Popular Posts

Wednesday 19 February 2014

'Kebenaran' itu walaupun pahit tetap lebih baik ...

'Kebenaran' walaupun pahit tetap jauh lebih baik ...

Perumpamaan yang sering kuberikan kepada anak muridku untuk memahami faktor yang mempengaruhi rintangan electric adalah tentang perjalanan hidup manusia , lagi jauh seseorang itu berjalan atau lagi lama hidupnya maka lagi banyaklah ranjau dan duri yang harus ditempuhnya. Samalah dengan electric , lagi panjang wayar lagi banyaklah rintangan yang harus ditempuh oleh electron untuk sampai dari point A ke point B manakala voltage yang menggerakkan electron itu pula boleh disamakan dengan kekuatan bagi seorang manusia untuk meneruskan perjalanannya.(Inilah bahananya dapat aku sebagai cikgu fizik dorang!).

Seharian siang tadi aku ber'sauna' dalam dewan tertutup SMK Putra Perdana , memberi sokongan moral kepada anak-anak muridku bermain ping pong dalam kejohanan ping pong peringkat MSSD Sepang. Puh! Panas yang amat. Sudahlah cuaca sekarang memang sedia panas melampau ditambah lagi dengan keadaan dewan yang sesememangnya ditutup segala pintu yang ada untuk mengelakkan gangguan angin. (Wah! Kira-kira dah tak payah pergi rawatan sauna untuk membakar lemak yang ada!).

Walaupun hanya duduk sebagai guru pengiring namun bila pulang ke rumah , badan terasa amat letih hinggakan hilang selera untuk makan dan susahlah pulak nak melelapkan mata jadi pada pagi ini aku mengambil peluang untuk mencoretkan sesuatu dalam ruangan blogku ini.

Tadi sedang aku melayan mata untuk lelap , fikiranku menerawang mencapai kisah-kisah dalam episod kehidupan yang telah aku lalui. Pelbagai ... pelbagai kisah silih berganti bermain diminda dan yang paling terkesan hingga menitiskan air mataku adalah apabila ingatanku mencapai pelbagai kenangan yang telah kulalui bersama arwah emak , Siti Asmah Bt Abdul Rahman. Seorang Ibu yang tiada tolok bandingnya ,  sungguhpun aku kini sudah ber'emak' baru. (Emak baru yang ku terima dengan hati yang terbuka dan turut ku hormati dan sayangi sepenuh hatiku kerana dialah wanita yang memberikan 'makna' dalam kehidupan abahku kini dan dia dengan penuh sabar menemani hari-hari tua abahku).

Apa ya kebenaran pahit yang telah ku tempuh bersama arwah emak?.
Banyak ... semuanya ada kaitan dengan penyakit yang dihidapinya. Emak asalnya mengidap penyakit kanser servik ... cuma aku ketika itu gagal mengambil tahu tentang sakit emak. (Teruknya aku!!!). Yalah , sejak tingkatan satu aku hanya pulang ke rumah 2 kali setahun iaitu pada cuti semesta 1 dan 2 persekolahan (Aku budak MRSM yang menggunakan sistem semesta, tidak sama seperti sekolah harian biasa) makanya mana mungkin kedua orang tuaku tega menceritakan tentang sakit emak itu setiap kali aku pulang bercuti. Hinggalah satu ketika ... kalau tidak silap setelah aku tamat peperiksaan SPM , emak mula sakit pinggang yang amat. Alasan yang diberinya adalah dia terjatuh di dapur. Aku terima alasan itu bulat-bulat (Ah!! Sekali lagi , bendulnya aku ini!!!). Kesakitan emak berlarutan hinggalah aku sempat menghabiskan setahun matrikulasiku di MRSM Kulim dan akhirnya  belajar sebagai pelajar tahun satu di UKM.

Pada masa itu sakit emak sudah terlampau teruk hingga mendorong abah menghantar emak menjalani 'pembedahan ghaib' di satu klinik swasta di Shah Alam. Ini semua gara-gara sikap emak yang amat takut untuk ke hospital biasa atau mungkin emak dan abah mengharapkan 'suatu keajaiban' akan berlaku sedang aku , anaknya (kononnya seorang pelajar universiti) gagal memberikan nasihat yang bernas. Aku hanya mengikut saja keinginan mereka malah akulah yang menemani emak sepanjang rawatan di sana.

