Popular Posts

Wednesday 17 May 2017

Novel 2 : Selepas Hujan ... Bab 24

BAB 24          MASIH ‘BIPOLAR DISORDER’
"Jadilah sinar penyuluh jalan kembali"
-ada ketikanya kebenaran itu tersembunyi disebalik kepercayaan yang semakin menipis-

Peristiwa yang mengejutkan
Ziah letih! Letih sekali memikirkan pelbagai perkara yang terjadi. Letih juga fizikalnya menguruskan itu ini. Pagi hari ke sekolah , petang pula bagaikan lipas kudung menguruskan rumah , menyediakan makan malam dan sisa waktu yang ada dimanafaatkan sepenuhnya buat sang suami yang menderita … mental dan fizikal!
“Ini bahagian aku. Aku harus kuat! Aku harus tabah!!”. Ziah memotivasikan diri … memberi semangat pada jiwanya yang semakin lemah.
“Lagi pula , tiada yang kebetulan dalam hidup ini. Segalanya adalah dalam perancangan Allah dan takdir yang telah ditentukan untukku. Benar ya tuhan … dunia ini tempat hambaMu diuji. Maka kuatkanlah aku … jangan Kau biarkan hambaMu ini terus berkeluh kesah”. Doa Ziah … mengembalikan segalanya kepada Allah , tuhan yang satu.

Sesuatu yang tidak diduga
Sedang Ziah masih leka melayan fikirannya …  mencari makna , cuba memahami perkara yang berlaku dan menyerahkan  kembali segalanya kepada Rob yang mencipta , tiba-tiba Ziah terdengar bunyi seperti seseorang  berlari laju ke arahnya. Ziah yang duduk mengadap sungai segera berpusing ke belakang untuk melihat siapakah yang sedang berlari itu , malangnya belumpun sempat dia berbuat apa-apa sesusuk tubuh bertopeng , terlebih dahulu bergerak pantas lalu terus melompat dan menerkamnya tanpa belas.
“Heeeiii!!!!” Jerit Ziah sebelum mereka sama-sama terjatuh terus ke dalam sungai!
“Celepuss!!!”. Kuat bunyi kocakan air menyambut keduanya.
Ziah meronta-ronta cemas , kakinya cuba dikayuh laju. Rerumpai yang tumbuh di pinggir sungai segera cuba dicapainya. Dalam kepayahan itu , Ziah sempat mencari bayangan orang yang menolaknya tadi. Seorang lelaki , dia sudahpun berjaya memanjat ke tebing sungai … topeng yang dipakainya sudah tercabut. Munghkin hanyut dibawa arus.
“Aaabaannngggg … “ Ziah bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Abang! Tolong! Tolong Ziah …”. Ziah cuba memanggil abang Anip namun panggilannya langsung tidak dihiraukan. Abang Anip terus berlari pergi meninggalkan Ziah terkapai-kapai sendiri. “Abang! Tolong Ziah …”.
Ziah mulai cemas. Rerumpai yang cuba dicapainya semakin menjauh. Tenggelam timbul tubuhnya dilanda arus sungai yang memang selalu deras. Tercungap-cungap mencari nafas  , dia mulai meronta. Semakin keras rontaannya , semakin tenggelam dan hanyut dia dibawa arus. Sudah banyak air yang ditelannya , tenggelam timbul ... tenggelam timbul … akhirnya tidak timbul-timbul lagi!

Biar saya perbetulkan kesilapan yang telah saya ...
“Ziah! Ziah!”. Panggilan itu menyedarkan Ziah. Matanya dibuka ...
“Ahh! Di mana saya?”. Tanya Ziah , memandang sekelilingnya. Dia kini sedang berbaring di atas tilam nipis yang sudahpun hapak baunya. Matanya memandang sekeliling , dinding-dinding buluh yang disusun rapat itu bagai pernah dilihatnya.
“Kau di rumah aku”. Jawab Kamal , memandang Ziah tanpa kelip.
