Popular Posts

Tuesday 13 September 2016

Novel 2 : Selepas Hujan Bab 9

BAB  9           :           Rindu yang meresahkan
Lukis jea ... rindu yang meresahkan
Kiranya rindu ini menggoncang tenang sanubariku


“Berhenti!!! Jangan berani kau memeluk isteri aku!”. Suara keras Encik Amir menghentikan langkah Diah. Encik Amir tiba-tiba terpacul di muka pintu.
“Ooo ... inilah lelaki yang telah merosakkan kau ya?!”. Marah betul encik Amir apabila terpandangkan Zuraimie.  “Betul? Kau yang merosakkan anak aku?!”. Tanya Encik Amir sambil mencekak leher  kemeja Zuraimie. Zuraimie terdorong ke arah Encik Amir.
“Maafkan kami pakcik. Maafkan saya!”. Kata Zuraimie. Jawapan Zuraimie itu telah memarakkan lagi kemarahan Encik Amir . Bukannya kemaafan yang diberinya tetapi satu tumbukan padu yang kena tepat ke muka Zuraimie. Zuraimie jatuh terpelanting ke tanah. Hidungnya berdarah.
“Ooo ... sekarang baru berani mengaku!. Hari tu masa dekat hospital kenapa diam menikus?! Apa? Takut? ...  Dah kau rosakkan anak dara orang , takut nak mengaku?. Huhh!!! Dasar jantan tak ada telor!! Pengecut!!  Bacul!. Berambus kau dari sini!!!!”.  Jerit Encik Amir sambil terus menendang dan membelasah Zuraimie. Ziah dan Diah menjerit-jerit melihat Zuraimie diperlakukan begitu.
 “Abang  ... cukuplah. Dah cukup malang nasib kita ni bang. Janganlah sampai abang menjadi pembunuh pula!”.  Puan Norlina cuba menghalang suaminya daripada terus membelasah Zuraimie.  Malangnya kata-kata isterinya itu langsung tidak memberi kesan. Badan Zuraimie terus-terusan menjadi tempat dia melepaskan geram.
“Janganlah begini bang ...  Cukuplah tu!!!”. Jerit Puan Norlina sekuat hatinya. Dia sendiri sudah hilang arah melihatkan kegilaan suaminya. Diah dan Ziah pula hanya mampu menjerit dan menangis memohon agar Zuraimie tidak terus dibelasah.
Mendengar jeritan isterinya itu , barulah Encik Amir menghentilkan perlakuannya. Termengah-mengah dengan nafas yang turun naik , marah dan sangat penat membelasah!
 “ Sudahlah bang , apapun Diah ni satu-satunya anak kita. Sebusuk-busuk daging dibasuh dimamah jua bang ... tolonglah bang. Maafkanlah mereka”. Rayu puan Norlina sambil memegang lengan suaminya.
“Aku tidak mungkin menerima kembali orang yang telah  menconteng arang di muka kita. Madu yang kita beri , tuba pula yang dibalasnya!”. Jawab encik Amir keras.
“Perbuatan mereka berdua ini benar-benar telah menjatuhkan maruah keluarga kita . Aku malu punya anak seperti itu. Buat apalah kita nak bersengkokol dengan manusia yang bertuhankan nafsu!”. Tegas Encik Amir , sedikitpun tidak memandang Diah.
“Abah ... maafkanlah Diah. Diah benar-benar menyesal. Kasihanilah Diah ... ke mana lagi Diah nak pergi. Diah cuma ada mak dan abah ... tolonglah abah , maafkanlah Diah!!”.  Diah merayu , cuba melangkah menghampiri encik Amir.
“Pang!”. Satu tamparan berat dihayunkan ke pipi Diah. Diah jatuh . Terjelepuk ke tanah.
“Diahhh!!!”. Jerit Zuraimie dan Ziah serentak.
“Abang!. Itu anak kita bang!!” Jerit Puan Norlina.