"Pembedahan ghaib - semua itu adalah suatu pembohongan yang nyata!.
Mengapa aku katakan ianya suatu pembohongan yang nyata?.
Mana taknya ... setelah emak dibawa masuk ke bilik pembedahan maka proses membedahan bahagian abdomen emakpun bermula (Setelah emak diberikan ubat tidur) sedang aku dengan beraninya menguatkan hatiku melihat segalanya melalui tingkap kaca pintu bilik pembedahan. Barangkali kagum dengan keberanianku maka ketika bahagian hadapan abdomen ibuku sudah 'dilapah' dan terbuka , doktor dengan sewenang-wenangnya memanggil aku masuk dan melihat sendiri segala isi kandungan yang ada lalu menunjukkan satu ketulan asing yang menurutnya 'punca' kepada kesakitan emak. Aku sekali lagi dengan sikapku yang tidak kritis pada ketika itu hanya mengangguk tanda setuju ( Eee ... inilah antara kebodohanku yang nyata!). Hakikatnya mana mungkin aku yang tidak menjalani sebarang kaedah pensterilan di panggil masuk begitu saja. Dah tentu-tentu akan mengakibatkan infeksi pada bahagian abdomen emak yang terbuka.

Pulang dari pembedahan itu , sakit emak tidak juga kurang. Beribu duit yang dibelanjakan menjadi sia-sia. Ianya menjadi habuan manusia yang menangguk di air keruh , mencari keuntungan atas penderitaan orang lain. Tetapi memang itulah hakikat hidup di dunia , yang lemah akan selalu tertindas , yang tidak bijak berfikir akan selalu tertipu , yang salah membuat keputusan akan pasti merana ... dunia bukan syurga!

Kesakitan emak berlarutan hingga akhirnya emak terpaksa mendapatkan rawatan di hospital besar Kuala Lumpur. Inilah antara masa-masa mencabar dalam sejarah hidupku. Pelbagai perkara terjadi , lepas satu - satu ujian datang melanda. Takdir yang tersurat , abangku yang baru beberapa bulan bernikah terlibat dengan kemalangan jalanraya di Terengganu hingga kedua-dua belah kakinya masih berbesi hingga kini , abahku dalam keadaan yang sihat (tiada rekod masalah kesihatan) tiba-tiba diserang angin akhmar dan kakakku ... (Masih tetap dengan keadaannya) sedang emakku masih terus sakit. Maka yang tinggal sihat adalah aku dan adik-adikku ... maka sebagai kakak yang paling besar dan sihat , aku cuba membantu meringankan bebanan kedua orang tuaku sebaik mungkin. Tidak mampu hendak aku ceritakan segala yang telah kami tempuh. Cukuplah aku ceritakan antara kisah paling sukar yang terpaksa aku lalui.

Permudahkan cerita , aku akhirnya bernikah dengan suamiku setelah beberapa bulan menjadi guru (jarak masa sudah melewati lima tahun-aku tamat ijazah dalam Botani , 4 tahun dan Diploma pendidikan selama setahun) Atas nasihat suamiku , akhirnya aku berjumpa sendiri dengan doktor Roslan yang merawat emak. Pada ketika itu barulah aku tahu penyakit sebenar arwah emak.
"Enam tahun yang lepas emak awak mengidapi penyakit kanser servik. Menakjubkan , dia mampu bertahan lebih lima tahun tapi sekarang , kanser nya sudah merebak ke bahagian vertebra lumbar (Lalu doktor Roslan menunjukkan filem x-ray vertebra lumbar emak. Ternyata vertebra lumbarnya yang ke empat telah runtuh sedikit ( Patutlah emak sudah tidak boleh berjalan lagi) dan sekarang penyakit kanser mak awak sudah berada di stage 3B. Maknanya bila-bila masa sahaja dia boleh pergi. Semuanya bergantung kepada kehendak Allah. "Ya Allah!! Bagai batu berat telah jatuh menghempap kepala ini!". Semuanya macam lakonan cerita drama!!. Air mata yang bagaikan mahu mengalir kutahan sebaik mungkin. Aku tidak mahu dilihat sebagai seorang yang lemah. Lagi pula adik perempuanku ada bersama dalam pertemuan itu maka seharusnya aku tabah agar dia juga akan tabah menghadapi dan menerima berita buruk ini.

Apa lagi yang sukar?. Setelah berbincang dengan suami maka aku harus melaksanakan dua tugas yang amat berat bagiku. Pertama , memberitahu emak tentang hakikat hayatnya yang hampir tamat. Bukan mahu bertindak kejam tetapi kami tidak mahu emak menggantung harapan yang tinggi dan terus menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan cuba berubat ke sana dan ke mari. Kami mahu emak menerima hakikat dan menghabiskan sisa masa yang ada dengan mempersiapkan diri untuk mengadap Rab nya , Allah yang Maha Penyayang.
"Emak , saya nak cakap sikit tentang penyakit mak. Tadi saya jumpa doktor Roslan , dia kata penyakit mak ni dah tak boleh ubat lagi. Mak cuma ada beberapa bulan je. Bila-bila masa mak akan pergi. Jadi saya taknak mak menghabiskan masa berubat. Sekarang ni mak terimalah hakikat itu. Lebih baik mak habiskan masa menyiapkan diri untuk mengadap Allah". Ya Allah , begitulah lebih kurang ayat aku ketika memberitahu emak tentang hakikat penyakitnya itu. Aku cuba menyampaikannya semudah dan setabah yang boleh tanpa menitiskan setitikpun air mata. Emak diam , masih cuba tersenyum walhal aku tahu yang emak juga sedang cuba menahan air matanya dari gugur ...(Ah! Sedihnya)

