BAB 17 RUMAH RAZIQ DI
CHERATING , PAHANG.
Sebentar lagi segalanya akan terbongkar.
Perjalanan
masih diteruskan. Ziah dan Diah sudah
lama terlena , penat dan mengantuk
lebih-lebih lagi setelah mengharungi pelbagai peristiwa pada hari ini. Menjelang
enam petang barulah mereka sampai ke pekan Cherating.....
“Wah ! cantiknya pemandangan”. Kata
Zuraimie di dalam hati. Kagum melihat keindahan laut Cherating. Laut pantai
timur memang sangat berbeza keindahannya dengan laut pantai barat. Sungguhpun
begitu keindahan pemandangan itu tidak langsung dapat menghapuskan kegelisahan
di hatinya. Sebentar saja lagi segalanya
akan terbongkar. Kebenaran akan terserlah , pembohongannya akan punah. Bagaimana caranya harus dia menyakinkan Diah
tentang niat baiknya itu. Salah faham pasti akan terjadi. Niatnya akan
disalahertikan. Pembohongannya ini akan
memakan diri.
“Bohong sunat yang kini menjerat!”.
Fikirnya lagi.
“Huhh!!!”. Keluhnya berat.
Perasaannya tidak keruan , lebih meresahkannya ialah tindakannya itu turut
menyeret sama Ziah , kawan baik Diah. Tentu akibatnya lebih parah.
“Huhhh!. Semoga keajaiban terjadi”.
Doanya di dalam hati.
“Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih
dan Penyayang”. Zuraimie cuba menguatkan semangatnya agar tidak mudah berputus
asa. Di mana lagi harus manusia
menggantungkan harapannya jika tidak kepada Allah , Tuhan yang Maha
Mengetahui lagi Maha mengasihi.
... hanya berlakon hilang ingatan
“Diah , bangunlah. Kita dah sampai di
Cherating ni. Tunjukkan jalan”. Zuraimie
mengejutkan Diah. Suaranya mengejutkan Diah itu turut membangunkan Ziah dari
lenanya.
“Hah?! Dah sampai Cherating. Lamanya
kita tidur!”. Kata Ziah spontan , tidak menyangka yang dia akan tidur senyenyak
itu. Perjalanan berjam-jam langsung tidak terasa.
“Macam baby !”. Usik Zuraimie sambil
tersenyum , memandang Ziah melalui cermin pandang belakangnya.
“Hmm
... bukan babylah tapi ‘sleeping
beauty!’”. Jawab Diah. Cuba menceriakan suasana.
“Huh!
Yelah sleeping beauty , tolong tunjukkan kat prince you ni mana
jalannya?”. Gurau Zuraimie pula. Cuba
menutup resah di hati. Diah menggosok-gosokkan mata memandang keliling , cuba mencari tanda dan arah yang mungkin
dapat membantu. Sesungguhnya Diah sendiri tidak pasti sama ada dia boleh
mengecam jalan ke rumah ibu Raziq atau tidak. Permintaannya ke mari semata-mata
atas gerakan naluri sahaja. Hakikatnya Diah sendiri tidak faham mengapa dia
begitu tegar mahu ke sini , ke rumah ibu Raziq!.
Diah memandang ke kiri dan kanan
jalan ... “macam tahu ... macam ingat tapi tak pastilah!”. Jawab Diah
perlahan-lahan. Jawapan yang membuatkan Zuraimie membungkam!. Berkerut dahinya
mendengar jawapan itu.
“Jap! Aku cuba...” Kata Diah setelah
melihat reaksi wajah Zuraimie. Diah memaksa otaknya bekerja lebih , memandang
kiri dan kanan mencari punca ... tiba-tiba mata Diah terpandangkan sekumpulan
lembu yang sedang merayau sambil meragut rumpu di tepi jalan , “Mereka lebih
hebat dari raja”. Kata-kata itu spontan saja terkeluar dari bibirnya.
“Apa?. Siapa?”. Tanya Zuraimie , hairan.
“Tu , lembu-lembu tu?”. Jawab Diah.
“Apa?. Lembu ... raja?”. Tanya Ziah
tidak faham.
“Hmm ... entahlah. Tiba-tiba saja aku
macam pernah dengar kata-kata itu. Lembu-lembu ini lebih hebat dari raja ...
sebab?”. Diah terhenti.
