Popular Posts

Friday 1 August 2014

"Keranamu DIAH" - BAB 27

BAB 27 :       PUKULAN HEBAT

Tinggal berdua
            Bermulalah kisah  baru buat Diah , hidup berdua bersama lelaki yang bergelar suami, berdikari jauh dari kedua orang tua masing-masing. Bahagia atau derita , semua tertakluk atas usaha tangan sendiri , tentunya dengan restu dari Ilahi.  Selepas malam kejadian Diah dikerjakan oleh ibunya Puan Sarah , Zuraimie membawa Diah keluar dari rumah agam kedua ibubapanya itu , menginap di Hotel Equatorial Bangi selama beberapa hari sebelum akhirnya berpindah ke rumahnya sendiri.
            Kebetulan , rumah banglo  dua tingkat yang dibeli oleh Zuraimie daripada pemilik asalnya sudah boleh dimasuki. Rumah itu juga sudah siap diubahsuai mengikut selera dan cita rasa Zuraimie. Pada asalnya , Zuraimie berniat untuk membuat kejutan kepada Diah namun setelah apa yang terjadi maka terpaksalah  niatnya itu dibatalkan. Kini mereka sama-sama menjejakkan kaki ke rumah milik mereka sendiri.
“Diah , masuklah. Inilah saja yang mampu abang sediakan untuk Diah”. Kata Zuraimie merendah diri. Diah memandang sekeliling , berpusing-pusing seketika.
“Abang , rumah ini terlalu besar untuk kita berdua”. Jawab Diah , tiada senyuman yang menguntum indah di bibirnya. Bagaimana mungkin Diah mampu tersenyum bahagia sedangkan hatinya terpaut kuat pada Raziq , anaknya yang kini semakin jauh di mata.
“Ya. Besar untuk masa ini. Tapi nanti bila kita sudah ada anak-anak kita sendiri , tentu rumah ini sudah tidak begitu besar lagikan?”. Balas Zuraimie.
            Demi mendengar saja Zuraimie membangkitkan soal anak , air muka Diah tiba-tiba berubah. “Anak yang sorang itupun tidak dapat kubela , inikan pula mahu beranak lain!. Mahu saja semuanya diangkut ke rumah agam itu juga!!”. Protes hati kecilnya.Kecelaruan hatinya jelas tergambar di riak wajahnya hinggakan bibirnya diketap kuat dan dahinya berkerut hingga hampir tercantum dua keningnya.
“Lagi pula , siapa yang mahu melahirkan anak buatmu?!”. Tingkah hatinya lagi. Cerlung mata Diah memandang wajah Zuraimie.
“Oh! Maafkan abang sayang. Sudahlah , janganlah begini”. Pujuk Zuraimie , faham dengan bebanan perasaan isterinya yang terlalu rindukan Raziq , anaknya yang terpaksa ditinggalkan di rumah ibubapanya.
“Ibu mana yang dengan rela sanggup melepaskan anaknya begitu saja. Maafkan abang sayang”. Kata hati Zuraimie.
“Bila abang nak bawa Raziq ke sini?”. Tanya Diah , penuh harap.
Zuraimie terdiam mendengar pertanyaan Diah. “Apa yang harus aku katakan padanya?”. Fikirnya.
“Abang , hari tu masa kita keluar dari rumah mak , abang sudah berjanji yang kita akan datang balik untuk ambil Raziq. Abang kata tunggu sampai Diah sihat. Sekarang Diah sudah sihat. Kenapa tak kita ambil terus Raziq , tinggal bersama kita di sini?. Tentu lebih seronok. Tidaklah Diah kesunyian bila abang ke pejabat. Tolonglah abang , Diah dah rindu sangat padanya”.Rayu Diah , memaut dan menggoncang-goncang tangan Zuraimie.
“Ah! Diah. Begini sayang , bukan abang tak mahu ambil Raziq tapi semalam masa abang pulang dari pejabat , abang  singgah sekejap ke rumah mak. Abangpun sebenarnya rindukan Raziq. Tapi masa abang sampai di sana , kak Anisah ada beritahu abang yang mak tidak berapa sihat. Darah tingginya  naik tiba-tiba. Kak Anisah pesan supaya kita jangan tambahkan lagi kerisauan mak. Diah pun tahukan yang mak tu terlampau sayangkan Raziq. Abang takut kalau kita ambil Raziq sekarang , kesihatan mak akan terjejas teruk. Lagipun semua yang berlaku ini sudah cukup memberikan tekanan  pada mak. Diah ... sabar ya sayang. Tolong faham ... abang janji , bila keadaan semakin baik , kita akan ambil dan bawa Raziq ke sini. Boleh ya sayang?”. Zuraimie cuba memujuk dan memberi alasan yang difikir munasabah , dia terpaksa membohongi isterinya kerana tidak mahu terus-terusan melukakan hati ibunya itu.
“Sudahlah hajatnya untuk bermenantukan Hidayah telah tidak aku tunaikan ... kini , masakan tega aku memisahkannya dengan cucu kesayangannya pula” Keluhnya sendiri. Ada belas dihatinya buat ibunda yang tercinta.
“Huh! Diah bagaimana?. Tidakkah dia yang lebih berhak?”. Zuraimie buntu. Ditelan mati emak , diludah mati ayah ... “Huh!”. Keluhnya lagi.
“Habis Diah?. Sampai bila Diah harus menanggung rindu begini?. Bukankah Diah sebagai ibu kandungnya lebih berhak untuk menjaga Raziq?. Lagipun lagi lama Raziq di sana , lagi sayang emak padanya. Diah takut , masa itu abang takkan mampu nak pisahkan mereka!”. Bentak Diah , mula menangis.
“Sshhhh sayang jangan menangis. Abang janji kita akan selalu pulang ke sana untuk melihat Raziq. Nanti bila kesihatan mak dah okey , abang akan ‘slow talk’ dengan mak ya. Kita akan bawa Raziq tinggal bersama kita di sini. Sekarang ni Diah kena tolong abang , gembirakan hati Diah. Rumah ini abang hadiahkan untuk Diah. Kita cipta kebahagiaan kita di sini ya sayang”. Zuraimie memujuk Diah , rambut Diah yang mengurai diusap lembut.  Mahu tidak mahu Diah terpaksa akur. Lagi pula , apa pilihan yang dia ada.
“Raziq , maafkan mak sayang”. Keluh Diah di dalam hati.
“Raziq , maafkan Diah kerana tidak berupaya mempertahankan anak kita”. Keluhnya lagi ... matanya dipejamkan dan sekonyong-konyong itu wajah arwah Raziq bermain di minda.
“Ziq , saya rindukan awak ... sangat!. Tiada seharipun berlalu tanpa saya mengingati awak”.

