Popular Posts

Monday 10 April 2017

Novel 2 : Selepas Hujan ... Bab 18

BAB 18 :         MISTERI
Malam kian hilang ... siang kan menjelma
Dan masa yang telah berlalu ... mendewasakan kita dalam bertindak



   Cinta Ini Diuji

        Cemasnya aku melihatkan dirimu
        Isak tangisku tiada terbendung
        Nusuk pedih tajamnya sembilu
        Terpanah perit dek  kilat mendung
        Apakan daya  iramaku sendu

Impian indah  direnggut pergi
Nasib kita bagaimana kini
Igauan ngeri merajai diri

      Dapatkah kita meredah lalu
      Injak pergi tiada tersadung
      Untuk cinta bertaut satu
      Janji dipadu tetap didukung
      Impian itu tetap dituju



   Pak Lang turut diuji
Malam itu selesai makan malam , Pak Lang memohon diri untuk pulang ke rumahnya. Perasaannya kurang enak untuk berlama-lamaan di rumah cikgu Karim. Namun rasa itu tidak dinyatakan kepada cikgu Karim dan isterinya. Pak Lang tidak mahu mereka menjadi risau tidak tentu pasal.
“Heii ... apa kena rasa hati aku ni , semacam je ...”. Bisik hati kecilnya.
“Bang , akak ... saya kena balik malam ni jugaklah.” Pak Lang memberitahu.
“Eh , dah lewat ni ... tak payahlah balik. Tidur sini saja. Esok pagi-pagi baliklah.” Cadang cikgu Karim.
“Errr ... maaflah bang , saya dah janji dengan Esah nak balik hari ni jugak. Nanti risau pulak dia. Lagipun esok Esah ada appointment doktor. Alah ... pasal darah tinggi dialah tuu. Takut  nanti kalangkabut pulak esok. Appointment pukul 9:00 pagi. Bising pulak Esah tu nanti ...”. Pak Lang memberikan alasan.
“Yelah Lang , dah malam dah ni. Rehat jelah di sini. Esok lepas solat subuh kau baliklah ...”. Makcik Midah menyokong suaminya.
“Alah kak ... macamlah Pekan tu jauh sangat. Sejam driving sampailah ... kalau bertolak sekarang , In shaa Allah pukul 9:30 nanti sampailah”. Pak Lang berkata sambil tersenyum lalu menghulurkan tangannya bersalaman dengan abang dan kakak iparnya itu.
“Anip , pak Lang balik dulu ye ... banyakkan bersabar dan selalulah berdoa. Ziah , Pak Lang balik dulu , jaga Anip elok-elok”. Pak Lang menasihati kedua anak penakannya itu sambil menghulurkan tangan. Ziah dan abang Anip mengangguk sebelum menyambut tangan Pak Lang.
“Terima kasih atas segalanya Pak Lang”. Kata mereka serentak.
“Hmm ... yelah!”. Jawab Pak Lang.
Pak Lang melangkah turun dan akhirnya kereta dipandu meninggalkan perkarangan rumah cikgu Karim. Mereka yang lain mengiringinya dengan pandangan sehingga kereta Pak Lang tidak kelihatan lagi .
Ziah memandang abang Anip. “Abang , kita rehat?”. Ajak Ziah.
Abang Anip hanya mengangguk lalu mereka meminta izin daripada cikgu Karim dan mak Midah untuk masuk ke bilik. Cikgu Karim dan mak Midah faham dengan keadaan abang Anip yang belum begitu pulih dan masih  perlu banyak berehat.
“Pergilah berehat nak ...”. Balas mak Midah.

