Popular Posts

Wednesday, 26 November 2014

Cerpen : Cerita itu?

Cerpen : Cerita itu?

***Angin petang menghembus lembut , terasa nyaman sekali apabila rambutnya yang separas bahu dibuai perlahan. Izah memandang jauh ke dalam pepohonan yang tumbuh meliar di kaki bukit Larut itu. Menghijau dengan ton warna yang berbeza , ditambah keindahannya dek merahnya warna sang mentari yang semakin tenggelam.
“Hmm … aku di sini lagi. Setelah berbelas tahun…”. Bisik hati Izah , terkenang segala kisah suka dukanya ketika di alam remaja. Menghabiskan umurnya selama 5 tahun di bumi bertuah ini mencari ilmu buat bekalan masa hadapan. Cepatnya masa berlalu …
“Eh! Tak siap lagi. Program dah nak mula ni”.Tegur Milah. Dulu ,Milah tinggal sebilik dengannya.
Kini , setelah hampir 15 tahun mereka bertemu kembali. Sama-sama menghadiri Alumni pelajar-pelajar tua sekolah tempat mereka belajar dulu. Bagi Milah , perjumpaan sebegini  pasti dihadirinya tiap tahun namun bagi Izah … itulah kali pertama. Bukan tidak mahu bertemu semula rakan-rakan lama tapi … ada-ada saja alasan dan sebab yang menyebabkan Izah lebih suka menyepikan diri.
“Eh! Jomlah…”. Ajak Milah lagi.
“Hmm … takpelah. Kau pergi dulu. Aku turun lepas solat nanti”. Balas Izah.
“Oh! Aku cuti…Allah bagi cuti. Okey , aku turun dulu. Jumpa di bawah nanti”. Jawab Milah sambil merenyih.
Tinggal sendirian  membuatkan ingatan Izah  mengimbau kembali  liku-liku kehidupan yang telah dilaluinya … menamatkan zaman sekolah menengah , bertungkus lumus di Matrikulasi hingga akhirnya melanjutkan  pelajaran di universiti … banyak yang telah ditempuhnya.  Namun perkara yang paling terkesan di hati hingga kini adalah kisah percintaannya yang kecundang di tengah jalan. Saat dirinya hampir-hampir diikat dengan tali pertunangan , di saat itulah dia telah mengambil keputusan yang meruntun hatinya sendiri … memutuskan hubungan lalu membawa diri pergi jauh meninggalkan segalanya.

“Awak , mengapa?. Apa yang berlaku?. Apa yang awak mahu saya buat untuk membaiki keadaan ini?”
“Entahlah…saya tak mahu bicarakan hal ini lagi. Bagi saya masa bersendirian”
“Tapi mengapa …”
“Awak , tolonglah. Saya perlu masa untuk fikir semua ini”.
“Baiklah …”

