Popular Posts

Sunday 25 May 2014

"Keranamu DIAH" : Bab 24

BAB 24:        KONFLIK RUMAHTANGGA

Hubungan yang tiada Hala Tuju
            Sudah lebih tiga bulan usia perkahwinan Diah dan Zuraimie.  Tinggal sebumbung , tidur sebilik namun semuanya masih hambar. Status suami-isteri yang disandang mereka hanya menghalalkan keduanya untuk tinggal serumah. Tidak lebih dari itu.
            Diah masih menutup rapat pintu hatinya buat lelaki yang telah terlalu lama menunggu. Kenangan bersama arwah Raziq masih tetap setia bertahta di hati , menariknya ke zaman silam , menceriakan hari siangnya dan  menjadi peneman hari  malamnya. Hanyut dengan kenangan itu ,  Diah bagai dapat merasakan kehadiran arwah yang sentiasa memandang  dan tersenyum padanya.
“Cukuplah kenangan itu menemani ku sepanjang hayat. Aku tidak mungkin menduakan cinta kita. Percayalah sayang”. Ada kalanya Diah berkata-kata sendiri , membayangkan Raziq setia mendengar luahan rasa rindunya yang semakin hari bagaikan tidak tertanggung lagi.
            Lebih memburukkan keadaan ,  sikap dan tindakan ibu mertuanya  yang sengaja memisahkannya terus dari Raziq , anak yang dikandungkan dan dilahirkan dalam kepayahan dan kesengsaraan. Bagai lelayang putus talinya , Diah hilang arah dan tujuan hidup. Lebih-lebih lagi dengan pelbagai kata cerca yang dilontarkan oleh ibu mertuanya setiap kali dia cuba mendekati anaknya itu.
“Aku tak mahu cucu aku dibesarkan oleh orang yang telah melanggar adat. Serakah dan tidak takut pada dosa!”. Kata-kata Puan Sarah bagaikan sumpahan yang mengekori tiap langkah Diah. Menikam dan memusnahkan terus keyakinannya untuk mengecap bahagia.
            Setiap hari Diah hanya mampu memandang dari jauh bayinya yang kini sudahpun berusia lima bulan.  “Raziqku kini sudah pandai meniarap dan mengesot mengejar mainan”. Kata hatinya , ada air di tubir mata. Bibirnya mengukirkan senyuman melihatkan gelagat anak kecilnya yang tumbuh sihat. Sesekali duduknya di kepala tangga diperbetulkan. Lenguh juga lehernya kerana lama menjenguk ke bawah. Mencuri pandang gelagat anak kecilnya yang asyik mengangkat-ngangkat  kedua belah kakinya yang comel ke  atas dengan suara kekekan dan  tawa yang ceria  setiap kali diagah oleh kak Biah , pembantu rumah yang kini menjadi pengasuhnya.
“Hmm ... kak Biah punya lebih banyak masa bersamanya berbanding aku ibunya. Ya Allah ... tabahkanlah hatiku menerima keadaan ini. Waraskanlah aku agar aku tidak sampai bertindak di luar jangkaan”. Keluh dan doa Diah di dalam hati. Jika diikutkan kata hati , mahu saja dia menerpa turun dan merampas bayinya itu. Mungkin juga keluar terus dan membawa lari Raziq jauh dari rumah ‘neraka’ ini!!

