Popular Posts

Monday 24 March 2014

"Keranamu DIAH" : Bab 14

BAB 14 :       PEMBOHONGAN

... bagai melukut di tepi gantang.
Petang itu kedua sahabat ini kembali ke hospital. Hajat mereka mahu menziarahi Diah , manalah tahu jika Diah sudah kembali sedar maka bolehlah mereka membantu Diah mengingati dan mengenal dirinya sendiri. Bolehlah mereka ceritakan semua peristiwa yang pernah mereka lalui bersama.
“Ingat Ba’ie , tiada cerita duka. Itu pesan doktor”. Ziah mengingatkan Ba’ie sebelum melangkah masuk ke dalam bilik wad di mana Diah ditempatkan.
“Dah lebih sepuluh kali kau ingatkan aku”. Balas Ba’ie sambil mencebik.
Ziah hanya tersenyum saja mendengarnya lantas segera menolak pintu.

Setelah pintu bilik wad terbuka ...
“Tu! Lihat” . Ba’ie menudingkan jarinya ke arah sofa di penjuru bilik tersebut.  Ziah memandang ke arah yang ditunjukkan. Zuraimie sedang terbaring lena. Kedua gadis itu mengamati wajah dan susuk tubuh pemuda ini dari muka pintu. Masih tetap tampan seperti dulu!.
Cuma kini wajah tampan itu kelihatan agak cengkung dengan  jambang yang dibiarkan meliar. Susuk tubuhnya juga semakin susut.
“Tentu kau cukup menderita dengan keadaan Diah sekarang. Entah mengapa hatiku ini terasa sakit benar melihatkan penderitaanmu. Besarnya cintamu terhadap Diah hinggakan tiada sedikitpun ruang di hatimu buat diriku. Aku ini benar-benar bagai melukut di tepi gantang. Hadirnya aku ini langsung tiada menberi erti!”. Bisik suara hati Ziah.
“Heiii  ... apa yang ditenung lama sangat tu?” .Tegur Ba’ie. Ziah tersentak , malu .
“Ehehehe!”. Ziah pura-pura tertawa kecil.
“Jangan tergoda. Hati dia milik orang!”. Usik Ba’ie.
“Tak da mananya aku merenung dia. Jangan kau merepeklah!”. Jawab Ziah tegas. Cuba menafikan.
“Heeee ... yelah tu!”.  Ba’ie berkata sinis lantas melangkah masuk.
“Eh  , bila sampai?”. Zuraimie tersedar dari tidurnya apabila mendengar suara  kedua gadis itu. Dia segera duduk , menggosok-gosokkan matanya lalu segera bangun berdiri. Segan pula rasanya apabila dirinya diperhatikan oleh dua gadis yang pernah menaruh hati padanya!. Perasan tak habis mamat ni!
“Macam mana keadaan Diah?” . Tanya Ba’ie. Zuraimie hanya menudingkan tangannya ke arah Diah.
“Macam itulah. Sedari tadi masih tidur saja”. Jawab Zuraimie. Sedikit kecewa.
“Sabarlah Mie. Sekian lama kau boleh tunggu , takkanlah dah sampai ke tahap ini kau dah hilang sabar”. Tegur Ziah.
“Betul kata Ziah tu Mie , Biarlah Diah pulih perlahan-lahan. Pada pendapat aku , Diah ni tentunya sedang trauma. Kemalangan yang menimpa dirinya itu adalah suatu tragedi yang maha dahsyat. Punah semua kehidupannya”. Ba’ie memberikan pendapatnya.
“Ya. Betullah kata-kata kau tu Ba’ie. Aku ni saja  yang tidak sabar. Dah lebih dua bulan aku mengadapnya , sayangku kepadanya semakin bertambah-tambah. Harapanku meninggi gunung untuk melihat Diah kembali ceria seperti dulu”. Terang Zuraimie , bersungguh melahirkan apa yang dipendamnya.
“Kita sama-sama inginkan yang terbaik buat Diah. Percayalah ini semua memang telah ditakdirkan olehNya. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini. Pada saat-saat seperti sekarang , kita harus lebih banyak mendekatkan diri kepadaNya dan banyaklah berdoa. Semoga kita semua akan diberikan kekuatan untuk menempuh semua ini. Terutamanya Diah. Semuga dia tabah menerima takdir yang telah tersurat buatnya”. Ziah seperti berkata untuk dirinya sendiri. Hatinya terharu melihat keadaan Diah. Terlantar ... tanpa seorangpun ahli keluarganya di sisi. Lebih parah lagi apabila ingatannya juga turut terjejas teruk sehinggakan dia tidak mampu mengenal dirinya sendiri!.

Pada ketika ini langsung terpadam segala ‘rasa’ yang masih tersisa di hati Ziah terhadap Zuraimie , lelaki yang telah banyak menderita dan berkorban untuk Diah. Tanpa sedar tangan Ziah mengusap-ngusap lembut rambut Diah. Agak kusut rambut itu dek sudah lama tidak bersikat.
“Kasihan kau Diah!”. Keluhnya.

