Popular Posts

Thursday 23 March 2017

Novel 2 : Selepas Hujan ... Bab 17

Bab 17 :        Belajarlah Menerima Takdir

  
Aku melangkah ...
Mencari arah yang digariskan buatku
Walau hati memberat meronta merintangi
Kugagahi ... kerna ku harus akur
Akan kisah yang tercorek dalam kitab hidupku...

    
... tiada suatu apapun di langit atau di bumi yang boleh memberi mudarat...
Seminggu berada di hospital , abang Anip bukan sahaja menjalani rawatan fisioterapi  dan  memakan ubat-ubatan malah abang Anip juga mendapatkan rawatan secara tradisional. Ustaz Mukhriz telah tiga petang berturut-turut datang merawat abang Anip. Membacakan ayat – ayat suci dan doa buat abang Anip. Air penawar diberi minum.
Pada hari ke lapan , abang Anip dibenarkan pulang. Abang Anip sudah boleh bangun dan berjalan sendiri. Percakapannya juga  semakin jelas. Air liurnya juga sudah tidak meleleh lagi. Cuma tangan kirinya dan senget mulutnya sahaja yang masih belum pulih.
“Alhamdulillah ...”. Kata Ustaz Mukhriz.
“Sudah tiga petang berturut-turut ustaz mengubati kamu Anip. Ustaz yakin keadaan kamu akan beransur pulih. Tapi diri kamu sendiri kenalah yakin dan berusaha. Jangan melemahkan diri dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Ingat ... banyakkan mengingati Allah. Ini semua adalah ujian dariNya kerana tiada apapun perkara di dunia ini yang boleh terjadi melainkan dengan izinNya. Ingat , jangan sekali-kali kita menyalahkan takdir yang telah ditentukan buat kita”. Ustaz Mukhriz memberi nasihat. Abang Anip hanya mengangguk.
“Amalkan ayatul-Kursi pada setiap pagi sesudah subuh dan malam sesudah solat Maghrib. Solat dan berdoalah sentiasa kepada Allah. Yakinlah bahawa , tiada suatu apapun di langit atau di bumi yang boleh memberi mudarat kepada kita melainkan dengan izin daripada Nya”. Ustaz Mukhriz masih terus memberikan nasihat. Pada pandangan mata hatinya , ‘ujian’ buat abang Anip ini belum berakhir.  Abang Anip harus tabah dan yakin kepada Allah yang Maha Mengetahui.
“Baiklah Anip ... ustaz minta diri dulu. Ingat , setiap yang berlaku telah ditentu Tuhan. Sabar dan tabahlah menghadapinya. Assalamualaikum!”. Katanya sebelum mengundurkan diri.
“Wa alaikumussalam ... terima kasih ustaz” . Ziah menjawab bagi pihak abang Anip. Abang Anip hanya mengangguk-nganggukkan kepalanya , perasaannya kurang senang mendengar segala nasihat ustaz Mukhriz itu tadi ... “Benar  , tiada apapun yang boleh terjadi melainkan dengan izinNya. Tetapi kenapa aku?. Kenapa aku?!. Kenapa?!!”. Bentak hatinya , masih tidak mahu menerima takdirnya.
            Sebaik sahaja ustaz Mukhriz melangkah pergi … “Abang ,  hari ni kita dah boleh balik. Biar Ziah kemaskan barang-barang dulu ya ...”.  Ziah bingkas bangun dan mula mengemas. Abang Anip diam , tidak menghiraukan Ziah. Abang Anip masih melayan dirinya meratapi nasib yang menimpa.  Tidak sampai 10 minit semuanya habis dikemas.
“Abang sayang , Ziah nak uruskan proses keluar kita. Ziah keluar kejap ya. Ziah tinggalkan abang kejap  ...  selesai nanti Ziah datang balik”. Kata Ziah sebelum keluar meninggalkan abang Anip sendiri.              Sepeninggalan Ziah , abang Anip bangun dan cuba untuk ke bilik air sendiri.
“Ahh! Aku boleh!. Masakan mahu ke bilik air pun dipimpin orang!!”. Abang Anip menguatkan semangatnya lalu menggagahkan dirinya untuk bangun dan mula melangkah perlahan-lahan menggunakan  tongkat , payah sekali namun tekadnya memang kuat.  Sampai di bilik air , abang Anip menatap wajahnya di cermin sinki lama-lama. Membetulkan rambut hitam lurusnya ... mengusap mulutnya yang masih senget.
“Huh!! ...” mengeluh tiba-tiba , tidak suka dengan apa yang dilihatnya.
“Abang ... itu semua tidak penting. Yang Ziah pandang ialah hati budi abang” . Sapa Ziah tiba-tiba. Dia sudah selesai menguruskan dokumen kebenaran keluar abang Anip hari itu.  Abang Anip terkejut , pautan tangannya terlepas , badannya mula goyang … hilang imbangan.  Tongkat entah ke mana dan abang Anip akan jatuh terjelepuk bila-bila masa sahaja!.
Melihatkan keadaan itu , Ziah bergerak pantas. Dia melangkah laju mendapatkan abang Anip lalu cuba menahannya dari jatuh. Segera dipeluknya suaminya itu , dengan menggunakan berat badannya Ziah cuba menolak tubuh abang Anip agar dapat bersandar pada dinding bilik air. Malangnya , kudrat Ziah tidak mampu menampung berat tubuh abang Anip yang melebihi 70 kg itu. Maka kedua mereka jatuh terjelepok ke lantai.
“Abang!”. “Ziahh!”. Jerit mereka serentak. Saling berpandangan ... abang Anip diam terkejut , Ziah pula terhenjut-henjut menahan tawa dan akhirnya tawanya berderai. Abang Anip yang asalnya membungkam turut tertawa sama.
“Kata urat dawai tulang besi!. Tapi nak tahan abang pun tak larat!”. Kata abang Anip dalam tawanya.
“Itulah ! Urat dawai tulang besi , dah karatlah!”. Balas Ziah. Mereka sama-sama tertawa lagi.
“Eh, tadi kata nak uruskan ...”
“Dah ... kejap je. Semuanya telah disiapkan. Ubat abangpun dah siap. Tinggal tunggu abang je!. Jom ... kita balik”. Ajak Ziah.
“Iya ...” . Jawab abang Anip.  Ziah terus  menghulur tangan mahu membantu abang Anip bangun. “Tak pa ... abang nak cuba bangun sendiri ...” . Kata abang Anip.
“Hmmm ... takkanlah tak sudi pegang tangan isteri ... kata sayang?”. Ziah cuba menceriakan suasana. Anip tersenyum lagi ... lalu menyambut tangan isterinya.

