Popular Posts

Tuesday 28 January 2014

Novel : "Keranamu DIAH" (Bab 1)



Aku membuat keputusan untuk memuatkan novel pertama tulisanku dalam blogku ini sebagai bahan bacaan senggang bagi penggemar  novel. Semoga terhibur.

BAB 1 : KEMBALI KE KULIAH
Hari Pertama Kembali  Ke Kuliah
Dewan  kuliah hari ini  riuh   dengan gelak ketawa  dan  cerita-cerita  lucu  para mahasiswa dan mahasiswi yang baru saja menamatkan cuti semesta satu mereka.     Al-maklumlah  setelah  beberapa minggu berpisah , ada-ada saja  kisah dan cerita yang  ingin dikongsi bersama.   Begitulah juga  halnya  dengan Diah  dan  Ziah , dua orang sahabat baik yang sama-sama bercita-cita untuk menjadi seorang guru. ‘Guru kerjaya mulia , mendidik  anak bangsa agar menjadi manusia berguna’. Itulah pegangan mereka.
 Bagai bunga yang sedang mekar , kedua gadis ini sering sahaja mencuri perhatian sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka. Wajah kacukan Arab – Melayu milik Diah memang sering memukau mata yang memandang. Lebih-lebih lagi  pada bahagian hidungnya yang tinggi mencacak dan mulutnya yang kecil kemerah-merahan.  Tidak kurang juga Ziah , sungguhpun berkulit sawo matang namun wajah ‘Melayu’nya nan ayu dan lembut memang tidak pernah jemu dipandang. Tambahan pula Ziah memang seorang yang sangat bersopan dan baik tutur katanya mahupun perlakuannya.
Dua  gadis manis  ini telah  bersahabat baik  sejak lama dulu   iaitu semasa sama-sama  masih mengikuti  program  Matrikulasi di Kulim , Kedah . Ketika itu mereka  tinggal dalam satu asrama. Bersama  mengharungi suka duka di perantauan orang , bersama merasai  jerit  perih  menuntut ilmu ,  jauh  dari kampung  halaman  sendiri.  Kerinduan   terhadap   keluarga   telah  mengakrabkan  mereka.  Saling  menjaga   dan  saling mendorong antara satu sama lain untuk terus berjaya demi mengejar cita-cita.
“Baiklah siswa-siswi sekelian , hari ini adalah hari pertama kamu mengikuti kuliah semula setelah  bercuti lama. Saya harap kamu akan  lebih bersemangat. Kita akan  mulakan kuliah hari ini dengan mempelajari beberapa kaedah  pedagogi yang  telah diguna  pakai di serata  dunia” .  Doktor  Othman  memulakan  kuliahnya hari  itu.  Pensyarah  yang sudah lebih separuh usia ini kelihatan jauh lebih tua daripada usianya yang sebenar dengan kepalanya yang hampir licin. Beliau memang sangat terkenal dengan sikapnya yang tegas dan cukup tidak senang jika ada pelajarnya  yang tidak bersungguh-sungguh dalam belajar , lebih-lebih lagi sewaktu beliau sedang memberi kuliah.
‘Kalau tidak dipecahkan ruyung , masakan dapat sagunya’. Itulah peribahasa Melayu yang sering diulang-ulangnya.
Namun seperti  waktu-waktu  yang terdahulu ,  baris  paling  atas  dan paling belakang  dalam dewan kuliah  itu pasti akan menjadi tempat  pilihan  dua sahabat ini , Diah dan Ziah.  “Mmm ...  jauh kat belakang ni barulah rasa ‘bebas’. Bebas lakukan apa saja. Takdelah skeema sangat. Sekali kuliah , ramainya lebih 200 orang pelajar. ‘Possibility’ aku diperhatikan hanyalah 1/200 persaat!”. Fikir Diah , tersenyum sambil membetulkan posisi duduknya yang sudah mulai menggelungsur. Memang itulah tabiat Diah sejak dari zaman sekolah lagi , duduk di barisan paling belakang!. Ziah pula hanya menurut sahaja kehendak sahabat baiknya itu. Bagi  Ziah , Diah itu sudah seperti saudara kandungnya sendiri. Dia betul-betul sayangkan Diah.
“Ziah , mengantuklah ... ada gula-gula?”. Bisik Diah sambil mencuit lengan sahabatnya itu. Sudah berkali-kali Diah  menutup mulutnya yang asyik menguap  , malu juga dia jika ada mata yang  memandang.
“Sorry , stok habislah”.   Jawab Ziah ringkas lalu kembali fokus kepada apa yang sedang diperkatakan oleh Dr. Othman.
“Ceh!”. Balas Diah sambil mencebikkan bibirnya.
“Aduh!! Masaklah  ,  mengantuk betul  ni. Apa punya kawan , gula-gula pun tak ada”. Bebel Diah , kelopak matanya ditarik-tarik  untuk menghilangkan rasa mengantuk.  Ziah hanya tersenyum mendengar bebelan Diah.  
 Mulanya hanya tersengguk-sengguk , akhirnya terlena terus. Terlena  bersama dodoian  teori-teori  pedagogi Dr Othman.  ,  Diah  terlena  dibuai angan  dan  mimpi indah.
Zzzzzz  ...  sedang bermimpikan si dia yang tekun mentelaah di 
perpustakaan !.                                                          
Dalam mimpinya Diah melihat dirinya  sedang sibuk mencari buku rujukan yang  tersusun kemas di dalam rak buku namun  mata  nakalnya  pula tak  sudah-sudah  menjeling  dan mencuri pandang di satu sudut  yang terletak di  ruangan  membaca.  Di  situlah  duduknya   seorang  pemuda   tampan  bertubuh  sasa  ,  menghabiskan  masa mentelaah  atau  mungkin juga sedang menyiapkan  tugasan.  Rambutnya  yang  lebat  lurus  mencecah   bahu sesekali  akan  terjatuh  menutupi matanya yang bundar   dan   pada ketika  itulah  jari  jemarinya  yang   panjang runcing   akan dengan  pantas menyelakkannya ke tepi.
“Ah ... Indahnya pemandangan ini!”. Kata Diah sambil terus merenung penuh kagum wajah pemuda itu.
“ Alangkah baiknya kalau dia juga suka padaku. Tentu aku adalah orang yang paling bahagia dalam dunia ini!”. Bisik hatinya lagi.

   Wajahmu yang tampan ,
  Senyummu menawan ,
       Hati ini mengagumimu ...”