“Sebab?!”. Tanya Ziah dan Zuraimie
serentak.
‘Hmm ... entahlah. Akupun tak tahu. Sudahlah!
Lupakan saja pasal lembu itu. Mungkin aku masih ‘mamai’ sebab baru bangun tidur”. Diah diam ,
tidak mahu memperpanjangkan soal ‘lembu’
namun di dalam kepalanya bagai terngiang-ngiang akan jawapannya ...
jawapan yang entah dari siapa , “lembu ni
lebih hebat dari raja sebab dia boleh ‘landing’ mana-mana saja yang dia nak.
Tak ada siapa boleh marah”.
Timbul tandatanya di hatinya , “Macam
pernah ku dengar , tapi siapa?”. Fikirnya di dalam hati.
“Hah Diah , ke mana kita ni?”. Tanya
Zuraimie tiba-tiba , langsung hilang persoalan yang bermain di fikiran Diah. Sekali
lagi Diah memanjangkan kepalanya ,
melihat-lihat sekeliling.
“Perlahan sikit”. Pintanya dan
Zuraimie akur , memperlahankan keretanya sehingga 40 km/j.
“Eh dah dekat ni. Depan tu ada
selekoh , nanti belok kanan . Lepas tu jalan terus je. Itu jalan kampung”. Diah
menunjuk arah. Tidak disangka , mulutnya berkata begitu lancar sekali . Diah
sendiri terkejut , ingatannya masih cukup kuat untuk terus mengingati tempat
ini. “Tapi kenapa Zuraimie dan Ziah tak ingat langsung ye?. Aku yang hilang
ingatan atau mereka?”. Fikir Diah sedang Zuraimie hanya menurut sahaja seperti
yang diarahkan.
“Huh!. Kau masih ingat segalanya”.
Keluh Zuraimie. Keluhan yang mengandungi kerisauan. “Takkanlah dia hanya
berlakon hilang ingatan ... atau telah tertipukah kami?!”. Fikir Zuraimie.
Tanpa disedarinya Ziah juga memikirkan perkara yang sama. Mata Ziah terus
memandang sahabatnya Diah. “Bersandiwarakah kau Diah?”. Fikirnya.
Bagi diri Diah pula ... “Mengapa
aku merasa terlalu mesra dan sangat
mengenali tempat ini , laluan ini. Perasaan ini ... amat tenang dan sangat
gembira!”. Fikir Diah. Terasa tidak sabar-sabar untuk sampai ke tempat yang
dituju.
“Apa yang agaknya menantiku di
sana?”. Diah cuba meneka sambil
memejamkan matanya. Sebelah tangannya diletakkan di atas dada , cuba merasa
degupan jantungnya sendiri.
Pangkin kayu ... masih di situ.
Akhirnya Kenari berhenti
di halaman sebuah rumah kayu. Sederhana besar tetapi indah. Bunga-bungaan
pelbagai warna masih menyerikan setiap anak tangga. Pangkin kayu di bawah pohon
manggis masih di situ. Begitu juga dengan tikar mengkuang yang menutupinya.
Sederhana , indah dan selesa ...
“Assalamualaikum!”
“Assalamualaikum ... mak
Mah!! ... mak Mah!!”. Nama mak Mah keluar begitu saja dari mulut Diah. Ziah dan
Zuraimie saling berpandangan , “Permainan apa yang sedang kau mainkan ini
Diah?”, kata hati Zuraimie. Ziah pula sedang berkerut dahi memikirkan sesuatu.
Diah berlari dan memanggil
dengan suara yang sedikit dikuatkan. Entah mengapa hatinya rasa terlalu dekat
dan mesra dengan segala yang ada di situ. Rumah itu , tangga itu , pangkin itu
... segalanya. Dia juga seperti terdengar-dengar sahaja suara lelaki memanggil-manggil ibunya. “Ya. Barangkali dulu Raziq juga
memanggil-manggilnya begini”. Fikir Diah
, terasa kesayuan dan kerinduan yang
mencengkam ... sedang dia sendiri tidak mengerti.
“Waalaikummussalam ... siapa tu?”. Jawab satu suara dari dalam rumah.
Tidak lama kemudian seorang perempuan
tua menjengahkan kepalanya ke luar pintu. Sebaik sahaja terpandangkan wajah
Diah , mak Mah berlari menuruni anak
tangga lalu menerpa ke arah Diah ,
memeluk dan segera mengusap perut Diah. Air matanya jatuh bercucuran.
