Popular Posts

Monday 31 March 2014

Cerpen : Yang Terindah ...

Yang terindah


Lambat lagi ...
Perhimpunan pagi itu sama saja seperti perhimpunan pada pagi-pagi yang lain , Wadi masih juga lambat. Sekali lagi dia terpaksa berbaris  di barisan pelajar yang lambat. Berbaris dengan wajah masam mencuka , mendengar segala teguran dan nasihat daripada guru bertugas. Tidak cukup dengan guru bertugas , guru disiplin , kaunselor dan kekadang PK HEM pun nak bercakap juga. Sayangnya usaha dan niat baik warga pendidik ni umpama ‘mencurahkan air di daun keladi’. ‘Bicara’ mereka tidak ubah seperti ‘leteran makcik-makcik’ yang pada pendengaran Wadi tiada bezanya seperti bertih jagung  meletup-letup apabila dipanaskan!
“Baiklah , sekian sahaja perhimpunan pada pagi ini. Pelajar yang lambat diminta tunggu manakala pelajar lain boleh naik ke kelas dalam barisan dengan diiringi oleh pengawas. Terima Kasih”. Ucap pengawas bertugas mengakhiri perhimpunan  pagi itu.  Maka bergeraklah barisan pelajar kelas demi kelas hingga akhirnya yang tinggal di tapak perhimpunan adalah satu barisan pelajar  yang lambat.
Guru disiplin , cikgu Halim memandang seorang demi seorang wajah pelajar yang masih berdiri dengan wajah tertunduk memandang lantai. “Janganlah cari pasal nak ‘buat muka’  ngan cikgu ni. Tak pasal-pasal kang kena berdiri kat sini sepanjang hari. Mau garing dibakar matahari!”. Fikir mereka.
“Hari-hari , muka yang sama!. Awak tak serik-serik jugakan. Ok , hari ni siapa ada alasan yang membolehkan saya lepaskan dia. Cakap sekarang!!”. Herdik cikgu Halim.
Perlahan-lahan satu tangan diangkat lurus ke atas , “Saya cikgu”. Kata Ashyraf ragu-ragu.
“Hah! Kamu Ashyraf. Apa alasan kamu?!”. Sergah cikgu Halim.
“Err ... err  hari ni saya sakit-sakit perut cikgu. Pagi ni saja sudah tiga kali saya ke toilet. Ni pun perut saya tengah sakit. Kalau cikgu izinkan saya nak ke tandas sekarang jugak!!”. Belumpun sempat habis sempurna jawapannya , Ashyraf sudah tidak tertahan lagi – dia terus berlari ke arah toilet .
“Maaf cikgu Halim , tak tahan sangat ni. Dah nak bertabur!!!” Jeritnya sambil terus memecut langkah.
“Hmm ... ada-ada saja kamu orang ni. Baiklah yang lain , sinsing seluar dan pergi cuci tandas!!”. Cikgu Halim telahpun menjatuhkan hukuman. Maka bergeraklah Wadi dan  dan yang lain menuju ke tandas.
“Sial!! Ni kang kejap lagi mesti kena ngan cikgu Hasiah pulak!”. Rungut Wadi perlahan. (Pn Hasiah adalah guru matapelajaran Sivik dan Ketatanegaraan Wadi , orangnya memang kuat ‘membebel’. Bukan sebab benci tapi ‘atas rasa sayang’ , maka mulutnya tidak penat-penat memberi nasihat!. “Biar jadi orang!!”. Itulah ayat popularnya).