Begitu indah angan-angan Diah . Hati kecilnya turut menyanyikan lirik  sebuah lagu yang sangat popular pada masa kecilnya dulu , nyanyian seorang penyanyi wanita tanahair kita’.
Tiba-tiba , bagaikan  sebiji bom atom  yang memusnahkan Bandar Nagasaki dan Hiroshima pada perang dunia kedua dulu  dilepaskan dan meletup betul-betul di atas kepala Diah  lalu  menggegarkan  mata kuyu Diah yang sudah lama lelap!.
“Ya Allah apa ni?. Perang dunia kedua ke?!”. Latah Diah dengan lantang tatkala mendengar bunyi dentuman kuat di tepi telinganya yang kecil. Habis ketawa seisi dewan dibuatnya.
Diah segera membuka mata , langsung terbeliak besar matanya dan  terbelahak  mulutnya ternganga apabila terpandangkan wajah bengis Dr. Othman sedang memandang tepat ke dalam dua biji matanya. Hilang terus rasa mengantuk yang mengganggunya sedari tadi!.
“Ulps!”. Diah menelan air liur , matanya ditenyeh berkali-kali.
“Bermimpikah aku?”. Fikirnya. Diah memandang sekeliling , semua mata sedang memandang ke arahnya.
“Aduh! Mati aku!”. Diah menepuk dahinya sendiri. Barulah Diah sedar bahawa bunyi kuat itu tadi rupa-rupanya adalah bunyi hentakan tangan Dr. Othman yang sengaja dijatuhkan betul-betul di tepi kepalanya.
“Eee  terlena rupanya aku. Siap mimpi lagi!”. Diah membetulkan duduknya sebelum berkata , “Minta maaf  , saya tak sengaja”. Dahinya berkerut dan matanya terkebil-kebil minta simpati. Buat muka kasihan!
“Apa?. Tak sengaja?. Siap melalut sampai ke perang dunia kedua.   Dah  balik ke tahun 1944 , pakai mimpi saje ye?”. Sindir dan jerkah Dr Othman.  Tersentak Diah dibuatnya , malu pun ada. Mukanya yang putih melepak kini bertukar merah.
“Oh ! Tuhan!!!”.  Jerit Diah di dalam hati. Dr Othman  tidak mahu memberi muka langsung. Dia tetap berdiri tegak di sebelah Diah.  Semua kepala masih sedang  menoleh ke arahnya.  
Dalam hati mereka memuji-muji ketegasan Dr Othman menangani kerenah pelajar yang malas dan tidak serius belajar. Mereka juga kagum kerana begitu ramai pelajar dalam dewan kuliah pada hari itu , tidak disangka Dr Othman  masih boleh menangkap pelajar yang lena!. 
“Malu! Malu! Malu!”. Jerit hati Diah. Kepalanya ditundukkan serendah mungkin.
Sebagai hukuman , Diah dihujani dengan  pelbagai soalan pedagogi.   Dr Othman langsung tidak memberi peluang padanya. “Alamak  hentam  aje laa ...”.  Ada yang kena , ada yang meleset sama sekali. Ziah yang duduk di sebelah Diah diam seribu bahasa. Kecut perutnya melihat Dr Othman naik angin!
            ‘Hujan panas akhirnya akan berhenti juga’. Sebaik sahaja Dr Othman menyatakan ucap selamat tinggal di akhir kuliah hari itu, hati Diah  terasa amat lega. Sungguhpun begitu , sakit hatinya apabila melihatkan  gelagat para pelajar lain yang berjalan  keluar dari dewan dengan senyuman  menyindir sambil memandang-mandang kepadanya. Ada juga yang sengaja menggeleng-gelengkan kepala! .
“Huh! Macamlah  dia orang tu bagus sangat!!.  Nak geleng-geleng kepala konon. Blahhlahhh!! Busy body! Ikut suka akulah nak lena ke tak. Sibuk je!.Sekurang-kurangnya aku boleh jawab lebih separuh soalan-soalan tadi tau. Kalau dia orang tu belum tentulah!!”. Rungut Diah , tidak puas hati dengan pandangan sinis yang dilemparkan kepadanya.
“Ah ... pedulikanlah  mereka tu , yang penting episod ‘suspend’ hari  ini  dahpun  tamat. Betul tak?. Lagipun kira okeylah tu. Kau tidur tidur pun boleh gak jawab soalan Dr Othman. Aku setuju dengan kau. Kalau dia orang yang kena soal , belum tentu boleh jawab”.   Ziah cuba menenangkan sahabatnya yang sedang mencuka itu.  Senyuman yang tiba-tiba terukir di bibirnya segera dimatikan. Rasa lucu tidak dapat ditahan apabila teringatkan ‘latah perang dunia kedua’ Diah semasa disergah Doktor Othman tadi!.   
“Apa senyum-senyum. Ini semua kau punya pasal!”. Marah Diah apabila matanya sempat melihat  senyuman Ziah itu tadi.
“Aku?. Apasal pulak. Kau yang tidur , aku yang punya pasal?!”. Ziah kehairanan.
“Yelah ... pertama, tadi kenapa kau tak kejutkan  aku masa Dr Othman tu datang dekat. 
 Kedua , kenapa kau tak simpan stok gula-gula macam selalu! . Eeee ... malulah aku. Tak pasal-pasal jadi ‘bahan’ hari ini!!”.  Diah terus mengomel. Mulutnya yang kecil mungel itu dimuncungkan panjang. Ziah hanya tersenyum melihatnya.
“Aa’ahh yelah akulah yang salah!. Lain kali aku simpan stok gula-gula banyak-banyak untuk kau ye. Dahlah tu , jom kita ke perpustakaan”. Ziah berkata sambil tangannya memeluk bahu Diah lalu menariknya ke arah perpustakaan. Malas dia hendak bertekak dengan Diah. Ziah cukup faham , marah Diah itu hanyalah ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja. Jika tidak disanggah , sebentar saja pasti hilang hangatnya!   
Diah pula hanya menuruti  langkah Ziah. Marahnya memang sangat mudah  reda bila bersama Ziah. Diah bagai api yang mudah menyala dan Ziah pula adalah airnya yang menyiram sejuk api itu. ‘Bergagai  macam  ranjau akan ditempuh dalam hidup. Asal saja kita mempunyai sahabat yang baik , segalanya pasti mudah dilalui’.  Itulah falsafah hidup Diah  dan dia sangat bersyukur kerana sudah menemui sahabat yang dimaksudkan.     
                                                                      Sahabat ...

                                                                 Sahabat
                                                           Akrab bagai isi dengan kuku
                                                         Hadir dan ada bila perlu
                                                        Amanah memegang rahsia
                                                        Bahagia tiap kali bersama
                                                    Abadi dalam ingatan
                                                       Tak gentar sebarang umpatan


                                                         



Naik Bas
            Seperti hari-hari yang lain ,  rumah sewa yang didiami oleh  tiga belas orang pelajar universiti  itu sentiasa riuh dengan gelak ketawa dan senda gurau. Masing-masing berlumba-lumba bangun awal  untuk bersiap dan bersegera ke kuliah. Cuma Diah , Diah sahaja yang tidak pernah mengejar masa.  ‘Biar lambat asal selamat’!.  Itulah alasannya tiap kali ada yang mempertikaikan soal ‘menepati masa’ dengannya.
“Eh ... hari ini ada ‘micro teaching’. Dah ready ke?”. Tanya Ziah kepada Diah yang sedang leka melorek sesuatu pada kertas lukisan di hadapannya.
“Hai! Sejak bila pulak dah jadi bisu ni?”. Sindir Ziah apabila Diah tidak mempedulikan pertanyaannya , bercakap dengan suara yang sengaja dikuatkan.                                                                      
 “Ni yang aku tengah  pulun  melukis gambar ni , kau tak nampak ke?”. Geram hati Diah bila disindir begitu.
“Tak nampak ke sedari tadi aku tak bangun-bangun dari kerusi ni. Orang tengah lukis gambar ‘mamak roti canai ni’ , lagi mau kecoh!”.  Diah terus mengomel.   Mulutnya itu memang terlalu suka mengomel. Kalah mak nenek!.
“Eh dengar. Ingatkan pekak tadi. Err ... apa kau kata tadi ,  mamak roti canai?”.  Ziah pelik.   Sengaja lehernya dipanjangkan untuk melihat hasil kerja sahabatnya itu.
“Ye le ,  kenapa  ... pelik?”. Balas Diah sambil membuat muka.    
“Tentulan pelik ,  dalam banyak-banyak manusia , mamak roti canai jugak yang kau lukis?  Hei ... aku tau la kau tu suka sangat makan roti canai. Kot ya pun takkanlah sampai ke kelas  kau  nak bawa kesah roti canai kau tu!”. Usik Ziah , tersenyum menahan tawa.                                                                                                                               “Hello kakak , aku ni kena buat tajuk ‘geseran’ untuk ‘micro teaching’ hari ni. Mmm ... dan  hanya insan-insan terpilih yang berfikiran kreatif dan kritis macam aku ni sahaja yang boleh nampak perkaitan antara mamak roti canai dengan geseran”. Jawab Diah dengan bangga.                                                                                                                      
“Eh , ada hubungan ke?”. Sampuk Noni  yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.                                
“Eee ... adalah. Cuba kau tengok gambar yang aku lukis ni. Nampak hubungannya?”. Diah mengangkat tinggi lukisannya. Sengaja ditayangkan kepada dua sahabatnya itu.             
“Oooo ...  mamak terlepas cawan kopi. Tapi kenapa pulak sampai boleh terlepas cawan?”. Tanya Noni jujur. Masih tidak faham-faham juga.
“Eee ... slow le hang pa dua orang ni!”. Belumpun sempat Diah hendak  meneruskan kata- katanya , Ziah terus menyampuk.                                                                                                   
“Eh tolong sikit. Aku ‘pickup’ bagus la. Noni , mamak ni baru buat roti canai. Tangan dia penuh minyak. Bawak pulak air kopi panas. So? ... dapat tangkap tak?”.Tanya Ziah sambil mengangkat-ngangkat keningnya berkali-kali.
“Ya ,  that’s my friend!”. Sampuk Diah , sengaja tidak mahu terus memberikan  jawapan. Diah tersenyum sambil menaikkan ibu jarinya kepada Ziah.
“Ooooo ... dapat dapat dapat. Mamak tu sibuk sangat melayan pelanggan sampai tak sempat nak bersarapan pagi. Perut dia sangat lapar  ,  jadi  dia tak boleh nak fokus  pada kerja maka tertumpahlah air kopi panas itu” . Balas Noni sambil tersengih.
“Err ... tapi apa kaitan  tak sarapan pagi dengan geseran?”. Noni berkata perlahan sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal!.
Ziah dan Diah  sama-sama menepuk dahi , saling berpandangan dan serentak mereka berkata.   “Slow!!!”. Lalu sama-sama tertawa.
“Err ... ketawa ketawa juga tapi apa jawapan sebenarnya?”. Tanya Nonie yang memang terkenal dengan sikap ‘lurus bendul’nya itu.
“Ha ha ha “. Ziah dan Diah tambah  tidak dapat  menahan tawa mendengar pertanyaan Noni. Tawa mereka semakin menjadi-jadi.
“Eee  orang tanya bukannya nak jawab. Asyik ketawa saja!!”.  Noni bengang lalu pergi meninggalkan Diah dan Ziah yang masih juga ketawa!.