“Mak Mah ...”. Diah sungguh terharu .
Air matanya turut mengalir . Benarlah firasatnya , ibu ini sangat
menyayanginya.
“ Tapi mengapa?. Sejauh manakah
hubungan kita?”. Fikirnya. Diah juga seolah-olah dapat menyelami dan
memahami perasaan mak Mah. Seorang ibu yang kehilangan satu-satunya anak
kesayangannya. Kini mereka sama-sama berpelukan dalam tangisan. Zuraimie dan
Ziah hanya memerhatikan ... terharu ... cemas dan kecut perut!. Cemas kerana
pembohongan mereka bakal terbongkar. Kecut perut memikirkan perkara yang
mungkin terjadi!.
Kini pastilah sudah bagi
Zuraimie dan Ziah bahawa ingatan Diah sudah kembali pulih. Cuma persoalannya ,
mengapa Diah masih mahu terus berpura-pura dan membiarkan mereka untuk terus-terusan
mempercayai bahawa tembelang mereka masih selamat. Konon pembohongan mereka
masih tidak dapat dihidu oleh Diah!. Kini siapa yang membohongi siapa? , “Diah
, sampainya hatimu”. Hati Zuraimie meratap , kecewa diperbodohkan. Namun tidak
tahu ke mana harus di arah ratapannya itu kerana bak kata pepatah , ‘merajuk
pada yang sayang’. Persoalannya , sayangkah Diah akan dirinya?.
Usai berpelukan sakan dan
setelah henti air mata yang bercucuran , Diah segera berpaling kea rah
teman-temannya , Ziah dan Zuraimie.
“Mak Mah , tentu masih ingatkan. Ini
Zuraimie. Katanya dia juga pernah ke sini dulu. Kami berkawan baik dengan
arwah?”. Diah sengaja mengajukan soalan
itu kepada mak Mah. Dia sendiri mahukan kepastian tentang siapakah sebenarnya
Zuraimie padanya. Mak Mah diam , menatap wajah Zuraimie ... lama. Hati tuanya dapat mengesan keresahan di
wajah anak muda ini. Pandangannya beralih kepada Ziah. Juga keresahan yang
melampau terpancar daripada riak wajah gadis ini. Ziah sampaikan mengelap peluh
sejuk di dahinya dengan tisu yang memang selalu ada di dalam tas tangannya.
“Matilah aku , pasti segalanya bakal
terbongkar. Bagaimana aku mahu menhadapi situasi ini?. Ya Allah , bantulah
kami”. Doanya di dalam hati.
Mak Mah diam , lama direnungnya wajah
Zuraimie dan Ziah bergilir-gilir sehingga akhirnya dia bersuara , “Ya. Kamu
bertiga memang berkawan baik. Cuma mak ini yang semakin tua. Sudah banyak perkara
yang mak lupa! Err ... siapa ya nama kamu nak. Maaflah mak ni dah tua , selalu lupa ”. Jawab mak Mah , membahasakan dirinya ‘mak’.
Zuraimie dan Ziah menarik nafas lega!.
“Err ... mak Mah. Saya Ziah. Kawan
mereka juga”. Ziah memperkenalkan dirinya sendiri sambil menghulurkan tangan
untuk bersalaman dengan mak Mah. Mak Mah menyambutnya. Tangan sejuk Ziah
digenggam lama. Wajah Ziah direnung.
Mata tuanya cuba membaca isi hati gadis ini. Beralih pula kepada Zuraimie , mak
Mah dapat mengesan gelora dihati anak muda ini.
Zuraimie lega ...
“Mak Mah , Diah datang ni ada hajat
yang besar sangat ... Diah betul-betul perlukan pertolongan Mak Mah”. Diah memulakan bicara.
“Kalau gitu , Diah bawa kawan naik ke
atas dulu. Biar mak ke dapur sekejap.
Kau orang semua tentu dah penat. Duduklah
berehat dulu”. Mak Mah berkata kepada para tetamunya sebelum ke dapur menyediakan sedikit juadah. Diah
mengajak Ziah dan Zuraimie duduk di
ruang tamu rumah itu.
