Popular Posts

Saturday 5 April 2014

"Keranamu DIAH" Bab 16

BAB 16          KEPUTUSAN YANG MEMERANJATKAN

Melihatkan respon Zuraimie yang masih tetap diam ...

            Zuraimie tetap membatukan diri. Kata-kata Ziah hanya seperti mencurahkan air di daun keladi. “Mie , awak dengar tak kata saya ni?. Kalaupun awak tak kesahkan tentang diri awak , sekurang-kurangnya fikirlah pasal Diah. Dia juga diperlakukan dengan teruk tadi. Dia patut diperiksa. Takut apa-apa terjadi pada kandungannya”. Ziah agak kesal dengan sikap acuh tak acuh Zuraimie itu.
“Huhh!!!. Yalah Ziah , kita ke klinik sekarang!”. Kata Zuraimie , jengkel. Ziah menarik nafas lega. “Sebut nama Diah baru nak respon!”. Ziah mengutuk di dalam hati. Marah juga dia dengan sikap Zuraimie yang sengaja tidak mengendahkan kata-katanya tadi.
Mereka akhirnya berhenti di  sebuah klinik  yang terletak tidak jauh dari rumah agam Diah. Di klinik inilah dulunya tempat Diah mendapatkan  imunisasinya sedari bayi lagi. Doktor Kadir , pemilik klinik ini memang cukup mengenali setiap ahli  keluarga Diah. Malah Ziah juga pernah  ke sini  mendapatkan rawatan tatkala tiba-tiba demam semasa bertandang ke rumah Diah dahulu.
“Eh  Diah?. Lama sungguh tak ke mari”. Sapa doktor Kadir namun tidak dijawab Diah. Dia hanya terus melangkah masuk ke dalam bilik rawatan. “Errrr?!”. Diah bingung.
“Doktor ni kenal aku. Aduh! Nanti kalau dia tahu pasal kandungan aku ni , malulah mak bapak aku. Alamat bertambah bencilah abah kepadaku nanti. Diah mulai resah. Mujur Ziah cepat bertindak ...
“Eh doktor salah orang kot ... err boleh doktor tolong periksa kandungan kawan saya ni”. Ziah cuba mengalih perhatian , menukar tajuk perbualan.
“Tadi ada kemalangan kecil. Kawan saya ni mengandung jadi kami takut kalau-kalau kemalangan itu  menjejaskan bayi dalam kandungannya  itu”. Sampuk Ziah.
Doktor Kadir mengangguk namun dahinya masih berkerut. Fikirannya masih berkisar mengenai identiti sebenar gadis di hadapannya ini. Lantas fail pesakit di hadapannya dibelek. Kosong!.
“Hmm ... sekejap  ya. Nurse!”. Panggil doktor itu sambil menekan loceng. Seorang jururawat berlari anak masuk ke dalam bilik doktor.
“Err ... mana rekod perubatan pesakit sebelum ini?”. Tanya doktor Kadir.
“Err ... ini pesakit baru doc. Dia tak pernah dapat rawatan di sini sebelum ini”. Jawab Jururawat itu , hairan dengan sikap doktor yang tiba-tiba sangat berminat dengan sejarah rekod rawatan pesakit.
“Hmm ... kali pertama mendapatkan rawatan di sini?”. Tanya doktor Kadir. Ziah dan Diah mengangguk serentak.
“Mungkin pelanduk dua serupa. Wajah awak saling tak tumpah dengan wajah anak kenalan saya”. Doktor Kadir berterus-terang. Ziah dan Diah hanya tersenyum mendengarnya.
“Ehemm , boleh doktor periksa sekarang?”. Ziah sengaja mengingatkan doktor Kadir akan tugasnya.
“Oh marilah saya periksa. Awak baring di sini”. Doktor Kadir akhirnya membuat pemeriksaan ke atas Diah.  Ujian ‘ultra sound’  dijalankan untuk melihat keadaan bayi dalam kandungan , imej bayi tertayang pada skrin komputer .  Ziah melihatnya , Diah juga. Terusik hati Diah tatkala menatap imej bayinya buat pertama kali. Menitis air matanya tatkala imej bayinya itu bergerak-gerak. Mungkin sengaja beraksi buat tatapan ibunya yang sedang berduka. “Sayang ... ibu akan kuatkan diri ini demi kamu”. Bisik Diah. Tiba-tiba aura semangat mengalir ke dalam tubuhnya.
Setelah segalanya selesai .... “Alhamdulillah , awak dan dia tak apa-apa”. Zuraimie berkata lembut sambil memandang ke arah perut Diah. Diah hanya tersenyum.
“Mie , awak ok ke?” .Tanya Ziah , risau. Mana tidaknya , teruk dia dibelasah oleh encik Amir tadi. “Yup!. Cuma luka ringan jea”. Jawab Zuraimie sambil menunjukkan ke arah luka-lukanya yang sudah dibalut.
“Tak ada kecederaan dalaman?”. Tanya Ziah , khuatir. Zuraimie hanya menggelengkan kepalanya.
“Hmm ... Alhamdulillah. Awak dan Diah tak apa-apa”. Ziah melafazkan syukur.
“Mie , apa kita nak buat sekarang  ...  kat mana kita nak hantar Diah ni?” . Tanya Ziah pula , tiba-tiba menjadi risau. Kalau ibubapanya sendiri tidak mahu menerimanya , ke mana lagi Diah akan pergi?
“Aduhai awak ni Ziah , kot ya pun boleh tak bagi saya masa untuk relaks kejap. Kepala ni pun  masih berdenyut lagi!”. Keluh Zuraimie , sedikit jengkel. Sebenarnya dia sendiri belum ada jawapan bagi soalan Ziah itu.
“ Heiii ... entahlah  ...  sayapun sebenarnya tengah bingung memikirkan perkara ini”. Sambung Zuraimie lagi sambil memandang Diah.
“Diah , kau fikir macam mana? Aku kejap lagi dah nak kena balik ke Pagan Sena. Esok aku sekolah. Kalau ikut hati aku ,   nak aje  aku ajak  kau sekali tapi ... aku pun tinggal menumpang di bilik warden”. Ziah berterus-terang.
Diah diam. Fikirannya buntu memikirkan segala yang baru terjadi. Kata-kata Ziah itu bagaikan angin lalu yang hanya menyentuh cuping telinganya sahaja. Diah masih tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Dia telah dihalau oleh ayahnya sendiri. Ayah yang selama ini sangat memanjakannya!. Dan kini tiada arah tuju ... namun dia tidak putus harap. Semangatnya bangkit gagah setelah melihat imej bayi yang dikandungnya itu.
