Popular Posts

Sunday 11 May 2014

"Keranamu DIAH" : Bab 22

BAB 22 :       KONFLIK TERUS MELANDA

Tuan Zaman berang
            Lewat petang itu , Zuraimie pulang ke rumah kedua ibubapanya. Sebaik sahaja kakinya melangkah masuk , ayahnya Tuan Zaman sudah sedia menunggu di sofa ruang tamu rumah mereka bersama ibunya Puan Sarah.
“Dari mana saja kau seharian  ini?. Aku beri kau cuti agar kau dapat habiskan masa kau bersama Dayah. Ini tidak , cuti kau ambil tapi Dayah kau tinggalkan sendirian menangisi nasibnya yang malang bersuamikan lelaki dayus seperti kau!”. Tempelak Tuan Zaman , marah sungguh dia mendengar suara esakan menantu kesayangannya.
“Ayah apa ni?. Urusan rumah tangga Mie biar Mie yang uruskan. Tak perlulah mak dan ayah masuk campur”. Jawab Zuraimie , agak kurang ajar. Serabut fikirannya memikirkan soal Hidayah , kini ditambah pula dengan leteran dan kemarahan kedua orang tuanya.
“Kau uruskan?. Pasal suruh kau uruskanlah semua ini terjadi. Apa mak nak jawab pada Mak Su Sofea kalau dia telepon bertanyakan hal ini?. Malu mak Mie , malu!”. Sampuk Puan Sarah.
“Itu Mie tak mahu tahu. Mak boleh beri apa saja alasan yang sesuai. Pada Mie , ini urusan rumah tangga kami. Orang lain tak perlu campur!”. Zuraimie mulai naik berang. Tidak sudah-sudah kedua ibubapanya menmcampuri urusan hidupnya.
“Amboi pandainya kau bercakap. Tak mahu kami masuk campur. Tapi tengoklah apa yang sudah kau buat. Dapat anak sebelum menikah. Elok-elok ada isteri yang sempurna , yang pincang  itu juga kau nak!”. Kata Tuan Zaman sambil menudingkan jarinya ke tingkat atas.
“Ayah!. Jangan ayah dan mak menghina Diah. Diah itu isteri pilihan hati Mie sendiri. Oh! Sekarang mak dan ayah letakkan segala kesalahan atas bahu Mie tapi sedar tak mak , ayah... semua konflik ini terjadi atas perbuatan mak dan ayah juga!. Semua ini takkan terjadi kalau mak dan ayah tidak memaksa Mie berkahwin dengan Dayah dulu. Dia itu sudah Mie pandang bagai adik kandung Mie sendiri. Bukankah sedari kecil kami sudah beradik berabang. Mie tak mampu nak menukar statusnya dari adik kepada isteri. Mie tak mampu mak! Ayah!”. Zuraimie sudah hilang sabar. Dia tidak boleh menerima kata-kata Tuan Zaman yang terus-terusan menyalahkannya dan menghina isteri pilihannya , Diah.
“Apa kata kau?. Kami yang bersalah?”. Tanya Puan Sarah.
“Ya!. Mak dan ayah yang bersalah. Kalau dulu mak dan ayah tidak memaksa Mie dan Dayah berkahwin taklah semua ini sampai terjadi. Mie dan Dayah tidak akan menderita seperti sekarang. Kami sepatutnya sedang berbahagia dengan pilihan kami masing-masing. Tapi demi impian mak , ayah , maksu dan pak su maka kami yang menjadi mangsa! Bukan saja Hidayah , Mie sendiri pun tertekan dengan semua ini!!”. Jawab Zuraimie , memandang wajah Puan Sarah  dengan mata yang tidak berkelip.
“Kurang ajar!. Berani kau meninggikan suara dengan emak kau sendiri. Madu yang kami bagi , tuba yang kau balas”. Serentak dengan tengkingan itu , tangan sasa Tuan Zaman tepat hinggap di pipi kiri  Zuraimie. Terhenyak Zuraimie ke tepi dek kuatnya tamparan itu.
“Hidayah itu seribu kali lebih baik dari isteri kau itu. Tidak susah untuk kau menukar perasaanmu terhadap dia asal saja kau mahu. Ini tidak , lagi-lagi status adik itu juga yang kau jadikan alasan!”. Kata Tuan Zaman dengan nada yang tidak kurang tingginya. Dia sudah cukup bersabar dengan kerenah anak lelakinya ini.
“Memang Hidayah itu tiada kurang satu apapun ayah. Tapi Mie memang dah lama anggap dia itu seperti adik kandung Mie sendiri. Mie bukan memberi alasan tapi Mie memang tak mungkin dapat menukar perasaan ini. Sedari kecil kami sudah dibesarkan bersama. Mie betul-betul sayangkan dia seperti adik kandung Mie sendiri dan itu tidak akan pernah berubah!!”. Jerit Zuraimie , sudah hilang sabarnya . Semuanya diluahkan agar mak dan ayahnya faham konflik yang melanda jiwanya kini.
“Ya Allah Mie!. Dia itu isteri kau bukannya adik kandung kau!”. Balas Puan Sarah sambil menepuk dahinya berkali-kali.
           
