Popular Posts

Thursday 27 February 2014

'Masyarakat Mendidik'

Tempohari aku  ke sebuah pusat membeli belah yang agak ternama di daerah ini. Saja jalan-jalan cari makan. Aku pergi berdua saja dengan anak saudaraku ...

Habis makan , kami mula meronda. Konon hendak mencari kedai gambar , kalau-kalau ada bolehlah ambil sekali gambar ukuran pastport untuk anak saudaraku ini. Lagi dua minggu dia akan mendaftar sebagai student sarjanamuda di UITM. Jurusan mikrobiologi ... hmm ... mikrobiologi - entah kenapa aku dok terbayangkan amoeba , bakteriofaj , vibrio cholerae dan segala jenis mikroorganisma seni yang ada dalam kamus pengetahuanku ini. Errgghh ... suatu ketika dulu aku suka juga ambil tahu tentang jenis hidupan ini tapi tidak lagi sekarang. Betullah ... masa mengubah manusia!

Dalam berjalan-jalan itu ... fikiran , perasaan dan hatiku tersinggung dengan apa yang kulihat dan perhatikan.
Perkara yang kukira merosakkan anak bangsaku. Merosakkan masyarakatku. Tidak sensitif terhadap perasaan orang-orang sepertiku dan tidak tahu meletakkan 'wanita' pada tempatnya!! (Wah!! Ini ayat protes)
Apa ye perkara yang menjengkelkan itu?
Aku tersinggung melihat papan / dinding iklan yang mengeksploitasikan 'wanita' bagi melariskan jualan. Terlalu banyak iklan-iklan yang menayangkan tubuhbadan wanita dan yang paling tak dapat diterima oleh akal fikiranku ialah ... 'iklan jam tangan' - gambar besar lelaki dan wanita yang tidak berpakaian dalam posisi yang 'susah nakku tafsirkan' sambil tangan mereka memakai jam tangan. Aku mendefinisikan posisi mereka itu bagai 'cacing bergumpal'!. (Kawan aku ketawa sakan bila aku menceritakan perasaan jengkelku dengan mengguna istilah ini).

Kenapa aku nak kecoh?. Selama inipun dah melambak iklan-iklan seumpama ini.
Isunya , ini bukan soal dulu atau sekarang , soal melambak atau tidak. Seharusnya kita sama-sama membina dan merealisasikan konsep 'masyarakat mendidik'.
Mendidik itu bukan saja berlaku di sekolah , masjid atau di rumah semata-mata. Konsep 'mendidik' ini harus diperluaskan dan diletakkan di atas bahu setiap ahli dan golongan masyarakat. Ayah-ibu , guru-guru , imam surau , pekedai runcit , ahli korporat , doktor di hospital malah pekerja loji pembentungan sekalipun harus memikul tanggung-jawab 'masyarakat mendidik' ini.

Konsep 'masyarakat mendidik' ini amat penting diaplikasikan ,  lebih-lebih lagi dengan pelbagai masalah gejala sosial  yang semakin parah dalam masyarakat kita hari ini. Gejala sosial yang mensasarkan golongan remaja yang masih tercari-cari akan  identiti diri. Pastinya mereka mudah terikut-ikut dengan apa yang dilihat dan diperhatikan sehingga akhirnya mereka menerima nilai-nilai buruk itu dalam kehidupan. Bayangkan apabila mereka meningkat dewasa dan menjadi pemimpin keluarga atau lebih parah lagi pemimpin masyarakat / pemimpin negara ... janganlah hendaknya sampai terjadi , pada ketika itu semua orang sudah tidak kesah dan menganggap 'biasa' saja hal anak-anak remaja yang terlanjur atau melahirkan anak luar taraf. Ini tidak termasuk soal cara berpakaian yang menjolok mata atau budaya 'couple' di kalangan remaja. Jika dilarang maka kita akan dianggap tidak memahami dan mundur (Ya Allah , moga dijauhkan)

Mengapa aku berkata begitu?. Pengalaman aku sebagai warga pendidik selama hampir 20 tahun dan telah mendidik di empat buah sekolah berbeza  menjadikan aku lebih sensitif akan isu ini. Kes pelajar terpaksa mengambil peperiksaan SPM dalam keadaan berbadandua , satu kes melibatkan kematian bayi dan kes-kes lain termasuklah pelajar terpaksa berpindah sekolah , masuk ke pusat pemulihan akhlak , menangguhkan pelajaran dan ada juga kes yang terus dikahwinkan oleh keluarga (Ambil SPM dengan status seorang isteri!). Siapa yang harus dipersalahkan?. Jawapannya adalah kita semua! Kita semua bersalah jika kita tidak memainkan peranan kita sebagai ahli masyarakat yang mendidik dan ambil berat atau prihatin. Masyarakat mendidik yang penyayang - nilai itulah yang harus kita tanamkan dalam jiwa setiap ahli.

Satu contoh yang harus kupuji tentang menanamkan nilai masyarakat penyayang yang tentunya termasuk dalam nilai-nilai kekeluargaan yang tinggi ialah sebuah iklan yang terdapat dalam kedai Habib Jewel.
Iklan yang bagaimana?.
Iklan yang simple tapi mempunyai 'nilai' yang tinggi ...
Iklan tentang seorang ayah mendukung anak perempuannya yang masih kecil dalam keadaan kedua mereka melagakan hidung sambil tersenyum riang memandang satu sama lain. (Wah! Suka sangat aku tengok papan iklan ni ... lama gak aku menjenguk dan menghayati nilai kasih sayang dan kekeluargaan yang terserlah. Aku suka ... suka sangat!!).
Sayangnya iklan sebegini tinggi nilainya diletakkan di dalam kedai dan hanya dilihat oleh orang yang mahu memerhati sahaja. (Hmm ... jangan salah faham , aku hanya masuk untuk melihat dan menikmati iklan itu  dan bukan untuk membeli barangan yang dijual).

Jadi aku berharap sangat , konsep 'masyarakat mendidik' ini haruslah disemai , dibajai dan disuburkan dalam semua peringkat dan golongan masyarakat. Marilah kita sama - sama berfikir ke arah kebaikan dan selalu berfikir untuk sentiasa memperbaiki dan mempertingkatkan apa yang sedia ada. Seharusnya kita sentiasa berusaha menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan esok juga akan harus lebih baik dari hari ini. Moga selamatlah anak bangsaku ... selamatlah bangsaku.

2 comments:

  1. karya yg pn utarakan "kerana diah" juga mempamerkan kebobrokan masyarakat sekarang, di manakah rasionalnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hmm ... rajin awak membaca. "Keranamu DIAH" adalah cerita biasa yang memaparkan 'kesilapan' yang bisa terjadi dalam kehidupan masyarakat kita hari ini. (Bukankah golongan yang berumur 25 tahun dan ke bawah adalah penyumbang terbesar kepada jenayah pembuangan bayi di Malaysia?). Cumanya pengolahan cerita ini tidak sampai ke tahap itu. Namun begitu 'terima kasih' seikhlasnya atas komen yang diberi. Sememangnya baik buat ingatan diri saya agar sentiasa lebih menitikberatkan nilai2 moral yang boleh diterapkan kepada pembaca.

      Delete