Tugasku yang kedua , mengumpul ketiga-tiga adikku yang masih bersekolah , sorang akan menduduki peperiksaan UPSR , sorang PMR dan sorang lagi SPM.
"Kak ni nak korang tabah dengar apa yang kak ni nak cakapkan pasal mak. Penyakit mak dah teruk. Mak sekarang mengidap kanser stage 3B. Dah tak ada  ubat lagi. Doktor kata , bila-bila masa mak akan pergi. Jadi siapkan diri dan minda korang untuk saat itu. Kak ni tak nak korang jadikan alasan korang tidak cemerlang periksa jika apa-apa terjadi pada mak nanti. Inilah kehidupan , kita harus tabah".
Menitis air mata adik perempuanku sedang dua lagi adik lelakiku hanya diam menahan perasaan. Aku?
Aku berlagak tabah , setabah mungkin agar mereka turut tabah ...

Akhirnya emak pergi juga , hanya beberapa bulan kemudian ... malam itu adik-adikku tidak henti-henti membacakan surah yaasiin secara bergilir-gilir sedang aku yang sarat mengandung pulang berehat di rumah. Subuh itu emak masih bersolat subuh walaupun dengan isyarat mata saja. Setelah hari beransur siang  dan doktor yang memeriksa emak mengatakan yang denyutan nadi emak sudah tidak boleh dibaca sedang nafas mak turun naik dengan agak payah , aku menghampiri emak , berbisik kepadanya ... "emak maafkanlah kami semua , anak-anak mak. Mak maafkanlah abang tatan (Abang dan kakakku belum sampai ketika ini) , maafkanlah kak lin , maafkanlah  ... habis semua nama adik beradikku kusebutkan dengan namaku yang terakhir.( Emak hanya mengangguk perlahan ...). Aku kemudiannya meminta adik lelakiku duduk di sisi emak dan terus mengucapkan kalimah yang agong , kalimah syahadah di telinga emakku sehingga akhirnya emakku pergi begitu saja ... tenang dan terus diam tidak bernafas lagi. Menggigil tanganku apabila mengalihkan alat bantuan pernafasan yang dipasang. Adik-adikku mula teresak perlahan. Kami menjaga sebaik mungkin agar emak kami pergi dengan aman sedang aku hingga ke akhir hayat emak dan sehinggalah emak selamat di kebumikan , tiada air mataku yang tumpah di hadapan sesiapapun termasuklah suamiku sendiri. Aku harus tabah atau sekurang-kurangnya kelihatan tabah di mata adik-adikku terutamanya.  Emak , saya sayang emak!!
Beruntunglah sesiapa yang masih mempunyai emak kerana tiada doa yang paling tulus melainkan doa nabi buat umatnya dan doa ibu buat anaknya. Bagi yang masih mempunyai emak , hargai mereka ... sayangi mereka ... kerana adalah suatu nikmat yang tidak ternilai jika kita masih punya emak!

Saat dini hari
Ada seorang insan mulia
yang bangkit menadah tangan 
Angkat setinggi mungkin pada yang Esa

Sabar tabah memohon hari demi hari
Adalah segalanya buat anakanda tercinta
Ya Rob! Permudahkanlah urusan hidup anak-anakku
Ampunkanlah segala dosa mereka
NikmatMu jangan Kau tahan buat mereka
Gugurkanlah segala nasib malang yang tersurat

Esoknya tika mentari menyinar lagi ... dan lagi
Malam pula silih berganti dan terus silih berganti
Adakah masih ada doa setulus itu
Kekuatan buat si anak menempuh segala onar?

Saya Sayang Emak!




2 comments:

  1. Kepada Allah kembali. Pn Siti Asmah atau Mak Mah pernah sekali saya jumpa. Kiranya pada ketika itu beliau sudah dalam keadaan yang tenat. Kelihatan cengkung wajahnya. Pucat dan tidak bermaya. Namun masih boleh tersenyum dan mengusik serta berjenaka. Saya masih ingat lagi bila berbicara melalui telefon dan berkata dia sihat ketika saya bertanyakan khabarannya. Sungguh hanya selepas hampir 20 tahun baru saya maklum perkara ini. Seikhlasnya bacaan al-fatihah buat mak mah. moga rohnya ditempatkan di kalangan solehah dan abidah

    ReplyDelete