Resah melihat sahabatnya masih berlengah-lengah
Hari ni ada latihan mengajar atau biasanya dipanggil ‘micro teaching’. Para pelajar akan diberikan tajuk tugasan yang berbeza dan mereka perlu membuat persediaan , seterusnya berlakon sebagai guru. Mereka harus menerangkan tajuk tugasan masing-masing dengan mengaplikasikan  teknik-teknik pedagogi yang telah dipelajari kepada para pelajar lain yang turut berlakon sebagai murid. Kali ini tajuk tugasan Diah  ialah ‘geseran’.
“ Nanti akan aku terangkan bahawa ,  kehadiran minyak boleh mengurangkan daya geseran. Kelas gituu!”. Bisik hati kecil Diah sambil tersenyum , terasa puas dengan hasil kerjanya.                   
“Woii Diah! Dah lambat ni. Jangan asyik nak berangan!. Tersengih-sengih sendiri.  Nanti tertinggal bas pulak. Pergilah mandi cepat!”. Bising Ziah , resah melihat sahabatnya masih juga berlengah-lengah.        
“Yelah mak nenek ,  aku pergi mandi lah ni!” . Balas Diah lalu bergegas ke bilik air.
“Yelah tuuu ... mandi tu jangan  lak berjam. Tinggal lima belas minit je bas dah nak sampai. Kalau kau lambat aku pegi dulu!”.  Jerit Ziah. Sengaja suaranya dikuatkan untuk menyakat sahabatnya itu.
“Alahhh kata sahabat setia. Sehidup semati konon. Baru nak kena tinggal bas dah belot! Cehhh!!!”. Balas Diah dari dalam bilik air. Seketika itu juga pintu bilik air dibuka.
“Eh , dah mandi?”. Tanya Ziah terkejut.
“Dahlah , tak nampak ke?”. Balas Diah jengkel.
“Kejapnya?. Pakai sabun ke tak?”. Tanya Ziah diiringi tawa. Noni yang berjalan ulang-alik mencari sesuatu  turut tertawa. Inilah peluangnya untuk mentertawakan Diah pula!.
 “Woiii! Agak-agaklah!”. Marah Diah. Noni dan Ziah terus-terusan ketawa.
“Alang-alang ada peluang balas balik!”. Fikir Noni. Sengaja bereaksi lebih , ketawa sampai terguling-guling di lantai.
“Hah! Yelah ...  ketawalah puas-puas!”. Bersama kata-kata itu Diah berjalan masuk ke dalam bilik.  “Doommmm!!!”. Bunyi pintu dihempas. Ziah dan Noni langsung tidak peduli. Mereka terus-terusan ketawa gelihati kerana berjaya menyakat Diah!.

Yang menariknya ‘brother tu belajar di Dublin ...
            Seorang demi seorang ahli rumah itu mulai keluar. Masing-masing tidak mahu ketinggalan  ‘bas subsidi’ yang disediakan oleh pihak pengurusan universiti. Kalau sampai ketinggalan alamatnya terpaksalah mereka menunggu bas awam. Sudahlah datangnya tidak tentu masa , kena bayar pula tu. Silap hari bulan tertinggal pula kuliah hari ini. Tidak pasal-pasal  dikira ponteng!.
“Eh korang , mana pas bas aku hah?. Ada sesiapa nampak tak?”. Kelam kabut Noni mencari pas basnya. Rupa-rupanya itulah yang dicarinya sedari tadi. Memang Noni ini seorang yang pelupa. Sudah beberapa kali dia memperbaharui pas basnya.                                                                                              
“Minah ni dah nak kahwin. Bulan lepas baru saja bertunang. Bukan calang-calang orang tunangan dia tu, anak ‘lecturer’ Ekonomi !. Caya tak? Yang menariknya ‘brother tu belajar di Dublin, bakal doktor perubatan. Entah macam mana lah boleh tersangkut dengan si Noni ni. Tapi menurut cerita Noni  , perkenalan mereka memang menarik. Satu hari tu masa nak pergi ke kuliah , Noni tahan bas awam yang juga lalu masuk ke U. Masa tu  semua kerusi dah penuh. Terpaksalah si Noni ni berdiri. Pas tu entah macam mana adalah sorang mamat ni nak turun. Bila dia turun , maknanya adalah satu kerusi yang kosong. Apa lagi , tanpa berlengah Noni terus duduk di tempat itu. Mmm ... dan yang menariknya , sebelah kerusi itu adalah sorang lagi mamat ni. Tunduk dan tawaduk. Ditakdirkan , satu insiden berlaku!. Setelah sampai perhentian yang dituju, Noni segera bangun untuk membunyikan loceng. Tanpa disangka  pemandu bas  entah mengapa menekan brek dengan kuat dan cepat. Apa lagi ... gedebuk!.  Noni jatuh di atas pangkuan mamat sebelah!. Dan dari situlah segalanya bermula  ...”. Begitu lah cara Diah memperkenalkan Noni kepada rakan serumah baru mereka , Ba’ie.

Ahli baru
Ba’ie baru saja dikeluarkan dari asrama kampus. Alasan yang diberi oleh pihak pengurusan Kampus ialah Ba’ie tidak aktif dan telah tidak menyertai aktiviti kampus. Biliknya diberikan kepada pelajar junior. Nasib baik rumah sewa Diah ni masih boleh menampung seorang lagi. Kini dah empat belas  orang ahli rumah ini. Padat memanglah padat namun mereka tidak pernah kesah kerana rumah itu hanyalah tempat untuk melepaskan lelah. Kebanyakan masa mereka dihabiskan di kampus sama ada untuk kuliah ataupun mentelaah di perpustakaan. ‘Lebih ramai lebih bagus kerana kurang duit yang perlu dikeluarkan oleh setiap orang untuk membayar sewa!’.
“Aku sebenarnya tak puashati apabila nama aku naik untuk dikeluarkan dari asrama”. Ba’ie meluahkan rasa hatinya.
“Kenapa?”. Tanya Noni.
“Alasan yang mereka beri ialah aku ni tak aktif dan tidak terlibat sangat dengan aktiviti kampus. Pada hal aku joint gak aktiviti yang dijalankan. Buktinya aku dapat naib johan syarahan yang dijalankan di dewan makan , aku joint indoor games dia orang walaupun tak menang. Dan lagi satu aku selalu solat berjemaah di surau kampus. Tak adil betul dia orang buang aku!”. Terang Ba’ie.  Masih tidak dapat menerima nasibnya.
“Alahhh sudahlah tu. ‘Let looks things from the bright sight’. Disebabkan kau kena buanglah maka kau ada peluang tinggal serumah dengan kami semua. Kalau kau nak tahu , kami ni semua adalah orang baik-baik yang sentiasa berbesar hati untuk menerima kau sebagai sebahagian daripada ahli rumah ini”. Pujuk Ziah sambil tersengih-sengih memuji diri sendiri.
“Ya betul , ‘let looks things from the bright sight’!”. Noni mengulangi kata-kata Ziah sambil tersenyum lebar. “Hmm pandai juga kawan aku ni bermain kata-kata”. Fikirnya.