Itulah antara perbualan terakhir yang masih kekal diingatan Izah , saat dia mengecewakan  Nazmi dengan keputusannya untuk memutuskan hubungan antara mereka. Keputusan yang amat sukar dibuat namun harus diambil. Keputusan yang mengecewakan...
Tidak cukup dengan kekecewaan itu , teman-teman rapatnya juga menghujaninya dengan soalan yang sama ,
“Setelah bertahun-tahun berkawan , mengapa sampai memutuskan hubungan?”. Tanya Fida, tanya Ziah malah itu jugalah soalan yang ditanya oleh Norley , Ba'ie dan ramai lagi.
Izah hanya mendiamkan diri , itulah jawapannya tiap kali ditanya. Untuk apa menerangkan segalanya sedangkan akhirnya dia sendiri yang menanggung.
“Mereka tidak akan faham kerana bukan mereka yang merasa”. Fikir Izah.
“Ya! Aku tahu kerana aku yang merasa”. Tanpa sedar bibir Izah melafazkan kata-kata itu.
Mana tidaknya , perkenalan yang diatur oleh seorang pensyarah yang  kebetulan sama-sama mereka kenali  akhirnya mengundang duka. Masih lagi jelas terbayang di ruangan mata Izah saat mereka sama-sama dipertemukan. Izah ditemani seorang teman masuk ke pejabat kecil En. Kamal. Di situ , telah sedia menunggu seorang pemuda , duduk dengan sopan di sisi Encik Kamal.
“Ya Allah , dia ke?”. Jerit hati Izah kerana itulah pemuda yang pernah dilihatnya dalam salah satu program yang pernah diikutinya tidak berapa lama dulu.
'Dari mata turun ke hati’… mungkin benar kata bidalan ini , perwatakan pemuda itu mengusik hatinya. Namun hanya setakat itu , hari berlalu … Izah sibuk dengan urusannya sebagai siswi hinggalah hari ini , mereka dipertemukan sekali lagi!.
Lalu terciptalah sejarah … kisah cinta bermula setelah hati masing- masing saling memiliki dan dimiliki.
Benarlah bagai dikata , cinta itu buta apabila Izah bagai menafikan gerakhatinya sendiri. Daripada awal perkenalan , Nazmi telah meminta Izah berkawan dengan seorang  temannya …
“Nama dia Lina. Dia perlukan bimbingan. Mungkin awak boleh bantu membimbingnya ke  arah kebaikan”.
Demi Nazmi yang semakin bertahta dihati , Izah menerima baik permintaan itu.
Lina dihubunginya melalui surat ...
‘Assalamualaikum …
Salam perkenalan.  Nama saya Nurul Izzah bt Razman.
Saya adalah kawan kepada Nazmi.  Saya berminat untuk berkenalan lebih rapat dengan awak …….’
Itulah permulaan kalam yang akhirnya menjadikan Lina dan Izah bagai dua sahabat yang saling berhubungan. Mesra tapi jauh...

Hari berlalu … hubungan yang baik antaranya denga Lina akhirnya memakan diri. Izah mulai tidak selesa kerana tiap kali berhubungan , nazmi menjadi bahan utama perbualan. Walaupun hanya melalui surat , Izah dapat merasakan yang Lina gembira bersahabat dengannya demi mendapat khabar dan cerita tentang Nazmi.
“Ya Allah , apa yang berlaku ini?”. Keluh hati Izah.
“Apa sebenarnya hubungan antara kalian berdua?. Mengapa aku harus  terperangkap dalam hubungan cinta tiga segi seperti ini?”. Izah sedih … perasaannya benar-benar tertekan. Izah tersepit antara cintanya terhadap Nazmi dan kasihnya terhadap Lina.
‘Bagai ditelan mati emak dan diluah mati ayah’ , Izah mengharungi konflik yang semakin bersarang di hati. Cinta yang makin mekar dan kemurnian persahabatan menyebabkannya keliru… benar-benar keliru!.
“Siapa yang dahulu mengenali Nazmi?” … jawapannya Lina.
“Siapa yang memberi harapan kepada Lina?” … jawapannya Nazmi.
“Siapa orang ketiga yang merosakkan hubungan mereka?” … jawapannya Izah!!!
“Ya Allah!”. Izah menekup wajahnya sendiri … sejak itu Izah banyak berfikir. Wajarkah diteruskan hubungan ini atau haruskah dia mengundurkan diri.
“Izah!!!.Laa hang ni asyik berangan memanjang. Puas aku panggil hang. Tu! Ada panggilan telepon untuk hang”. Jerit Fida , teman serumahnya.
“Eh! Sorry…aku tak dengarpun kau panggil”. Jawab Izah sambil merenyih.
“Hmm mana nak dengaqnya , hang sibuk berangan!. Dah , pilah cepat. Jenuh orang tu menunggu”. Balas Fida dengan loghat Kedahnya.
“Yelah makcik!!”. Balas Izah sebelum berlalu.
Izah segera mencapai gagang telepon yang terletak di ruang tamu. Hatinya tertanya-tanya , siapalah agaknya yang meneleponnya …
“Hello , assalamualaikum”
“Waalaikumssalam”
“Ya. Siapa ni?”. Tanya Izah setelah mendengar suara seorang  perempuan menjawab salamnya.
“Tak kenal ye?. Heee…”. Mesra suara si pemanggil.
“Sayalah … Lina!”
“Ya Allah , Lina ke?. Eh, apa mimpi tiba-tiba call ni?”. Balas Izah , mesra. Izah sungguh tidak menyangka yang Lina akan meneleponnya. Selama ini mereka hanya berhubungan melalui surat sahaja. Inilah kali pertama mereka mendengar suara satu sama lain.
Berbual agak lama hingga akhirnya Lina menghujani Izah dengan satu soalan yang membuatkannya tergamam …
“Awak , boleh tak saya nak tanya satu soalan. Awak jawab sejujurnya ya”. Izah mendengar dengan perasaan yang berdebar-debar ,  terlintas di hatinya akan soalan yang bakal ditanyakan Lina.
“Ya. Silakan”. Balas Izah.
“Awak , apa hubungan antara awak dan Nazmi?”.
Bagai batu terhempap di kepala. Sekali lagi Izah tersepit kerana dia memang tahu jawapan yang ingin didengar oleh Lina. Haruskah dia menjawab pertanyaan itu dengan jujur?. Bagaimana dengan Lina … mampukah Lina menerima kejujuran itu?. Tidakkah hatinya akan hancur bagai kaca terhempas ke batu. Izah tahu … sejak awal persahabatan mereka , Lina memang mencintai Nazmi.
“Ya Allah … apa yang harus aku katakan?”. Fikir Izah.
“Awak … apa jawapannya?. Tolonglah jawab. Saya perlu tahu”. Kata-kata Lina mengejutkan Izah yang sedang tenggelam dalam perasaan.
"Keputusan harus dibuat. Sama ada aku atau dia yang akan kecewa" … dan akhirnya …
“Err … kami hanya berkawan. Kawan biasa!”. Jawab Izah perlahan , cuba mengawal nada suaranya.
“Ya Allah! … Leganya saya awak. Saya ingatkan awak dengan dia …. Terima kasih awak!!”. Balas Lina, gembira sedangkan Izah hanya mampu menyeka air mata yang mulai terbit dari pelupuk mata. Mujur Lina tidak dapat melihatnya …

