Popular Posts

Thursday, 6 March 2014

"Keranamu DIAH" Bab 12

BAB 12 :       KISAH ZIAH ... BERTEMU KEMBALI
Setelah kecewa dalam percintaannya , Ziah membawa diri jauh dari semua yang pernah mengenalinya , meninggalkan dan membuang segala kenangan yang mengguris hati. Ziah kini sudah sebulan lamanya berbakti kepada anak bangsa di kawasan pedalaman yang jauh dari arus kemodenan. SMK Pagan Sena , Pekan Pahang , itulah nama sekolah tempat Ziah berkhidmat.
Oleh kerana kemunduran yang ada , Ziah gagal mendapatkan sebuah rumah sewa. Rata-rata masyarakat di sini berpendapatan rendah , menyara keluarga dengan berkebun atau bekerja di pejabat-pejabat kecil di Bandar Pekan. Mereka hanya mampu membina sebuah rumah yang sangat sederhana  sekadar  cukup untuk menampung seisi keluarga.  Perkataan ‘rumah sewa’ amat janggal di sini , kalau adapun adalah kuartes kerajaan yang dibina untuk kaki tangan kerajaan sahaja.
SMK Pagan Sena menyediakan asrama bagi pelajar yang tinggal jauh dari sekolah maka sebuah bilik asrama telah dijadikan tempat kediaman warden yang ditugaskan menjaga segala hal kebajikan penghuni asrama. Di situlah  Ziah menumpang tinggal , bersama empat lagi rakan sepejuangan. Bilik yang sepatutnya dihuni oleh dua orang warden sudah menjadi begitu sempit. Namun bak kata pepatah , ‘tiada rotan , akarpun berguna juga’.
Setiap petang pula , Ziah akan bergilir-gilir dengan rakan yang lain  pergi ke pam air untuk mengepam air sungai naik ke tangki asrama. Itu sahajalah sumber air bersih yang ada buat menampung keperluan seisi penghuni sekolah ini. Tenaga wanitanya tidak akan mampu menghidupkan mesin pam yang besar itu maka biasanya seorang atau dua orang pelajar lelaki tingkatan lima akan dibawa sama. Merekalah yang akan menghidupkan mesin pam dengan diperhatikan oleh guru yang bertugas. Itulah antara cabaran dan perkara baru yang harus dipelajari oleh Ziah. ‘Alah bisa tegal biasa’ , lama kelamaan semua itu sudah menjadi rutin yang langsung tidak membebankan.
Suatu petang sedang Ziah leka menanda buku , telefon bimbit di  atas meja soleknya berbunyi , “Hallo , siapa ni?”. Tanya gadis hitam manis berwajah ayu ini.
“Ah ... hello Ziah. Ini aku , Ba’ie!”. Jawab si pemanggil.
“Ooo Ba’ie ... apa mimpi kau telefon aku ni?”. Tanya Ziah. Kalau diikutkan hatinya  mahu saja panggilan itu dimatikan. Mendengar nama sipemanggil itu sahaja, sudah cukup untuk menyemarakkan api kebencian di hatinya.
“Saja ... kau apa kabar?”. Balas Ba’ie. Pura-pura berlagak biasa.
“Baik”. Jawab Ziah ringkas.  Jengkel benar perasaannya untuk menjawab pertanyaan itu. Terbayang jelas di ruangan matanya perbuatan  Ba’ie  menampar  pipinya sekuat hati. Rasa sakitnya bagai masih terasa. Semuanya masih berbekas di hati. Lebih teruk lagi , malunya  cukup tebal sehinggakan tidak mampu dikikis oleh masa. Masakan tidak , dia ditampar di hadapan lelaki yang dicintainya!
“Malu! Malu!! Malu!!! Arrggghhhhh!!!”.  Bentak hatinya.
“Aku sebenarnya nak tanya , kau pergi tak konvo kita bulan depan ni?”. Tanya Ba’ie , masih cuba berlagak biasa.
“Entahlah Ba’ie. Aku tak fikir pun lagi. Jauh sangatlah. Lagipun diploma je ...”. Balas Ziah acuh tak acuh.
“Eh apa pulak ! Diploma pendidikan okey?. Diploma yang diambil setelah kita memiliki ijazah. Kira hebatlah tu. Lagipun ,  itu adalah  tanda kejayaan kita. Patut sangatlah kita pergi. Lagipun aku teringin sangat nak jumpa kau. Rindulah suasana dulu”.Pujuk Ba’ie.
“Rindu? Ye ke?. Aku ingat kau bahagia bila aku tiada”. Balas  Ziah dalam nada menyindir.
“Hmmm ...  kau masih marahkan aku ye?”. Tanya Ba’ie , dia akhirnya terpaksa berkata begitu.
Ziah diam , “Tahu tak pa”.Jawabnya di dalam hati
“Ziah , maafkan aku pasal peristiwa itu. Aku sebenarnya dah tak nak ingat lagi kisah dulu. Rasa macam bodoh sangat diri aku ni. Aku betul-betul menyesal dan malu dengan tindakan aku menampar kau. Maafkan aku ye? Please ...”. Pinta Ba’ie ikhlas. Baginya kisah lalu itu bagaikan satu titik hitam yang telah mencemarkan  warna persahabatan mereka berdua. Berebut lelaki yang sama padahal masing-masing hanya bertepuk sebelah tangan!
“Hmm ...”. Jawab Ziah , cuba menilai keikhlasan Ba’ie.
“Ziah , maafkanlah aku. Aku benar-benar ikhlas mahu menyambung semula persahabatan kita. Janganlah kita biarkan persahabatan kita diputuskan oleh seorang lelaki. Biarlah kisah lalu itu menjadi pengajaran buat kita. Marilah kita anggap semua itu sebagai sejarah kebodohan yang pernah kita lalui. Oppsss ... bukan kita tapi kebodohan aku. Maafkan aku Ziah. Aku betul-betul ikhlas mahu bersahabat dengan kau semula”. Pinta Ba’ie. Kedengarannya cukup ikhlas.