Angin dingin menyambar wajah mak Midah dan tiba-tiba bulu tengkuknya terasa tegak.....
Dari kejauhan kedengaran bunyi anjing melolong bersahut-sahutan. Kesunyian malam itu benar-benar terganggu. Perasaan yang tenang mulai goyah.
“Eee ... lain macam je bang malam ni. Mohlah kita masuk ke dalam”. Pinta mak Midah.
“Ah! ... ada-ada aje awak ni. Marilah saya angkatkan awak ke dalam”. Cikgu Karim mengangkat isterinya ke dalam rumah lalu menutup rapat daun pintu.
“Haii ... apahal pulak si Alang tu beria-ia benar nak balik malam ni jugak. Appointment tu pukul sembilan. Bukan tak pernah dia bertolak dari sini selepas solat subuh”. Bebel mak Midah.
“Alahh ... biarlah Midah. Adalah tu ... rindukan Alang Esah gamaknya!” . Cikgu Karim bergurau.
“Hishhh … tak da mananyalah bang”. Sanggah mak Midah
“Eh ... apa pulak. Awak tu aje yang dah tak pernah rindukan saya ni!”. Usik cikgu Karim.
“Eee ... ada-ada ajelah awak ni!”. Mak Midah mencubit lengan cikgu Karim.
“Aduh! Sakitlah!!”.

Pak Lang terlihat satu lembaga hitam besar...
Kereta dipandu laju. Perasaan Pak Lang sedari tadi tidak enak. Sambil memandu mulutnya tidak henti-henti membacakan ayatul – Kursi. Memang itulah amalannya setiap hari. Telah sebati dengan hati dan perasaannya.  Tiba-tiba ... sebaik sahaja keretanya menghampiri satu selekoh , Pak Lang terlihat satu lembaga hitam besar , tinggi dan berbulu berdiri di pinggir jalan. Tegak berdiri memerhatikan keretanya menghampiri. Jantung Pak Lang berdegup kencang. Tangannya mula menggigil ... “Ya Allah , apa tu?”.
“Allahu Akbar!!!”. Pak Lang menjerit sekuat hati tatkala keretanya melintasi lembaga tersebut. Entah bagaimana dan di mana silapnya , kereta dipandu Pak Lang menjajau ke tebing jalan ... memasuki kawasan tidak bertar lalu meluncur laju tanpa kawalan.
“Doommm!!!!”. Kereta terhenti setelah terlanggar sebuah busut di tebing sungai.
“Allahuakbar!”. Pak Lang bersuara setelah pulih dari rasa terkejutnya. Seketika kemudian kelihatan beberapa orang lelaki berlari ke arah kereta Pak Lang.
“Bang!  Bang!  ...  okey ke?”. Tanya seorang daripadanya. Lelaki pendek dan berambut kerinting itu mengetuk cermin kereta.  Pak Lang memandang sekeliling , mengangkat tangan memberi isyarat yang dirinya masih sedar. Perlahan Pak Lang membuka pintu kereta.
“Abang okey ke?”. Tanya lagi pemuda itu.
“Okey ... terbabas tadi” . Pak Lang menjawab sambil memerhatikan kawasan sekeliling. Rupanya dia telah merempuh pagar buluh yang memagari kawasan kebun yang dilanggarnya.
“Nasib baik kereta abang tersangkut pada busut semut ni. Kalau tidak sudah tentu tenggelam dalam sungai depan tu”. Kata seorang pemuda yang lain.
“Alhamdulillah ... err ... saya di mana ni?”. Tanya Pak Lang.
“Ni kampung kami ... kawasan perumahan semula orang asli. Aku Putung . Ini adik aku Lawa dan Anil. Yang kau langgar ni kebun kita. Nasib baik tak masuk sungai. Abang kenapa? Tertidur?”. Tanya  Putung.
“Entahlah ... tak tau macam mana nak cakap ...”. Pak Lang ragu-ragu untuk menerangkan perkara yang sebenar.