Mereka ni sebenarnya baik tetapi terpaksa berlagak kejam.
            Sekali lagi Ziah terpaksa membangunkan Diah dari lamunannya , “Diah cepatlah. Kau ni  tak habis-habis berangan ye?”. Bebel Ziah  setelah melihat Diah yang masih termenung panjang di depan cermin.
“Ops! ... sorry. Jomlah ,  nanti tertinggal bas pulak.” Ajak Diah sambil berjalan laju mendahului Ziah.
“Tau tak pa!”. Balas Ziah sambil membeliakkan matanya kepada Diah. Diah tertawa . Mereka sama-sama bergegas keluar rumah menuju ke perhentian bas.
“Eh , mana Noni? Tak Nampak pun”.Diah memandang kiri kanan mencari  kelibat Noni.
“Manalah pulak peginya mak nenek ni. Tadi beria-ia mentertawakan orang!”. Rungut Diah.
“Tak berani nak naik bas , tak jumpa pas. Takut pakcik check!”. Balas Ziah.
“laa ... kesiannya. Tunggu bas merahlah tu?”. Sampuk Ba’ie , merujuk kepada bas awam.
“ Gitu lah nampaknya!”. Jawab Ziah selamba , sudah lali dengan sifat pelupa Noni itu.
Begitulah kehidupan mereka. Kalau nak naik bas ‘free’ mestilah mengambil pas di bahagian  HEP (Hal Ehwal Pelajar). Tiada pas dianggap sebagai penumpang ‘haram’. Pakcik yang dimaksudkan itu ialah pemandu dan konduktor bas . Mereka ni sebenarnya baik orangnya tetapi terpaksa berlagak kejam. Jika tidak , semua pelajar U yang tinggal di luar kampus akan berebut-rebut menaiki  bas yang disediakan itu sepenuh-penuhnya. Maka tidak akan cukuplah tempat dan ruang untuk pelajar yang ‘legal’. Akibatnya jika ada yang buat rungutan atau aduan di bahagian HEP , sudah tentu ‘pakcik’ konduktor dan pemandu bas yang akan mendapat susah. Sebab itulah mereka terpaksa bertegas.

“Micro Teaching”
Setelah sampai tempat yang dituju , mereka turun dengan lebih teratur sambil mengucapkan terima kasih kepada ‘pakcik-pakcik’ bas itu. Apalagi ? ...
“Soru sapdek?” . Tanya Diah kepada Ba’ie dan Ziah sebaik saja turun dari bas. Mereka adalah rakan sekursus ,  sama-sama mengambil kursus Diploma pendidikan setelah menamatkan kursus Sarjanamuda masing-masing.  Setiap seorang mempunyai sebab tersendiri mengikuti kursus Diploma Pendidikan ini. Ada yang memilihnya kerana minat yang mendalam untuk mendidik anak bangsa , malangnya  ada juga yang memilihnya kerana gagal mendapat pekerjaan lain!. Apapun , bukan hak kita untuk menilai.
Diah dan Ba’ie bakal menjadi guru dalam pengkhususan Biologi/Sains manakala Ziah pula memilih pengkhususan  Matematik/Fizik. Pemilihan pengkhususan tersebut bergantung kepada pengkhususan yang diambil semasa kursus sarjanamuda mereka dahulu.
“Eh , takde lain ke kau nak ingat?. Kejap lagi kan kau ada ‘presentation’. Lupalah tu! Kau tengok Ba’ie,  korang yang nak kena ‘present’ , aku pulak yang kena tolong ingatkan” . Marah si Ziah. Ba’ie hanya tersenyum. Diah pula buat-buat pekak.
“Katalah apa saja , aku tak kesah dan akupun takkan marahkan kau Ziah”. Bisik hati kecil Diah. Leteran Ziah itu hanya bagaikan angin lalu menghembus mesra cuping telinga Diah!.
“Budak ‘Ayak Palong, Air Hitam, Kedah ni tak akan dapat buat aku marah. Dia budak baik. Mak Bapak diapun baik. Rumah dia di tengah sawah. Bapak dia ada traktor pembajak sendiri. Ikan pakai tangguk aje di parit ( tali air). Sayur petik di belakang rumah. Sesekali bapak dia tembak burung. Puh! Senang cakap , semuanya ada!. Depa pakai duit untuk apa pun aku tak tau. Semua benda main ambil di sekeliling rumah. Lagi best , depan rumah dia ada pokok ‘Pauh’ (mangga). Buahnya bukan main banyak lagi. Hebat ... walaupun orang kampung, mereka sebenarnya ada semua!”. Begitulah pandangan Diah kepada sahabat baiknya itu. Semasa cuti  Hari Raya Haji tahun lepas , Diah telah beraya di rumah Ziah. Sengaja hendak menimba pengalaman dan ingin tahu cara ‘orang Kedah’ menyambut Hari Raya Korban. Masa itu , barulah Diah tahu bahawa orang Kedah menyambut hari raya Aidil Adha lebih meriah daripada hari raya Aidil Fitri.
“Yelah Diah , nanti kelam kabut kita makan , tak umphh  laa. Silap hari bulan  , tercekik. Tak pasal-pasal kena pergi hospital!. Lagipun , aku tak ‘confident’ lagi  nak ‘present’ ni. Gabra la!” . Balas Ba’ie menyokong kata-kata Ziah.
 “Alah! Lagi setengah jam lah kak. Relaks laa ... tak cukup ke semalaman akak ‘stay up’? Apalah akak ni , cepat sangat menggelabah. Ingat skit kak oii , kalau asyik menggelabah je nanti dapat sindrom ‘tua sebelum waktunya’! Ha ha ha”. Tawa Diah. Langsung tidak mempedulikan kerisauan Ba’ie. ‘Cergas! Cerdas! Ceria!’ , itulah moto hidupnya.
Seketika itu juga tangannya tangkas menarik lengan  Ziah  lantas menyeretnya menuju ke kafeteria. Ba’ie hanya mampu mengekori mereka dari belakang sambil menggeleng-gelengkan kepala. Mahu tidak mahu dia terpaksa menurut juga. Terkial-kial dia mengejar langkah Diah dan Ziah.   Ziah pula menahan-nahan langkahnya dari terus ditarik , sengaja mahu menunggu Ba’ie agar mereka bertiga dapat jalan seiring.
“Kakak-kakak berdua , kita makan untuk 15 minit je. Lepas tu kita cepat-cepat pergi kelas ... okey?”. Gurau Diah . Sengaja bercanda untuk menghilangkan kerisauan dua  sahabatnya itu.
            Sebaik sahaja mereka duduk di meja makan , seorang pelayan kafeteria datang menghampiri mereka , “Hah dik , roti canai banjir dan teh tarik. Macam biasa ?”. Tanya ‘abang pelayan’ itu kepada Diah. Dia  memang sudah faham selera Diah. Mana tidaknya , hampir setiap pagi sebelum ke kuliah , Diah memang takkan ‘miss’ pekena roti canai dan teh tariknya.
“Yalah bang . Macam biasa”. Jawab Diah.
“Ni adik dua orang lagi ni?” . Tanya ‘abang pelayan’ itu pula sambil memandang Ziah dan Ba’ie.
“Samalah bang”. Jawab mereka serentak. Malas untuk memikirkan menu yang lain. ‘Abang pelayan’ itu mengangguk tanda faham dan berlalu. Lima minit kemudian ‘abang pelayan’ sudah muncul semula bersama sedulang makanan yang dipesan oleh tiga gadis itu.
Apalagi?.
Mereka makan dengan penuh rasa kesyukuran. Hilang terus kerisauan Ba’ie dan Ziah apabila melihat bebuih yang menggiurkan dari mulut cawan teh tarik mereka. Tambahan pula aroma roti canai panas yang baru dimasak memang menyelerakan!
            Sebaik saja habis menikmati roti canai banjir bersama teh tarik , ketiga-tiga sahabat tersebut bergegas ke bilik tutorial masing-masing. Ziah ke bilik tutorial pelajar ‘matematik/Fizik’  manakala Diah dan Ba’ie ke bilik pelajar ‘Biologi/Sains’.  Masing-masing begitu yakin akan dapat  mengajar subjek pilihan mereka apabila ditempatkan di sekolah nanti. Walhal , semuanya bergantung kepada kekosongan dan keperluan sekolah. Tambahan pula , subjek biologi dan Fizik adalah merupakan subjek pilihan bagi pelajar aliran sains sahaja. Berbeza pula dengan matematik yang menjadi matapelajaran teras yang wajib dipelajari oleh semua aliran murid di sekolah.
“Hah! Sempat pun kita”. Kata Diah setelah mengerling jam di tangan. Dia gembira setelah sampai di depan pintu kelas tutorialnya. Wajahnya ceria memandang Ba’ie. Ba’ie tersenyum lega. Ya , mereka telahpun berdiri di depan pintu bilik tutorial mereka!. Perlahan-lahan  pintu bilik tutorial ditolak . Sebaik sahaja pintu bilik tutorial itu terbuka , mereka terkejut besar. Sangat terkejut besar!!
Malang bagi mereka ,  semua mata sedang tertumpu ke arah mereka . Dr Othman juga sedang merenung tajam. Keningnya berkerut , memandang kedua gadis itu dengan wajah yang cukup serius. Memang telah menjadi pantang besar bagi pensyarah ini jika ada pelajar yang hadir lewat ke kuliah atau tutorialnya.
“Budak ni lagi!”. Rungut Doktor Othman.
Ba’ie dan Diah menjadi serba salah. Wajah mereka merah bagai udang dibakar. Malu diperhatikan begitu!. Rasa bersalah pun ada kerana telah mengganggu perjalanan kuliah. Ba’ie mencuit lengan Diah. Diah pula sibuk membelek jam di tangannya.
“Ahh! Patutlah . Jam mati!”. Keluh Diah perlahan.
“Apa? Matilah!!!”. Kata Ba’ie sambil mengerutkan keningnya. ‘Muka cuak’ jelas tergambar di wajahnya.
“Hah!. Baru sampai. Jangan pulak nak beritau saya yang jam tangan kamu tu rosak!. Alasan lapuk itu sudah tidak diterimapakai lagi”. Tegur Doktor Othman sambil memandang Diah. Diah menggaru-garu  kepalanya yang tidak gatal ...
“Laa ... lapuk abende?. Dah memang betul kot!”. Kata Diah perlahan sambil berkerut dahinya mencari alasan lain.
“Err maafkan kami Doc. Tadi ... aaa ... aaa ... kami lapar sangat. So kami singgah sarapan pagi dulu.  Bajet masa makan 15 minit je tapi ... tapi abang tu tebar  roti canai lambat sangat , tak sangka pulak boleh sampai setengah jam!”.  Diah memberi  alasan , terpaksa menyalahkan abang roti canai  yang ‘lembab’  menyebabkan kelewatan mereka.
“Hmm ... memang beginilah sifat manusia. Mudah sangat menyalahkan orang lain. Kita selalu saja lupa , apabila satu jari menuding orang , empat jari lagi akan menuding ke arah kita sendiri. Betul Mardhiah?”.
“Alamak! Dia tahu nama akulah!”. Kata hati Diah. Terkejut juga dia apabila Doktor Othman tahu dan ingat akan namanya.
“Tak apalah tapi lain kali suruh abang awak tu tebar roti canai cepat skit. Saya tidak mahu perkara ini berulang lagi!”. Sindir Dr Othman.
“Err ... abang roti canai. Bukan abang saya!” .Jawab Diah lalu segera sikunya disinggung oleh Ba’ie. Diah memandang Ba’ie dengan rupa’tidak puas hati’. Ba’ie menjegilkan matanya lalu membuat ‘isyarat  mata’ penuh makna kepada Diah. Diah terpaksa akur ...
“ Err ya ... kami janji!”. Jawab mereka serentak. Bengang disindir begitu. Kawan-kawan lain tersenyum menahan tawa.

