Popular Posts

Sunday 30 April 2017

Novel 2 : Selepas Hujan ... Bab 22

Bab 22                     Semakin Buntu                   

Sesungguhnya segala yang ada pada kita adalah milikNya

... mereka telah buntu
Malam itu sebaik sahaja selesai makan malam , abang Anip berehat di ruang tamu rumah bersama cikgu Karim dan mak Midah. Sedikit benar makanan yang dijamahnya malam ini. Dadanya terasa amat sakit setiap kali menarik nafas. Cikgu Karim dan mak Midah hanya mendiamkan diri melihatkan kepayahan yang dilalui oleh anak sulung mereka itu. Tiada apa lagi yang boleh dibantu , luruh rasa hati mereka ... mereka telah buntu , benar-benar buntu. Kini mereka hanya menyerahkan segalanya pada takdir yang telah tersurat.
“Ya Allah , mengapa kau uji anakku sedemikian rupa?. Aku , ibunya yang telah menanggung sengsara mengandungkannya dan bermatian melahirkannya tidak sanggup melihat dia menderita. Ya Allah , biarkanlah aku yang sudah tua ini menjadi galang gantinya. Aku rela ya Allah , asal saja anakku ini diberikan kesempatan untuk menikmati hidup berumahtangga. Izinkanlah dia merasa  bahagia seperti orang lain. Cukuplah derita yang ditanggungnya akibat kematian Aisyah dulu. Ya Allah , kasihanilah anakku ini. Kasihanilah anakku ini …”. Begitulah ratapan hati seorang ibu. Mak Midah sudah tidak sanggup melihatkan derita yang ditanggung anak lelakinya itu.
Sakit yang dideritai oleh abang  Anip telah menghilangkan seri dan keriangan dalam rumah itu. Mereka kini hidup dalam kesedihan namun ... masing-masing hanya menahan pilu di dada. Sejerih mana sekalipun , senyuman pasti tidak lekang di bibir. Mereka tidak mahu kesedihan dan kemurungan yang tergambar di wajah akan lebih mematahkan semangat abang Anip yang kian rapuh. Mereka tidak mahu abang Anip berputus asa.
“Abah , boleh Anip kata sesuatu?”. Tanya abang Anip memecahkan kesunyian.
“Ya. Tentulah boleh. Apa dia?”. Tanya kembali cikgu Karim. Wajah pucat anaknya itu ditatap.
“Agak abah , kenapa Anip sakit begini?. Betulkah kerana tabiat merokok Anip dulu menyebabkan semua ini berlaku?”. Tanya abang Anip.
“Entahlah Anip , abahpun tak tahu . Tapi keputusan biosep kau tu bila dapatnya?” Balas cikgu Karim , tiba-tiba teringatkan ujian biosep yang dijalani anaknya itu dua minggu lepas.
“Isnin depan dapatlah tu”. Kata abang Anip.
“Kau takut?”. Tanya cikgu Karim , sengaja mahu melihat reaksi anaknya.
“Dalam keadaan sekarang , tak ada apa yang nak Anip takutkan lagi. Abah tengok sajalah keadaan diri Anip ni , sudah serupa mayat hidup!”. Jawab abang Anip , merujuk kepada keadaan fizikalnya yang  terlalu uzur.
“Hishh! Jangan kau berputus asa. Tak ada penyakit yang tiada ubatnya”. Tegur cikgu Karim , tidak mahu anaknya itu terbawa-bawa dengan perasaan.
“Kecuali mati!”. Balas abang Anip. Cikgu Karim diam , mak Midah tertunduk. Ada air bergenang di hujung matanya.
“Kalau ditakdirkan Anip mati , abah tolonglah tengok-tengokkan Ziah. Kahwinkanlah dia dengan lelaki lain. Kasihan dia , sejak menjadi isteri Anip tiada satupun kebahagiaan yang mampu Anip berikan padanya”. Pesan abang Anip , serius benar wajahnya memandang tepat ke dalam mata cikgu Karim. Tergamam cikgu Karim mendengarnya , tak tertelan air liur yang lama bertakung ditekaknya.
“Anip , kau ni bercakap macam nak ‘pergi’ sangat. Apa kau tak kasihankan abah dan mak kau ni?. Kalau apa-apa terjadi pada kau , bagaimana dengan kami. Mak kau pasti tak mampu menerimanya. Sejak dia lumpuh , kau dua beradiklah kekuatannya”. Tegur cikgu Karim lagi. Mendengarkan kata-kata cikgu Karim itu , air mata mak Midah sudah tidak dapat disembunyikan lagi , semuanya terhambur tanpa henti. Mana tidaknya , lepas satu-satu dugaan datang melanda. Sudahlah dirinya tiba-tiba diserang angin akhmar 2 tahun lepas , Aisyah tunangan abang Anip pula mati dibunuh. Rentetan itu abang Anip hidup dalam alamnya sendiri , bertemankan kemurungan dan rasa bersalah yang tidak kesudahan. Kini tatkala ada sinar bahagia mulai mencelah di kehidupan mereka anak beranak , abang Anip pula diserang sakit. Sakit yang bagaikan tiada ubatnya.
“Anip , jangan cakap macam tu nip , kasihankanlah mak ni”. Pinta mak Midah.
“Mak , Anip tak mampu menahan takdir!”. Jawab abang Anip sambil tersedu. Lantas kedua beranak itu saling berdakapan. Melihatkan keadaan isteri dan anaknya yang bagaikan hilang kawalan itu , cikgu Karim terus berkata tegas , “Tapi kau tak boleh berputus asa!. Kau harus kuat melawannya. Abah yakin , satu hari nanti kau akan sembuh juga. Kau akan sihat seperti dulu. Tak usahlah kau fikirkan yang bukan-bukan. Ziah pastinya akan bahagia bersuamikan kau nak”. Balas cikgu Karim sambil menarik anaknya agar berpusing memandangnya. Kedua –dua bahu anaknya dipegang dan digoncang kuat. Abang Anip terdiam , wajah bapanya itu ditatap lama.
“Kau akan sembuh nak , percayalah”. Kata cikgu Karim lagi.
“Huh!!”. Abang Anip mengeluh …

