Popular Posts

Sunday, 14 August 2011

Cerpen : Selamat Hari Guru !


Di suatu pagi ....
“Hoii! Berapa kali nak aku kejutkan kau?. Ni dah pukul 7:00 pagi. Bila lagi kau nak bangun?. Asyik nak membesarkan tidur je!!”. Jerit kak Jiah pada adiknya Abu Zahrin.
Hari ini seperti hari-hari yang lepas , kak Jiah akan terjerit-jerit mengejutkan adiknya Abu Zahrin untuk ke sekolah. Remaja yang baru meningkat naik ini semakin liat untuk bangun pagi apatah lagi untuk ke sekolah.
Minggu lepas Kak Jiah menerima surat amaran ponteng kali ketiga daripada pihak sekolah. Sekali lagi kesalahan ponteng dilakukan , Abu Zahrin sudah layak dibuang sekolah.
“Huh! “. Kak Jiah mengeluh. Berat benar tanggungan jiwanya membesarkan adik yang seorang ini. Dulu adiknya  Zailan tidaklah seteruk ini. Sungguhpun Zailan tidak cemerlang dalam pelajaran namun Kak Jiah tidak pernah  mendapat sebarang surat amaran daripada pihak sekolah. Zailan seorang pelajar yang lemah , SPM nya hari itupun hanya lulus Bahasa Melayu sahaja , itupun dengan gred 7D. Namun dengan berbekalkan sikap yang baik dan sopan , Zailan berjaya bekerja sebagai jurujual di Pasaraya Jusco.
“Zahrin! Bangunlah. Nanti kau lambat lagi ke sekolah . Bila cikgu marah kau mengamuk , bukannya tahu nak minta maaf bila buat salah. Ini tidak memanjang kau saja yang betul. Orang lain semuanya salah!!”. Bebel kak Jiah lagi.
“Arrggghhhh!!. Asyik membebel je akak ni.. Patutlah sampai sekarang tak kahwin-kahwin lagi!”. Balas Abu Zahrin setelah tidak tahan mendengar ocehan kakaknya.
“Apa kau kata?. Aku tak kahwin ni sebab suka membebel?. Hoii!! Sedar sikit dik ooiii . aku tak kahwin-kahwin lagi ni sebab kaulah. Siapa nak kahwin dengan aku kalau kena jaga budak lelaki bermasalah macam kau ni?!”. Balas Kak Jiah.
“Ahh! Sudahlah!!”. Bersama jeritan itu Abu Zahrin bingkas bangun , masuk ke dalam bilik air lalu menghempas pintunya dengan kuat.
“Gedebuummm!!”. Bunyi pintu dihempas.
“Hah! Elok benarlah tu. Bila marah hempaskan barang. Esok bila semua dah jahanam, duduklah kita sama-sama di bawah jambatan!”. Tempelak kak Jiah. Abu Zahrin tidak menghiraukan ‘bising’ kakaknya itu. Air disimbah semakin banyak ... ‘Gedebusshhh! Gedebusshhh!  Gedebusshhh!!!’


