Popular Posts

Saturday 3 September 2016

Novel 2 : Selepas Hujan Bab 7

Bab 7 : Perjalanan dan Mimpi ...
Mimpi ... terbawa dek impian yang mengusik jiwa
Tika kepercayaan itu musnah
Ternoda dalam indah bicara
Yang sepi tanpa suara ...

         Pada ketika ini Ziah melihat dirinya  sedang berlari di kebun belakang rumah cikgu Karim. Cemas benar dia. Berlari untuk menyelamatkan diri. Ziah menyusup di celah-celah belukar kecil yang menjadi sempadan kawasan kebun milik cikgu Karim dan jirannya. Sampai di belakang busut yang tertogok di situ , Ziah berhenti lalu membongkokkan badan dan segera bertenggung. Matanya liar memandang keliling. Kakinya ditarik rapat ke dada. Kepalanya pula tunduk  ke lutut. Kedua lengan dan tangannya diletakkan melindungi kepala.  Peluh dingin keluar mencurah-curah dari seluruh badannya. Jantungnya berdegup kencang dan dadanya turun naik dengan cepat sekali. Tercungap-cungap tetapi dalam masa yang sama cuba untuk memperlahankan bunyi helaan nafasnya yang semakin kuat.
Tiba-tiba kedengaran bunyi ranting patah dipijak. Ziah gugup. Entah mengapa peti suaranya terus-terusan mengeluarkan bunyi setiap kali nafasnya dihela. Bunyi ketakutan yang tidak terkawal ... “Heehhhh! Heeehhh! Heeehhh!!”. Tidak boleh ditahan-tahan lagi. Bunyi ketakutan yang keluar dari setiap helaan nafasnya itu semakin keras dan kuat. Badannya terhenjut-henjut menggigil. Air matanya mulai mengalir. Ziah kini sedang menangis seperti anak kecil yang ketakutan.
“Hah! Di sini rupanya kau!!” . Satu suara menyergah dari belakang. Serentak dengan itu tengkuknya dicengkam. Ziah dipaksa berdiri. Tengkuknya dipulas , badan Ziah terpaksa bergerak sama ...  menahan sakit. “Aarrgghhh!!”. Jeritnya sakit , matanya dipejamkan.
Takut untuk menentang dan memandang pemilik suara itu.
“Huh ...  kenapa kau bersembunyi?” . Tanya sipemilik suara. Ziah tidak menjawab sebaliknya tangisannya pula yang semakin meledak. Sudah tidak boleh dikawal-kawal lagi.
“Hei! Hei!! Diam!!!. Apasal kau menangis macam budak kecil ni?. Buka mata! Pandang aku!. Hadapi kenyataan!!. Pandang aku!!! Pandang aku!!!!” . Jerit suara itu. Ziah tetap memejamkan matanya. Cengkaman di tengkuknya bertambah kuat.
“Aarrrgghhhh!!!” . Ziah menjerit , sakitnya tidak tertanggung.
“Sakit?. Kalau sakit , buka mata kau. Pandang aku! Pandang aku! Hadapi kenyataan!”.  Arah suara itu lagi. Ziah tiada pilihan , matanya harus dibuka.
“Uweekkk! Uweekkk!! Uweeekkkk!!!!”. Ziah tersentak. Matanya terbuka luas. Peluh membasahi wajahnya. Ziah segera berpaling ke arah bunyi itu.
“Huh!!”.  Keluhnya. Seorang kanak-kanak lelaki sedang muntah akibat mabuk bas. Ibunya menadah muntahan tersebut dengan beg plastik merah.
“Astarghfirullah al adzhimmm ...”.  Ziah beristighfar panjang lalu meraup wajahnya.
“Bermimpi rupanya aku!. Mungkin aku terlalu banyak berfikir ... pasal segala-galanya. Hidupku , kekecewaanku dan  Pagan Sena!. Tentunya pasal abang Anip yang aneh dan pelik itu!”.  Fikir Ziah sendirian. Ziah meraba pula tengkuknya.
“Hmmm  ... tak sakit pun. Mimpi hanya mainan tidur. Erghh ! Tapi tadi rasa macam real. Mujur tak betul-betul jerit. Kalau tak pasti malu!”. Ziah tersenyum sendirian apabila mengenangkan semula peristiwa yang berlaku dalam mimpinya tadi.
“Menangis macam budak kecil. Cehhh!!!”.  Fikirnya lagi. Melihat jam ditangan .
“Baru 4 :15!. Lambat lagi nak sampai”. Fikir Ziah sambil menutup  mulutnya yang ternganga luas  akibat  menguap. Masih mengantuk lagi ... bas masih terus bergerak laju.

... jeritannya langsung tidak dihirau
         Ziah kembali berjalan dilaluan yang sama. Menuruni satu-persatu anak tangga perpustakaan Tun Seri Lanang yang sentiasa tersergam indah. Lambang ketinggian ilmu yang bakal digapai oleh para mahasiswa. Tika kakinya menjejaki anak tangga terakhir , tiba-tiba langkahnya segera dipotong laju oleh seorang pemuda.
“Zuraimie!!”. Katanya perlahan. Ziah tersenyum dan hatinya cukup riang dan berbunga-bunga apabila terpandangkan pemuda ini. Malangnya pemuda itu langsung tidak perasan akan  kewujudannya sebaliknya terus melangkah laju mendahuluinya ke hadapan. Ziah mengeluh hampa , “Huhh!!”. Pandangan matanya mengekori  tiap jejak langkah pemuda itu yang semakin menjauh.
“Apa yang dikejarnya?”. Hati Ziah tertanya-tanya.
“Zuraimie! Zuraimie! Tunggu!!”. Jerit Ziah , harapannya Zuraimie akan berhenti menunggunya. Malang , jeritannya langsung tidak dihirau. Sebaliknya langkah Zuraimie semakin  laju  mendapatkan seorang gadis  yang siap menantinya betul-betul di hadapan pintu masuk  perpustakaan.
Ziah kecewa namun tetap tidak berputus asa , dia malah berlari laju  ke arah Zuraimie.
“Zuraimie tunggu!!”. Jeritnya lagi. Malangnya jeritannya tetap tidak dihiraukan.
“Zuraimie tunggu aku!!”. Jeritnya lebih kuat. Akibatnya bukan sahaja Zuraimie malah  semua mata dan kepala yang ada di situ  menoleh ke arahnya , tidak terkecuali gadis yang berpaut di lengan Zuraimie.
“Ya Allah!!”.  Ziah terkejut , berderau darahnya lalu segera menekup kedua tangannya ke muka. Takut untuk terus melihat. Gadis itu ...  tidak berwajah! ...  sedang turut memandang ke arahnya!!. Kejutan itu mengembalikan Ziah ke dunia nyata , matanya terbuka luas.
“Ya Allah , bermimpi buruk lagi aku ini. Huh! Petanda apalah agaknya ini?”. Fikirnya pula.

‘MARDIYAH BT  AMIR’!
         Baru pukul 5:30 petang.  Melihat keluar tingkap. Lebuhraya yang dihiasi hutan kecil di kiri dan kanan jalannya memenuhi  pemandangan di luar cermin  tingkap. “Huhh!”. Tidak pasti lokasinya kini , Ziah kembali memejamkan mata. Lima minit kemudian , Ziah sudah separuh lena , matanya bergerak perlahan.
“Uhuk! Uhuk!”. Bising seorang penumpang yang batuk mengejutkannya.
“Huh!!” . Ziah mengeluh , membetulkan posisi duduknya lalu kembali memejamkan mata. 
‘Light sleep ... deep sleep ... akhirnya memasuki  fasa REM semula.
Kali ini Ziah melihat dirinya sudah berada di kamar sebuah hospital. Di hadapannya terdapat sebuah katil yang menempatkan seorang pesakit. Keseluruhan tangan dan kakinya disambungkan dengan pelbagai tiub ubatan. Bahagian kepala pesakit ini dibalut penuh hingga menutupi wajahnya.
“Siapa ini?”.  Fikir Ziah ,  terdesak dengan rasa ingin tahu lantas dia berjalan ke bahagian hujung katil. Rekod status perubatan dan kesihatan pesakit ada disangkutkan di situ.  Ziah mengambilnya lalu membaca nama yang tercatat pada catatan rekod itu. ‘MARDIYAH BT  AMIR’!.
“Diah?”.  Fikir Ziah , teringatkan sahabat yang sudah lama tidak ditemuinya  itu. 
Tiba-tiba Ziah dikejutkan oleh sesuatu ...  ada pergerakan di atas katil!.
“Ya aku. Diah!”. Kata si pemilik suara.  Ziah mengangkat kepalanya , memandang ke arah pesakit yang tadinya terlantar tidak bermaya. Pesakit itu kini sudahpun duduk dengan kaki yang masih terlunjur  di atas katil , memandang ke arahnya dengan wajah yang berbalut penuh.
“Diah?” . Tanya Ziah , mencari kepastian.
“Ya aku!” . Perlahan-lahan Diah mencabut semua jarum penyambungan tiub ubat yang berceracak di kedua lengannya. Darah memancut keluar setiap kali jejarum itu dicabut!.
“Diah , jangan!”. Ziah cuba menghalang , ngeri melihatkan percikan darah yang bertaburan.
Diah tidak menghiraukan larangan Ziah , tangannya diangkat tinggi lalu membuka balutan wajahnya. Sedikit demi sedikit ... Ziah cemas , menanti dengan penuh debaran. Akhirnya balutan itu habis dibuka.
“Ya. Diah sahabatku!” . Wajah Diah masih seperti dulu.  Ziah menerpa ke arah Diah , mereka berpelukan.
“ Diah , rindunya aku pada kau!” . Ziah berkata. Diah tidak menjawab hanya pelukannya bertambah erat.  Bersatu mereka berdua bagai tidak mahu berpisah lagi. Ziah gembira , benar-benar gembira. Namun  tiba-tiba ...  Ziah merasakan sesuatu yang tidak kena. Pelukan Diah terlalu  kuat hingga menyesakkan nafasnya.
“Diah!. Kau menyakitkan aku!”.  Ziah memberitahu. , Diah diam ... bagai tidak memperdulikan keluhan Ziah . Pelukannya bertambah kuat hingga menyukarkan  Ziah untuk bernafas . Dadanya kini terasa benar-benar sakit. Peparunya bagai sudah tidak boleh mengembang lagi. Dalam kepayahan itu , tidak semena-mena bau busuk  pula mulai mengasak hidung Ziah.
“Diah ... bau busuk apa ni?”.  Ziah berkata  payah dan tersekat-sekat  lantaran pelukan yang menyesakkan itu. Diah terus diam. Tiada jawapan hanya pelukannya saja yang semakin kuat. Hampir saja menutup peluang Ziah untuk terus bernafas.  Ziah mulai cemas.
“Ahh! Ini tidak betul. Boleh mati aku . Aku perlu segera melepaskan diri !!”. Fikir Ziah. Dengan sekuat tenaga yang ada pelukan itu cuba dileraikan. Ziah merenggangkan  dan membuka luas-luas kedua lengannya lalu menolak Diah jatuh jauh dari dirinya. Diah jatuh terperosok ke hujung katil. Sebaik saja tubuh mereka terpisah , alangkah  terkejutnya Ziah. Rupa cantik Diah sudah bertukar . Ngeri dan menakutkan!. Rambutnya yang lurus lebat kini mengerbang kembang. Kulit wajahnya yang halus mulus jadi  berkedut-kedut. Sebahagian daging pipinya mulai luruh sedikit demi sedikit. Sebelah biji matanya tersembul manakala sebelah lagi biji matanya   terjuntai keluar!!. Diah mengilai kuat sambil mendepangkan tangannya ke arah Ziah. 
“Aeeeeeeee!!!!!” . Nyaring dan menakutkan sekali bunyi ngilaian Diah. 
“Arrggghhhhh!!!!”.  Ziah menjerit , terkejut dan ketakutan.
“Dik! Dik! Dik!”. Kedengaran satu suara memanggilnya. Ziah membukakan mata.
“Adik bermimpi!”. Kata perempuan separuh umur di sebelahnya.
“Mimpi ngeri?”.  Tanya perempuan itu lagi. Tersenyum. Ziah diam. Hanya menganggukkan kepalanya lemah.
“Banyak sangat berfikir!. Bangunlah. Kita dah nak sampai di Puduraya ni”. Beritahu perempuan itu lagi sebelum bangun kembali ke tempat duduknya.
“Astarghfirullah ...”. Ucap Ziah sambil meraup wajahnya.
“Mimpi buruk lagi. Ya Allah ... apalah aku ni. Buat malu je!”.  Fikirnya  sambil memandang keliling ke arah penumpang-penumpang lain.
“Eeeee ...  malunya!”.  Kata Ziah di dalam hati. Semua kepala sedang berpusing ke arahnya. Termasuklah lelaki cerah dan menarik tadi , sedang tersengih memandangnya. Jeritan kuat Ziah itu benar-benar telah menarik perhatian mereka semua!.
“Huhh!”.  Keluh Ziah sambil  memendekkan lehernya. Bersembunyi di sebalik penyandar kerusi hadapan.
Setelah lebih kurang empat jam perjalanan , mengalami tiga episod mimpi ngeri , akhirnya Ziah sampai  di stesen bas Puduraya. Ziah tidak segera bangun. Dia menunggu sehingga semua penumpang turun barulah dia bangun dari kerusinya. Melihat keluar tingkap.
“Hentian bas Puduraya. Masih sama seperti dulu . Busuk dan tercemar dengan  bau asap bas!!”.  Fikirnya.
“Karbon monoksida! ...  ni yang aku tak suka ni. Hai ... kenapalah para pemandu ni tak faham-faham tentang kepentingan mematikan enjin sementara  menunggu penumpang!”. Rungut Ziah sambil melangkah turun daripada bas. Ingatannya kembali ke zaman kuliahnya dulu ...
“Pembakaran yang tidak lengkap akan membebaskan gas toksik karbon monoksida. Ianya boleh terjadi  misalnya apabila kenderaan dihidupkan tanpa mematikan enjin. Gas toksik ini akan dikeluarkan”. Terang doktor Rushdan.
“Err ... doktor , apa bezanya pembakaran lengkap dan tidak lengkap?” . Tanya seorang siswa. “ Pembakaran lengkap membebaskan gas karbon dioksida manakala pembakaran tidak lengkap akan mengeluarkan karbon monoksida”. Jawab doktor Rushdan.
“Doc , kenapa gas karbon monoksida itu dikatakan beracun?”.  Tanya pula Chua. Teman sekuliah Ziah. Memang terkenal dengan sikapnya yang suka bertanya.
“Karbon monoksida akan bersaing dengan oksigen untuk membuat ikatan dengan haemoglobin dalam darah. Siapa boleh terangkan akibat seterusnya?”. Doktor Rushdan memulangkan soalan kepada para pelajarnya. Diah bangun berdiri lalu terus menjawab.
“Haemoglobin lebih cenderung membuat ikatan dengan karbon monoksida berbanding oksigen. Akibatnya badan akan kekurangan oksigen”. Jawab Diah sebelum duduk semula.
“So?”. Tanya Chua secara spontan. Masih tidak faham.
“So kita boleh matilah!!” . Jawab suara-suara sumbang  diikuti dengan deraian ketawa.
“Ya. Bagus Diah. Akibatnya , penghasilan oksihaemoglobin dalam darah akan berkurangan. Maknanya kurang oksigen dapat dibekalkan kepada sel-sel badan terutamanya sel-sel di otak. Kekurangan oksigen di otak akan menyebabkan kita berasa mengantuk atau pening . Dalam kes yang kronik ianya boleh menyebabkan kita pitam , pengsan atau mati”. Sambung doktor Rushdan.
“Errr ... tapi apa kaitannya oksihaemoglobin dengan kekurangan oksigen?. Saya masih tidak faham” . Tanya Chua lagi.
“Hmmm ...  pasti awak tak buat cukup bacaan”. Komen Doktor Rushdan.
“Oksihaemoglobin terhasil daripada tindakbalas antara oksigen gas dan haemoglobin dalam darah. Tindakbalas ini penting kerana ianya merupakan cara oksigen diangkut oleh darah ke bahagian lain badan. Untuk perinciannya awak kenalah buat bacaan sendiri. Jadikan ianya sebagai tugasan awak. Minggu depan saya mahu dengar jawapannya daripada awak”. Arah doktor Rushdan , tidak suka terlalu banyak ‘spoon feed’ para pelajarnya. Chua menggaruk-garukkan kepalanya. “Haiyya!!!”. Keluhnya.
“Heeeee ... berangan lagi aku ni!”.  Fikir Ziah sambil tersenyum-senyum sendiri apabila terkenangkan semula wajah Chua yang ‘bagaikan ayam berak kapur’ itu. Kini semua kenangan silam datang silih berganti menghantui segenab ruang ingatannya. Bagai bayang yang setia mengekori  tiap langkahnya.
“Sudahlah Ziah. Fokus dengan apa yang kau nak buat!” . Ziah berkata kepada dirinya sendiri sambil menepuk-nepuk  perlahan wajahnya. Melihat semula jam di tangan. “Hushh! Dah hampir pukul 8:00 malam ni. Aku kena cepat”. Fikir Ziah.
Sekarang  Ziah harus  mendapatkan bas ke Kajang  ...  atau kalau bertuah akan dapat bas terus  ke Bandar Baru Bangi.  Dia telah bejanji dengan Ba’ie untuk bertemu dengannya di perhentian bas berhampiran tempat tinggal lama mereka dahulu pada pukul 9:00 malam.
“Eee ... dah lambat ni. Baik aku telefon Ba’ie dulu”.  Ziah mengambil telefon bimbitnya lalu  mula mendail.
“Helo...Ba’ie?” . Ziah bercakap.
“Hah Ziah , dah sampai?”. Jawab Ba’ie.
Ziah menerangkan status perjalanannya kepada Ba’ie sebelum  mematikan telefon bimbitnya lalu mencari platform bas yang boleh membawanya ke Kajang atau Bandar Baru Bangi!
Nasibnya begitu baik. Bas ke Bandar Baru Bangi baru saja sampai di Platform 1. Ziah berlari-lari anak bersama bakal penumpang lain yang juga sudah lama menunggu bas tersebut. Setelah berebut dan berasak di muka pintu , akhirnya dapat juga Ziah masuk ke perut bas dan duduk di kerusi betul-betul di belakang pemandu bas.
“Alhamdulillah ...” . Ucapnya ,  syukur.
         Perjalanan dari Puduraya ke Bandar Baru Bangi mengambil masa hampir sejam. Sepanjang perjalanan itu , entah mengapa tiba-tiba sahaja Ziah terkenangkan abang Anip. Teringat peristiwa kali pertama dia memandang wajah abang Anip. Wajah yang penuh kepedihan  ...  kusam dengan rambut yang berselerak dan jambang dan misai yang dibiar tumbuh meliar.
“Eee ... yelah. Apalah agaknya yang menyebabkan abang Anip menukar ketrampilannya?. Nampak lain macam je ...  terserlah jelas  senyumannya  yang manis itu. Rupa-rupanya dia memiliki wajah yang agak menawan!”. Kata Ziah kepada dirinya sendiri sambil menutup mulut , tersenyum lebar apabila terkenangkan ‘wajah baru’ abang Anip itu.
“Cukur jambang , kemaskan rambut dan kemudian menghantarku!”. Terbeliak mata Ziah mengingatkan semua itu.
“Eeeee ... biar betul!. Takkanlah dia lakukan semua itu kerana aku?”. Ziah mula perasan!!!

... mengusap lembut bibirnya sendiri.
          Habis tersenyum ingatan Ziah kembali kepada peristiwa dia hampir lemas di sungai belakang rumah cikgu Karim dahulu. “Mujur ada abang Anip. Kalau tak aku ni dah jadi arwah agaknya ... Heee!” . Ziah tertawa kecil  apabila cuba membayangkan gaya dan air muka abang Anip yang aneh dan pelik itu ketika memberikannya bantuan CPR. Tanpa sedar jejarinya mengusap lembut bibirnya sendiri.
“Hmm ... apa agaknya perasaan abang Anip ketika itu ?”. Fikirnya sendiri sambil membayangkan senyuman abang Anip yang manis ketika menghantarnya tadi. Entah mengapa hatinya terasa berbunga!. Rasa senang dengan perubahan sikap dan penampilan abang Anip yang baru.
Malangnya ,  ‘mood’nya segera bertukar benci apabila teringatkan  sikap kasar dan sombong abang Anip . ‘The real abang Anip ... Monster!".
“Huh sombong dan belagak!”.  Benci betul Ziah mengingatkan keangkuhan lelaki itu.
Lebih teruk apabila peristiwa kebiadapan abang Anip menyambut kepulangannya bersama Kamal di tebing sungai mula menjengah ingatannya.  Kasar merenggut  pergi keseronokannya bertandang ke rumah Kamal. Membunuh riangnya menyusuri laluan sungai petang itu. Menyinggung hati Kamal yang baik itu.  Segalanya direntap pergi dek keangkuhan dan sikap biadap abang Anip. 
“Huhh!. Lelaki bodoh dan berlagak!. Hmm ... kasihan Kamal , lama tak dengar berita dia”. Fikir Ziah sambil tersenyum membayangkan wajah Kamal yang ceria.

“Bahaya dik kalau ...
         Bersama ingatan tentang abang Anip ... tentang Kamal , Ziah akhirnya terlena lagi ... penat benar gadis ini!
“Bandar Baru Bangi! Bandar Baru Bangi!!”.  Ziah terkejut dari lenanya apabila pemandu bas bersuara kuat . Sengaja untuk mengejutkannya Ziah , satu-satunya penumpang yang masih lena!.
“Dik , nak turun kat mana? Abang dah nak pusing balik ke KL ni” . Tanya pemandu bas tersebut.
“Ukh?”.  Ziah menelan air liurnya , terpinga-pinga.
“Dik , semua penumpang dah turun. Abang nak pusing ke KL balik ni”. Jelas pemandu bas itu sekali lagi.
“Uh ... maaf bang, saya tertidur. Abang berhenti kat depan tu jelah”.  Ziah menunjukkan tepi bahu jalan yang betul-betul bertentangan dengan perhentian bas yang  sepatutnya dia turun . Jalan yang sama akan dilalui oleh bas untuk masuk dan keluar kembali ke Kuala Lumpur , cuma arahnya  sahaja yang berlawanan. Pemandu bas menganggukkan kepalanya.
“Bahaya dik kalau selalu tidur semasa naik kenderaan awam. Hati-hati lain kali . Kalau tidakpun  ajaklah  kawan”.  Nasihat ikhlas pemandu bas tersebut sebelum dia memberhentikan basnya.
“Ye bang , terima kasih” . Jawab Ziah sebelum melangkah turun  dan  mengucapkan terima kasih di atas keperihatinan pemandu bas tersebut. 
“Malu!!!”. Malu dia menerima nasihat dan teguran daripada pemandu bas tersebut. Namun begitu tersemat rasa syukur dalam hatinya kerana masih ada insan yang prihatin dengan insan lain.

“Hmm ... nasib baiklah abang pemandu bas tu baik orangnya. Kalau tak ... eeeee!” . Ngeri Ziah apabila teringatkan kisah yang pernah dibacanya dalam akhbar beberapa tahun lepas. Seorang wanita yang menaiki bas dari Klang ke KL untuk ke tempat kerja akhirnya dirogol dan dibunuh oleh pamandu bas itu sendiri. Keluar awal pagi dan menjadi penumpang tunggal bas tersebut menjadikannya mangsa malang yang tidak berdaya.  
Setelah dibunuh , mayatnya pula dicampakkan di satu kawasan pembinaan dalam keadaan tanpa pakaian. Kasihan ... wanita itu baru saja bekerja setelah menamatkan pengajiannya di IPTA!. Hancur luluh  hati dan perasaan keluarganya. 
“Alhamdulillah ... Kau telah melindungiku ya Allah”. Ucap syukur Ziah di dalam hati.

No comments:

Post a Comment