“Demi anak ini ...”. Katanya sambil mengusap-ngusap perutnya yang membuncit.
“Diah ... saya tahu awak bingung ...  saya sebenarnya ada cadangan , itupun kalau awak sudi”. Kata Zuraimie ragu-ragu , cuak dengan reaksi Diah jika mendengar hasratnya. Diah memandang dengan wajah yang polos , pasrah.
“Takkan kot!!” . Bisik hati Ziah. Bagaikan dapat membaca fikiran Zuraimie.
“Kita kahwin sajelah!”. Zuraimie berkata. Matanya tepat memandang Diah , mengharapkan jawapan yang positif.
“Huhh!!”.  Keluh Ziah. “Memang tepat sangkaanku. Kau ini memang gilalah Mie!”. Fikir Ziah.
Diah pula diam membisu. Tergamam ... setelah segala yang mereka hadapi hari ini , Zuraimie masih sanggup memberikan cadangan itu!. Bibirnya diketap kuat.
“Huhhh!!!!”.  Keluhnya berat. Lama dia berfikir , Zuraimie menanti jawapannya dengan sabar.
Akhirnya Diah bersuara , “Awak gila ke apa?.  Mana kita boleh kahwin ...  kalau saya mahu sekalipun , kita masih kena tunggu sehingga  anak ini lahir. Kenalah tunggu hingga habis edah! Tidak semudah  itulah!!” . Jawab Diah. Tiba-tiba bengang dengan keadaan dirinya kini.
“Tidak Diah. Awak silap. Awak dah salah faham. Apa yang awak cakapkan itu adalah benar  jika awak ini adalah bekas isteri orang lain. Maka kita terpaksa tunggu sehingga awak habis edah dahulu. Tetapi dalam kes kita ini , awak bukan isteri sesiapa maka  bila-bila masapun kita boleh kahwin”. Zuraimie membetulkan Diah.
“Begitukah. Hinanya aku ini . Langsung tiada syarat?”. Tanya Diah tidak pasti.
“Apa maksud awak Diah?. Hukum Allah itu penuh dengan hikmah. Sekurang-kurangnya kita dapat pastikan anak ini lahir berbapa. Ada pelindung dan dihindari dari fitnah dunia”. Jelas Zuraimie.
“Ya . Betul Diah ... setiap yang ditentukan Allah pasti ada hikmahnya.  Kau bukan pernah berkahwin dengan sesiapapun sebelum ini. Jadi anak dalam  kandungan kau  itu tidak menjadi penghalang untuk kalian segera berkahwin. Cuma yang perlu kalian fikirkan sekarang ini adalah soal wali. Bagaimana kita nak dapatkan  izin walinya?”. Tanya Ziah kepada Zuraimie.
“Betul ... awak betul. Aku tidak berfikir panjang”. Zuraimie kesal kerana terlepas pandang perkara yang penting ini.
“Ah ! Tidak mengapa. Kami boleh kahwin di Thailand”. Zuraimie tiba-tiba mendapat idea songsang , teringatkan amalan yang sering dilakukan oleh pasangan kahwin lari dari Malaysia.
“Ahh sudahlah!!. Fikiran aku ini tengah buntu. Tak payahlah kalian nak mencadangkan yang bukan-bukan. Bukan sekarang!!”. Diah marah. Sebenarnya dia marahkan dirinya sendiri ... 
Apakan daya , tiada tempat bergantung. Dibuang oleh kedua orang tuanya. Kini , diajak kahwin lari pula!.
“Huh! Mana perginya sensitiviti  kalian?”. Keluhnya sendiri.
“Huh! ...  Diah maafkan kami. Saya faham awak sangat tertekan dengan semua ini  tapi    kita terpaksa juga membincangkannya sekarang. Kita perlu mengambil kata putus untuk nasib awak dan bayi kita selepas ini. Tapi janganlah awak terlalu bersedih. Kami sentiasa ada untuk awak. Kami takkan biarkan awak sendiri”. Kata Zuraimie , terpaksa mendesak Diah untuk membuat keputusan.
“Apa pilihan yang saya ada?”. Tanya Diah , bingung.
“Awak boleh memilih bernikah dengan saya sekarang atau sebaliknya”. Jawab Zuraimie.
“Awak ...  tolonglah. Saya tidak mungkin berkahwin dengan awak sekarang. Fikiran saya ini terlalu bercelaru. Mana mungkin saya bernikah dengan awak sedangkan diri sendiripun masih samar dalam ingatan ini”. Balas Diah.
Mereka bertiga diam. Tidak tahu untuk  mencari kata putus. Juga tidak tahu ke mana arah yang harus dituju selepas ini. Zuraimie menghidupkan enjin keretanya lalu memandu perlahan meninggalkan Wangsa Maju menuju entah ke mana.
“Awak , kalau saya setuju bernikah dengan awak , adakah masalah kita ini akan selesai?”. Diah tiba-tiba bertanya. Mungkin dia baru sedar bahawa dia sebenarnya memang tiada  pilihan lain kecuali segera bernikah dengan Zuraimie.
“Ya. Saya akan menikahi awak dan kita terus hidup bersama sebagai suami isteri yang sah. Saya boleh terus menyewa rumah di sekitar Bandar Baru Bangi. Cuma ...”. Kata-kata Zuraimie terhenti.
“Saya perlu mendengar dulu pengakuan dari awak Diah”. Zuraimie menyambung kata.  Ziah dan Diah mendengarnya.
“Pengakuan apa?” Tanya Diah.
“Awak betul-betul sudi berkahwin dengan saya sekarang?”. Tanya Zuraimie.
“Bukan kerana awak tersepit ... atau ...  kerana tiada tempat untuk dituju?”. Tanyanya lagi.
 Diah diam berfikir ... “dengan keadaan aku sekarang , adakah semua itu penting?”. Fikir Diah. Dia menjadi tidak faham dengan sikap Zuraimie. Ajak kahwin tapi masih bersyarat!
“Zuraimie? Awak masih tidak faham ya?. Kita perlukan wali Diah!” . Ziah menyampuk. Tidak setuju dengan idea kahwin lari. Baginya pasangan yang kahwin lari itu terlalu angkuh , langsung tidak memikirkan hati keluarga.