Bagus ... saya suka Cikgu ini!
Seorang  lepas seorang membentangkan tugasan masing-masing. Sampailah ke giliran Diah. Diah membentangkan tugasannya dengan baik sekali - berlakon sebagai guru di dalam kelas dengan tajuk geseran!. Mana tidaknya , semalaman dia menyiapkan lukisan itu, ‘mamak roti canai terlepas cawan kopi  akibat minyak di tangannya’. Itu  baru  untuk ‘set induksi’ , belum lagi pengisian yang lain. Memang Diah sangat berbakat untuk menjadi seorang guru. Doktor Othman sangat berpuas hati.
Seperti biasa pada akhir pembentangan tugasan , rakan-rakan setutorial diberi peluang untuk memberikan komen mereka. Zuraimie , rakan setutorial yang sentiasa sibuk memperhatikan Diah  dalam diam memang sudah lama menaruh ‘minat’  kepadanya. Anak muda ini sentiasa  mencuba  pelbagai cara untuk menarik perhatian gadis yang diminatinya ini  tetapi tidak pernah mendapat balasan yang  positif.  Diah jual mahal , mana tidaknya , hati Diah sudah terpaut pada yang lain. Cuma sayangnya orang itu sendiri tidak pernah tahu akan perasaannya itu. Kira kes syok sendiri lah ni!!
“Bagus ...  saya suka Cikgu ini! Sangat kreatif dan langsung tidak membosankan. Bahan bantu mengajar yang digunakan sangat menarik dan lucu. Bukan saja berbakat menjadi seorang guru yang baik tetapi  juga sangat berbakat dalam lukisan. Jika kedua-dua bakat ini dieksploitasikan tentu anak murid cikgu kelak takkan bosan atau tidur di dalam kelas!” . Komen Zuraimie dengan penuh perasaan , memandang wajah Diah tanpa berkelip!.
“Amboii!!”. Tegur seorang teman. Zuraimie tersenyum , mengerling riak wajah Diah. Diah hanya mengerutkan dahinya sambil mencebikkan bibirnya yang mongel.
“Wow! Comelnya!”. Kata hati Zuraimie.
 Dr Othman pula tersenyum lebar mendengar puji-pujian yang berlebihan itu. Tertangkap di hatinya perasaan anak muda berwajah kacukan China ini. “Hmm ... orang muda!”. Katanya di dalam hati.
 “Erm?. Tapi ... saya tak sempatpun nak buat kesimpulan. I can’t manage my time effectively!”. Balas Diah spontan. Diah tidak suka dipuji tidak bertempat.
“Kami tahu!!!”. Jawab rakan-rakan yang lain dan Dr Othman terus tersenyum.