“Kau! Kau!. Jangan apa-apakan aku!”. Jerit Ziah tiba-tiba. Cemas benar dia apabila terpandangkan wajah pemuda itu. Pakaiannya yang basah melekap ke badan itu ditariknya. Tidak selesa dengan pandangan mata Kamal dan tidak mahu terus berada di pondok buruk  itu  apatah lagi berdua bersama Kamal , lelaki yang pernah cuba menodainya dulu!.
“Aku harus pergi dari sini! Aku harus pergi dari sini!”. Jerit Ziah bagai orang kerasukan.
“Ziah! Ziah! Jangan takut. Lihat , mak akupun ada sama. Lihat , ini mak aku pun ada sama”. Kamal cuba menenangkan Ziah.
 “Ya Ziah , jangan takut. Makcik ada di sini”. Kata ibu Kamal sambil menyorongkan dirinya ke hadapan. Duduk di sebelah Ziah yang masih kuyup. Melihat wajah ibu Kamal , Ziah kembali tenang.
“Maafkan saya makcik tapi saya mahu balik …”. Belumpun sempat Ziah menghabiskan kata-katanya , Kamal segera memotong.
“Tadi saya jumpa awak lemas dibawa arus. Mujur segera saya cepat terjumpa awak. Kalau tidak tak tahulah apa yang mungkin terjadi”. Kamal menerangkan.
“Apa yang sudah berlaku?”. Tanya Kamal , hairan memikirkan kejadian Ziah lemas itu.
“Ohh!!” Ziah bangun dari pembaringan lalu duduk sambil  memegang kepalanya sendiri. Kepalanya terasa sakit , malah seluruh badannya.
“Kamal , saya mahu balik”. Ziah tidak menjawab pertanyaan Kamal. Ingatannya segera kembali kepada suami dan keluarga yang mungkin sedang cemas menunggunya.
“Kenapa awak semua benci sangat pada saya. Apa yang telah saya buat sehingga awak malah Miah juga tiba-tiba saja menjauhkan diri daripada saya?. Apa , bangsat sangatkah saya ini?”. Tanya Kamal. Kesal dilayan sebegitu rupa. Tersinggung benar dia melihatkan kebiadapan Ziah. Jangankan mahu berterima kasih malah pertanyaannya langsung tidak dijawab.
“Kamal , awak tanya saya apa yang telah awak buat?. Awak masih berani bertanyakan saya tentang apa yang telah awak buat?”. Ziah hairan. Kata-katanya penuh sindiran.
“Ya ! Apa yang telah saya buat?”. Tanya Kamal mendesak. Marah disindir tanpa sebab.
“Kamal , janganlah berpura-pura. Saya mendiamkan perbuatan awak itu pun sudah cukup baik buat awak!”. Marah Ziah. Tidak mahu menyatakan perbuatan keji Kamal terhadapnya di hadapan ibunya.
“Berpura-pura?. Apa maksud awak? Cakap! Saya nak tahu , apa maksud awak saya berpura-pura?. Dan apa kesalahan yang telah saya buat terhadap awak?!”. Kamal mendesak. Dia mengesan sesuatu yang tidak kena ... pasti ada salah faham di mana-mana.
“Kamal , awak jangan berpura-pura tidak tahu!”. Jerit Ziah , marah. Hilang sudah sabarnya melihatkan lakonan tidak bersalah Kamal itu.
“Ya!. Saya tidak berpura-pura. Saya memang tidak tahu maksud sindiran awak itu. Baik awak berterus terang saja dengan saya!!”. Jerit Kamal pula.
“Awak mahu saya berterus terang?. Di hadapan ibu awak ini?!”. Jerit Ziah. Sungguhpun bencinya kepada Kamal menggunung tinggi namun akal warasnya masih menegahnya daripada melukai hati seorang ibu tua yang pernah menyayanginya suatu ketika dulu.
“Tiada apa salah yang pernah saya lakukan kepada awak. Saya tidak takutkan apa-apa. Awak katakan saja maksud sindiran awak itu di hadapan ibu saya ini. Biar dia menjadi saksi segala yang terjadi hari ini”. Jawab Kamal ,tegas.
“Tiada apa salah awak kata?”. Jerkah Ziah. Matanya buntang memandang wajah Kamal. Bagai mahu ditelah saja lelaki ini.