“Itu tidak menjadi soal. Jika perlu sekarang juga kita ke sempadan. Kami boleh nikah di Patani!”. Jawab Zuraimie , mengulangi cadangannya tadi.
 Ziah menggelengkan kepalanya. “Itu kerja gila!”. Katanya.
“Ziah , itu semua tidak lagi penting. Sekarang ini saya hanya perlukan jawapan daripada Diah”. Kata Zuraimie lagi sambil memandang Diah. Langsung tidak menghiraukan komen yang diberi oleh Ziah.
“Ya. Saya sedia menjadi isteri awak!”. Jawab Diah. Ziah tersandar mendengar jawapan Diah itu. Buat Diah pula , dia  sedar bahawa dia sudah tidak mempunyai pilihan lain melainkan menerima saja Zuraimie sebagai suaminya.
“Sebab?” Tanya Zuraimie.
“Sebab saya tiada pilihan lain. Saya sendirian sekarang. Tiada arah tuju. Tidak lama lagi saya akan  melahirkan bayi ini. Saya tidak akan  mampu  mengharunginya sendirian. Saya perlukan awak. Dan yang lebih penting saya tahu bahawa awak memang sangat sayangkan saya dan saya boleh bergantung harap kepada awak”. Diah berterus terang.
“Huhh!!”. Keluh Zuraimie. Kesal mendengar jawapan Diah.
“Maafkanlah saya Mie kerana saya masih belum dapat menemukan cinta kita dalam hati ini. Mungkin belum lagi ... “. Diah kesal kerana terpaksa berkata begitu. Namun , “Lebih baik berterus terangkan ...”. Fikirnya.
Zuraimie diam seribu bahasa. Fikirannya terganggu mendengar kata-kata Diah itu.
“Dalam keadaan kau tersepit sekarang inipun kau masih tak boleh menerimaku sepenuh hatimu. Apa , tidak cukup baikkah aku?. Tidak cukupkah segala pengorbanan dan penderitaan yang ku tanggung selama ini?”. Zuraimie meratap di dalam hati , jengkelpun ada!.
 “Mie , boleh saya tanya sesuatu?”. Tanya Diah pula , menyambung perbualan yang terhenti. Zuraimie hanya menganggukkan kepalanya , lemah selemah semangatnya kini.
“Anak ini anak kita?. Buah cinta kita?”. Tanya Diah sambil memandang wajah Zuraimie.
Pertanyaan Diah itu memukul jantung hati Zuraimie. Sengaja pandangan Diah itu tidak dibalasnya.
“Untuk apa pertanyaan itu diulang-ulang Diah?”.  Fikir Zuraimie.
Ziah yang sedari tadi mendengar perbualan mereka berdua itu hanya mendiamkan diri. Entah mengapa hatinya tidak senang melihatkan Zuraimie bermati-matian mempertahankan pembohongannya manakala Diah kini benar-benar tersepit ,  terpaksa menerima pembohongan itu dan lebih malang lagi adalah dirinya sendiri  ,  masih juga terluka tatkala melihat Zuraimie sengsara. Mengapa mesti terluka?. Bukankah segalanya sudah berakhir?. Tidak! Tidak lagi berakhir. Masih ada cinta di dalam hati!!!.
“Oh Tuhan!”. Ziah meraut wajahnya sendiri. , mengingatkan dirinya agar tidak hanyut dengan perasaan.
“Kenapa masih ragu Diah?” . Tanya Zuraimie setelah membiarkan seketika soalan Diah tanpa jawapan.
“Tidak ! Bukan ragu tapi saya mahukan kepastian.  Awak tolong jawab pertanyaan saya itu dulu!”.  Tegas Diah.
“Mengapa masih ragu?”. Balas Zuraimie. Mengulangi pertanyaannya.
“Mie , saya tidak mahu awak menjadi pak sanggup atas dosa yang saya lakukan!!” . Diah berkata separuh menjerit. Air matanya mula bercucuran. Dia bagaikan dapat merasakan yang Zuraimie itu bukanlah orangnya , jika benar Zuraimie adalah bapa kepada bayi yang dikandungkannya mengapa tiada langsung rasa cinta di hatinya.
Terkejut Zuraimie dan Ziah mendengar kata-kata Diah itu.
“Mengapa awak kata begitu?” . Tanya Zuraimie , bergetar suaranya menahan rasa. Juga hampir menitiskan air mata. Wajahnya kemerahan , tangannya menggenggam kuat stereng Kenari.
“Pertama , kerana awak terlalu baik. Jika sebesar inilah cinta awak kepada saya , masakan kita sampai boleh terlanjur!. Kedua , kerana saya gagal mencari cinta kita dalam hati ini dan ketiga kerana ... saya terasa sungguh sepi , terasa kehilangan yang amat sangat. Seperti separuh dari jiwa saya ni sudah tiada. Sedangkan awak sentiasa ada di depan mata!”. Jawab Diah teresak-esak. Jawapan yang benar-benar memukul jantung hati Zuraimie.
“Walaupun awak sentiasa di sisi , hati saya masih sepi ... ada rindu yang tak kesampaian. Saya sendiri tidak faham. Zuraimie , jujurlah kepada saya. Benarkah saya ini kekasih awak dan anak ini adalah anak kita?”.  Tanya Diah dalam linangan air mata.
“Jujurlah pada saya. Kita tak mungkin mampu mendirikan rumahtangga yang bahagia tanpa kejujuran!”. Pinta Diah lagi.  Gerak hatinya kuat mengatakan  bahawa Zuraimie bukanlah cintanya , dia juga bukan bapa kepada anak dalam kandungannya.
“Diah , selagi nyawa dikandung badan. Hanya awak kekasih saya . Sejak dulu ... saya tidak akan pernah berubah. Ya! . Anak itu anak kita!!!” . Jawab Zuraimie. Menitis air mata lelakinya kerana terpaksa berbohong demi menagih cinta Diah.
“Kalaulah semua ini benar!”.  Keluh Zuraimie di dalam hatinya.
Ziah yang mendengar pengakuan palsu itu terasa hiba dan  sedih. Hancur rasa hatinya melihat Zuraimie bermati-matian mempertahankan pembohongannya itu.
“Sampai bila?. Sampai bila?. Sampai bila Mie?”. Tanyanya di dalam hati.

