Popular Posts

Sunday, 5 June 2016

Fikiranku ... Jangan pernah kecewa

Lukis jea ... Dunia tempat kita diuji

Sedari anak-anak lagi kita sering kali diajar , diperdengarkan dan ditanamkan dalam minda ... 

 "Usaha tangga kejayaan" 
"Apa yang ditanam itulah yang bakal dituai" 

 Malah peribahasa Melayu juga turut mempertekankan dan mendidik kita akan pentingnya usaha...

 'Yang bulat tidak datang bergolek,yang pipih tidakkan datang melayang'
 'Jika tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya'
 'Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan' 

 Mengapa semua 'bicara indah' itu harus selalu bermain di bibir , ditulis dalam artikel lalu dipasak dalam pemikiran? Maka sudah pastilah untuk membakar semangat agar anak-anak yang bakal menjadi pewaris bangsa tumbuh mekar menjadi manusia yang sentiasa berusaha untuk merealisasikan ... 
 "Hari ini mesti lebih baik dari semalam" 

Juga mendidik agar hidup yang berjaya dan bahagia itu harus bermula dari pemikiran ,perancangan yang baik dan disusuli usaha bersungguh-sungguh dengan istiqamah dan keazaman yang tinggi. Lantas , apa isu yang ingin dibincangkan ... atau barangkali ada pincangkah pada kata-kata di atas?. Tentulah jawapannya , tidak!!!. 

Semua itu adalah bicara sempurna. 
Bicara yang cukup sempurna untuk menjadikan kita manusia yang berusaha 'untuk hidup' dengan baik di alam buana ini dalam umur yang dikurnia Allah. 
Lantas ... apa sebenarnya isu yang mahu diketengahkan? 

Mari aku berikan kepada kamu satu situasi ... 
#'Seorang anak sedari kecil diajar untuk belajar bersungguh-sungguh. Sejak tadika lagi... tiap kali tiba masa peperiksaan , anak ini disuruh belajar bersungguh-sungguh. Kata azimat yang menjadi dodoian mesra ... 
Kalau nak pandai kena belajar! 
Kalau tak belajar nanti jadi bodoh! 
Kamu kalau tak belajar macammana nak dapat A!. 
Dan pelbagai bla ... bla ... bla. 

Dan setelah keputusan peperiksaan keluar ... 
PSRA ... jadidan sahaja. 
UPSR ... hanya B.I sahaja dapat A lain-lain B. 
PT3 ... tidak seperti yang diharapkan. 
SPM ... 7A2B
MATRIKULASI ... gp hanya 3.25 sahaja. 
MUET ... band 2!
Result di IPT?
Dan bla ... bla ... bla ... lagi kisah jatuh bangun insan yang bergelar 'student'# 

Maka ... berhakkah kita melabelkan anak yang bergelar student ini sebagai sipemalas yang tidak cukup berusaha?
Jika kita berpegang pada fahaman ... 'Usaha tangga kejayaan atau apa yang ditanam itulah yang dituai' , maka sudah pastinya anak itu sememangnya layak untuk dilabelkan sebagai manusia yang tidak cukup usahanya , malas dan sambil lewa! 
Pasti hancur harapan kedua orang tuanya yang selama ini menatang si anak bagai minyak yang penuh. Apa yang akan dijawab pada jiran tetangga atau saudara mara yang bertanya? Anak yang ditatang seolah-olah telah menconteng arang di muka!!! 
Jika itulah perasaan orang tuanya , bagaimana pula dengan perasaan si anak itu sendiri? Menjadi insan yang menghancur deraikan harapan orang tuanya ... malah harapannya sendiri.
Bukan tidak pernah kita baca di dada akhbar dan di media massa atau media sosial lain , tentang kisah anak-anak dibangku sekolah malah ada pelajar IPT mengurung diri didalam bilik. Mogok lapar berhari-hari , memutuskan hubungan dengan dunia luar atau lebih drastik ... sanggup mengambil keputusan gila untuk menamatkan jiwanya dengan cara meminum racun , menggantung diri atau terjun bangunan lantaran terlalu kecewa dengan keputusan peperiksaan masing-masing. 

Mengapa sampai harus jadi begini? 
Di manakah silapnya? 
Adakah 'cemerlang' dalam peperiksaan adalah segala-galanya dalam hidup?. 

Cubalah jawab soalan berikut ... 
'Siapa kamu yang berhak untuk mengatakan atau memastikan bahawa kejayaan itu adalah milik orang-orang yang berusaha?' 

Seorang raja hatta perdana menteri negara sekalipun adalah tidak layak untuk berkata begitu. Siapa mereka apatah lagi kita untuk menentukan kejayaan seseorang ... 

Raja , perdana menteri negara atau siapa pun kita di dunia ini ... di mata Allah kita hanyalah seorang 'hamba'Nya. 
Seorang hamba yang sentiasa diuji kerana sememangnya dunia ini adalah tempat manusia diuji ...  diuji bukan sahaja dengan kegagalan , kemiskinan dan penderitaan , malah turut diuji dengan kuasa dan kekayaan.


Kita semua adalah seorang hamba. 
Seorang hamba yang layaknya hanya untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap urusan hidup kita. Bukan sekadar cemerlang dalam pepriksaan malah semua urusan hidup! 
Fikir dan rancang masa hadapanmu ... 
Usaha bersungguh-sungguh untuk mengejar impian ... 
Dan akhirnya ... serahkan kembali segalanya kepada Allah , tuhan yang Maha mengetahui apa yang terbaik buat kita hambaNya. 

Yakinlah ... sungguhpun kita merancang dan berusaha namun perancangan Allah adalah yang terbaik buat kita. Setelah berusaha bersungguh-sungguh , apapun hasilnya itu adalah milik Allah untuk menentukannya. 
Tanamkanlah fahaman itu difikiran , diminda, dihati dan iman anak-anak malah diri kita sendiri agar 'KECEWA' tidak pernah dan tidak harus wujud dalam kamus hidup kita. 
Jadikan kalimah mulia 
'Alhamdulillah'

penyeri dan sentiasa bermain dibibir dan dihati walau sepahit hempedu takdir yang harus ditelan. Apapun yang mendatang ... seberat mata memandang. Seberat bahu memikul. Pasti segalanya akan mampu diharungi andai Allah sentiasa bertahta di benak. Sandarkan segala urusan hidup kepada yang Maha Berkuasa , pemilik setiap jiwa ... 

Mudah untuk berkata daripada melaksanakannya ... namun jangan jadikan kepayahan itu alasan untuk mengelak apatah lagi untuk berasa kecewa dan rendah diri.



 -peace-
 >__<

Buat anakanda2 tercinta ... selalu ingat , dunia tempat kita diuji.
Jangan pernah rasa kecewa' andai hasil usahamu tidak seperti yang diharap.
-Sayang till jannah-

No comments:

Post a Comment