“Err ... tak mengapa. Saya ingin
mengambil angin di luar dahulu”. Kata Zuraimie lantas ke anjung rumah , melihat-lihat kawasan
sekitar. Suasana kampung , rumah dibuat
di tengah-tengah kawasan tanah masing-masing. Pelbagai jenis pohon
buah-buahan ditanam di sekeliling rumah sehingga melindungi pemandangan ke
rumah jiran.
“Huhh!”. Berat hatinya mahu
meninggalkan Diah sendirian bersama mak Mah di situ.
Namun dia cukup bersyukur dan lega dengan pengakuan mak Mah tadi.
“Mengapa ibu ini sanggup berbohong ?.
Sudah jelas aku dan Ziah memang tak pernah sampai ke sini tapi ...”. Fikir
Zuraimie. Belumpun sempat Zuraimie berfikir lebih jauh , tiba-tiba ...
“Nak ... mari tolong mak angkatkan setandan pisang di
belakang sana”. Tiba-tiba mak Mah bersuara dari arah belakang Zuraimie.
Zuraimie terkejut lalu segera menoleh.
“ Err ... baik mak. Mari saya
tolong”. Jawab Zuraimie sopan lalu
berjalan menuruti langkah mak Mah menuju ke ruang dapur. Sampai di dapur mak
Mah menuding ke arah luar pintu
belakang. Di situ tersandar
setandan pisang awak yang sudah
mula kekuningan warnanya.
“Itu pisangnya , tolong mak angkatkan
ke mari”. Pinta mak Mah. Zuraimie mengangguk lalu segera melipat lengan bajunya
sebelum mula memegang tandan pisang.
Tiba-tiba mak Mah menepuk bahu
Zuraimie dari belakang.
“Biarkanlah pisang itu dahulu ,
sekarang ceritakanlah pada mak perkara yang sebenarnya!”. Pinta mak Mah.
Zuraimie terkejut mendengar permintaan mak Mah itu.
“Mak Mah ... terima kasih!.”. Terharu
, menggenggam tangan ibu tua itu lalu
menciumnya. Maka segalanya terbongkar ...
“Huh!. Sungguh besar pengorbanan
kamu. Kalau benarlah itu hajat arwah , mak sanggup menolong. Bukan kerana mak
bersetuju dengan pembohongan kalian tetapi
demi arwah anak mak , Raziq. Lagipun
yang dikandungkan itu adalah cucu mak!. Mak sangat berbesar hati jika
dia dilahirkan di sini”. Air mata mengalir dari kelopak mata ibu tua ini.
“Sekurang-kurangnya mak dapat
menyambut kelahirannya dan dapat bersama cucu mak walaupun untuk seketika. Ini
sajalah yang dapat mak buat untuk anak mak yang sudah pergi . Tapi mak minta ,
setelah segalanya selesai dan sesudah kamu berkahwin dengannya nanti ...
janganlah kalian lupakan mak di sini. Sesekali bawalah cucu mak balik ke mari.
Mak sudah tiada siapa-siapa lagi di dunia ini!. Satu-satunya anak mak sudah
tiada. Tidak mak sangka dia akan pergi dahulu meninggalkan mak yang sudah tua
ini sendirian” Pinta dan ratap mak Mah , sedih mengenangkan nasib sendiri.
“Ya mak. Jika itulah permintaan mak ,
saya akan pastikan ianya terlaksana. Saya benar-benar terhutang budi kepada
mak. Semoga amanat arwah dapat saya tunaikan. Namun , saya mohon maaf dari mak
kerana terpaksa berbohong begini. Lagi teruk , saya mengheret mak dalam
pembohongan ini juga”. Kata Zuraimie berjanji tidak akan memutuskan ikatan
antara nenek dan cucu lalu menyeka air mata ibu tua itu.
Kami memang telah bercadang untuk
berkahwin
Mak
Mah meneruskan kerja menggoreng pisang sambil dibantu oleh Zuraimie. Terhibur
hati tuanya melihatkan kesopanan dan kebaikan tingkah laku Zuraimie itu.
Terubat sedikit kerinduannya terhadap arwah anaknya , Raziq. Kebetulan pula
wajah Zuraimie memang ada iras-iras wajah anaknya Raziq terutamanya di bahagian
mata dan mulut. “Kening lebat hampir bertaut di tengah , mata sederhana besar
yang agak meruncing dihujungnya. Bibir yang lebar dengan senyuman yang manis.