.... lelaki itu mengejarnya , cabuk masih dihayun laju ....
Berlalu sudah satu lagi episod sedih malam itu. Abang Anip kini sedang berbaring di sisi isterinya , Ziah. Keduanya kelihatan teramat letih mengharungi hari-hari yang berlalu. Ketika ini Ziah sedang lena dalam keresahan , resah mengenangkan pelbagai perkara yang berlaku. Resah mengenangkan kesihatan abang Anip yang semakin parah. Semuanya dibawa sama tatkala mata terlelap.
Abang Anip pula sedang dihambat mimpi ngeri. Memang sejak akhir-akhir ini dia sering bermimpikan yang tidak-tidak. Kali ini dalam mimpinya itu , abang Anip sedang berlari laju menyelamatkan dirinya. Tercungap-cungap nafasnya.
‘Selamatkan diri!. Selamatkan diri!’ , itu sahaja yang ada dibenaknya kini. Jantungnya terus berdegup kencang setiap kali dia menoleh ke belakang , ada seseorang berpakaian serba hitam sedang memburunya , di tangannya pula ada cabuk . Cabuk itu dihayun laju ke arah abang Anip. Abang Anip berlari laju , orang berpakaian serba hitam itu terus mengejarnya , cabuk masih juga terus dihayun. Hampir saja mengenai sasaran.
“Arrgghhhh!”. Abang Anip memanjangkan langkahnya. Terlihat sesuatu di hadapannya ,
sebuah beca!. Ya, sebuah beca!. Sedia menunggu di dalam beca itu ialah abahnya cikgu Karim  , ibunya mak Midah dan isterinya Ziah. Mereka menjerit-jerit memanggilnya. Semuanya kelihatan sangat cemas.
“Anip cepat!!”. “Abang , cepat!!”. Jerit mereka berkali-kali.
            Setelah semakin hampir , abang Anip terus melompat  masuk ke dalam beca. Bergegas melompat pula ke basikal pembawa beca. Pedal dikayuh laju ... lelaki bercabuk masih mengejar ... kini mereka berempat pula menjadi sasarannya. Abang Anip merasakan bebanannya semakin bertambah. Keselamatan mereka berempat kini terletak di bahunya. Dia terus mengayuh laju , tercungap-cungap. Terus mengayuh ... laju ... laju ... tetapi lelaki bercabuk tetap mengejar ... mengejar ... laju , tanpa mengenal lelah. Cabuk di hayun , semakin hamper kepada sasaran. Tiba-tiba Ziah menjerit , “Arrgghhh!!” malang cabuk itu mengenai belakang Ziah.
“Ziah!!!” jerit abang Anip. Jeritannya kuat sekali. Abang Anip memberhentikan kayuhannya.
“Ini tidak boleh jadi!!”. Bersama jeritan itu abang Anip melompat , menerkam si baju hitam. Hilang sudah ketakutannya. Masakan boleh keluarganya diperlakukan sesukanya. Si baju hitam cuba melepaskan diri , kini sipemburu pula diburu!. Abang Anip langsung tidak memberi peluang dan ruang , leher si baju hitam dicekik kuat.
“Mampus kau!. Mampus kau!. Sesukanya kau memperlakukan kami!!”. Jeritnya sepenuh hati sambil tangannya mencekik kuat leher pemangsa yang kini sudah mula terkulai. Mangsa cuba menjerit , meronta minta dilepaskan. Namun semakin kuat dia meronta semakin kuat abang Anip menggenggam tangannya . Si baju hitam semakin lemah ...