Ke marilah
“Laa Puan Diah , kenapa duduk di situ?. Marilah ke mari bermain sama dengan Raziq”. Kak Biah yang terlihatkan  Diah di kepala tangga mempelawanya turun.
“Hmm ... tak apalah kak. Saya ...”
“Tak mengapa. Sekarang puan tak ada di rumah. Dia ke pasar dengan Pak Samad. Malam ni ada tetamu istimewa nak datang ke rumah”. Sampuk Kak Biah. Kak Biah faham benar dilema yang dihadapi oleh ibu muda ini. Dilema  akibat konflik anak menantu –mertua yang tidak pernah berkesudahan dari zaman dahulu lagi hinggalah sekarang. Belas hatinya melihatkan layanan buruk yang diterima Diah.
“Marilah puan , jangan takut. Kasihan Raziq sudah lama tidak merasa dipeluk ibunya sendiri”. Kak Biah menggalakkan. Menitis air mata Diah  mendengar kata-kata kak Biah itu , terharu kerana masih ada yang prihatin dengan bebanan perasaan yang ditanggungnya.
“Terima kasih kak Biah”. Kata Diah lalu berlari turun mendapatkan Raziq. Puas wajah comel anaknya itu dikucup. Diah memeluk Raziq erat-erat bagai tiada mahu dilepaskan lagi.
“Sayang anak emak. Sayang anak emak. Rindu mak tak?”. Katanya sambil meriba Raziq. Kejap-kejap anak itu diangkat lagi , dikucup , dipeluk. Kak Biah yang memandang puas menahan air mata yang sudah bergenang dipelupuk matanya. Sedih hatinya melihatkan kerinduan seorang ibu.
“Dekat tapi jauh!”. Katanya di dalam hati sambil mengesat air hidung yang mulai turut menjengah.
“Anak mak rindukan mak tak?”. Kata Diah lalu menggendung Raziq naik ke atas.
“Puan!”. Panggil Kak Biah , mula risau melihatkan tindakan Diah membawa Raziq naik ke atas. Nanti tidak pasal-pasal , dia yang akan teruk menadah kemarahan ‘puan’nya jika situasi ini sampai ke pengetahuan ‘puan besar’nya itu!.
“Hmm ... kak Biah janganlah risau. Saya naik atas kejap ambil telepon bimbit. Nanti akak tolong ambilkan gambar kami berdua ye”. Balas Diah sambil tersenyum gembira.
“Sekurang-kurangnya bila-bila saya rindukan dia , adalah gambarnya untuk saya tatap. Bolehkan kak?”. Diah meminta izin , memandang kak Biah penuh harap.
“Ya. Boleh boleh. Tapi jangan lama-lama takut pula akak kalau Cik Puan balik nanti”. Balas kak Biah. Diah hanya mengangguk lalu meneruskan langkahnya naik ke atas.
            Sepuluh minit sudah berlalu tapi Diah tidak juga turun. Kak Biah menanti dengan cemas di bawah. “Eee apasallah lambat sangat ambil telepon. Mati aku kalau Cik Puan balik. Tak pasal-pasal je kena pecat. Aduh! Alamat kebuluranlah anak-anakku di kampung!”. Kak Biah merungut dan semakin resah apabila terbayangkan wajah anak-anaknya di kampung. Lama anak-anaknya itu tidak dijenguk. Semua urusan membesarkan mereka telah diserahkan bulat-bulat kepada ibunya. Dia hanya mengirimkan duit buat belanja setiap bulan dan doa yang tidak putus untuk kesejahteraan mereka setiap kali selesai solat.
“Semoga anak-anakku rajin belajar dan dapat membebaskan diri dari belenggu kemiskinan. Semoga tiada antara mereka yang bakal mewarisi kerjayaku sebagai pembantu rumah yang boleh disuruh apa saja dan diherdik sesuka hati. Mencari sesuap nasi dengan menadah semua cercaan dan kemarahan orang lain”. Doanya selalu , tiba-tiba dipagut rasa sayu!.
            Tidak lama kemudian kak Biah merasa lega setelah melihat Diah turun bersama Raziq yang sudahpun lena digendungan.
“Maaflah kak , lambat sikit. Tengah-tengah dukung tadi tengok-tengok terlena pula dia”. Kata Diah sambil menghulurkan telepon bimbitnya kepada kak Biah.
“Akak tolong ambilkan gambar saya sedang mendukungnya. Gambar-gambar solonya saya dah ambil masa di atas tadi”. Pinta Diah. Kak Biah mengangguk dengan senyuman lebar menghiasi wajahnya. Terasa dirinya telah berbuat baik membantu orang yang teraniaya. Beberapa aksi Diah dan anaknya ,  Raziq diambil.
“Nah!”. Kak Biah menyerahkan semula telepon bimbit  kepada Diah. Elok saja Diah menyambut telepon bimbitnya  itu , kedengaran  bunyi enjin kereta di halaman rumah. Dengan segera  Diah mengucup pipi Raziq lalu menyerahkan Raziq yang sedang lena digendungan  kepada Kak Biah. Secepat kilat Diah berlari naik ke atas.  Bukan takut , tapi  malas mahu bertentang mata dengan ibu mertuanya. Nanti ada-ada saja kata nista dan cercaan yang singgah di kuping  telinganya.