... sesiapa saja yang datang mengaku teman pasti diakuinya.
“Ziah!”. Diah bersuara.
“Eh Diah , dah bangun?”. Ziah terkejut mendengar namanya dipanggil. Diah tersenyum memandang Ziah. Melihatkan senyuman Diah , semua yang ada turut gembira.
“Diah”.  Panggil Ba’ie. Diah memandang Ba’ie. Tersenyum sambil mengangkat keningnya.
“Hmm ... aku Ba’ie. Kita teman serumah. Kau , aku dan Ziah”. Ba’ie memandang penuh harap.
“Ba’ie?”.  Diah berkata. “Kau pun ada ...”. Balas Diah perlahan. Ba’ie tersenyum lebar apabila Diah sudah dapat menyebut namanya. Melompat kegembiraan lalu memeluk dan mencium pipi Diah berkali-kali.
“Aku tahu , kau mesti kenal aku. Kau mesti kenal aku. Kita kawan baik , masakan kau boleh lupakan aku”. Sambung Ba’ie gembira.
Ziah dan Zuraimie tersenyum senang melihat kerenah Ba’ie. Sangka mereka Diah sudah semakin pulih sedangkan sebenarnya Diah hanya bertindak sewajarnya. Sesiapa saja yang datang melawat pasti mereka adalah keluarga atau temannya.  Puas ditatapnya wajah Ziah , Ba’ie dan Zuraimie bergilir-gilir namun ... tiada sebutir ingatan tentang merekapun yang singgah dalam kotak ingatannya.
“Ya Allah ... apa yang telah terjadi kepadaku?. Mengapa aku tak mampu nak ingat apa-apapun?. Siapa sebenarnya mereka ini?. Lelaki ini ... benarkah?. Ahh! Tuhan ... kembalikanlah ingatanku. Tolonglah tuhan kembalikan ingatanku!!”. Keluh Diah di dalam hati sedang matanya memandang kosong menembusi dinding-dinding bilik itu.
Melihatkan keadaan Diah dan riak wajahnya yang begitu sukar untuk ditafsirkan , Ziah menghampiri , duduk ditepi katil Diah lalu memeluk lembut bahu sahabatnya itu.
“Diah ... kau okey?”. Tanyanya lembut.
“Alhamdulillah ... badan aku rasa semakin segar. Lama benar rasanya aku tidur. Tapiii ... apa sebenarnya yang telah terjadi padaku ya?. Kenapa aku sampai boleh tertidur lama di sini?”.  Diah bertanya , memandang Ziah  penuh harap. Mungkin Ziah boleh membantunya merongkai pelbagai soalan yang berselirat dalam fikirannya kini. Ziah tidak segera menjawab sebaliknya memeluk erat sahabatnya itu. Soalan Diah  membuatkan Ziah hiba.

Harapan
Zuraimie yang menyaksikan ‘panorama’ itu tersenyum lega , selagi ingatan Diah masih belum pulih sepenuhnya peluangnya untuk memiliki Diah pasti  akan berjaya.   Zuraimie bertekad  akan segera menikahi gadis ini.  Suka atau tidak , dia harus memanipulasikan keadaan sekarang!. Mengapa tidak?. Bukankah dia sudah menunggu sebegini lama , menanti tibanya saat Diah menjadi miliknya?.
“Ya! Milikku sepenuhnya!. Tidak! Tidak! Bukan begitu. Aku bukan lelaki kejam yang menangguk di air yang keruh. Ya Allah , bantulah aku untuk memperbetulkan niatku. Bantulah hambamu untuk membersihkan hati ini dari segala penyakit hati. Ya Allah , bantulah aku agar dapat aku tunaikan janjiku terhadap Raziq. Agar dapat kubela maruah gadis ini. Ya Allah tolonglah aku!”. Fikir dan doa Zuraimie bersungguh-sungguh.
“Atau ... mungkinkah aku rela melakukannya demi diriku sendiri?.Demi kepentinganku?. Ahh!! Apa bezanya?. Aku tidak merampas hak orang lain. Aku tidak menganiayai sesiapa malah aku telah dan akan terus berbuat jasa. Mana ada dalam dunia ini lelaki sepertiku yang sudi memikul beban tinggalan orang lain?. Hanya aku! Hanya aku!.  Mungkinkah aku ini wira penyelamat ... atau ... lelaki bodoh yang menagih cinta?!”. Zuraimie berperang dengan perasaannya sendiri.
“Huhh!!!”. Keluhnya berat. “Pungguk menangis tiada yang tahu ...”. Kata hatinya.

`Tiba-tiba seorang jururawat memasuki kamar pesakit .
“Maafkan saya encik , cik berdua. Pesakit perlu diperiksa”. Kata jururawat itu sambil menudingkan jarinya kepada Zuraimie , Ziah dan Ba’ie..
“Err ... periksa?”. Tanya Ba’ie.
“Rutin pemeriksaan biasa saje”. Jawab jururawat itu sambil tersenyum.
“Errr ... baiklah. Diah , kami keluar dulu ye. Nanti kami datang lagi”. Kata Ziah kepada Diah. Diah menganggukkan kepalanya. Ketiga-tiga  sahabat itu keluar meninggalkan kamar pesakit.