“Ya!. Memang saya tiada apa salah kepada awak!!”. Balas Kamal , separuh menjerit. Kepalanya tegak memandang Ziah. Mendidih benar hatinya melihatkan keangkuhan Ziah , terus-terusan menuduhnya.
“Baiklah , jika itu yang awak mahu!”. Balas Ziah , sedia mahu menamatkan lakonan Kamal.
“Ya! Nyatakan!!”. Jerit Kamal yang sudah hilang sabar.
“Awak cuba menodai saya dan itu awak kata tiada salah?!!”. Ziah akhirnya melepaskan apa yang terbuku. Biar Kamal tahu bahawa tembelangnya sudah lama pecah. Biar ibu Kamal juga tahu perangai buruk anaknya itu. Biar Kamal tidak boleh terus berpura-pura baik!. Melopong mulut Kamal dan ibunya mendengar tuduhan Ziah.
“Awak cuba menodai saya dan awak masih mahu berpura-pura tidak bersalah?. Mujurlah abang Anip datang tepat pada masanya. Jika tidak sudah pasti saya menjadi mangsa nafsu serakah awak itu”. Sambung Ziah. Entah mengapa air matanya jatuh bercucuran , sedih tiba-tiba menusuk kalbunya tatkala mengenangkan persahabatan yang terbina antaranya dan Kamal punah begitu sahaja dek nafsu serakah lelaki ini.
“Ya Allah , betulkah itu semua Kamal?”. Tanya ibu Kamal yang sedari tadi diam terkejut mendengar perbalahan antara Ziah dan anaknya. Ibu tua itu sudah terperosok di hujung sudut ruang pondok itu.
“Apa?. Saya cuba menodai awak?!”. Tanya Kamal , dia juga terduduk  mendengar tuduhan berat Ziah itu.
“Astarghfirullah al- adziiimmmm”. Kamal beristighfar panjang sebelum meraup wajahnya berkali-kali. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
“Ziah , kalau itulah keinginan saya berkawan dengan awak ,sudah lama saya boleh melakukannya. Ingat , semasa kita sama-sama memudik ke hulu?. Sama-sama bersampan dan pertemuan-pertemuan kita selepas itu , pernahkah saya mengambil peluang ke atas awak?. Tidak sekalipun!. Malah tidak terdetik pun di hati saya ini mahu berbuat jahat terhadap awak”. Kata-kata ikhlas Kamal itu menyedarkan Ziah. Dia bagaikan terpukul dengan kebenaran yang mungkin telah terselindung selama ini.
“Ya Allah , hinanya saya ini di pandangan mata awak. Hingga begitu mudah awak menuduh saya semahunya. Patutlah awak dan kini Miah juga turut menjauhkan diri dari saya. Hina benar saya ini di pandangan mata kalian berdua. Sanggup awak menuduh saya cuba menodai awak?. Sungguhpun kami ini miskin harta namun kami tidak miskin akhlak. Huh! Maka inilah jawapan kepada soalan yang sering bermain-main di benak ini. Mengapa tiba-tiba saya dibenci. Mengapa tiba-tiba orang yang saya sayangi pergi … ”. Kamal benar-benar kesal mendengar penjelasan Ziah.
“Habis … jika bukan awak , siapa?”. Kata Ziah perlahan , lebih kepada dirinya sendiri. Ziah mengimbau peristiwa itu . Semasa serangan itu terjadi , Ziah pengsan akibat teruk dipukul dan dibelasah lelaki bertopeng. Sedar-sedar sahaja abang Anip sudah menggendungnya ke rumah!
“Abang Anip  … ohh tidak!!. Maafkan saya Kamal!”. Ziah tersedar bahawa dia mungkin telah tertipu ... tertipu sebegini lama.
“Mungkinkah ini adalah rancangan dan angkara abang Anip?”. Kata hati Ziah. Dia keliru , masakan lelaki yang menjadi suaminya kini adalah orang yang pernah cuba menodainya dulu. Ziah terduduk lalu menangis teresak-esak.
