Popular Posts

Wednesday 7 May 2014

"Keranamu DIAH" : Bab 21

BAB 21 :   Mimpi ngeri 

Detik Perpisahan
            Pagi itu Diah agak kelam kabut menguruskan bayinya . Awal-awal lagi Raziq sudah menjerit-jerit menangis kerana punggungnya sudah penuh di basahi kencingnya sendiri. Diah tergesa-gesa menanggalkan lampin pakai buangnya untuk dimandikan dan alangkah terkejutnya Diah apabila mendapati punggung anak kecilnya itu memerah dek ruam lampin akibat dibiarkan berlama berendam dalam air kencingnya semalaman.
“Patutlah sayang mak menangis tak henti-henti. Sakit ke sayang?”. Kata Diah kepada bayinya itu.
“Bukan sakitlah tapi gatal!. Ruam lampin macam ni menandakan yang emaknya tak pandai nak mengurus anak. Bayi kecil macam ni perlu disalin selalu lampinnya. Bukan dibiarkan saja bergelumang dengan kencing.  Mentang-mentang dah senang pakai lampin pakai buang saja , langsung tak dihiraukan kebersihan anak!”. Puan Sarah tiba-tiba menyampuk dari muka pintu.
“Huh! Kenapalah aku tak tutup rapat pintu ni tadi?”. Diah menepuk dahinya sendiri!!.
            Puan Sarah langsung tidak menghiraukan reaksi Diah. Segera Raziq yang sudah bogel itu diambilnya dari gendungan Diah. “Biar mak saja yang uruskan dia”. Katanya tanpa memberi peluang kepada Diah untuk berkata lebih lanjut. 
“Err ... mak...”. Kata-kata Diah terhenti. Kelu lidahnya melihatkan perlakuan ibu mertuanya.
“Biah! Biah!”. Puan Sarah terjerit-jerit memanggil pembantu rumahnya. Perempuan pertengahan usia itu berlari-lari anak mendapatkan tuannya.
“Ya puan”. Jawabnya sepatah.
“Ni , tolong angkat semua peralatan dan pakaian bayi yang ada dalam bilik ni. Letak semuanya dalam bilik saya”. Arah Puan Sarah lalu melangkah keluar meninggalkan Diah yang  tergamam melihat bayinya dibawa pergi.
“Mak!? ... mak ... tolonglah. Jangan ambil anak Diah”. Rayu Diah , menuruti langkah ibu mertuanya sambil cuba mengambil semula Raziq daripada gendungan ibunya.
“Raziq! Raziq!...”
“Sudahlah Diah. Takpayahlah kau nak berdrama pulak kat sini. Kau dengar apa yang aku hendak cakapkan ni. Mulai hari ini biar aku saja yang jaga Raziq. Kau bolehlah fokus dengan tanggung-jawab kau sebagai isteri dan menantu dalam rumah ini. Lagipun kita tinggal sebumbung. Bila-bila masa saja kau boleh jumpa anak kau ini. Anak kau tapi cucu aku. Cucu pertama aku. Sudah tentulah aku suka nak menjaganya. Takkan aku neneknya tidak boleh menjaga cucuku sendiri. Kau tak ada bantahan kan?”. Kata Puan Sarah tanpa menoleh ke arah Diah. Belumpun sempat Diah menjawab , Raziq sudah dibawa pergi. Tinggallah Diah berdiri kaku di muka pintu biliknya.
Menitis air matanya melihat semua pakaian dan peralatan bayinya pula dibawa keluar.
“Ya Allah! Dugaan apakah lagi yang harus ku tempuh”. Ratap hatinya.