Ke Hutan Lipur  Lintang
Kenari dipandu terus ke destinasi yang belum pasti , menuju ke arah utara. Akhirnya  membelok ke kawasan rehat hutan lipur lintang.
“Huhhh!!!. Marilah kita rehat sebentar. Di sini suasananya tenang ... kita rehat dan makan dulu ...”.  Zuraimie mendahului yang lain. Bergerak ke gerai makanan yang ada di situ. Ziah dan Diah tidak membantah. Memang mereka kini benar-benar perlukan ketenangan.
“Marilah ,  kita makan dulu. Lagipun awak tak boleh berlapar. Kasihan yang di dalam tu”. Zuraimie berkata sambil menudingkan jarinya ke arah perut Diah. Diah tersenyum pahit ... Zuraimie mengambil tempat diikuti oleh Diah dan Ziah.
“Makan apa dik?”.  Tanya perempuan separuh umur. Mungkin pemilik atau pekerja gerai itu.
“Hmm ... apa ada kak?”.  Tanya Zuraimie.
“Semua ada. Semua  jenis nasi goreng dan semua jenis mee”.  Kakak itu menjawab sambil tersenyum. Bangga dengan kemampuan gerainya menghidangkan pelbagai jenis makanan.
“Hmm ... bagi saya nasi goreng kampung dan fresh oren. Errr ... Diah , Ziah?”  . Tanya Zuraimie.
“Sama !” Jawab kedua gadis ini serentak. Malas untuk memikirkan yang lain.
“Hmm ... kak , bagi tiga nasi goreng kampung dan tiga fresh oren”. Zuraimie membuat pesanan.
Sebaik sahaja makanan yang dipesan sampai , ketiga-tiga mereka terus makan tanpa bercerita langsung. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Pengalaman yang mereka lalui hari ini cukup dahsyat. Tidak seorang daripada merekapun pernah menyangka yang perkara seperti ini akan mereka hadapi dalam hidup ini.