Abang Anip merangkul Ziah sambil menangis tersedu-sedu.
“A a ... bang! Aaa ... baannng! Aaa ... , jaangann!!!”. Suara Ziah mengejutkan abang Anip. Abang Anip membuka matanya , bingkas duduk ... terlupa seketika kesakitan dan kelesuan dirinya. Abang Anip pucat melihatkan  melihat Ziah terkulai lemah. Lebih mengejutkan , leher Ziah berada digenggamannya!
“Ziah! Ziah! Ziah!!”. Abang Anip panik melihat keadaan Ziah sekarang. Tercungap-cungap mencari nafas.
“Ziah!. Maafkan abang! Maafkan abang!!”. Abang Anip merangkul Ziah sambil menangis tersedu-sedu.
“Abang!”. Tiba-tiba Ziah bersuara perlahan.
“Ziah!. Maafkan abang. Ya Allah , apa yang sudah aku lakukan?”, keluh abang Anip sambil terus merangkul isterinya.
“Abang , Ziah tak apa-apa”. Kata Ziah lagi , perlahan benar suaranya.
“Ziah!. Maafkan abang Ziah. Ohh! Apa yang telah abang buat padamu sayang!”. Abang Anip menumbuk-numbuk dada dan kepalanya sendiri.
Melihatkan keadaan abang Anip yang seperti orang hilang akal itu , Ziah menguatkan dirinya untuk bangun lalu memeluk suaminya.
“Abang!. Sudahlah. Jangan disalahkan diri itu. Ziah tak apa-apa. Lihat! Lihat bang , Ziah tak apa-apa”. Ziah cuba menenangkan suaminya.
Abang Anip kembali sedar , menangis tersedu-sedu di dada Ziah. “Apa dah jadi dengan abang ini?”. Tanyanya.
“Kalau sampai sesuatu terjadi pada Ziah , abang tidak mungkin dapat memaafkan diri abang sendiri!”. Katanya lagi.
“Tidak! Tidak bang , tidak ada apa-apa yang akan berlaku kepada Ziah. Percayalah!”. Ziah terus menenangkan suaminya itu.
“Ziah , maafkan abang. Sebenarnya tadi abang bermimpi … abang Anip segera teringatkan peristiwa di dalam mimpinya itu. Lantas Ziah segera ditolaknya. Abang Anip bergerak ke bahagian belakang Ziah , bajunya disingkap , belakang Ziah diusap , dibelek ...
“Kenapa bang?”. Ziah kehairanan , kecut perutnya melihatkan tingkah laku abang Anip. “Ya Allah , apa lagi ni?”. Fikirnya.
“Mana?. Mana?!”. Abang Anip berkata-kata sendiri sambil terus membelek belakang badan isterinya itu , peristiwa Ziah dipukul cabuk lelaki berbaju hitam itu masih jelas dalam ingatannya.
“ Mana apa? … pasal mimpi itu lagi. Sudahlah bang , itu hanya mimpi. Ziah tak apa-apa”. Jawab Ziah , cemas benar dia melihatkan kelakuan suaminya itu. Abang Anip mengangguk.
“Kejam. Bukan abang yang jadi mangsa tapi Ziah!”. Jerit abang Anip , tiba-tiba marah.