Masa untuk pulang
 “Mmm ... dah lewat petang ni. Aku rasa dah sampai masanya kita  berangkat balik. Esok sajalah kita ke mari lagi”. Kata Ba’ie sambil memandang Ziah.
Ziah diam , tidak sampai rasa hatinya untuk meninggalkan Diah sendirian. Lebih-lebih lagi dalam keadaannya sekarang.
“ Ziah?. Tak mahu balik lagi?”. Tanya Ba’ie sambil membeliakkan matanya memandang Ziah yang masih membisu. Ziah menggeleng.
“Aku rasa malam ni aku nak bermalam di sinilah Ba’ie. Boleh tak Zuraimie?” . Ziah meminta izin daripada Zuraimie. Ba’ie yang masih tercegat di situ mengerutkan dahinya mendengar pertanyaan Ziah , “Kenapa mesti minta kebenaran daripada mamat ni?. Dia ni bukannya siapa-siapa dengan Diah!”. Kata hatinya , tidak setuju dengan tindakan Ziah.
“Eh , tentulah boleh. Lagipun nanti  Diah tentu akan bertanyakan awak”. Jawab Zuraimie spontan diiringi senyuman yang melebar di bibirnya.
“Yes!!”. Satu  rahmat buatnya jika Ziah terus berada di sini. Terus hilang gejolak dan resah yang melanda hatinya tadi.
“Elok sangatlah awak mahu temankan Diah malam ni. Lagipun saya ...” Kata-kata Zuraimie terputus.
“Lagipun aku juga perlukan masa sendiri untuk memikirkan semula semua ini ... hubungan ini , tindakan yang bakalku ambil dan tentunya tentang rancanganku untuk menikahi Diah”. Zuraimie tiba-tiba larut dalam pemikirannya.
“Lagipun?!”. Tanya Ziah dan Diah serentak sedang mata mereka tepat memandang Zuraimie. “Beranganlah pulak mamat ni!”. Fikir Ba’ie dan Ziah serentak.
“Eh! Sorry , saya tengah memikirkan sesuatu. Err ... sebenarnya kebetulan malam ni ada perkara yang  perlu saya uruskan. Jadi , eloklah kalau Ziah dapat temankan Diah”. Tersentak dari lamunannya , Zuraimie memberikan alasan yang difikirkan munasabah.
“Hmm okey. Kalau begitu , baiklah Ziah , Zuraimie , aku balik dulu”. Ba’ie meminta diri.
“Dah lewat ni , biar saya saja hantarkan awak”. Pelawa Zuraimie.
“Errr ... tak payahlah. Aku boleh naik teksi!”. Ba’ie menolak.
“Ba’ie , dah nak maghrib ni. Susah kau nak dapat teksi waktu-waktu senja  begini. Biar sajalah Zuraimie hantarkan kau. Lagipun aku tak sedap hatilah nak biarkan kau balik sorang”. Kata Ziah lalu membisikkan sesuatu ke telinga Ba’ie.
“Takkan takut kot?. Kata dah tak ada apa-apa perasaan!”. Sambil mengenyitkan matanya.
“Ha ha ha ... apa pulak?”. Balas Ba’ie sambil ketawa. Tercabar dengan usikan Ziah.
“Wah! Rahsia besar ni”. Sampuk Zuraimie yang sedari tadi memerhatikan gelagat dua gadis itu.
“Eh , rahsia abendanya?. Ni hah Ziah , cuba menakut-nakutkan aku pasal hantu. Mengarut je!”.  Ba’ie berdalih. Tidak mahu Zuraimie tersalah sangka. Ziah tertawa mendengar jawapan Ba’ie. “Hantu? ... memang kau macam hantu Zuraimie. Mengganggu perasaan tenang orang lain!”. Kata hati Ziah.
“Kalau gitu , marilah saya hantarkan awak sekarang”. Ajak Zuraimie.
“Ok. Aku pergi dulu Ziah. Jangan lupa sampaikan salam aku pada Diah”. Pesan Ba’ie.
“Satu lagi ... aku tak takutlah berduaan dengan mamat ni. Takda maknanya dia padaku lagi”. Bisik Ba’ie , Ziah mengangguk sambil tersenyum lantas menaikkan ibu jari tangan kanannya.
“Ziah , aku harap kau akan menggunakan peluang ini untuk memastikan rancangan kita berjaya. Tolong aku!”. Pinta Zuraimie pula sebelum berlalu pergi  bersama Ba’ie.  Ziah hanya mengangguk perlahan.  “Huh! Mengapalah aku harus terperangkap dalam pembohongan ini?”. Fikirnya ...