Aku merinduimu ...
Tiada sehari berlalu tanpa aku mengingatimu
Kiranya kau dan aku di dua dunia yang berbeza
Namun bagiku ...
Dalam keduanya ada kamu.
Sentiasa ada kamu ...sejak hari pertama hingga kini
Alam nyata dan maya
Sentiasa ada kamu ...

 Bisiknya perlahan ... perlahan namun cukup untuk didengari oleh Zuraimie yang berada di sisi!.


Penantian adalah satu penyeksaan
            Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Diam tidak diam sudah tiga bulan Diah dan Zuraimie tinggal di rumah sendiri. Selama tempoh itu jugalah Diah tidak berpeluang menemui anaknya Raziq.
“Abang , bila lagi?. Bila lagi kita nak ambil Raziq. Diah dah tak tertahan rindukan dia”. Itulah soalan Diah setiap kali Zuraimie pulang dari kerja.
“Nantilah sayang , abang tengah benar-benar sibuk ni. Nanti hujung minggu ni kita ke rumah mak. Kalau tak dapat bawa balikpun , sekurang-kurangnya dapatlah kita melepaskan rindu padanya kan”. Lagi-lagi itulah juga alasan dan jawapan yang diberikan Zuraimie. Dia sendiri sudah bingung mencari jalan penyelesaian.
Zuraimie masih ingat lagi akan kata-kata ibunya  sewaktu dia melawat ibunya  sebulan yang lalu. Sengaja dia pulang sendiri tanpa membawa Diah bersama.  Niat hatinya mahu berbincang dan merayu kepada ibunya agar membenarkannya mengambil Raziq untuk  tinggal bersama mereka. Sengaja dia pergi sendiri tanpa membawa Diah. Zuraimie tidak mahu kehadiran Diah akan menambah rumitkan perbincangan dengan ibunya nanti.
“Apa?. Kau nak ambil Raziq?. Tidak! Langkah mayatku dulu. Selagi aku hidup , jangan kau ulangi permintaan kau itu. Aku ini neneknya , aku sayangkannya. Aku ada segala-galanya untuk membesarkan dia dengan baik dan sempurna. Lagi pula apa yang kau harapkan daripada perempuan seperti Diah itu. Diri sendiripun tidak terurus , inikan pula mahu menjaga cucuku Raziq. Elok-elok sihat budak tu , nantikan tinggal tulang dan kulit je.
Sudah! Jangan kau ulang-ulangi lagi perkara ini. Kalau kau masih hormatkan aku sebagai ibu yang melahir dan membesarkan kau , janganlah sekali-kali kau ulangi permintaan kau ini!.Faham?. Fikir dengan akal kau yang waras , mampukah perempuan sakit tu bela Raziq?. Kau sendiri tahu jawapannya kan?. Aku tak nak memperjudikan nasib cucuku demi dia!”.  Bentak ibu , menutup terus ruang perbincangan.
Zuraimie buntu. Rancangannya membawa keluar Diah dari rumah kedua ibu bapanya untuk melembutkan hati ibunya telah tidak berjaya. Bukan itu saja , harapannya agar hubungannya dengan Diah akan semakin baik  juga punah. Sangkanya , dengan tinggal berdua Diah akan dapat menerima cintanya lalu melupakan cinta Raziq. Rupanya dia masih bermimpi!. Semuanya masih terlalu jauh untuk digapai.
‘Di sana ibu , di sini isteri’ , Zuraimie benar-benar tersepit di tengah-tengah kemelut perasaan kedua-dua  insan yang amat disayanginya.


Zuraimie mencuba sekali lagi
            Mungkin Diah akan dapat melupakan kerinduannya terhadap Raziq jika mereka mempunyai anak lain. Berpegang pada pendapat itu maka malam itu Zuraimie memberanikan diri mendekati isterinya yang sudahpun berbaring di atas katil bilik mereka. Selama tiga bulan tinggal berdua , Zuraimie tidak pernah mengganggu tidur Diah. Dia sentiasa memendam keinginannya sebagai suami. Kalau boleh dia tidak mahu memaksa. Biarlah semuanya terjadi dengan kerelaan Diah.  
Namun malam ini dia membulatkan tekad. Semua ini harus berakhir. Diah harus belajar menerimanya sepenuhnya sebagai suami.
“Ya Allah , bantulah aku , lembutkanlah hati isteriku ini untuk menerimaku sebagai suami”. Doanya usai solat isya’ malam itu.
Perlahan-lahan Zuraimie memanjat katil , barbaring betul-betul di belakang isterinya. Rambut Diah yang panjang mengurai dielus-elusnya . Diah yang berpura-pura tidur itu mulai resah. Peluh dingin memercik keluar dari dahinya.
“Ya Tuhan , apa yang dilakukannya ini?.Ya Tuhan , bantulah aku ...”. Diah mengeraskan diri.
“Sayang , maafkan abang mengganggu tidurmu. Sayang , sudah masanya kita hapuskan banteng antara kita”. Zuraimie berkata lembut. Berusaha merayu dan memujuk namun Diah masih tetap mematikan diri. Jangankan mahu berpusing mengadap suaminya , bergerak seinci pun tidak.
Lebih mengecewakan lagi apabila Diah mula menepis tangan Zuraimie sebelum menarik selimut menutupi keseluruhan tubuhnya.
“Sayang ... sampai bila kita harus begini?”. Zuraimie akhirnya mengalah. Tiada guna merayu pada yang tidak sudi. Dia lantas bangun , mengambil kunci keretanya lalu memandu laju  tanpa arah tuju.
“Abang ... maafkan Diah...”. Keluh Diah. Lambat-lambat Diah bangun membuka laci meja lampu katilnya lalu mencapai diari kecil yang telah menjadi teman setianya sejak mula berpindah ke mari. Semua kehampaan , kerinduan , kesunyiannya dicatatkan dalam diari kecil itu. Di situlah segalanya tertumpah ...


Awak ,
Hari ini saya mengecewakannya lagi. Semuanya saya lakukan demi mempertahankan cinta kita.
Tapi sampai bila awak?. Sampai bila saya mampu mempertahankannya?

Awak ,
Sukarnya saya melalui hari-hari tanpa awak di sisi.
Setiap helaan nafas saya ada awak ...
Setiap kerdip mata saya ada awak ...
Degupan jantung ini  , ada cinta awak ...
Denyutan nadi ini ... adalah untuk awak ...
Dalam sedar dan lena ... sentiasa ada awak ...
Dalam nyata mahupun ilusi ... sentiasa ada awak ...

Awak ,
Kekadang saya terfikir , mengapa tuhan mengambil awak dan membiarkan saya lalui semua ini sendiri.
Saya juga terfikir , mengapa tuhan mahu saya tanggung rasa rindu ini?. Semakin hari semakin memberat.
Mengapa tidak direnggut terus kerinduan ini dari hati ini? Atau dihilangkan terus ingatan saya terhadap awak?. Bukankah Dia mampu melakukannya?.
Bukankah boleh saja rasa cinta ini dimatikanNya begitu saja? ... atau ... dihilangkan terus dari ingatan ini ?. Bukankah itu lebih baik agar saya mampu membina hidup baru tanpa awak membayangi tiap langkah.
Oh Tuhan!. Apa hikmah di sebalik semua ini ... masih adakah hikmah rahsia di sebalik rahsia ini? Dan bilakah ianya akan berakhir?.

                                                                                                     -Diah-

                                                                                               


  Zuraimie kecewa lagi
“Hai Zuraimie , kenapalah kau masih tak faham-faham juga yang kau tu langsung tiada tempat di hatinya!. Bodohnya kau ini!. Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong!”. Bisik hatinya.
“Diah , kenapa nak siksa abang begini?. Tidak cukupkah kasih sayang yang abang tunjukkan dan curahkan selama ini?”. Keluh Zuraimie.
“Apa dirayu pada yang tak sudi. Tu! Di luar sana , ramai lagi yang menunggu!”.
Zuraimie berkata-kata sendiri , mengutuk kebodohan dirinya yang masih juga masih mangharap dan mencuba sedangkan berkali-kali dia ditolak. Sudah berkali-kali juga dia terluka.
Malam ini Zuraimie tidak mahu terluka lagi. Dia sudah nekad , “Diah , kamu sudah melampau!. Jangan salahkan abang atas apa yang bakal abang lakukan!”. Katanya lagi lalu pedal minyak ditekan lebih kuat , mengaum enjinnya memecah keheningan malam ...


Hancur hati Diah bagai terhempas ke batu
Sudah tiga minggu berlalu sejak kejadian malam itu namun  Diah tetap juga tidak mempedulikan  langsung kehadiran Zuraimie sebagai suami.
Baginya , cintanya tetap buat Raziq yang telah tiada. “Hanya Raziq , tiada yang lain.  Demi cinta ini!”.
Baginya , Zuraimie tiada hak untuk menagih cintanya kerana pernikahan mereka adalah berlandaskan suatu pembohongan yang tidak pernah dapat dimaafkan.
“Kamu yang bersalah kerana tidak jujur dalam perhubungan ini. Dari awal lagi semua ini sudah tidak betul.  Lagi pula , jika dia benar-benar ikhlas  mencintai aku , mengapa perlu berharap  lebih?”. Fikirnya. Diah hanya memikirkan dirinya , haknya dan segalanya tentang dirinya sahaja!

Namun sesuatu telah terjadi.
Sabar itu ada batasnya ... dan  alangkan pantaipun berubah ...
Sesuatu yang tidak pernah terlintas di kepala Diah.  Sesuatu yang telah membangunkan Diah dari alam fantasinya.
Diah bagaikan tiba-tiba tersedar yang dia bakal kehilangan Zuraimie. Setelah ianya terjadi , barulah  Diah terasa  betapa amat bermaknanya lelaki itu dalam hidupnya dan Diah  tidak mahu kehilangannya. Diah tetap mahu menjadi satu-satunya wanita yang dicintai lelaki ini. Diah benar-benar terpukul , adakah ini semua berpunca dari dirinya sendiri ?.
Mungkin juga kerana sesungguhnya suami mana yang boleh terus bersabar jika setiap kali keinginannya ditolak , maruahnya dicalar dan kejantanannya dicabar.
“Oh Tuhan , sudah terlambatkah aku?”. Keluhnya , menyesali segala perlakuan dinginnya terhadap suaminya sendiri. Diah tidak sedar selama ini bahawa perbuatannya sendiri yang  telah  menjerat dirinya kini.  Diah juga  tidak pernah terfikir  yang Zuraimie mampu bertindak sejauh ini.
Benarlah bagai kata pepatah , ‘Air yang tenang jangan disangka tiada buaya!’.
‘Sudah terhantuk baru terngadah!’ dan  Diah benar –benar terpukul dengan apa yang berlaku.

‘dance club’
Resit lawatan ke ‘dance club’  yang ditemui Diah dalam poket seluar Zuraimie amat  mengecewakannya. RM 2850.00! Itu jumlah yang perlu dibayarnya. ‘GRO booking’ sahaja mencecah RM1500!
“Perkhidmatan apa yang perlu dibayar sebegini banyak?”. Diah seram sejuk memikirkan kemungkinan yang telah terjadi. Hancur hati Diah bagai terhempas ke batu memikirkan segalanya.  Sungguhpun dia tidak melayan Zuraimie seperti selayaknya , Diah tetap tidak dapat menerima perbuatan curang Zuraimie.
“Cinta perlukan pengorbanan , apa tidak bolehkah kau korbankan sedikit nafsumu itu demi cintamu  padaku?”
“Huh! Lelaki. Belum dapat , segala-galanya boleh tapi bila sudah dapat ...”. Diah membentak , dia benar-benar kesal dengan sikap Zuraimie.
Begitulah sikap manusia , kuman di seberang  jalan dapt dilihat tetapi gajah di depan mata masih tetap kelam’. Diah masih tidak juga nampak akan kesalahan diri. Dia tetap juga menyalahkan Zuraimie atas apa yang berlaku.
            Malam itu , Diah nekad ...  sebaik sahaja Zuraimie pulang dari ‘out station’ , Diah akan ‘confront’ dengan lelaki itu.
“Tidak guna berterusan menyimpan rasa ... kelak aku yang binasa!”. Bisik hatinya
Nombor telepon bimbit Zuraimie didailnya. Walhal sudah seminggu Zuraimie pergi ... baru hari ini dan buat pertama kalinya dalam sejarah hubungan mereka , Diah mendail nombor suaminya sendiri!
“Hello sayang , hai ... dah tak sabar ke tunggu abang balik?”. Suara Zuraimie kedengaran begitu mesra mengusik. Riang tidak terkira hatinya tatkala melihat nama ‘Diah Sayang’ tetera  di skrin telepon bimbitnya. Inilah kali pertama nama itu dapat ditatap di skrin telepon bimbitnya!.
 Walau apapun rintangan yang melanda , walau seteruk manapun hatinya dikecewakan , walau sebesar manapun kesalahan Diah terhadapnya , baginya Diah tetap bertahta di hati.
“Ya ... tak sabar. Bila abang akan sampai?”. Jawab Ziah , geram.
“Bertolak pukul 3 petang ni. Dalam pukul 9 malam ni abang sampailah ... tapi ingat nak singgah office kejap. Ada dokumen kena hantar esok. Paling lambat dalam pukul 11 or 12 macam tu abang sampai rumah. Sayang jangan pulak tunggu abang. Tidur dulu ye ...”. Balas Zuraimie.
“Betul ke kena hantar dokumen esok? Takkanlah bos abang tak tahu yang abang baru sampai malam nanti?”. Tanya Diah , merujuk kepada bapa mertuanya sendiri.
“Pasal dia tahu abang sampai malam nilah maka abang kena hantar jugak dokumen tu esok. Orang jadi bos ni bukan peduli penat orang!”. Jawab Zuraimie tanpa menaruh syak.
Begitulah Zuraimie , sejak dia membuat keputusan untuk menyertai syarikat keluarga , hidupnya jadi terlalu sibuk dengan pelbagai urusan kerja. ‘Lunch appointment , dinner appointment , bermain golf dengan VIP , mesyuarat di pejabat , mesyuarat dengan ‘partner’ dan pelbagai lagi aktiviti yang ada sangkut pautnya dengan pekerjaan.
“Tak pa lah bang ... tapi Diah nak bagitahu abang ni , malam ni lepas abang balik ada perkara yang Diah nak bincangkan”. Diah memberitahu Zuraimie.
“Alahh ... ini yang tak best ni.  Apa dia cakap sekaranglah ... please. Sayang buat abang tak senang hatilah!”. Balas Zuraimie.
“Abang , Diah ni sabar orangnya ... sangat sabar!. Kalau Diah boleh tunggu abang balik untuk
berbincang, abang tentu lagi bolehkan? Bukan abang selalu kata yang Diah ini adalah segala-galanya dalam hidup abang?”. Ziah menyindir.
“Mmmm ... yelah sayang. Kita bincang malam ni key. Abang nak packing barang ni. Kejap lagi kena check out. Miss you so badly , can’t wait to see you to night. Hmmm ... jangan lupa pakai wangi-wangi untuk abang ye. Bye!”. Usik Zuraimie.
“Bye ...”. Balas Diah sepatah.
“Huh! Miss you so badly , can’t wait to see you to night konon. Tunggulah malam nanti!!”.  Diah mengajuk kata-kata Zuraimie di dalam hati!.

... dia berterus terang saja dengan Zuraimie ...
Malam itu seperti yang dijangkakan oleh Diah , Zuraimie sampai ke rumah pada pukul 1:40 pagi. Diah sengaja tidak tidur dahulu , menunggu kepulangan suaminya. Sejak Diah menemui resit tersebut , kepercayaannya kepada Zuraimie tidak lagi bulat. Diah ingat lagi nasihat sahabatnya Ziah  agar dia berterus terang saja dengan Zuraimie dan dapatkan jawapan daripada mulut suaminya itu sendiri.
“Dalam hubungan suami isteri ini jangan banyak ‘sangkaan-sangkaan’ yang boleh merosakkan hubungan. Jika ada apa-apa yang tidak selesa atau musykil , bertanya. Berbincang. Itu adalah yang terbaik. Saling mempercayai adalah kunci kebahagiaan sebuah rumah tangga”. Itulah nasihat Ziah apabila Diah melahirkan kerisauannya tentang kejujuran Zuraimie petang tadi. Diah sangat sedar bahawa Ziah adalah satu-satunya sahabat setia yang tidak mungkin menjahanamkannya. Kata-katanya adalah nasihat ikhlas yang pastinya mahu melihat dirinya bahagia.
Sebaik sahaja pintu dibuka , Zuraimie terkejut memandang Diah yang masih menunggunya , duduk di atas sofa betul-betul bertentangan dengan pintu masuk rumah mereka.
“Eh , tak tidur lagi sayang?”. Tanyanya spontan sebaik saja terpandangkan Diah.
“Belum. Tunggu abang ...”.  Diah bangun untuk mendapatkan suaminya. Melihat Diah
menghampirinya , Zuraimie segera berlari ke bilik mereka sambil pura-pura menjerit ...
“Aduhai sayang ,abang sakit perut! Nak ke tandas ni. Sorry sayang. Tunggu abang melepas hajat kejap!”. Zuraimie berkata sambil berlari terus masuk ke bilik air di bilik tidur mereka.  Ziah memuncungkan mulutnya. Reaksi Zuraimie itu menimbulkan perasaan syak wasangka di hati Diah.
“Hmm ...  yelah tu. Tentu ada sesuatu yang mahu disorokkan dari aku. Apa ye?. Kenapa dia cepat-cepat lari bila aku mahu mendekatinya?. Hah?! Entahkan badannya terlekat bau minyak wangi GRO yang dilangganinya?. Ya Allah! Apa yang harus aku buat ni?!”. Fikirnya cemas. Pada ketika ini , perasaan Diah tidak tenang. Hatinya resah memikirkan kejujuran suaminya. Diah juga tiba-tiba rasa takut. Takut kehilangan Zuraimie , suami yang selama ini telah dinafikan haknya!. Walhal , perlakuan Zuraimie itu adalah demi memikirkan keselesaan Diah. Zuraimie tidak mahu Diah menghidu bau masam peluhnya atau bau asap rokok rakan sepejabatnya yang sudah melekat pada pakaiannya.

Diah curiga
“Aaaa ... macam mana ni?. Salah aku! Salah aku!. Apa nak buat sekarang?. Macam mana kalau dia benar-benar dah bosan melayani kerenah aku?. Macam mana kalau dia benar-benar ada perempuan lain?. Macam mana dengan aku?!”. Soalan demi soalan menghantui fikiran Diah , berserabut jadinya. Mundar mandir dia berjalan , tidak keruan perasaannya.
Setelah menunggu lebih setengah jam akhirnya Zuraimie selesai mandi dan berpakaian. Keluar menghampiri Diah lalu mengucup pipinya.
“Apa khabar isteri abang?”. Nada suaranya lembut.
“Khabar baik. Abang , Diah nak tanya sesuatu boleh?”. Akhirnya tibalah masa yang dinantikan Diah. Dia tidak mampu bertangguh lagi. Semuanya mesti diselesai malam ini juga!
“Tanya?. Hmm ... serius benar bunyinya. Ok , tanyalah”. Jawab Zuraimie sambil tersenyum , memandang Diah dengan penuh kasih sayang.
“Ni resit apa?”. Diah menghulurkan resit melanggani ‘dance club’ yang ditandatangani oleh Zuraimie.
Zuraimie agak terkejut melihat resit itu boleh berada di tangan Diah. Air mukanya berubah. “Mana Diah dapat ni?!”. Zuraimie tiba-tiba meninggikan suara. Marah dan rasa tercabar.
“Dalam poket seluar abang. Abang pergi ke tempat-tempat macam ni?”. Tanya Diah , wajahnya sudah merona merah menahan perasaan.
“Itu bukan persoalannya. Isunya sekarang , kenapa Diah menyelongkar barang-barang abang?”. Marah benar Zuraimie dengan tindakan Diah. Hak peribadinya tak seharusnya dicerobohi.
“Itu tak penting!. Abang jangan nak tukar tajuk. Tak payahlah nak salahkan Diah menyelongkar barang-barang abang. Bukankah memang selalu Diah yang mencuci pakaian abang”.Terang Diah.
“Yelah tu. Sejak bila pula awak ambil berat tentang saya sampai begitu sekali?. Apa kalau nak basuh seluar mesti check setiap poket?. Kalaupun Diah jumpa resit tu , siapa beri hak pada Diah untuk baca tiap butirannya?”.Zuraimie cuba menyalahkan Diah pula. Satu helah untuk melepaskan diri!. Helah lelaki apabila ‘kantoi’!
“Diah tak berniatpun!. Resit ni abang letak betul-betul dalam poket seluar abang begitu saja. Ditakdirkan Allah , tergerak hati Diah nak tengok. Sekarang abang jawab soalan Diah , apa semua ni?”. Diah menjadi tidak sabar dengan alasan dan dolak dalih Zuraimie.
“Alah ... abang tak pergipun tempat macam tu Abang cuma tolong bayarkan bill saja ...”. Zuraimie cuba menipu.
“ Apa?. Tolong bayarkan bil saja?. Sampai beribu-ribu?”. Diah tidak percaya.
“Ingat aku ni bodoh  sangat ke?!”. Kata Diah dalam hatinya.
“Orang lain seronok main perempuan , awak pula tukang bayar. Ceh!! Orang bodohpun tahu!!”. Fikir Diah lagi. Kalau boleh , ingin segalanya dihambur keluar tapi entah mengapa mulut Diah tiba-tiba bagaikan terkunci , mungkin terpana dengan ‘alasan bodoh’ yang diberikan suaminya.
“Diah pun tahukan , bussines sekarang teruk. Abang terpaksa melayan kerenah ‘client’ , nak puaskan hati mereka. Tapi abang tak pergipun ,abang cuma masuk untuk bayarkan bill itu. Itu saja!”. Suara Zuraimie semakin meninggi. Egonya betul-betul dicabar. Tidak puas hati apabila isterinya sendiri sudah mulai curiga begitu walaupun kecurigaannya itu berasas!.
“Tak! Diah tidak percaya. Macam mana Diah nak tahu sama ada abang pergi atau tidak?”. Tanya Diah , juga masih tidak berpuas-hati dengan alasan yang diberi.
“Terpulanglah pada Diah. Kalau Diah tetap tak mahu percaya , abang nak buat macam mana ... lagi pula sejak kita nikah , memang Diah tak pernah mempercayai abang apatah lagi menghargai abang. Terpulanglah pada Diah sama ada nak percayakan abang ataupun tidak. Abang penat dan abang dah tak larat lagi nak layan kerenah Diah”. Zuraimie menutup perbualan dengan memalingkan mukanya. Cara mudah untuk melepaskan diri.
Diah diam ... bingung mendengar kata-kata penutup Zuraimie.
“Apa pilihan yang aku ada?. Menggolek aku luka , digolekpun aku luka. Berkeraspun tiada gunanya. Lagipun memang benar selama ini aku langsung tidak menghargainya sungguhpun sememangnya hanya dia yang aku ada. Oh! Tuhan ... aku sebenarnya tiada pilihan lain melainkan menerima segalanya. Mungkin ini adalah balasan buatku kerana mengabaikannya”.  Akhirnya Diah mengalah, memeluk Zuraimie sambil menyembamkan mukanya di dada suaminya. Itulah kali pertamanya Diah merendahkan diri buat lelaki ini!
“Maafkan Diah bang kalau abang terasa hati. Diah cuma tidak mahu bersyak wasangka dengan abang , sebabtu lah Diah tanya”. Diah memujuk. Walaupun jauh di sudut hatinya , Diah  tahu yang suaminya itu berbohong!.

Zuraimie yang dipeluk erat oleh Diah terkesima dengan perlakuan isterinya. Hari ini dalam sejarah , inilah kali pertama tubuhnya di dakap erat oleh isterinya sendiri. Zuraimie tidak melepaskan peluang , dia membalas dakapan itu dengan rela ... hilang semua gundah gelana di hati ...

Curiga berpanjangan
Sudah lebih sebulan peristiwa itu berlalu  namun perasaan ditipu dan  curiga di hati Diah tidak juga hilang. Lebih parah lagi  , Zuraimie sendiri  sekarang hampir tiap-tiap malam pulang lewat.
“Abang sibuk minggu ni. Esok ada closing tender , ada presentation ...”. Dan macam-macam lagi tugasan berat. Ada saja urusan yang menyebabkan Zuraimie pulang lewat malam.
Diah menjadi semakin curiga , syaitan sentiasa membisik-bisikkan pelbagai perkara buruk yang mungkin dilakukan Zuraimie menyebabkan Diah tidak senang duduk.
“Ahhh! Apa patut aku lakukan?”. Fikir Diah.
“Takkanlah aku nak berterus terang beritahu dia yang aku sekarang sudah tidak lagi
mempercayainya?. Eee ... cari nahas!”. Diah memerah otaknya mencari jalan terbaik yang patut dilakukan.
“Aku perlukan bantuan!”.
 Diah akhirnya membuat keputusan. Diah perlu bantuan dan  pendapat dari orang  lain , orang ketiga. Siapa lagi kalau bukan Ziah sahabat baiknya sejak dulu. Telepon bimbitnya diambil dan nombor Ziah didail.
“Hallo , assalamualaikum!”. Kedengaran suara Ziah di sana.
“Waalaikumussalam ... Ziah , ni aku. Sibuk ke?”. Tanya Diah. Mendengar suara Diah , Ziah segera mengukirkan senyuman.
“Untuk kau tak ada mana sibuknya aku ni. Sihat ke?. Mimpi apa malam tadi sampaikan pagi-pagi gini dah call aku? Rindu ye?” . Gurau Ziah
“Err ... rindulah jugak. Sebenarnya aku ada masalah besar ni. Nak minta kau tolong”. Diah berterus – terang.
“Lain macam je bunyinya , ceritalah. Kalau boleh tolong , aku tolong”. Janji Ziah.
Maka dengan diiringi air mata , Diah meluahkan segala isi hatinya, perasaannya dan kerisauannya. Juga  perasaan curiganya terhadap Zuraimie. Ziah mendengar dengan penuh ‘empathy’. Ziah sedar sahabatnya ini benar-benar tertekan. Namun inilah yang dikatakan asam garam dalam perkahwinan. Alangkan lidah lagikan tergigit!
“Macam mana Ziah , apa patut aku buat? Aku tak sanggup nak hidup bersama dengan perasaan curiga bersarang di hati. Sepatutnya kami saling mempercayai , barulah hubungan kami akan berkekalan”. Kata Diah , meluahkan perasaannya.
“Hmmm ... tahupun!”. Kata Ziah di dalam hatinya.
“Err ... aku tanya kau sikit boleh?”. Ziah memulakan sesi kaunselingnya.
“Ya. Kau nak tanya apa?”. Diah menjawab sambil mengerutkan dahi. Apa agaknya yang ingin ditanyakan Ziah.
“Kau sayangkan perkahwinan kau ini?. Kau nak mempertahankannya?”. Tanya Ziah lagi. Sengaja pertanyaan itu diajukan kerana Ziah maklum bahawa Diah masih lagi tidak redha dengan ketentuan Tuhan. Diah tetap mempersalahkan Zuraimie dan dirinya atas perkahwinan ini , ‘perkahwinan yang kononnya berasaskan suatu pembohongan’!.
“Ya. Tentulah. Kenapa kau tanya begitu?”. Giliran Diah pula untuk bertanya. Entah mengapa , pertanyaan Ziah itu dirasakan seperti menyinggung egonya.
“Yalah , aku kenalah tahu perasaan kau dan harapan kau tentang perkahwinan kalian ini. Lepas tu barulah aku boleh menilai dan memberikan pendapat yang releven”. Jawab Ziah. Diah diam mendengar jawapan Ziah itu , terlintas sesuatu di fikirannya.