Ponteng ke tidak ponteng ...
Selesai mencuci tandas , Wadi mencuci tangannya lalu bersegera  untuk ke kelas 5 Usaha.
“Sekarang pukul 8:20. Kelas sivik habis 8:50 , ada 30 minit lagi. Huh! Mau bernanah telinga aku ni kang mendengar khutbah. Pok pek pok pek entah bila nak berhentinya. Huh! Apa nak buat ni?. Arrgghhh ... ponteng jelah. Malas aku nak mengadap muka dia.  Alamakkk ... tapi ... kang tak pasal-pasal masuk bilik disiplin lagi. Ah! Selagi tak kantoi  tak apa. Hmm ... ponteng ... tak ponteng ... ponteng ... tak ponteng ...”.
Dalam Wadi berkira-kira  itu , tiba-tiba ...
“Hai Wadi! Cikgu yang besar nipun awak nak langgar?”. Tegur cikgu Maisarah  dengan senyuman manis terukir di bibir.
“Err ... cikgu. Maaf saya tak perasan”. Jawab Wadi spontan.
“Hmm ... awak dari mana?. Mana pas keluar awak?”. Tanya lagi cikgu Maisarah setelah dilihatnya tiada pas keluar yang dibawa oleh Wadi.
“Heee ... saya sebenarnya baru lepas kena denda cuci tandas cikgu. Ni baru nak balik ke kelas. Kalau cikgu tak percaya , cuba tenguk kaki seluar saya ni. Habis basah masa cuci tandas tadi”. Jawab Wadi.
“Laa ... bila pulak cikgu cakap tak percaya. Hmm ... awak kena denda sebab datang lambat lagi ye?”.
Wadi hanya menganggukkan kepalanya.
“Hai... Wadi  Wadi. Cikgu pun tak tahu nak nasihat macam mana lagi ngan awak ni. Dah terlalu kerap sangat awak datang lambat ke sekolah malah ada hari-harinya awak lewat sampai jam lapan ,  jam sembilan baru nak sampai. Kalah orang kerja pejabat.  Itu dah kira ‘lewat melampau’ tu namanya Wadi. Hmm ... ginilah Wadi , awak fikir baik-baik. Awak sebenarnya nak bersekolah ke tidak ...”.
“Nak cikgu ...”
“Nanti!. Biar cikgu habis cakap dulu. Kalau awak nak bersekolah , kenalah sungguh-sungguh. Pastikan awak tidur awal , bangun awal dan datang awal ke sekolah. Peraturan sekolah kenalah ikut. Cikgu tak nak awak terus-terusan ketinggalan dan didenda begini”. Sambung cikgu Maisarah , guru kelas Wadi.
“Maaf cikgu. Saya cuba untuk datang awal”. Balas Wadi sambil menundukkan kepalanya. Sedih benar hatinya apabila ‘soal kesungguhannya’ bersekolah dipertikai. Kalau guru kelasnya sendiri sudah ragu terhadap kesungguhannya ... siapa lagi yang akan mempercayainya ...
“Wadi , cikgu nak awak cemerlang. Cikgu nak awak jadi anak kebanggaan ibu awak. Ibu awak tu ibu tunggal.  Kasihan dia ,  bersusah payah membesarkan awak dua beradik. Hargai pengorbanannya ya. Hmm ... sudahlah. Pergi lekas masuk ke kelas. Sekarang ni waktu Sivik kan?. Kang bising pulak cikgu awak”. Cikgu Maisarah  mengakhiri nasihatnya dan terjawablah  sudah dilema Wadi tadi sama ada mahu ponteng kelas Sivik atau tidak. Termakan dengan nasihat dan pujukan cikgu Maisarah , Wadi akhirnya melangkah laju menuju ke kelas 5 Usaha. Malangnya seperti yang telah dijangkakan , dia terpaksa berdiri lebih 20 minit sambil menadah telinga mendengar ‘nasihat’ panjang lebar daripada cikgu Hasiah!.



Hidup Wadi
Begitulah kehidupan Wadi , seorang pelajar yang di’cop’ sebagai pelajar bermasalah di sekolah itu. Rekod disiplinnya sudah berderet ... lambat ke sekolah , ponteng , merokok , biadap terhadap guru ...  Sudah banyak kali Wadi keluar masuk bilik disiplin dan sudah banyak kali juga dia dipanggil oleh kaunselor sekolah. Tapi sikapnya yang lebih suka mendiamkan diri daripada membuka mulut menyebabkan keadaan tetap tidak berubah. Wadi tetap juga mengulangi salahlaku disiplin dan guru-guru tetap juga tidak faham punca Wadi bersikap begitu.
“Ini hidup aku. Biar aku yang urus. Mereka hanya tahu menyalahkan aku saja!. Susah senang hidupku hanya aku yang tahu”. Itulah dialog yang sering terjadi di benak hati Wadi.