Diah terkejut
            Setelah merasakan pertengkarannya dengan kedua ibubapanya menemui jalan buntu , Zuraimie segera mengangkat kaki meninggalkan mak dan ayahnya yang sudah terduduk sambil mengurut dada.
“Astarghfirullah ... apa nak jadi ni bang?”. Keluh Puan Sarah. Tuan Zaman hanya menggeleng-gelengkan kepalanya , “Siapa yang bersalah?”. Fikirnya sendiri.
            Zuraimie melangkah laju memanjat tangga menuju ke biliknya , khuatir jika pertengkarannya dengan kedua ibubapanya tadi telah didengar oleh Diah.
“Ya Allah , janganlah kau uji aku dengan kehilangannya. Aku cintakannya sepenuh hati ya tuhan. Bantulah aku untuk memiliki hati dan pengertiannya”. Doanya di dalam hati. Sampai di muka pintu , segera daun pintu ditolak.
“Diah! Maafkan abang. Maafkan abang atas apa yang terjadi!”. Zuraimie meluru mendakap Diah yang teresak-esak menangis di penjuru katil. Diah diam , membiarkan Zuraimie terus mendakapnya lalu mereka sama-sama menangis ...

Berterus terang ...
            Setelah tangisan keduanya reda , Zuraimie merenggangkan dakapannya. Wajah isteri yang dibasahi air mata itu ditatap sayang.
“Diah , maafkan abang. Maafkan abang kerana tidak mampu berterus terang”. Katanya perlahan.
“Berapa banyak pembohongan yang  abang cipta untuk mengikat  hubungan kita?”. Balas Diah. Perlahan-lahan suaminya ditolak , Diah bangun menuju ke sofa.
“Diah , abang boleh jelaskan”. Zuraimie berkata sambil mengekori Diah.
“Tak perlu. Semuanya sudah terlambat. Kalau abang benar jujur , abang telah berterus terang dari sebelum kita bernikah lagi”. Diah tidak mahu mendengar penjelasan Zuraimie , hatinya benar-benar terluka. Setelah segalanya terbongkar baru mahu mengaku , sayang semua itu sudah tidak bererti lagi. Sudah terlambat!!
“Diah ... berilah abang peluang menjelaskannya”. Rayu Zuraimie.
“Jelaskan apa lagi. Sejak hari pertama Diah melangkah masuk dalam rumah ini , tiada satupun kata-kata manis yang dilontarkan oleh mak dan ayah abang. Diah pasrah ... Diah anggap itulah hukuman atas kesalahan Diah yang lalu. Demi Raziq , Diah rela dipandang hina oleh keluarga abang. Tapi rupa-rupanya Diah silap. Ada cerita di sebalik semua layanan buruk mereka. Memang patutlah mereka marah , mereka bencikan Diah. Diah ini tak lebih dari  sampah yang terhegeh-hegeh menumpang di sini. Bagai duri dalam daging yang menusuk dan memecahkan ketenangan hati dan kehidupan mereka!!”. Balas Diah dengan begitu beremosi sekali.
“Diah ...” tergamam Zuraimie mendengar luahan hati Diah yang bagaikan peluru menembak terus ke jantung hatinya , tiada henti. Serentak dengan itu Diah berlari ke bilik air lalu menguncikan dari  dalam.
“Patutlah aku dilayan sebegitu buruk oleh kedua mertuaku sendiri. Rupanya bukan mereka yang bersalah tapi ... kau!. Kau Zuraimie!”. Hati Diah menjerit sekuat-kuatnya. Tidak rela diperlakukan sesuka hati mereka. Tidak suka terus-terusan ditipu oleh Zuraimie.
“Diah ... berilah peluang kepada abang untuk menjelaskan segalanya”. Rayu Zuraimie dari luar. Pintu bilik air diketuk berkali-kali.
“Tidak!. Diah tak mahu dengar apa-apa penjelasan lagi. Sudah cukup apa yang Diah dengar sedari tadi. Pergi! Pergi! Pergilah kepada dia , isteri abang yang srempurna itu. Pergi! Tinggalkan Diah sendiri!”. Diah menjerit-jerit melepaskan perasaannya. Rasanya dia tidak mahu mendengar lagi suara Zuraimie apatah lagi menatap wajah lelaki ini. Bukan sedikit pembohongan yang dicipta lelaki ini terhadapnya. Pembohongan dulu belum selesai , kini sudah timbul pembohongan baru!
