah , selagi nyawa dikandung badan.
Hanya awak kekasih saya . Sejak dulu ... saya tidak akan pernah berubah. Ya! .
Anak itu anak kita!!!” . Jawab Zuraimie. Menitis air mata lelakinya kerana
terpaksa berbohong demi menagih cinta Diah.
“Kalaulah semua ini benar!”. Keluh Zuraimie di dalam hatinya.
Ziah yang mendengar pengakuan palsu
itu terasa hiba dan sedih. Hancur rasa
hatinya melihat Zuraimie bermati-matian mempertahankan pembohongannya itu.
“Sampai bila?. Sampai bila?. Sampai
bila Mie?”. Tanyanya di dalam hati.
Ke Hutan Lipur Lintang
Kenari dipandu terus ke
destinasi yang belum pasti , menuju ke arah utara. Akhirnya membelok ke kawasan rehat hutan lipur
lintang.
“Huhhh!!!. Marilah kita rehat
sebentar. Di sini suasananya tenang ... kita rehat dan makan dulu ...”. Zuraimie mendahului yang lain. Bergerak ke
gerai makanan yang ada di situ. Ziah dan Diah tidak membantah. Memang mereka
kini benar-benar perlukan ketenangan.
“Marilah , kita makan dulu. Lagipun awak tak boleh
berlapar. Kasihan yang di dalam tu”. Zuraimie berkata sambil menudingkan
jarinya ke arah perut Diah. Diah tersenyum pahit ... Zuraimie mengambil tempat
diikuti oleh Diah dan Ziah.
“Makan apa dik?”. Tanya perempuan separuh umur. Mungkin pemilik
atau pekerja gerai itu.
“Hmm ... apa ada kak?”. Tanya Zuraimie.
“Semua ada. Semua jenis nasi goreng dan semua jenis mee”. Kakak itu menjawab sambil tersenyum. Bangga
dengan kemampuan gerainya menghidangkan pelbagai jenis makanan.
“Hmm ... bagi saya nasi goreng
kampung dan fresh oren. Errr ... Diah , Ziah?”
. Tanya Zuraimie.
“Sama !” Jawab kedua gadis ini
serentak. Malas untuk memikirkan yang lain.
“Hmm ... kak , bagi tiga nasi goreng
kampung dan tiga fresh oren”. Zuraimie membuat pesanan.
Sebaik sahaja makanan
yang dipesan sampai , ketiga-tiga mereka terus makan tanpa bercerita langsung.
Masing-masing melayan perasaan sendiri. Pengalaman yang mereka lalui hari ini
cukup dahsyat. Tidak seorang daripada merekapun pernah menyangka yang perkara
seperti ini akan mereka hadapi dalam hidup ini.
“Biarlah mereka menyelesaikan
masalah mereka tanpa gangguan”
Setelah menghabiskan
makanannya , Zuraimie bangun lalu ...
“Mari ...”. Zuraimie menarik tangan Diah. Diah
menurut saja. Mereka berjalan beriringan ke tebing sungai.
Sungai di Hutan Lipur Lintang ini adalah lanjutan daripada air terjun yang
mengalir di sebelah atasnya. Pemandangan memang cantik dan asli dengan aliran
air yang mengalir deras .
Ziah hanya memerhatikan mereka dari jauh.
“Biarlah mereka menyelesaikan masalah mereka tanpa gangguan”. Fikirnya.
“Ada masalah besar mereka itu?”.
Kakak gerai itu tiba-tiba bertanya. Sibuk hendak mengambil tahu.
“Errr ... ketara sangat ke?”. Balas Ziah , pertanyaan
kakak itu tidak dijawab.
“Macam-macam jenis orang yang
berhenti makan di gerai akak ini. Macam-macam kisah. Sekali pandangpun akak dah
dapat mengagak. Mesti ada masalah besar. Suami isteri ke tu?”. Kakak gerai
bertanya sambil membangga diri. Ziah hanya membalas kata-katanya itu dengan
senyuman lalu memalingkan wajahnya ke arah lain .
“Sibuk je nak jaga tepi kain orang!”.
Rungutnya di dalam hati. Kakak gerai itu faham bahasa badan Ziah itu. Lalu
berlalu membuat kerjanya sendiri.
... kita tak perlu berkahwin
sekarang.
