Popular Posts

Sunday, 14 August 2011

Cerpen : Anak siapa?


Cerpen : Anak siapa?

Perasaan Yang Resah....
Azlin termenung di tepi jendela biliknya. Angin petang mengusap lembut rambut ikal mayang milik gadis manis ini. Sesekali kedengaran suara sang unggas sahut menyahut dari hutan berhampiran. Semua itu bagaikan dodoian mesra yang memberat dan merapatkan kelopak matanya.
“Hoii!! Berangan?” sergah Syafika.
“Eeee....engkau ni!...kan aku dah kata jangan suka terkejutkan aku. Aku ni lemah semangat tau. Kang aku pengsan baru kau tahu. Tak pasal-pasal  dapat susah!” marah Azlin.
“Alahai kakak ni , takkan mudah sangat kau nak pengsan. Eh , apa yang kau menungkan? Errr...kau masih fikir pasal kata-kata mak kau tu ke?” Tanya lagi Syafika.
“Yelah...aku tengah fikir perkara tulah. Kau rasa apa maknanya kata-kata mak aku tu hah?”
“Hmm...susahlah nak teka tapi yang pasti...memang ada yang tak kena”.
“Itulah yang mengganggu perasaan aku ni. Aku rasa tak puas hati lah selagi tak tahu perkara yang sebenar. Nak buat apa ye?” Tanya Azlin kepada sahabat karibnya itu.
“Hmmm...apa kata kau  tanya terus pada mak kau. Lagi senang. Berterus – terang jelah...bagi tau dia yang kau terdengar perbualan mak kau dengan jiran lama kau hari tu”. Cadang Syafika.
“Aku sebenarnya memang nak buat begitu tapi...aku yakin mak aku takkan bagi tahu perkara yang sebenarnya...”
“Alah kau cuba jelah. Manalah tahu dia akan berterus terang...atau...kau yang sebenarnya takut nak tahu perkara yang sebenarnya?” Syafika menduga.
Azlin hanya diam sambil menghela nafas berat. Dadanya terasa sakit apabila mengingatkan perbualan antara ‘mak’ yang sangat dikasihinya dengan teman lamanya , makcik Limah.

“Errr...dah besar dah anak dara akak ni. Kalau tak silap , ada 15 tahun ye akak bela dia. Siapa sangka , bila dah besar elok cantik budaknya hah. Tak sia-sia akak ambik dia” itulah kata-kata makcik Limah semasa berkunjung ke rumah mereka bulan lalu. Makcik Limah adalah kenalan lama mak Azlin yang telah lama terpisah.  Menurut mak Azlin , lama dulu makcik Limah pernah berjiran dengan mereka.

“Heii...termenung lagi. Eh Lin, dahlah tu...dah nak maghrib ni. Jomlah kita pergi mandi. Kalau lambat kang tak sempat lak nak solat berjemaah. Hah!...tak pasal-pasal kena denda cuci tandas hujung minggu ni” ajak Syafika. Tidak suka melihat sahabat baiknya itu bermuram dan melayan perasaan sedihnya.
“Yelah...jomlah kita pergi mandi”. Mereka bersama-sama mengambil ‘towel’ dan sabun mandi masing-masing dan berjalan ke arah tandas.
“Alamak Lin , kan dah kena berbaris panjang. Ni kaulah yang termenung panjang sangat...he he” Syafika mengusik Azlin.
“Yelah ... akulah yang teruk!!” Azlin membuat muka sambil  memandang Syafika , sengaja matanya dijulingkan. Mereka sama-sama tertawa.

Sambil menunggu giliran , kedua sahabat ini terus bercerita. Pelbagai isu yang dibincangkan dari hal-hal sekolah hinggalah pelbagai isu Negara. Masalah ekonomi Negara menjadi tajuk hangat perbualan mereka.