“Ziah … sudahlah. Jangan menangis lagi. Salah saya juga kerana tidak pernah bertanya khabar awak selama ini. Jika tidak , tentu salah faham ini tidak akan berlanjutan sampai jadi begini. Saya tidak pernah mengkhianati awak , percayalah. Perasaan saya kepada awak tetap seperti dulu. Sama seperti sebelum awak menolak permintaan saya untuk memperisterikan awak. Saya terima penolakan awak itu dengan baik walaupun pada awalnya hati saya ini membantah. Tetapi akhirnya saya sedar , saya hanyalah pipit yang hanya mampu berangan terbang tinggi bersama enggang”. Kata Kamal. Kata-kata yang cukup mengharukan hati Ziah.
“Maafkan saya Kamal kerana telah berburuk sangka kepada awak. Maafkan saya atas apa yang terjadi.  Makcik , maafkan saya. Anak makcik ini seorang yang baik. Dia tidak pernah berbuat jahat cuma saya sahaja yang buta mata dan hati ”. Ziah benar-benar kesal kerana tuduhan yang tidak berasasnya itu.
“Ziah , apa yang sebenarnya terjadi?”. Tanya Kamal , ingin mengetahui kisah yang sebenarnya.
Ziah hanya menggelengkan kepalanya.
“Tak mengapalah Kamal , perkara telah lepas tidak akan mengubah apa-apa pun jika dikenang kembali. Hantarkanlah saya balik. Nanti saya akan terangkan kepada Miah perkara yang sebenarnya. Kami telah tersalah sangka kepada awak. Saya tanpa sedar telah memfitnah awak . Maafkanlah saya. Biar saya perbetulkan kesilapan yang telah saya lakukan. Saya berjanji akan menyatukan awak dan Miah semula”. Janji Ziah.
Kamal menggeleng.
 “Kejadian orang cuba menodai awak itu … dan peristiwa awak lemas hari ini. Keduanya tidak boleh dipandang ringan. Kita harus melaporkannya ke balai polis. Perkara ini harus disiasat”. Kata Kamal , memandang Ziah dengan wajah yang serius. Siapa pula yang mahu membuat aniaya kepada gadis sebaik Ziah. Perkara ini tidak boleh dibiarkan.
“Tidak Kamal!. Demi persahabatan kita , biar saya yang uruskan perkara ini. Tidak usahlah awak memperbesarkannya. Seperti yang saya janjikan tadi , saya akan pastikan awak dan Miah berbaik semula”. Pinta Ziah , Kamal terpaksa akur dengan hati yang berat.
“Demi persahabatan kita?”. Katanya di dalam hati.

“Ya , Miah. Dia tak bersalah!”
“Assalamualaikum!”. Ziah memberi salam. Pintu rumah kayu yang tertutup rapat itu dipandangnya.
“Waalaikum mussalam!”. Jawab cikgu Karim , segera membuka pintu.
“Ziah! , apa yang telah berlaku?. Ke mana Ziah dah pergi?. Kami semua bimbang”. Tanya cikgu Karim bertubi-tubi.
“Abah , panjang ceritanya ...”. Ziah menceritakan  kisahnya terjatuh dan lemas dihanyutkan arus  sungai. Kisah bagaimana Kamal menyelamatkannya dan juga tentang tuduhan mereka sekeluarga terhadap Kamal selama ini. “Entahlah abah , ada kemusyikilan tapi yang pasti bukan Kamal yang melakukannya”. Terang Ziah.
“Kalau bukan Kamal , siapa?”. Tanya cikgu Karim spontan.
Perkara sebesar ini mana mungkin boleh didiamkan. Lagi bahaya jika berawas dengan musuh yang tidak nyata.
“Abah , itu semua sudah tidak penting lagi. Perkara dah jadi sejarah. Kita serahkan sajalah segalanya kepada yang Esa untuk memberikan balasan setimpal kepada si pesalah sebenar”. Jawab Ziah , mengharap benar agar mertuanya itu tidak terus mendesak.
“Hmm … jika itu kata Ziah , yelah. Abah mengikut saja tapi macam manalah Ziah sampai boleh terjatuh dan lemas  dalam sungai tu?”. Tanya cikgu Karim , hairan.