“Diah , kita kahwin segera”. Zuraimie
berkata sambil memegang tangan Diah. Matanya memandang tepat ke dalam mata
Diah. Diah tunduk lalu menggelengkan kepalanya.
“Mie , tak perlulah kita
tergesa-gesa. Saya akan tetap berkahwin dengan awak tapi setelah anak ini
dilahirkan”. Jawab Diah , tiba-tiba memberi kata putus. Rupa-rupanya semasa
makan tadi , kepala Diah ligat berfikir. Patutlah dia tidak bercakap walau
sepatahpun tadi.
“Apa?. Mengapa?. Kasihan anak ini”.
Zuraimie meletakkan tangannya di atas perut Diah. Tidak setuju dan tidak faham
dengan keputusan Diah.
“Sama saja kerana sekarangpun dah nak
masuk lima bulan”. Jawab Diah.
“Ya. Sebab itu kita harus segera
kahwin!”. Jawab Zuraimie.
“Tidak!. Sebab itulah kita tak
perlu berkahwin sekarang. Kalau kita berkahwin sekarangpun , kita tak
mungkin dapat menghindari fitnah dan kata nista orang keliling. Saya rasa ,
kita tunggu sajalah bayi ini lahir. Sekurang-kurangnya kita tidak perlu
tergesa-gesa. Kita akan sempat membuat persiapan yang lebih sempurna sebelum
menjadi suami isteri. Nasib anak ini akan lebih terjamin”. Diah menerangkan
maksud pandangannya itu.
“Diah ...” . Zuraimie cuba membantah.
“Mie , tolong jangan paksa saya”.
Pinta Diah. Zuraimie diam. Dia benar-benar tidak faham dengan permintaan Diah.
Hatinya gusar namun dia tidak punya pilihan lain.
“Tiada apakah yang mampu saya lakukan
untuk menukar fikiran awak?”. Tanya
Zuraimie dan Diah menggelengkan kepala.
“Huhh!!. Baiklah. Saya tiada pilihan
lain melainkan menurut sahaja”. Kata Zuraimie lemah.
... mahu memastikan agar Diah dapat mengharungi tempoh sukar ini ...
“Hmm .. keputusan telah dibuat . Seterusnya kita
perlu fikirkan tempat yang sesuai dan
siapa pula yang akan menjaga awak sepanjang tempoh mengandung ini sehingga awak
selamat melahirkan” . Zuraimie berkata
lemah. Dia benar-benar mahu memastikan agar Diah dapat mengharungi tempoh sukar
ini dengan selamat.
“Tak apa Mie. Saya dah fikirkan
perkara itu tapi saya perlukan pertolongan awak dan Ziah ”. Pinta Diah.
Zuraimie mendengar . Diah tiba-tiba bangun , menarik tangan Zuraimie dan
berjalan bersama untuk menyertai Ziah yang masih setia menunggu di gerai makan.
“Tolong hantarkan saya ke rumah mak
Raziq ... di Cherating , Pahang. Itu saja tempat yang masih boleh saya ingat.
Biarlah saya tinggal di sana sehingga bersalin. Saya yakin mak Raziq takkan
keberatan menerima saya dan anak ini”. Jelas Diah.
“Apa ?. Mak Raziq?!!” . Ziah dan
Zuraimie berkata serentak. Mereka benar-benar terkejut mendengar permintaan
Diah.
“Kenapa mesti mak Raziq?!”. Tanya
Ziah dan Zuraimie serentak.
“Entahlah ... aku cuma tahu itu
sahaja tempat yang boleh kutuju”. Jawab Diah. Dia sendiri tidak faham mengapa
hatinya berat mahu ke sana.
“Kalau mak Raziq tak terima?” .Tanya
Ziah . Khuatir.
“Masakan mahu , ‘beban tiada biawak digalas!’ ”.Fikir Ziah.
“Tak mungkin , gerak hati aku mengatakan yang mak Raziq itu pasti tidak
keberatan untuk menerima aku dan anak ini”. Jawab Diah sambil memegang
perutnya.
“Bagaimana kau boleh begitu pasti?”. Tanya
Ziah , mulai cuak. Mungkinkah Diah telah
mengingati segalanya. Lagi pula jika Diah bertemu dengan mak Raziq , pasti
segalanya akan terbongkar. Diah tidak mungkin mempercayainya lagi!