... saya akan cuba bantu mana yang boleh
“Keadaan pesakit bertambah baik. Saya cuma menjalankan rutin pemeriksaan biasa. Memeriksa tekanan darah dan suhu badannya. Semuanya normal” . Terang jururawat ringkas.
Ziah mengangguk-nganggukkan kepalanya tanda faham.
“Hmm ... terima kasih”. Ucap Ziah sepatah. Tidak berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang keadaan pesakit sekarang. Ada perkara lebih penting sedang bermain di fikirannya yang membuatkan dia teragak-agak untuk masuk semula ke kamar pesakit.
“Huh ... rancangan kita?!”.  Fikir Ziah di dalam hati. Terasa seperti  mengkhianati sahabat sendiri!.
“Huhhh ... saya akan cuba bantu  mana yang boleh. Serlebihnya kita serahkan kepadaNya”. Ziah teringatkan janjinya untuk menyokong dan menolong menjayakan  rancangan gila Zuraimie . Berat benar perasaannya mahu berbohong kepada sahabat baiknya sendiri.
“Huhhh! Kerana mulut badan binasa. Pandai-pandai berbuat janji. Kini rasakanlah sendiri”. Keluhnya sambil mengetuk-ngetuk kepalanya , “Bodoh!!”.
Setelah mengumpul semula kekuatan diri , Ziah menghela nafas dalam-dalam sebelum masuk semula mendapatkan Diah. Sebaik sahaja Ziah melangkah masuk ...
“Dah berapa lama aku terbaring di sini?” . Tanya Diah tanpa bertangguh , lansung tidak ditunggunya Ziah duduk.
“Dah lebih dua bulan”. Jawab Ziah ringkas , berjalan menghampiri Diah lalu mengambil tempat  , duduk di atas kerusi pelawat di sebelah katil Diah..
“Kenapa?. Kenapa aku boleh berada di sini?”. Tanya Diah.
“Kau betul-betul tak ingat apa yang telah berlaku?”.  Tanya Ziah , minta kepastian. Diah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Betul kau nak tahu?”.  Tanya Ziah. Agak khuatir , takut jika Diah mengetahui perkara yang sebenarnya , fikirannya dan kesihatannya akan terganggu kembali.
“Ya. Tolong aku untuk  ingat semua itu. Aku dah tak sanggup hidup dalam keadaan begini. Semuanya bagaikan satu misteri”. Rayu Diah .
“Betul? Kau dah sedia?” .Tanya Ziah , teragak-agak untuk memenuhi permintaan Diah.
“Ya. Kenapa kau takut sangat?. Aku cuma nak tahu dan ingat apa yang telah terjadi padaku”. Jawab Diah , tersinggung dengan pertanyaan-pertanyaan Ziah tadi.
“Hmmm ... maafkan aku. Aku tak ada masalah nak ceritakan semua itu cuma aku risaukan kesihatan kau. Tapi  kalau kau benar-benar sudah bersedia , aku tidak keberatan memceritakannya. Err mana nak mula ye. Hmm okey ,  aku mulakan dengan kisah kita. Kisah dan persahabatan kau dan aku”. Ziah memulakan bicara.
“Kita adalah siswi di UKM .... bla .... bla ....bla ....”. Ziah menceritakan tentang kehidupan mereka di UKM. Tentang keakraban hubungan mereka. Tentang Diah yang sering saja lambat ke kuliah. Tentang abang roti canai dan segala-galanya yang telah mereka lalui bersama. Ada kalanya Ziah tertawa besar kerana terbawa-bawa dengan kisah mereka sedangkan Diah hanya diam mendengar.  Sesekali ada juga dia tersenyum. Itupun bukan disebabkan lucunya kisah yang diceritakan oleh Ziah tetapi tersenyum dek pelbagai aksi dan kesungguhan Ziah bercerita!.
Ziah terus bercerita “ bla  bla  bla  bla ...  hinggalah malam kejadian itu. Kau telah terlibat dalam satu kemalangan”. Ziah terhenti.
“Aku terlibat dalam kemalangan?. Bagaimana aku boleh terlibat dengan kemalangan itu?”. Tanya Diah ingin tahu.
“ Malam itu kita semua , kau , aku , Raziq dan Zuraimie ...”. Ziah mengatur cerita , memulakan ‘episod pembohongan’nya.
“Raziq ... Zuraimie. Siapa mereka?”. Sampuk Diah.
“Ya. Zuraimie tu teman lelaki kau. Budak lelaki tadi. Masakan kau dah lupa?” . Ziah mula memainkan peranannya. Diah terdiam. Lama ...
“Diah , kau ok?”.  Diah mengangguk perlahan. Kepalanya terasa sakit . Diah cuba mencari memorinya bersama Zuraimie tetapi hampa. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Apa yang terbayang samar di kotak fikirannya ialah tentang cahaya terang sebuah kenderaan dari arah hadapan yang laju merempuh kenderaan yang sedang dinaikinya.
“Arrgghhhh!”.  Diah memegang kepalanya. Sakit !. Bayangan lelaki dengan wajah yang berlumuran darah menjelma di kotak fikirannya.
“Arrrgghhhh sakitnya kepala aku!”. Jerit Diah tiba-tiba  sambil menarik-narik rambutnya sendiri.
“Diah! Diah! Cukuplah. Tenang! Tenang!. Jangan terlalu memaksa diri. Kau berehat dulu  ya. Rehat dulu. Sudahlah tu. Kau rehat dulu ...”. Pujuk Ziah , dia cemas melihatkan keadaan Diah yang tiba-tiba tidak keruan lalu segera membaringkan Diah. Diah cepat mencapai tangan Ziah.
“Tolong aku. Bagitahu aku  , bagitahu aku sekarang ... siapa lelaki yang  bersama aku ketika malam kemalangan itu?. Wajahnya berlumuran darah , memandang aku!. Siapa dia?. Siapa dia lelaki yang bersama aku semasa kemalangan itu berlaku?”. Desak Diah sambil terus menggenggam erat tangan Ziah.
“Ahh! . Diah kau keliru!”. Jawab Ziah , tergamam dan tidak tahu mahu berkata apa.
“Tidak!. Wajahnya jelas dalam fikiranku. Dia dalam kesakitan yang amat sangat. Wajahnya berlumuran darah. Mengapa  ... mengapa aku  seperti amat terasa kehilangannya. Kehilangan  yang amat sangat dalam jiwa ini. Jiwa aku kosong , sunyi ... sepi ...  seperti sebahagian diriku turut hilang. Tolong aku. Tolong bagitahu aku siapa dia?!”.  Pinta dan rayu Diah.
“Diah , sabarlah. Kau sebenarnya sedang keliru. Esok saja kita bicarakan hal ini lagi. Jangan terlalu memaksa diri. Tidak baik untuk kesihatan kau”. Ziah terus memujuk.Harapannya agar Diah dapat bertenang.


