Popular Posts

Tuesday 19 August 2014

"Keranamu DIAH" : Bab 29

BAB 29 :       KONFLIK – JANJI DAN TANGGUNG-JAWAB

Diam itu lebih menenangkan ...
 “Dayus? . Apa maksud Diah?”.  Zuraimie tidak dapat menerima tuduhan Diah terhadap dirinya.
“Diah , setelah Diah diam seribu bahasa selama berminggu-minggu . Ini kata-kata ‘keramat’ yang Diah lontarkan pada abang?. Tergamak Diah mengucapkannya pada abang. Diah tahu tak yang abang sendiri terseksa dengan semua ini. Dibuang mati emak , diluah mati bapak. Abang benar-benar tersepit!.  Diah sendiri maklum , demi Diah abang sanggup menentang keluarga sendiri. Abang sanggup bertegang leher , menghancurkan hati ibu abang sendiri.  Abang tetap memilih Diah”. Zuraimie kesal dengan kecaman yang dilontarkan Diah kepadanya.
“Diah ,  letakkanlah sedikit timbang rasamu pada abang. Kasihanilah abang ... kasihkanlah abang ini. Telah lebih enam bulan kita bergelar suami isteri  tapi abang rasa sungguh sepi. Setiap kali abang pandang Diah , hati abang terasa sungguh ... sungguh sepi!. Abang terbiar!. Punya isteri tapi masih hidup terasing!”. Kata-kata Zuraimie itu menyentap jantung hati Diah. Terpukul dengan luahan Zuraimie. Inilah kali pertama Zuraimie mencurahkan kesengsaraan yang ditanggungnya. Tidak pernah terfikir oleh Diah akan penderitaan suaminya dek sikap dinginnya selama ini. Namun begitu , kemarahan di hatinya belum lagi reda. Mana mungkin hatinya akan kembali tenang selagi anaknya tidak didakapan.
Sejak peristiwa hari itu , Diah langsung tidak berpeluang melihat apatah lagi mendakap Raziq. Muslihat kak Biah sudah terbongkar. Pengasuh itu sudahpun diberhentikan kerja. Hancur sudah harapan Diah. Hanya kemurungan dan kedukaan yang menemaninya sepanjang masa. Kehadiran Zuraimie bagai tidak membawa sebarang makna. Makan , minum sudah tidak dihirau. Berat badannya susut mendadak , jiwanya merana terus-terusan. Merana dan terus  merana ...
Semua yang terjadi itu sungguh menggusarkan hati Zuraimie , suami yang terpinggir.
“Apa sudahnya semua ini?”. Fikirnya sendirian.
“Masakan aku harus terus tersepit di antara ibu yang melahirkan dengan isteri tercinta?”.
Setelah berfikir panjang , Zuraimie membuat keputusan nekad. Diah harus dikeluarkan dari situasi yang membelenggunya selama ini. Diah harus ditenangkan jauh dari punca masalah iaitu ibunya sendiri , Puan Sarah dan anaknya , Raziq. Setelah menguruskan pelbagai perkara , akhirnya Diah dibawa keluar dari rumah itu. Walaupun dihalang oleh Puan Sarah , Zuraimie tetap nekad.
“Izinkanlah kami mencari bahagia mak”. Pintanya dan kali ini Puan Sarah terpaksa mengalah.
“Asalkan kau tidak membawa Raziq pergi”. Itulah syarat yang diberikan ibunya. Zuraimie terpaksa akur ...

Pindah rumah
Rupanya Zuraimie telah menyediakan sebuah banglo sederhana besar yang dibelinya sebaik sahaja dia menikahi Diah dahulu. Banglo itu telah siap dilengkapi dengan perabot kayu jati yang kelihatan mewah dan diindahkan lagi dengan taman mini dan kolam ikan yang cukup menenangkan.
“Hmm ... abang harap Diah suka rumah kita ini. Abang beli khas buat Diah. Abang juga berharap sangat yang kita boleh bahagia di sini. Membina keluarga kita sendiri mengikut cita rasa kita sendiri. Abang hendak Diah sendiri yang menentukan susun atur perabot atau apa saja urusan di rumah ini. Dalam rumah ini , you’re the boss!”. Zuraimie meluahkan harapannya sambil mengucup dahi isteri tercinta. Diah hanya tersenyum tawar.
“Err ... untuk memudahkan Diah ke mana-mana , abang dah sediakan seorang driver , Pakcik Bahari. Dia akan hantar ke mana saja tempat yang Diah mahu pergi. Tapi , kenalah beritahu abang dulu ye. Kalau tidak tentu abang akan risau. Risaukan keselamatan Diah. Bukan senang abang nak dapatkan isteri secantik dan sebaik Diah”. Zuraimie cuba mengambil hati isterinya.
“Err ... kerja-kerja rumah pula Diah tak usah buat , abang juga telah mengupah kak Timah sebagai pembantu rumah. Dia akan uruskan semua kerja-kerja dalam rumah. Diah hanya perlu arahkan saja. Abang cuma nak Diah rehat dan punya masa untuk diri sendiri. Boleh?”. Tanyanya lembut. Diah tetap diam , hanya senyuman tawar yang mampu diberikannya sebagai  balasan atas  segala kebaikan yang telah diberikan Zuraimie , suaminya.