 “Biarlah mereka menyelesaikan masalah mereka tanpa gangguan”
Setelah menghabiskan makanannya , Zuraimie bangun lalu ...
“Mari ...”.  Zuraimie menarik tangan Diah. Diah menurut  saja.  Mereka berjalan beriringan ke tebing sungai. Sungai di Hutan Lipur Lintang ini adalah lanjutan daripada air terjun yang mengalir di sebelah atasnya. Pemandangan memang cantik dan asli dengan aliran air yang mengalir deras .
 Ziah hanya memerhatikan mereka dari jauh. “Biarlah mereka menyelesaikan masalah mereka tanpa gangguan”. Fikirnya.
“Ada masalah besar mereka itu?”. Kakak gerai itu tiba-tiba bertanya. Sibuk hendak mengambil tahu.
“Errr ...  ketara sangat ke?”. Balas Ziah , pertanyaan kakak itu tidak dijawab.
“Macam-macam jenis orang yang berhenti makan di gerai akak ini. Macam-macam kisah. Sekali pandangpun akak dah dapat mengagak. Mesti ada masalah besar. Suami isteri ke tu?”. Kakak gerai bertanya sambil membangga diri. Ziah hanya membalas kata-katanya itu dengan senyuman lalu memalingkan wajahnya ke arah lain .
“Sibuk je nak jaga tepi kain orang!”. Rungutnya di dalam hati. Kakak gerai itu faham bahasa badan Ziah itu. Lalu berlalu membuat kerjanya sendiri.