“Tidak! Berkerat rotan berpatah arang , aku tak akan benarkan dia jejakkan kaki di rumah ini
 lagi !!! ...pergi! ...Pergi!! . Jangan kau ke mari lagi . Berambus!!!”. Jerit encik Amir. Lalu menyeret Diah dengan kasar sebelum menolaknya ke arah kereta. Diah hampir tersungkur , mujur segera disambut oleh Zuraimie. Puan Norlina meraung , tidak sanggup melihat Diah diperlakukan begitu.
“Mak! Abah! Kasihankanlah Diah!!”. Rayu Diah.
“Abang  ...  mengucaplah bang .  Janganlah diturut rasa marah. Terimalah kembali anak kita bang. Itulah satu-satunya anak kita bang!!”. Puan Norlina merayu dalam tangisan.
“Tidak!!!”. Jerit encik Amir lantas menggenggam tangan isterinya lalu menariknya masuk ke dalam rumah. Puan Norlina sempat mencuri  pandang Diah sebelum ....
“Bannggg!!!”. Daun pintu dihempas kuat.
“Allahu Akbar!!”. Mengucap panjang Ziah mengingatkan kembali peristiwa yang berlaku pagi tadi. Sia-sia sahaja dia menemani Diah dan Zuraimie pulang ke rumah mak dan ayah Diah. Sangkanya , mak dan ayah Diah sudah memaafkan keterlanjuran anaknya tu , lebih-lebih lagi tidak lama lagi mereka akan menerima cucu.                                                                     
“Huh! Kasihan Diah … Kasihan auntie Norlina … kasihan juga Uncle Amir … Kasihan juga kau Zuraimie!”. Keluh Ziah.
“Kasihan juga aku!. Elok-elok dah dalam perjalanan balik ke Pagan Sena , langsung tak jadi!”. Keluh Ziah lagi … dan kini , masih dalam Kenari putih bersama Zuraimie dan Diah yang diam seribu bahasa. Masing-masing membatu!.
         Setelah ditolak kedua orang tuanya , Diah mengambil keputusan untuk menumpang kasih ibu Raziq di Cherating. Gerak hatinya kuat mengatakan yang ibu tua itu pasti gembira menerima kedatangannya. Mengapa ya?. Diah sendiri tiada jawapannya!.  Ziah dan Zuraimie tiada pilihan lain melainkan menurut sahaja kehendak Diah. … dan benar seperti sangkaan Diah , Mak Mah ibu Raziq menerima kehadirannya dengan tangan terbuka. Lebih-lebih lagi setelah terlihatkan perut Diah yang semakin membusung.
         Setelah segalanya selesai , Ziah dan Zuraimie memohon diri untuk pulang ke destinasi masing-masing. Zuraimie akan pulang ke Bandar Baru Bangi dan Ziah akan meneruskan perjalanannya yang tertunda … kembali ke Pagan Sena!.
Kenari meluncur laju  ...  meredah malam yang kian memekat. Penghuninya diam seribu bahasa. Masing-masing melayan perasaan sendiri hinggalah tiba-tiba ....
“Allah! ...”. Ziah bertempik kuat . Cemas apabila teringatkan sesuatu.
“Kenapa Ziah?”. Tanya Zuraimie. Turut cemas melihatkan keadaan Ziah.
“Aduhhh  ...  Ziah lupa nak telepon pakcik dan makcik. Ziah patut telepon mereka siang tadi , bagitahu yang Ziah akan lambat. Eeee ...  kenapalah terlupa. Tentu abang Anip tengah tunggu Ziah sekarang”. Bebel Ziah sendiri. Marah dengan kecuaiannya.
“Hmmm  ...  abang Anip lagi!”. Usik Zuraimie. Tersengih. Entah mengapa tenang sedikit jiwanya mendengar nama itu keluar daripada mulut Ziah , gadis yang pernah menyintainya!.
“Eh ... tolong ye , kami tak ada apa-apa hubungan. Dia abang kepada cikgu yang Ziah tumpang rumahnya. Itu saja!”.  Ziah menafikan sangkaan Zuraimie. Tidak suka hubungannya dengan abang Anip disalahertikan.