“Kalau gitu marilah ke rumah aku dulu sementara adik aku Lawa panggil orang tolong tarik kereta abang keluar kebun” . Ajak Putung. Pak Lang menganggukkan kepala lalu mereka berjalan beriringan ke rumah Putung.
“Jemputlah naik” . Ajak Putung sebaik saja sampai ke tangga kayu rumahnya.
 Pak Lang menaiki anak tangga rumah kayu tersebut, kecil dan tinggi lalu duduk di atas lantai rumah yang dilapik dengan tikar mengkuang. Matanya memandang anak tangga yang diperbuat daripada batang pokok hutan. Diikat kemas dengan rotan pada kedua tiang tangga. Berseni ... begitu juga dengan dinding rumahnya , diperbuat daripada batang buluh yang dibelah-belah . Semuanya diperkemaskan dengan ikatan rotan.
Tidak lama kemudian Anil muncul dari arah dapur membawa sedulang air kopi.
“Jemput minum bang. Boleh hilangkan rasa terkejut” . Pelawanya , tersenyum menampakkan barisan giginya yang kuning!.
“Errr ... abang minta maaf sebab telah melanggar pagar dan mengasak kebun kamu orang”. Kata Pak Lang.
“Tidak mengapalah itu. Perkara kecil. Lebih penting abang selamat. Aku percaya ini takdir untuk temukan kita”. Balas Putung sambil mengukirkan senyuman. Sebekas rokok daun dikeluarkan dari para rumahnya lalu dihulurkan kepada Pak Lang. Pak Lang menggeleng , “Abang tak menghisap”. Tolak Pak Lang dengan sopan. Putung mengangguk.
“ Alhamdulillah ... kamu orang semua baik hati. Nanti besok abang datang semula bayar gantirugi pasal sekarang abang tidak bawa cukup wang”. Kata Pak Lang , rasa bersalah kerana telah merosakkan pagar dan mengasak tanaman di kebun mereka.
“Ishhh ... tak usah kira pasal wang. Kalau senang esok abang datang tolong baiki pagar yang tumbang itu , cukuplah begitu”. Jawab Putung. Habis sahaja putung berkata , Lawa bersama beberapa orang kampung lain berlari ke arah rumah.
“Abang , keretanya sudah kita angkat ke tepi jalan raya. Nak ditarik susah benar sebab  tanah kebun tengah lembik dan melekat”. Beritahu Lawa sambil tersenyum. Gembira kerana berjaya membantu Pak Lang yang dalam kesusahan.
“Ahh ... terima kasih banyak. Kamu semua sungguh baik hati”. Ucap Pak Lang.
“Eh , marilah coba hidupkan enjin keretanya. Harap enjinnya tidak rosak”. Kata Lawa
“Err ... ya. Marilah”. Jawab Pak Lang.  Mereka beramai-ramai berjalan ke arah kereta. Pak Lang segera cuba menghidupkan enjin keretanya.
“Vroooommmm!!!”. Bunyi enjin kereta apabila Pak Lang mengaum apabila minyak ditekan.
“Alhamdulillah ... kereta tak rosak”. Pak Lang berkata sebelum keluar semula dari keretanya lalu bersalam-salaman dengan semua yang telah membantunya.
“Kalau begitu ... abang gerak dululah. Terima kasih atas bantuan kamu semua. Insyaallah esok abang datang tolong kamu orang betulkan pagar tu”. Janji Pak Lang sambil menunjuk ke arah pagar buluh yang roboh.
“Yalah kalau itu kata abang”. Jawab Putung.  Anil , Lawa dan orang kampung yang lain hanya tersenyum mendengar kata-kata Pak Lang . Mereka melambaikan tangan ke arah kereta Pak Lang yang kian menjauh.