... kita tak perlu  berkahwin sekarang. 
“Diah , kita kahwin segera”. Zuraimie berkata sambil memegang tangan Diah. Matanya memandang tepat ke dalam mata Diah. Diah tunduk lalu menggelengkan kepalanya.
“Mie , tak perlulah kita tergesa-gesa. Saya akan tetap berkahwin dengan awak tapi setelah anak ini dilahirkan”. Jawab Diah , tiba-tiba memberi kata putus. Rupa-rupanya semasa makan tadi , kepala Diah ligat berfikir. Patutlah dia tidak bercakap walau sepatahpun tadi.
“Apa?. Mengapa?. Kasihan anak ini”. Zuraimie meletakkan tangannya di atas perut Diah. Tidak setuju dan tidak faham dengan keputusan Diah.
“Sama saja kerana sekarangpun dah nak masuk lima bulan”. Jawab Diah.
“Ya. Sebab itu kita harus segera kahwin!”. Jawab Zuraimie.
“Tidak!. Sebab itulah kita tak perlu  berkahwin sekarang.  Kalau kita berkahwin sekarangpun , kita tak mungkin dapat menghindari fitnah dan kata nista orang keliling. Saya rasa , kita tunggu sajalah bayi ini lahir. Sekurang-kurangnya kita tidak perlu tergesa-gesa. Kita akan sempat membuat persiapan yang lebih sempurna sebelum menjadi suami isteri. Nasib anak ini akan lebih terjamin”. Diah menerangkan maksud pandangannya itu.
“Diah ...” . Zuraimie cuba membantah.
“Mie , tolong jangan paksa saya”. Pinta Diah. Zuraimie diam. Dia benar-benar tidak faham dengan permintaan Diah. Hatinya gusar namun dia tidak punya pilihan lain.
“Tiada apakah yang mampu saya lakukan untuk menukar fikiran awak?”.  Tanya Zuraimie dan Diah menggelengkan kepala.
“Huhh!!. Baiklah. Saya tiada pilihan lain melainkan menurut sahaja”. Kata Zuraimie lemah.