 Diah kembali tenang
“Alhamdulillah”. Ucap Ziah. Diah sudah kembali tenang dan sedang memejamkan matanya semula. Mungkin kudratnya belum cukup kuat untuk berjaga lama. Ziah sangat sedih melihatkan penasaran Diah ketika ini , kalau boleh ingin saja dia berterus-terang.
“Ahhh!!!” . Keluhnya.
“Kau pasti sedang merasai kehilangan Raziq. Hati kau pastinya terasa sepi , kosong. Kau merindui dia. Kau sedang merindui Raziq. Ah! Diah , kasihannya kau. Tapi apa yang boleh aku buat untuk buat kau gembira?. Raziq sudah tiada. Sudah lama dia pergi. Maafkan aku Diah! Maafkan aku!”.  Kata Ziah di dalam hatinya. Sedih ...

Diah akhirnya tertidur semula bersama soalan yang belum terjawab. Tubuhnya masih lagi terlalu lemah.  Lebih dua bulan terlantar di atas katil membuatkan otot-otot dan sistem badannya menjadi lemah dan perlukan masa untuk pulih seperti sediakala.  Ziah duduk di atas kerusi bersebelahan dengan katil Diah.Termenung memandang Diah ...
“Kenapalah berubah terus takdir hidupmu? . Ya Allah , hikmah apakah yang tersembunyi disebalik semua ini?”. Ziah segera teringatkan kata-kata Ba’ie yang seperti menyalahkan Diah atas semua yang terjadi.
“Mungkinkah benar yang ini semua adalah kifarah atas dosa yang telah kau lakukan?”. Ziah memandang Diah sambil bertanya kepada dirinya sendiri.
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya”. Ziah teringat maksud sebahagian daripada ayat 286 dalam surah Al Baqarah yang pernah dibacanya dulu.
“Ya . Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang di luar kemampuan kita. Diah , aku yakin kau akan tabah dan dapat melalui semua ini”.  Suara hati Ziah berbisik. Wajah Diah ditatapnya penuh simpati.
Entah mengapa tidak semena-mena , Ziah teringatkan pula kisah cintanya yang hancur. Juga kisah cinta Diah . Kisah yang cukup tragis. Semuanya kisah cinta yang tidak kesampaian. Diah kehilangan Raziq dan dia kehilangan Zuraimie ...  sungguhpun Zuraimie ada di depan matanya namun  hatinya  tidak pernah mampu  dicapai!.
“Huhh! Semuanya kisah cinta duka”. Keluh Ziah , mulai melayan perasaannya sendiri. Teringat lagi tentang perbualannya bersama Diah suatu ketika dahulu. Mereka sama-sama pernah bersetuju untuk segera mengakhiri zaman solo mereka sebelum  mencecah ke umur 26 tahun.

“Sunnah nabi tu. Kau tak hendak ikut ke?. Kan ke nabi kita , nabi Muhammad (s.a.w) kahwin dengan Sayyidatina Khatijah pada umur 25 tahun!”.  Kata-kata Diah yang nakal dan mesra masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Diah , kita dah di penghujung 25 tahun tapi lihatlah diri kita. Semuanya masih lagi  suatu misteri!. Raziq kau sudah tiada dan Zuraimie ku kini sudah beralih padamu. Bukan salah kau , bukan salahku , juga bukan salah Zuraimie. Bukan salah sesiapa. Ini semua adalah suratanNya. Diah , cinta ini sememangnya suatu misteri dan amat menyeksakan ... kalau boleh , aku ingin melupakan semuanya. Aku mahu kita jadi kita yang dulu. Kita yang tidak diikat oleh rasa cinta seperti ini. Berlegar-legar tanpa arah tuju”.  Bisik lagi suara hati Ziah. Ziah terus melayan perasaannya mengingati segala kenangan manisnya bersama Diah sehingga akhirnya dia turut terlena.