 Dating’ di perpustakaan ...
            Diah bergegas keluar sebaik sahaja kelas tutorial hari itu berakhir. Entah mengapa , perasaannya sedikit terganggu dengan pujian terlampau yang diberikan oleh Zuraimie tadi , “Eee salah makan agaknya mamat tu tadi!”. Fikirnya sambil mempercepatkan langkah.
“Eh Diah , kau perasan tak yang  Zuraimie tu asyik pandang kita je”. Tanya Ba’ie. Berlari-lari anak mengejar langkah Diah.
“Siapa Zuraimie?”. Tanya Diah , spontan.
“Alah! Mamat yang memuji kau melambung tinggi tulah!. ‘Jika kedua bakat ini dieksploitasikan tentu anak murid cikgu kelak takkan bosan atau tidur di dalam kelas’ ”. Ba’ie mengajuk semula kata-kata Zuraimie tadi.
“Oo mamat tu. Kenapa dengan dia?”. Tanya Diah , acuh tidak acuh.
“Sejak kita melangkah masuk  tadi , aku perasan sangat yang mata dia tu tak berkelip pun memandang kita!”. Kata  Ba’ie lagi. Tercungap-cungap dan masih berusaha mengejar langkah Diah.
“Ye ke?. Aku tak perasan pun”. Jawab Diah selamba , tidak berminat dengan isu yang dikeutarakan oleh Ba’ie.
“Eerrr kau rasa, kenapa hah?. Eh japlah. Aku tanya ni , kau rasa kenapa dia asyik pandang kita je hah?” . Tanya Ba’ie lagi  ,  tidak berpuashati dengan sikap acuh tidak acuh Diah. Lantas lengan Diah ditarik , ada sesuatu di benak hatinya  memerlukan jawapan. Jawapan yang ingin sangat didengarnya.
“Alahhh mestilah dia pandang kita. Kan kita berdua saja yang lambat. Siap kena sindir lagi. Kalau aku jadi dia pun mesti aku pandang!”. Jawab Diah setelah memberhentikan langkahnya. Dia tidak faham dengan sikap Ba’ie yang tidak habis-habis membicarakan soal Zuraimie.
“Eeee ... aku tak rasa macam tu lah!”. Balas Ba’ie.
“Habis tu?. Takkanlah sebab dia dah jatuh hati kat kita berdua kot!!”. Diah merenyih. Ba’ie diam.
“Opss! Tolonglah. Bukan kita berdua tapi aku!. Aku okey?!”. Jerit hati Ba’ie. Mujur jeritan itu hanya berlaku di dalam hatinya sahaja!.
“Heee  dahlah tu kak. Tak de maknanya kita kecohkan soal mamat ni. Jomlah kita ke perpustakaan , nanti kesian pula Ziah menunggu kita lama”. Diah menukar tajuk. Tidak berminat langsung untuk terus bercerita tentang Zuraimie. Ba’ie kecewa ...

‘perpustakaan terbesar di Malaysia’
Seperti biasa , sementara menunggu kuliah seterusnya tiga sekawan ini  pasti akan ‘melepak’ di perpustakaan. Pada mereka  inilah syurga ilmu - ‘perpustakaan terbesar di Malaysia’!
“Eh , betul ke terbesar di Malaysia?”. Tanya Ba’ie apabila Diah memberikan pengiktirafan yang berlebihan kepada library ‘mereka’ itu.
“Heee ... kau pernah dengar perpustakaan Negara tak?”. Tanya Diah semula kepada Ba’ie. Ba’ie mengangguk. “Bagus , sekurang-kurangnya kau bukanlah    ‘katak di bawah tempurung’ “. Diah merenyih lebar.
“Okey. Aku memang bukan ‘katak di bawah tempurung’. Tapi ... apa kaitannya dengan soalan aku?”. Ba’ie meminta kepastian , tidak dapat menangkap maksud yang cuba disampaikan oleh Diah.
“Namapun perpustakaan Negara. So , fikirlah sendiri!”. Diah menjawab dengan menekankan perkataan’Negara’ sambil tertawa kecil sebelum  berjalan laju meninggalkan Ba’ie  sekali lagi.
“Eeee ... apa-apa ajelah dia ni!”. Terpinga-pinga Ba’ie dibuatnya.

... luar kampus banyak mengajarnya tentang erti persahabatan dan berdikari.
            Diah dan Ziah memang suka sangat menghabiskan masa mereka di perpustakaan.
“Best , macam-macam kemudahan ada. Kalau malas nak cari sendiri buku atau bahan bacaan  , boleh cari menggunakan  komputer. Sesekali kalau penat belajar kita boleh tempah bilik untuk menonton movie. Caya tak ? Dan yang lebih penting , pustakawan nya hensem , baik dan berbudi bahasa pulak tu!”. Begitulah caranya Ziah memujuk Ba’ie  untuk ke perpustakaan. Dulu , Ba’ie memang cukup malas untuk belajar di perpustakaan. Dia lebih suka bersendirian , belajar  di bilik asramanya. Tetapi setelah berpindah ke luar kampus dan berkawan baik pula dengan Diah dan Ziah , segalanya bertukar. Rasa lebih seronok belajar di perpustakaan bersama kawan-kawan. Memang duduk di luar kampus banyak mengajarnya tentang erti persahabatan dan berdikari.        
            Kali ini Diah perlu mencari maklumat tentang tumbuhan daripada spesies Musasea sp. Semua ini adalah untuk pembentangan tugasan yang diberi oleh Dr Rahim. Tajuk Musasea sp. ni  dipilih sendiri oleh Diah sebagai bahan pembentangan.
“Bukan apa , nampaklah glamour sikit. Pasal orang lain mesti tertanya-tanya , makhluk apakah ini?. Monyetkah?. Musangkah?. Walhal  Musasea sp.   ni adalah spesies pokok pisang!!”. Itulah jawapan Diah bila ditanya oleh rakan-rakannya tentang tajuk yang dipilihnya itu. Diah berniat untuk mengaitkan teori Sains penghasilan buah oleh pokok pisang dengan peribahasa Melayu yang sangat popular  iaitu ‘Masakan pisang berbuah dua kali’. Itulah niatnya. Diah memang sangat kagum dengan kebolehan orang Melayu dulu yang mampu mengaitkan fenomena semulajadi alam dengan pelbagai peribahasa yang mempunyai maksud tersirat yang sungguh mendalam.
... kalau dah berdua-duaan macam tu , akan ada yang ketiga!
Sambil menyelam minum air. Begitulah sikap Diah setiap kali  datang ke perpuatakaan. Diah memang suka memerhatikan gelagat mahasisiwa dan mahasisiwi yang turut menggunakan perpustakaan. Memang ramai yang datang ke sini untuk mentelaah ataupun menyiapkan tugasan namun tidak kurang juga  yang menjadikan perpustakaan sebagai tempat bertemujanji. ‘Temujanji’ orang terpelajar!.
 “Aku pasti akan menjamu mata! Haii ... saja nak tengok ‘couples’ U ni bercinta. Mereka ni suka sangat ke ‘library’ ‘together-gether’!. Alasan nak study sama ... memang ada yang pulun study tapi tengoklah , lebih ramai  yang menjadikan  ‘study’ sebagai alasan. Dulu ustaz aku kata  , kalau dah berdua-duaan macam tu , akan ada yang ketiga! . Eee! Faham-faham ajelah!”. Fikir Diah sendirian , tidak selesa dengan apa yang dilihat. Sungguhpun Diah bukanlah pelajar Fakulti Pendidikan Islam namun kepekaannya tentang hukum yang satu ini memang amat ketara ,’Haram berdua-duaan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim!’ dan ‘Hendaklah kamu menjauhi zina’.
Setelah sampai di ‘port’ biasa mereka , ketiga-tiga sahabat ini duduk dan mula mengeluarkan buku masing-masing. Banyak yang perlu disiapkan , tugasan yang berlonggok dan pelbagai info dan maklumat lain yang perlu dicari , dibaca dan difahami.
“Alamak Ziah , tengok tu”. Bisik Ba’ie kepada Ziah setelah dia terlihat abang Ibrahim dikerumuni lima  orang pelajar perempuan! . Abang Ibrahim ini adalah salah seorang ahli wakil pelajar Universiti yang dipilih secara demokrasi. Sama seperti proses pilihanraya negara. Semua calon yang bertanding akan berkempen agar dipilih. Warga ‘U’ akan membuang undi masing-masing dan undian mereka adalah ‘rahsia’. Walaupun begitu kebanyakan calon pasti ada ‘badan’ lain di belakang mereka. Abang Ibrahim ini merupakan calon ‘favourite’. Boleh dikatakan semua warga ‘U’ mengenali dia.
“ Eee ...”. Renyih Ziah , itu sajalah reaksi paling baik yang boleh diberikan olehnya!.
“ Tak sangka ya , brother Brahim tu ...”. Sambung Ba’ie pula , mula berburuk sangka.
“Aloo kakak , dalam makna tu! . Depa tu study group  laa ... , takpun tengah buat ‘assignment’ kumpulan. Kakak berdua ni jangan suka fikir yang bukan-bukan. Ingat , sangka buruk itu satu dosa!”. Tegur Diah.
“Astarghfirullah al-adzhiimmm ... terima kasih ustazah!”. Ucap Ziah dan Ba’ie serentak. Diah tersenyum mendengar panggilan ‘ustazah’ itu.
“Amal makruf nahi mungkar!”. Balasnya sambil terus tersengih.
Namun belumpun seminit ... Ziah sudah mula bergosip lagi. “Diah , cuba kau pandang belakang kau. Tengok meja baris kedua last”. Gesa Ziah. Diah  buat tidak tahu. Malas untuk berbuat seperti yang disuruh. Pada pendapat Diah , mereka semua itu sudah besar panjang dan tahu baik buruknya.
“Diah , tengoklah!”. Gesa Ziah lagi. Diah terpaksa akur.
“Wah mesra nya. Itu Masrita kan? Itu ke pakwe baru dia . Err ... nampak sama je macam rupa ...”. Tanya Diah. Belumpun sempat dia menghabiskan ayatnya ...
“Hah betul lah tu. Rita memang suka lelaki muka pesen macam tu!”. Sampuk Ziah memotong kata-kata Diah.
 Masrita pernah rapat dengan mereka semasa sama-sama mengikuti program matrikulasi di Kulim , Kedah dahulu. Rakan sekelas dan seasrama. Masrita pada ketika itu sedang hangat bercinta dengan seorang pelajar lelaki bernama  Yusof.   Mereka kerap bertemu dan menghabiskan masa senggang berdua. Diah dan Ziah pernah cuba menasihati  Masrita agar tidak membuang masa melakukan aktiviti yang sia-sia lagi berdosa  itu. Tambahan pula , tumpuan mereka seharusnya hanyalah untuk  meningkatkan pencapaian akademik masing-masing. Berusaha untuk cemerlang dan bukannya sibuk bercinta!.
“Maaflah. Aku tak boleh hidup tanpa lelaki!”. Itulah jawapan yang pernah diberikan oleh Masrita apabila dinasihati.  Meremang bulu tengkuk Diah dan Ziah mendengar jawapan itu.
“Macam cerita drama pulak!”. Fikir mereka berdua.
Sungguhpun bercinta sakan , seperti yang dijangka hubungan Masrita dan Yusof  tidak berkekalan. Mereka berpisah juga setelah masing-masing masuk ke university.
“Eh minah, bila aku nak mula buat keja ni? Asyik layan kau orang tengok orang dating je. Lainlah kalau korang atau aku yang dating!”. Tegur Ba’ie , tiba-tiba terasa yang masa mereka telah dihabiskan untuk perkara yang sia-sia.
“Oppsss!”. Balas Diah dan Ziah serentak.   Mereka sama-sama tersenyum dan mula membuat kerja masing-masing.