“Okey ... kalau ‘ada apa-apa’ pun tak ada salahnya”. Usiknya lagi.
“Ah! Tak mungkin. Jauh panggang dari api!!”. Jawab Ziah.
“Ha ha ha  ...  kita tunggu dan lihat.  Err  ...  kenapa tak  telepon je telepon bimbit ‘ abang Anip’ tu sekarang?”. Tanya Zuraimie , masih juga mahu mengusik. Ziah mencebik.
“Betullah tuu ... tapi macam mana nak telepon dia pasal nombor dia pun Ziah tak tahu. Mmm ... tak ada pilihan lain , Ziah telepon rumah jelah. Eeee ... abang Anip mesti marah gila!!!” Ziah membebel lagi. Zuraimie tertawa kecil.
“ Haii ... takkan takut sangat dengan abang Anip tu?”. Usiknya lagi.
“Awak tak kenal dia. Lelaki paling pelik dan penuh misteri yang pernah saya jumpa!”. Ziah memberitahu.
“Hahaha … ada-ada sajalah kau ni Ziah!”. Zuraimie teris tertawa.
“Hmm … suka hati awaklah. Tak percaya sudah!”. Ziah menutup bicara. Tidak guna dilayan kata-kata Zuraimie itu.

 “Ziah!!! ... janganlah buat aku macam ni!”
         Sangkaan Ziah meleset  sama sekali. Abang Anip tidak sedikitpun marah sebaliknya sangat risaukan keselamatan Ziah.
“Eee  ...  kenapalah Ziah tak sampai-sampai lagi ni?” . Keluh abang Anip. Sudah habis semua kaunter tiket ditanya , takut kalau-kalau  ada kemalangan atau mungkin bas rosak di tengah jalan. Abang Anip juga sudah berkali-kali menelepon ke rumah , mana tahu kalau-kalau Ziah ada meninggalkan pesanan tetapi hampa.
“Ya Allah ... janganlah terjadi sesuatu yang buruk padanya!”. Doa abang Anip di dalam hati. Resah. Sudah hampir lima jam dia menunggu di stesen bas Kuantan itu. Sejak pukul lima petang tadi! Kakinya sudah penat  mundar mandir ... namun untuk duduk diam hanya menambah keresahan di hati. Tiba-tiba teleponnya berbunyi. Abang Anip segera mengangkatnya.
“Hello ?”.  Sapa Abang Anip
“Hello abang , ni Miah”. Jawab si pemanggil.
“Huhh! ...  Miah. Apahal?”. Tanya abang Anip , sedikit kecewa. Bukan Miah yang diharapkan berada di talian.
“Aiii ... macam tak suka Miah call je?”. Miah terasa hati. Abang Anip diam , tidak peduli dengan bebelan Miah itu.
“Abang , Miah cuma nak sampaikan pesanan Ziah. Tadi Ziah telepon , dia kata dia tak jadi balik hari ini. Ada urusan yang perlu diselesaikan. Ziah kata dia tak telepon abang terus sebab dia tak ada nombor abang. Dia minta maaf banyak-banyak”. Miah menyampai pesan..
“Habis ... dia balik bila?”. Tanya abang Anip.
“Heee ... esok pagi-pagi dia sampai pasal dia akan naik bas malam ni. Tiket dia pukul 10:00 malam. Maknanya awal pagi esok sampailah tu. Nape ... rindu ke?. Heeee”. Usik Miah.
“Kepala otak kau!!” Marah abang Anip diusik begitu. Miah tertawa besar!. Langsung tidak takut akan marah abangnya itu.
“Eh abang janganlah marah. Miah gurau saja. Kalau tak ada apa-apa nape nak marah! Heee ... Opss! satu lagi Ziah pesan tak payah tunggu dia sebab esok bila sampai dia akan terus ambil teksi ke sekolah. So , abang balik jelah sekarang! Heee ...”.  Usik Miah lagi.
“Taulah!!!”. Jengkel benar abang Anip apabila terus-terusan diusik begitu lalu telepon bimbitnya segera  dimatikan. Tambah jengkel hatinya dek kerana perbuatan Ziah yang asyik menunda-nundakan  masa kepulangannya.