“Eee...macam mana ye kalau kita habis sekolah nanti nak masuk ‘U’ , tiba-tiba ditakdirkan masa tu ekonomi Negara tengah parah. Duit PTPTN pun kerajaan tak mampu beri. Tentu susahkan...” Azlin tiba-tiba menjadi risau apabila memikirkan perkara yang mungkin terjadi.
“Apalagi...kalau PTPTN tak ada kita dapat pinjaman ‘FAMA’ lah”.Jawab Syafika dengan selamba.
“FAMA?” Azlin tidak faham.
“FAMA!...tak faham?” Tanya Syafika sambil menepuk dahi sahabatnya itu.
“Woiii!!... Sakitlah!” jerit Azlin.
“Lembab sangat!...geram aku. ‘FAMA’ tu...father and mother lah” jawab Syafika.
“he he....” Azlin hanya tersengih mendengar kritikan Syafika.
“Eh , tapi kalau aku ni betul-betul bukan anak mak dan abah aku sekarang...macam mana ye?” Azlin tiba-tiba menjadi risau apabila mengenangkan status dirinya yang tidak pasti.
“Haa haa...mulalah tu. Eee...jangan fikir yang bukan-bukanlah...ha dah sampai pun giliran aku. Lin,  aku masuk dulu...ingat , jangan fikir yang bukan-bukan!” Syafika mengingatkan Azlin sebelum masuk ke bilik air.
“Yelah...yelah!” Azlin menjawab.
Begitulah kehidupan di asrama. Penghuninya terpaksa menyesuaikan diri dalam banyak perkara. Jika tinggal di rumah sendiri semuanya menjadi mudah...tetapi tidak di asrama. Kain baju terpaksa dicuci sendiri , digosok sendiri. Tandas  perlu dikongsi ramai. Begitu juga untuk  mengisi perut...terpaksa berbaris panjang di dewan makan untuk mendapatkan sepinggan nasi...oppsss...sedulang makanan!



Kelas Sains ...

“Kelas bangun!!” jerit Hudzairi, ketua kelas 3KRK. Semua pelajar bangun kecuali Azlin, masih sibuk melayan perasaannya. Melukis sesuatu pada buku contengnya...

“Woii! Bangunlah”. Akmal menepuk bahu Azlin. Akmal yang duduk di sebelah Azlin mula bosan kerana acap kali terpaksa menepuk atau mengejutkan Azlin dari lamunannya.
“Kau ni kenapa hah?...putus cinta?...ke...mak kau mati?” tegur pula Azizi yang duduk di belakang Azlin. Penyandar kerusi Azlin digoncang kuat.

Azlin tersentak dan segera bangun. Puan Ani tersenyum melihat gelagat anak-anak muridnya. Hudzairi mengucapkan salam dan diikuti oleh sekelian ahli kelas.

“Waalaikumussalam dan selamat sejahtera!” jawab Puan Ani lalu mengangkat tangan untuk berdoa. Semua pelajar 3 KRK akur dan turut mengangkat tangan. Doa ‘belajar’ dibaca bersama. Pelajar non-muslim bertafakur. Sama-sama memohon agar pelajaran hari ini akan difahami dan dikuasai dengan mudah.

“Baiklah semua , boleh duduk. Errr...cikgu tengok Azlin macam tak sihat je...awak demam ke Azlin?” Tanya Puan Ani sambil berjalan ke arah Azlin. Azlin menggelengkan kepala...”Taklah cikgu”
Puan Ani meletakkan belakang tangannya ke dahi Azlin.
“Mmm...suhu badan normal. Kenapa macam orang demam je”
“Alah...dia memang macam tu...asyik termenung je. Tadi Cikgu Mazlan pun marah. Cikgu tengah ajar dia sibuk melukis. Degil dia ni cikgu!” sampuk Akmal.
“Cikgu , Azlin tengah bercinta!” sampuk pula Azizi
“Taklah!...tengah putus cinta!!!” sampuk pula yang lain.
“Ha ha ha!!” mereka ketawa beramai-ramai.

“Diam!!” marah cikgu Ani.
“Kamu semua dengar sini...jangan cepat membuat kesimpulan. Jangan cepat menghukum. Perbuatan kamu tadi tidak langsung membantu kawan kamu. Malah menambah beban pada dia. Sepatutnya sebagai kawan, kamu patutnya tanya, ambil berat dan bantu dia. Kamu dah bersama dalam satu kelas dari tingkatan satu lagikan?. Malah ada yang dah saling kenal dari sekolah rendah lagi. Perbuatan mengejek atau menyindir tidak akan membawa apa-apa kebaikan. Itu perbuatan budak-budak yang tidak matang!” tegur cikgu Ani.