Sahabat adalah cermin diri.
Jika kita berkawan dengan orang yang suka memakai minyak wangi , kita juga akan berbau wangi. Sebaliknya jika kita berkawan dengan orang yang bergelumang najis pasti kita juga akan terpalit najisnya!
 




“Mmm ... Gunalah!”
Kembali ke kuliah Math. Inilah subjek yang paling susah dan membosankan bagi Diah. Setiap kali habis sahaja kuliah , pelajar wajib ke kelas tutorial pula. Sepatutnya mereka akan jadi lebih faham tetapi bagi Diah sebaliknya , menjadi semakin tidak faham!.
“Aku bukan apa , aku tak tau apa gunanya subjek ni dalam hidup aku. Itu yang buat aku malas nak study!”. Itulah komen Diah tentang subjek ini. Lain pula halnya dengan Ziah , Matematik adalah hidupnya , Ziah betul-betul sukakan  subjek ini.
“Selagi dia ada kaitan dengan Matematik , aku okey jee ...” . Komen Ziah .

Kuiz mengejut
“Baiklah , oleh kerana saya tahu ramai juga pelajar yang selalu ponteng kuliah saya , maka hari ini saya akan jalankan kuiz mengejut! ‘Bonus marks’ untuk mereka yang hadir dan sebagai hukuman bagi yang ponteng!”. Puan Rabiah berkata  dengan senyuman yang sentiasa menguntum di bibir. Pensyarah muda ini mempunyai potongan badan yang sungguh menarik. Tambahan pula beliau gemar berkebaya pendek. Sekali pandang macam ratu kebaya dalam filem ‘Labu-labi’ lakonan bintang lagenda , Allahyarham P.Ramle. Cukup  terserlah sifat kewanitaannya. Malah cukup untuk menggetarkan hati para siswa yang melihatnya!
“Alamak , matilah aku! ”. Getus Diah di dalam hati. Memandang wajah Ziah minta simpati.
Ziah cuba menenangkan diri. Walaupun begitu kerut di dahinya mengungkap rasa di dada. Mereka hanya mampu berpandangan dan tersenyum ... pahit!
“Salin soalan berikut dan jawab di atas  kertas. Selesai menjawab pastikan nama dan nombor daftar anda ditulis dengan jelas pada bahagian atas kertas jawapan”. Sambung Puan Rabiah sambil memancarkan soalan yang sedia ada dalam komputernya ke skrin  menggunakan ‘LCD projektor’.
Semua pelajar dalam dewan kuliah hari itu mula menyalin soalan dan menjawab. Suasana menjadi  begitu sunyi sekali sehinggakan bunyi keriukkan kerusi yang diduduki akan kedengaran setiap kali ada yang mengalihkan  punggung!.
“Alamak , tak bawa kalkulator lah!. Ziah , kau bawa tak?”. Bisik Diah , takut dituduh meniru!.
“Aku pun tak bawa” .Jawab Ziah . Bengang. “Macam manalah boleh tertinggal. Puan Rabiah nipun satu. Time aku tak bawa , masa tulah dia nak buat kuiz!”. Rungut Ziah sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“ Eee ... matilah macam ni!. Tak kan nak kira ngan jari? Sampai berjanggutpun takkan habis jawab!”. Geram Diah meluahkan perasaan bengangnya  kepada Ziah.
“Yelah. Itu memang dah tentu sebab kita memang takkan berjanggut. He he he!”. Ziah membuat lawak , saja hendak mengurangkan rasa ‘tension’.
“Eeee ...  buat lawak pulak minah ni!”. Keduanya menahan tawa.
“Aduhh ni kalau kira guna  jari confirm tak siap. Kalau campur jari tangan and kaki aku ngan kau pun tak cukup ni!!”. Ziah cuba membuat lawak lagi.
“Ceh diamlah ... lawak bodohlah pulak!”. Marah Diah , takut jika dilihat oleh Puan Rabiah.
Tiba-tiba Diah terkejut ,  sebuah kalkulator dihulurkan dari baris kerusi  betul-betul di  belakangnya. Diah menoleh. Tidak disangka , ada yang prihatin!.
“Ahh ...”. Berderau darah Diah. Seorang anak muda dengan rambut lurus jatuh menutupi dahi sedang menghulurkan sebuah kalkulator kepadanya. Sepantas kilat jari jemari pemuda itu menolak rambutnya ke tepi. Pemuda itu tersenyum memandang Diah , terserlah rahang pipinya yang agak lebar dengan senyuman yang sungguh menawan.
“Ahhh ... indahnya!” Bisik hati kecil Diah. Terpaku dengan apa yang dilihat.
“Mmm gunalah”. Begitu sopan Raziq berkata sambil terus menghulurkan kalkulator. Bibirnya masih mengukirkan senyuman. Begitu manis sekali. Jiwa remaja Diah terusik melihatnya.
“Tak apa , gunalah. Kebetulan saya bawa dua kalkulator” . Raziq terus bersuara apabila melihat Diah seperti keliru dan masih terkaku.
Diah jadi serba tak kena. Mana tidaknya , Inilah jejaka tampan yang telah mencuri hatinya dalam diam dan selalu  mengganggu konsentrasinya semasa di ‘library’!. Jejaka ini sering duduk selang 3 meja dari ‘port favourite’ Diah dan Ziah. Pun begitu tangan Diah mencapai juga kalkulator tersebut .
“Terima kasih ...”. Kata Diah separuh berbisik. Hanya senyuman membalas kata-kata tersebut. Diah tidak berani menentang mata jejaka pujaannya ini. Dek kerana terlalu gelabah , tanpa disengajakan  tangan mereka bersentuhan. Serta merta darah mengalir ke wajah Diah. Wajah putih gebu itu bertukar kemerahan!
“Sorry ...”. Bisik Diah antara dengar dengan tidak.
“Tak mengapa”. Balas Raziq. Senyuman masih menguntum di bibirnya. Hatinya berbunga-bunga.  Mana tidaknya , inilah gadis   yang   sering   menarik    perhatiannya   semasa   di   ‘library’.    Sudah   lama    Raziq ingin berkenalan tetapi terlalu malu untuk membuka langkah .    Tidak disangka , hari ini peluang sudah terbuka untuknya. “Hari ini segalanya pasti bermula. ‘Terima Kasih Puan Rabiah’!”. Katanya di dalam hati.