Tiba-tiba
“Arrgghhhh ...  Raziq! Raziq! Raziq!!  Ziq , jangan tinggalkan aku. Jangan tinggalkan Diah. Anak kita! Anak kita Ziq! Raziq jangan pergi!. Jangan pergi!!”.  Ziah tersedar  apabila terdengar Diah menjerit dan meracau-racau dalam tidurnya.
“Diah! Diah!” . Ziah mengejutkannya. Risau sungguh dia melihatkan keadaan Diah ketika itu.
“Hahh!!”.  Diah terkejut lalu segera membuka matanya. Tepat memandang Ziah yang kelihatan risau.
“Ziah , aku bermimpi buruk!”. Kata Diah dengan nafas yang tercungap-cungap. Ada peluh yang memercik  keluar  dari dahinya.
“Aku tahu.  Sudahlah , itu cuma mimpi. Jangan difikirkan sangat”. Pujuk Ziah. Ziah yakin kisah lalu Diah kini sedang memburunya.
“Tidurlah semula. Sekarang baru pukul 2:15 pagi”. Ziah berkata sambil melihat jam di tangannya. Matanya digosok-gosok , mengantuk.
“Tak boleh. Mata aku dah tak mengantuk lagi”. Jawab Diah , berdegil.
“Ziah , boleh tak kau beritahu aku siapa Raziq tu?” . Tanya Diah tiba-tiba. Terkejut Ziah mendengarnya , mujurlah dia dan Zuraimie telah menyediakan jawapan bagi  soalan itu.
“Errr ... Raziq?. Hmm ... boleh. Err dia itu teman sekuliah kita. Dia agak rapat dengan kita sebab dia tu satu study group dengan kita. Malah  kebanyakkan assignment kita akan buat bersama-sama. Aku , kau , Zuraimie dan Raziq. Kita berempat adalah teman rapat , BFF!”. Jawab Ziah , lancar!.
“Teman rapat?. BFF?”. Diah keliru.
“Yup!. Best friends forever”. Ziah menjelaskan maksud BFF.
“Oh! Patutlah dia muncul dalam mimpi aku”. Kata Diah perlahan.
“Hmm ... tapi kau jangan salah faham , teman istimewa kau ialah Zuraimie. Kau lihat sendiri betapa sayangnya dia pada kau kan?” . Ziah mula menyucuk jarumnya.
“Betul? ... tapi mengapa dia terlalu asing bagi diriku?. Perasaan ku ... langsung tidak berasa apa-apa setiap kali melihatnya?. Bukankah sepatutnya perasaan pasangan kekasih itu sentiasa terpaut antara satu sama lain. Kalaupun  masih tidak mengingatinya , sekurang-kurangnya aku akan rasa senang dan tenang setiap kali melihatnya kerana hubungan kami bukan lagi  seperti pasangan kekasih lain , kami bakal menimang cahaya matakan?. Anak kami berdua. Pelikkan Ziah?”. Diah melahirkan kemusyikilannya.
“Diah , kau masih trauma. Kemalangan yang berlaku itu sungguh dahsyat. Fikiran kau bercelaru. Kau keliru sekarang ni”. Ziah berbohong cuba memberi alasan yang munasabah.
“Ya. Mungkin kau betul. Kemalangan itu membuatkan aku keliru”. Jawab Diah perlahan , termakan juga dia dengan kata-kata Ziah.
“Ziah , aku terlibat dalam kemalangan yang bagaimana?. Terukkah kemalangan itu?”. Tanya Diah lagi , dia benar-benar tidak dapat mengingati peristiwa ngeri yang telah dialaminya.
“Ya , teruk. Kemalangan kereta yang sangat dahsyat. Kereta yang kau naiki bertembung dengan lori. Kau orang tersepit di bawah lori”. Jawab Ziah spontan tanpa berfikir panjang .
“Aku pandu?”. Tanya Diah lagi ,  benar-benar ingin tahu.
“Heiii ... kau mana boleh memandu. Tak ada lesenpun!”.  Ziah tersengih.
“Habis ... siapa pandu?”. Tanya Diah , serius. Langsung tidak tertarik melihat senyuman Ziah.
“Raziqlah!. Dia yang pandu”. Jawab Ziah , hatinya tiba-tiba berdebar. Terasa berdosa setiap kali mulutnya menyebut nama itu.
“Raziq?. Kenapa aku bersama Raziq ... bukan Zuraimie?” . Tanya Diah lagi. Aneh benar situasi itu padanya. Zuraimie adalah kekasihnya tetapi dia terlibat dalam kemalangan bersama Raziq!.
“Errr ... apa yang peliknya. Malam tu kita baru habis siapkan assignment kumpulan. Selesai saja kerja , kita sama-sama bercadang nak makan satay di Kajang. Tapi masatu aku dan Zuraimie tak dapat pergi dulu sebab pendrive aku tiba-tiba ada masalah masa nak print bahan. Fail kerja kumpulan kita tu tak dapat dibuka. Zuraimie pandai sikit pasal komputer so dia tolong aku. Kau dan Raziq gerak dulu. Kita sama-sama janji nak bertemu di sana. Tapi malang tidak berbau!”. Ziah mengakhiri pembohongannya , begitu lancar sekali. Mana tidaknya , sudah berpuluh kali dia menghafal ‘script’ itu.
“Oh begitu ...” . Jawab Diah.
“Ziah , aku nak tanya kau  satu perkara lagi”. Kata Diah.
“Huh , apa dia?”.  Tanya Ziah. Mulai resah. Takut pembohongannya dapat dihidu oleh Diah.
 “ Err ...  perut aku?”.  Diah meraba perutnya yang membuncit. Belumpun sempat Ziah dapat menjawab ...
“Penghuninya sudah semakin membesar. Dia anak luar tarafkan?. Aku sedang mengandungkan anak luar taraf ini ... dengan Zuraimie , kekasihku?” . Tanya Diah , begitu tabah mengeluarkan kata-kata yang amat memedihkan hatinya.  Ziah terdiam , tidak tahu jawapan terbaik yang patut diberinya. Sangkanya Diah memang percaya yang anak itu adalah hasil hubungannya dengan Zuraimie , tetapi mengapa masih bertanyakan soal ayah kepada bayinya?.
“Eee bodoh!. Kenapalah tak bincang awal-awal dengan Zuraimie hal anak itu!”. Ziah mengutuk dirinya sendiri.
“Anak siapa?. Zuraimie? Anak Zuraimie atau anak orang lain?”. Tanya Diah , tidak sabar dengan sikap Ziah yang seperti mahu menyembunyikan sesuatu. Air matanya tiba-tiba mahu menitis.  Terasa dirinya sungguh hina dan kotor , belum bersuami tapi sudah membawa anak!.
“Diah , maafkan aku. Aku tak dapat nak kata apa. Akupun sendiri baru tahu yang kau mengandung selepas kemalangan itu. Itupun setelah aku dimaklumkan tentang hasil pemeriksaan doktor terhadap kau.  Aku rasa , hal tu kau patut tanyakan Zuraimie sendiri. Dia tentu  lebih tahu tentang apa yang berlaku antara kalian”. Ziah berdalih. Tak mampu lagi untuk terus mereka cerita.
Diah diam. Lama dia berfikir. Tiba-tiba ...

