BAB 30 : MASIHKAH ADA MENTARI?
Setelah didesak oleh Ziah , Zuraimie menceritakan segalanya tentang Diah
yang sedang mengalami kemurungan serius selepas melahirkan Raziq. Keadaannya yang
kritikal dan boleh membahayakan orang lain menyebabkan Zuraimie mengambil
keputusan membawanya keluar dari rumah kedua orang tuanya. Sangkanya , dengan
berbuat demikian Diah akan segera pulih namun keadaan berlaku sebaliknya.
... itulah hakikatnya
dan aku benar-benar kecewa ...
“Itulah sebabnya mengapa aku tak bawa Raziq tinggal bersama
kami. Aku tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku padanya”. Zuraimie menutup ceritanya.
“Ya Allah , kasihannya Diah ...” . Sedih benar Ziah mendengar
keadaan Diah yang sebenarnya. Sukar untuknya mempercayai cerita Zuraimie itu. Diah
, seorang gadis yang sangat periang dan popular , kini mengalami tekanan
perasaan yang serius.
“Tapi ... bagaimana dengan semua cerita derita dan seksa yang
dilakukan oleh ibu awak , Puan Sarah terhadapnya?. Adakah ...?”. Ziah
teragak-agak untuk meneruskan kata. Takut akan menyinggung hati Zuraimie pula.
“Kenapa?. Diah cerita apa?. Diah kata mak aku menyeksa dia?.
Begitukah?”. Tanya Zuraimie bertalu-talu. Serba-salah Ziah jadinya.
“Err ... Mie , maafkan saya”. Jawab Ziah.
“Ziah , awak tidak fahamkah yang Diah itu hidup di alamnya
sendiri. Semua itu adalah cerita dan derita yang dialami di alam fantasinya
sahaja. Memang pada asalnya keluarga aku menentang keras perkahwinan kami.
Memang benar , kedua orang tua aku tidak dapat menerima Diah dengan baik.Tapi
mereka juga manusia biasa , akhirnya mereka menerima juga ketentuan Allah.
Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Raziq. Mak dan ayah aku sangat sayangkan
Raziq. Demi Raziq mereka menerima Diah seadanya. Malah mereka takut sekiranya
aku berpisah dengan Diah maka mereka akan kehilangan Raziq , cucu mereka.
Mereka tidak pernah menyiksa Diah , malah merekalah yang banyak membantu aku
merawat Diah”. Terang Zuraimie.
“Jadi ... maksud kau ,
Diah tu ...?”. Tidak tergamak Ziah untuk menyebutnya. Sukar benar bagi Ziah
untuk menerima hakikat yang sahabatnya itu sakit. Baru tadi siang mereka keluar
bersama , bercerita kisah duka hidup Diah dianiaya mertua sendiri. Semuanya
bagaikan benar terjadi.
“Mie , Diah bukan gilakan?. Cuma jiwanya tertekan. Betulkan
Mie?”. Tanya Ziah.
“Ya Ziah , jiwa dia tertekan dan aku sendiri benar-benar
kecewa dengan semua ini. Sebab itulah aku bawa dia ke sini. Itu , orang gaji
yang ada dalam rumah ini sebenarnya adalah jururawat khas yang aku gajikan
untuk menjaga Diah”. Jawab Zuraimie jujur.
“Dan aku sebenarnya sangat menghargai kedatangan kau ke mari.
Aku tahu , kau adalah sahabat baik Diah. Dia percayakan kau sepenuhnya. Ziah ,
untuk yang kesekian kalinya , bantulah aku untuk memulihkan Diah. Aku kasihan
melihat dirinya , hidupnya masih dibayangi derita lalu sedangkan aku sedia
memberikan kebahagiaan buat dirinya. Aku sayangkan dia. Aku sayangkan dia lebih
dari diriku sendiri”. Pinta Zuraimie. Menitis
air mata Ziah mendengar permintaan tulus seorang suami ...
“Insya Allah , aku akan tolong semampu yang boleh”. Janji
Ziah sambil mengesat air matanya.
Pertanyaan masih belum
berakhir.
“Zuraimie , kalau aku
tanya kau satu lagi soalan ... aku harap kau takkan marah dan akan jujur
menjawabnya”. Ziah teragak-agak untuk berterus terang.
“Errr ... apa?”. Zuraimie mula berasa cuak. Apa lagi yang bermain di fikiran Ziah.
“Err ... hari tu
beberapa hari sebelum aku ke sini , Diah ada telepon aku dan ...”. Ziah
terhenti . Berat benar mulutnya hendak meluahkan.