Ziah diam mendengar kata-kata Ba’ie itu , teringat olehnya pesanan yang selalu disampaikan oleh ibunya , ‘Jangan berdendam kerana dendam itu akan memakan diri’. Akhirnya Ziah bersuara , “Hmm ... baiklah. Aku maafkan kau. Lagipun buat apa kita nak terus bermasam muka sebab tiada siapa pun yang menang. Kes syok sendiri. Buat malu je!”. Balas Ziah lalu tertawa.
Ba’ie turut tertawa . Sama-sama mentertawakan kebodohan sendiri.
“Ye lah. Hidung tak mancung , pipi tersorong-sorong. Eeeee ... malunya!”. Ba’ie terus tertawa.
“Heee ... ketawa ketawa jugak tapi ...  kau tu jadi tak pergi konvo nanti?”. Tanya Ba’ie semula.
“Entahlah. Ikut hati malaslah nak pergi”. Jawab Ziah jujur.
“Alahh , kenapa? Kan kita layak pohon cuti. ” .Tanya Ba’ie.
“Jauhlah. Kau tak apalah, Kuala Langat tu taklah jauh sangat dari UKM. Tapi ... aku ni , Pagan Sena!.  Jauh tuu ...”. Jawab Ziah, menerangkan sebab dia keberatan untuk pergi.
Sebenarnya Ziah sengaja memberi alasan untuk tidak menghadiri majlis tersebut. Baginya terlalu pahit kenangan yang telah dilaluinya di sana dulu. Di sanalah sahabat baiknya Diah , ditimpa bencana. Di sana jugalah hatinya dihancurkan. Ziah malu dan tidak mahu lagi bertembung dengan Zuraimie , lelaki yang telah menolak cintanya mentah-mentah.
“Saya menolak cinta awak tiada kena mengenanya dengan Diah. Saya menolak cinta awak kerana saya memang tidak pernah mencintai awak. Tidak pernah!”. Kata-kata Zuraimie yang tajam seperti sembilu itu masih terpahat kuat dalam ingatannya. Ziah menghembuskan nafasnya perlahan-lahan ...
 “Oiii ... Ziah kau ni tidur ke?”. Sergahan  Ba’ie menyedarkan Ziah dari lamunannya.
“Alamak , sorry lah Ba’ie.  Err ... apa kau cakapkan tadi?”. Tanya Ziah
“Aku kata kalau kau nak pergi konvo tu nanti , aku boleh tolong ambilkan jubah untuk kau. Tapi kau kenalah bagi aku no I/C dan no. pendaftaran kau”. Balas Ba’ie.
“Eh tak payahlah Ba’ie, aku ‘confirm’ takkan pergi”. Jawab Ziah. Mana mungkin dia sanggup memandang wajah Zuraimie sekali lagi.
“Ziah , kau tak teringin ke nak melawat Diah?”. Ba’ie memancing. Soalan Ba’ie itu membuatkan Ziah berfikir semula.
“Hmmm ... dia dah ada Zuraimie untuk menjaganya. Lagipun dia masih lagi koma”. Jawapan Ziah berbaur rasa cemburu.
“Hmmm ... merajuk je bunyinya”. Usik Ba’ie.
“Eh , mana ada!”. Ziah berbohong , cuba menyembunyikan perasaannya.
“Hmm ...  betullah tu. Tapi kita ni kan kawan baik Diah. Diah lebih sayangkan kita daripada Zuraimie tu. Diah mana pernah ada perasaan pada Zuraimie. Kau sendiri pun tahukan?. Manalah tahu kehadiran kita nanti akan mempercepatkan proses penyembuhannya pula. Bolehlah Ziah , jomlah kita pergi. Pergi ye?”. Rayu Ba’ie. Ba’ie sedar Diah adalah kelemahan Ziah dan itulah yang sedang dimanipulasikannya!
“Yelah Ba’ie  ...  sampai sekarang Diah masih lagi belum sedar. Bagaimanalah keadaannya sekarang. Bagaimana pula keadaan bayi dalam kandungannya ”. Ziah melahirkan kebimbangan dan kerinduannya. Hilang rasa cemburu. Lagipun bukan Diah yang menyebabkan Zuraimie menolak cintanya. Cuma ... dia memang tidak pernah mendapat tempat di hati Zuraimie.
“Sebab itulah aku rasa kau kena turun juga ke sini. Habis majlis , kita pergilah lawat Diah. Akupun selalu teringatkan dia. Dengar khabar mak ayah dia  dah buang dia. Kesian ...” . Balas Ba’ie.
“Huh!!”. Keluh Ziah , terbayangkan wajah aunty Lina dan uncle Amir. Sungguh tidak disangkanya kedua insan yang sangat dihormatinya selama ini sanggup membuang anak sendiri. Semuanya demi mempertahankan ego dan maruah diri.
“Hmm ... kasihan Diah”. Fikirnya.
“Okeylah , biar aku fikir dahulu. Nanti aku telefon kau balik”. Jawab Ziah.
“Okey , bye ... aku tunggu berita baik dari kau”. Kata Ba’ie.
“Bye!”. Ziah menamatkan perbualan.
Petang itu fikiran dan perasaan Ziah sangat bercelaru. Lantas Ziah mengambil keputusan untuk berjalan-jalan sendirian di pinggir Sungai Pagan. Menyusuri sungai yang menjadi sumber bekalan air dan rezeki masyarakat di sini. Dari kejauhan jelas kelihatan sangkar-sangkar  ikan buatan manusia yang diperbuat  daripada tayar-tayar terpakai . Ikan patin ternak menjadi pilihan penduduk kampung di sini. Selain rasanya yang sedap , nilai pasarannya juga tinggi.
“Pergi! Tak pergi! Pergi! Tak pergi! Pergi! Pergi!! Ya pergi!!!”. Akhirnya Ziah membuat keputusan untuk pergi menghadiri majlis konvokesyennya. ‘Sambil menyelam , minum air’ , “Bolehlah kita berjumpa semula Diah. Diah , tunggu aku!. Tunggu aku tau!!”. Tiba-tiba Ziah rasa tidak sabar untuk bertemu sahabat baiknya itu semula.