                      Duhai anakanda ... pengarang jantung hati bonda
                    Lenalah kau dalam peraduanmu nanda
                   Mimpikan bonda janganlah dilupa
                    Bonda menanti penuh setia
                        Selagi hayat dikandung badan , selagi nyawa ada
                      Selagi itu namamu terpahat di jiwa





Tetamu istimewa
            Malam itu , seperti yang telah dimaklumkan oleh Kak Biah siang tadi seorang gadis cantik berkebaya labuh datang bertamu di rumah. Dari atas , melalui jendela biliknya Diah dapat melihat dengan jelas betapa mesranya suaminya , Zuraimie membukakan pintu kereta menyambut kehadiran tetamu yang istimewa ini.
“Dah balik rupanya dia”. Kata hati Diah , merujuk kepada Zuraimie yang masih berbaju kerja.
“Cantiknya gadis itu. Siapa agaknya ye?. Adakah ...”. Diah menjadi cemas apabila terfikirkan sesuatu.
“Takkanlah dia itu calun menantu baru keluarga ini. Bakal isteri baru Zuraimie?. Mahu berapa isteri agaknya lelaki itu?”. Fikir Diah lagi. Hatinya menjadi semakin cemas.
“Siapa? Siapa? Siapa?”. Diah berjalan mundar mandir di dalam biliknya sambil bertanya-tanya sendiri. Tanpa disedarinya , perbuatannya itu diperhatikan oleh Zuraimie yang sudah beberapa ketika berdiri di depan pintu.
“Hmm ... awak kenapa?”. Pertanyaan Zuraimie mengejutkan Diah.
“Eh! Awal awak balik hari ini?”. Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan. Satu kaedah komunikasi yang amat tidak berkesan!
“Hmm ... kalau saya balik awal atau lambat pun , awak bukannya pernah kesah”. Jawab Zuraimie. Jawapan yang bernada sinis. 
“Apa maksud awak berkata begitu?”. Diah tersinggung.
“Hmm tak ada apalah. Tak ada gunanya kita teruskan perbualan ini. Sudahlah. Saya nak bersiap sekarang. Awak pun kena bersiap juga. Malam ni kita ada tetamu istimewa”. Kata Zuraimie menutup perbualan antara mereka berdua. Zuraimie terus masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri meninggalkan Diah dengan persoalan yang tidak terjawab.
“Sudah benci agaknya dia padaku. Ah! Perlukah aku peduli?”. Tanya Diah pada dirinya sendiri. Entah mengapa hatinya tidak senang memikirkan kemungkinan itu.


Tiba masa bertemu ...
Diah yang pada awalnya berdiri diam akhirnya mula membuka almari pakaiannya lalu memilih pakaian yang paling cantik di matanya untuk dipakai pada malam itu. Kebaya pendek bersulam benang emas dikenakan. Sudah lama baju itu dibeli Zuraimie namun tidak pernah dipakainya. "Mungkin malam ini adalah masa yang sesuai". Fikir Diah lalu mula mengenakan baju itu , sedang elok saja dengan susuk tubuhnya. "Hmm ... pandai juga dia memilih saizku". Kata hati Diah sambil bibirnya mengukir senyuman. Siap berpakaian , Diah mula mendandan wajahnya.  Rambutnya yang panjang mengurai disanggul tinggi. Siap dengan penyucuk sanggulnya sekali. Sehelai selendang panjang dilepaskan dari atas bahu. Tidak cukup dengan itu , Diah turut menghias wajahnya dengan solekan-solekan lembut. Begitu anggun sekali ...
Zuraimie yang baru keluar dari bilik air terpegun melihat kecantikan Diah. Sudah lama dia tidak melihat Diah berhias sebegitu. Hilang semua kejengkelan hatinya demi terpandangkan wajah yang anggun menawan.
“Cantiknya isteri abang”. Kata Zuraimie sambil memaut pinggang Diah yang ramping. Lalu sebuah kucupan singgah di pipi isterinya itu.
“Err ... bukankah kita ada tetamu istimewa malam ini. Abang tak mahu bersiap ke?”. Tanya Diah. Sengaja mahu melepaskan diri.
“Hmm ... nasib baik ada tetamu. Kalau tidak abang takkan lepaskan Diah malam ni!”. Kata-kata Zuraimie itu membuatkan Diah kecut perut.  Niatnya mahu menyaingi kecantikan dan keanggunan tetamu mereka malam itu telah menjerat diri!.