Zuraimie yang penyayang
            Diah memerapkan diri di dalam kamar tidurnya.  Malas dia mahu berdepan dengan ahli keluarga barunya. Setelah apa yang terjadi pagi ini , Diah seakan dapat merasakan yang hidupnya pastinya akan dirundung kesedihan yang tidak berkesudahan.
“Sudah jatuh ditimpa tangga. Ingatkan perkahwinan ini akan memberi sinar baru dalam hidupku tapi sebaliknya awan mendung kian menebal!”. Katanya sendiri. Air mata yang mengalir sedari tadi dibiarkan saja membasahi pipi. Matanya mulai membengkak , hidung mancungnya sudah memerah bagaikan badut namun Diah sudah tidak peduli. Biarlah matanya membengkak dek banyak sangat menangis. Biar hidungnya merah menyala dek banyak kali dipicit. Biarlah ... hati yang rawan bukan mudah diubati!
“Tok! Tok! Tok!”. Pintu biliknya diketuk dari luar.  Seketika kemudian tombol pintu dipulas dan Zuraimie melangkah masuk dengan pakaian sukannya. Zuraimie baru sahaja balik dari ‘berjogging’. Jelas pakaian dan wajahnya dibasahi peluh.
“Eh! Kenapa isteri abang ni menangis lagi?”. Tanyanya hairan lalu segera datang mendekati Diah. Zuraimie mengambil tempat  duduk disisi isterinya itu. Diah hanya menggeleng-gelengkan kepala. Zuraimie mengetap gigi lalu  memandang sekeliling , dia cuba mencari jawapan sendiri.
“Raziq  mana?”. Tanyanya setelah menyedari bayi itu dan semua pakaian dan peralatannya sudah tiada lagi di dalam bilik. Bukan jawapan yang diterimanya tetapi air mata dan raungan Diah sudah cukup menjelaskan segalanya.
“Eee!. Ini mesti kerja mak kan?”. Katanya sebelum bangun untuk mendapatkan ibunya.
Elok ketika dia mahu melangkah pergi , lengannya segera dipaut oleh Diah.
“Tak apa. Biarlah mak yang jaga cucunya itu. Nanti bila senang Diah ambillah Raziq. Lagipun kita kan tinggal serumah. Tak ada salahnyakan kalau mak nak turut sama menjaga Raziq”. Kata Diah dalam tangisan. Diah sedar , keengganannya menurut kehendak ibu mertuanya itu  akan hanya  membina dan memperkukuhkan  tembok permusuhan yang sedia wujud antara mereka berdua. Mungkin wajar dia mengalah.
“Betul?”. Tanya Raziq sepatah. Diah hanya menganggukkan kepala.
“Abang  tak mahu Diah makan hati berulam jantung tinggal di rumah ini. Kalau boleh abang mahu Diah menganggap rumah ni macam rumah Diah sendiri. Mak abang itu macam mak Diah sendiri . Mak abang tu , mulut saja kasar tapi hatinya sebenarnya baik dan penyayang”. Sambung Zuraimie lagi. Diah hanya mengangguk-nganggukkan kepalanya , “Penyayang?. Banyaklah dia punya penyayang!!”. Bentak hati Diah , menyangkal pujian yang diberikan oleh Zuraimie terhadap ibunya.