“Miah! Dah siapkan bilik abang kau tu?”
“Miah! Dah siapkan bilik abang kau tu?”. Tanya mak Midah. Perasaannya sangat gembira dan lega apabila abang Anip sudah dibenarkan pulang. Tidak sabar rasanya untuk menatap wajah anak lelaki tunggalnya itu. Lebih-lebih lagi dengan keadaan anaknya itu kini. Sudah tidak terkira banyaknya doa yang dipanjatkan kepada yang Maha Esa , memohon agar anaknya itu segera pulih seperti dulu dan kembali ke pangkuannya.
“Sayangnya ibu kepada anaknya manakan sama dengan sayangnya isteri kepada suaminya. Aku ibunya. Aku yang mengandungkannya sembilan bulan dan bersabung nyawa melahirkannya. Sampai kiamatpun sayangku kepadanya tidak akan pernah kurang. Walau apapun keadaannya doaku akan sentiasa mengiringinya dan aku yakin Allah pasti mendengar doaku itu”. Mak Midah berkata sendiri.
“Ya. Aku tidak akan pernah jemu mendoakan kebahagiaannya. Selamanya … lagipun , doa seorang ibu pasti tidak akan ditolak olehNya cuma lambat atau cepat saja untuk diperkenankan”. Kata Mak Midah lagi kepada dirinya sendiri.
“Laa … cakap sorang-sorang mak?. Dah tak sabar-sabarlah tu nak tunggu abang Anip balik. Hmm … bilik abang dah lama Miah siapkan mak ... rasanya ini dah kali kelima mak tanya soalan yang sama tau”. Balas Miah sambil tersengih memandang ibunya.
“Laa ... ye ke?.”
“Yalah mak …” Jawab Miah lembut sambil mengusik bahu ibunya itu.
“ He he he … memang betul , mak ni sebenarnya memang dah tak sabar nak jumpa abang kau tu. Kau tahu jelah , dah lebih seminggu dia di hospital, haram sekalipun mak tak menjenguknya.” Kata mak Midah.
“Ye lah mak ... kan susah mak nak ke sana. Lagipun keadaan abang Anip tu taklah teruk sangat. Tambah pula , kan dah ada kak Ziah menjaga dia. Orang dah beristeri mak. Apalah yang mak nak risau sangat ... mak ... mak”. Miah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Hmmm ... yelah. Kau tak tahu sebenarnya Miah , tak ada satu mak pun dalam dunia ni yang tak risaukan anaknya. Walaupun anaknya tu dah besar panjang”. Balas mak Midah sambil mencebikkan bibirnya , tidak selesa benar hatinya apabila peranannya sebagai ibu mula dibandingkan dengan menantunya.
“Bukan saja dah besar panjang tapi dahpun kahwin mak!!. Eh ... tapikan mak kalau yang mak cakap tu betul , kenapa sekarang ni banyak betul kes orang buang anak. Baby comel pulak tu ...”. Tanya Miah , sengaja mahu mengubah tajuk perbualan. Miah dapat mengesan ketidakselesaan perasaan ibunya itu.
“Ahh ... tak da mananya Miah ... orang yang buang anak tu semuanya orang  gila. Tak sihat ... alah sakit jiwalah tuu ... kalau manusia normal sihat macam kita ni, tak mahunya dia buang anak. Berebut anak adalah!”. Jawab mak Midah.
“Ye ke mak? Tapi kebanyakkan kes yang Miah baca ... bila di kesan polis, mak baby tu bukannya gila. Sihat je”. Miah buat-buat bodoh.