... mahu memastikan agar Diah dapat mengharungi tempoh sukar ini ...
“Hmm ..  keputusan telah dibuat . Seterusnya kita perlu fikirkan tempat yang sesuai  dan siapa pula yang akan menjaga awak sepanjang tempoh mengandung ini sehingga awak selamat  melahirkan” . Zuraimie berkata lemah. Dia benar-benar mahu memastikan agar Diah dapat mengharungi tempoh sukar ini dengan selamat.
“Tak apa Mie. Saya dah fikirkan perkara itu tapi saya perlukan pertolongan awak dan Ziah ”. Pinta Diah. Zuraimie mendengar . Diah tiba-tiba bangun , menarik tangan Zuraimie dan berjalan bersama untuk menyertai Ziah yang masih setia menunggu di gerai makan.
“Tolong hantarkan saya ke rumah mak Raziq ... di Cherating , Pahang. Itu saja tempat yang masih boleh saya ingat. Biarlah saya tinggal di sana sehingga bersalin. Saya yakin mak Raziq takkan keberatan menerima saya dan anak ini”. Jelas Diah.
“Apa ?. Mak Raziq?!!” . Ziah dan Zuraimie berkata serentak. Mereka benar-benar terkejut mendengar permintaan Diah.
“Kenapa mesti mak Raziq?!”. Tanya Ziah dan Zuraimie serentak.
“Entahlah ... aku cuma tahu itu sahaja tempat yang boleh kutuju”. Jawab Diah. Dia sendiri tidak faham mengapa hatinya berat mahu ke sana.
“Kalau mak Raziq tak terima?” .Tanya Ziah . Khuatir.
“Masakan mahu , ‘beban  tiada biawak digalas!’ ”.Fikir Ziah.
“Tak mungkin , gerak hati aku  mengatakan yang mak Raziq itu pasti tidak keberatan untuk menerima aku dan anak ini”. Jawab Diah sambil memegang perutnya.
 “Bagaimana kau boleh begitu pasti?”. Tanya Ziah  , mulai cuak. Mungkinkah Diah telah mengingati segalanya. Lagi pula jika Diah bertemu dengan mak Raziq , pasti segalanya akan terbongkar. Diah tidak mungkin mempercayainya lagi!
“Tapi mengapa mesti mak Raziq?”.  Tanya Zuraimie  pula , juga cuak dan curiga.
 “Entahlah. Sejujurnya saya cuma rasa yang mak Raziq pasti akan menerima saya dan anak ini!” . Diah mengulangi jawapannya.
“Diah , permainan apakah yang sedang kau mainkan ini?”. Kata hati Zuraimie.
“Bukankah kita semua berkawan rapat. Saya dapat ingat yang saya pernah ke sana satu  ketika dahulu. Entahlah dengan siapa , mungkin dengan awak Mie dan  awak juga Ziah?” . Diah meminta kepastian daripada Zuraimie dan Ziah. Zuraimie tergamam seketika ...
“Err ... rumah mak Raziq itu jauh di Pahang. Kalau kita ke sanapun , belum tentu mak Raziq itu mahu menerima awak. Kalaupun dia mahu terima awak , kelak jika terjadi apa-apa  pada awak macammana saya nak tolong?” . Zuraimie tidak bersetuju , tidak mahu mengambil risiko. Lagi pula dia sebenarnya takut dengan bayangannya sendiri.
“Macam nilah. Saya ada cadangan lain. Untuk sementara ni , awak tinggal sajalah di hotel. Hotel Equatorial , Bandar Baru Bangi. Dekat saja dari rumah saya. Bayaran tu biar saya yang urus. Sementara itu saya akan cuba carikan rumah untuk tumpangkan awak , mungkin di rumah kawan-kawan perempuan saya di sekitar sini”. Cadang Zuraimie.
“Saya tahu awak risaukan saya ... tapi  , saya mahu mengharungi kesukaran ini bersama orang yang  rapat dengan Raziq , ibunya. Bukankah kami sama-sama terlibat dalam kemalangan tersebut. Lagipun ... tiada siapa yang kenal saya di sana. Nanti bila saya dah selamat bersalin , saya pasti akan menghubungi dan berkahwin dengan  awak”. Janji Diah.
“Tapi kenapa mesti dengan orang yang rapat dengan Raziq. Kenapa  mesti ibu Raziq?!”. Tanya Zuraimie lagi. Risau jika tembelangnya akan pecah.
“Entahlah ... saya seperti terasa yang ibu itu sayangkan saya. Saya juga terasa seperti pernah rapat dengannya sebelum ini. Errr ...  mungkin juga kerana Raziq itu dulu adalah kawan baik kita?”.  Diah berkata sambil memandang Zuraimie.  Zuraimie melarikan pandangan matanya.
“Dalamnya cinta kalian berdua. Sampai matipun kau masih memegang cintanya Ziq!”. Fikir Zuraimie. Rasa bersalah dihatinya kerana telah membohongi Diah.
“Mie?” Diah meminta persetujuan.
“Awak seperti menidakkan cinta saya. Apa ... awak masih tidak yakin kepada saya?. Tidak sudi menerima pertolongan daripada saya?”. Tanya Zuraimie ,  kesal dengan keputusan dan kedegilan Diah.
“Maafkan saya jika awak fikir begitu!”. Diah masih bertegas.
“Err ... Kita berempat memang berkawan baik . Saya rasa tiada salahnya kita turutkan saja permintaan Diah itu Mie”.  Ziah mencelah setelah melihat keadaan semakin tegang. Ziah maklum dengan perangai Diah. Sekali dia membuat keputusan , pasti takkan berubah. Perangainya itu memang tidak pernah berubah!
“Err ... tapi saya dah lupa jalan ke sana”. Zuraimie berdalih.
“ Tak mengapa . saya masih ingat ...”.  Jawab Diah.  Ziah terperanjat mendengarnya manakala Zuraimie pula mengeluh berat.
“Huhhh!”. Mahu tidak mahu  dia terpaksa akur dengan permintaan Diah walaupun hatinya sungguh  berat untuk menghantar Diah jauh dari pandangan matanya , lebih-lebih lagi untuk menghantar Diah kepada ibu Raziq.
“Betul juga apa yang dikatakan Diah tu Mie. Relakanlah dia tinggal di rumah mak Raziq. Tiada siapa yang kenal dia di sana. Diah akan selesa menghabiskan tempoh mengandungnya hingga bersalin nanti. Diah boleh sahaja mengaku yang dia adalah sepupu Raziq. Tentu tiada siapapun yang curiga atau berperasangka”. Ziah bersuara setelah lama mendiamkan diri. Ziah tahu , Zuraimie risaukan Diah dan tidak sanggup berpisah dengan Diah. Apa lagi dalam keadaan Diah sekarang. Ziah juga tahu yang Zuraimie takut jika rahsianya terbongkar!.