Zuraimie memberanikan dirinya ...
Malam itu , untuk kali pertamanya mereka tidur sekatil. Setelah menukar pakaian tidur yang lebih selesa , Zuraimie memberanikan dirinya dan cuba berlagak biasa baring di sebelah Diah. Hatinya cuak  apabila memikirkan reaksi Diah nanti. Kadang-kadang timbul rasa serik ditendang Diah hingga jatuh ke lantai. Namun rasa cuak  dan serik itu segera hilang apabila melihat Diah hanya mendiamkan diri , terus berbaring tanpa sebarang tindakbalas. “Mungkin ini petanda baik”. Fikirnya.
Bagi Diah pula , dia cuba memaksa dirinya untuk menerima Zuraimie seadanya. Diah sedar berdosa bagi dirinya kerana telah tidak menjalankan tanggung-jawabnya sebagai seorang isteri.  Takut juga dia jika mati nanti tidak mencium bau syurga.
‘Syurga isteri bergantung kepada redha suaminya’. Kata-kata keramat itu kekal terpahat di sanubarinya sejak dahulu lagi , dari zaman kecilnya itulah ungkapan yang sering disebut oleh ibunya. Maka malam ini , Diah juga nekad mahu merelakan dirinya menjadi milik Zuraimie sepenuhnya. Mampukah dia?
“Mungkin sudah sampai masanya aku menyerah. Raziq , maafkan Diah. Sungguhpun raga ini menjadi miliknya namun hatiku dan cintaku tetap milikmu selamanya”. Bisik hati Diah sambil memejamkan matanya rapat-rapat , membayangkan wajah Raziq , lelaki yang sudah hancur jasadnya namun cintanya masih bertahta di hati.
Sepuluh minit telah berlalu , masing-masing masih membatukan diri , pura-pura tidur. Baik Diah mahupun Zuraimie tidak berani memulakan langkah.
“Malam ini atau tidak selamanya!”. Akhirnya Zuraimie sudah tidak mampu bersabar lagi.
Setelah berperang dengan perasaannya sendiri  , Zuraimie akhirnya memberanikan diri mengambil langkah pertama. Dia mendekatkan tubuhnya sehingga bersentuhan dengan tubuh isterinya.  Diah diam , masih berpura-pura tidur. Walhal sebenarnya hatinya berdebar kencang. Debaran hatinya menjadi semakin kencang apabila tangan Zuraimie mula membelai rambutnya yang panjang mengurai  , rambut itu diusap lembut , dicium dan dibelai mesra ... Diah semakin tidak keruan jadinya. Debaran hatinya sudah tidak terkawal lagi , “Dup! Dap! Dup! Dap! Dup! Dap!” ... cemas ... situasi ini cukup mencemaskan!. 
Tubuhnya menggigil kuat hingga dapat dikesan dan dirasai oleh Zuraimie. Tergamam Zuraimie seketika.  Keadaan Diah yang bagaikan trauma itu  benar-benar menyentuh hati dan perasaannya sehinggakan  timbul rasa berbelah bagi di hati.
“Hmm ...  patutkah aku teruskan?”. Zuraimie dalam dilemma.
Sekonyong-konyong dan entah dari mana Zuraimie bagaikan terdengar satu suara berbisik di telinganya , “Jika tidak sekarang bila lagi?! ... Ya! , jika tidak sekarang , bila lagi?!. Teruskan! Teruskan!!”. Hakikatnya itu adalah suara hatinya sendiri yang telah terlalu lama terpendam.
Keputusannya telah bulat , misi ini harus diteruskan hingga berjaya. Diah bertahan ... dan terus bertahan. Dia cuba merelakan segalanya namun ... entah mengapa tiba-tiba perasaan benci mula menyelubungi hati dan perasaannya. Benci diperlakukan begitu!. Mahu saja  tangan yang mula meliar itu ditepisnya , tidak cukup dengan itu , ingin sekali  rasanya muka lelaki ini ditempeleng sekuat-kuat  hati!.
“Biar dia sedar! Biar dia tahu siapa dirinya!”. Fikir Diah.
 Namun kewarasan fikirannya menghalang Diah daripada berbuat demikian. Diah sedar , Zuraimie adalah suaminya. Suaminya yang sah. Suami yang sangat mencintainya , seorang suami yang telah lama dinafikan haknya.
Diah tidak pernah menyangka begitu besar cinta Zuraimie kepadanya hingga sanggup bersabar dengan kerenah dan kebiadapannya selama ini namun Diah juga tidak mampu menahan perasaan yang bergejolak di sanubarinya kini. Diah rasa benci!. Benci dengan hakikat yang harus diterimanya kini. Benci kerana terpaksa menyerah!. Benci ... benci dan terus benci!. Perasaan benci kini meluap-luap dan tidak dapat dibendung lagi!. Belum sempat  Zuraimie berbuat lebih jauh , tanpa sedar Diah tiba-tiba bangun dan tanpa sebarang kata terus pergi meninggalkan Zuraimie termangu sendirian.
Tindakan nekad Diah itu bagai halilintar menyambar dan merentap jantung hati Zuraimie. Begitu terhina rasanya diperlakukan begitu oleh isteri sendiri ...
“Aaaaaarrrrrrggghhhhhh!!!!”. Jerit Zuraimie. Perasaannya benar-benar terguris dengan tindakan Diah.
“Mengapa?!! Mengapa?!! Mengapa?!!”. Zuraimie bingkas bangun , berjalan laju mengejar Diah dari belakang. Melihat Diah berlari anak menuruni tangga menuju ke ruang tamu , Zuraimie segera berlari mendapatkannya. Setelah hampir ,  tangan Diah disambar dari belakang. Diah terhenti. Badannya dipusing kasar oleh Zuraimie. Mereka berhadapan  , belumpun sempat Diah mampu berbuat apa-apa , Zuraimie telah menggenggam kuat kedua lengan Diah. Matanya tajam memandang , api kemarahan terpancar jelas dari kedua mata itu. Diah gugup , takut , kecut perut melihat riak wajah Zuraimie yang kelihatan sangat bengis. Marahnya menggila ... Ya! Zuraimie benar-benar sedang marah sekarang ini!!.
“Mengapa?!!!. Mengapa?!!!”. Tanya Zuraimie sambil menggoncang tubuh Diah. Diah tergamam , tidak mampu menjawab. Juga tidak berani menentang wajah bengis itu.  Diam Diah membawa padah. Diam Diah itu bagai dedaun kering yang memarakkan lagi api kemarahan yang semakin membesar di benak hati Zuraimie. Lelaki ini sudah benar-benar marah , kewarasannya kian punah.
“Heiii perempuan , bukankah aku ini suamimu yang sah?
Mengapa tidak kau menyerah padaku? Apa?. Hina sangatkah aku ini???
Jawab!!! Mengapa diam?! Jawab!!!”. Jerit Zuraimie sekuat hati. Genggaman tangannya juga semakin kuat. Diah kesakitan dan cuba meronta melepaskan dirinya.
“Lepas! lepaskanlah! Sakitlah!!”. Jerit Diah.
“Apa? Lepaskan?!!”. Sepantas kilat tubuh Diah diangkat lalu digendong dengan paksa!.

Terlajak perahu boleh diundur ...
Zuraimie tergamam ... “Arghhh!!. Apa yang telah aku buat ?!”. Fikirnya setelah kembali sedar.  Tangannya menggigil mengesat air mata yang mengalir di pipi putih mulus Diah. Rasa bersalah menikam kalbu ...
“Diah , maafkan abang. Maafkan abang!”. Tubuh Diah dirangkul kuat dan mereka sama-sama menangis!.
Semenjak kejadian malam itu , Zuraimie cukup berhati-hati atas setiap tindakannya. Dia mencuba sedaya upaya untuk menceriakan Diah. Mungkin mahu menebus onar yang dilakukan terhadap Diah. Diah pula menjadi semakin pendiam. Bingung memikirkan arah hidupnya. Memikirkan hubungannya dengan Zuraimie , memikir dan melayan rindunya terhadap Raziq.
“Kan baik kalau aku dapat turuti  jejak langkah Raziq , tinggalkan saja dunia yang fana ini buat selamanya. Huhhh! Tapi berbaloikah?. Aku masih belum sempat memberitahu Raziq akan ayahnya yang sebenar. Kalau aku mengalah sekarang , siapa yang akan memberitahunya nanti?. Huh! Sampai matipun dia tidak akan tahu!!”. Diah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“ Ah! Raziq , ibu rindukan kamu.Apa khabar agaknya anak ibu? Sudah pandai apa agaknya anak ibu sekarang. Sudah pandai panggil ayah ibu?. Iskh! Iskh!    Iskhhh!!”. Diah menangis tersedu-sedu apabila mengenangkan yang anaknya itu mungkin sudah tidak mengenalinya lagi.
Zuraimie yang sedari tadi memerhati tiap gerak laku Diah datang menghampirinya lalu memeluknya. Sungguhpun Diah tidak pernah berkongsi kesedihan dengannya namun dia dapat mengagak kerinduan yang ditanggung oleh isterinya ini.
“Maafkan abang sayang kerana tidak dapat memenuhi keinginanmu sekarang sayang. Abang tak sanggup menjadi anak derhaka. Bukan buat masa ini tapi abang janji apabila marah emak semakin reda , abang akan cuba berbincang semula dengannya”. Keluhnya sendiri , kesal kerana terpaksa mengecewakan isteri tercinta.
“Nangislah ... nangislah sayang , biar abang menjadi tempat sayang mencurahkan kesedihan ini”. Pujuknya.
“Diah , selain daripada membawa anak kita ke mari , apa yang boleh abang lakukan untuk buat Diah kembali gembira?. Cakaplah , abang akan cuba tunaikan sedaya mungkin”. Janji Zuraimie.
Mendengar kata-kata suaminya itu , Diah segera mengangkat kepala. Wajah suaminya itu dipandang penuh sangsi. Zuraimie mengangguk.
“Ya , katakanlah sayang. Abang akan cuba tunaikan”. Zuraimie menggalakkan.
Setelah berdiam seketika....
“Abang , dalam hidup Diah kini hanya ada satu  hajat sahaja dan itupun sudah abang ketahui. Dialah kekuatan Diah untuk teruskan kehidupan ini. Satu-satunya sebab untuk Diah terus bertahan. Jika itupun tidak dapat abang tunaikan , tak payahlah abang bersusah payah untuk perkara yang lain. Diah hanya mahukan anak Diah. Tiada hajat lain”. Diah berkata tegas.
 “Diahhh ... maafkan abang. Abang tidak mampu menunaikannya sekarang. Sabarlah sayang  , abang akan usahakan juga. Maafkan abang  kerana sikap ibu abang , Diah terpaksa mengharungi semua ini”. Zuraimie menguatkan pelukannya , dia benar-benar kesal kerana tidak mampu menunaikan impian isterinya yang satu itu. Diah diam membatukan diri ...  begitulah hari-hari yang seterusnya , Diah terus diam , murung dan suka mematikan diri setiap kali diajak berbicara.

Rawatan Doktor
“Rawatan doktor?. Abang , kenapa nak dapatkan rawatan doktor?. Diah tak sakit! Diah tak sakit bang! Diah sihat!!” Diah menolak kata-kata Zuraimie dengan keras. Zuraimie yang risaukan keadaan Diah yang kelihatan amat tertekan dan murung bercadang untuk membawa Diah mendapatkan rawatan yang sesuai.
“Syuuttt ... syyuutttt ... tak apa Diah. Kalau Diah tak mahu jumpa doktor tak apa cuma Diah kena dengar cakap abang. Dengar cakap abang ya.  Kita mulakan hidup baru. Nanti bila keadaan dah selesa dan Diah sudah betul-betul sihat , kita ambil balik Raziq ya. Kita ambil anak kita kembali dan sama-sama besarkan dia di sini ya!”.  Raziq cuba menenangkan Diah.
“Bohong!. Abang tak usahlah nak bermanis mulut. Bukan Diah tidak tahu yang abang itu takutkan ibu abang. Mampukah abang menentang kehendaknya. Mungkin sampai matipun Diah takkan dapat kembali anak Diah itu!”. Balas Diah , memandang Zuraimie dengan pandangan yang amat sinis.

Antara Realiti dan Fantasi
Setelah puas bercerita dan meluahkan segala isihatinya kepada Ziah barulah Diah merasa tenang ... “Terima kasih Ziah kerana sudi menziarahiku , menemani aku ... bercerita , bertegang leher , ketawa bersama , makan dan makan . Heee...”. Kata Doah sambil tersenyum manis.
“Hmm ... itulah gunanya kawankan”. Balas Ziah sambil bermanis muka di hadapan Diah namun tanpa Diah sedari Ziah sudah mengesan sesuatu yang tidak kena tentang cerita Diah ... “Aku harus pastikan!”. Tekadnya.
            Malam itu mereka makan malam bersama , Diah , Ziah dan Zuraimie. Tak banyak yang mereka bualkan , sekadar berbasa basi sahaja. Selesai makan malam , Diah segera meminta diri daripada Ziah , “Ziah , aku masuk tidur dulu ye. Penat sangatlah melepak petang tadi”. Katanya sambil tersengih memandang Ziah.
“Oh okey ... aku ingat nak rehat-rehat dulu baru tidur. Kau tidur dulu ye. Jangan lupa baca doa tidur”. Balas Ziah.
“Hei! Ingat aku budak-budak lagi ke?. Siap nak ingatkan bagai!!”. Jawab Diah sambil mencubit lengan Ziah.
“Adoii! Sakitlah!!!”. Jerit Ziah dan mereka sama-sama ketawa.

Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya oleh Ziah , Ziah mengajak Zuraimie berbincang.
“Apa yang mahu kau bincangkan?’ Tanya Zuraimie.
“Tentang Diah”. Jawab Ziah  ringkas sambil memandang Zuraimie dengan serius.
“Diah ... aku dah agak”. Balas Zuraimie.
“Tanyalah , aku sedia menjawabnya”. Balas Zuraimie.
Maka Ziah meluahkan segala yang terbuku di hatinya , persoalan dan kemusyikilan yang mengganggu fikirannya.
 “Aku tak boleh terima layanan yang kalian berikan kepada Diah. Mengapa keluarga kau begitu kejam kepadanya?. Mengapa kau orang tergamak pisahkan kasih ibu-anak?. Kenapa mesti kau biarkan hidupnya terseksa begini?”. Tanya Ziah , memandang wajah Zuraimie dengan pandangan yang tajam. Ziah sudah nekad mahu membantu dan melepaskan Diah dari terus dibelenggu kesedihan yang berpanjangan.
“Tidak Ziah , aku tidak membiarkan Diah hidup dalam kesedihan. Setiap saat dan detik nadiku berdenyut aku sentiasa memikirkan kebahagiaannya”. Zuraimie menafikan.
“Memikirkan kebahagiaannya?. Kebahagiaan yang bagaimana yang ingin kau berikan padanya?. Bahagiakah namanya jika haknya sebagai ibu dinafikan?. Bahagiakah itu namanya?”. Ziah terus mempersoalkan.
“Tidak Ziah , kau tidak faham duduk perkara yang sebenarnya”. Keluh Zuraimie.
“Baiklah. Aku memang tidak faham. Sekarang kau terangkan kepadaku sehingga aku faham”. Ziah berkata sambil berpeluk tubuh. Dia sudah tidak tahan dengan sikap ‘defensive’ Zuraimie.
“Ziah , Diah itu sebenarnya sakit!”. Zuraimie berkata perlahan , tidak mahu Diah terdengar kata-katanya itu.
“Maksud kau?”. Ziah tidak faham.
“Masalah jiwa. Jiwanya kacau , tertekan. Dia itu sedang murung sekarang. Apa-apa saja perkara di luar jangkaan kita boleh dilakukannya. Sebab itulah aku terpaksa mengasingkan dia di sini”. Terang Zuraimie.
“Maksud kau ... Diah tuuu ... errr ... ada masalah jiwa? Sakit mental?” Tanya Ziah teragak-agak. Khuatir kata-katanya itu akan mengguris hati.
“Tidak! Bukan sakit mental tapi tertekan , murung. Kau pernah dengar tentang ‘depression’ yang sering dialami oleh perempuan yang baru bersalin?”. Tanya Zuraimie.
 “Ya , pernah. Eh , tapi teruk sangatkah keadaan dia?. Tapi  aku tengok dia macam okey , Cuma nampak seperti terlalu kecewa ...”. Ziah sukar untuk mempercayai yang sahabat baiknya itu mengalami masalah jiwa.
“Mungkinkah Zuraimie hanya mereka cerita untuk menjustifikasikan tindakannya dan keluarganya menyiksa Diah?”. Fikirnya sendiri.
“Hmm ... sehari kau jumpa dia memanglah nampak macam okey tapi cuba kau terus tinggal bersama-samanya , kau akan faham apa yang aku maksudkan. Tapi kau janganlah risau , semua itu tidak pernah mengurangkan cintaku padanya. Aku tetap mencintai dia seperti dulu. Aku yakin dengan kasih sayang aku kepadanya dan tentunya dengan izin Allah yang Maha berkuasa , Diah akan pulih. Lagipun dua minggu sekali aku akan bawa dia berjumpa dengan doktor psikiatri. Aku harap cara aku ini cukup untuk memulihkan emosinya. Diah tu bukannya gila cuma emosinya terganggu teruk dengan bermacam peristiwa yang berlaku kepadanya”. Terang Zuraimie dengan panjang lebar.
“Oooo ... tapi kenapa kau orang pisahkan dia daripada anaknya Raziq? Aku rasa tindakan kau orang tu tak betullah sebab perpisahan itulah yang  menyebabkan Diah lebih tertekan. Kenapa kau tak bawa je Raziq tu tinggal di sini?. Tentu Diah akan gembira dan pastinya dapat menghilangkan kemurungannya itu” Tanya Ziah , cukup memahami keinginan Diah.
“Huhh ... bukan aku tak nak bawa Raziq tu tinggal di sini. Terus terang aku katakan yang aku sendiri dah sayang sangat dengan budak tu. Dah macam darah daging aku sendiri”. Keluh Zuraimie.
“Habis tu?. Apa yang menjadi penghalangnya?. Mak kau?!”. Ziah serkap jarang. Marah betul dia dengan sikap tak berhati perut perempuan tua itu.
“Mak aku?. Ini mesti kau dah terpengaruh dengan prasangka Diah terhadap mak aku. Ziah , kalau bukan kerana mak aku tu , tak tahulah apa yang telah terjadi kepada Raziq. Mak aku lah yang mengasuhnya dengan penuh kasih sayang sepanjang keadaan emosi Diah menjadi tidak stabil. Dan kalau kau nak tahu , mak aku tu tak tahupun yang Raziq tu bukan darah daging aku. Dia memang sangka yang Raziq tu cucu dia yang sebenar!”. Zuraimie agak tersinggung apabila kebaikan dan jasa ibunya dipertikaikan.
“Itu aku tahu , memang mak kau sangka Raziq tu cucu dia yang sebenarnya sebab itulah dia nakkan budak itu. Aku minta maaflah  kalau kau tersinggung  tapi ...  kenapa dia nak halang Diah daripada berjumpa dengan anaknya sendiri? . Kalau kau nak tahu , disebabkan tak dapat berjumpa dengan anaknya itulah  Diah ada terfikir nak bagitahu hal yang sebenarnya pada mak kau. Diah nak bagitahu mak kau yang Raziq itu bukan anak dia dengan kau tapi dengan Raziq , kekasihnya dulu. Diah fikir hanya dengan cara itu dia akan dapat semula anaknya itu” beritahu Ziah.
“Betul?. Huhhh! Kalau lah itu sampai terjadi , tentu keadaan menjadi lebih rumit”. Zuraimie mula risau. Risau jika ibunya mendapat tahu yang Raziq itu bukan cucu sebenarnya. Tentu patah hati ibu tua itu kerana sayangnya pada Raziq sudah tidak berbelah bagi. Raziq dijaganya bagai menatang minyak yang penuh.
“Hmmm ... kau tak jawab pertanyaan aku lagi. Kenapa Diah dipisahkan daripada anaknya?” . Ziah mengulangi pertanyaannya.
“Ziah , semua itu demi kebaikan Raziq!”. Jawab Zuraimie tegas.
“Demi kebaikan Raziq? Mana mungkin berpisah dengan ibu kandung , tidak dapat menikmati susu dan belaian ibu kandung itu dianggap ‘demi kebaikan’? Aku tak faham , betul-betul tak faham!”. Bantah Ziah.
“Kalaulah kau tahu apa yang telah kami semua harungi setelah aku menikahi Diah ...” . Keluh Zuraimie.
“Ya, buatlah aku faham. Ceritakan pada ku apa yang berlaku. Kau pun tahu yang Diah tu sudah ku angkat sebagai adik sendiri. Gembira dia , gembiralah aku. Duka dia , dukalah aku”. Ziah mendesak untuk mengetahui  perkara yang sebenarnya. Tidak disangkanya terlalu banyak penderitaan yang harus ditanggung oleh Diah mahupun Zuraimie sendiri.
“Baiklah ... biar aku ceritakan” Zuraimie mengalah.
“Setelah habis pantang iaitu cukup 60 hari Diah melahirkan Raziq , kami bernikah. Aku telah mengenepikan tentangan keluargaku sendiri. Masa tu aku terlalu banyak mengguris hati ibuku tapi demi cinta ku pada Diah , demi cinta ini aku tetap memilih Diah. Suka atau tidak ,  keluargaku terpaksa menerima keputusan yang telah ku buat. Mereka tiada pilihan. Kami bernikah dalam satu majlis yang amat sederhana kerana semua persiapan dibuat agak tergesa-gesa. Lagipun memang tiada siapa yang boleh kujemput. Kedua orang tuaku menghalang aku dari menyebarkan berita pernikahan kami. Mereka malu bermenantukan  Diah. Tapi itu semua tak menjadi kudis pun buat aku. Namun aku tidak pernah menyalahkan kedua orang tuaku kerana ternyata rasa malu mereka itu  berasas. Entah macam mana , berita pernikahan kami sampai juga ke pengetahuan jiran tetangga. Bermacam kata tohmahan yang diterima oleh keluarga aku hinggakan mak aku tidak lagi sanggup  berjemaah di surau atau  menghadiri mesyuarat penduduk setempat. Dia sampaikan meletakkan jawatannya sebagai pengerusi wanita penduduk. Jiran tetangga memandang hina kami sekeluarga kerana sudi mengambil perempuan yang telah rosak akhlaknya sebagai menantu keluarga”. Terang Zuraimie. Masih jelas dalam ingatan Zuraimie bagaimana malu dan merahnya wajah ibunya apabila ada yang bertanyakan tentang Dah dan Raziq.
“Eh kak Cha , dengar kata menantu kak Cha  tu dah beranak satu. Betul ke?”. Tanya Puan Salina kepada Puan Sarah yang lebih mesra dengan panggilan kak Cha. Puan Salina itu  memang terkenal dengan mulutnya yang  celupar.                                                                                                     “Huh?!. Tak ada salahnya kita bermenantukan perempuan yang dah beranak satu. Sekurang-kurangnya kita dapat memberikan perlindungan pada golongan ini. Mereka dah tentu perlukan dahan untuk berpaut”.  Jawab Puan Sarah ,  cuba menutup pekong di dada.
“Hmm ... kalau itu tujuannya baguslah. Tapi manantu akak tu , janda beranak satu ke atau ... errrr”. Puan Salina sengaja memuncungkan mulutnya sambil menjeling tajam ke arah Puan Sarah.
Puan Sarah menjadi serba salah apabila ditanya begitu. Lebih-lebih lagi di hadapan ahli kariah masjid yang lain. Tidak pasti apa yang patut dijawabnya. Akhirnya tanpa memberikan sebarang jawapan  , Puan Sarah terus meminta diri.
“Ha tengok. Betullah tu yang menantu dia tu perempuan tak baik!”. Kata Puan Salina dengan lantang.
“Hisshh kau ni Sali , tak baik menghukum orang begitu. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Takkan kau lupa yang Allah itu Maha Pengampun?”. Tegur ahli kariah yang lain. Puan Salina hanya mencebikkan bibirnya yang sememangnya tebal.
 Zuraimie yang kebetulan berada tidak jauh dari situ tersentuh hatinya melihat ibu tersayang menanggung malu gara-gara  tindakannya menikahi Diah. Dia segera berlari mendapatkan ibunya.
“Mak ...”. Panggilnya dari belakang.
“Sudah. Mari kita balik!”. Jawab ibunya. Bengang. Wajah Puan Sarah masam mencuka.
Di dalam kereta , ibunya menceritakan peristiwa yang terjadi.
“Kau tengoklah mie , inilah balasan yang kau berikan pada mak. Malu mak mie ! Malu!! Tak tahu kat mana nak disorokkan muka ni!”. Puan Zainab agak beremosi ketika itu. Perasaan malunya sungguh menebal. Mungkin lebih tebal dari tembok China!.
“Mak , maafkanlah mie. Mie tak ada pilihan lain. Takkanlah mie nak biarkan Diah tanggung semua ini sendiri. Mie betul-betul minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Maafkanlah mie mak!”. Zuraimie benar-benar kesal apabila ibu yang sangat disayanginya itu terpaksa mengharungi semua ini.
Sesampai sahaja  mereka di rumah , Puan Zainab terus masuk ke dalam biliknya. Diah yang menyambut mereka di muka pintu langsung tidak disapa. Mujur Zuraimie segera bertindak , mengalihkan perhatian Diah kepada perkara lain.
“Eh sayang , mana anak kita?”. Tanya Zuraimie.
“Hmm ... dia tidur. Lena dia tidur. Tak bangun-bangun. Tak berbunyi langsung”. Jawab Diah sambil tersenyum.
“Ya?. Sampai macam tu sekali?”. Zuraimie berkata sambil merangkul pinggang Diah.
“Hmmhhrrr ...”. Diah bersuara perlahan sambil menolak tangan Zuraimie. Zuraimie akur.
Mereka beriringan masuk ke bilik untuk melihat baby Raziq yang sedang lena. Sesampai sahaja di muka pintu , Zuraimie sangat terkejut dan menjerit.
“Ya Allah Diah ... apa yang dah Diah buat ni?!!!” . Jeritnya.
Jeritannya cukup kuat untuk menarik perhatian Puan Zainab. Sungguhpun hatinya masih jengkel dengan apa yang terjadi , sifat keibuannya mengatasi segalanya. Puan Zainab meluru dari biliknya mendapatkan Zuraimie dan Diah. Diah masih tercegat di muka pintu bilik.
“Mie , apa yang dah terjadi ni?. Kenapa kau menjerit macam orang nampak hantu?”. Tanyanya cemas.
“Mak ... entahlah. Cari Raziq mak. Cari Raziq!”. Jawab Zuraimie cemas. Mendengar kata-kata Zuraimie , Puan Zainab segera melihat ke dalam  bilik tidur anaknya itu.
“Ya Allah!”. Berderau darahnya melihat kain baju , selimut dan bantal bersepah dan bertindan-tindan di sana sini. Cadar katil sudah jatuh ke lantai. Puan Zainab menjadi lebih cemas apabila melihat katil baby Raziq dipenuhi kain baju!.
“Mie! Cepat mie. Alihkan kain baju ni!!”. Tangannya segera mengalihkan kain baju yang berada di situ. Hatinya berdebar kencang.
“Ya Allah ... selamatkanlah cucuku ini. Aku berjanji ya Allah akan menerima dan mengasihinya dengan sepenuh hati. Ya Allah selamatkanlah cucuku!”. Doanya di dalam hati.
Air matanya bercucuran ,“Ya Allah ... selamatkanlah cucuku!”. Jeritnya lagi bagai orang  yang diserang histeria. Namun sebaik sahaja semua kain baju sudah dialihkan dari katil bayi itu , Puan Sarah mengurut dada. “Ya Allah Diah , kenapa buat macam ni?. Raziq mana?”. Puan Sarah bertanya sambil mengurut-ngurut dadanya. Syukur Raziq tiada di katil bayi itu.
“Mie ... Raziq tiada di sini”. Katanya kepada Zuraimie.
“Habis tu mana Raziq mak?”. Tanya Zuraimie , cemas.
“Aa ... mana cucu aku?. Diah , mana cucu mak nak?. Diah , Raziq mana? Mana Raziq Diah?”. Puan Sarah menggoncang-goncang tangan Diah. Diah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya seperti orang yang sedang kebingungan.
“Diah , mana anak kita sayang?. Diah letak Raziq di mana tadi?”. Tanya Zuraimie dengan lembut. Sengaja rambut Diah yang panjang mengurai itu dielus-elus.
“Aa.. abang , Diah tak tahu. Sumpah Diah tak tahu”. Kata Diah perlahan . Dia sendiri bingung melihatkan keadaan biliknya yang bersepah. Dia sendiri cemas memikirkan di mana Raziq.
Zuraimie sudah tidak tentu arah , sekejap berlari ke sana , sekejap berlari ke sini. Sudah berkali-kali dia membuka almari pakaian , memeriksa bilik air sehinggalah akhirnya tergerak hatinya untuk membuka ‘Sliding door’ menuju ke veranda bilik tidurnya.
Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati Raziq diletakkan di bawah sinaran matahari yang sedang terik memancar.
“Ya Allah , anak aku!”. Sepantas kilat dia mendapatkan Raziq lalu digendungnya bayi kecil yang sudah tidak bermaya itu. Puan Sarah menjadi sangat cemas melihatkan wajah comel itu sudah kemerah-merahan. Kulitnya juga terasa panas akibat dijemur terlalu lama. Raziq langsung tidak menangis semasa diangkat , matanya juga terpejam rapat. Zuraimie dan Puan Sarah menjadi sangat cemas. Mujur pada ketika itu doktor Anisah ada di rumah untuk memberikan bantuan awal. Zuraimie pula segera menelepon ambulan. Ditakdirkan Allah belumpun sempat ambulan sampai , baby Raziq tiba-tiba tersedak dan mula menangis.
Tangisan itu membawa rasa syukur dan kegembiraan yang amat sangat di hati semua.
“Alhamdulillah!”. Puan Zainab mengucap syukur lalu terus menggendung Raziq. Diah yang ada di situ terpinga-pinga dan cuba menghampiri bayinya.
“Mie , mak rasa untuk sementara ini biar mak saja yang jaga Raziq. Kau tengok-tengokkan isteri kau tu. Syukur kita cepat balik , kalau tidak ... Ya Allah , inilah hikmah kata nista yang ku terima di majlis tadi. Kerana kata nista itulah cucuku ini dapatku selamatkan. Syukur aku padaMu Ya Allah!!” Puan Sarah menyatakan syukurnya dengan linangan air mata.
Kata-kata ibunya membuatkan Zuraimie tersentak. Zuraimie hampir terlupa akan kehadiran Diah. Matanya segera mencari Diah.
“Ahhh ... Diah. Diah apa yang telah kau buat?”. Fikirnya di dalam hati. Matanya menangkap sesusuk tubuh yang terperosok di penjuru bilik. Menutup muka dengan bahu yang terhenjut-henjut menahan tangis.
“Diahhh ...”.  Zuraimie segera mendapatkan Diah. Dipeluk perempuan itu dengan penuh kasih sayang. Hatinya menjadi sayu dan resah. Dia memang sedar isterinya itu mengalami kemurungan selepas bersalin namun dia tidak menyangka seteruk ini. “Diah, apa dah jadi pada kau sayang?”. Bisik hatinya. Diah bingung ...
Sejak hari itu , Raziq dijaga oleh Puan Sarah sepenuhnya. Diah hanya dibenarkan menjenguk Raziq sekali sekala. Tambahan pula keadaan kesihatan Diah yang semakin teruk. Batuk , demam yang tidak kebah-kebah. Ditambah dengan emosinya yang tidak stabil. Tiada siapa sangka emosinya telah terganggu teruk akibat pelbagai peristiwa pahit yang telah dilaluinya. Diah hidup di alamnya sendiri. Kekadang Diah masih membayangkan yang Raziq kekasihnya dulu masih hidup. Diah juga mencipta dunia dukanya , dipaksa kahwin dan dianiaya oleh mertuanya sendiri. Ada kalanya Diah menyangka yang dia masih seperti dulu-dulu ... gadis universiti yang periang dan diminati ramai. Fikirannya tidak menentu. Dia tidak dapat  memetakan peristiwa demi  peristiwa yang telah berlaku. Malah kekadang Diah lupa akan kehadiran baby Raziq atau suaminya sendiri , Zuraimie.