“Dan ...?” Tanya Zuraimie tidak sabar. Apalah perkara yang
telah diceritakan oleh Diah itu sehinggakan Ziah teragak-agak untuk bertanya.
“Dan Diah ada mengadu pada aku yang kau ada melanggani
GRO?”. Ziah berkata laju lalu segera mengetap bibirnya. Zuraimie tersentak
mendengar pertanyaan itu.
“Huhhh!!!” . Berubah wajah Zuraimie. Terasa darah panas
mengalir deras ke wajahnya. Malu benar dia ditanya begitu. Tergamak Diah
menceritakan perkara yang mengaibkan itu. “Aib?!”. Fikirnya. Semasa sedang
seronok melakukannya , soal ‘aib’ tidak pernah timbul. Kini pekung di dadanya
sudah terbongkar. Nanah busuknya mengasak batang hidungnya sendiri! Apa yang
harus dilakukan. Patutkah dia berbohong bahawa , ‘itu semua adalah ilusi
Diah!’. Tentu boleh kerana kewarasan Diah memang boleh diragukan tetapi
patutkah dia berbuat begitu kepada orang yang dicintainya sepenuh hati?.
Masakan mungkin orang lain yang makan nangka , orang lain yang kena getahnya!.
“Errr ... Ziah , begini. Cukuplah aku katakan yang aku ini
seorang suami malang yang tidak diingini oleh isteriku sendiri. Setiap hari aku
memandangnya dengan perasaan yang penuh gelora. Tapi setiap kali aku cuba
menghampiri , pasti dia menolakku dengan hina. Maruahku bagai dirobek-robek. Bagaikan
bangkai hina benar rasanya diri aku ini. Merayu pada yang tak sudi. Keinginanku
tak pernah tercapai ... hinggalah aku hilang pertimbangan. Anggaplah itu kelemahan aku sebagai seorang lelaki. Tapi , itu
cuma berlaku sekali saja. Itupun setelah kemahuan ku ditolak mentah-mentah oleh
Diah. Malam itu ego lelakiku benar-benar tercabar!” Terang Zuraimie , mengakui
kesilapannya. Dia sendiri menyesal dengan tindakannya. ‘Marahkan nyamuk habis
kelambu dibakar’. Marahkan Diah , Zuraimie bertindak membalas dendam dengan
melakukan maksiat!.
“Sebenarnya Ziah , aku betul-betul menyesal dengan perbuatan
aku itu. Kau sendiri tahu betapa besarnya cintaku kepada Diah. Diahlah
segala-galanya bagiku. Walau apapun terjadi , aku tak mungkin akan menukarnya
dengan yang lain. Aku harap dan berdoa agar satu hari nanti kami akan dapat
juga mengecap kebahagian hidup bersama”. Zuraimie meluahkan sejujurnya perasaan
dan harapan dari lubuk hatinya. Ziah diam. Simpati ...
“InsyaAllah. Aku doakan hari yang bahagia buat kalian berdua
itu akan segera datang.
Aku juga sayangkan Diah. Mie , tolonglah bersabar. Cintailah
Diah dan berilah dia masa”.Pinta Ziah pula.
“Itulah yang sedang aku lakukan sekarang Ziah. Walau apapun
terjadi aku sanggup mengharunginya , demi cintaku ini. Aku cintakan Diah lebih
dari nyawaku sendiri. Walau hingga hujung nyawapun aku sanggup menunggunya.
Dalam hatiku ini hanya ada dia , tiada lagi
yang lain”. Jawab Zuraimie. Ziah lega mendengar pengakuan Zuraimie itu.
“Alhamdulillah , aku tidak silap membantu menyatukan kalian
berdua. Aku doakan agar Diah nampak betapa besarnya cinta kau itu. Sesungguhnya
Mie , Diah adalah wanita yang paling bertuah mempunyai suami sesabar dan sebaik
awak”. Kata Ziah dan Zuraimie hanya diam
mendengar pujian itu.
“Mie , esok aku dah nak balik. Suamiku , abang Anip pun
bukannya sihat sangat. Aku datang ni pun dengan hati yang berbelah bagi. Aku
cuma nak minta kau bersabar terus dengan Diah. Berilah dia masa. Pada aku Diah
sebenarnya sedang keliru tentang banyak perkara. Diah juga keliru tentang
perasaannya terhadap kau. Pada pendapat aku , kau sebenarnya tidak bertepuk
sebelah tangan. Jika tidak masakan Diah cemburu sangat dan kecewa apabila
mendapat tahu yang kau melanggani GRO. Seperkara lagi , kau bawalah Raziq tinggal bersama. Mungkin
mak kau atau pengasuh boleh tinggal bersama kalian di sini. Aku yakin perasaan
dan emosinyua akan segera stabil apabila orang yang dirindu ada bersama. Itu
cadangan aku saja ... selebihnya kau bawalah berbincang dengan Diah dan mak kau
sendiri”. Ziah memberi cadangan dengan
panjang lebar.