Sarapan pagi
            Setelah habis mandi dan berpakaian , Zuraimie mengajak isterinya untuk sama-sama turun dan bersarapan pagi. Pada awalnya Diah menolak dengan alasan sudah kenyang.
“Laa ... buat apa abang kahwin kalau kena makan sendiri. Jomlah , temankan abang makan”. Pujuk Zuraimie , sengaja suaranya dimanjakan. Diah terpaksa akur.
“Mengada-ngada!”. Kata hatinya namun senyuman tetap terukir di bibirnya yang comel.
“Hmm ... macam tulah isteri abang”. Kata Zuraimie sebelum mencuri cium pipi gebu isterinya itu. Diah tersentak namun tidak sempat berbuat apa-apa.
“Hahaha”. Zuraimie tertawa melihatkan mata Diah yang terbelalak luas akibat terkejut dengan tindakannya. Segera tangan isterinya dipaut dan mereka berjalan beriringan menuruni tangga menuju ke ruang makan rumah itu.
“Hmm ... sudah lewat begini baru nak turun sarapan pagi”. Perli  Puan Sarah , sengaja matanya dijelingkan ke arah Diah. Diah tunduk , malu  sungguh apabila ditegur begitu , terasa benar yang dia bukanlah menantu yang baik.
“Eh awak ni. Biarlah mereka. Kan ke pengantin baru. Biasalah tu”. Tuan Zaman menegur isterinya.
“Orang pengantin baru berdua. Ini tidak dah bertiga baru jadi pengantin baru”. Selamba saja Puan Sarah berkata. Sengaja dia mahu mengguris hati menantunya.
“Maak!. Apa yang mak merepekkan ni?. Bukankah mak terlalu sayangkan Raziq sampaikan mak angkut dia dan semua barang dan peralatan dia masuk ke dalam bilik mak. Mie rasa , kalau mak sayangkan Raziq , mak tak sepatutnya mengungkit lagi hal ini. Kalau ikutkan hati Mie , mahu saja Mie mengambil balik Raziq dan semua barangannya kembali ke bilik tidur kami tapi Diah tak bagi. Diah mahu beri peluang kepada mak untuk turut sama menjaga dan merasa gembira dengan kehadiran Raziq. Mak harus hargai itu”. Balas Zuraimie dengan tegas. Puan Sarah masam mencuka mendengar kata-kata anaknya itu.
“Baru  berbini dah pandai nak menasihati aku!. Ini mesti bini dia tu yang hasut. Apa malangnya aku bermenantukan perempuan serupa itu!”. Rungutnya perlahan.
“Sarah! Sudahlah tu. Betul apa yang dikatakan Zuraimie. Hmm ... sudahlah. Duduk Mie , Diah. Mari kita sarapan sama”. Sampuk Tuan Zaman , dia tidak mahu sikap buruk isterinya akan mengeruhkan keadaan. Padanya segala yang berlaku tidakkan dapat diubah lagi , harungi saja dengan baik.
“Ya. Terima kasih ayah”. Jawab Zuraimie dan Diah serentak lalu duduk di kerusi yang bertentangan dengan Puan Sarah dan Tuan Zaman.
“Hmm ... ni satu lagi. Diah maaflah kalau apa yang bakal saya katakan ini akan menyinggung hati Diah”. Tuan Zaman bersuara tanpa memandang wajah Diah. Diah mengangkat kepalanya memandang bapa mertuanya , pelik benar kedengarannya apabila tuan Zaman membahasakan dirinya sebagai ‘saya’.
“ Err begini ... tak perlulah panggil kami ‘mak’ dan ‘ayah’. Rasanya lebih sesuai kalau Diah panggil saja kami Puan Sarah dan Tuan Zaman sahaja. Itu sudah memadai”. Sambung Tuan Zaman.
Kata-kata Tuan Zaman itu benar-benar mengejutkan Diah dan Zuraimie. Mereka bertukar pandangan , wajah Diah berona kemerahan. Terasa hina sungguh dirinya. Zuraimie pula menggeleng-gelengkan kepalanya sambil beristighfar panjang.
“Tapi kenapa ayah!?. Apa masalahnya sehinggakan Diah harus memanggil mak dan ayah sebagai  tuan dan puan?. Diah ni isteri Mie yang sah. Bukannya orang gaji dalam rumah ini”. Tanya Zuraimie , dia benar-benar  tersinggung dengan kata-kata ayahnya itu. Tidak disangkanya mak dan ayahnya sanggup bersikap begitu terhadap Diah.
“Mie , kau sendiri tahu jawapannya!. Satu lagi , ayah mahu lepas ni kau balik ke Puchong. Rumah kau di sana juga perlu dijenguk!”. Arah Tuan Zaman , tegas dan keras  suaranya.
Zuraimie terdiam , giginya diketap kuat. Dia sedar sejak dia sibuk dengan urusan pernikahannya dengan Diah , Hidayah yang sudah dua minggu berpindah dan menyewa di Puchong langsung tidak dihiraukannya. Baginya , Diah adalah segalanya. Diah adalah hidupnya dan Diah adalah satu-satunya isterinya!.
Zuraimie terdiam dan Diah pula bingung. Matanya memandang Zuraimie tanpa kelip , “Rumahnya di Puchong?. Kalau Zuraimie sudah ada rumah di Puchong , mengapa kami masih perlu tinggal di sini?”. Fikirnya.
“Mie!. Ayah hanya mengingatkan tanggung-jawab kamu , bukannya suruh kamu termenung panjang!”. Tegur Tuan Zaman.