Manis sekali. Adakah kau dikirimkan untuk mak sebagai pengganti arwah?”. Bisik
hati kecil mak Mah. Sesekali wajah Zuraimie ditatapnya.
Setelah
segalanya selesai mereka sama-sama mengangkat dulang , membawanya ke ruang
tamu. Tersenyum sesama sendiri sehingga menimbulkan kehairanan di hati Ziah dan
Diah.
“Amboi , mesranya awak Zuraimie.
Dah macam rumah sendiri pula”. Usik
Ziah.
“Eh! Mestilah. Aura penyayang mak Mah
ni memang kuat. Tu yang aku melekat je jadinya. Kan mak?”. Jawab Zuraimie ,
meminta sokongan dari mak Mah.
“Ya , korang semua dah macam anak mak
sendiri”. Jawab mak Mah. Diah tersenyum mendengarnya.
“Tidak sia-sia aku ke mari”. Kata
hatinya.
Tidak lama kemudian , mereka
sama-sama menikmati hidangan yang tersedia.
“Jemputlah nak ... eh! Kawannya tu dipanggil
sekali ” . Mak Mah menunjukkan jarinya ke arah Diah dan Ziah.
“Ya mak . Diah , Ziah marilah kita
duduk sama. Mak Mah dah sediakan sedikit juadah untuk kita. Marilah ...”. Ajak Zuraimie.
Diah dan Ziah menganggukkan kepalanya lalu segera menyertai Zuraimie dan mak
Mah. Air kopi segera dituang. Setelah meminum seteguk dua , Zuraimie membuka cerita.
“Err ... Diah , tadi semasa di dapur
saya sempat bercerita dengan mak Mah tentang tujuan kita ke mari. Alhamdulillah
mak Mah tidak keberatan untuk membenarkan awak tinggal di sini”. Jelas
Zuraimie.
“Alhamdulillah. Terima kasih mak”.
Ucap Diah sambil memandang mak Mah.
“Tak menjadi masalah langsung malah
mak lagi suka kamu di sini . Boleh temankan mak. Sekurang-kurangnya adalah
kawan berborak. Taklah mak asyik bercakap dengan itik ayam saje!”. Jawab mak
Mah sambil tertawa kecil.
“Err ... maaf mak bertanya , kalian berdua
ni rancangannya bila nak berkahwin?”. Tanya mak Mah sambil menunjuk ke arah
Diah dan Zuraimie.
“Hmm ... begini mak , Kami memang telah bercadang untuk berkahwin sebelum
kemalangan tersebut menimpa. Serba sedikit persiapan memang telah dibuat cuma
perlu mendapatkan persetujuan mak dan ayah Diah saja. Tapi kami hanya mampu merancang
, Allah juga yang menentukan. Belum pun sempat kami bertemu dengan emak dan
ayah Diah , kemalangan itu telah terjadi. Akibat daripada kemalangan tersebut ,
Diah telah koma lebih dua bulan. Mujur bayi dalam kandungannya masih selamat. Kini
umur kandungannya sudah menghampiri lima bulan. Jadi kami rasa tidak perlulah
tergesa-gesa. Diahpun belum betul-betul sihat. InsyaAllah kalau segalanya
berjalan seperti yang dirancang , sebaik saja bayi ini selamat dilahirkan kami
akan segera bernikah”. Jawab Zuraimie sambil memandang Diah. Diah hanya
menganggukkan kepalanya.
“Diah , maaf sekali lagi mak
bertanya. Bagaimana boleh sampai jadi begini?. Bagaimana kamu sampai boleh
terlanjur begini?”. Tanya mak Mah ingin tahu. Mak Mah sendiri bagaikan tidak
percaya anaknya yang dianggapnya sebaik umat itu boleh terlanjur sampai begitu
sekali. Bukan sedikit ilmu agama yang dibekalkan buat anak tunggalnya itu ...
Diah terdiam seketika , malu benar
rasanya apabila ditanya begitu. Dengan suara perlahan dan linangan air mata
Diah menjawab.
“Mak
, maafkan saya. Saya sebenarnya masih tidak dapat mengingati semua
perkara . Yang pasti ... kami tidak sengaja ... Mungkin Zuraimie lebih sesuai menjawabnya”.