... mana Raziq?
“Ziah , mana Raziq? Adakah dia terselamat dalam kemalangan itu?”. Tanya Diah. Wajah Raziq yang berlumuran darah menerjah gedung ingatannya.
“Diah , ... sabarlah . Kau kena banyak bersabar. Raziq tidak dapat diselamatkan. Allah lebih sayangkan dia. Dia meninggal di tempat kejadian”.  Jawab Ziah. Kali ini dia tidak berbohong.
“Tidak!!!” . Diah menangis. Ziah bangun memeluknya.
“Kita semua merasai kehilangannya Diah , sabarlah”. Pujuk Ziah.
 “Kau bawa bersabar ya. Kau tak boleh sedih-sedih begini. Lagipun , kau baru sahaja sedar , kau perlu banyak berehat. Banyak lagi masa untuk kita bercerita. Aku janji ... sekarang ni kau baring , rehat dulu. Cuba untuk tidur. Esok kita bercerita panjang lagi”. Pujuk Ziah.
“Betul Ziah , aku penat sangat ni...”. Jawab Diah teresak-esak sebelum membaringkan dirinya , tidak mampu berfikir lebih jauh lagi.  Entah mengapa berita kematian Raziq itu amat melukakan hatinya. Namun tidak sampai seminit matanya telah terpejam semula. Ziah menarik nafas lega.
“Huuhhh!. Mampukah aku untuk terus membohongimu?”. Katanya di dalam hati sambil menatap sayu wajah Diah yang lesu. Wajah itu dielusnya lembut.
“Maafkan aku Diah”. Bisik hatinya. Terus terbayangkan wajah Zuraimie yang begitu mengharap.
“Mie , berat sungguh permainan kita ini. Aku tak pasti aku akan mampu terus memainkan perananku. Kau telah menjeratku dalam situasi ini , dibuang mati emak , ditelan mati bapak. Aku kini tersepit antara kau dan Diah!”. Kata hatinya.
“ Kasihan Diah. Kasihan kau ...”.  Ziah mengeluh , bersimpati kepada Zuraimie namun tidak sanggup untuk terus membohongi sahabatnya Diah. Zuraimie , lelaki yang  pengorbanannya tidak sedikitpun diketahui oleh Diah apatah lagi untuk menghargainya dan kini lelaki itu sedang bergantung harap kepadanya.
“Ahh ... Diah memang tidak patut bersikap dingin terhadapmu , setelah apa yang telah kau lakukan untuknya ... tapi Diah juga tidak boleh dipersalahkan. Dia koma , manalah dia tahu apa yang telah terjadi. Huh! Sebab itulah aku terpaksa menolong Zuraimie. Menolong untuk membukakan mata hati kau Diah. Aku mahu kau sedar bahawa sekarang ini ,  Zuraimie adalah lelaki yang terbaik untuk kau. Hanya dia sahaja pilihan yang kau ada.  Hanya dia lelaki yang sanggup menerima kau dan bayi kau itu!” .  Ziah cuba menjustifikasikan tindakannya.
“Kau memang sudah banyak menderita Diah tapi bukan kau saja. Ya , bukan kau saja. Semua orang juga menderita ... Diah , Zuraimie ... dan aku juga!. Ya Diah! Aku juga menderita!. Aku juga menderita gara-gara kau kehilangan Raziq. Kerana kau kehilangan Raziq , kekasih hatiku dirampas begitu saja dariku!. Dirampas oleh sahabat baikku sendiri. Eh! Bukan .. bukan dirampas tapi pergi meninggalkanku. Kasihannya aku ... kasihannya aku Diah...”. Ziah akhirnya tertidur bersama kesedihan yang tiba-tiba hinggap dihatinya. Sedih kerana cinta yang tidak berbalas  ... Zzzzz ... ‘Selamat malam cinta yang kecundang ...’