 “Pergi! Aku kata pergi!. Pergilah kau pada isteri kau yang sempurna itu! Pergi! Pergi!!”. Diah terus menjerit-jerit sehingga akhirnya dia terkulai dan jatuh terjelepuk. Suara Diah yang tiba-tiba diam membuatkan Zuraimie panik dan risau ... “Diah! Diah! Buka pintu ini sayang. Diah! Jangan takutkan abang begini”. Jerit Zuraimie dari luar.
Tiada jawapan dari dalam. Zuraimie melekapkan telinganya di pintu bilik air itu ... sunyi tiada jawapan. Bertambah cemas dia jadinya.
“Diah! Kalau Diah tak buka juga pintu ni sekarang , abang pecahkan pintu ni. Abang kira sampai tiga. Satu ... dua ... tiga!”.

Ditelan mati emak , diluah mati ayah
Diah pengsan , bebanan perasaan yang ditanggungnya kini membawanya pergi  dari dunia nyata. Zuraimie bingung. Mana hendak difikirkan soal Hidayah yang meratapi nasib diri di Puchong dan kini  soal Diah yang masih tidak sedarkan diri.  Kakaknya , Doktor Anisah masih lagi di atas. Sudah lebih 15 minit dia merawat Diah. Zuraimie jadi cemas ,  berpeluh-peluh dahinya , takut kalau-kalau Diah koma semula.
“Ya Allah , janganlah itu sampai terjadi lagi. Jika Diah koma semula aku tidak akan dapat memaafkan diri ini. Ya Allah , tolonglah hambamu ini”. Di atas tikar sejadah Zuraimie berdoa tanpa henti.
            Doktor Anisah datang dengan tergesa-gesa setelah dihubungi adiknya.
“Kak , tolong datang segera. Diah pengsan!”. Kata-kata adiknya yang penuh kebimbangan menyebabkan dia sendiri menggelabah , bergegas meninggalkan hospital Kajang untuk segera pulang ke rumah. Doktor Anisah faham dan simpati dengan konflik dan masalah yang membelenggu hidup adiknya. Terjerat dalam kancah masalah yang dibina oleh keluarganya sendiri. “Kini pastinya kau benar-benar terseksa dik”. Fikirnya.
            Wajah Diah yang pucat diusapnya perlahan. “Bangun dik. Bangun”. Kata Doktor Anisah.  Diah membuka matanya perlahan-lahan. Panggilan dan usapan kakak iparnya itu mengembalikannya ke alam nyata.
“Kak!”. Panggilnya lalu mendakap doktor Anisah.
“Shhh ... sudah. Jangan bersedih lagi. Akak faham perasaan Diah”. Pujuk Doktor Anisah.
“Kak , kenapa nasib saya jadi seburuk ini?”. Tanya Diah.
“Jangan kata begitu. Takdir ini sudah tersurat dalam hidupmu dik. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Sabarlah”. Pujuk Doktor Anisah lagi.
“Kak , akak memang sudah tahu yang Zuraimie itu sudah punyai isteri lain?”. Tanya Diah , memandang wajah doktor Anisah penuh harap.
“Ya dik. Maafkan akak kerana tidak memberitahumu lebih awal”. Jawab Doktor Anisah. Air mata Diah mengalir demi mendengar pengakuan itu.
“Tapi Diah , janganlah kau salahkan Zuraimie atas apa yang terjadi. Sebenarnya dia terpaksa menikahi Hidayah , adik sepupu kami sendiri sebagai lesen untuk mendapat restu emak dan ayah agar membenarkannya menikahimu. Hidayah itu sudah dianggapnya seperti adik kandungnya sendiri. Malah pada awalnya Hidayah sendiri tidak rela dengan pernikahan mereka. Semua ini kerja orang tua yang langsung tidak memikirkan hati dan perasaan anak-anak. Jadi kakak minta sangat pada Diah, tolonglah jangan tambahkan lagi masalah yang sedang ditanggung Zuraimie. Dia itu kini benar-benar sudah terjerat. Ditelan mati emak , diluah mati ayah. Kasihan dia dik”. Doktor Anisah cuba mendapatkan pengertian daripada adik iparnya itu.
Diah diam sebelum akhirnya mengangguk lemah.
“Ya kak , siapalah saya mahu menyalahkan Zuraimie. Hidup saya , maruah saya telah diselamatkannya. Apa lagi hak yang saya ada untuk meminta lebih”. Jawapan Diah itu amat melegakan doktor Anisah. Baginya , siapapun pilihan Zuraimie  adalah tidak penting.Keutamaannya ialah kebahagian Zuraimie , satu-satunya adik yang dia ada.