“Maaf cikgu!” Akmal bersuara.
“Bukan pada saya tapi pada kawan yang kamu persendakan!” jawab cikgu Ani.
“Sorry....”Akmal berkata perlahan sambil menguit tangan Azlin.
“He he...tak pa. Errr...cikgu , tak da hal lah...dia orang bergurau je. Saya tak marah pun. Err...cikgu, marilah kita belajar” Azlin tiba-tiba rasa bersalah kerana telah mencetuskan kekecohan.

“Hmmm...bagus. Jom kita mulakan” jawab cikgu Ani sambil memasang ‘CD Courseware’ Topik hari ini ialah ‘Menstrual cycle’ di bawah tema ‘reproduction’. Bab ini memang sangat menarik minat murid kelas 3 KRK. Malah semua murid tingkatan 3!.
Bermula dengan mengenali organ pembiakan masing-masing , penghasilan sperma dan ovum sehinggalah berlakunya persenyawaan yang membawa kepada pembentukan zigot , embrio , fetus dan bayi. Semua murid belajar dengan perasaan yang bercampur baur , malu...tapi mahu!.
Perasaan ingin tahu lebih meluap-luap apabila cikgu Ani menerangkan tentang kitaran haid bagi seorang wanita yang normal.
Pelik...ramai murid lelaki yang lebih beria-ia ingin tahu dan bertanya pelbagai soalan. Soalan datang bertubi-tubi apabila cikgu Ani meneruskan penerangkan tentang proses ‘Ovulasi’ pula , iaitu proses penghasilan telur yang  berlaku pada hari ke 14 bermula daripada hari pertama darah haid keluar.  Mereka lebih teruja apabila cikgu Ani memberitahu bahawa hari ke ‘14’ adalah ‘hari paling subur’ bagi seorang perempuan.
“Maknanya cikgu?” tanya Hudzairi
“Maknanya pada hari tersebut kebarangkalian proses persenyawaan akan berjaya adalah paling tinggi”.
“Maknanya cikgu?” tanya pula Azizi.
“Maknanya , jika berlaku aktiviti seksual pada hari tersebut , kebarangkalian wanita tersebut untuk mengandung adalah paling tinggi” terang lagi cikgu Ani.
“Oooooo......”jawab murid lelaki beramai-ramai. Murid perempuan tersipu-sipu!.

Murid menjadi lebih seronok kerana setiap soalan yang ditanya pasti dijawab dengan sabar oleh cikgu Ani. Cikgu Ani sendiri faham , sukar untuk muridnya mendapatkan maklumat berkaitan ‘pembiakan’ ini daripada ibubapa atau keluarga mereka. Kebanyakan ibubapa merasa malu atau merasa tidak sesuai untuk membincangkan persoalan ini dengan anak-anak atau mungkin sebaliknya , anak-anak  yang merasa tidak selesa untuk membincangkan perkara ini dengan kedua ibubapa mereka.
Bagi cikgu Ani pula , memang menjadi tugasnya membimbing secara profesional dan perlu bersifat terbuka dengan menjawab semua persoalan yang bermain di kepala para remaja ini. Lebih baik para remaja ini dibimbing dengan betul. Guru memang sepatutnya menjawab semua persoalan yang bermain di kepala mereka. Jika tidak pasti mereka akan mencari jawapannya sendiri.
Jangan sampai keegoan kita sebagai orang dewasa menghalang kita daripada membantu mereka . Perasaan ingin tahu mungkin akan menyeret para remaja ini ke arah tindakan tidak bermoral  seperti melayari laman web lucah atau membeli dan menonton CD-CD murahan yang boleh didapati dari pelbagai tempat dengan harga yang sangat rendah iaitu serendah RM 5 sahaja. Jika itu terjadi pasti remaja kita mendapat gambaran yang salah tentang proses pembiakan yang tentunya menjurus kepada ‘seks kotor’.

“Err...cikgu, macam mana kita nak pastikan yang seorang anak itu...err...atau...err.. kita nak pastikan seorang budak itu anak siapa” tiba-tiba Azlin bertanya, ragu-ragu ....
Cikgu Ani terdiam mendengar soalan Azlin. Hatinya tertangkap akan sesuatu yang ‘tidak kena’ tentang anak muridnya ini.

“Hmm...mudah saja tu Azlin. Pergi saja ke hospital dan jalankan ujian DNA” jawab cikgu Ani ringkas.
“Tapi...kalau nak jalankan ujian DNA semua pihak mesti jalaninya kan cikgu?”
“Maksud awak?”
“Yelah...maksud saya ibu bapa dan anak itu mestilah sama-sama menjalani ujian tersebut kan cikgu?” tanya lagi Azlin.
“Betullah tu...tapi untuk menjalani ujian DNA , cukup dengan mempunyai sedikit daripada sampel darah orang yang hendak diuji. Tak semestinya orang berkenaan perlu hadir di hospital” terang cikgu Ani lagi.
“Errr...cikgu, tak adakah cara lain atau apa-apa saja sebagai petunjuk sama ada seorang anak itu betul-betul anak kedua ibu bapanya?” Azlin masih bertanya. Hatinya tidak puas dengan penerangan cikgu Ani tadi.
“Ada. Kita boleh buat kajian sendiri. Contohnya dengan melihat wajah kita dan bandingkan dengan wajah kedua ibu bapa kita itu. Semua yang kita miliki adalah daripada maklumat genetik / baka yang dibawa oleh kedua orang tua kita. Mungkin kita memiliki mata  seiras mata bapa kita , hidung pula ikut hidung ibu kita” jelas cikgu Ani lagi.
“Selain daripada itu cikgu, ada tak sesuatu yang lebih meyakinkan?” Azlin tetap tidak berpuashati dengan jawapan yang diberi oleh cikgu Ani.
“Hmm...kita boleh membandingkan jenis darah”
“Macam mana cikgu?” tanya Azlin berminat.
“Senang je...hmmm...apa jenis darah awak?” tanya pula cikgu Ani.
“Saya berdarah B” jawab Azlin
“Okey...kalau awak berdarah B maknanya mungkin ibu dan bapa awak berdarah O  dan B , O dan AB atau AB dan B. Tak mungkin ibu dan bapa awak berdarah O dan A,  A dan A atau O dan O” cikgu Ani menerangkan kepada Azlin dan semua ahli kelas 3 KRK.
“Eee...tak fahamlah cikgu!” sampuk Syafika.
“Hmm...baiklah, mari cikgu terangkan menggunakan rajah. Contohnya , apabila seorang lelaki berdarah O berkahwin dengan seorang perempuan berdarah AB. Mari kita lihat apakah kemungkinan darah yang bakal dimiliki oleh anak-anaknya”. Cikgu Ani menerangkan kepada anak muridnya menggunakan ‘rajah pewarisan’  sehingga mereka benar-benar faham. Di hujung penerangannya cikgu Ani bertanya , “Adakah awak semua faham sekarang?”
“Faham cikgu!!” jawab mereka serentak.
“Rrrriiiinnnngggggg!!!!” bunyi loceng menandakan waktu kelas Sains telah berakhir. Cikgu Ani menyusun buku dan alatannya.
“Baiklah semua , kita sambung  perbincangan dalam kelas yang akan datang”. Sebelum melangkah keluar , cikgu Ani berjalan ke arah Azlin lalu membisikkan sesuatu di telinganya.
“Terima kasih cikgu!” kata ketua kelas.
“Terima kasih cikgu!!” ikut semua murid lain.
“Sama-sama!” jawab cikgu Ani lalu melangkah meninggalkan  kelas.
“Eh , bestkan kelas Sains hari ni!” Akmal menyatakan pandangannya kepada Azlin.
“Belajar bab ‘reproduction’ , mana tak bestnya!” sampuk Azizi dari belakang.
“Sibuklah! Siapa cakap ngan kau!” marah Akmal.
“Err...cikgu bisik apa kat kau tadi?” Akmal berbisik di telinga Azlin.
“Ah...tak da apalah!” Azlin menjawab ringkas.
“Huh...sombong!” cemuh Akmal. Jengkel dengan keengganan Azlin berkongsi rahsia dengannya. Azlin diam dan buat-buat tidak mendengar cemuhan itu.



Petang yang menyedihkan...

Sekembali daripada kelas petang itu , Azlin terus masuk ke biliknya , mengambil tuala dan sabun lalu bergegas ke bilik air.
“Hai Lin , cepat mandi petang ni?” tanya Syafika.
“Hmm...aku nak cepat. Pas ni aku nak turun tipon mak aku” jawab Azlin ringkas.
“Errr....” belum pun sempat Syafika menyambung ayatnya Azlin telahpun pergi meninggalkannya.
“Hai... Lin, ada-ada aje kau ni...”keluh Syafika.

Selesai menunaikan solat asar , Azlin terus bersiap-siap mengenakan tudung dan bergegas ke dewan makan.  Di situlah terletaknya talipon umum yang biasa digunakan oleh para penghuni asrama untuk berhubung dengan keluarga atau orang lain di luar sana.
Tekad Azlin bulat , ingin mengetahui keadaan dirinya ...
“Hello , assalamualaikum mak” Azlin memulakan bicara setelah mendengar suara perempuan yang selama ini dipanggilnya ‘mak’. Panggilan keramat yang amat disenangi oleh semua anak-anak di dunia ini.
“Waalaikumussalam...hah Lin , kenapa telepon mak tiba-tiba ni?”
“Saja...”
“Rindukan mak ye?”
“Yelah jugak...err...mak , Lin nak tanya skit”
“Eh, banyakpun boleh. Tanya apa?”
“Err...mak , cikgu suruh Alin dapatkan maklumat  tentang jenis darah mak dan abah. Kami nak buat projek Sains. Semua orang kena dapatkan maklumat darah mak dan bapak mereka” Azlin berbohong.
“Oh , ye ke? Hmm...tak da masalah. Darah mak jenis O. Abah plak A. Along pun O jugak. Hmm...Alin dah catit?”
“Err...dah mak. Terima kasih...sampaikan salam sayang Alin pada abah dan along” Azlin mengakhiri perbualan. Air matanya jatuh bercucuran. Puas Azlin cuba menahan diri agar sedunya tidak sampai ke telinga Puan Taslimah. Azlin tidak mahu menyusahkan hati perempuan yang amat disayanginya ini.      
“Yelah...nanti mak sampaikan. Alin jaga diri ye...ingat selalu, mak dan abah sayangkan Alin” pesan Puan Taslimah. Itulah perempuan yang telah memberikan Azlin sepenuh kasih sayang. Malang sekali , sebaik sahaja gagang telepon diletak, Azlin sudah tidak mampu berdiri. Terperosok di bawah telepon awam yang dipasang kemas di dinding dewan makan itu. Azlin menangis teresak-esak...sahlah kini, mak Tas dan abah Azwan bukanlah ibubapa kandungnya!
“Hu hu hu...aku anak angkat!...aku anak angkat!” sedu sedan Azlin semakin menjadi-jadi.

“Hei Azlin, kenapa ni?” tanya Akmal yang kebetulan lalu di situ. Terkejut dia melihat keadaan Azlin.
“Hu hu hu...tak da apalah. Aku...aku... cuma rindukan mak dan abah aku je” Azlin segera mengesat airmatanya. Teguran Akmal mengembalikan dirinya ke dunia sebenar.
“Ye ke?” tanya Akmal tidak percaya.
“Eh , ye lah...errr...aku okey. Aku nak balik asrama . Er , kau nak ke mana?” Azlin menukar tajuk.
“Hmm...mana lagi, aku nak ke kantin...beli mee rebus jawa” renyih Akmal.
“Nak ikut?”pelawa Akmal.
“Tak palah...lagipun kejap lagi dah tiba waktu makan malam” Azlin menolak sopan.
“Okey, aku pergi dulu” Akmal berlalu ke kantin.Azlin berjalan lemah menuju ke asramanya.



Hujung minggu yang memeranjatkan...

Hujung minggu itu , Azlin menghabiskan masanya menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberi oleh guru-gurunya. Semakin menghampiri pertengahan tahun , semakin banyak kerja yang perlu dibuat. Semua guru inginkan muridnya cemerlang.
Tiba-tiba sesuatu mengganggu konsentrasi Azlin...
“Azlin , ada pelawat nak jumpa kau” Maznah , ketua asrama memberitahu Azlin.
“Pelawat...siapa?” tanya Azlin. Setahunya baru dua minggu lepas mak dan abahnya datang melawat. Tidak mungkin mereka...atau...sesuatu buruk telah berlaku!.
“Manalah aku tahu...keluarga kaulah agaknya!” jawab Maznah.
“Yelah...thanks!” Azlin bingkas bangun , menyiapkan dirinya lalu turun ke bilik menunggu. Di situlah para pelawat akan bertemu dengan penghuni asrama. Sambil berjalan , jantung Azlin berdegup kencang , hatinya berdebar-debar...”Eee...lain macam je perasaan aku ni!” keluh Azlin sendirian.
Lebih mendebarkan apabila Azlin sampai di  bilik menunggu...dilihatnya sekeliling, tiada seorangpun daripada pelawat yang hadir hari itu yang dikenalinya. Azlin termangu-mangu , menggaruk kepalanya yang tidak gatal.
“Err...Azlin ?” tanya satu suara dari arah belakang. Azlin menoleh dan dilihatnya seorang perempuan separuh umur menegurnya. Azlin hanya menganggukkan kepala.
“Emm...makcik , mak ngah. Err...marilah kita duduk dulu” Perempuan yang mengenalkan dirinya sebagai mak ngah itu mengajak Azlin duduk di sofa yang disediakan buat para pelawat. Di situ telah sedia menunggu seorang perempuan lain yang sedang menangis memandangnya. Juga ada sama seorang remaja lelaki dan dua anak lelaki kecil , mungkin berumur dalam lingkungan 3 hingga 6 tahun.
Azlin bingung...entah mengapa perasaannya gundah gulana.Lebih-lebih lagi apabila melihat wajah remaja lelaki itu saling tidak tumpah  wajahnya sendiri. Perempuan yang menangis itu pula...
“Ahh!!!” rengus Azlin.
“Duduklah Azlin , duduklah nak...” pinta perempuan itu.
Azlin hanya menurut.
“Lin , lin tak kenal kami ke?” tanya perempuan itu lagi. Azlin menggelengkan kepalanya. Perempuan itu teresak-esak lalu mengeluarkan sesuatu daripada beg tangannya. Beberapa keping gambar ... lalu dihulurkan kepada Azlin. Azlin menyambutnya , melihat gambar-gambar tersebut...sepasang anak kecil di apit oleh kedua orang tuanya. Perempuan yang sedang menangis itu....
Gambar kedua...Budak perempuan itu sedang didukung oleh lelaki bermisai lebat , pasti bapanya. Gambar ketiga...sepasang anak kecil saling berpimpin tangan...”Ah apa semua ini?” fikir Azlin.
“Maafkan saya...apa semua ini?. Saya tak faham...dan siapa anda semua?” Azlin mengawal diri dan bahasa percakapannya. Tidak mahu dianggap kurang ajar.
“Begini Azlin. Apa yang bakal mak ngah cakapkan ni pasti akan mengejutkan Azlin tapi...mak ngah harap Azlin tabah mendengarnya”. Azlin hanya mendiamkan diri.
“Azlin , mak ngah adalah ibu saudara kandung Azlin. Mereka berdua ini adalah ibu dan abang kandung Azlin. Kedua budak kecil ini pula adalah adik tiri Azlin” bagaikan halilintar membelah bumi...kata-kata mak ngah itu telah memanah jantung hati Azlin. Perasaannya sukar digambarkan....lidahnya kelu. Azlin tidak tahu bagaimana hendak bereaksi dengan semua ini.
“Ya Allah...inikah jawapan yang aku cari selama ini?...tapi mengapa...setelah sekian lama?” bisik hati kecil Azlin.
“Azlin...” perempuan yang sedang teresak itu memeluknya. Azlin menolak...
“Nanti...saya tidak faham. Tolong terangkan pada saya satu persatu” pinta Azlin dengan tegas. Tiba-tiba mendapat kekuatan untuk mengetahui perkara sebenar. Misteri tentang dirinya.
“Baiklah...nama ibu ialah Azimah. Ibu dulu pernah berkahwin dengan lelaki yang bernama Maulin”.
Perempuan itu membahasakan dirinya sebagai ‘ibu’. Azlin bingung.
“Hasil perkahwinan kami , kami telah dikurniakan dua orang anak iaitu Azman dan kamu...Azlin.Sayangnya jodoh kami tidak panjang. Setelah lima tahun mendirikan rumah tangga, kami bercerai. Kedua kamu diletakkan di bawah jagaan Ibu. Tapi ditakdirkan Allah , satu hari tu bekas ibu mertua Ibu , nenek kamu ada menelepon menyatakan rindu kepada kamu berdua. Nenek kamu meminta ibu menghantar kamu berdua ke rumahnya. Masa tu , Ibu bekerja sebagai kerani biasa di sebuah syarikat kecil. Jadi sebelum pergi bekerja , ibu hantar kamu berdua ke rumah nenek . Habis bekerja , ibu pergi semula ke rumah nenek untuk membawa kamu pulang... tapi malangnya....” Puan Azimah terhenti...menangis mengingati peristiwa lampau. Luka lamanya terasa berdarah kembali. Pedih hatinya pada ketika itu bagai dirasai semula. Lama dia menangis. Setelah kembali tenang , Puan Azimah meneruskan bicara.