“Itu kata kau ... mereka tu fizikalnya saja nampak sihat tapi sebenarnya ... jiwanya tu yang sakit! Kekadang tu ada banyak sebab ... jiwa mereka tu sakit mungkin kerana anak tu tak berbapa , kena rogol atau sumbang mahram. Takpun ... hidup susah sangat ... takut anak tu jadi beban!”. Jawab mak Midah penuh semangat , lupa sudah akan perasaannya yang terusik sebentar tadi.
“Hmmm ... betul tu mak. Miah setuju . Jiwa mereka yang sebenarnya sakit. Patut dirawat tu ...”. Balas Miah sambil tersenyum penuh makna memandang ibunya itu.
“Mak … mak …” Kata Miah di dalam hati.
“Rawat dengan mendekatkan diri kepada Allah. Itulah sebaik-baik rawatan untuk orang-orang yang sakit  jiwanya”. Tambah mak Midah lagi.
“Ewah! Mak ni sesekali bercakap , kalah orang bijak pandai!” Puji Miah.
“Apa? Kau ingat mak kau ni tak pandai ke?”. Mak Midah geram , terjegil matanya memandang Miah.
“Ha ha ha … pandaiiii ... sebab tulah Miahpun pandai. Kan mak kan?!”. Miah tertawa gelihati melihatkan aksi wajah mak Midah lalu segera  memeluk ibunya itu.
Tidak lama selepas kedua beranak itu bersenda gurau , kereta putih milik cikgu Karim membelok memasuki perkarangan rumah. Mak Midah sangat teruja , dia mengesot-ngesot arah ke muka pintu lalu memanjangkan lehernya , mencari wajah anak kesayangannya . Cikgu Karim , Pak Lang , Ziah dan diikuti oleh abang Anip keluar daripada  perut kereta. Mak Midah memerhatikan  anak sulungnya itu dari atas rumah. Pedih hatinya melihatkan keadaan diri abang Anip , mulutnya yang terherot masih belum pulih dan jalannya pula perlu dipimpin.
“Assalamualaikum”. Cikgu Karim memberi salam kepada anak gadis dan isterimya.
“Waalaikummussalam ...”. Jawab mereka serentak.
Keempat-empat  mereka menaiki tangga rumah. Ziah dan Pak Lang membantu abang Anip. Agak sukar kakinya untuk melangkah menaiki anak-anak tangga tersebut.
“Mak!!”.  Abang Anip merebahkan dirinya ke ribaan mak Midah ,  menyalam lalu memeluknya. Lama mereka berpelukan.
“Anip …”. Mak Midah tergamam dan terharu melihat perubahan pada wajah dan fizikal abang Anip. Bergenang air matanya. Wajah  abang Anip diusap perlahan.
“Sabarlah nak ... semua ini ujian Allah”. Pujuk mak Midah.
“Ye mak ... Anip dah boleh terima keadaan Anip sekarang. Mak janganlah risau ...”. Balas abang Anip. Sengaja tidak mahu membuatkan ibunya itu susah hati dan bertambah sedih.
“Alhamdulillah ... kau dapat menerimanya dengan tabah dan sabar”. Mak Midah bersyukur. Pada fikirannya , selagi abang Anip boleh menerima keadaannya sekarang , semuanya akan baik. “Mak yakin , selagi kau sabar kau pasti akan pulih seperti dulu. Mak akan sentiasa menyokong dan mendoakan kau nak.” Kata mak Midah.
“ Eh, sudahlah tuu ... marilah kita duduk hah. Penat kami ni , lebih sejam dalam kereta. Mana airnya?!” . Cikgu Karim mencelah. Sengaja menukar tajuk perbualan. Dia tidak mahu semua orang terus-terusan bercerita tentang kekurangan abang Anip sekarang.
“Ya tak ya jugak ... moh lah kita duduk. Miah , mana airnya?”. Kata mak Midah sambil memandang Miah.

“Err … ya. Kejab mak , nanti Miah ambilkan”. Jawab Miah lantas segera turun ke dapur.

No comments:

Post a Comment