“Tapi mengapa mesti mak Raziq?”. Tanya Zuraimie pula , juga cuak dan curiga.
“Entahlah. Sejujurnya saya cuma rasa yang mak
Raziq pasti akan menerima saya dan anak ini!” . Diah mengulangi jawapannya.
“Diah , permainan apakah yang sedang
kau mainkan ini?”. Kata hati Zuraimie.
“Bukankah kita semua berkawan rapat.
Saya dapat ingat yang saya pernah ke sana satu
ketika dahulu. Entahlah dengan siapa , mungkin dengan awak Mie dan awak juga Ziah?” . Diah meminta kepastian
daripada Zuraimie dan Ziah. Zuraimie tergamam seketika ...
“Err ... rumah mak Raziq itu jauh di Pahang.
Kalau kita ke sanapun , belum tentu mak Raziq itu mahu menerima awak. Kalaupun
dia mahu terima awak , kelak jika terjadi apa-apa pada awak macammana saya nak tolong?” . Zuraimie
tidak bersetuju , tidak mahu mengambil risiko. Lagi pula dia sebenarnya takut
dengan bayangannya sendiri.
“Macam nilah. Saya ada cadangan lain.
Untuk sementara ni , awak tinggal sajalah di hotel. Hotel Equatorial , Bandar
Baru Bangi. Dekat saja dari rumah saya. Bayaran tu biar saya yang urus.
Sementara itu saya akan cuba carikan rumah untuk tumpangkan awak , mungkin di
rumah kawan-kawan perempuan saya di sekitar sini”. Cadang Zuraimie.
“Saya tahu awak risaukan saya ...
tapi , saya mahu mengharungi kesukaran
ini bersama orang yang rapat dengan
Raziq , ibunya. Bukankah kami sama-sama terlibat dalam kemalangan tersebut. Lagipun
... tiada siapa yang kenal saya di sana. Nanti bila saya dah selamat bersalin ,
saya pasti akan menghubungi dan berkahwin dengan awak”. Janji Diah.
“Tapi kenapa mesti dengan orang yang
rapat dengan Raziq. Kenapa mesti ibu
Raziq?!”. Tanya Zuraimie lagi. Risau jika tembelangnya akan pecah.
“Entahlah ... saya seperti terasa
yang ibu itu sayangkan saya. Saya juga terasa seperti pernah rapat dengannya sebelum
ini. Errr ... mungkin juga kerana Raziq
itu dulu adalah kawan baik kita?”. Diah
berkata sambil memandang Zuraimie.
Zuraimie melarikan pandangan matanya.
“Dalamnya cinta kalian berdua. Sampai
matipun kau masih memegang cintanya Ziq!”. Fikir Zuraimie. Rasa bersalah
dihatinya kerana telah membohongi Diah.
“Mie?” Diah meminta persetujuan.
“Awak seperti menidakkan cinta saya.
Apa ... awak masih tidak yakin kepada saya?. Tidak sudi menerima pertolongan
daripada saya?”. Tanya Zuraimie , kesal
dengan keputusan dan kedegilan Diah.
“Maafkan saya jika awak fikir
begitu!”. Diah masih bertegas.
“Err ... Kita berempat memang
berkawan baik . Saya rasa tiada salahnya kita turutkan saja permintaan Diah itu
Mie”. Ziah mencelah setelah melihat keadaan
semakin tegang. Ziah maklum dengan perangai Diah. Sekali dia membuat keputusan
, pasti takkan berubah. Perangainya itu memang tidak pernah berubah!
“Err ... tapi saya dah lupa jalan ke
sana”. Zuraimie berdalih.
“ Tak mengapa . saya masih ingat
...”. Jawab Diah. Ziah terperanjat mendengarnya manakala
Zuraimie pula mengeluh berat.
“Huhhh!”. Mahu tidak mahu dia terpaksa akur dengan permintaan Diah walaupun
hatinya sungguh berat untuk menghantar
Diah jauh dari pandangan matanya , lebih-lebih lagi untuk menghantar Diah
kepada ibu Raziq.