Pak Lang terpandangkan pagar buluh yang roboh dilanggarnya tetapi.....
Keesokan harinya setelah pulang daripada menghantar Mak Alang Esah ke hospital Pekan, Pak Lang segera  berpatah balik ke tempat kejadian malam semalam. Dalam ‘boot’ keretanya , dibawa bersama tukul besi , paku , gergaji dan tali. Itulah barang-barang yang difikirkannya perlu  untuk menegakkan semula pagar kebun Putung dan adik-adiknya yang telah roboh itu.
Sesampai di tempat kejadian , Pak Lang termangu-mangu , menjadi tidak pasti sama ada dia telah benar-benar  berada di tempat kejadian malam tadi. Dia melangkah memerhatikan sekeliling. Hatinya berkata , “Ya , pasti inilah tempatnya”.  Pak Lang menjadi lebih yakin apabila terpandangkan pagar buluh yang roboh dilanggarnya semalam tetapi ...
“Eh , kenapa sunyi benar tempat ini?”. Mana perkampungan orang asli semalam?. Mana rumah Putung?”. Pak Lang merasa sungguh hairan. Tempat kejadian yang sama. Malah seretan tayar keretanya melanggar busut semut semalam masih jelas kelihatan tetapi di mana rumah Putung?.
“Uh?. Bermimpikah aku atau … ?”.
“Subhanallah , Maha suci Allah. Engkau jua yang maha mengetahui”. Pak Lang sedar bahawa dia telah dipertemukan dengan makhluk Allah yang bukan manusia  semalam. Pak Lang mengambil keputusan untuk berjalan-jalan dan meninjau keadaan sekeliling.
“Ah ... inilah busut semut yang berjasa itu ... tapi ... di mana ya rumah Putung?”. Fikirnya . Maka Pak Lang berjalan jauh ke dalam kebun. Menyusuri sungai dan kembali ke bahu jalan.
“Hah ... tiada!”. Tiba-tiba matanya terbelalak memandang ke arah sebuah pondok kayu yang telah usang. Daun pintunya sudah terkopak, dinding-dindingnya sudah berlubang dan kayunya juga sudah mulai mereput tetapi ... “Anak tangga itu!. Ya aku pasti , itulah anak tangga yang ku pijak semalam”. Pak Lang menyakinkan dirinya.
“Aneh ...”. Fikirnya lagi. Lama Pak Lang termenung memerhatikan rumah kayu kecil tinggi itu. Lama-kelamaan timbul pula rasa seram di hatinya. Peluh dingin mula memercik daripada tubuhnya.
“Apa yang harus aku buat ... cabut?!”. Fikirnya lagi.
“Ahh!!! Lelaki apa aku ini?. Tidak! Apapun aku sudah berjanji akan memperbaiki pagar buluh yang roboh itu. Janji tetap janji!”. Begitulah Pak Lang membina semula semangatnya yang menghilang. Peribahasa Melayu ‘Kerbau dipegang pada talinya , manusia dipegang pada janjinya’, memang telah sebati dalam jiwa Pak Lang. Itulah hidupnya ....
Pak Lang memandang sekeliling , matanya akhirnya terpaku pada serumpun pokok buluh tidak jauh dari busut semut. “Hah! Itu dia!!”. Senyuman diukir , Pak Lang berjalan gagah ke keretanya , mengeluarkan parang dan gergaji ... apapun halangan yang ada ... yang pasti pagar buluh pasti tertegak semula!!. Setelah hampir sejam bekerja keras maka selesailah semuanya. Pagar buluh sudah tertegak semula!. Pak Lang tersenyum puas.
“Apapun jenis wujudnya kamu semua aku tidak peduli. Pada aku, ini adalah rancangan Allah menemukan aku dengan kalian semua. Aku benar-benar berterima kasih atas pertolongan kalian kepadaku semalam dan aku juga telah kotakan janjiku untuk menegakkan semula pagar kamu yang roboh maka kita telah tidak berhutang apa-apa  lagi”.  Pak Lang berkata-kata sendirian di hadapan pondok kayu usang itu. Perasaannya kuat mengatakan bahawa kata-katanya itu didengari oleh Putung dan adik-adiknya.
             Setelah segalanya selesai , kereta dipandu laju meninggalkan jauh kebun berpagar buluh dan pondok kayu usang. Semua itu pasti akan jadi cerita yang tidak mungkin dilupakan dalam lipatan sejarah hidup Pak Lang.