Pertanyaan cikgu Karim itu tidak dijawabnya ,  tidak tergamak hatinya mahu menceritakan perkara yang sebenarnya.
“Entahlah abah , tergelincir agaknya”. Jawab Ziah perlahan.   Cikgu Karim menggelang-gelengkan kepalanya , bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengar.
“Lain kali jangan duduk terlalu dekat dengan tebing. Awak tu bukan pandai berenang. Mujur tak jadi apa-apa yang lebih mudarat hari ini”. Cikgu Karim mengingatkan. Ziah hanya mengangguk-ngangguk.
“Ziah , emak betul-betul risau dibuatnya. Janganlah sampai terjadi lagi ya nak?”. Kata mak Midah sambil mengelus-ngelus tangan anak menantunya itu.
Miah yang sedari tadi hanya mendiamkan diri , kini bersuara … “Ziah , maksudnya ... Kamal?”. Tanya Miah ragu-ragu.
“Ya , Miah. Dia tidak bersalah!. Akak dan abang Anip yang tersalah tuduh. Maafkan kami kerana telah mengganggu hubungan kalian berdua”. Ziah memegang tangan Miah.
Menitis air mata Miah mendengar semua itu. Kesal sungguh hatinya kerana telah turut tidak mempercayai Kamal. Termakan juga dia dengan cerita buruk itu.
“Huh!”. Keluhnya perlahan.
“Bagaimana harus aku memperbaiki keadaan. Mahukah dia menerimaku semula sedangkan sudah sah yang kepercayaanku terhadapnya terlalu rapuh. Bagaimana hubungan yang tidak disemai dengan rasa saling mempercayai itu boleh diselamatkan?. Mahukah lagi dia kepadaku ini?”. Bergenang air mata dikelopak mata Miah tatkala memikirkan perihal hubungannya dengan Kamal. Lekas-lekas dia memalingkan mukanya ke belakang lalu segera disapunya air mata itu.
Ziah yang perasan akan perilaku Miah itu segera memeluknya lalu berbisik , “Akak dah janji dengan Kamal untuk perbaiki hubungan kalian. Dia tidak menolaknya , ternyata dia sangat mencintai Miah”. Miah tersenyum mendengarnya , berbunga kembali harapan. Tiba-tiba rasa rindu menyapa hati. “Ah! Kamal!!”. Bisiknya perlahan.
            Pelukan Ziah terlerai apabila mendengar pertanyaan mertuanya , “Jadi , mana Kamal ... bukankah dia yang menghantar kamu tadi?”.
“Dia hanya hantar Ziah sampai ke sungai belakang tu saja. Kami tidak mahu mengeruhkan suasana”. Jawab Ziah.
“Abah , abang Anip ada di mana?”. Tanya Ziah , kebenaran yang diketahuinya itu tidak mungkin akan memadamkan kasihnya pada abang Anip. Ziah tahu , pasti ada penjelasan yang munasabah terhadap semua yang terjadi. Lebih-lebih lagi dengan keadaan sakit yang dihidapi abang Anip kini.
“Dia sendiri tidak tahu dengan apa yang telah dilakukannya”. Fikir Ziah.
“Apapun , dia kini adalah suamiku yang sah. Suami yang telah ditentukan tuhan buatku. Aku redha dan aku sudah terlanjur mencintainya , tak kiralah apa yang telah dilakukannya atau apa yang bakal dilakukannya selepas ini. Selagi nyawa dikandung badan”. Ziah meyakinkan dirinya bahawa cintanya tulus terhadap abang Anip.
“Ziah , kau tak marahkan abang Anip?. Bukankah dia dulu yang menuduh Kamal , beraksi seperti wira penyelamat kau? Hingga akhirnya terbuka hati kau untuk menerimanya sebagai suami?”. Tanya Miah. Pertanyaan yang menyentap jantung hati Ziah. Miah sememangnya hairan dengan sikap kakak iparnya itu. Miah masih ingat , bukan mudah bagi Ziah mahu menerima abangnya itu dulu.
“Miah , abang Anip itu sakit. Kalau sekarang ni aku nak melatah , maknanya aku ni tak ada bezanya dengan dia. Lagi pula dia adalah suami aku sekarang. Aku pasti akan menolongnya”. Jawab Ziah. Jelas dan tegas pendiriannya.