“Ada urusan!!. Huh! Langsung tak fikirkan perasaan aku. Dah lebih lima jam aku menunggu baru nak bagitahu tak jadi balik. Apa punya perempuan!!”. Getus hati abang Anip. Terasa bagai dirinya dipermainkan.
“ Eee ... kenapa Ziah ... kenapa Ziah?!” jerit hati abang Anip, tidak puas hati.
“Ziah!!! ... janganlah buat aku macam ni!”. Abang Anip menjerit sekuat-kuat hatinya. Terlepas! Orang ramai memandangnya. Terkejut dan tersengih ...
“Apa punya mamat ni ... gila bayang!! ... ha ha ha”. Seorang anak muda yang ada berhampiran mentertawakan abang Anip. Abang Anip malu besar . Bingkas bangun lalu terus mengangkat kaki!

Hati-hati dalam perjalanan....
         Sementara itu , Ziah sampai di stesen bas Cherating tepat jam sepuluh malam , mujur tidak tertinggal bas. Bergegas Ziah dan Zuraimie mendapatkan bas yang sudah sedia mahu bergerak itu.
“Hati-hati dalam perjalanan”. Pesan Zuraimie sebelum Ziah memanjat tangga bas. Ziah tersenyum dan hanya menganggukkan kepalanya.
“Err  Ziah !” . Panggil Zuraimie. Ziah yang sudah berada di tangga paling atas berpaling dan memandang ke arah Zuraimie. Kedua keningnya diangkat.
“Terima kasih atas segalanya!” Jeritnya dari bawah. Ziah tersenyum lalu melambaikan tangannya kepada Zuraimie. Bas ekspress yang dinaiki Ziah mulai bergerak dan meluncur laju membelah keheningan  malam. Perjalanan malam yang agak membosankan. Tiada apa yang boleh dilihat di luar jendela , hanyalah bebayang gelap pokok-pokok hutan dan tasik serta bukit bukau yang hanya nampak berbalam-balam. Hampir kesemua penumpangnya  melelapkan mata ..... nyenyak tidur ...zzzz

Aduhai mengantuk sangat mata ni...
         Tiba-tiba tidur Ziah diganggu oleh suara pemandu dan konduktornya.
“Hah , dah sampai. Kuantan! Kuantan!”. Jerit konduktor bas. Sengaja menguatkan suaranya untuk membangunkan para penumpang yang masih lena. Ziah menggosok-gosokkan mata.
“Huhh ... dah sampai? Cepatnya!.”.  Ziah bangun , bagaikan tidak percaya. Dia telah tidur nyenyak  di sepanjang perjalanan.
“Macam baru aje  naik bas , tiba-tiba dah sampai”. Katanya di  dalam hati. , cuba pula  melihat jam di tangan. 5:25 pagi!. 
“Betullah dah sampai!. Aku penat sangat kot”. Fikirnya lagi lalu segera turun daripada bas  , mengambil begnya dari tempat menyimpan beg di bawah bas.
“Nak kena cari teksi ni. Hmmm ... baik aku solat subuh dulu”.  Fikir Ziah. Ziah membuat keputusan untuk solat subuh dahulu sebelum mendapatka teksi sebaik sahaja mendengar  azan dilaungkan dari surau di perhentian bas tersebut.
         Selesai sahaja menunaikan solat , Ziah bergegas , berjalan laju untuk mencari teksi. “Mesti susah nak dapat teksi subuh-subuh ni.  Ahh ! Kereta sapupun bolehlah. Err tapi  mesti kena tekan harga. Hmm  ... tak kesahlah , yang penting sempat sampai sekolah sebelum 7:20. Kalau tak , tak pasal-pasal merahlah nama aku!”. Fikirnya  sambil sibuk memandang kiri dan kanan.
Tiba-tiba tangan kirinya ditarik dari belakang. Ziah terkejut dan dengan spontan tangan kanannya melepaskan beg pakaian yang dijinjingnya lalu jari jemarinya digenggam kemas , buku limanya dihayun laju tepat ke arah  muka si pengacau. Mujur si pengacau bertindak lebih pantas. Tangan  itu ditangkap dan digenggam kuat sebelum sempat  sampai ke sasaran.