...  tak sangguplah nak hantar dia ke hospital ...
“Mie , akak rasa kau patut dapatkan rawatan untuk isteri kau tu. Takut penyakitnya tu akan menjadi semakin parah” Doktor Anisah menyatakan cadangannya.
“Ya kak , mie pun ada terfikir semua itu. Tapi rasa tak sangguplah nak hantar dia ke hospital sakit jiwa. Nanti apa pula orang kata”.  Jawab Zuraimie jujur.
“Orang kata?. Eh mie , kau tak sedarkah dah merata-rata orang mengata?”. Marah doKtor Anisah mendengar alasan Zuraimie.
“Apa kau dah lupa masa isteri kau tu berjalan tak tentu arah sambil mendukung anak patung? Atau kau dah lupa masa dia berlari telanjang bulat keliling rumah?!”. Tanya doktor Anisah bertubi-tubi. Zuraimie diam , pahit benar baginya untuk menelan semua itu.
“Tak perlulah kau nak malu lagi Mie , semua orang sudah tahu yang isteri kau tu sakit. Kau bawa sajalah dia untuk menerima rawatan. Akak takut sakitnya kelak akan bertambah teruk. Orang sakit seperti ini tindakannya sukar diramal. Bila datang gilanya , membunuh pun boleh!”. Nasihat doktor Anisah.
“Akak!!”. Tidak sanggup lagi Zuraimie mendengar kata-kata kakaknya itu.
“Maafkan akak Mie tapi itulah hakikatnya. Kau harus belajar menerimanya. Berpijak di bumi nyata!”. Balas doktor Anisah.
“Mie tahu kak tapi mie berat hati sangat nak hantar Diah ke sana. Mie kesian sangat tengok dia. Mie tak mampu nak berpisah dengannya. Tidak dalam keadaannya sekarang ni”. Zuraimie menyatakan rasa hatinya yang sebenar.
“Habis , kau nak kurung dia dalam bilik je? Kau kena ingat , perbuatan kau itu tak langsung membantu Diah untuk sembuh. Kau nak kasi dia tambah gila bolehlah!”. Tempelak doktor Anisah.
“Huhhhh...apa cadangan akak?”. Zuraimie mengalah.
“Hmmm....”. Setelah lama berfikir.
“Macam ni lah, sekurang-kurangnya kau hantar saje isteri kau tu untuk dapatkan sesi kaunseling daripada pakar psikiatri. Akak ada kawan . Nanti akak inform dia”. Cadang doktor Anisah.
“Errr...ya lah kak. Saya menurut saja”. Zuraimie terpaksa menerima hakikat bahawa isteri kesayangannya itu kini sedang sakit dan perlu dirawat dan demi membantu proses penyembuhannya , Zuraimie membawa Diah keluar dari rumah kedua ibubapanya. Mungkin sikap dingin yang awalnya ditunjukkan oleh kedua ibubapanya adalah pencetus kepada Diah maka dia harus memisahkan Diah dari situasi itu.

“Itulah sebabnya mengapa aku tak bawa Raziq tinggal bersama kami”. Zuraimie menutup ceritanya.
“Ya Allah , kasihannya Diah ...” . Sedih benar Ziah mendengar keadaan Diah yang sebenarnya. Sukar untuknya mempercayai cerita Zuraimie itu. Diah , seorang gadis yang sangat periang dan popular , kini dikatakan sakit jiwa!.
“Tapi ada lagi perkara lain yang ingin aku tanyakan”. Kata Ziah  ... bersambung...



Orang Gila?

Oh! Ramai sungguh yang mengata
Ramai yang hanya pandai berkata
Apa mereka begitu mudah lupa?
Nasib dan takdir diri ditentu siapa?
Gila?. Patutkah dipandang hina?

Gila?
Itu dari persepsi siapa?
Lalu kenapa kalau ada yang gila?
Apa kaukah yang menanggung derita?

Orang gila jangan dihina
Mungkin mereka lebih mulia
Tiap lakunya tiada dosa

 











No comments:

Post a Comment