Popular Posts

Wednesday 4 June 2014

Pasrah...

Pasrah...

Sememangnya sebagai manusia , kita pastinya ada masa 'up' dan 'down' kita sendiri cuma yang membezakan seorang individu dengan individu yang lain ialah bagaimana kita membawa diri di waktu 'up' dan bagaimana kita mengurus diri tatkala waktu 'down' kita menjengah.

 "Biasa sangat kita dengar , orang ramai berkata -
'Hidup ini ibarat roda , ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah'. 
Maka beruntunglah jika tatkala kita berada  di atas , kita dikelilingi oleh teman-teman yang mampu memberi ingat dan memperbetulkan kita pabila kita leka dan lupa tetapi lebih beruntung jika tatkala kita berada di bawah , kita juga mempunyai teman sebagai pendorong , menyuntik semangat atau sekurang-kurangnya menjadi pendengar setia tempat kita meluahkan rasa".

Teman sejati
Memberi tanpa meminta balasan dan menerima seadanya
Isunya , adakah kita mempunyai teman sejati?
Atau perlukah kita mempunyai teman sejati?
Bukankah cukup Allah itu sebagai pelindung dan tempat mengadu?
Jawapannya ... "Tanyalah iman' 


Sebagai manusia biasa yang memegang status seorang 'hamba Allah' sudah semestinya kita perlu akur dengan apa jua takdir yang ditelah ditentukan buat diri kita.
Sesuatu yang amat kita ingini atau sesuatu yang kita sangka adalah yang terbaik buat diri kita , tidak semestinya adalah yang terbaik buat kita.
Mengapa ya begitu?.
Tentu saja atas kelemahan kita dalam menjangkau masa depan. Kelemahan kita yang sering terpedaya dengan kehendak nafsu yang mudah terpesona dengan helah dan tipu daya dunia yang menggoda. Atau tertipu dengan mata kita yang melihat dan hati kita yang merasa.

 Mari kutuliskan puisi tentang manusia dan angannya ...

Manusia
Apa yang ada di hatinya.
Sisipan  impian dan keghairahan
Alam hayat yang terdorong dek kehendak nafsu

Harapan demi harapan
Angan dan mimpi yang bersatu
Deretannya menjadi beban kian membelenggu
Akal dan kenyataan hidup nan tersurat
Pilihannya hajatnya mungkin bukan miliknya
Adapun yang tersirat disebalik angan yang kandas
 pasti ada hikmah menanti
Sungguhpun nafasnya kian lesu mencari hikmah sebuah ketentuan

Berat mata nan memandang
Usah diiringi dengan keluh kesah
Kan mengundang kecewa berpanjangan
Adalah wajar dikirimkan doa tulus
Natijahnya biarlah Tuhanmu yang menentukan

Hai manusia
Akur dan akurlah
Qada' dan qadar mu
Moga tenanglah jiwa-jiwa nan resah
Umpama setenang hembusan bayu di pagi dingin ...



Kebetulan dan mungkin juga ketentuan ... tadi aku  ditakdirkan mendengar ceramah tentang iman ... menurut ustaz yang berceramah , ada 5 tingkat iman ;
Iman yang pertama tu adalah iman orang yang mengikut sahaja sesuatu ibadat itu tanpa mempunyai ilmu.
Contohnya , orang lain solat maka diapun solat.
Emak ayah suruh berpuasa maka dia pun berpuasa
ustazah kat sekolah kata kena pakai tudung maka diapun pakai tudung
Tengok orang berwuduk  diapun berwuduk tanpa tahu yang mana tertib sebenar atau yang    mana wajib dibasuh dan yang mana sunat sahaja.
Pendek kata , iman tingkat pertama ini adalah iman orang-orang yang melakukan ibadat tanpa ilmu. Aras iman yang paling rendah.