Malam  Kedua
            Baru dua hari bergelar isteri , macam-macam perkara telah berlaku. Sejak ditinggalkan Doktor Anisah maghrib tadi , Diah hanya memerap di dalam biliknya. Sesekali teringin juga dia keluar mendapatkan anaknya Raziq. Di kala hati dirundung kesedihan , hanya Raziq yang terbayang di mata. Apalah nasib anak kecil itu , dipisahkan daripada ibunya di bawah bumbung yang sama. Diah sedih mengenangkan nasib anaknya. Tadi baru saja dia menghabiskan masa lebih setengah jam di bilik air semata-mata untuk memerah susunya yang sudah membengkak.
“Maafkan mak sayang kerana tak dapat hendak mendakapmu , menyusukanmu. Tentu kau sedang dahaga sekarang. Tapi mak ini tidak berdaya. Mak tidak berdaya melawan dan menahan pandangan bengis nendamu. Mereka bencikan mak sayang. Mereka bencikan mak. Mak ni mereka anggap macam penyakit yang mengganggu hidup mereka. Penyakit yang harus dihapuskan. Mereka benci mak. Sebab itulah mereka ambil kau sayang. Mereka sengaja mahu menyakiti hati mak. Mereka sengaja  mahu pisahkan kita dua beranak!”. Diah memerah susunya sambil berlinangan air mata.
“Ziq , kenapa awak tinggalkan saya untuk hadapi semua ini sendiri. Mengapa tidak kita sama-sama pergi meninggalkan dunia ini?”. Ratapnya lagi. Wajah arwah Raziq terbayang diingatan.
“Tidak , saya tidak mahu kita sehidup dan semati. Tu , ingat. Ada orang ketiga yang mesti kita jaga. Kalau apa-apa terjadi kepada saya , awak kena hidup sihat untuk menjaga bayi kita. Janji , berjanji dengan saya Diah”. Bagai terngiang-ngiang lagi suara Raziq mengingatkan janji yang pernah mereka meterai suatu ketika dahulu. Kata-kata itulah yang menjadi kekuatan baginya mengharungi hidup yang mencabar ini.
“Ya Ziq , saya berjanji ...”. Kata Diah perlahan.