“Bang , itu cuma mimpi ... mimpi saja bang. Lupakanlah , Ziah tak apa-apa. Janganlah sampai mimpi menganggu emosi kita. Sudahlah tu sayang , bangunlah , mari kita solat subuh bersama-sama. Sebentar nanti fajar akan terbit”. Ziah menenangkan suaminya sambil menahan rasa sakit dileher. Ziah tidak mahu membuatkan abang Anip lebih rasa bersalah.
Akhirnya mereka menunaikan solat subuh bersama-sama. Selesai solat , Ziah mengeluarkan satu naskah buku kecil yang tertulis , Al-Mathurat. Al-Mathurat diserahkan kepada abang Anip.
“Apa ni?” tanya abang Anip sambil membelek buku kecil di tangannya.
“Hmm ... ini Al- Mathurat. Di dalamnya terkandung ayat-ayat al – Quran yang baik untuk pelindung diri , doa-doa pilihan dan yang lebih penting ayat dan zikir yang terkandung di dalamnya adalah untuk membina kekuatan dalam diri kita”. Terang Ziah , lembut.
“Kekuatan dalam diri?” . Tanya Anip tidak faham.
“Ya. Kekuatan dalaman itu adalah kekuatan rohani kita dalam mengharungi segala macam dugaan hidup ini. Kita akan lebih tabah , sabar dan tidak akan mudah berputus asa”. Terang Ziah sambil memandang wajah suaminya penuh kasih. Rambut abang Anip yang jatuh menutupi dahinya diusap ke tepi.
“Al-Mathurat ini adalah ayat-ayat al-Qur’an yang telah disusun oleh As-Syahid Hassan Al-Banna” . Ziah melanjutkan keterangannya.
“As-Syahid Hassan Al-Banna?”. Tanya abang Anip , sepertinya dia pernah mendengar nama itu sebelum ini.
“Ya. Seorang pejuang islam di Mesir. Ketua kepada Jemaah Ikhwanul-Muslim. As-Syahid telah meninggal dunia kerana ditembak. Selepas ditembak , dia tidak terus mati tetapi telah memandu keretanya sendiri dalam keadaan berlumuran darah ke hospital. Malangnya pihak hospital tidak berani untuk memberikan rawatan. Dari satu hospital ke hospital yang lain. Tidak pernah berputus asa hingga ke titisan darah terakhir . Hebatkan?”. Ziah menutup penerangannya dengan soalan.
“Habis tu , dia meninggal?”. Tanya abang Anip , masih ingin tahu.
“Ya. Beliau syahid.  Hmmm … kalau nak tahu lebih lanjut kenalah cari sendiri”.  Ziah tersenyum melihat gelagat abang Anip , mendengar percakapannya dengan tekun ... sama seperti anak-anak muridnya di sekolah.
“Hmmm ...” . Abang Anip turut tersenyum. Memandang isterinya dengan rasa sayang. Dia juga kagum dengan pengetahuan yang dimiliki isterinya itu.
“Mari ... kita baca sama-sama. Al-Mathurat ini elok dibaca selepas subuh dan selepas Maghrib”. Terang lagi Ziah. Abang Anip mengangguk.
Selesai membaca Al-Mathurat , Ziah mencium tangan suaminya tanda hormat.