Pergaduhan
Waktu rehat hari itu digemparkan dengan keriuhan bunyi sorakan sekumpulan pelajar lelaki yang berkerumun mengelilingi dua orang pelajar yang sedang beradu kekuatan. Masing-masing tidak mahu mengaku kalah , lebih-lebih lagi pergaduhan mereka hari ini disaksi ramai. Sorakan demi sorakan seakan mendorong  mereka untuk terus menjadi juwara. Juwara ‘kaki gaduh’!. Wah!! Hebat gelaran itu.
“Bersurai! Bersurai!”. Suara cikgu Halim menjerit memberikan arahan kepada semua pelajar untuk bersurai. Sementelahan waktu rehat sudahpun berakhir dan mereka sepatutnya sudah kembali ke kelas untuk meneruskan sesi pembelajaran.
Bergegaslah seorang demi seorang meninggalkan ‘drama sebabak’ itu. ”Tidak sempat hendak tahu apa kesudahannya , sudah disuruh pergi!” Rungut mereka.
“Kacaulah cikgu ni!!”. Rungut yang lain pula.
“Hah awak!! Wadi! Muaz!! Tak reti-reti nak berhenti?!. Nak aku terajang korang berdua baru nak berhenti?!”. Jerkah cikgu Halim sambil menarik Muaz ke tepi , menghalangnya daripada terus menumbuk Wadi yang sudah berdarah hidung dan tepi bibir. Bukan itu saja , bahagian sikunya juga ada kesan luka dicakar, mungkin terkena kuku jari kelingking Muaz yang sengaja dibela panjang. Sebaik saja Muaz dapat dileraikan , beberapa orang pengawas terus memegang Muaz dan Wadi , takut-takut kalau kedua-duanya masih nekad mahu bertumbuk.
Sekonyong-konyong itu cikgu Maisarah berlari anak ke lokasi pergaduhan. “Cikgu Halim , mereka ni nampaknya masih berangin. Baik dipisahkan keduanya. Biar saya bawa Wadi ke bilik kaunseling , cikgu bawa Muaz ke bilik disiplin dulu. Nanti dah ‘sejuk’ saya hantarkan Wadi ke bilik disiplin”. Kata cikgu Maisarah. Cikgu Halim mengangguk tanda setuju.



Di bilik Kaunseling
Kebetulan pada ketika itu , kaunselor sekolah tiada di sekolah kerana bertugas rasmi diluar. Cikgu Maisarah mendahului Wadi masuk ke bilik kaunseling  lalu terus mengambil peti ubat yang sedia tersimpan di bilik itu lalu membawa dan meletakkannya di atas meja.
“Wadi , duduk sini”. Arah cikgu Maisarah sambil menunjuk ke arah sebuah kerusi.
“Sini , mari cikgu tolong bersihkan luka awak”. Arah cikgu Maisarah lagi.
“Tak palah cikgu. Sikit saja ni. Nanti saya basuh di tandas”. Jawab Wadi , kekok rasanya  apabila dilayan  baik begitu.
“Laa apasal pulak macam tu. Ni ubat kuning semua ada di sini . Plaster pun ada. Dah sini , biar cikgu tolong”. Balas cikgu Maisarah lalu tanpa memperdulikan reaksi Wadi , cikgu Maisarah membersihkan luka di siku Wadi. Kemudian cikgu Maisarah menyapukan ‘ubat kuning’ pada luka tersebut.
Selesai membersihkan dan menaruh ubat pada luka di siku Wadi , cikgu Maisarah membasahkan tisu lalu dihulurkan kepada Wadi , “Nah , ambil ini. Bersihkan darah dari hidung dan tepi bibir awak yang luka tu”.Kata cikgu Maisarah. Wadi akur , tisu basah itu diambilnya lalu disapunya kesan darah yang masih ada di bawah hidung dan di tepi bibirnya. Cikgu Maisarah memerhatikan gelagat Wadi membersihkan kesan darah yang masih bersisa diwajahnya di hadapan cermin besar bilik kaunseling itu.
“Kalau sudah , mari ke mari. Duduk di sini dan cerita pada cikgu apa yang telah terjadi”. Kata cikgu Maisarah.
“Ah! Tak ada apalah cikgu. Salah faham sikit je”. Balas Wadi , malas membesarkan soal pergaduhannya.
“Salah faham sikit?. Sampai bertumbuk dan cedera begini?. Wadi ... cikgu kenal awak. Awak takkan bertumbuk kalau sebab salah faham yang sedikit. Sudah , berterus terang dengan cikgu. Cikgu ni nak tolong awak , ceritakan pada cikgu apa yang terjadi”.
“Taklah cikgu , salah saya . Saya yang hilang sabar tadi”. Jawab Wadi.
“Kenapa sampai jadi macam tu . Muaz tu kan ke kawan baik awak?”. Tanya cikgu Maisarah.
“Entahlah cikgu , Muaz tu hari ni dok sedap jea mengutuk mak saya. Mana saya tak angin”. Jawab Wadi.
“Dia kutuk apa?”.
“Dia kata mak saya perempuan dot ... dot ... dot ... sebabtulah cepat jadi janda. Kalau cikgu jadi sayapun tentu cikgu akan marahkan?”. Terang Wadi.
“Hmm ... betul. Tak patut dia kata mak awak begitu. Dia sepatutnya menghormati mak awak sebab awak ni kan kawan baik dia juga. Cumanya Wadi , kekerasan bukan jalan penyelesaian yang baik. Cikgu  rasa , lain kali awak  tegur dia kalau dia cakap yang bukan-bukan. Tentu dia akan dengar dan taklah sampai bertumbuk begini. Tengok sekarang , siapa yang susah. Tak pasal-pasal lepas ni awak kena mengadap cikgu Halim”. Tegur dan nasihat cikgu Maisarah.
“Ya cikgu. Maafkan saya sebab dah susahkan cikgu”. Balas Wadi.
“Bukan susahkan diri saya Wadi tapi diri awak tu. Jangan susahkan diri awak dengan perkara-perkara seperti ini ya. Cikgu nak awak jadikan ini sebagai kes terakhir awak , boleh?”. Tanya cikgu Maisarah.
“Ya cikgu ...”

Pulang dari sekolah
Teriknya matahari petang itu. Wadi membawa motornya dengan agak laju. Mana tidaknya , sedari pagi tadi perutnya langsung tidak berisi. Sudah lama ber’dondang sayang’ perutnya itu.
“Harap-harap balik ni adalah rezeki aku. Lapar sangat ni”. Kata hatinya sambil terus memecut ... dan akhirnya Wadi tersenyum sendiri apabila terlihat dari jauh rumah tempat dia sekeluarga berteduh.
“Alhamdulillah , dah sampaipun”. Ucapnya perlahan. Terbayang-bayang di wajahnya kemungkinan rezekinya  petang itu. “Dapat nasi panas , telur mata kerbau taruh kicap pun dah cukup baik”. Fikirnya sambil bibirnya yang luka tadi terus mengukir senyuman.

Namun harapan hanya tinggal harapan ...
Sebaik sahaja motorsikalnya menghampiri tangga rumah , dari bawah lagi Wadi sudah mendengar suara ibunya menjerit-jerit marah diselang seli dengan suara adiknya , Mira menangis meminta ampun.
“Ampun bu! Ampun ... sakit bu. Cukuplah. Sakit bu!!”. Esak dan rayu Mira kepada ibunya yang sudah bagaikan hilang akal , memukulnya semahunya dengan batang penyapu tanpa belas kasihan.
“Ya Allah! , Ibu!!. Cukup!!!”. Jerit Wadi sambil menarik batang penyapu dari tangan ibunya.
“Tepi!! Tepi!!! Jangan kau masuk campur!!. Aku memang dah lama geram dengan budak ni. Kecik-kecik dulu tak nak mampus. Dah besar menyusahkan orang aje!”. Jerit ibu Wadi sekuat hati , masih lagi mahu memukul anak perempuannya itu.
“Ibu! Cukuplah , kasihanlah Mira ni bu. Dia ni anak ibu juga. Ibu yang lahirkan dia ke dunia ni. Kenapa ibu tergamak buat begini pada dia?!”. Wadi cuba memujuk dan meredakan marah ibunya.
“Anak?. Anak pembawa sial!!. Tu , cuba kau tengok muka dia. Sebijik macam muka lelaki sial tu. Sebab dialah aku menjanda begini. Sebab dialah aku kena bermati-matian membesarkan korang berdua. Lelaki tu buat apa hah?!. Dia senang-senang je tinggalkan korang ngan aku. Dia sedap-sedap je berbini baru!!”. Jerit ibu Wadi , keadaannya sudah bagaikan tidak terkawal lagi. Habis diluah semua yang terbuku di hatinya selama ini.
“Ibu , yang tinggalkan ibu itu ayah bukan Mira. Yang susahkan ibu itu ayah , lelaki yang tidak berguna itu. Bukan Mira ... Mira ni anak ibu. Adik Wadi. Dia juga derita seperti kita ibu. Ibu , cukuplah. Cukup cukuplah ibu siksa hidup Mira. Kasihanlah dia ibu ... Janganlah ibu lepaskan kemarahan ibu pada Mira. Dia tidak bersalah bu...” Rayu Wadi sambil memeluk adiknya yang sudah separuh lembik dikerjakan ibunyan. Jelas kesan-kesan merah di tangan dan anggota badannya yang kelihatan akibat dihentam dengan batang penyapu.
“Apa?. Tidak bersalah kata kau. Lelaki sial tu tinggalkan aku masa aku mengandungkan budak sial nilah!. Lelaki tak sedar diri tu cari perempuan lain masa aku mengandungkan budak nilah. Budak ni sama sialnya dengan bapak dia!”. Serentak dengan itu , ibu Wadi merampas semula batang penyapu lalu dihayunkan dengan kuat ke arah Mira. Ibu Wadi betul-betul mahu melepaskan kemarahannya pada Mira. Melihatkan keadaan yang mencemaskan itu , Wadi tanpa ragu terus melindungi adiknya lalu hayunan kuat itu menghentam belakangnya.
“Aduh!. Cukuplah ibu!!”. Jerit Wadi sekuat hati. Tersentak ibu Wadi melihat anak kesayangannya , satu-satunya jantung hatinya menggelupur kesakitan.
“Wadi! Wadi! ...”. Ibu Wadi cuba membantu anaknya itu. Sebaik saja tangannya menyentuh belakang Wadi yang kesakitan , Wadi segera menepisnya lalu berkata . “Puas hati ibu sekarang?. Sudah puaskan hati ibu siksa Mira?. Sudah puas ke hati ibu siksa perasaan kami anak-anak ibu ini?”. Ucap Wadi dengan linangan air mata , sedih benar dia dengan keadaan mereka sekeluarga. Hidup huru hara semata-mata kerana ibunya gagal menerima ketentuan takdir dan kehancuran rumahtangganya.
“Ibu , Wadi sudah tak tahan lagi dengan keadaan kita ini. Kalau ibu terus juga begini dan tetap juga nak menyiksa Mira , Wadi akan pergi. Wadi takkan jejak lagi kaki ke rumah ini!”. Serentak dengan itu , Wadi melangkah laju meninggalkan ibu dan adiknya Mira.
“Abang!!”. Jerit Mira.
“Wadi!!”. Jerit ibunya.
Belumpun sempat mereka mengejarnya , Wadi sudah memecut laju motorsikalnya meninggalkan kedua insan yang sangat disayanginya itu. Niatnya hanya satu ... mahu ibunya berubah. Wadi hanya ingin mengugut ibunya agar segera sedar dan berubah. Mira dahagakan kasih sayang ibunya malah dia juga sangat rindukan ibunya yang dahulu ... seorang ibu yang penyayang!.
Air mata Wadi jatuh bercucuran mengenangkan nasib malang yang menimpa mereka sekeluarga.
“Kenapa?! Kenapa?!”. Ucapnya sambil mengelap air mata yang terus mengalir ... sehinggalah ...
“PEEENNNNNN!!!!”. Bunyi hon yang panjang dan serentak dengan itu sebuah lori pasir menghentam kuat motor Wadi yang tiba-tiba keluar dari simpang. Wadi tercampak ke tengah jalan ...