“Heiii   akulah!!...”.  Abang Anip bersuara sambil merentap Ziah ke arahnya. Ziah terdorong ke dada abang Anip. Abang Anip menyuakan mukanya ke muka Ziah.
“Kau ingat siapa?”. Tanya abang Anip.
Ziah terkejut lalu segera membetulkan posisinya. Berdiri tegak di hadapan abang Anip.
“Err ... abang!. Maaflah ... Ziah betul-betul terkejut tadi. Spontan , tak sengaja!” . Ziah meminta maaf. Tersengih malu  apabila mengingatkan perlakuannya tadi.
“Hmm ... boleh tahan gerakan kau tadi. Biasa main silat?”. Tanya abang Anip. Tiba-tiba menjadi ramah.
“Err ... dulu adalah belajar sikit-sikit. Taekwando!” . Jawab Ziah tersipu-sipu.
“Tapi kena berlatih lebih lagi!!”.  Renyih abang Anip. Ziah hanya tersenyum.
“Errr ... kenapa abang boleh berada di sini pada waktu begini?”.  Ziah bertanya kehairanan .
“Errr ... atau ...?”.  Ziah bagaikan tidak percaya , bulat matanya memandang abang Anip apabila terfikir yang mungkin abang Anip telah menunggunya sedari semalam. Rasa bersalah menyelubungi hatinya.
“Ahhh ... abang Anip , Ziah betul-betul dah menyusahkan abangkan?. Maafkan Ziah ...”.   Keluh Ziah. Betul-betul kesal . Bukan itu saja , Ziah juga terharu dengan sikap abang Anip yang sanggup menunggunya .... menunggunya sepanjang malam!!
“Ah sudahlah. Jom ...  nanti kau lambat pula ke sekolah” .
         Abang Anip mengangkat beg Ziah dan berjalan  laju menuju ke kereta. Ziah mengejar dari belakang. Sebaik sahaja keduanya berada di dalam kereta ...
“Ziah , kalau boleh abang tahu ... kenapa Ziah melewat-lewatkan kepulangan Ziah?”.  Abang Anip bertanya kepada Ziah sambil menatap wajahnya. Suaranya lembut . Hatinya terasa puas dapat  menatap semula wajah gadis ini. Lebih-lebih lagi wajah yang baru disirami air wuduk. Air mukanya bersih dan cukup menenangkan. Hilang segala kerisauan dan kejengkelannya menanti  semalaman.
“Abang , pertama sekali Ziah betul-betul minta maaf kerana telah menyusahkan abang. Kedua , Ziah bukannya sengaja melewat-lewatkan masa untuk balik ke sini”. Terang Ziah.
“Habistu?”. Tanya abang Anip. Masih tetap menatap wajah gadis yang dirinduinya ini.
“Panjang ceritanya. Ziah tidak rasa abang sanggup mendengarnya”. Ziah berdalih , malas untuk menceritakan apa yang terjadi.
“Tiada faedahnya aku ceritakan kisah Diah dan Zuraimie kepada abang Anip. Buat apa ... bukannya dia kenalpun mereka apalagi untuk memahaminya!”. Fikir Ziah. Tambahan pula , Ziah memang tiada berminat untuk bercerita pada  waktu ini. Setelah mengharungi bermacam peristiwa sejak meninggalkan Pagan Sena  tempohari , Ziah terasa sungguh penat. Matanya bagaikan mahu terlelap semula apabila kereta mulai bergerak.
“Hmm ... Ziah mungkin tidak percaya. Abang memang sedia mendengarnya”. Belumpun sempat abang Anip mahu meneruskan kata-katanya , Ziah sudah terlena!.
“Laa ... dah lena minah ni!”. Abang Anip berkata sendiri. Tersenyum memandang Ziah , tangannya terdorong untuk mengusap pipi Ziah. Sejuk ... lembut ...