 Indah , cantik ... dengan pepohon buluh menghiasi taman.
Malam itu , sebaik sahaja kereta Pak Lang meluncur pergi , Ziah dan abang Anip segera masuk ke bilik mereka ... menunaikan solat isyak berjemaah dan berehat di katil.
“Abang , macam mana hari ni?. Selesa berada di rumah sendiri?”. Tanya Ziah sambil mengusap rambut abang Anip yang lurus lebat itu. Abang Anip hanya tersenyum ... merelakan dirinya diusap begitu. Perasaannya sungguh selesa ...
“Eh , orang tanya dia senyum-senyum je!” . Jari Ziah nakal mencuit hidung abang Anip. Abang Anip membiarkannya.
“Indahnya perkahwinan ... punya isteri tempat bermanja dan tentunya ... tempat berkongsi kegembiraan dan kesedihan”. Fikir abang Anip. Tangan Ziah digenggam dan diletakkan di dadanya.
“Rasa tak degupan jantung ni?”. Tanya abang Anip.
“Ya. Kalau letak telinga di dada macam ni lagi rasa , dapat dengar bunyinya ... kuat , laju . Kenapa ya?”. Tanya Ziah manja.
“Itulah gelora hati abang sekarang”. Jawab abang Anip , memandang isterinya.
“Gelora?”. Ziah pura-pura tidak faham.
“Gelora cintaku padamu!”. Gurau abang Anip sambil tersenyum.
“Tapi kasihan isteri ku ini ...”. Abang Anip meneruskan kata-katanya sambil mengusap lembut rambut Ziah.
“Kasihan?”. Ziah tidak faham. Hairan mendengar kata-kata suaminya itu.
“Ya. Kasihan isteriku ini , dapat suami yang cacat ... tak mampu nak membahagiakannya!”. Abang  Anip tiba-tiba beremosi.
“Heii ... siapa kata abang cacat? Abang sakit ... dan sedang beransur pulih. Isteri abang ni sayangkan abang dan setia menanti ... janganlah abang memandang kecil cinta Ziah ni!” . Pinta Ziah.
“Abang tahu. Abang minta maaf Ziah” . Jawab abang Anip , kesal kerana telah menyinggung perasaan Ziah. Ziah mengangguk , melabuhkan kepalanya ke dada abang Anip semula , abang Anip mengusap-ngusap rambutnya ... mereka akhirnya terlena dibuai mimpi ...