... sikap ‘lupa kawan’...
Berakhir  juga  kuliah    pada  hari  itu. Sebaik sahaja kertas jawapan dipungut , semua pelajar bergerak keluar meninggalkan dewan kuliah. Ziah muncung mencuka. Berjalan laju tanpa menghiraukan Diah.                                                                                                                                                                          “Oii  minah... kenapa?. Angin tak ada , rebut tak ada. Tiba-tiba hujan?”.    Tanya Diah sambil mengejar sahabatnya itu.                                                                                                                                                                         “Kenapa kau kata ? Huh! Sudah geharu , cendana pula!”. Ziah mengomel dengan mulut yang sengaja dimuncungkan.  Kakinya terus dihayun laju. 
“Ehhh kak , apa ni ? Tak fahamlah...”. Jawab Diah serius. Berlari anak memintas langkah Ziah. Ziah menghentikan langkah , mengetapkan bibirnya sambil memandang Diah dengan kening yang berkerut.
“Engkaulah , dapat kalkulator langsung tak pas pada member sebelah!!”. Marah betul Ziah. Mana tidaknya , akibat sikap ‘lupa kawan’ Diah tadi , Ziah tidak sempat menyiapkan lebih separuh soalan.
“Alamak!.  Sorry lah kak , aku sebenarnya tadi tak boleh nak berfikir langsung. Dapat kalkulator pun tak tau nak tekan apa!”. Kesal sungguh Diah kerana telah melupakan kawannya itu.                                                                                                                                                               “Betul ke?. Awat teruk sangat?” . Tanya Ziah ingin tahu. Serta merta hilang rasa marahnya , yang ada kini hanyalah sifat ingin tahu dan ambil beratnya terhadap Diah. Itulah Ziah , marahnya bagaikan angin lalu.
 “Ziah , itulah jejaka pujaan aku!”. Bisik Diah sambil memegang kedua tangan Ziah. Saling berpandangan. Ziah dapat melihat wajah Diah berseri-seri ketika menyatakannya.  Jelas sekali kata-kata itu memang lahir dari lubuk hatinya.                                                                                      
“Laa ... ye ke? Macam muka Bangla kat stesen minyak je”. Usik Ziah. Ziah memang sedia maklum bahawa sahabat baiknya ini memang sedang gila bayang. Cuma Ziah tidak pernah ambil pusing siapakah gerangannya jejaka tersebut.                                                                            
“Eh , tolong skit ... kulit cerah okey!”. Mereka sama-sama tertawa.                                                                                                                            

Terima kasih sebab pinjamkan saya kalkulator ...
            Inilah hari yang paling bersejarah dalam hidup Diah. Semuanya bagaikan sudah tersurat. Siapa sangka , begitu banyak tempat duduk dan begitu ramai pelajar dalam dewan kuliah hari itu , Raziq boleh duduk di belakangnya dan telah meminjamkan kalkulator kepadanya!. ‘Pucuk dicita , ulam mendatang’ , Diah benar-benar rasa bertuah hari ini.
“Assalamualaikum!”. Tiba-tiba satu suara  memeranjatkan kedua sahabat tersebut. Serentak mereka menoleh.
“Waalaikummussalam”. Balas Ziah tetapi  Diah -  membisu seribu bahasa!. Lidah kelu untuk berbicara.  Jantungnya berdegup kencang.  Hatinya resah tidak menentu.                               
“Saya Raziq. Boleh kita berkenalan?”. Tanya Raziq dengan sopan sambil matanya tepat memandang wajah Diah yang tiba-tiba bertukar merah bagaikan udang dibakar!.Ziah menyenggol siku Diah. “Hish kau ni , kot iapun ‘cover’lah sikit rasa hatitu. Malu le!”. Bisik Ziah perlahan.  Diah tersipu mendengarnya.
 “Ah ... err ... saya Diah. Ini kawan baik saya Ziah. Terima kasih sebab pinjamkan saya kalkulator tadi”. Diah berkata laju. Akhirnya dapat juga Diah menjawab  setelah berjaya mengurangkan rasa gemuruh dan debaran di hati.
“Perkara kecil saja. Dah nak balik ke?. Errr ...  kalau sudi , boleh saya tolong hantarkan. Kebetulan sayapun dah nak balik ni”. Pelawa Raziq dengan penuh sopan. Berharap sangat pelawaannya akan diterima.
“Err ... boleh jugak ...” . Jawab Ziah namun belumpun sempat dia menghabiskan ayatnya ....
“Eh , tak apalah ,  kami masih nak ke perpustakaan. Err ada kerja nak buat. Kan Ziah?. Err ...  Jumpa lagi!”. Diah menolak pelawaan Raziq  lantas  segera menarik tangan Ziah ,  berjalan laju meninggalkan Raziq terpinga-pinga.
Setelah agak jauh ...
“Alah jual mahal pulak!”. Usik Ziah.
“Hishh diamlah!”. Balas Diah.
“Mulut kata tak apalah tapi hati kata ‘mau’!”. Usik Ziah lagi.
“Hishh diamlah!!”. Balas Diah.
“Jinak-jinak burung merpatilah konon!”. Ziah terus mengusik , suka melihat muka Diah yang merah menyala.
“Hisshhhhh diamlah!!!”. Geram pula Diah terus-terusan diusik.
“Eh Diah , kau nak bawak aku ke mana ni?” . Tanya Ziah , masih lagi tersenyum-senyum melihatkan Diah yang gelabah.
“Tak dengar ke tadi? Ke perpustakaan lah , mana lagi?!”. Jawab Diah dengan suara yang sengaja diperlahankan.
“Aloo kakak , ni jalan nak baliklah. Bukan nak ke perpustakaan. Tuu kat belakang tadi jalan ke perpustakaan!?”. Balas Ziah sambil tergelak besar. Geli sungguh hatinya melihatkan keadaan Diah yang ‘malu-malu kucing’ itu.
“Apa?!   A aaaargh  ...  malunya!!” . Jerit Diah. Lantas segera  menoleh ke belakang. Dari kejauhan dia masih boleh melihat wajah tampan Raziq , melambaikan tangan sambil tersenyum memandangnya!.
“Napa tak cakap tadi. Malulahhhh!!!!!”. Diah separuh menjerit.
“Alah ... malu tapi mahu! Meoww! Meoww!!”. Usik Ziah sambil terus tertawa.



Aku suka kamu
Kalau bolehku bisikkan padamu
Umpama mesra deru angin lalu

Supaya kau tahu isi hatiku
Utuhnya rasaku terpahat di kalbu
Kau pasti terharu kerna ianya sejak dulu
Aku cinta kamu tanpa jemu

Ku harap  kau juga begitu
Akan menyambut seruan batinku
Memupuk kasih menyemai rindu
Untuk kau dan aku , kan  akhirnya bersatu


                                                          Cinta dan Harapan Mardiah





                                                                                                             ........bersambung dalam Bab 2

 









2 comments:

  1. kenangan mengheret dalam ingatan
    tun sri lanang, pusanika dan rumah no 44

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hmm ... bukan 44.
      Cerita tiada kaitan secara langsung dgn penulis.
      Tq sbb prihatin.

      Delete