Semua terpegun
            Setelah siap , Zuraimie dan Diah turun beriringan menuju ke meja makan. Puan Sarah , Tuan Zaman dan tetamu mereka sudah sedia menunggu.  Semua mata tertumpu dan terpegun  dengan penampilan Diah. Tuan Zaman memuji-muji kecantikan Diah di dalam hati. Puan Sarah pula semakin sakit hati dan meluat melihatkan kecantikan dan keanggunan Diah malam itu.
“Hmm ... Hidayah , maafkan kami terlambat. Abang ambil masa sikit bersiap tadi”. Kata Zuraimie sambil mencuit bahu Hidayah.
“Eh! Bukan ke abang dari dulu lagi memang selalu lambat?. Hehehe” Balas Hidayah sambil tertawa manja.
“Ooo inilah Hidayah. Bekas maduku dulu!”. Fikir Diah , mula menjarakkan dirinya dari Zuraimie. Rasa jengkel tiba-tiba menjengah di hati!.
“Cantik tapi rasanya tidak setanding puan”. Diah tersenyum  apabila kak Biah yang sedia berkhidmat berdiri di penjuru ruang makan itu berbisik kepadanya. Tidak disangkanya , kak Biah bagai boleh membaca rasa cemburu yang berputik di hati.
“Apa ditunggu lagi. Duduklah Mie , Diah. Kita makan sama. Hidayah tentu sudah lapar”. Ajak Tuan Zaman. Begitu lembut sekali suaranya mempelawa Zuraimie dan anak menantunya  duduk mengambil tempat. Mungkin hanya bermuka-muka di depan Hidayah atau terpesona dengan penampilan Diah yang tampak anggun menawan!.
“Dah lama Dayah tak datang melawat kami. Dayah ke mana sebenarnya selama ini?”. Tanya Puan Sarah.
“Maaflah mak Long. Dayah sebenarnya tidak ke mana-mana. Ada di sini-sini juga. Cumanya sekarang Dayah dah bekerja. Jadi sibuklah sikit. Bila hujung minggu baru ada free. Itupun pasti ada rancangan yang perlu dibuat. Kan ke tak lama lagi Dayah akan bertunang”. Jawab Hidayah penuih sopan.
“Bertunang?!”. Bagaikan mahu tersembur makanan yang ada dalam mulut Puan Sarah.
“Bertunang dengan siapa?”. Tanya Tuan Zaman , segera air sejuk di gelas diteguk buat meredakan perasaan mendengar berita yang mengejutkan itu.
“Dengan lelaki yang bernama Saiful , kawan sekolah Dayah dulu”. Jawab Hidayah selamba.
“Siapa tu?”. Tanya Puan Sarah dan Tuan Zaman serentak , masih lagi terkejut. 
"Baru beberapa bulan bercerai sudah nak bertunang?".Fikir mereka. 
“Orang biasa saja mak Long , pak Long. Dia kerja dengan Syarikat percetakan. Hmm ... abang Mie pun kenal baik dengan dia”. Jawab Hidayah sambil tersenyum memandang Zuraimie penuh makna.
Diah yang sedari tadi hanya diam membisu merasa lega mendengar perbualan mertuanya dengan Hidayah.
“Oh! Dia dah nak bertunang tapi ... kenapa aku pulak yang rasa lega?. Apa kaitan dia dengan hidup aku? ... dan kenapa aku bersungguh-sungguh berdandan sebegini semata-mata untuk menyaingi kecantikannya. Cemburukah aku?. Cemburu?. Cemburukan dia dan Zuraimie? Cemburukan Zuraimie , lelaki yang terlalu banyak membohongiku itu?. Oh! Tidak!!!”. Persoalan demi persoalan bermain dalam benak hati Diah.