“Jadi , adakah aku juga sayangkan suamiku?. Sayangkan Zuraimie?. Kenapa aku harus menggelabah dan resah bila dia mempunyai hubungan dengan perempuan lain?.  Ahh! Cintakah aku kepadanya?. Cinta?. Tak?. Bukankah perkahwinan ini berasaskan pembohongan. Ikatan yang tidak jujur dan aku sendiri sebenarnya bencikan perkahwinan ini?. Habistu , mengapa aku harus menggelabah begini?”.
“Bagaimana pula dengan Raziq , percintaan kami yang tidak pernah berakhir dan demi cintaku padanya , aku telah menafikan hak Zuraimie sebagai suami?. Adilkan aku?. Ahhh!! Bingung aku jadinya!”. Diah berperang dengan perasaannya sendiri. Tangannya mengetuk-ngetuk dahinya beberapa kali.
“Ginilah Diah, aku rasa perkara pertama yang patut kau buat ialah bertenang. Tenangkan diri kau dulu , banyakkan mengingati Allah. Buatlah solat sunat tahajud , minta kekuatan dari Allah dan buat juga solat sunat hajat dan mintalah dari pemilik segala isi alam ini apa saja yang kau hajati.
Kedua , pernah kau dengar orang berkata , bahawa untuk ‘tacle’ suami kau harus ........?. Jadi layanlah suami kau baik-baik .
Ketiga , selalu ingat bahawa ‘hati’ manusia memang mudah berubah-ubah. Kita sebagai isteripun tidak mungkin mampu memastikan suami kita sentiasa menurut seperti yang kita harapkan. Tapi sahabatku , janganlah takut  kerana Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bertawakallah kepadaNya. Setelah kau berusaha, serahkanlah kembali segala-galanya kepadaNya”. Nasihat Ziah dengan panjang lebar. Diah terdiam mendengar nasihat Ziah , tiada satu pun dari semua yang dikatakan Ziah itu diamalkannya!.
“Diah?. Kenapa diam saja ni?. Kau masih di sana?”. Tanya Ziah setelah tiada sebarang respon dari Diah.
“Er ya , aku masih di sini. Ziah , aku ... err ... tak ada apalah. Terima kasih atas nasihat kau”. Serentak dengan itu , Diah segera menamatkan talian.
“Eh! Diah! Hello! Hello!. Eee apa kenalah Diah ni. Tadi beria-ia minta pendapat. Orang belum habis bercakap , dia dah putuskan talian pulak!”. Rungut Ziah.
            Usai berbicara dengan Ziah , Diah segera membuka almari pakaiannya lalu mencari-cari sesuatu dari bawah lipatan-lipatan baju yang tersusun kemas. Seketika kemudian sekeping gambar dikeluarkan lalu ditatap lama. Ada titisan air mata yang menitik jatuh membasahi gambar itu , segera Diah menyapunya dengan hujung lengan bajunya.
“Ziq , maafkan Diah. Semua janji kita dulu tak mampu Diah pertahankan. Diah gagal mempertahankan cinta kita , Diah kahwin dengan Zuraimie. Zuraimie yang pernah awak cemburui dulu. Bukan itu saja , Diah juga gagal menjaga dan membesarkan anak kita. Diah biarkan orang lain yang tiada kena mengena dengan kita membesarkannya. Diah tak dapat nak tunjukkan gambar kita kepadanya. Diah tak dapat nak kenalkan awak kepadanya. Maafkan Diah Ziq. Maafkan Diah ...”. Gambar Raziq , Diah dan mak Mah yang berdiri di antara mereka masih disimpan dan ditatap oleh Diah setiap kali dia sedih dan rindukan mereka.

“Mak Mah ... Diah rindukan mak Mah! Ziq, saya rindukan awak!!”. Diah menangis semahu-mahunya. Konflik dan kekacauan dalam jiwanya masih belum terurai. Diah sendiripun tidak tahu , apakah yang dia mahu ...

1 comment:

  1. hmm ... sengaja aku tidak menyambung cerita "Keranamu DIAH" ini sepanjang Ramadhan lepas dengan harapan agar sesiapa jua yang mengikuti / membaca "Keranamu DIAH" akan menggunakan dan merebut peluang bulan yang barokah itu dengan membaca al-Qur'an atau melakukan amal ibadat lain.

    ReplyDelete