“Dooommmm!” daun pintu tertutup sendiri.
Abang Anip tiba-tiba sudah berada dalam sebuah taman. Indah , cantik ... dengan pepohon buluh tumbuh menghiasi taman. Sebatang anak sungai mengalir jernih. Boleh dilihat bebatu yang bagaikan tersusun rapi di dasar sungai. Sesekali kelihatan anak-anak ikan bermain di gigi air. Indahnya pemandangan itu.
Abang Anip terus berjalan , leka memerhati sang unggas rimba berterbangan , asyik mendengar bunyi  geseran bebatang buluh ditiup angin ... terpesona ... tanpa sedar akhirnya kaki abang Anip membawanya ke sebuah pondok kayu . Kelihatannya agak usang dan terbiar dengan sarang lelabah berselirat  menutupi daun pintu , jendela dan dinding pondok itu. Tiba-tiba … “Kriouukkkk!!”. Daun pintu terkuak. 
Terperanjat abang Anip dibuatnya namun kakinya terus melangkah masuk ke dalam pondok itu. Kini dia sudah berada di tengah-tengah  ruang pondok.
“Dooommmm!” , daun pintu tertutup sendiri. Abang Anip mulai menggelabah. “Tempat apakah ini?”. Fikirnya.
Tidak semena-mena cuaca yang tadinya  cerah bertukar mendung dan gelap diikuti dengan hujan yang tiba-tiba turun dengan lebatnya. Kilat berdentam dentum. Perasaan abang Anip menjadi tidak keruan. Lantas dia cuba mencari jalan keluar tetapi daun pintu pondok tiba-tiba saja hilang , pintu sudah tidak kelihatan!.
“Ah! Tidak!!”. Jerit abang Anip.
Abang Anip merasakan dirinya kini bagaikan terkurung dalam ruangan yang sangat sempit.  Dentuman kilat sabung menyabung dengan deraian hujan yang tiada henti-henti memberatkan lagi perasaan abang Anip.Tidak semena-mena entah dari mana air hujan mencurah-curah masuk membasahi ruang sempit itu. Abang Anip cemas , berpusing ke kiri , berpusing ke kanan , mencari jalan keluar , buntu , bingung . “Apa yang terjadi ini?”.
Tiba-tiba dengan sekonyong-konyong satu lembaga hitam muncul entah dari mana berdiri betul-betul di hadapan abang Anip. Abang Anip rasa terancam. Perasaan cemas dan terdesak bercampur-baur. Dalam kekalutan itu tergerak hatinya untuk membaca ayatul-kursi. Tapi entah mengapa mulutnya begitu berat sekali. Suaranya bagaikan terkunci , tidak boleh keluar. Abang Anip tidak putus asa sebaliknya terus berusaha keras , ayatul-Kursi yang mengajarkan tentang kekuasaan Allah memelihara hambanya di malam dan siang hari itu terus juga cuba dibaca ...  suaranya bagaikan tersekat ... payah! Payah! Payah sekali!!.
Lembaga hitam di hadapannya tertawa melihatkan keadaan abang Anip yang terkial-kial . Lembaga itu kemudiannya mengangkat tinggi tangannya lalu mengarahkan tangan itu kepada abang Anip. Tangannya itu digenggam kuat. Mulutnya terkumat-kamit. Abang Anip resah . Rasa takut mulai menyelubungi diri sedang suaranya masih tersekat-sekat. Masih payah sekali untuknya membaca ayatul-kursi ... maupun sekadar  untuk menyebut nama Allah!
Habis sahaja mantera dibaca ,  genggaman tangan si lembaga hitam dibuka perlahan-lahan. Lembaga hitam itu menghembuskan sesuatu dari atas tapak tangannya  lalu berterbangan laju serbuk-serbuk hitam  ke arah abang Anip. Abang Anip cuba mengelak bersama jeritan kuat yang akhirnya terpacul juga daripada mulutnya.
“Allahu Akbar!!!!”. Jerit abang Anip. Jeritan yang cukup kuat!.
Ziah tersentak. Jeritan itu membangunkannya. Dilihatnya abang Anip sedang tercungap-cungap. Ziah segera menyapu muka abang Anip lalu mengejutkannya bangun. “Abang! Abang! Bangun bang”. Panggil Ziah.
Abang Anip tersentak. Panggilan Ziah tadi telah mengeluarkannya dari mimpi buruk.
“Abang mimpi buruk?”. Tanya Ziah , cemas. Abang Anip diam. Dadanya masih berombak  turun dan naik ... masih lagi terkejut.
“Allahu Akbar!” Abang Anip mengusap wajahnya sendiri.
“Ya, mimpi buruk!”. Jawabnya perlahan.
Ziah mengurut-ngurut belakang abang Anip. Setelah abang Anip kembali tenang …
“Abang , apapun itu hanyalah  mimpi ... usahlah difikirkan sangat. Sekarang baru jam tiga , abang perlu banyak rehat. Tidurlah … ya sayang”. Ziah berkata sambil melihat jam di meja katil. Abang Anip masih mengurut dadanya ... masih terkejut …
“Ziah ke bilik air dulu ...” . Ziah meninggalkan abang Anip.
Abang Anip terus resah , tidak dapat melelapkan mata. Pengalaman mimpinya itu tadi bagaikan benar-benar terjadi.
“Mujur di luar juga hujan turun lebat , kalau tidak tentu jeritan aku tadi sudah mengejutkan seisi rumah!”. Fikir abang Anip sendiri.
Tidak lama kemudian Ziah masuk semula.
“Abang tak tidur lagi?”. Tanyanya lembut. Abang Anip menggelengkan kepala.
“Tidurlah ... pejamkan mata. Abang perlu banyak rehat. Ziah solat sunat sekejap ya. Lepas tu nanti Ziah temankan abang tidur”. Abang Anip hanya mengangguk. Terasa bertuah di hatinya punya isteri yang taat dan baik seperti Ziah.
Ziah menunaikan solat tahajud diikuti solat sunat hajat. Dalam doanya Ziah memohon agar dirinya sekeluarga terutamanya suami yang dicintai dihindari daripada gangguan syaitan dan malapetaka. Ziah juga berdoa agar abang Anip segera pulih dari sakitnya.