“Terima kasih Ziah. Abah sangat menghargai pendirian kamu. Anip ada di bilik kamu. Badannya sejuk menggigil. Entah mengapa , kamu yang jatuh sungai  dia pula yang sejuk menggigil”. Kata cikgu Karim tanpa syak. Dia turut mendengar perbualan Miah dan Ziah.
“Tak apalah abah , biar Ziah tengok dia dulu”. Ziah meminta izin , berlalu menuju ke biliknya.

“Sayang , kenapa tinggalkan abang sendiri?”
Sepanjang perjalanan kembali ke rumah itu tadi , Ziah banyak berfikir tentang segala yang terjadi ... puas dia memerah otaknya mencari akar punca kepada permasalahan sekarang . Segalanya dimuhasabah semula bermula daripada  hari pertama dia mengenali abang Anip hinggalah akhirnya mereka bernikah ... segala-galanya sehinggalah peristiwa yang berlaku pada hari ini.
“Aku rasa aku tahu siapakah musuh aku yang sebenarnya. Musuh inilah yang harus ku lenyapkan dari sanubari abang Anip!”. Kata hati Ziah penuh yakin. Dia sudah pasti kini , bahawa musuhnya bukan Kamal , bukan juga abang Anip tetapi ‘dia’!.
‘Dia’ itu harus dilenyapkan terus kewujudannya!!. ‘Dia’ itu harus dilenyapkan terus dari fikiran dan hati abang Anip. Keputusan sudah dibuat , Ziah nekad … dia akan berjuang berhabis-habisan untuk mendapatkan suaminya kembali. Mendapatkan suaminya dari wanita yang jasadnya sudah lama ditelan bumi!.
“Demi rumah tangga yang telah kita bina”. Katanya di dalam hati , penuh semangat.
            Sebaik sahaja pintu bilik dikuak ,  “Sayang , kenapa tinggalkan abang sendiri?”. Tanya abang Anip sebaik saja terpandangkan Ziah. Ziah tidak menjawab sebaliknya terus saja memeluk suaminya itu.
“Malam ni , abang rasa sejuk sangat!. Ziah , jangan tinggalkan abang. Berbaringlah di sisi abang. Ini …”. Abang Anip mengeluarkan sesuatu dari bawah katil. Terbeliak mata Ziah melihatnya , “ Nak buat apa tali tu bang?”. Tanya Ziah sebaik sahaja terpandangkan tali rapia di tangan suaminya.
“Buat ikat abang. Ziah ikat tangan dan kaki abang supaya abang tidak boleh berbuat apa-apa kepada Ziah. Abang sayangkan Ziah , abang tidak mahu apa-apa terjadi kepada Ziah”.  Jawab abang Anip.
“Abang , apa ni?. Apa pulak yang nak berlaku kepada Ziah?. Kita tak perlukan tali ini. Cukuplah kasih sayang yang mengikat hati kita berdua”. Balas Ziah lalu mencampakkan tali rapia itu jauh ke lantai.
“Ziah , abang tahu segala peristiwa yang terjadi adalah angkara abang. Semuanya berlaku di waktu abang sedang tidur. Abang tidak boleh mengawalnya. Abang tidak boleh jamin yang ianya tidak akan berulang lagi. Jadi …” Belumpun sempat abang Anip mahu meneruskan kata-katanya , Ziah  terus memeluk erat suaminya itu. Tergamam abang Anip seketika hingga tidak mampu meneruskan kata-kata ….
“Abang , maafkan Ziah. Tadi Ziah keluar sekejap. Ada perkara yang terpaksa Ziah uruskan. Abang sejuk?. Mari Ziah tolong”. Ziah mengusap dan membelai lembut rambut abang Anip yang berselirat. Kaki abang Anip yang terdedah diselimutkan … segalanya dilakukannya dengan kasih sayang …  tulus dari hati.
“Apa saja dari hati pastikan sampai ke hati jua”. Bisik Ziah perlahan

Abang Anip selesa mendengarnya  , malah teramat selesa … 

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete