Popular Posts

Friday 11 September 2015

Cerpen : Dongeng ... Si Bayan yang patah sayap

Lukis jea ... cerita dongeng

Mari aku dongengkan kisah seekor burung yang patah sayapnya …

***ojai Pada zaman dahulu , di sebuah  kampung , tinggal seorang gadis di sebuah pondok kecil bersama  seekor kucing kesayangannya  , Meow.  Ayah dan ibunya telah lama tiada. Dahulu ada nenek yang sentiasa menemaninya namun sejak setahun lepas nenek telah pergi selamanya akibat sakit tua.

“Lia , bangunlah! Matahari dah meninggi!!”. Meow memekakkan suasana pagi itu dengan ngiauan yang membingitkan telinga.
“Hisshhh diamlah meow!. Lia ngantuk sangat ni. Kan semalam kita tidur lewat”. Balas Lia sambil menolak meow jauh dari tilam kekabunya. Meow tidak berputus asa , semakin giat Lia menyepaknya jauh semakin gigih meow datang menyondol-nyondol muka Lia.
“Hisshhh!!! Yalah! Lia bangunlah ni!!!” Jerit Lia geram lalu meow didakapnya erat. Hidungnya dan hidung meow dilaga-lagakan.
“Suka kacau orang tidurkan” Kata Lia lagi sambil mengetuk lembut kepala meow.

Setelah selesai bersiap , Lia membuka pintu pondok seluas-luasnya. “Hah! Segarnya udara pagi ni”. Kata Lia sendiri. Lia mengangkat kedua-dua tangan ke atas beberapa kali diikuti regangan-regangan lain tubuhnya. Setelah selesai …”Jom meow! Kita jalankan tugas kita hari ini”.
Mendengar namanya dipanggil , meow tanpa bertangguh terus berlari keluar mendahului Lia. Lia menutup rapat-rapat pintu pondoknya sebelum mengendung guni kecil yang siap tersangkut di paku dinding luar pondoknya.

Pagi yang indah
Lia dan meow kawan setia
Meredah hutan yang kian tebal
Mencari akar buat ditukar
segenggam beras…segenggam beras
Lalalala    lalalala   lalalala

Pagi yang indahhhh
Lia dan meow
Pagi yang indahhh
Lia dan meow
Kawan yang setia
Segenggam beras
Lalalalalalalalala
Lalalalalalalalala

Lia dan meow meredah hutan sambil bernyanyi riang.
(Nak tahu bagaimana irama melodinya? …. Ia adalah apa saja yang terlintas di fikiranmu sekarang ^__^)

Mereka berjalan laju tanpa risau sesat kerana  hutan ini adalah tempat bermain buat mereka sejak arwah nenek Lia masih hidup lagi. Tika itu , Lia dan meow selalu mengikut nenek mancari daun dan akar-akar kayu yang boleh dibuat ubat. Nenek banyak mengajar Lia , mengecam dan mengenal jenis-jenis daun herba dan akar-akar kayu yang tinggi nilainya dalam bidang perubatan.
Setelah mengumpul daun-daun dan akar-akar kayu tersebut , nenek , lia dan meow akan membawanya ke Pekan. Di situ tinggal seorang bidan yang juga pandai mengubat. Dialah yang akan membeli segala hasilan yang dibawa mereka.
Kini , keadaan dah berbeda. Nenek sudah tiada. Tugas membekalkan bahan-bahan ubatan hutan itu sudah menjadi tanggung jawab Lia dan meow sepenuhnya.

Sedang Lia sibuk memetk daun-daun herba , meow datang kepadanya dalam keadaan yang cemas.
“Lia! Lia! Cepat! Ada sesuatu di sana. Cepat!!”. Ngiau meow dengan kuat sekali.
“Kau dah kenapa meow?”. Tanya Lia acuh tidak acuh melihat meow yang sedang cemas itu.
“Lia! Cepatlah. Ada sesuatu di sana!!”. Bising meow lagi. Kali ini kain Lia digigit dan cuba ditarik ke suatu arah.
“Eeeei! Nape kau ni meow?. Lia tengah sibuk ni. Kejap lagi matahari dah di atas kepala. Tentu terik panasnya!”. Lia jengkel lalu menguis meow dengan kakinya.
Meow tidak putus asa , tetap juga memaksa Lia mengikutnya.
“Yalah! Yalah! Kau ni dari pagi tadi asyik main paksa orang jelah meow”. Rungut Lia namun kakinya tetap menjejaki meow yang mendahuluinya di hadapan.

“Eh! Kesiannya!!” Jerit Lia sambil berlari anak mendapatkan meow yang sudah tegak berdiri sambil menggoyang-goyangkan ekornya.
“Hah! Taupun kesian. Tadi aku suruh datang cepat taknak. Nilah sebabnya!”. Meow memulangkan paku buah keras.
“Yalah! Yalah! Kaulah yang pandai meow!”. Lia mengusap kepala meow. Meow bangga.


(Apa yang mereka temui?)


“Eh meow , kesianlah. Sayap dia patah ni. Tak boleh terbang. Kita kena bawa dia balik dan rawat di rumah”. Kata Lia.
“Okey … jomlah kita bawa dia balik sekarang”. Jawab Meow , teruja.
“Jap meow!”. Balas Lia lalu mengambil beberapa helai daun ketapang yang lebar. Daun-daun itu  dilipat berbentuk mangkuk dan dikemaskan dengan ranting kecil. Seekor burung  bayan hutan yang  patah sayap diangkat dan diletakkan di dalamnya.
“Jom meow!”. Ajak Lia dan meow seperti biasa akan mendahului langkah Lia.

Bertambahlah ahli baru dalam hidup Lia dan Meow. Seekor bayan hutan kini tinggal bersama mereka. Lia menumbuk daun ubat hingga lumat lalu ditepekkan pada bahagian sayap bayan yang patah. Kemudian sayap itu dibalut dengan kain. Setiap petang , Lia dan meow akan membawa bayan menikmati angin petang di luar pondok mereka … dan setiap kali itu jugalah Lia dan meow dapat melihat  seekor  bayan liar  akan bertenggek di pohon beringin  tidak jauh dari pondok mereka.
“Bayan , itu keluarga kau ke?. Ke itu isteri kau?” Tanya Lia. Bayan diam tidak menjawab.
“Dia tak faham kitalah Lia” Sampuk meow.
“Takpe meow , nanti lama-lama dia mesti faham apa yang kita katakan”. Balas Lia sambil mengusap-ngusap badan meow. Bayan yang ada di ribaan Lia mulai berkicau.
“Hmm … sedap suara kau bayan” Puji meow
“Ya Bayan , sedap suara kau” Lia mengiakan.

Hari berganti minggu…minggu berganti bulan. Sudah cukup satu bulan bayan tinggal bersama Lia dan meow. Sayap bayan juga sudah kembali kuat. Setiap hari bayan juga sama seperti  meow akan mengikut Lia mencari daun-daun herba dan akar-akar kayu di hutan. Bayan akan bertenggek di bahu Lia atau terbang mengelilingi Lia dan meow dan tiap kali itu jugalah akan ada seekor bayan liar terbang mengekori jejak mereka bertiga.