Sayang , apa yang terjadi?

Sayangku  kekasih hati …
Apa kenanya aku ini
Yang tidak mengerti
Apa yang terjadi
Nyawamu hampir tercerai
Gundah rasa memakan diri

Apa kenanya aku ini
Padamu kupanjatkan harapan setinggi  mentari
Ah! Tapi tangan ini membuat kau pergi

Yang , aku tidak mengerti
Apa  dugaan yang kita hadapi
Nada bangsat menikam mati perasaan ini
Gundah  mengharung hari –hari berlari

Terjawabkah semuanya ini di suatu hari
Erti intipati yang pedih mengelabungi
Rupa sebenarnya  rahasia diri
Janjinya mungkinkah kitakan sebati
Andai  takdirnya terjaga dari mimpi ngeri
Di kala lelangit indah diwarnai pelangi
Impian dulu , kini kan kian menjadi …

Apakah benar cinta ini sejati?


“Ziah sayangkan abang”. Katanya sambil tersenyum manis. “Abang juga sayangkan Ziah”. Balas abang Anip sambil mengucup dahi isterinya itu. “Huhh!!”. Abang Anip mengeluh berat …














Ziah risau …
            Ziah termenung di muka jendela. Peristiwa subuh tadi amat mengejutkannya. Sesekali lehernya yang sakit dan lebam itu dielus perlahan. Sengaja sehelai selendang biru dililitkan dilehernya. Biar tiada siapa yang tahu kerna dia tidak mahu suaminya akan bertambah duka. Ziah tidak mahu emosi abang Anip akan semakin terganggu.
“Huh!”. Keluhnya perlahan.
“Ya Allah , apa yang dah terjadi kepada suamiku?. Mengapa dia sampai bertindak begitu … mimpi?. Mimpi sampai hampir mencabut nyawaku?. Apa sudah tidak waraskah dia?. Ya Allah , apa yang harus aku lakukan?. Berilah petunjuk kepadaku. Berilah kekuatan kepada hambamu yang lemah ini”. Rintih Ziah di dalam hatinya. Air mata yang tidak diundang tiba-tiba mengalir di pipi.
“Abang , bagaimana harus kita hadapi hari-hari mendatang?. Sesungguhnya Ziah takut sangat. Takut untuk terus bersama abang … hari ini Ziah selamat. Bagaimana dengan esok lusa?. Belum tentu nasib akan terus menyebelahi Ziah. Abang , mengapa sampai jadi begini?”. Ziah teresak-esak , mengenangkan keadaan mereka suami isteri.  
            Tanpa Ziah sedari , perlakuannya diperhatikan abang Anip dari celah pintu bilik yang terbuka sedikit. Abang Anip seakan faham dilemma yang ditanggung isterinya. Abang Anip juga kesal dengan nasib malang yang dibawanya hinggakan nyawa isterinya menjadi taruhan. Kakinya yang asalnya ingin melangkah mendapatkan isteri tercinta  terus menjadi kaku. Keinginannya untuk memeluk dan memujuk kekasih hatinya itu kian terpadam.
“Ah! Aku tidak layak memujukmu … maafkan aku Ziah”. Kata hatinya sebelum berlalu pergi.
            Abang Anip membawa diri ke hujung veranda rumah itu. Wajahnya penuh gusar. Persoalan demi persoalan yang berkumpul dalam benak hatinya kini menjerut rasa. Abang Anip buntu , apakah jalan keluar yang terbaik buat dirinya , buat isterinya , juga buat emak dan abahnya. Gara-gara dirinya , semua orang menjadi muram.
 “Apa patutkah aku melepaskanmu?”.
“Ah! Tidak . Perkara halal yang paling dibenci Allah”.
“Paling dibenci Allah? … atau aku yang sebenarnya tak mampu kehilangannya?”
“Tidak! Aku tidak boleh kehilangannya. Dialah segala-galanya dalam hidupku kini”.
“Tidak !. Tapi sampai bila dia akan terus terseksa bersamaku?”
“Atau sehingga akhirnya dia mengaku kalah?. Mengundur diri? Lalu pergi meninggalkanku sendiri?”. Abang Anip berperang dengan dirinya sendiri.
“Ahh! Aku ini  memang pembawa malang. Ziah , maafkan abang. Abang tidak mungkin mampu melepaskanmu walaupun abang tahu kau terseksa. Abang pasrah …”. Abang Anip akhirnya membuat keputusan , demi kepentingan dirinya.
Tanpa Ziah , mataharinya  tidak mungkin akan terus bersinar. Dia tidak mampu kehilangan Ziah walaupun dia tahu gadis itu terseksa bersamanya.
“Ya Allah , mengapa tidak Kau cabut saja nyawaku ini?. Matinya aku pasti akan ditangisi namun bukan untuk selamanya. Sekurang-kurangnya , Ziah boleh membina hidup baru. Emak ,  abah dan Miah akan pastinya bersedih namun lama kelamaan mereka pasti dapat menerima pemergianku … dan kau Aisyah , mungkinkah kau sedang setia menantiku?”. Fikiran abang Anip jauh menerawang , menerawang bersama emosinya yang kacau.


“Diluah mati emak , ditelan mati bapak”

No comments:

Post a Comment