... seperti lipas kudung lintang pukang berlari masuk ke kawasan sekolah .
Seperti hari-hari yang lain juga , Abu Zahrin berjalan lambat-lambat ke sekolah. Pakaian seragam putih  yang sudah menguning itu sengaja dibiarkan lepas keluar. Sudah berkali-kali cikgu-cikgu di sekolah menegur.
“Abu Zahrin , kenapa tak masukkan baju dalam seluar?”. Tanya Puan Azlina , guru Sains.
“Abu Zahrin, masukkan baju dalam seluar!!”. Jerit Puan Zurina , guru disiplin sekolah.
“Abu , berapa kali cikgu nak kena tegur awak?. Tolong masukkan baju dalam seluar , boleh?”. Tegur pula Puan Juriah , kaunselor sekolah.
“Ya cikgu , saya ke tandas untuk masukkan baju dalam seluar”. Itulah jawapan yang sentiasa diberi oleh Abu Zahrin setiap kali kekemasan dirinya dipertikai.
Tiba-tiba perhatian Abu Zahrin tertumpu pada sekumpulan pelajar India yang juga lambat ke sekolah. Jantungnya berdegup kencang. Kakinya bagaikan terpaku.
“Aduh! Matilah aku kali ni!!”. Kata Abu Zahrin di dalam hatinya.
“Dei Tambi!!”. Jerit  Kalli , salah seorang daripada pelajar India tersebut. Bersama laungan itu semua pelajar yang ada bersamanya berlari laju ke arah Abu Zahrin. Abu Zahrin juga tidak menangguh masa , seperti lipas kudung lintang pukang berlari masuk ke kawasan sekolah. Sampai di depan pintu pagar sekolah , sedia menanti guru disiplin  Puan Zurina bersama tiga orang pengawas bertugas.
“Hah tahupun awak tu lambat. Penat berlari?”. Sindir Puan Zurina. Abu Zahrin diam. Kepalanya ditundukkan sedikit lalu menoleh ke belakang. Kalli  dan empat orang pelajar India yang bersamanya sedang termengah-mengah , berpura-pura baik apabila lalu di hadapan Puan Zurina.
“Selamat pagi cikgu!”. Sapa mereka.
“Ya . Selamat pagi. Kenapa lambat hari ini?”. Tanya Puan Zurina.
“Errr .... saya sakit perut cikgu. Malam tadi termakan kari basi”. Jawab Kalli
“Ha ha ha”. Tergelak empat pelajar India yang lain mendengar alasan Kalli.
“Hah! Ganesan , John , Kumar dan awak ni , siapa nama?”. Tanya Puan Zurina kepada pelajar India yang baru berpindah ke sekolah itu minggu lalu.
“Err ... Kumaresan cikgu”.
“Hah eloklah tu. Gabungan Kumar dan Ganesan ye?.  Apa pula alasan awak datang lambat ni?”. Tanya Puan Zurina.
“Err ... kami kejar ayam cikgu”. Jawab Kumaresan selamba sambil menjeling ke arah Abu Zahrin.
“Dah sudah jangan nak merepek!. Bagi nama pada pengawas”. Balas Puan Zurina.
“Nanti waktu rehat panggil balik mereka berlima ni dan bawa ke tandas pelajar lelaki. Suruh dia orang cuci lubang tandas. Sorang satu. Dah bersih baru benarkan mereka naik ke kelas”. Arah Puan Zurina kepada pengawas bertugas.
“Chitt!!”. Ludah Kumaresan. Marah sungguh dia mendengar hukuman yang diberi Puan Zurina.
...  seisi sekolah digemparkan dengan satu kemalangan ...
“Assalamualaikum cikgu. Maaf saya lambat”. Abu Zahrin meminta izin masuk ke dalam kelas. Cikgu Mazni yang sudah mula mengajar memandang ke arahnya.
“Lambat lagi hari ini Zahrin?. Masuk cepat , cikgu dah mula mengajar ni”. Arah cikgu Mazni.
Abu Zahrin terus berjalan masuk dan duduk di tempatnya , baris paling depan . Betul-betul di hadapan meja guru!
“Abu , napa lambat hari ini?”. Tanya Daniel , seorang mualaf berbangsa China yang duduk bersebelahan dengan Abu. Sengaja guru kelas mereka , cikgu Asni meletakkan Abu di hadapan dan duduk di sebelah Daniel. Niatnya tidak lain hanyalah untuk memastikan Abu Zahrin akan dapat focus di dalam kelas. Daniel pula adalah antara pelajar yang cemerlang di kelas itu. Cikgu Asni berharap Daniel akan dapat menjadi contoh yang baik buat Abu Zahrin.
“Aku bangun lambat!”. Jawab Abu Zahrin . Malas untuk bercerita panjang.
Sepanjang kelas berjalan , Abu Zahrin sedikitpun tidak dapat memberikan tumpuan apatah lagi memahami setiap butir yang diperkatakan oleh cikgu Mazni. Fikirannya kusut memikirkan masalah yang dihadapinya kini.
“Kalau aku tak dapat ganti  balik barang tu , matilah aku!”. Fikirnya resah. Sesekali keluhan beratnya dapat didengari oleh Daniel.
“Apa sajalah yang mengganggu Abu ini?”.Fikir Daniel pula.
“Daniel! Abu!. Sedang fikir apalah tu sampaikan cikgu tanya langsung tidak dijawab”. Sergah cikgu Mazni. Daniel dan Abu Zahrin terkejut.
“Ya cikgu?”. Tanya mereka serentak.
“Hmm ... tadi cikgu tanya , macam mana kembar seiras boleh terjadi”. Beritahu cikgu Mazni.
“Errr ... daripada persenyawaan antara satu sperma dan satu ovum , membentuk satu zigot. Kemudian satu zigot ini membahagi dua. Sebab itulah ciri-ciri genetik kembar seiras ini sama. Rupa paras pun sama cikgu”. Jawab Abu Zahrin.  Daniel terdiam. Cikgu Mazni juga terdiam. Kawan-kawan kelas yang lain juga terdiam. Semua merasa hairan dan kagum kerana Abu Zahrin , pelajar paling bermasalah di sekolah dapat menjawab soalan cikgu Mazni dengan mudah.
“Wah! Hebatlah Abu Zahrin!!”. Jerit Swee Lan memecahkan kesunyian , gadis China ini memang sentiasa prihatin terhadap Abu Zahrin. Entah mengapa  setelah dia mendapat tahu tentang latar belakang hidup Abu Zahrin , simpatinya melimpah ruah untuknya.
Semuanya berlaku semasa mereka sedang sama-sama mengambil keputusan UPSR tiga tahun lepas. Dirinya , Daniel dan Abu Zahrin adalah tiga daripada tiga belas pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 5 A tahun itu. Sedang mereka bergelak ketawa , gembira dengan keputusan yang diperolehi , tiba-tiba seisi sekolah digemparkan dengan satu kemalangan yang berlaku di hadapan pintu pagar sekolah. Sebuah kereta proton saga lama merempuh bas sekolah  yang sedang menunggu pelajar.
“Apa yang terjadi?” Tanya pengawal yang bertugas sambil berlari meluru ke tempat kejadian. Bukan dia sahaja malah seisi warga sekolah yang mendengar dentuman kuat itu turut serta ke tempat kejadian termasuklah Swee Lan , Daniel dan Abu Zahrin. Sesampai sahaja mereka bertiga di tempat kejadian , Abu Zahrin terus meluru ke hadapan sambil menjerit , meraung dan memanggil-manggil  emak dan ayahnya .
“Huh?!” Daniel kurang faham.
“Itu kereta mak dan ayah Abu Zahrinlah!”. Kata Swee Lan agak terkejut.
“Apa yang terjadi. Kenapa kereta ayah dia rempuh bas?”. Tanya Daniel , masih tidak faham.
“Entah. Tak tau!”. Jawab Swee Lan.
Akhirnya semua persoalan itu terjawab apabila keesokan harinya cikgu kelas mereka , cikgu Mariam memberitahu semua ahli kelas bahawa kedua ibu bapa Abu Zahrin telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Cikgu , kenapa bapa Abu Zahrin langgar bas?”. Tanya seorang pelajar.
“Sudah ditakdirkan. Tadi cikgu dimaklumkan yang bapa Abu Zahrin itu tiba-tiba diserang strok semasa memandu menghampiri sekolah. Ibu dia pula panik dan tidak pandai memandu.  Strok itu menyebabkan kaki bapa Abu Zahrin serta merta mengejang dan tertekan minyak , tak dapat nak dialihkan. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Inilah yang dinamakan takdir. Awak semua sebagai kawan , tolonglah bagi semangat kepada Abu Zahrin. Kasihan dia , tentu sekarang ini dia sedang bersedih sangat”. Terang cikgu Mariam.