“Tak mengapalah , tak perlu mak tahu
semua itu. Perkara dah lepas , jika dipersoalkan juga takkan dapat mengubah
apa-apa”. Mak Mah akhirnya mengalah , terasa bersalah pula kerana telah
menimbulkan rasa tidak selesa di hati Diah. Sebenarnya Mak Mah sengaja mahu
menguji sama ada benar Diah telah hilang ingatan atau sebaliknya. Terkilan juga
hatinya kerana Diah sudah melupakan arwah anaknya itu sedangkan mereka begitu
mesra ketika datang ke rumahnya tempohari. Lagi pula , mak Mah tahu betapa
besarnya cinta Raziq kepada Diah.
“Mak , saya sendiri benar-benar
menyesal atas perkara yang telah terjadi ... tapi saya masih bersyukur kerana berpeluang
untuk menebusnya. Saya akan bertanggung-jawab. Saya berjanji akan mengahwini Diah
dan menjaga anak ini , selagi hayat dikandung badan”. Zuraimie cuba menutup
lubang. Mak Mah mengangguk-nganggukkan kepala , di hatinya dia amat mengagumi
kesungguhan dan kesanggupan anak muda ini menebus kesalahan yang tidak pernah
dilakukannya.
“Mak Mah , kami dah tak ada tempat lain hendak dituju. Mak bapak
sendiripun dah benci. Entah mengapa hanya mak Mah sahaja yang masih kekal dalam
ingatan ini. Hati saya ini bagai ditarik-tarik untuk ke mari”. Diah berkata
jujur. Mak Mah terharu mendengar penjelasan Diah itu.
“Sudahlah Diah ... mak Mah faham. Janganlah kau risau. Tinggal
sajalah di sini. Anggaplah mak ini sebagai mak kandung Diah sendiri”. Kata mak Mah , tiba-tiba menyeka air matanya yang tumpah
apabila terkenangkan arwah anaknya yang telah tiada. Diah benar-benar
mengingatkannya kepada arwah.
“ Sebenarnya mak memang berdoa sangat agar dapat berjumpa
dengan Diah semula. Alhamdulillah , doa mak telah diperkenankanNya”. Sambung
Mak Mah.
“Kenapa mak?. Kenapa mak berdoa
sangat untuk berjumpa dengan saya ?”. Diah hairan.
“Kerana kamu semua berkawan baik.
Kamu semua sudah seperti anak mak sendiri”. Mak mah segera menutupi
keterlanjurannya berkata.
“Mak
tak kesah ... mak rela menjaga Diah sampai bersalin. Nanti bila dah
bersalin Diah boleh pulang ke Kuala Lumpur , teruskan hidup. Jika perlu mak juga sanggup untuk tolong menjagakan anak itu
di sini. Bila cuti atau lapang Diah baliklah ke mari ... mak rela , sangat rela. Anak itu macam cucu mak jugak!”.
Mak Mah terbawa-bawa oleh perasaan sedihnya.
Diah hanya diam , sedih mendengar
keluhan dan luahan hati seorang ibu yang kesunyian.
“Mak kami sangat memahami kesunyian dan kerinduan
yang mak tanggung sekarang ini. Bukan
saja mak yang merasai kehilangan arwah ,
kami ... kawan-kawannya , turut merasa pedih atas kehilangan ini. Tetapi Allah
lebih menyayanginya. Kita doakan agar rohnya ditempatkan di kalangan
orang-orang yang beriman. Tetapi mak ...
soal menjaga anak dalam kandungan Diah itu kelak janganlah dipersoalkan
sekarang ... saya yakin Diah juga seperti mak
tidak akan sanggup melepaskannya. Jadi bila tiba masanya nanti kita
bincangkan apa yang terbaik buat semua” . Pinta Zuraimie.
Diah menarik
nafas lega mendengar penjelasan Zuraimie yang panjang lebar itu ...
“Ya betul , mak setuju. Sekarang yang penting adalah Diah.
Diah ... tinggal sajalah di sini. Mak
akan jaga Diah macam anak sendiri”. Mak Mah berjanji , memandang Diah
dengan rasa kasih sayang.
“Terima kasih mak ... Diah memang
sangat memerlukannya” . Diah bangun lalu memeluk mak Mah.
Masih terbayang-bayang di ruang matanya
Selesai solat maghrib
berjemaah , mereka menikmati makan malam bersama ... seperti satu keluarga yang
besar. Mak Mah berasa sangat gembira , lebih-lebih lagi apabila memandang Diah.