Zuraimie dikecewakan lagi
            Malam itu , sebaik sahaja HIdayah memohon diri untuk pulang , Zuraimie segera meminta diri daripada kedua orang  tuanya. Rasanya dia sudah tidak dapat bersabar melihatkan  kecantikan dan sifat-sifat kewanitaan isterinya. Zuraimie menggenggam kuat tangan Diah , sama-sama melangkah memanjat anak-anak tangga menuju ke kamar tidur mereka.
“Jom sayang. Kita tutup malam ini dengan kenangan terindah buat kita berdua”. Bisiknya perlahan. Diah yang sudah mulai seram sejuk itu tidak mampu berkata apa. Dalam hatinya dia bertekad untuk tidak menghampakan lagi lelaki ini.
“Sampai bila?. Sampai bila aku harus terus mengelak. Mungkin sudah sampai masanya aku cuba mengorak langkah  dan melakarkan cerita baru buat diriku sendiri. Mungkin juga selepas semua yang terjadi , kedua mertuaku itu akan dapat menerimaku sebagai menantu dalam rumah ini”. Fikir Diah.
            Sebaik saja pintu bilik ditutup , Zuraimie terus menggendung Diah menuju ke katil tidur mereka. Mengucup pipinya sebelum duduk bersebelahan sambil menatap wajah satu sama lain.  Perlahan-lahan cucuk sanggul yang tersemat di kepala Diah ditarik maka terburai dan terurailah rambut Diah yang panjang lurus mencecah ke pinggang.
“Cantiknya isteri abang”. Itu sajalah kata-kata yang mampu diucapnya sebelum ... dan sebelum ..... dan sebelum ........  semuanya direnggut pergi!. Diah sekali lagi dengan kasar telah menolaknya sekuat hati sehinggakan dia terjatuh ke lantai untuk kali yang kedua!.
“Jangan! Tolong jangan. Maafkan Diah. Diah tak mampu!!”. Diah menangis semahu-mahunya. Diah telah cuba menahan rasa , membuang perasaan tidak selesanya. Diah cuba menjalankan tanggung jawabnya sebagai seorang isteri. Namun akhirnya dia tewas. Diah tewas dengan perasaannya sendiri. Rasa bersalah  yang menebal apabila wajah muram arwah Raziq bermain di ruangan matanya!. Maka gagallah Diah untuk menjadi isteri yang sempurna dan hancurlah impian indah Zuraimie yang ingin memeteraikan hubungan mereka dengan sesuatu yang pasti.
 