Sebaik saja mengetahui kejadian yang sebenarnya , air mata Swee Lan tiba-tiba sahaja jatuh mencurah-curah tanpa dapat ditahan-tahan.
“Eh , awak nangis?”. Tanya  Daniel. Sepantas kilat Swee Lan mengesat air matanya.
“Heee ... Swee Lan menangis! Swee Lan menangis!”. Ejek Akhbar , pelajar yang terkenal dengan sikapnya yang suka menyibuk.
“Eeee ... Swee Lan suka Abu!. Swee Lan nak Abu! Swee Lan sayang Abu!”. Ejek pula Syafiqah.
“Hei sudahlah!. Kawan kita Abu Zahrin sedang bersedih sekarang ni. Kenapa awak berdua nak mengejek-ngejek pula?”. Marah Idzham , ketua kelas.
“Kami tak ejek Abu. Kami ejek Swee Lan!”. Balas Akhbar.
“Betul! Betul! Betul!”. Syafiqah mengiakan.
“Eeee ... tak fahamlah kamu orang ini. Kenapa kejam sangat?!”. Jerit Swee Lan sebelum berlari ke tandas.
“Hai Swee Lan , awak pula nak berangan?”. Tegur cikgu Mazni. Swee Lan tersentak ...
“Errr ... maaf cikgu”. Katanya perlahan  sambil mencuri pandang Abu Zahrin. Abu Zahrin diam , langsung tidak ambil pusing apa yang berlaku di sekitarnya.
Cikgu Mazni meneruskan pembelajaran hari itu. Dari kisah kembar seiras beralih pula kepada kembar tidak seiras dan berakhir dengan kembar siam.