“Ziah , tak boleh kah kau tunggu sehari dua lagi?”. Pinta
Zuraimie.
“Aku tengok , Diah nampak berseri sejak kau datang semalam.
Diah tu perlukan orang yang dia percaya untuk meluahkan perasaannya. Aku ...tak
mampu. Diah tak percayakan aku. Malah mungkin dia menganggap aku ni sebagai
musuh atau penghalang kebahagiaannya” . Terang Zuraimie.
“Maafkan aku Zuraimie. Bukan aku tak nak tolong kau orang
berdua tapi ... abang Anip, suami aku
tengah sakit . Aku datang ni pun dengan hati yang berbelah bagi. Aku harap kau
faham”. Terang Ziah.
“Yelah , kalau dah gitu nak buat macam mana. Pukul berapa kau
nak balik esok?”. Tanya Zuraimie.
“Aku ingat nak balik pagi. Perjalanan jauh jadi sempatlah
sampai sebelum menjelang malam”. Jawab Ziah.
“Hmmm ... kalau gitu nanti aku bagitahu Bahari untuk tolong
hantar kau ke Stesen Bas Petaling ... ke Puduraya?”. Tanya Zuraimie.
“Hmm ... Puduraya”. Jawab Ziah ringkas.
“Pukul 8.00 pagi?”. Zuraimie meminta kepastian.
“Hmm ... bolehlah”. Jawab Ziah .
“Errr...eloklah kau pergi masuk tidur dulu. Dah lewat benar
ni. Entah dah tidur atau belum Diah tu”. Cadang Ziah.
“Sama saja , dia tak kan mahu tidur bersama ku!”. Jawab
Zuraimie antara dengar dengan tidak. Ziah hanya menggelengkan kepala .
“Hei ... jangan berputus asa!”. Bisiknya dan Zuraimie hanya
tersenyum mendengarnya.
... langkahnya
tiba-tiba mati ...
Di sebalik dinding bersebelahan pintu
masuk ruang rehat itu , Diah berdiri tegak tanpa berganjak. Tiada siapa sedar
akan kehadirannya. Sebentar tadi langkahnya tiba-tiba mati apabila terdengar
namanya disebut-sebut Ziah dan suaminya. Terbantut niat hatinya untuk menghabiskan
malam itu bersama Ziah. Tidak disangka Zuraimie telah lebih dahulu mendahuluinya!.
Diah terkesima mendengar perbualan dua insan yang amat
bermakna dalam hidupnya.
Hatinya bagai ditarik-tarik untuk berlari mendapatkan
suaminya. Ingin sekali dia melutut memohon maaf atas segala tindakannya
mengabaikan tanggung-jawabnya sebagai isteri. Keperihatinan Zuraimie atas
kesihatannya dan kesabaran Zuraimie melayani kerenahnya yang melampau namun ...
kakinya terus terpaku di situ dan
tiba-tiba hatinya mulai berbelah bahagi , antara Zuraimie dan Raziq. Perkara lain turut mengganggu
fikirannya , cerita pembohongan tentang pernikahannya , pembohongan tentang
status bayinya , cerita tentang kecurangan
Zuraimie dan lebih parah ... Diah merasakan seperti telah dikhianati oleh Ziah apabila segala curahan perasaannya
petang tadi diceritakan oleh Ziah kepada Zuraimie.
“Arrgghhhh! Mengapa?!!” , Diah menekup mulutnya menahan
tangis. Dia tidak mahu kehadirannya disedari sesiapa ...
“Eeeeee ... benci! Penipu!!! Sampai hati kau orang berdua buat
begini pada aku!. Sampai hati kau orang kata aku ni sakit!. Apa kau fikir aku
tidak akan dapat hidup tanpa korang?. Korang salah! Korang salah!!” . Jerit
hati Diah sambil tangannya menarik-narik rambutnya sendiri. Diah tidak dapat
menahan dirinya lagi. Dia harus keluar dari situasi ini. Dia harus keluar dari
rumah ini!!
Hari yang baru
Pagi itu , selesai mengemas barangannya Ziah berjalan keluar bilik tamu
yang menjadi tempat peraduannya malam tadi menuju ke dapur. Di atas meja telah
terhidang sarapan pagi , air Nescafe dan mee hoon goreng. Sungguh harum baunya
membuatkan perut Ziah segera berkeroncong minta diisi.