“Betul juga apa yang dikatakan Diah
tu Mie. Relakanlah dia tinggal di rumah mak Raziq. Tiada siapa yang kenal dia
di sana. Diah akan selesa menghabiskan tempoh mengandungnya hingga bersalin
nanti. Diah boleh sahaja mengaku yang dia adalah sepupu Raziq. Tentu tiada
siapapun yang curiga atau berperasangka”. Ziah bersuara setelah lama mendiamkan
diri. Ziah tahu , Zuraimie risaukan Diah dan tidak sanggup berpisah dengan
Diah. Apa lagi dalam keadaan Diah sekarang. Ziah juga tahu yang Zuraimie takut
jika rahsianya terbongkar!.
Nampaknya Kenari terpaksa berjalan jauh ... ke Cherating , Pahang!
“Macam mana dengan kelas awak esok?”.
Tanya Zuraimie , memecah kesunyian. Dia tahu Ziah sudah terlepas basnya
tengahari itu. Dia turut terasa bersalah membabitkan Ziah dalam masalahnya dan
Diah.
“Nanti kita singgah kat stesen bas
dekat-dekat Cherating. Saya ambil bas
malam pun tak apa. Sampai pagi , terus ke sekolah”. Jelas Ziah.
“Terima kasih Ziah” . Diah
menggenggam tangan sahabatnya itu. Ziah hanya tersenyum. “Hmm ... nampaknya
Kenari terpaksa berjalan jauh ... ke Cherating , Pahang”. Kata Ziah , cuba
menceriakan keadaan.
Perjalanan yang memenatkan
Perjalanan ke Cherating
sangat memenatkan. Suasana tengahari yang terik mengurangkan kesan hawa dingin
dalam Kenari. Semuanya terasa rimas dan meresahkan.
“Kita berhenti rehat kejap ... depan
ni ada masjid , bolehlah kita solat
Zohor dan lepas tu kita basahkan tekak di gerai seberang jalan tu.
Panas betul hari ini”. Zuraimie
menunjukkan deretan warung yang terdapat di seberang jalan masjid.
“Kat mana kita ni ye?”. Tanya Ziah
sambil memerhati sekeliling.
“Baru sampai Mentakap , lambat lagi
nak sampai. Agak-agaknya dalam empat jam lagi?”. Diah menjawab pertanyaan Ziah sambil
memandang Zuraimie untuk mendapatkan
kepastian.
“Ye lah ... dalam empat jam lagi.
Jomlah kita berhenti sembahyang dulu. Jangan lupa buat jama’ dan qasar Zohor dan Asar sekali. Nanti tak perlulah
kita berhenti lagi untuk solat asar”. Zuraimie mengingatkan. Ziah dan Diah menganggukkan kepala. Timbul
rasa kagum di hati Diah terhadap sikap Zuraimie yang amat mementingkan solat.
“Kalau dia ini seorang yang sangat
memelihara solatnya , bagaimana mungkin kami boleh terlanjur?”. Fikir Diah.
Setelah segalanya selesai
, mereka meneruskan perjalanan. Tiada banyak yang dibualkan. Masing-masing
melayan perasaan ... Ziah dan Diah
akhirnya terlena. Zuraimie mengambil kesempatan itu , mencuri-curi
pandang wajah Diah yang bersih. Sungguhpun wajah itu tidak seceria dulu namun
kecantikan aslinya tetap terpancar di sebalik kecengkungan dan pucatnya wajah
itu.
“Apalah kesudahannya hubungan kita
ini sayang?. Sampai bila baru kau akan nampak ketulusan hatiku mencintaimu
tanpa syarat”.Keluh Zuraimie sendiri. Sedih mengenangkan dirinya yang tak ubah
bagaikan pungguk merindukan bulan ,
bulan tak pernah kesah dan tak mungkin turun ke bumi sedangkan pungguk masih
tetap merayu ...
Kejamnya kamu ...
Kejamnya kamu mengguris hatiku
Enggan menyubur cinta nan bersemi
Jauh kau buang kasihku padamu
Apakan daya ku bagaikan sendiri
Mengejar mimpi mencari bayangmu
Namun tak upaya siksanya tak terperi
Ya! Apakan daya hatimu milikmu
Aku tertusuk
igauan ngeri
Kapan
berakhir rindu ini padamu?
Aku
sendiri semakin tidak mengerti
Mengapa takdirnya kita dipertemu ?
Untuk
merasai kesengsaraan ini?
Kejamnya kamu Diah!
|
No comments:
Post a Comment