Peristiwa dalam tandas ...
“Oii! Bila kau mahu bayar balik?”. Soal Ganesan sambil tangannya mencekak leher Abu Zahrin. Badan Abu Zahrin ditolak rapat ke dinding tandas.
“Nanti aku bayarlah!”. Jawab Abu Zahrin.
“Bila?: Dah dua minggu kau kata nanti! Nanti!”. Sampuk Kumaresan sambil menendang keting Abu Zahrin. Terlepas cengkaman Kumaresan apabila Abu Zahrin menjerit kesakitan lalu memegang keting kakinya.
“Dushh!”. Satu lagi sepakan daripada  Kumar menghentam tepat ke perut Abu Zahrin.
“Arrggghhhh!”. Jerit Abu Zahrin lalu jatuh terperosok ke bawah sinki.
“Hoi!! Apa ni? Gaduh ke?!”. Jerit Siva , penolong ketua pengawas sekolah yang kebetulan lalu di hadapan tandas.  Sepantas itu juga ketiga-tiga pelajar yang membelasah Abu Zahrin berlari  merempuh keluar.
“Awak tak apa-apa?”. Tanya Siva kepada Abu Zahrin. Abu Zahrin menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Mari saya tolong awak. Kita ke bilik disiplin buat laporan”. Ajak Siva sambil cuba membantu membangunkan Abu Zahrin.
“Err ... tak apalah. Aku boleh bangun sendiri. Aku tak nak buat kecoh. Ni sikit saja. Aku ok”. Balas Abu Zahrin sambil menolak tangan Siva. Terhuyung –hayang Abu Zahrin berjalan    keluar dari tandas. Sebaik saja dia melangkah keluar , langkahnya segera mati apabila terpandangkan cikgu Asni sudah siap berdiri di hadapan tandas.
“Sudah , mari ikut saya”. Arah cikgu Asni lalu membawa Abu Zahrin masuk ke dalam bilik bimbingan pelajar. Kebetulan bilik itu kosong dan kaunselor pula sedang bertugas rasmi di luar sekolah.
“Duduklah”. Pelawa cikgu Asni sambil menunjukkan ke arah sofa yang memang disediakan untuk sesi kaunseling murid. Tanpa sepatah kata Abu Zahrin duduk   , menundukkan kepala. Cikgu Asni masuk ke bilik kerja kaunselor lalu keluar bersama peti kecemasan yang memang sedia tersimpan di situ.
“Mari . Biar cikgu bersih dan tampalkan  luka awak”. Kata cikgu Asni sambil membersihkan luka di dahi Abu Zahrin , mungkin terhantuk pada bucu sinki semasa dibelasah tadi. Selesai membersih dan menampal plaster pada luka tersebut , cikgu Asni mulai bertanya.
“Ada mana-mana bahagian lain badan kamu yang luka?”. Abu Zahrin hanya menggelengkan kepalanya.
“Abu Zahrin , awak bergaduh dengan geng Kumar ye?”. Tanya cikgu Asni. Abu Zahrin diam.
“Awak tak boleh diamkan perkara ini.  Mari kita buat laporan di bilik disiplin”. Cikgu Asni  bangun mengajak Abu Zahrin.
“Tak payahlah cikgu. Saya tak nak kecoh. Ini perkara kecil saja”. Jawab Abu Zahrin.
“Perkara kecil?. Cuba awak lihat apa yang telah terjadi pada diri awak. Nasib baik Siva masuk ke dalam tandas tadi tau. Kalau tidak tak tahulah apa yang akan berlaku pada awak”. Jawab cikgu Asni.
“Kalau awak tidak mahu lapor atau perpanjangkan perkara ini , awak harus berterus terang dengan saya. Apa sebenarnya yang telah terjadi. Kenapa geng Kumar memusuhi awak?”. Cikgu Asni memberikan kata dua.
“ Mereka tak salah apa-apa. Saya yang salah!”. Balas Abu Zahrin.
“Saya tidak faham”. Kata cikgu Asni.
“Cikgu , tolonglah . Biar saya uruskan perkara ini sendiri”. Pinta Abu Zahrin.
“Huh!. Baiklah kalau awak tetap berdegil. Saya tidak dapat berbuat apa. Tapi untuk makluman awak kes ini sudahpun jadi kes disiplin kerana saya pasti Siva telahpun menjalankan tugasnya membuat laporan pergaduhan yang berlaku. Suka atau tidak awak harus menghadapinya”. Terang cikgu Asni.
“Baiklah sebelum masuk ke kelas , sila kemaskan diri awak. Pergilah ke dalam dan masukkan baju ke dalam seluar”. Arah cikgu Asni.
“Maaf cikgu. Zip seluar saya dah rosak sebab tulah saya biarkan baju di luar”. Terang Abu Zahrin.
“Rosak?. Kalau rosak kenapa masih dipakai?”. Tanya cikgu Asni. Abu Zahrin hanya menundukkan kepalanya , diam. Sikapnya itu membuatkan cikgu Asni memandangnya dengan lebih teliti , daripada hujung rambut sampai ke hujung kaki.
Rambut yang dipotong pendek hampir botak , pakaian seragam putih yang agak sempit dan  sudah kekuningan warnanya. Beberapa butang baju yang dijahit semula menggunakan benang bewarna hitam. Seluar hijau lusuh yang juga sudah agak sendat dan pendek. Kasut putih yang kotor tidak bercuci pula koyak dihujung jarinya. Sarung kaki?. Langsung tidak dipakai!
Melihatkan keadaan Abu Zahrin , cikgu Asni menjadi insaf. Tersentap rasa hatinya , “Bagaimanalah aku boleh sebegini buta , tidak langsung melihat kesusahan yang dilalui pelajarku ini?”. Katanya di dalam hati.
“Baiklah Abu Zahrin , balik sekolah nanti tunggu cikgu di depan bilik guru. Cikgu akan bawa awak ke Jusco untuk beli pakaian sekolah yang baru. Lepas tu cikgu sendiri akan hantar awak pulang ke rumah. Sekarang ni awak baliklah ke kelas dahulu. Nanti banyak pula pelajaran yang awak ketinggalan”. Arah cikgu Asni sebelum berlalu pergi meninggalkan Abu Zahrin sendirian , terpinga-pinga.
Sebaik sahaja habis berurusan dengan Abu Zahrin , cikgu Asni segera ke bilik Disiplin. Betul seperti jangkaannya , Kumar , Ganesan dan Kumaresan sudahpun dipanggil. Mereka sedang disoal siasat berkenaan kejadian pergaduhan tiga lawan satu yang berlaku di tandas tadi. Puan Hasiah , guru penolong Kanan HEM sendiri sedang menjalankan siasatan.
“Ini hal luar cikgu. Bukan hal sekolah!”. Jawab Kumar bila disoal.