Maka terjawablah sudah konflik dan bebanan perasaan yang ditanggung Izah. Bermain dalam cinta tigasegi yang akhirnya menjerut dirinya sendiri.
“Aku tidak mungkin akan bahagia diatas tangisan orang lain. Lagi pula memang dia yang dahulu mengenalinya. Aku hanyalah watak sampingan yang kebetulan terperangkap dalam kisah mereka”.

Benar , bukanlah suatu kebetulan kita dipertemukan dengan  orang-orang di sekeliling kita dan bukan juga kebetulan kita melalui tiap kisah dan pengalaman dalam hidup.Semuanya sudah tertulis dan dalam perancangan Allah.
Sungguhpun kita diberi pilihan namun kita juga diajar erti pengorbanan dan Izah memilih untuk berkorban demi kebahagiaan orang lain …

“Woii! Berangan ye … tadi kata nak solat. Dah 7:45 ni , maghrib pun dah nak habis. Dah solat ke belum?” Jerkah Milah yang kebetulan naik semula untuk mengambil dompetnya yang tertinggal.
“Laa … hmm…belum solat. Aku …” Jawab Izah sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
“Hmm … beranganlah tu!”. Balas Milah dan mereka sama-sama tertawa …***ojai






-peace-
>__<

Hidup perlukan pengorbanan



1 comment:

  1. Saya fikir Izah sepatutnya berunding dengan Nazmi mengenai hubungannya dengan Lina dari awal lagi. Pra-sangka Izah telah membunuh hubungan yang baik yang dibina. Bukan senang untuk bertemu dengan perkenalan seperti ini. Masing-masing sangat menjaga adab dan tatasusila ikhlas bagi membina sebuah "bait al muslim". Pun begitu Nazmi harus juga dipersalahkan kerana tidak berterus terang dengan Izah akan hubungannya dengan Lina. Banyak perkara dapat diselsaikan dengan perundingan yang sebaiknya, tetapi Allah lebih kemas dengan perancangannya. Ia menjadi ibrah akan sebuah kehidupan. Sedihnya cerpen ini amat jua kurasai. wallahu aalam.

    ReplyDelete