Pagi yang indah
Lia dan meow kawan setia
Kini bayan datang menjelma
Meredah hutan yang kian tebal
Mencari akar buat ditukar
segenggam beras…segenggam beras
Lalalala    lalalala   lalalala

Pagi yang indahhhh
Lia , meow dan bayan
Pagi yang indahhh
Lia , meow dan bayan
Kawan yang setia
Segenggam beras
Lalalalalalalalala
Lalalalalalalalala

“Bayan … itu keluarga kau ke?” Tanya Lia lagi.
Bayan tidak menjawab , sebaliknya hanya terbang pergi dan balik ke bahu Lia.
“Kalau itu keluarga kau , aku rasa dia mahu kau kembali bersamanya bayan”. Ujar Lia lagi.
“Kenapa kau tak terbang saja bersama dia bayan?. Kesian dia … dah hampir sebulan dia mengekori kita tanpa jemu. Aku rasa kau patut terbang pulang bersamanya bayan”. Kata Lia lagi.
“Lia , bayan tak faham apa yang kita kata. Kita selamatkan dia dan kini dia mahu bersama kita”. Meow memberikan pendapat.
“Hmm … betullah tu meow. Tapi sampai bila keluarganya itu akan terus mengekori kita?. Lagi pula bayan ini tidak akan pernah faham kita. Sudah sebulan bersama  tapi dia masih tidak faham apa yang kita katakana”. Balas Lia
“Tapi bayan sayang kita. Biar sajalah dia bersama kita”. Meow menyatakan pendapatnya.
“Tapi Lia kasihankan keluarganya itu. Lia rasa itu adalah isteri atau kekasihnya. Setia betul dia”. Keluh Lia. Rasa bersalah pula memisahkan bayan dari kekasihnya.

Keadaan berlarutan selama seminggu lagi. Bayan liar yang sama masih mengekori jejak mereka. Lia semakin diserang rasa bersalah sedangkan bayan semakin hari semakin mesra dengan lia dan meow.
“Hmm … sesuatu perlu dilakukan”. Fikir Lia

Petang itu seperti biasa Lia , meow dan bayan menikmati angin petang di luar pondok mereka. Lia mengusap-ngusap kepala bayan yang leka bertenggek di ribaannya. Meow yang duduk disebelahnya pula menggesel-geselkan kepalanya ke kaki Lia.
“Meow , Lia sudah buat keputusan”. Lia memberitahu meow. Meow yang sedang asyik menggesel mengangkat kepalanya memandang Lia.
“Keputusan?”. Tanyanya minta kepastian.
“Tentang bayan”. Bisik Lia
“Jom! Ikut aku”. Kata Lia tegas dan kuat kepada meow lalu berdiri. Meow tersentak namun meow faham arahan lia itu.
Lia berjalan menuju ke pintu pondok  dan seperti biasa meow mendahuluinya masuk ke dalam pondok. Bayan pula terpinga-pinga lalu segera terbang dan bertenggek di bahu Lia. Sebaik sahaja Lia masuk ke dalam pondok , Lia memegang bayan dengan tangan kanannya lalu mencampaknya ke luar sebelum menutup pintu pondok dengan segera.
Meow terkejut dengan perbuatan Lia itu … “Lia! Kenapa buat begitu kepada bayan?”. Meow mengiau kuat tanda protes.
“Sshhhh…diamlah meow!”. Arah Lia tegas.
Meow masih tidak berpuashati , meow cuba membuka pintu pondok.
“Hishh meow! Jangan dibuka pintu itu. Biarkan bayan di luar. Lia mahu dia kembali kepada ke asalnya” Tengking Lia dan meow terpaksa mengalah.

Maka malam itu Lia dan meow tidur tanpa bayan di sisi mereka.
Sesekali tergerak di hati Lia untuk menjenguk keluar , kalau-kalau bayan masih ada di situ …
“Hmm … agak-agak bayan dah kembali ke keluarganya ke meow?”. Lia memecahkan kesunyian malam. Meow diam tidak menjawab. Meow masih tidak setuju dengan perbuatan Lia mencampak bayan keluar dan memaksa bayan kembali kepada keluarganya.
“Hmm … suka hati kaulah meow. Nak protes sangat. Tidurlah kau sendiri!”. Kata Lia sebelum berpaling membelakangkan meow.