“Ya . Ya ayah. Nanti saya ke sana”. Jawab Zuraimie ringkas. Pantas matanya ditundukkan ke bawah , tidak berani menentang pandangan mata Diah.
“Bukan nanti tapi lepas habis saja sarapan ini ayah mahu kamu terus ke sana”. Arah Tuan Zaman.
“Err ... tapi lepas ni Mie kena ke pejabat. Pukul 9.00 nanti Mie ada meeting dengan ‘client’ kita di  Subang Jaya”. Balas Zuraimie. Sejak bernikah dengan Hidayah , Zuraimie telah mula bekerja di Syarikat milik ayahnya sendiri. Syarikat yang membekalkan lori kontena untuk mengangkut barangan import dari pelabuhan atau barangan yang perlu dieksport ke luar negara. Bukan  baru sekarang Tuan Zaman mempelawa anaknya untuk sama menyertai perniagaan keluarga tapi sejak dulu cuma Zuraimie sahaja yang selalu berdolak dalih.
“Bukan Mie tidak mahu bekerja dengan ayah cuma berniaga itu bukan minat Mie. Mie mahu menjadi pendidik yang mendidik anak bangsa bukan bussines man macam ayah!”. Itulah alasan Zuraimie dulu setiap kali Tuan Zaman mengutarakan soal tanggung-jawabnya untuk memikul dan meneruskan perniagaan keluarga.
“Tak payah. Itu biar Ibrahim yang urus. Buat apa dia jadi assistant kau kalau perkara senang macam tu pun tak boleh buat”. Balas Tuan Zaman.
"Err ... baik ayah. Nanti lepas sarapan ni Mie ke Puchong”. Zuraimie terperangkap dan terpaksa akur dengan arahan ayahnya.Nampaknya Tuan Zaman sudah menggunakan kuasa vetonya!.
“Hmm ... sampaikan salam mak pada ‘Hidayah’ ye. Beritahu dia , kalau senang-senang tu datanglah ke mari. Lama benar mak tak jumpa dia. Rindu pula rasanya”. Puan Sarah menyampuk sambil matanya menjeling benci ke arah Diah. Sengaja nama ‘Hidayah’ disebut dengan kuat.
Diah yang sedari tadi hanya menjadi pendengar mulai tertanya-tanya. Memang itulah yang diinginkan Puan Sarah.
“Apa yang berlaku ni?. Hidayah , siapa Hidayah itu?”. Fikirnya. Diah mulai berasa tidak selesa untuk berlama-lama di meja makan lalu meminta diri untuk naik ke kamar tidurnya.
Zuraimie yang perasan akan perubahan wajah Diah segera mengekorinya. Zuraimie sungguh kesal dengan sikap emak dan ayahnya yang sengaja menyakitkan hati Diah.
“Ya Allah , bilalah agaknya kami akan mengecapi kebahagiaan hidup ini?”. Keluhnya di dalam hati.
            Sampai di muka pintu biliknya , Zuraimie memberi salam. Diah yang pura-pura membaca majalah di sofa bilik itu dipandangnya dengan belas.
“Sayang , maafkan abang dengan sikap mak dan ayah tadi”. Katanya lembut sambil meletakkan tangannya di atas ribaan Diah.
“Tak ada apa-apalah bang. Diah okey”. Jawab Diah. Lain di mulut , lain di hati. “Alhamdulillah. Abang bangga punya isteri sebaik Diah. Diah , abang berjanji tidak akan pernah mensia-siakan Diah. Percayalah”. Kata Zuraimie sambil menggenggam tangan Diah.
“Ya. Diah tahu. Sudahlah , janganlah abang risaukan Diah. Bukankah abang perlu ke Puchong pagi ni?”. Diah cuba mencungkil maklumat. Ringan sahaja mulutnya mahu bertanya terus kepada Zuraimie siapakah  gerangannya Hidayah itu dan apa hubungan gadis itu dengan Zuraimie.  Namun rasa ego menegahnya dari berbuat begitu.
“Err ... Hidayah tu adik sepupu abang. Anak kepada MakSu Sofea , adik mak. Dulu dia tinggal di Kedah. Tapi baru dua minggu berpindah ke Puchong. Itulah ayah suruh abang jengok dia. Maklumlah tempat baru , mungkin ada banyak perkara yang perlu ditolong”. Zuraimie sengaja bercerita tentang Hidayah. Dia bagaikan sedar tentang persoalan yang bermain di benak hati Diah. Dia juga sedar ibunya , Puan Sarah sengaja menimbulkan soal Hidayah di hadapan Diah. Semuanya kerana mahu menyakiti hati Diah. Menantu yang terpaksa diterimanya!.
“Ooo begitu”. Balas Diah , lega. Hilang sudah perasaan tidak selesanya mendengar penjelasan Zuraimie. Bibirnya mengukir senyuman.
“Eh! Lekaslah bersiap bang. Nanti lambat pula”. Kata Diah sambil bangun menyediakan pakaian untuk Zuraimie.
“Fuhh!!!”. Zuraimie lega melihatkan perubahan sikap Diah yang tiba-tiba ceria , dalam masa yang sama Diah sendiri merasa hairan dengan dirinya Sungguhpun tangannya sibuk memilih baju yang sesuai untuk Zuraimie , fikiran Diah  dihantui pertanyaan , “Mengapa aku rasa lega bila mengetahui yang Hidayah itu adalah adik sepupu dia. Cemburukah aku?”.