“Sesampai saja ibu di rumah itu ,  nenek kamu bagaikan orang hilang akal , berlari ke arah ibu  sambil menangis dan menjerit-jerit. Azlin dilarikan Maulin!  Azlin dilarikan Maulin!...itulah kata-katanya berulang-ulang. Masa tu hanya tuhan saja tahu perasaan ibu. Lemah kaki ibu, terasa separuh nyawa telah meninggalkan badan. Rupa-rupanya sepeninggalan ibu , Maulin telah datang dan meminta izin untuk membawa Azlin berjalan-jalan. Mujurlah Azman tidak dibawa sama. Rupa-rupanya , Maulin ada rancangan lain...melarikan kau Lin”.
“Tapi kenapa baru sekarang?” tanya Azlin keras.
“Tak Lin , ibu dah cari Alin dari dulu lagi. Ibu cari bapa Azlin , tak jumpa. Dia dah menghilangkan diri... tapi satu hari tu , ibu terima sms dari Maulin memberitahu yang dia telah menjual Azlin pada  orang lain dan minta ibu menghentikan usaha mencari”.
“So lepas tu ... tak terus mencari?!” Azlin tidak berpuashati dengan jawapan Puan Azimah. Masa kan hanya itu usaha yang dilakukan untuk mendapatkannya semula...melainkan ... dirinya tidak begitu penting!
“Tidak nak...ibu telah buat laporan polis tapi nenek kamu merayu minta belas kasihan ibu . Nenek kamu meminta ibu menarik semula laporan itu. Nenek kamu tidak mahu ayah kamu ditangkap. Kerana kasihankan nenek dan kerana mengenangkan kebaikan dan jasa dia pada ibu sebelum itu...ibu akhirnya mengalah. Ibu menarik balik  laporan polis tersebut. Maafkanlah ibu Azlin...”rayu Puan Azimah.

“Jadi...sekarang bagaimana ...boleh tahu saya di sini?”
“Ditakdirkan Allah, baru-baru ni ibu terserempak dengan ayah kamu , Maulin. Dia pun dah banyak berubah. Dia sangat menyesal dengan apa yang pernah dilakukannya. Ayah kamu yang memberikan ibu alamat tempat tinggal kamu. Rupanya selama ini dia sentiasa mengambiltahu perkembangan kamu. Dia juga tahu kamu telah berjaya memasuki sekolah ini. Masa telah mengubahnya...ibu juga telah memaafkannya”
“Azlin , anak ibu...terimalah ibu nak. Ibu ingin sekali memelukmu...rindu benar hati ibu” Puan Azimah menarik tangan Azlin dan ingin memeluknya.
“Tidak!...saya tidak boleh terima ...sudah terlalu lewat!” Azlin menepis tangan Puan Azimah. Hatinya tiba-tiba dipenuhi dendam , marah dengan apa yang berlaku.
“Ahh! Mengapa aku yang harus menjadi mangsa keadaan?!” bentak hatinya.
Kemarahan itu membawa Azlin berlari laju meninggalkan semuanya...terlalu banyak kekesalan.  15 tahun hidupnya dalam pembohongan...
“Benci! Benci! Benci!!!” jerit Azlin......
“Alinnn....”sayu hati Puan Azimah. Kerinduannya selama ini masih belum terubat.



TAJUK KARYA :                       ANAK SIAPA?

HASIL KARYA   :                       ROZAI ASNIZAH BT MOHD SHARIFF

No comments:

Post a Comment