... instinct aku kata kau dah nak sampai ...
Tiba masa yang dijanjikan , Ziah menaiki bas meninggalkan Pagan Sena. ‘Jauh perjalanan luas pandangan’ , Ziah menjamu mata dengan  pemandangan-pemandangan indah , paya dan hutan semula jadi di sepanjang perjalanan yang mengambil masa lebih lima jam. Akhirnya Ziah tiba ke destinasinya , Bandar Baru Bangi. Ziah sangat bersyukur kerana sebaik saja dia turun dari bas , Ba’ie telahpun sedia menunggu.
“Ziah!!”. Teriak Ba’ie dari seberang jalan. Ba’ie berlari anak , melintas jalan untuk mendapatkan temannya itu.  Mereka  berpelukan gembira.
“Kata tunggu aku tepon dulu ?”. Tanya Ziah.
“Betullah tu ... tapi instinct aku kata kau dah nak sampai so aku terus datang. Tak sabarlah nak jumpa kau!. Eh , macam mana perjalanan , penat?”. Tanya Ba’ie.
“Mau tak , kalau dikira dekat lapan jam travel tau!”. Jawab Ziah.
“Lapan jam? Lamanya?!”. Ba’ie kehairanan. “Dah macam nak balik ke Kelantan pulak”. Kata Ba’ie lagi.
“Yelah , lapan jam  kalau dikira dari masa aku  mula turun dari rumah , tunggu bas hingga sampailah sekarang!”. Ziah merenyih. “Habis kau ingat Pagan Sena tu dekat?”. Kata Ziah lagi.
“Dok eh ... sekurang-kurangnya lebih dekat dari Pasir Mas!”. Renyih Ba’ie.
“ Eh , kita nak ke mana?”. Tanya pula Ziah , dia langsung tidak memikirkan tentang tempat penginapan. Semuanya diserahkan kepada Ba’ie.
“Jom , kita tumpang rumah junior kita dulu. Dekat-dekat sini jugak. Aku dah tanyakan untuk kau sekali. Dia orang tak de hal ... nanti bila nak balik , kita belanjalah  dia orang makan satay Samuri , aku rasa dah kira okeylah tu”. Jawab Ba’ie.
“Okey, no problem!” . Ziah  bersetuju. ‘Zaman Student ’ , dapat makan satay Samuri itu sudah kira cukup baik.
Kini mereka sama-sama sedang melalui kembali jalan yang pernah menjadi laluan harian mereka suatu  masa dahulu.  Perasaan mereka bercampur baur , sukar untuk diterangkan. 
Pelbagai nostalgia silam bermain di fikiran masing-masing. Jatuh bangun , gurau senda ... segalanya. Tiba-tiba air mata Ziah mengalir sendiri.
“Diah?”.  Ba’ie meneka tatkala terpandangkan wajah duka Ziah. Ziah menganggukkan kepalanya.
“Esok kita pergi lawat dia. Dengar kata Diah dah mula beri respon . Aku harap sangat Diah akan segera pulih. Rindulah nak dengar hilai tawa dia”. Kata Ba’ie. Ziah hanya mengangguk-nganggukkan kepala.




Daerah ini tempat kita bertemu
Adanya cita yang menyatu
Engkau , dia dan aku
Rasakan susah payah mencari ilmu
Akan kita capai hingga ke mercu
Harapan berbekalkan doa ayah ibu

Indahnya waktu itu
Namun kini semuanya sudah berlalu
Impian dulu kini kembali memburu

Daerah ini ...


Perasaan yang bercampur baur.
Keesokan harinya , kedua sahabat ini pagi-pagi lagi sudah bangun dan bersiap-siap. Hari ini mereka akan pergi menyewa jubah graduasi di dewan Canselor . Di situlah jubah-jubah graduasi disimpan dan akan disewa oleh para siswa dan siswi untuk majlis graduasi mereka. Siswa siswi dapat memilih sendiri dan mencuba jubah masing-masing. Setiap fakulti akan mempunyai warna tema yang berbeza-beza. Kali ini Ziah dan Ba’ie akan memakai jubah bewarna jingga  iaitu jubah yang disediakan bagi pelajar program diploma pendidikan. Ini merupakan kali kedua mereka merasai hari graduasi. Kali pertama ialah ketika sama-sama tamat pengajian sarjanamuda sains dahulu. Pada ketika itu mereka memakai jubah bewarna ‘biru purple’.
“Ziah, okey tak ?”. Tanya Ba’ie sambil menggayakan jubah yang telah dipilihnya.
“Mmm ... panjang sangatlah. Aku rasa kalau kau ambil yang pendek sikit lagi okey”.  Ziah memberi komen.
“Hmmm ...  lagipun kau tu kan pendek!”. Usik Ziah. Ba’ie mencebik lalu  membuka kembali jubah yang telah dipakainya , menggantungkannya semula dan mula mencari yang lain.
“Banyaklah kau punyai pendek!!”. Balas Ba’ie , merungut.
“Hah , ini mesti sesuai” . Teriak Ba’ie . Tangannya mencapai jubah tersebut tetapi jubah yang sama juga direnggut dari arah  belakang rak.

Zuraimie!
“Woi siapa yang berebut dengan aku ni?”. Ba’ie berseloroh. Perasaan ingin tahunya memuncak. “Pasti kawan-kawan lama”. Fikir Ba’ie. Dengan segera tangannya menyelak jubah tersebut. Alangkah terkejutnya Ba’ie apabila melihat orang yang berdiri di sebalik jubah itu.
“Zuraimie!!?”.  Ba’ie bersuara separuh menjerit.
Ziah yang berada berhampiran segera berpaling ke arah Ba’ie. Hatinya bagaikan hendak runtuh apabila terdengar nama itu disebut. Perasaannya terganggu ... konflik!.  Benci benar mendengar nama itu tetapi rindu pula untuk menatap wajah tuannya!.
“Tak malu! Tak sedar diri! Tak faham-faham ke orang tak sudi?”. Ziah mengutuk dirinya sendiri di dalam hati.
“Eh , Ba’ie , Ziah ... tengah pilih jubah jugak? . Bagai berjanji pulak kita ya” . Tegur Zuraimie. Mesra. Seperti tiada apa yang pernah berlaku antara mereka.
“Berjanji? . Banyaklah kau punya janji!”. Getus Ziah di dalam hatinya.
“Ya , awak apa khabar?” .Tanya Ba’ie mesra.  Ziah pula hanya mendiamkan diri. Terasa malu pula bila matanya bertentangan dengan mata Zuraimie. Mana tidaknya , peristiwa Zuraimie menolak cintanya dulu masih segar dalam ingatan. Malah Ziah pernah berjanji kepada dirinya sendiri , tidak akan pernah bertemu dengan lelaki ini lagi!.
“Khabar baik.  Ziah , awak apa khabar sekarang?”. Tanya Zuraimie ikhlas. Memandang Ziah dengan senyuman manisnya. Ziah merasakan senyuman manis Zuraimie itu seperti mengejeknya.
“Baik. Terima kasih”.  Ziah sekadar berbahasa.
“Benci!! , buat-buat tanya pulak. Tak tahu ke  aku menderita perasaan gara-gara dia. Mujur saja tak bunuh diri. Kalau tidak ‘confirm’ tak masuk syurga!!”. Fikir Ziah. Meledak dendam benci dalam jiwanya.
Eh ... alang-alang kau orang berdua dah berada di sini , bolehlah lepas ni kita sama-sama pergi melawat Diah”. Ajak Zuraimie.
“Hmmm ... dari dulu sampai sekarang , Diah! Diah! Diah!. Tak ada orang lain ke?”. Fikir Ziah. Cemburu pula rasa hatinya ...
“Hmm ... bagus sangatlah tu. Kebetulan kami pun memang ada bercadang nak melawat Diah lepas selesai urusan menyewa jubah ni. Bagaimana keadaan dia sekarang?” . Tanya Ba’ie kepada Zuraimie. Ba’ie juga maklum bahawa sejak Diah koma , Zuraimielah yang menjaganya.
“Alhamdulillah , ada kemajuan ... semalam dia dah mula beri respon bila kita bercakap dengannya. Kadang-kadang tangannya bergerak sedikit. Pernah juga air matanya tiba-tiba  mengalir . Aku rasa Diah dah boleh dengar apa yang kita katakan padanya” . Bersungguh Zuraimie bercerita. Terpancar harapannya yang menggunung tinggi untuk melihat Diah pulih semula.
“Alhamdulillah”. Ucap Ziah. “Ya Allah , pulihkanlah segera Diah!”. Doanya di dalam hati. Timbul pula rasa insaf . “Diah itu sahabat baik aku , takkanlah hanya kerana lelaki ini aku harus rasa marah dan cemburu!”. Fikir Ziah lagi.
“Kalau gitu lepas ni bolehlah kita ke hospital sama-sama. Sayapun nak ke sana”. Pelawa Zuraimie sekali lagi.
“Baguslah tu”. Jawab Ba’ie tanda setuju. Ziah hanya mengangguk , berusaha untuk bersikap biasa.
“Eh nanti dulu. Bukan ke hari tu awak dah tangguhkan pengajian?. Macam mana boleh konvo sama dengan kami?”. Tanya Ba’ie , langsung tidak berselindung.
“Er ya. Saya sebenarnya  memang hampir menangguhkan pengajian. Tapi tak jadi. Semuanya atas nasihat keluarga. Jadi saya cuma minta ditangguhkan ‘posting’ ke Jerantut , Pahang. Sementara itu saya terus memohon untuk di pindahkan ke sekitar kawasan sini”. Jawab Zuraimie.
“Ooo begitu. Baguslah , nasib baik awak tak jadi menangguhkan pelajaran. Kalau tidak rugi aje kan?”. Balas Ba’ie.
“Hmm betul”. Jawab Zuraimie sepatah.

Maka setelah selesai sahaja urusan peminjaman jubah , ketiga-tiga sahabat ini sama-sama berjalan beriringan menuju ke arah  tempat letak kereta di perkarangan Dewan itu.

Ke hospital
“Mungkin lebih selesa jika awak berdua duduk di belakang. Bolehlah awak berdua berbual dengan lebih mesra. Maklumlah dah  lama tak jumpa”. Cadang Zuraimie sambil tersenyum memandang kedua gadis itu. Entah mengapa dia sebenarnya berasa kurang selesa jika salah seorang daripada mereka duduk di hadapan bersebelahan dengannya. Dia cukup sedar kedua gadis ini pernah menaruh perasaan terhadapnya. Dia sendiri sebenarnya masih terasa janggal bertemu dan berbual dengan mereka. Namun Zuraimie juga sedar , itu semua kisah lalu. Tidak perlu dikenang lagi.

Ziah dan Ba’ie akur.  Walaupun berhelah , mereka dapat menangkap ketidakselesaan yang terbit di hati lelaki ini. Ini menyebabkan mereka lebih berasa tidak selesa. Timbul pula sesalan di dalam hati keduanya kerana telah bersetuju untuk menumpang  Zuraimie ke hospital.
“Cehh! Naik bas lagi bagus!. Apalah bodoh sangat pergi terima pelawaannya tadi”. Fikir kedua gadis ini serentak. Spontan mereka berpandangan. Pandangan yang penuh makna!. Natijahnya di sepanjang perjalanan itu , mereka tidak banyak bercakap. Sekadar berbasa – basi sahaja. Semuanya kelihatan canggung!.Mujurlah tempat yang dituju itu tidaklah jauh.
Lebih kurang setengah jam kemudian ...
“Okey , kita dah sampai”. Kata Zuraimie -  lega!. Lega kerana bebas dari rasa ‘canggung’ yang terlampau semasa di dalam kereta tadi. Dia merasakan kedua gadis yang diam sahaja di kerusi belakang asyik curi-curi memerhati dan memandang dirinya. Hingga segala yang dibuatnya serba tidak kena.
“Ah! Mungkin aku saja yang terlebih perasan”. Fikirnya lalu segera  membuka pintu dan melangkah keluar , berpura-pura menghirup udara segar pagi itu.  Sesekali riak wajah Ziah dan Ba’ie dikerlingnya dan setiap kali dia mengerling , kedua gadis itu langsung tidak memandang ke arahnya.
“Ya. Benar mereka telah melupakan kisah lalu. Aku saja yang masih dikejar bayang”. Fikirnya lalu berpaling memandang kedua gadis itu dengan senyuman.
“Hmm ... hari yang baik , moga membawa tuah buat kita semua”. Katanya memecah kesunyian.
“Hmm ya. Moga membawa tuah  kepada Diah juga. Semoga kedatangan kita ini akan menjadi semangat kepadanya untuk segera pulih seperti dulu”. Kata Ba’ie , memandang lalu memegang tangan Ziah.
Ziah membalas genggaman itu , “Insya Allah”. Jawab Ziah  sepatah sebelum membuka langkah menuju ke pintu utama hospital.
Akhirnya mereka bertiga berjalan beriringan memasuki pintu utama hospital .  Semua rasa canggung diketepikan. Mereka sedar bahawa ada perkara yang lebih penting yang harus mereka hadapi , kesihatan Diah. Mereka sama-sama berharap agar Diah akan segera sembuh dan sihat seperti sedia kala. Apapun yang pernah terjadi antara mereka dulu semuanya sudah tidak penting lagi.
“Itu semua kisah lalu. Semua orang mempunyai sejarah mereka sendiri cuma telah ditakdirkan kita pernah melaluinya bersama. Yang baik kita kenang dan simpan , yang buruk harus kita buang jauh-jauh supaya kita lebih ikhlas untuk menempuh sejarah baru!”. Begitulah kata-kata Zuraimie kepada kedua gadis ini sebelum mendahului mereka menuju ke bilik rawatan Diah.
“Heiii ... aku dah buang jauh semua itu. Janganlah kau risau!”. Balas  Ba’ie , faham dengan maksud Zuraimie.  Ziah hanya mengangguk.
“Kita semua adalah sahabat baikkan?.  Dari dulu sampai sekarang. So semua benda-benda itu dah tak seharusnya menjadi isu”. Balas Ziah pula , geram mendengar kata-kata Zuraimie. “Perasan!”. Getus hatinya.
“Yup! Best friend forever”. Ucap Ba’ie. Ziah dan Zuraimie hanya tersenyum.
“Hmmm ... apa yang keluar di mulut tak sama dengan apa yang ada di hati!”. Fikir Ziah. Zuraimie tersenyum lega.
“Alhamdulillah! ...  friends forever?”. Katanya diikuti anggukan kedua gadis ini. 
“Yup! Friends forever!!”. Jawab mereka serentak.

Ziah bergenang menahan tangis ...
Sampai di tempat yang dimaksudkan ... “Marilah masuk”.  Ajak Zuraimie lalu terus mendahului mereka , bergerak ke tepi katil Diah. Menggenggam tangannya lalu berbisik lembut. “Diah , cuba lihat siapa yang datang. Itu ...  kawan baik awak , Ziah dan Ba’ie”. Bisiknya perlahan ke telinga Diah. Ba’ie dan Ziah hanya memerhatikan gerak laku Zuraimie itu.
“Sepertinya Diah itu sudah menjadi miliknya saja!”.  Gerutu hati Ziah. Tanpa Ziah sangka , Ba’ie juga memikirkan perkara yang sama!.
Namun semua ketidakpuasan hati itu hilang begitu sahaja apabila terpandangkan  Diah . Wajahnya yang cengkung pucat dengan badannya yang semakin susut dan kurus. Mata Ziah bergenang menahan tangis. Mana tidaknya , keadaan diri Diah sekarang amat jauh berbeza dari Diah yang dulu , tiada lagi wajah yang bulat mulus. Tiada lagi senyuman yang sentiasa ceria. Lebih mengharukan ialah keadaan  perut Diah yang sudah mulai kelihatan membuncit.
“Diahhh ...”. Separuh berbisik. Bagai orang yang hilang akal , Ziah berlari mendapatkan Diah lalu memeluknya.
“Diah ... ini aku , sahabat baik kau. Diah , bangunlah ... bangunlah ... demi persahabatan kita ... demi anak dalam kandungan kau ... demi Raziq , lelaki yang kau cintai. Diah , bangunlah!”.  Bisik Ziah ke telinga Diah.
Bisikan Ziah itu bagaikan suntikan tenaga yang menggerakkan saraf sedar dalam diri Diah. Mesin EEG menunjukkan rithma aktiviti otak yang semakin aktif dan tidak menentu. Diah bereaksi dengan kata-kata Ziah!. Mungkin juga kerana kasih sayang yang tulus antara mereka berdua atau  kerana keikhlasan Ziah ... atau mungkin juga kerana  nama lelaki yang dicintainya telah disebut , Raziq!
“Pesakit  perlu ditenangkan .  Aktiviti otak yang drastik seperti ini boleh membahayakan nyawanya!. Minta  kerjasama semua untuk meninggalkan sebentar bilik ini”. Tegas doktor Anisah. Doktor Anisah yang tadinya sedang memeriksa pesakit lain terpaksa bergegas masuk ke bilik itu sebaik saja dipanggil oleh Zuraimie. Dia berasa cemas  melihatkan  perubahan  rithma aktiviti otak Diah yang laju dan  tidak menentu itu . Setelah menanti hampir dua puluh minit , akhirnya Doktor Anisah keluar dengan senyuman.
“Memang kita mengharapkan akan ada respon positif daripada pesakit setiap kali kita cuba merangsangnya. Cuma , oleh kerana pesakit ini telah koma lebih dua bulan lamanya, prosesnya tidak bolehlah berlaku secara  mendadak. Keadaan seperti itu boleh membahayakan nyawa pesakit”. Terang Doktor Anisah.
“Maaf semua , pesakit perlu berehat”. Tambahnya lagi.
Mereka bertiga faham maksud Doktor Anisah. Ziah dan Ba’ie mengucapkan selamat tinggal kepada Zuraimie lalu meninggalkan hospital dengan menaiki teksi.
“Hmm ... tak sangkakan nasib Diah akan jadi begini”. Keluh Ba’ie.
“Ya tapi setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya”. Balas Ziah
“Hikmah?. Setakat ini aku tak nampak langsung apa hikmahnya. Koma lebih dua bulan , orang yang dicintai mati dan yang lebih teruk lagi dibuang oleh keluarga sendiri!. Di mana hikmahnya?”. Ba’ie kurang bersetuju dengan kata-kata Ziah.
“Astarghfirullah al-adzimm  ... tergamak kau berkata begitu?. Tidakkah kau sedar bahawa terlalu banyak rahsia alam ini yang tak sampai dek akal kita memikirkannya. Sedari kecil kita diajar bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang , masakan dia bersikap zalim ke atas hambanya”. Ziah agak terkejut mendengar kata-kata Ba’ie tadi.
“Itu memang aku tahulah , maksud aku kadang-kadang kita menerima musibah adalah atas perbuatan kita sendiri”. Terang Ba’ie , tetap mempertahankan pendapatnya.
“Maksud kau?. Diah menerima musibah ini kerana perbuatannya sendiri?”. Soal Ziah , cuba mempertahankan Diah. Terguris hatinya mendengar kata-kata Ba’ie itu.
“Ya. Aku tahu Diah mengandung!. Kau sendiri pun tahu mengenai perkara itukan?”. Jawab Ba’ie selamba. Tega betul dia.
“Astarghfirullah al-adzimmm ...”.  Ziah hanya mampu berisytighfar. Tidak disangkanya rupanya rahsia sudah bukan rahsia lagi.
“Entahlah aku tidak tahu”. Jawab Ziah berdalih , tidak mahu terperangkap dalam jerat yang dipasang Ba’ie. Kedua mereka diam , lama mereka mendiamkan diri.
Ada kalanya diam itu lebih baik daripada terus berkata-kata , Sekurang-kurangnya dapat meredakan ketegangan.
“Huh!  Kelakarkan kita ni  Ziah”. Ba’ie membuka bicara setelah lama diam. Dia tahu , Ziah terguris dengan kata-katanya.
“Diah itu sahabat baiknya , mana mungkin dia mahu mengakui kesalahan yang dilakukan Diah. Huh! Ziah , kenapalah kau ni lurus sangat?”. Kata Ba’ie di dalam hati.
Ziah memandang wajah Ba’ie , cuba mencari jawapan dari riak wajah  Itu.
“Kita bodoh kerana berebut seorang lelaki yang hanya ada Diah di dalam hatinya”. Ba’ie menyatakan maksudnya. Sengaja menukar tajuk perbualan. Sekurang-kurangnya Ba’ie yakin yang mereka sependapat dalam perkara ini.
“Ya , kita memang kelakar atau ... lebih tepatnya , bodoh!!”. Jawab Ziah setelah berjaya mentelah maksud disebalik kata-kata  Ba’ie.
“Bodoh yang amat. Tak sangka kerana ‘mamat’ tu aku sampai sanggup menampar kau. Padahal tidak sorang pun daripada kita yang memberi makna dalam hidupnya. Maafkan aku Ziah. Bodoh betul aku ni!”.  Ba’ie melahirkan rasa kesal di atas tindakannya terhadap Ziah dulu.
“Hussh ... sudahlah. Itu cerita lama. Aku sendiri sedang berusaha melupakan segalanya. Kita pernah berbuat bodoh dulu tapi tidak lagi sekarang  ... mari kita cipta cerita baru”.  Balas Ziah. Tersenyum memandang Ba’ie.
“Eh , tapi aku hairanlah ... bagaimana Zuraimie tu boleh tahu yang kau juga pernah ada hati padanya?”. Tanya Ziah , memandang Ba’ie dengan kening yang sengaja dinaikkan.
“Hee ... aku juga macam kau ,  sempat berterus-terang pada dia sebelum posting dulu”. Jawab Ba’ie sambil tersengih.
“Kau juga?. Ha ha ha”. Ziah  tertawa besar. Dia boleh mengagak jawapan yang telah diberikan oleh Zuraimie!.
“So ... Kau kecewa?”. Tanya Ziah lagi.
“ Ah! Sudahlah. Itu zaman kebodohan kita . Kini kita mulakan cerita baru”. Balas Ba’ie.
“Ya. Cerita baru. Cerita pertama kita , tolong Diah untuk kembali pulih”. Jawab Ziah.
“Dan cerita kedua pula adalah pasal hidup kita.  Eh , kau kat Pagan Sena tu tak de ke jejaka yang dapat menambat hati kau?”. Sampuk Ba’ie memotong kata-kata Ziah. Soalan itu membuatkan Ziah gelisah.
“Huhhh ... entahlah , orang macam aku ni siapalah yang suka”.  Jawab Ziah merendah diri. Padahal cikgu Nik , warden lelaki SMK Pagan Sena sedang mencuba nasib memikat hatinya. Ada-ada saja alasannya untuk selalu berada dekat atau bercakap dan bertanyakan Ziah itu dan ini.
“Ah, engkau tu saja yang memilih sangat! ... tengok aku. Aku sebenarnya sekarang ni tengah berkawan baik dengan Hamzah. Ingat tak budak ‘pelik’ yang pernah aku ceritakan pada kau dulu?”. Tanya Ba’ie.
“Budak pelik?”. Balas Ziah sambil membesarkan matanya.
“Alaahh ...  budak pelik masa aku kat MRSM Balik Pulau  dulu tu. Kau dah lupa ke?. Kan aku pernah ceritakan pasal dia. Cuma masa tu aku tak ada apa-apa perasaan pada dia”. Jelas Ba’ie. Berharap sahabatnya itu akan faham dan ingat orang  yang dimaksudkannya.
“Ooo ... budak pelik tu!. Errr ... takkan kot?”. Balas  Ziah , bagaikan tidak percaya.
“Ya! Budak pelik tulah.  Tak sangka ,  aku boleh bertemu dengan dia semula. Kami bertugas di sekolah yang sama. Tapi sekarang , dia dah tak pelik lagi ... sebaliknya tampan dan bergaya! . Dialah lelaki yang benar-benar telah menambat hati ku. ‘Budak pelik’ ... akhirnya! . Hee”.  Ba’ie membuka cerita sambil tersengih panjang apabila terkenangkan watak Hamzah semasa di sekolah menengah dahulu. Seluar ditarik sampai ke pusat sehingga menampakkan stokin putih tebalnya.  Cermin mata besar berbingkai hitam dan rambut lurus keras terpacak bagai duri landak. Itulah Hamzah suatu ketika dahulu. Hamzah yang pelik!
 “Ha ha ... ye ke?. Itulah ... betul kata orang. Selalunya orang yang paling kita benci akan jadi orang yang paling kita suka . Orang yang kita suka pulak bertukar jadi benci. Betullah jodoh itu suatu misteri!”. Ulas Ziah. Tersengih dan geli hati apabila terkenangkan gambar Hamzah yang pernah ditunjukkan oleh Ba’ie dahulu.
“Kau masih simpan gambar kelas kau tu dulu?”. Tanya Ziah kepada Ba’ie.
“Hmmm ...  mestilah!”. Jawab Ba’ie ringkas.
“Ada kau tunjukkan pada Hamzah gambar dia dulu?” . Tanya Ziah lagi.
“Gila!. Baik-baik dia nak kat aku , langsung dia benci!” . Jawab Ba’ie sambil tersengih lebar.
“Apasal pulak. Itukan memang gambar dia. Kenapa pulak dia nak marah?”.  Ziah hairan mendengar kata-kata Ba’ie itu.
“Hmmm  ... sebenarnya Hamzah sendiri tidak suka lagi dengan imej masa lalunya itu. Habis semua gambar-gambar lamanya dibuang. So ... kalau aku saja-saja nak tunjukkan gambar lamanya tu , maknanya aku saja cari pasal!”. Terang Ba’ie. Tersengih memandang Ziah.
“Pelik!”.  Jawab Ziah sepatah.
“Heee ...  memang pelik tapi aku suka!. Lagipun  aku tak ada masalah dengan pendiriannya itu cuma aku tak pernah sangka rupa-rupanya orang yang aku  anggap  ‘pelik’ tu lah akhirnya yang aku cinta!”. Ba’ie ceria sahaja setiap kali terkenangkan Hamzah. Wiranya kini ...
“Mmm ... sebab itu jugalah aku dah tak resah  langsung bila berhadapan dengan Zuraimie. Aku dah langsung tidak menyimpan perasaan terhadap dia.  Tidak seperti kaukan Ziah?. Kau masih menyimpan perasaan padanya?” . Tanya Ba’ie.

Ziah tertunduk mendengar soalan Ba’ie itu. Dia sendiri tidak pasti lagi dengan perasaannya terhadap Zuraimie. Separuh daripada hatinya rasa benci sebaliknya separuh lagi masih  menyimpan rindu. Buktinya , Ziah tidak mampu menahan debaran jantungnya tatkala mendengar nama Zuraimie disebut dan tidak juga mampu menolak keinginan hatinya untuk menatap wajah pemuda itu!.
“Err ... ketara sangat ke?”. Tanya Ziah dan Ba’ie menganggukkan kepalanya.
“Huhh!. Entahlah , akupun tak pasti dengan perasaan aku ni. Macam benci   tapi  rindu.
Macam  marah tapi sayang. Cuma ...  bila aku tengok bagaimana dia melayan Diah tadi , aku rasa cukup terharu. Selama Diah koma dialah yang menjaganya. Aku sahabat baik Diahpun tak mampu nak buat begitu. Jadi aku redha , aku yakin memang dia yang terbaik untuk Diah”. Ziah membuat kesimpulan .
“Betul ... tapi aku nak tanya kau satu soalan. Itupun kalau kau tak keberatan. Err ...  siapa bapa kepada bayi dalam kandungan Diah itu?”. Tanya Ba’ie ragu-ragu. Khuatir pertanyaannya akan menyinggung perasaan Ziah sekali lagi.
“Errr ... entahlah Ba’ie .. yang itu aku tak tahu menahu. Tak berani nak cakap apa-apa”. Ziah berdalih. Tidak selesa apabila didesak oleh Ba’ie akan perkara yang sama.
“Takpalah ... aku faham. Kau ada sebab kau sendiri untuk merahsiakannya. ‘Since’ kau keberatan , aku takkan tanya lagi. Eh , jom ... dah sampai Kajang ni. Jom makan ‘satay Samuri’... dah lama tak pekena” . Cadang Ba’ie dan Ziah mengangguk. Tersenyum pahit.
“Maaflah Ba’ie ... aku harus memegang janji!”.  Ziah berkata di dalam hati.


                            
Cinta lalu
Bagai kembali menjengah
Menyingkap semula kenangan luka

                                                            Bersama persoalan dulu
                                                            Juga masih belum mengalah
                                                            Merosak tenang menghapus suka

Saat aku menatap wajahmu
Darah luka di dada masih basah
Memercik hanyir terpalit di muka

                                                            Temanku ...
                                                            Sungguhpun kini hatiku pasrah
                                                            Namun pertemuan ini mengundang duka
                       
                                 Aku yang terluka ...  Ogos .






















No comments:

Post a Comment