Hidayah menuntut hak
            Sejam kemudian , Zuraimie sudah berada di hadapan rumahnya di Puchong. Loceng  rumah dibunyikan. Tiada balasan. Setelah mencuba beberapa kali maka Zuraimie mengeluarkan kunci pendua yang memang disimpannya lalu membuka pintu pagar seterusnya pintu rumah dan melangkah masuk ke rumah teres dua tingkat itu.
            Keadaan di dalam rumah sunyi sepi. “Assalamualaikum , Hidayah! Hidayah!”. Panggilnya dari bawah sambil kakinya melangkah memanjat tangga menuju ke tingkat atas.
“Manalah pulak perginya Hidayah ni?”. Tanyanya sendiri.
Sebaik sahaja sampai di muka pintu bilik , Zuraimie terdengar suara orang mengerang.
“Eh Hidayah , kenapa tu?”. Fikirnya cemas lantas segera membuka pintu tanpa mengetuknya terlebih dahulu. Terbeliak matanya melihat Hidayah terbaring di atas katil dengan selimut tebal menutup tubuhnya dari hujung kaki sampai ke leher.
“Hidayah , kenapa ni?”. Tanyanya , cemas. Kepala Hidayah dirasanya dengan belakang tapak tangannya.
“Abang , Dayah tak sihat. Kepala ni pening sangat”. Jawab Hidayah separuh merengek.
“Laa , kenapa tak telepon abang awal-awal lagi?”. Balas Zuraimie.
“Boleh ke?”. Hidayah sengaja buat muka sedih , memandang Zuraimie dengan mata kuyunya.
“Eh! Kenapa pulak tak boleh. Kan abang ni suami Hidayah?”. Kata Zuraimie , dia sendiri tidak percaya dengan apa yang dituturkannya.
“Suami?. Betul?. Kalau suami kenapa Dayah ditinggalkan sendiri. Duduk sorang-sorang di rumah ni. Tanya khabar pun tidak. Makan ke , sakit ke ...”. Hidayah mula mengada-ngada.
“Hmm ... Dayah sendiri tahukan. Abang baru saja bernikah. Tak bolehlah nak jenguk Hidayah di sini. Maafkan abang ye. Okey , Jom abang bawa Hidayah ke klinik”. Zuraimie bercakap bagaikan tiada hati perut , langsung tidak dihiraukan perasaan Hidayah. Dia lantas berdiri untuk memimpin Hidayah bangun.
“Ah! Tak mahulah. Abang dah abaikan Hidayah lebih dua minggu jadi sebagai balasannya  abang kena tinggal sini dua minggu jugak. Jaga Dayah sampai sihat”. Dayah mula menjalankan rancangannya. Sengaja dia berlakon sakit  sebaik saja Tuan Zaman memberitahunya tentang kedatangan Zuraimie melalui telepon bimbit nya pagi tadi.
“Hmm ... nak bermanjalah pulak Dayah ni. Kan ke abang ni kerja. Mana boleh duduk sini lama-lama. Lagipun nanti apa yang abang nak katakan pada isteri abang yang menanti di rumah”. Jawab Zuraimie , selamba.
Sangkanya Hidayah tidak kesah dengan pernikahan keduanya. Zuraimie juga masih menyangka yang perkahwinan mereka ini sekadar memenuhi permintaan dan harapan kedua orang tua mereka sahaja.
“Oo yang itu isteri. Habis , Dayah ni apa?. Perempuan simpanan?”. Kata Dayah dengan nada suara yang beremosi. Turun naik nafasnya menahan rasa.
“Laa ... apa pulaknya perempuan simpanan. Kan kita ni suami isteri yang terpaksa berkahwin atas permintaan orang tua. Hidayah sendiri sedia maklumkan pasal hal itu. Mengapa perlu mengungkitkan hal ini pula?”. Jawab dan tanya Zuraimie , mulai rimas melayan kerenah adik sepupu yang kini sudah menjadi isterinya yang sah.