Keesokan paginya , seperti biasa meow mengejutkan lia dan mereka kembali berdua mencari daun-daun herba dan akar-akar kayu di hutan.
Sesekali kedengaran lia mengeluh apabila teringatkan bayan. Meow juga rasa kurang bersemangat hari ini. Meow juga terkenangkan bayan. Acapkali  matanya memandang ke pepohonan melihat-lihat kalau-kalau bayan ada berhampiran.
Setelah guni kecil yang dibawa hampir penuh , mereka melangkah pulang. Hari ini tiada nyanyian , tiada keriangan…

Petang itu , tika lia dan meow berehat di luar pondok …
“Eh! Lia, tengok itu…bayan pulang!!”. Kata meow riang sambil menggoyang-goyangkan ekornya.
Lia melihat ke arah yang dimaksudkan meow. Kelihatan bayan sedang terbang laju menuju ke arah mereka.
Tanpa berlengah , “Meow! Cepat!!!”. Jerit Lia lalu berlari laju masuk ke dalam pondok sebelum  menghempas pintu pondok dengan kuat. Mujur tidak tersepit ekor meow yang panjang!
“Lia!!!” Jerit meow , tidak faham mengapa lia perlu berbuat begitu sedangkan meow dan lia sendiri rindukan bayan.
Dari rekahan pintu yang telah lama ada , Lia dan meow mengintai keluar. Mereka melihat bayan berdiri lama memandang pintu pondok. Bagai nak luluh hati lia dan meow melihatnya.
Setelah lama dibiarkan menunggu di luar , bayan akhirnya terbang ke dalam hutan.
“Lia…”Keluh Meow lalu lia mendakap dan memeluknya erat.

Keadaan berterusan beberapa lama dan bayan masih tetap mencuba.
“Meow , hari ini kita jangan lari menutup pintu. Kita hadapi bayan ya”. Lia memberitahu meow.
“Apa lagi yang lia nak buat?” Tanya meow
“Hmm … adalah”. Jawab Lia sambil tersenyum.
Petang itu seperti biasa , lia dan meow ke luar pondok. Kali ini lia bawa bersama penyapu lidi yang selalu digunakan untuk membersihkan lantai pondok.
“Nak buat apa?”. Tanya meow cuak.
“Adalah”. Jawab Lia sambil mengusap kepala meow.
Seperti yang dijangka lia , petang ini juga bayan datang lagi. Kali ini Lia sudah bersedia menghadapinya.
Sebaik sahaja bayan terbang menghampirinya , lia mencapai penyapu lidi yang disandarkan pada dinding luar pondok lalu menghayun-hayunkannya ke arah bayan.
“Syuhhhh! Syuuhhhh!!! Syyuuuhhhh!!!! Pergi kau dari sini. Kami tidak mengingini kau lagi. Pergi!! Pergi!!!!!” Jerit lia sekuat hati. Jeritannya itu memeranjatkan meow dan bayan. Bayan yang ingin hinggap di bahu lia terkejut dan ketakutan yang amat sangat lalu terbang laju menjauhi lia dan kembali ke hutan.

Setelah kelibat bayan sudah tidak kelihatan , Lia mengeluh … “Pergilah bayan , jangan kembali lagi”
“Lia , kenapa mesti sampai berbuat begitu?. Kasihan bayan”. Tanya meow.
“Tidak meow , itulah yang sememangnya harus dibuat” jawab Lia
“Mengapa sampai begitu?” Tanya meow lagi , masih tidak berpuas hati.
“Meow , lia mahu bayan ingat yang buruk saja tentang lia , tentang kita” Terang Lia
“Mengapa?”. Tanya lagi meow.
“Biar bayan pergi tanpa kesal di hati” Balas Lia sebelum melangkah masuk. Seperti biasa meow pasti mendahuluinya…***ojai






Sekian …. Moga terhibur!!

-peace-
>__<

No comments:

Post a Comment