Dunianya sendiri
            Bermula dari malam itu , Zuraimie dan Diah membawa haluan masing-masing. Penolakan untuk kali kedua itu dianggap sudah keterlaluan dan tidak mampu diterima lagi oleh Zuraimie. Ego lelakinya bagai dihenyak-henyak semahunya oleh isterinya sendiri. "Diah sudah melampau. Dia sudah terlalu melampau!!". Bentak hatinya. Akibatnya mereka kini sudah hampir tidak bertegur sapa.
             Maka hari-hari yang dilalui oleh Diah kini  kian berliku. Tiada lagi Zuraimie yang sentiasa memujuknya apabila hatinya disakiti. Tiada lagi lelaki yang akan membelanya tatkala kata-kata nista menghujaninya. Diah lebih banyak menyendiri , menghabiskan hari-harinya dengan berkurung di dalam bilik. Sendirian dan terus menyendiri ... melayan perasaan dan kenangan silam yang semakin kukuh mewarnai harinya yang sepi. Selari detikan waktu , Diah semakin tenggelam dalam dunianya. Diah sudah tidak pernah lagi makan semeja dengan ibu dan bapa mertuanya. Diah juga sudah tidak pernah keluar dari bilik tidurnya selagi Puan Sarah atau Tuan Zaman ada di rumah. Malamnya adalah siang dan siangnya adalah malam. Tatkala seisi rumah sudah memejamkan mata barulah Diah turun ke dapur mengisi perut. Beberapa botol air dan tin biskut dibawa naik ke atas dan disorokkan di dalam almari bajunya. Bila-bila terasa lapar di siang hari , Diah akan makan apa yang ada.    Bila rindu pada anaknya Raziq memuncak , Diah akan menatap wajah sicomel itu melalui photo yang telah diambilnya tempoh hari. Rakaman video yang menunjukkan kerenah dan keletah Raziq tidak pernah jemu ditatap. Malah dia sudah hafal tiap gerakan anak kecil itu.  
Kini  Diah telah benar-benar tenggelam dalam dunia ciptaannya sendiri. Dia , arwah Raziq dan anak mereka menjadi penghuni dunia barunya. Mereka bahagia bersama. Bosan diam , Diah akan bercakap-cakap dengan arwah Raziq yang sentiasa setia menemaninya ke mana jua. Sesekali Diah akan tersenyum dan tertawa mengenangkan segala kegembiraan dan kebahagiaan yang pernah mereka lalui bersama.
“Ayah , lihat ... anak kita sudah semakin cerdik. Hari tu mama dukung dia , dia terus lena dalam dakapan mama ... bla bla bla ...”. Begitulah keadaan Diah. Tenggelam dan terus tenggelam dalam dunia rekaannya.


Zuraimie buntu
            Zuraimie pula kini sudah dilantik menjadi pengurus pemasaran Syarikat bapanya. Tanggung-jawab  yang semakin besar menyebabkan dia semakin sibuk. Keluar awal pagi dan balik sehingga lewat malam. Setiap kali dia pulang , Diah pastinya sudah tidur. Dia yang kepenatan tidak mampu dan tidak mempunyai masa untuk membaiki hubungannya dengan Diah yang semakin hari semakin renggang. Mana tidaknya , tiap kali Zuraimie cuba mendekati isterinya yang pura-pura lena pasti Diah akan menepis dan menolaknya. Zuraimie sudah bosan dilayan begitu. Kini dia menyerahkan segala-galanya kepada takdir Allah.
“Abang tidak tahu sama ada Diah benar-benar tidur atau pura-pura tidur. Abang dah tak kuasa nak melayan sikap Diah yang menganggap abang ini bagai sampah. Semuanya terpulang kepada Diah. Jika Diah mahu memulihkan keadaan ini abang tunggu dengan tangan yang terbuka. Tapi jika sebaliknya , terserahlah”.  Kata-kata Zuraimie pada suatu malam mengganggu ketenangan Diah.
“Maafkan Diah bang. Diah tak mampu menerimamu sebagai suami”. Diah yang berpura-pura lena itu berkata di dalam hati.

               Rentetan dari sikap Diah yang sentiasa sedingin salju , kedua mereka akhirnya membawa hal masing-masing. ‘Dekat tapi jauh’ ... Zuraimie dengan kesibukannya manakala Diah dengan dunianya sendiri


Dungukah aku?
Udah  terleraikah akal?
Nanti hilangkah arah?
Gugur sudahkah harapan?
Usai kini bahagia?
Kenapa ditangisi?
Akukah yang dungu melulu?
Hancurkan hati sendiri?

Adakah lagi sinar?
Kelam kini kan sirna?
Untuk aku bangkit semula?

Kalau nanti pantai berubah
Entah ombak kan tetap bertamu?
Kalau nanti siang menjelma
Adakah kumbang kan kembali terbang?
Seriang dahulu mengelilingi bebunga
Impian yang tercerai kembali menyatu
Harapan indah masih boleh diburu?

Dungukah aku?
Dungukah aku masih menggenggam harap?
Dungukah aku yang hidup dibayangi dan membayangi cerita silam?


                                                             


                      Dungukah aku? - Zuraimie 2:30 am 
                                                   (15 September)
           











No comments:

Post a Comment