“Sampai bila?. Suami isteri yang terpaksa berkahwin atas permintaan orang tua. Tapi sampai bila bang?. Sampai bila kita nak mengekalkan status ‘kahwin paksa’ itu?. Hidayah tak mahu mensia-siakan masa muda Hidayah dengan hanya berlakon sebagai isteri yang bahagia. Pada hal disentuh suamipun tidak!”. Hidayah melahirkan rasa tidak puas hatinya. Dia tidak mahu lagi hidup dalam kepura-puraan. Apa yang telah dilaluinya dalam sebulan ini amat menyakitkan perasaan. Baru dua minggu bergelar isteri sudah bermadu ...
“Hidayah?. Apa maksud kata-kata Hidayah itu. Bukankah kita sama-sama telah faham dan bersetuju dengan status perkahwinan kita ini?”. Tanya Zuraimie  sekali lagi , dia tidak boleh menerima luahan rasa Hidayah.
“Abang , Hidayah mahu menjadi isteri abang yang sebenar. Hidayah mahu dilayan sebagai isteri , bukan sebagai adik sepupu atau perempuan simpanan!”. Jawab Hidayah. Terluah sudah keinginan yang dipendamnya.
“Hidayah ...”. Tergamam Zuraimie mendengar kata-kata yang diluahkan Hidayah.
“Dayah , abang memang sayangkan Dayah. Dari dulu lagi. Dari masa kita masih kanak-kanak lagi. Tapi abang sayangkan Dayah sebagai adik kandung abang sendiri bukan sebagai teman hidup!”. Zuraimie meraup wajahnya berkali-kali.
“Tapi kita boleh cuba kan bang”. Rayu Hidayah. Tangannya mencapai tangan Zuraimie lalu dikucupnya tangan itu berkali-kali , “Kita boleh cuba kan bang”. Rayunya lagi.
Perlahan-lahan Zuraimie melepaskan genggaman tangan Hidayah.
“Maafkan abang Dik!”. Kata Zuraimie sebelum melangkah keluar meninggalkan Dayah sendirian , menangis tersedu-sedu. “Sampai bila aku harus terus begini?”. Fikirnya.
            Zuraimie melangkah turun ke ruang tamu lalu menghenyakkan punggungnya di sofa ruangan itu. Fikirannya kusut memikirkan apa yang baru berlaku.
“Ya Allah , kenapalah lepas satu , satu ujian kau turunkan padaku. Huh! Apakah hikmah di sebalik semua ini?”. Fikirnya.
Dari bawah Zuraimie dapat mendengar suara esakan tangisan Dayah. Memang sedari kecil adik sepupunya itu memang kuat menangis. Cuma dulu , setiap kali Dayah menangis pasti dialah yang akan datang memujuk. Namun itu dulu , tidak hari ini. Keadaan hari ini sungguh berbeza. Zuraimie amat keberatan untuk  naik memujuk Dayah.
“Untuk apa memberikan harapan jika tahu diri tidak akan mampu melakukannya. Biarlah Dayah bertenang , ya Allah bantulah kami mengharungi dugaan ini”. Doanya di dalam hati.
            Akhirnya Zuraimie mengambil keputusan untuk keluar  menenangkan diri. Namun sebelum dia keluar , dia naik ke atas untuk melihat keadaan Dayah. Risau juga dia jika apa-apa terjadi kepada adik sepupunya itu.
“Dayah , abang keluar dulu. Rehat dan jaga diri. Jangan terlalu berfikir tentang hal kita. Abang yakin , kita akan dapat jalan penyelesaian yang terbaik buat kita berdua. Bersabar ya dik”. Katanya lalu mengucup dahi Dayah. Merembes air mata Hidayah diperlakukan begitu.
“Kenapa susah sangat untuk abang menerima Hidayah sebagai isteri?”.
“Kerana kau telah terlebih dahulu bertahta di hati ini sebagai adik yang sangat aku sayangi”. Jawab Zuraimie. Jawapan yang membuatkan raungan Hidayah semakin kuat.          

Zuraimie mencari jalan penyelesaian
            Zuraimie melangkah longlai tanpa arah tuju. Taman Tasek Perdana memang sejak dulu telah menjadi tempatnya setiap kali berhadapan dengan masalah. Pemandangannya yang indah , rumput byang menghijau diserikan lagi dengan kehadiran beberapa ekor angsa dan itik yang menjadi penghuni tetap tasek di situ.
            Zuraimie duduk di salah satu kerusi batu yang ada di tepi tasek. Gelagat sepasang angsa yang ke hulu ke hilir bersama menarik perhatiannya. Sesekali seekor dari angsa itu akan  berbunyi sambil mengangguk-nganggukkan kepalanya dengan leher yang panjang ke arah pasangannya. Seketika kemudian , pasangannya itu akan membalas anggukan itu.
“Sekali fikir , jadi binatang lagi bagus. Hidup atas naluri diri saja. Tak perlu fikir pasal orang lain. Tiada konflik , tiada hati yang terluka”. Kata Zuraimie sendiri.
            Buku kecil  dan sebatang pen dikeluarkannya dari poket seluar. Memang itulah tabiatnya setiap kali singgah di Taman ini. Buku kecil itu sudah sarat dipenuhi sajak dan puisi luahan perasaannya. Hanya tinggal beberapa muka surat saja yang masih kosong.



Danau yang indah menawan
Unggas bebas berterbangan
Gagak bertenggek di pepohonan
Angsa  menari  mencari  pasangan
Anak ikan berenang ke tepian
Naluri hidup penuh kebebasan

Hai manusia jua yang lupa daratan
Ingin segalanya sempurna seindah ingatan
Demi sebuah angan  ada yang terkorban
Untung Tuhan tetap kekal buat menggantung harapan
PadaNya hamba ini mencari jawapan


Dugaan Hidup ...
 












No comments:

Post a Comment