Iman yang kedua pula adalah iman orang-orang yang melakukan sesuatu ibadat itu tentunya dengan ilmu dan bukannya sekadar diwarisi dari ayah ibu atau daripada adat yang lazim diamalkan oleh masyarakat sekeliling atau sesiapa saja yang menjadi ikutan.
Orang-orang seperti ini faham sebab dan musabab sesuatu ibadat itu dilakukan. Begitu juga dengan tertib dan rukun sahnya sesuatu ibadat itu.
Namun kekurangan iman tahap kedua ini ialah imannya belum mampu menghalang pemiliknya daripada melakukan dosa atau maksiat.
Contohnya , dalam urusan menunaikan solat. Orang yang memiliki iman tahap kedua ini tahu semua perkara berkaitan solat. Baik dari segi rukunnya , tentang perintah yang mewajibkan solat atau makna-makna dalam setiap ucap atau kalimah yang dilafazkan dalam solat. Malangnya , selesai menunaikan solat pemilik iman ini masih tega juga melakukan maksiat dan dosa.

Seterusnya iman pada tahap yang ketiga. Ini adalah iman yang mampu dimiliki oleh orang kebanyakan seperti kita (Menurut ustaz itu). Maknanya orang kebanyakan seperti kita yang bukan alim ulama' atau bukan nabi dan rasul. Iman pada tahap ini mampu mencegah sipemiliknya daripada melakukan dosa dan maksiat. Maka ustaz itu membawakan sebuah kisah ...

Suatu ketika nabi Muhammad (saw) berada di dalam rumahnya maka dia telah didatangi oleh Abu Bakar AsSiddiq maka baginda mempersilakan Abu Bakar  masuk ke dalam sedang baginda masih terus duduk melakukan kerjanya. Tidak lama kemudian datang pula Umar Al Khattab , perkara yang sama dilakukan baginda. Kemudian datang pula Usman bin Affan maka baginda bangun daripada duduknya untuk menyambut Usman. Setelah selesai urusannya maka Usman meminta diri untuk pulang maka sekali lagi baginda bangun mengiringi pemergian pulang Usman.Perbuatannya itu diperhatikan oleh Abu Bakar dan Umar.

Setelah Usman pulang , bertanyalah Abu Bakar dan Umar akan hal baginda tidak bengun menyambut kedatangan mereka berdua sebaliknya baginda bangun menyambut dan bangun menghantar usman pulang. Lalu jawab baginda , ketika Usman datang memberi salam , aku lihat semua malaikat yang ada di bilik ini bangun menghormatinya. Begitu juga dengan pemergiannya tadi.
Apabila Abu Bakar dan Umar meminta penjelasan lanjut maka baginda memaklumkan bahawa Usman setelah memeluk islam , beliau menjaga matanya daripada melihat wanita ajnabi.
Hebat ... Itulah tahap imam yang mampu menghalang pemiliknya menghindari maksiat dan dosa.

Jadi ...apa kaitan cerita tentang iman ini  dengan masa "up and down" seorang manusia?.
Jawapannya tentulah seperti berikut ... Tahap iman menentukan penerimaan dan kepasrahan kita sebagai seorang hamba dalam menjalani segala ketentuan takdir diri yang telah tersurat buat kita.

Ada kalanya hati kita memberontak mahukan sebaliknya namun akal iman yang celik pasti segera mengingatkan dan menyabarkan kita. Maka lahirlah kepasrahan itu yang pastinya mengundang kerelaan dan penggantungan mutlak kepada Allah tuhan yang Maha mengetahui.

Semoga kita semua termasuk dalam golongan orang-orang yang imannya mampu mencegah diri daripada melakukan maksiat dan dosa.
Dan semoga kita semua juga akan termasuk dalam golongan orang yang sentiasa bersangka baik terhadap Allah.

Akhir kata ... Buat semua teman yang dikasihi ...
Marilah kita sama-sama meletakkan 100% penggantungan dan harapan kita bulat kepada Allah.  Tentunya hadir dan hidupnya kita di alam fana ini  hanyalah dengan  'menumpang kasih sayang'   Allah yang Maha ESA.


-peace-
>__<


                       

No comments:

Post a Comment