“Hmmm ... kasihan ...”. Keluh abang Anip. Abang Anip meneruskan pemanduan dengan perlahan dan berhati-hati.
“Biar lambat asalkan selamat!”. Begitulah pesan ibunya. Entah mengapa pada waktu sebegini pesanan ibunya itu memang sangat sesuai!. 
         Kereta meluncur terus , abang Anip memandu mengelak segala bonggol dan lopak . Tidak mahu mengganggu tidur Ziah.
“Huh! Inilah dia , tiap kali nak pilihanraya habis semua jalan diturap baru , lubang semua dikambus  tapi habis je pilihanraya , haram!. Jalan yang berlubang akan terbiar , lubang jadi semakin besar hingga boleh membahayakan pengguna. Nanti kalau ada yang dah terbunuh , dapat liputan TV. Hah! Masa tu barulah ada yang datang menjenguk. Baru terkial-kial nak  baiki jalan!. Hishh politik!!”. Abang Anip berleter sendiri. Benci betul dia mengenangkan sikap sesetengah ahli politik.
Namun kebencian itu segera terpadam tatkala matanya terpandang wajah suci Ziah yang sedang lena ... “Tidak pernah ku sangka kau akan membalut luka di hati ini”. Abang Anip mula melayan perasaan. “Tapi bagaimana harus aku curahkan semua rasa ini?”. Fikirnya pula.
“Ziah , kalaulah kau mendengar suara hatiku ... sehari tanpamu hidup ini terasa sunyi. Pincang segalanya....”
“Ziah , aku tak mampu kehilangan lagi. Tolonglah jangan menolakku!”. Bisik hati abang Anip. Matanya asyik mengerling ke arah Ziah yang benar-benar lena dibuai mimpi.
“Uncle!. Cukup! Cukup!. Jangan dipukul dia lagi. Dia tak bersalah. Bukan dia yang lakukan ... bukan dia. Bukan dia uncle!. Tolonglah , berhentilah uncle!”. Tiba-tiba Ziah  menjerit-jerit. Lenanya membawa igau mimpi melahirkan suara hatinya yang terpendam tatkala melihat Zuraimie dibelasah teruk oleh ayah Diah. Kepalanya dipalingkan ke kiri dan  kanan , wajahnya dibasahi peluh.
“Ziah!. Ziah! ... bangun. Bangun Ziah ...”. Abang Anip cuba menyedarkan Ziah dari igau mimpinya.
“Hrrrmmmnnnn....”. Ziah seakan merengek perlahan sebelum kembali lena.
“Huh!. Apa yang telah kau lalui?”. Keluh abang Anip , memandang Ziah dengan rasa simpati. Berbagai andaian datang dan pergi dalam fikiran abang Anip.
“Ahhh!!!. Persetan semua itu. Aku tahu kau gadis yang baik!”. Abang Anip menepis semua andaian buruk yang mengganggu fikirannya.
“Sesulit manapun perjalanan hidupmu , aku sanggup mengharunginya bersama”. Itulah janji abang Anip kepada dirinya sendiri.

“Begini puan , saya datang ni berkenaan hal cikgu Ziah ...”
         Sejam perjalanan , akhirnya mereka sampai di hadapan pintu masuk ke  sekolah tempat Ziah bertugas.  Abang Anip memberhentikan kereta di bahu jalan. Memandang semula Ziah yang  masih lena.
“Penat sungguh kau Ziah ... apalah agaknya yang telah kau lalui. Kau sepatutnya balik berehat saja”. Fikir abang Anip. Perlahan-lahan abang Anip membuka pintu keretanya lalu keluar berjalan memasuki kawasan perkarangan sekolah dan terus ke pejabat. Sampai di pejabat abang Anip melihat guru-guru berjalan laju menuju ke mesin ‘punch card’. Abang Anip tersenyum melihat gelagat para guru yang berusaha untuk memastikan kad masing-masing tidak merah.
“Encik , pejabat mula pukul 8:00”. Tegur kerani sekolah.