...mengenang nasib diri ...
Ibu Wadi menangis teresak-esak di birai katil. Hancur luluh hatinya melihatkan keadaan Wadi sekarang. Seluruh tubuhnya dipenuhi luka dan calar balar akibat kemalangan itu. Lebih malang lagi , termasuk hari ini sudah tiga hari Wadi tidak sedarkan diri.
Sedangkan Mira , sudah bengkak matanya. Sejak tiga hari lepas air matanya tidak putus-putus mengalir. Matanya terus memandang Wadi , abangnya yang telah terlalu banyak berkorban untuknya , pembelanya dan segala-galanya bagi dirinya ... Mira terus memandang kosong abangnya yang bagaikan tidak mahu bangun-bangun lagi itu sambil hatinya terus-terusan mengalunkan lagu kegemaran mereka berdua ...  ‘Kau yang terindah’

Aku di sini mengalunkan rindu yang resah
Aku disini memuja bayangmu
Setiap detik degup nadiku hanya untukmu
Cinta membara jiwa gelora

Kau yang terindah di dalam hidupku
Hanya cintamu mekar selamanya
Tak inginku lagi menyintai yang lain
Kau telah mengikatku selamanya

Ku di sini menantikan janji yang hilang
Aku di sini menghitung harapan
Setiap detik tiap nafasku ada cintamu
Bagai semalam semuanya hilang ...

(Lirik lagu : Kau yang terindah-Alyah)


“Abang ... bangunlah abang. Tunaikanlah janji abang untuk jaga Mira. Mira tak ada sesiapa abang. Bangunlah ... kasihankanlah Mira ini ...”

-Tamat-



Cerpen ini ku tulis bersandarkan cebisan kisah yang menimpa nasib seorang anak muridku yang pernah ku kenal suatu ketika dahulu. Cuma kisahnya yang sebenar jauh lebih tragis daripada kisah ini. Sengaja tidakku tulis sebegitu atas alasanku sendiri ...
Buat anak muridku ini , “Maafkan cikgu kerana gagal memahamimu dan membantu meringankan bebanan perasaanmu. Semoga matahari akan bersinar buat kamu sekeluarga ... sesungguhnya mengalir air mata cikgu ketika  menuliskan kisah ini dek rasa terkilan yang mendalam . Salam ingatan yang berkekalan”.

No comments:

Post a Comment