Ziah terharu mengingatkan ...
Keesokan paginya , Ziah kembali ceria. Lupa sudah akan kesedihannya malam tadi. Kini  Ziah sedang menantikan kedatangan Zuraimie.
“Zuraimie ...” . Panggilnya sebaik sahaja melihat pemuda ini melangkah masuk.
“Aku ada perkara nak cakap dengan awak”. Kata Ziah. Ziah menceritakan semua perkara yang berlaku kepada Diah malam tadi juga tentang ‘rasa bersalahnya’ untuk terus membohongi sahabatnya itu.
“ ... aku rasa cuak dan tak sampai hati untuk terus membohonginya walaupun aku juga sebenarnya rasa simpati pada kau. Diah langsung tak nampak pengorbanan yang telah kau lakukan untuknya”. Kata Ziah , mengakhiri ceritanya.
“Aku tahu Ziah. Diah langsung tak perasan akan kehadiran aku pun . Tak apalah ... bukan salah dia. Tapi aku tidak akan menyerah kalah begitu saja. Aku telah berjanji kepada Raziq untuk menjaga Diah dan anak dalam kandungannya itu. Kau juga tak boleh cepat mengalah. Alang-alang menyeluk pekasam Ziah , sekurang-kurangnya tolonglah aku sehingga aku berjaya menikahinya. Aku perlu menikahinya segera , sebelum ingatannya kembali pulih sepenuhnya. Itulah keputusan dan tekad aku sekarang. Semalaman aku memikirkan perkara ini. Kini aku benar-benar yakin dengan keputusanku. Hatiku sedikitpun takkan goyah. Aku tidak akan berundur lagi!”. Tegasnya lagi.
Ziah diam seketika , “Tiada siapa yang mungkin mencintaimu lebih dari dia Diah”. Bisik hati Ziah.
Ziah masih diam , mencari kekuatan dalam dirinya agar dia mampu memainkan peranannya dalam menjayakan misi Zuraimie untuk menikahi Diah.
“Baiklah aku akan cuba tolong kau. Aku akan tolong hingga Diah selamat menjadi isterimu ... tapi bagaimana ya?. Esok aku dah kena balik. Rabu ni aku kerja”.  Ziah melahirkan kerisauannya. Cuti yang diambilnya sudahpun habis sedangkan masalah Diah ini baru saja mahu bermula!
“Huh ... tak bolehkah kau mohon cuti?”. Kata Zuraimie , penuh harap.
“Entahlah ... baru beberapa bulan bekerja , aku tak beranilah nak minta cuti lama-lama. Inipun dah kira baik pengetua aku beri cuti untuk majlis konvokesyen ni. Aku tak pastilah ...”. Jawab Ziah.
“Kalau begitu , tak apalah Ziah. Nak buat macam mana?. Kau buat sajalah apa yang termampu. Yakinkan dia untuk menerimaku. Lain-lain perkara  tu janganlah kau  risau , aku akan jaga Diah ... percayalah!”. Sampuk Zuraimie sebelum Ziah sempat menghabiskan ayatnya.
“Apa yang telah kau buat untuk kami selama inipun sudah cukup besar. Aku amat menghargainya”. Sambungnya lagi.  Ziah terharu mendengar jawapan Zuraimie itu .
“Mudahnya kau berkata Mie , bagai semuanya telah pasti walhal tiada siapa yang boleh menjangka peristiwa hari esok. Mampukah kau menangani kerenah Diah nanti , lebih-lebih lagi setelah  dia tahu kelak yang dia sudah tidak punya sesiapa lagi.                                                                                                       Keluarganya sendiri pun telah membuangnya!. Tentu reaksinya sukar diramal”. Fikir Ziah.
“Huh!. Suka atau tidak , yang ada kini hanyalah dirimu ...  lelaki yang mencintainya tanpa batas!. Kalaulah Diah tahu menghargainya ...”. Keluh Ziah , memandang Zuraimie penuh simpati. Berat benar hatinya mahu pulang ke Pagan Sena , meninggalkan Diah dan Zuraimie yang masih samar kesudahannya.
Akhirnya dek rasa simpati dan tanggung-jawab , Ziah membuat keputusan untuk menangguhkan kepulangannya. Dia telah menghubungi sekolah dan memohon cuti tambahan. ‘Cuti rehat’ selama dua hari lagi.
“Ingat cikgu , dalam setahun cikgu hanya ada tujuh hari cuti rehat. Itupun hanya boleh diambil dengan kebenaran dan kelulusan pengetua. Sepatutnya cuti ini perlu dipohon sekurang-kurangnya sehari sebelum bercuti”. Kata pengetua mengingatkan anak buahnya.
“Ya puan. Saya faham. Terima kasih kerana telah meluluskan cuti saya kali ini. Kalau masalah yang saya hadapi ini tidak besar , saya pasti tidak akan memohon cuti ini”. Balas Ziah.
“Ya , baiklah. Nanti bila kamu dah kembali ke sekolah , jangan lupa untuk mengisi semula borang permohonan cuti itu. Back dated ke hari ini”. Pesan pengetua lagi.
“Baik , terima kasih puan”. Ziah amat bersyukur kerana pengetua sekolahnya amat memahami.
“Ular yang menyusur akar takkan hilang bisanya”. Kata Ziah di dalam hatinya. Indahnya peribahasa Melayu.


Setia ...
Sisipkan sireh di tepak tembaga
Elok di lengkap si kacip suasa
Tugu kasih korban bernyawa
Indah menabir hati sengsara
Apakan daya tersirat segala ...

 


      






No comments:

Post a Comment