“Ya saya tahu tapi saya ada hal penting nak berjumpa pengetua. Dia dah sampai ke?”. Tanya abang Anip.
“Ya , nak jumpa saya?”  sapa satu suara dari arah belakang. Abang Anip menoleh ke arah suara itu . Seorang perempuan awal 50an sedang berdiri memandangnya.
“Ya puan”. Abang Anip mengiyakan.
“Ada masalah apa tu encik?”. Tanya pengetua
“Begini puan , saya datang ni berkenaan hal cikgu Ziah ...”. Jawab abang Anip.
“Ooo ... cikgu Ziah . Bukan ke dia dah ambil cuti rehat dua hari?”. Tanya puan pengetua.
“Ya puan. Sebenarnya...”. Abang Anip cuba menerangkan.
“Errr ... beginilah encik , mari kita duduk di sofa sana” . Ajak puan pengetua sambil menunjukkan ke arah tempat yang dimaksudkan.
“Yalah ...”.  Abang Anip mengekori puan pengetua ke sofa tetamu di pejabat itu...

... kenapa abang pandai-pandai buat keputusan ...
         Sementara itu di dalam kereta , Ziah masih lagi lena. Tiba-tiba Ziah terkejut kerana mendengar bunyi hon bas sekolah dibunyikan kuat.
“Err ... dah sampai sekolah?”.  Ziah terjaga , bersuara sambil memandang abang Anip. Abang Anip tidak menjawab tetapi terus memandu.
“Eh abang , ini bukan ke sekolah tapi ... menjauhi sekolah!”. Ziah bersuara keras kerana terkejut.
“Ziah , abang nak hantar Ziah balik. Ziah penat sangat”. Jawab abang Anip
“Eh , Ziah tak boleh buat macam tu. Ziah kena ke sekolah jugak. Dah dua hari Ziah ambil cuti rehat. Dahlah Ziah ni baru kerja ... tolonglah abang Anip , hantarkan Ziah ke sekolah”. Ziah cemas. Khuatir reputasinya akan terjejas.
“Ziah janganlah risau. Tadi abang dah cakap dengan pengetua. Dia beri Ziah cuti tanpa rekod untuk hari ini. Esok baru Ziah bersekolah semula”. Jelas abang Anip. Ziah agak terkejut mendengar penjelasan abang Anip.
“Kenapa?”. Tanya Ziah , memandang abang Anip dengan perasaan tidak puas hati.
Abang Anip membalas pandangan itu. Lama ... akhirnya abang Anip memberhentikan keretanya di tepi jalan sekali lagi. Ziah masih memandang abang Anip dengan pandangan yang tajam. Tidak suka abang Anip mencampuri urusan kerjanya.
“Kenapa?!”. Ziah mengulagi pertanyaannya. Matanya memandang tepat ke wajah abang Anip. Tiada senyum dibibir. Menyedari ketegangan di wajah Ziah. Abang Anip merenung mata Ziah. Diam ... tidak pasti apa yang perlu dikatakan.
“Salahkah aku cuba melindungimu?”. Tanya hati abang Anip.

“Kenapa?!”.  Ziah bertanya lagi. Agak keras suaranya. Abang Anip hanya menjawab dengan renungan. Wajahnya cukup serius menentang pandangan mata Ziah. Lama mereka begitu. Masing-masing tidak mahu mengalah. Tiga minit telah berlalu ... “Arghh!” suara Ziah keras. Mengalihkan matanya. Tidak mampu lagi untuk terus melawan  renungan mata abang Anip .... tiada faedahnya!!.
“Abang , Ziah cuma nak tahu kenapa abang pandai-pandai buat keputusan bagi pihak Ziah?”. Kata Ziah dengan nada yang agak jengkel. 
Abang Anip tidak menjawab sebaliknya terus diam. Kedua tangannya kuat menggenggam stereng kereta. Kalau diturutkan hatinya , mahu saja stereng itu dicabut dan dilemparkan jauh-jauh keluar. Dadanya turun naik menahan marah. “Masakan madu yang kuberi , tuba yang kau balas!!” . Fikirnya.

No comments:

Post a Comment