Menatap wajah di cermin
            Diah menyikat rambutnya yang panjang mengurai. Wajahnya di cermin ditatap lama. Sesekali dia cuba tersenyum. Kalau boleh dia ingin sentiasa tersenyum menghadapi apapun rintangan. Namun ternyata , senyumannya hambar. Tiada seri pada senyuman itu. Benarlah kata orang , apa yang ada di hati akan terserlah pada wajah.
“Huh!”. Keluhnya.
“Diah , tak bolehkah kau berpura-pura bahagia?. Berpura-puralah demi membesarkan  anakmu Raziq. Berpura-puralah demi kebahagiaan lelaki yang telah terlalu banyak berkorban buatmu”. Diah memujuk hati.





Wajah ini ...
Adalah gambaran hati
Jejari yang berlari  merongkai
Asyik membelai rerambut nan mengurai
Hakikatnya kekusutan tidak juga terurai

Gambaran kesedihan sendu
Alunan hati nan memilu
Membuai rasa memburu
Bagaikan terus-terusan keliru
Andai kekasih tiada mahu
Resah kembali datang bertamu
Andai tiada lagi rasa cemburu
Nestapakah nanti tika hati berkata jemu?

Hai hati ...
Apalagi yang ditangisi?
Takdir diri sudah dimeterai
Insaflah akan khilaf sendiri


Wajah Gambaran Hati ...



         
        
       
Zuraimie kecewa lagi.
            Tatkala Diah cuba melelapkan matanya , berbaring sendirian di atas katil dan cuba melupakan segala persoalan yang menghantui diri  , pintu bilik dibuka dari luar. Sekonyong-konyong Diah melihat Zuraimie berjalan longlai menuju ke arahnya. Segera Diah memejamkan mata. Kalau boleh dia tidak mahu berdialog dengan Zuraimie pada ketika ini.
“Sayang , awak dah tidur?”. Tanya Zuraimie lembut sambil mengusap-ngusap rambut Diah. Perlahan-lahan dahi Diah dikucup. Diah diam terus membatukan diri. Entah mengapa perasaannya tidak selesa diperlakukan begitu oleh Zuraimie , suaminya sendiri. Serta merta wajah arwah Raziq bagaikan terbayang di ruangan matanya. Wajah itu kelihatan amat sedih melihat Diah telah menduakannya. Lantas Tubuh Zuraimie yang baru mahu cuba mendakap tubuhnya ditolak kuat. Terjatuh Zuraimie ke lantai!.
“Diah?!”. Sekali lagi Zuraimie kebingungan.
“Apa yang sebenarnya terjadi?. Mengapa sayang buat abang begini?”. Tanya Zuraimie bertubi-tubi. Dia benar-benar terkejut dengan apa yang dilakukan Diah. Sangkanya malam ini dia akan dapat menenangkan hati dan fikiran  yang kusut dalam dakapan isteri tercinta. Sebaliknya dia telah ditolak jatuh sampai ke lantai. Begitu hina. Zuraimie benar-benar rasa terhina!. Lebih hina daripada seekor anjing kurap!!
“Kalau beginilah layanan yang abang dapat dari Diah , tak apa. Biarlah abang pergi saja dari sini!”. Katanya marah lantas terus bangun mengambil dompet dan kunci keretanya , keluar dari bilik dengan perasaan yang sungguh terhiris.
“Abang , maafkan Diah!”. Diah berkata sendiri. Tapi untuk apa kerana pada ketika ini Zuraimie sudahpun menekan pedal minyaknya , memandu laju membelah malam. Diah hanya mampu memandang dari jendela bilik sedangkan kereta dipandu Zuraimie semakin menghilang.


Merintih kalbu

Tuhanku ...
Mengapa hati ini begitu keras mempertahankan kisah lalu
Mengapa ia harus terus datang menghantui perjalanan hidup yang sedia berliku?
Mengapa tidak kau luputkan terus  daripada  ingatan agar dapat aku merintis jalan baru?
Mengapa begini buruk nasib terpahat mengukir  ngeri laluan  ini hanya bertemankan alunan pilu?
Mengapa aku juga yang terus termangu menantikan nyanyian itu?

 






No comments:

Post a Comment