“ Yelah! Hal luar tapi kamu bawa sampai ke sekolah!!” Tengking Puan Hasiah. Suaranya cukup tinggi apabila sedang marah.
“Kalau awak tak mahu kita selesai di sini. Kita bawa ke balai. Hal gaduh ni boleh bawa mati. Bukan main-main punya!”. Marah cikgu Hasiah lagi , terpaksa memberi kata dua kepada pelajar yang berdegil ini.
“Tak mau cikgu. Kita selesai sini”. Jawab Ganesan.Takut dia apabila diugut ke balai. Pasti mati dia dikerjakan oleh bapanya nanti.
“Cikgu , kita minta maaf pada Abu. Kira selesai sini. Tak mahu sampai ke balai”. Pinta Ganesan.
“Habis , nanti lain hari kamu jumpa dia di luar sana kamu belasah sama dia , polis akan tangkap kamu juga. Macam mana saya nak pastikan kamu takkan ganggu dia lagi?”. Tanya Puan Hasiah.
“Tak pe cikgu. Kami janji. Dia ada hutang kami. Kami takkan tuntut lagi. Kira habis”. Jawab Kumar.
“Betul?”. Tanya cikgu Hasiah sambil memandang wajah ketiga-tiga anak muridnya itu seorang demi seorang.
“Betul cikgu!”. Jawab mereka serentak.
“Baiklah , saya setuju tapi kamu bertiga harus menulis surat akuan perjanjian yang ditandatangani oleh kamu sendiri. Sekiranya sesuatu berlaku kepada Abu Zahrin selepas ini sama ada di sekolah atau di luar sekolah , kamu bertiga akan menjadi orang yang paling disyaki. Saya sendiri tidak akan teragak-agak menyerahkan surat akuan perjanjian ini ke balai polis”. Ugut cikgu Hasiah. Mereka bertiga hanya mampu mengangguk.
Cikgu Asni menarik nafas lega , memandang wajah ketiga-tiga anak muridnya itu dengan senyuman.
“Cikgu harap kamu semua boleh menjadi sahabat baik. Saling menjaga satu sama lain. Abu Zahrin itu anak yatim piatu. Kasihan dia. Berkawanlah dengan baik ya”. Nasihat cikgu Asni.
“Kalau boleh cikgu tahu apa hutang Abu Zahrin pada kamu?”. Tanya cikgu Asni.
“Err ... pisau lipat pelbagai guna saya dia curi dan jual. Dia sudah mengaku curi dan janji mahu ganti. Sudah dua minggu tapi tak ganti-ganti lagi”. Terang Ganesan.
“Oh itu. Kalau begitu  nanti balik sekolah awak ikut saya ke jusco. Kita cari pisau lipat yang baru untuk awak. Mahu?”. Tanya cikgu Asni. Ganesan tersenyum ... “Betul ke cikgu?”. Tanyanya.
“Betul. Tapi sebelum tu awak kena telepon ibu bapa awak , bagitahu mereka awak keluar dengan saya”. Pesan cikgu Asni dan Ganesan mengangguk gembira. Selesai membuat surat akuan perjanjian , mereka bertiga kembali ke kelas.
“Pasal pisau lipat je sampai mahu bertumbuk begitu!”. Keluh cikgu Asni.
“Budak-budak , begitulah.  Err... betul ke cikgu nak bawa budak tu ke Jusco nanti?”. Tanya Puan Hasiah.
“Ya . Kalau itu akan dapat mendamaikan mereka”. Kata cikgu Asni sambil tersenyum sebelum melangkah keluar meninggalkan bilik disiplin.
Sambutan Hari Guru Sekolah
Sudah lebih dua bulan peristiwa pergaduhan itu berlaku. Hari ini semua pelajar sedang sibuk membuat persiapan bagi meraikan para guru yang sudah banyak berjasa. Ganesan dan kawan-kawannya juga sibuk membuat persiapan. Mereka bersama ahli kelas 3 Hepta akan membuat persembahan lakonan sempena hari guru yang akan disambut esok.
Tidak ketinggalan Abu Zahrin dan Daniel sedang sibuk berlatih mendeklamasikan puisi khas yang mereka cipta istimewa buat para guru. Sahabat baik mereka Swee Lan pula akan memainkan piano bagi mengiringi persembahan mereka.
                                    Selamanya kau mencurah bakti
                                    Entah sampai bila tanpa jemu
                                    Lama dulu hingga kini
                                    Amat besar sentuhan kasihmu
                                    Membantu anak muridmu yang dungu ini
                                    Agar kami boleh harungi onar sembilu
                                    Tanpa rasa gentar dihati
                                                            Hari ini kami bersamamu
                                                            Akan kami kenang segala jasamu
                                                            Ramah mesra tunjuk ajarmu
                                                            Indah terpahat di dalam kalbu
                                    Guru ,  kaulah pelita ilmu
                                    Untuk menyinari hari anak bangsamu          
                                    Ribuan ucapan ‘terima kasih guru’
                                    Untuk kamu guruku ....
                       
                                    Selamat Hari Guru!!!
                          Hasil Nukilan: Abu Zahrin/Mei 2011
Sambutan hari guru tahun ini sangat meriah. Senyuman menghiasi setiap wajah . Lepas satu persembahan ke satu persembahan hingga tibalah giliran Abu Zahrin , Daniel dan Swee Lan membuat persembahan mereka.  Cikgu Asni menjadi hiba , menitis air matanya ... murid paling bermasalah di sekolah kini berdiri di atas pentas dengan pakaian yang cukup kemas!

 (2988 Bilangan patah perkataan)
                                                                       

 Hasil Karya:    Rozai Asnizah Mohd Shariff
                        Anugerah Pertandingan Penulisan
                        Sempena Hari Guru Daerah Sepang 2011

No comments:

Post a Comment