Keesokan harinya ... “abang kena banyak membaca qur’an”.
Keesokan harinya abang Anip menceritakan mimpi buruknya  kepada Ziah. Ziah mendengarnya dengan penuh minat.
“Kenapa ya abang mimpi yang bukan-bukan?”. Tanya abang Anip.
“Entahlah bang ... tapi pada Ziah , itu hanyalah mimpi. Kata orang mimpi itu mainan tidur. Ianya takkan dapat mengapa-apakan kita. Berserahlah pada Allah. Mungkin abang kena banyak membaca qur’an agar hati abang sentiasa tenang dan jauh daripada gangguan syaitan. Al-qur’an itu kalam Allah … membacanya pasti akan memberikan kita ketenangan dan kekuatan”. Jawab Ziah.
Abang Anip hanya mendengar nasihat isterinya itu. Ada benarnya kata-kata Ziah , sudah lama benar rasanya dia tidak membaca al-qur’an.
“Sudahlah sayang , jangan difikirkan sangat. Jom kita sarapan. Mak dan abah dah lama tunggu”. Ajak Ziah. Abang Anip mengangguk.
Mereka berjalan beriringan ke ruang dapur. Ziah membantu memimpin abang Anip yang masih lagi belum begitu kuat.

Di meja makan , cikgu Karim dan mak Midah sudah lama menunggu.
“Hah anip , Ziah, mari-mari sarapan sama. Ni abah dah beli nasi lemak lauk sambal sotong dan kerang. Sedap ni ... marilah!”. Ajak cikgu Karim.
“Lena tidur malam tadi ?”. Tanya pula mak Midah memandang kedua anak dan menantunya itu.
“Err ... ya mak. Maaflah mak , Ziah terlewat bangun pagi ni”. Kata Ziah. Rasa bersalah kerana kedua mertuanya pula yang menyiapkan sarapan pagi.
“Eh ... kenapa pulak nak mintak maaf?. Mak tak kesahpun ... Ziah tentu penat menjaga Anip. Mak faham tu. Janganlah kau risau yang bukan-bukan!”. Terang mak Midah , penuh pengertian.
“Terima kasih mak, abah”. Kata Ziah terharu.
“Eh sudahlah tu ... mari makan. Nanti sejuk tak sedap pulak nak makan”. Gesa cikgu Karim.
“Ha ... ni abah nak bagi tau. Tadi Pak Lang talipon . Dia bagi tau malam tadi kereta dia nyaris-nyaris masuk sungai!”. Cerita cikgu Karim.
“Apa?! Pak Lang kemalangan ke?”. Tanya abang Anip agak terkejut.
“Sikit je ... terbabas. Masuk kebun orang. Mujur ada busut semut kat tepi sungai. Kereta Pak Lang tersangkut kat busut tu lah. Kalau tak ... dah tentu ke dalam sungai perginya!”. Terang cikgu Karim.
“Alhamdulillah!”. Ucap Ziah dan abang Anip serentak.
“Mmm ... Miah mana?” . Tanya abang Anip apabila menyedari yang adiknya tiada.
“Eh kau ni, ni kan hari Selasa ... dia pergi sekolah lah”. Kata mak Midah. Abang Anip tersenyum sambil menggaruk kepala.
“Ziah , cuti Ziah tinggal berapa hari lagi?”. Tanya cikgu Karim
“Ikutkan Isnin depan Ziah dah kena pergi sekolah. Hari tu Ziah ambil cuti 14 hari untuk jaga abang Anip. Err ... tu yang tak berapa selesa ni. Risau jugak nak tinggalkan abang Anip di rumah”.  Ziah berterus terang.
“Haiii ... untungnya kau Anip. Dah , tak usahlah kau risau sangat Ziah. Mak dan abah kan ada. Kalau setakat nak tengok-tengokkan si Anip ni , tak ada masalah langsung”. Sampuk mak Midah.

“Yelah ... kalau gitu , Isnin nanti Ziah akan ke sekolah semula”. Jawab Ziah. Abang Anip hanya mendiamkan diri.

No comments:

Post a Comment