Nampaknya Kenari terpaksa berjalan jauh ... ke Cherating , Pahang!
“Macam mana dengan kelas awak esok?”. Tanya Zuraimie , memecah kesunyian. Dia tahu Ziah sudah terlepas basnya tengahari itu. Dia turut terasa bersalah membabitkan Ziah dalam masalahnya dan Diah.
“Nanti kita singgah kat stesen bas dekat-dekat Cherating. Saya  ambil bas malam pun tak apa. Sampai pagi , terus ke sekolah”. Jelas Ziah.
“Terima kasih Ziah” . Diah menggenggam tangan sahabatnya itu. Ziah hanya tersenyum. “Hmm ... nampaknya Kenari terpaksa berjalan jauh ... ke Cherating , Pahang”. Kata Ziah , cuba menceriakan keadaan.

Perjalanan yang memenatkan
Perjalanan ke Cherating sangat memenatkan. Suasana tengahari yang terik mengurangkan kesan hawa dingin dalam Kenari. Semuanya terasa rimas dan meresahkan.
“Kita berhenti rehat kejap ... depan ni ada masjid  , bolehlah kita solat Zohor dan  lepas tu kita  basahkan tekak di gerai seberang jalan tu. Panas betul hari ini”.  Zuraimie menunjukkan deretan warung yang terdapat di seberang jalan masjid.
“Kat mana kita ni ye?”. Tanya Ziah sambil memerhati sekeliling.
“Baru sampai Mentakap , lambat lagi nak sampai. Agak-agaknya dalam empat jam lagi?”. Diah menjawab pertanyaan Ziah sambil memandang  Zuraimie untuk mendapatkan kepastian.
“Ye lah ... dalam empat jam lagi. Jomlah kita berhenti sembahyang dulu. Jangan lupa buat jama’ dan qasar  Zohor dan Asar sekali. Nanti tak perlulah kita berhenti lagi untuk solat asar”. Zuraimie mengingatkan.  Ziah dan Diah menganggukkan kepala. Timbul rasa kagum di hati Diah terhadap sikap Zuraimie yang amat mementingkan solat.
“Kalau dia ini seorang yang sangat memelihara solatnya , bagaimana mungkin kami boleh terlanjur?”. Fikir Diah.
Setelah segalanya selesai , mereka meneruskan perjalanan. Tiada banyak yang dibualkan. Masing-masing melayan perasaan ... Ziah dan Diah  akhirnya terlena. Zuraimie mengambil kesempatan itu , mencuri-curi pandang wajah Diah yang bersih. Sungguhpun wajah itu tidak seceria dulu namun kecantikan aslinya tetap terpancar di sebalik kecengkungan dan pucatnya wajah itu.
“Apalah kesudahannya hubungan kita ini sayang?. Sampai bila baru kau akan nampak ketulusan hatiku mencintaimu tanpa syarat”.Keluh Zuraimie sendiri. Sedih mengenangkan dirinya yang tak ubah bagaikan pungguk merindukan bulan       , bulan tak pernah kesah dan tak mungkin turun ke bumi sedangkan pungguk masih tetap merayu ...
       
Kejamnya kamu ...

Kejamnya kamu mengguris hatiku
Enggan menyubur cinta nan bersemi
Jauh kau buang kasihku padamu
Apakan daya ku bagaikan sendiri
Mengejar mimpi mencari bayangmu
Namun tak upaya siksanya tak terperi
Ya! Apakan daya hatimu milikmu
Aku tertusuk  igauan  ngeri

Kapan berakhir rindu ini padamu?
Aku sendiri semakin tidak mengerti
Mengapa  takdirnya kita dipertemu ?
Untuk merasai kesengsaraan ini?

Kejamnya kamu Diah!













No comments:

Post a Comment