“Hmm ... manalah Diah ni. Ada tetamu istimewa macam aku pun
dia bangun lambat. Dah jadi isteri orang tapi tak ubah-ubah lagi perangai lama tu”. Rungut
Ziah sambil tersenyum-senyum sendiri.
Sedang Ziah termangu-mangu sendirian , Zuraimie yang baru
turun menegurnya , “ Hai Ziah , lena tidur malam tadi?”.
“Eh! Dah turun ... mana Diah?”. Tanya Ziah sambil memandang
kea rah belakang Zuraimie.
“Mana Diah?. Hmm ... janganlah bergurau. Bukan ke Diah tidur
dengan Ziah malam tadi?”. Tanya Zuraimie sambil mengerutkan dahinya.
Ziah diam , memandang Zuraimie dengan penuh tanda tanya.
Pandangan Ziah itu membuatkan Zuraimie cemas , “Betul ke Diah tak tidur dengan
awak?”. Tanya Zuraimie dan Ziah menggelengkan kepala.
Serentak dengan itu , kedua mereka berlari pantas membuka segala pintu yang ada dalam rumah itu mencari Diah ... namun hampa.
Serentak dengan itu , kedua mereka berlari pantas membuka segala pintu yang ada dalam rumah itu mencari Diah ... namun hampa.
”Mie , mana Diah?. Mungkinkah dia dengar segala yang kita
bualkan semalam?”. Ziah mulai cuak.
Zuraimie tidak menjawab malah tangannya sibuk menekan nombor
pada telepon bimbitnya , “ Assalamualaikum mak , Err ... mak , ada tak Diah datang
ke sana?”. Tanya Zuraimie.
“Uh! Tak mengapa. Ya , baik mak. Nanti kalau ada apa-apa Mie call
mak. Assalamualaikum”. Itulah perbualan Zuraimie dengan ibunya , Puan Sarah yang singgah di
telinga Ziah.
“Habis Diah ke mana?”. Tanya Ziah sebaik sahaja Zuraimie mematikan
talian teleponnya.
“Entahlah Ziah ... aku kena cari dia!”. Kata Zuraimie sambil berjalan
laju meninggalkan Ziah.
“Eh! Mie tunggu!!. Jangan-jangan Diah balik ke rumah mak ayah
dia tak?”. Jerit Ziah.
“Hah! Mungkin juga. Ziah , boleh kau temankan aku ke sana?”. Ziah
hanya mengangguk sebelum mengejar langkah Zuraimie yang laju menuju ke kereta.
Diah dalam perjalanan...
Sementara itu ... Diah sedang dalam perjalanan menuju ke Cherating
, Pahang... menaiki bas ekspress , duduk bersendirian di kerusi yang paling belakang.
“Mak Mah ... tolong Diah ...”. Bisiknya perlahan sebelum melelapkan
mata ...
Relalah dengan
takdir ...
Besarnya kekuasaan Tuhan yang Maha Mencipta
Esanya tiada sekutu mahupun pendua berkongsi kuasa
Resam Yang Mulia mengurus soal hambanya
Setiap yang berlaku pasti telah terencana
Yakin ketentuan Qado’ dan QadarNya dengan rela
Utuhkan keimanan seiring semangat menempuh segala
Kerna pasti kebahagiaan tetap akan menjelma
Untuk kau aku mengecapi segala
RahmatNya buat kita semua
Dan percaya
Engkau kan
kembali ceria
Nestapa dulu
kan akhirnya dilupa
Gelak tawa kan
pasti menjelma
Andai saja hati
ikhlas berserah padaNya
Nescaya hidup
kan lebih bermakna
Takdir
hidupnya manusia
Adalah satu
perjalanan panjang sang pengembara
Kekadang
tersadung kecewa meranalah jiwa
Di dedaunan
usia yang semakin mengganda
Itulah ranjau
dan ujian yang harus direla
Rahsia yang
perlu dirongkai untuk capai bahagia
|
“Mintalah pertolongan
dengan sabar dan solat”
-TAMAT-
-Peace-
Maaf kerana DIAH tidak seperti yang diharap
DIAH hanyalah manusia biasa yang cuba mencari bahagia
membawa sejarah silam untuk mengharungi hari muka
-Peace-
Maaf kerana DIAH tidak seperti yang diharap
DIAH hanyalah manusia biasa yang cuba mencari bahagia
membawa sejarah silam untuk mengharungi hari muka
No comments:
Post a Comment