Mak Mah terasa seperti sedang memandang anak kesayangannya , Raziq. Hatinya
cukup terhibur. Masih terbayang-bayang di ruang matanya saat-saat gembira
mereka dua beranak menerima Diah sebagai tetamu rumah itu. Ikan Patin gulai
tempoyak yang dimasaknya pada hari itu merupakan masakan kegemaran arwah
anaknya. Mak Mah tersenyum-senyum sendiri apabila terkenangkan betapa ceria dan
berseleranya Diah dan Raziq makan , hinggakan habis semua kuah gulai itu
dihirup!.
“Ya ... itulah yang mak akan buat
Ziq. Mak akan menyayangi semua yang kamu sayang” . Bisik suara hati mak Mah
sambil segera menyeka air matanya yang tiba-tiba menjengah.
Sudah tiba masa pergi ...
Usai makan malam , Ziah dan Diah
membantu mak Mah mengemas dan membasuh pinggan di dapur. Zuraimie sendirian
termenung di veranda rumah. Berat sungguh rasa hatinya hendak berpisah dengan
Diah.
Selesai dengan kerja-kerja di dapur , Ziah menyertai Zuraimie
yang masih termenung sendiri.
“Hai , apa yang dimenungkan?”. Tanya
Ziah sebelum mengambil tempat di sebelah Zuraimie.
“Eh , awak. Hmm ... entahlah. Berat
pula hati ini hendak meninggalkan Diah di sini”. Jawab Zuraimie.
“Mengapa?. Bukankah mak Mah itu sudah
berjanji akan menjaga Diah. Lagipun kan ada telepon bimbit. Awak boleh ‘call’ Diah bila-bila masa sahaja. Nanti
seminggu atau dua minggu sekali awak datanglah ke sini. Bawa apa yang patut.
Jadi tak ada apa yang nak dirisaukan”. Balas Ziah , tidak faham dengan
kerisauan Zuraimie yang tidak bertempat.
“Ziah , cuba awak tengok kawasan
sekitar sini. Rumah jiran jauh. Suasana sangat sunyi. Nanti , jika tiba-tiba
Diah sakit nak bersalin atau ada apa-apa masalah dengan kandungannya siapa yang
boleh diharap untuk datang menolong. Mak Mah itu sudah tua , lagi pula bukannya
ada sebarang kenderaan yang boleh membawa Diah segera ke hospital”. Zuraimie
meluahkan kerisauannya.
“Hmm ... itu yang awak risaukan.
Beginilah Mie , tempat ini adalah kampung halaman mak Mah sendiri. Tahulah dia
apa yang patut dilakukannya bila perkara-perkara seperti itu terjadi”. Ziah
cuba menenangkan Zuraimie.
“Sudahlah , jangan dirisaukan sangat.
Jom kita sertai Diah dan mak Mah. Dah lewat ni. Kita harus berangkat sekarang.
Jauh lagi perjalanan ni”. Kata Ziah sebelum bangun meninggalkan Zuraimie.
Zuraimie tiada pilihan melainkan menurut saja langkah Ziah menyertai mak Mah
dan Diah yang sedari tadi memandangnya.
“Mie , sedih sahaja wajahmu.
Mungkinkah kau keberatan untuk meninggalkan aku di sini?. Tapi ini sajalah
jalan yang ada. Aku harap kitakan tabah mengharungi semua ini”. Kata hati Diah ,
tiba-tiba timbul rasa belas melihatkan kesedihan yang jelas tergambar pada riak
wajah Zuraimie.
“Mak
, Diah ... kami terpaksa berangkat sekarang. Tiket Ziah pukul sepuluh.
Nanti tak sempat pulak”. Zuraimie akhirnya
bersuara untuk meminta diri.
Sebenarnya hatinya terasa
begitu berat sekali untuk meninggalkan Diah. Diah sudah bagaikan jiwanya.
“Huh!”. keluhnya.
“Bagaimanalah hari-hariku tanpa
kehadiranmu sayang”. Fikirnya , memandang Diah yang diam berdiri di sebelah mak
Mah.
“Ya mak Mah , Diah ... tiket bas
pukul sepuluh. Eloklah kami berangkat sekarang. Kamipun bukan biasa dengan
jalan di sini ... takut sesat , tak sempat pula naik bas nanti”. Ziah menyokong
kata-kata Zuraimie.
“Susah-susah sangat esok ajelah kamu orang
balik. Tidur saja di sini”. Balas mak Mah.
“Eh tak bolehlah mak Mah. Esok Ziah kerja”.
Jawab Ziah sambil mencium tangan mak Mah.
“Diah , aku berangkat dulu ...”. Ziah
merangkul pula sahabat baiknya itu. Air matanya mengalir tanpa dapat ditahan
lagi. Perpisahan ini sangat menyakitkan. Meninggalkan Diah yang hilang ingatan
malah sedang berbadan dua. Diah
mengangguk lemah lalu mengiringi Ziah dan
Zuraimie ke kereta. Berat sungguh hatinya melepaskan mereka pergi namun demi
kebaikan semua dia terpaksa melakukannya.
Berpisah kita ...
Kemudian Diah pergi mendapatkan Zuraimie.
Zuraimie yang berdiri di pintu kereta sengaja
menunggu Diah , menatap wajah Diah selagi boleh. Diah menghampirinya
lalu mencapai tangan Zuraimie.
“Terima kasih kerana memahami. Terima
kasih atas segalanya ...”. Diah berkata
perlahan.
Zuraimie menggenggam tangan Diah , “Aku
benar-benar menyintaimu ... setulus
hati!”. Diah teresak mendengarnya.
“Saya tahu . Hati-hati memandu ...”.
Hanya itu yang mampu dikatakannya.
“Ya ... jaga diri dan anak ini. Saya pasti datang lagi!”. Janji
Zuraimie . Tangannya menyentuh perut Diah. Diah terus teresak. Tiada kata yang
mampu membayangkan rasa hatinya , hanya air mata ...
Akhirnya kenari berlalu pergi , meluncur laju ...
meredah malam yang kian memekat. Berakhir sudah babak sedih yang
meruntun jiwa. Zuraimie diam seribu bahasa. Perasaannya masih rawan. “Huh!
Penyu menangis siapa yang tahu”. Kata hati kecilnya.
Semetara
itu Ziah yang duduk disebelah mencoretkan sesuatu di buku catatan yang sentiasa
dibawanya ke sana ke mari. “Daripada duduk menung melayan perasaan , baiklah
aku menggunakan waktu ini untuk sesuatu yang lebih berfaedah. Manalah tahu , semua coretanku ini
akan berguna juga di suatu hari nanti. Semuanya mengenai kisah cinta tragis!.
Hmm ... lagipun nak harap si Zuraimie tu berborak dengan aku , memang taklah!.
Orang tengah bersedih. Yelah , terpaksa berpisah dengan buah hati. Sabarlah mie
, langit tidak selalunya mendung. Lambat laun mentari akan menyinar juga!”
“Hmm ... tak fahamlah , ‘cinta’
mengapa amat menyeksakan?. Tiada jalan
mudahkah untuk mencari cinta sejati? Atau sebenarnya cinta sejati itu memang
tidak pernah wujud?”. Fikir Ziah lagi sambil terus mencari idea buat coretannya
...
“Apalah agaknya yang dicoretkan Ziah itu
... kuat berangan minah ni”. Tanpa Ziah sedari , dalam kesedihannya Zuraimie masih
sempat memerhatikah tingkah Ziah.
Coretan Ziah ....
Cintakah itu?
Ingin sering dekat selalu
Nahan rasa rindu yang memburu
Tak upaya mencegah cemburu
Angau tak sedar namanya diseru
Kasihan ... sambil memandang lelangit biru
Asyik merindu
Harapan nan sentiasa memburu
Yang menjadikan manusia duka
Adalah cinta...
Namun cinta turut membahagiakan kita
Gelak tangis juga angkara cinta
Mengapa harus ada duka
Elokkan kalau semuanya suka?
Nanti tentunya manusia memuja cinta
Yah! Hakikatnya kita bukannya di syurga
Inikan dunia buat hidup yang fana
Kekecewaan dan derita menjadi ulamnya
Sehingga Izrail si pencabut nyawa
Akan datang menamatkan semua
Kerna itu sebelum tiba masanya
Apalah salahnya kita menikmati cinta
Nanti kot ada yang menangisi ketiadaan
kita
Itulah kita suka menyalahkan cinta
Tak sedar kita yang melakarkan cerita
Umpama sang pelukis dengan kanvasnya
Cintakah yang menyiksa aku?
|
No comments:
Post a Comment